haiwan bela jinak From Wikipedia, the free encyclopedia
Anjing (Jawi: انجيڠ; Canis familiaris atau Canis lupus familiaris) ialah keturunan bela jinak bagi serigala. Anjing, yang juga dipanggil anjing bela jinak atau anjing domestik, dibiakbakakan secara terpilih daripada populasi pupus serigala semasa Pleistosen Akhir oleh pemburu-pengumpul. Anjing ialah spesies pertama yang dibelajinakkan oleh manusia pada lebih daripada 14,000 tahun lalu dan sebelum kemajuan pertanian. Pakar menganggarkan bahawa, oleh sebab perkaitan panjangnya dengan manusia, anjing telah memperoleh kebolehan untuk hidup berkembang dengan diet kaya kanji yang sepatutnya tidak cukup untuk canid lain.[4]
Anjing Julat zaman: Pleistosen Akhir hingga kini[1] | |
---|---|
Dibelajinakkan | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Animalia |
Filum: | Chordata |
Kelas: | Mammalia |
Order: | Carnivora |
Suborder: | Caniformia |
Keluarga: | Canidae |
Genus: | Canis |
Spesies: | C. familiaris |
Nama binomial | |
Canis familiaris | |
Sinonim[3] | |
Senarai
|
Anjing telah dibiakbakakan untuk pelbagai tingkah laku, kemampuan deria, dan atribut fizikal yang diingini.[5] Baka anjing sangat berbeza-beza dari segi rupa bentuk, saiz, dan warna. Ia mempunyai struktur bilangan tulang sama (dengan pengecualian ekor), rahang berkuasa yang menempatkan sekitar 42 batang gigi, dan deria cukup terbentuk bagi penghiduan, pendengaran, dan penglihatan. Berbanding dengan manusia, Anjing mempunyai ketajaman penglihatan lebih rendah, deria bau lebih tajam, dan korteks penghiduan agak besar. Ia memainkan banyak peranan untuk manusia, seperti perburuan, penggembalaan, penarikan muatan, perlindungan, pendampingan, terapi, pembantu orang kurang upaya, dan pembantu polis dan pihak tentera.
Komunikasi pada anjing termasuk renungan mata, ekspresi muka, penyuaraan, postur badan (termasuk pergerakan tubuh dan anggota), dan komunikasi pengecapan (bau, feromon, dan kecapan). Ia menandai wilayahnya dengan mengencingi wilayah tersebut, yang lebih berkemungkinan apabila memasuki persekitaran baharu. Selama beralaf-alaf, anjing menjadi tersesuai secara unik terhadap tingkah laku manusia; adaptasi ini termasuk kebolehan untuk memahami manusia dan berkomunikasi dengan manusia. Oleh itu, ikatan manusia–anjing telah menjadi topik kajian kerap dan pengaruh anjing terhadap kemasyarakatan manusia telah memberinya nama gelaran "sahabat baik manusia".
Populasi anjing global dianggarkan pada 700 juta ekor hingga 1 bilion ekor anjing, yang tertabur di seluruh dunia. Anjing ialah haiwan peliharaan paling popular di Amerika Syarikat, yang hadir dalam 34–40% daripada jumlah isi rumah. Di negara-negara maju, sekitar 20% daripada jumlah anjing dibela sebagai haiwan peliharaan, sementara 75% daripada populasi di negara-negara membangun sebahagian besarnya terdiri daripada anjing jalang dan anjing komuniti.
Istilah anjing (serta perkataan sepunca dalam bahasa lain seperti anjiang dalam bahasa Minangkabau) dipercayai merupakan hasil penghalusan bahasa yang diterapkan dalam bahasa Jawa (atau krama) kepada perkataan asu.[6] Bentuk asu juga wujud dalam bahasa Melayu[7] dan diturunkan daripada *(w)asu dalam bahasa Proto-Austronesia[8] sepunca dengan ꦲꦱꦸ asu dalam bahasa Jawa, asèë dalam bahasa Aceh, dan ᜀᜐᜓ aso dalam bahasa Tagalog antara yang serumpun lainnya.
Anjing mempunyai penjodoh bilangan yang sama seperti binatang lain, iaitu ekor. Kumpulan anjing, terutamanya yang liar seperti serigala, dipanggil "kawanan", lalu dibilang sebagai kawan (misalnya: sekawan serigala).
Istilah anak anjing pula digunakan kepada anjing muda berumur dari kelahiran sehingga satu tahun, manakala sekumpulan anak anjing seibu dan biasanya sebapa pada satu kelahiran dipanggil perinduk.
Istilah anjing bela jinak pada umumnya digunakan untuk kedua-dua keragaman bela jinak dan jalang.
Filogeni kanin dengan usia pencapahan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Kladogram dan pencapahan serigala kelabu (termasuk anjing bela jinak) sesama kerabat ekstan terhampirnya[9] |
Anjing ialah anggota bela jinak dalam keluarga Canidae. Ia dikelaskan sebagai subspesies Canis lupus, bersama-sama dengan serigala dan dingo.[10][11] Anjing dibelajinakkan daripada serigala pada lebih daripada 14,000 lebih tahun lalu oleh pemburu-pengumpul, sebelum kemajuan pertanian.[12][13] Dingo dan anjing menyanyi New Guinea yang berkaitan terhasil daripada pengasingan geografi dan penjalangan anjing di Oseania pada lebih daripada 8,000 tahun lalu.[14][15]
Anjing, serigala, dan dingo kadang-kadang telah dikelaskan sebagai spesies berasingan.[11] Pada tahun 1758, ahli botani dan ahli zoologi Sweden Carl Linnaeus menetapkan nama genus Canis (iaitu perkataan bahasa Latin untuk "anjing")[16] kepada anjing bela jinak, serigala, dan jakal keemasan dalam buku beliau, Systema Naturae. Beliau mengelaskan anjing bela jinak sebagai Canis familiaris dan, di halaman berikutnya, mengelaskan serigala kelabu sebagai Canis lupus.[2] Linnaeus menganggap anjing sebagai spesies terpisah daripada serigala kerana ekor pusing atasnya (cauda recurvata dalam istilah bahasa Latin), yang tidak terdapat pada sebarang canid lain).[17] Dalam edisi tahun 2005 bagi Mammal Species of the World, ahli mamalogi W. Christopher Wozencraft menyenaraikan serigala sebagai subspesies liar bagi Canis lupus dan mencadangkan dua subspesies tambahan: familiaris, seperti yang dinamakan oleh Linnaeus pada tahun 1758 dan dingo, yang dinamakan oleh Meyer pada tahun 1793. Wozencraft menyertakan hallstromi (anjing menyanyi New Guinea) sebagai lagi satu nama (sinonim junior) untuk dingo. Pengelasan ini dimaklumkan oleh sebuah kajian DNA mitokondrion tahun 1999.[3]
Pengelasan dingo dipertikaikan dan merupakan isu politik di Australia. Pengelasan dingo sebagai anjing liar memudahkan pengurangan atau pengawalan populasi dingo yang mengancam haiwan ternakan. Pelayanan dingo sebagai spesies terpisah pula membolehkan program-program pemuliharaan melindungi populasi dingo.[18] Pengelasan dingo mempengaruhi dasar pengurusan hidupan liar, perundangan, dan sikap masyarakat.[19] Pada tahun 2019, sebuah bengkel yang dianjurkan oleh Kumpulan Pakar Canid IUCN/Suruhanjaya Kemandirian Spesies menganggap dingo dan anjing menyanyi New Guinea sebagai Canis familiaris jalang. Oleh itu, bengkel tidak mentaksir kedua-duanya untuk Senarai Merah IUCN bagi spesies terancam.[20]
Tinggalan terawal yang pada umumnya diterima sebagai milik anjing bela jinak ditemukan di Bonn-Oberkassel, Jerman. Bukti berkonteks, isotop, genetik, dan morfologi menunjukkan bahawa anjing ini bukan serigala tempatan.[12] Anjing ini ditarikhkan ke 14,223 tahun lalu dan ditemukan dalam keadaan dikebumikan bersama-sama dengan seorang lelaki dan seorang wanita, yang ketiga-tiganya telah disembur dengan serbuk hematit merah dan ditanam di bawah bongkah-bongkah basalt tebal. Anjing tersebut telah mati akibat distemper anjing.[21] Masa ini menunjukkan bahawa anjing ialah spesies pertama yang dibelajinakkan[22][10] pada masa pemburu-pengumpul,[23] yang mendahului pertanian.[1] Tinggalan-tinggalan lebih awal yang bertarikh kembali ke 30,000 tahun lalu telah diperihalkan sebagai anjing Paleolitik, tetapi status tinggalan-tinggalan tersebut sebagai anjing atau serigala kekal diperdebatkan[24] kerana kepelbagaian morfologi besar wujud sesama serigala semasa Pleistosen Akhir.[1]
Jujukan-jujukan DNA menunjukkan bahawa semua anjing purba dan anjing moden mengongsi keleluhuran bersama dan diturunkan daripada suatu populasi serigala pupus purba yang berbeza daripada mana-mana zuriat serigala moden. Sesetengah kajian telah berkedudukan bahawa semua serigala hidup adalah lebih berkait rapat dengan satu sama lain berbanding dengan perkaitannya dengan anjing,[25][23] sementara yang lain pula telah mencadangkan bahawa anjing adalah lebih berkait rapat dengan serigala Eurasia moden berbanding dengan perkaitannya dengan serigala Amerika.[26]
Anjing ialah haiwan bela jinak yang berkemungkinan melalui tapak jalan komensal ke arah pembelajinakan (iaitu anjing tidak mendapat manfaat mahupun keburukan).[24][27] Persoalan tentang masa dan tempat pembelajinakan pertama kekal tidak pasti.[22] Kajian genetik mencadangkan proses pembelajinakan yang bermula pada lebih daripada 25,000 tahun sebelum kini, dalam satu atau beberapa populasi serigala sama ada di Eropah, di Artik tinggi, atau di Asia timur.[28] Pada tahun 2021, ulasan kajian bagi bukti semasa membuat inferens bahawa anjing dibelajinakkan di Siberia pada 23,000 tahun lalu oleh orang Siberia Utara Purba, kemudian bersebar ke arah timur ke Benua Amerika dan ke arah barat merentasi Eurasia,[12] dengan anjing yang berkemungkinan mengiringi manusia pertama yang mendiami Benua Amerika.[12] Sesetengah kajian telah mencadangkan bahawa serigala Jepun yang pupus berkait rapat dengan leluhur kepada anjing bela jinak.[26]
Pada tahun 2018, sebuah kajian mengenal pasti 429 gen yang berbeza antara anjing moden dengan serigala moden. Memandangkan perbezaan pada gen-gen ini juga dapat ditemukan pada fosil-fosil anjing purba, ini dianggap terhasil daripada pembelajinakan awal dan bukan daripada pembentukan baka baru-baru ini. Gen-gen ini dirangkaikan dengan kresta saraf dan perkembangan sistem saraf pusat. Gen-gen ini mempengaruhi embriogenesis dan dapat mengurniakan kejinakan, rahang lebih kecil, telinga terkelepai, dan perkembangan tengkorak-muka berkurang, yang membezakan anjing bela jinak daripada serigala dan dianggap mencerminkan sindrom pembelajinakan. Kajian berkesimpulan bahawa, semasa pembelajinakan anjing awal, pemilihan awal adalah untuk tingkah laku. Trait ini dipengaruhi oleh gen-gen itu yang bertindak pada kresta saraf, yang membawa kepada fenotip-fenotip yang diperhatikan pada anjing moden.[29]
Ada sekitar 450 baka anjing rasmi, angka terbanyak bagi mana-mana mamalia.[28][30] Anjing mula mempelbagai pada era Victoria, apabila manusia mengambil alih pemilihan semula jadinya.[10] Kebanyakan baka diterbitkan daripada bilangan-bilangan kecil bagi pengasas dalam tempoh 200 tahun terakhir.[10][28] Sejak itu, anjing telah melalui perubahan fenotip pantas dan telah dikenakan pemilihan buatan oleh manusia. Perkadaran tengkorak, tubuh, dan anggota antara baka memaparkan lebih banyak kepelbagaian fenotip berbanding dengan yang dapat ditemukan dalam seluruh order karnivor. Baka-baka ini memiliki trait berlainan yang berkaitan dengan morfologi, yang termasuk saiz tubuh, rupa bentuk tengkorak, fenotip ekor, jenis bulu, dan warna.[10] Oleh yang demikian, manusia telah lama menggunakan anjing untuk trait-traitnya yang diingini untuk melengkapkan atau memenuhi kerja atau peranan tertentu. Trait-trait tingkah lakunya termasuk penjagaan, penggembalaan, perburuan,[10] pengutipan, dan pengesanan bau. Trait-trait keperibadiannya pula termasuk tingkah laku hipersosial, kegalakan, dan agresi.[10] Anjing zaman kini tersebar di seluruh dunia.[28] Salah satu contoh persebaran ini ialah baka-baka moden yang banyak daripada zuriat Eropah semasa era Victoria.[23]
Anjing amat berbeza-beza dari segi saiz, daripada salah satu baka terbesar, iaitu anjing besar Denmark, dengan berat 50–79 kilogram (110–174 lb) dan ketinggian 71–81 sentimeter (28–32 in), hingga salah satu baka terkecil, iaitu anjing Chihuahua, dengan berat 0.5–3 kilogram (1.1–6.6 lb) dan ketinggian 13–20 sentimeter (5.1–7.9 in).[31][32] Semua anjing sihat, tanpa mengira saiz dan jenis, mempunyai amaun tulang sama dengan pengecualian ekor, namun terdapat variasi rangka ketara sesama anjing berlainan jenis.[33][34] Rangka anjing cukup tersesuai untuk larian; vertebra-vertebra pada leher dan belakang mempunyai lanjutan untuk otot-otot belakang, yang terdiri daripada otot epaksial dan otot hipaksial, untuk sambungan; rusuk panjang menyediakan ruang untuk jantung dan paru-paru; dan bahu tidak tersambung dengan rangka, yang membolehkan kebolehlenturan.[33][34][35]
Berbanding dengan leluhur mirip serigala kepada anjing, pembiakbakaan terpilih sejak pembelajinakan telah memperlihatkan rangka anjing yang lebih besar dari segi saiz untuk jenis-jenis lebih besar seperti mastif dan yang diperkecil untuk jenis-jenis lebih kecil seperti terier; kekerdilan telah dicapai melalui pembiakbakaan terpilih untuk sesetengah jenis dengan tungkai pendek yang diutamakan, seperti dachshund dan corgi.[34] Kebanyakan anjing mempunyai 26 vertebra secara semula jadi pada ekornya, namun sesetengah anjing dengan ekor pendek semula jadi mempunyai sesikit-sikitnya tiga vertebra.[33]
Tengkorak anjing mempunyai komponen-komponen seiras tanpa mengira jenis baka, namun terdapat pencapahan ketara dari segi rupa bentuk tengkorak sesama jenis.[34][36] Tiga rupa bentuk asas tengkorak merupakan jenis dolikosefalik (berkepala panjang) seperti yang terlihat pada anjing pemburu penglihatan, jenis mesosefalik (berkepala sedang) atau mesatisefalik yang merupakan perantaraan, dan jenis brakisefalik (berkepala pendek) yang sangat pendek dan lebar yang dicontohi oleh tengkorak jenis mastif.[34][36] Rahang mengandungi sekitar 42 batang gigi dan telah ber-evolusi untuk pemakanan daging. Anjing menggunakan gigi pencabik untuk menghiris makanan menjadi ketulan saiz gigitan, terutamanya daging.[37]
Deria anjing termasuk penglihatan, pendengaran, penghiduan, pengecapan, sentuhan, dan magnetoresepsi. Salah sebuah kajian mencadangkan bahawa anjing dapat merasai variasi kecil medan magnet Bumi.[38] Anjing lebih memilih untuk meninja dengan tulang belakang yang disejajarkan dengan kedudukan utara–selatan dalam keadaan medan magnet tenang.[39]
Penglihatan anjing adalah dikromatik; dunia penglihatan anjing terdiri daripada kuning, biru, dan kelabu.[40] Ia mengalami kesukaran untuk membezakan merah dan hijau[41] dan, seperti mamalia lain, mata anjing terdiri daripada dua jenis sel kon berbanding dengan tiga sel kon pada manusia. Pencapahan paksi mata anjing berkisar daripada 12° hingga 25°, bergantung pada baka, yang dapat mempunyai tatarajah retina berlainan.[42][43] Kawasan fovea pusat pada mata terpasang pada gentian saraf dan paling peka terhadap foton.[44] Sebagai tambahan, sebuah kajian mendapati bahawa ketajaman penglihatan anjing adalah sehingga lapan kali ganda kurang berkesan berbanding dengan manusia dan kebolehannya untuk mendiskriminasi paras-paras kecerahan adalah dua kali ganda lebih teruk berbanding dengan manusia.[45]
Sementara otak manusia didominasi oleh korteks penglihatan besar, otak anjing pula didominasi oleh korteks penghiduan. Anjing mempunyai kira-kira empat puluh kali ganda lebih banyak reseptor peka bau berbanding dengan manusia, yang berkisar daripada sekitar 125 juta hingga hampir 300 juta pada sesetengah baka anjing, seperti anjing pemburu darah.[46] Deria bau ini ialah deria paling penting bagi spesies ini; deria ini mengesan perubahan kimia di persekitaran, yang membolehkan anjing menentukan lokasi pasangan pengawanan, bakal punca stres, sumber, dll.[47] Anjing juga mempunyai deria pendengaran tajam yang sehingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan deria pendengaran manusia. Ia mampu menangkap bunyi terhalus dari sekitar 400 meter (1,300 ka) berbanding dengan 90 meter (300 ka) untuk manusia.[48]
Anjing mempunyai bulu kaku dan terbenam dalam-dalam yang dikenali sebagai misai yang menderia perubahan atmosfera, getaran, dan objek yang tidak terlihat dalam keadaan cahaya malap. Bahagian paling rendah bagi misai mempunyai lebih banyak sel reseptor berbanding dengan jenis bulu lain, yang membantu menyedarkan anjing tentang objek yang bakal berlanggar dengan hidung, telinga, dan rahang. Misai berkemungkinan juga memudahkan pergerakan makanan ke arah mulut.[49]
Lapis bulu anjing bela jinak terdiri daripada dua keragaman: lapis bulu "ganda" yang lazim pada anjing (serta serigala) yang berasal daripada iklim lebih sejuk, yang terdiri daripada rerambut pengawal kasar dan bulu bawah lembut, atau lapis bulu "tunggal", dengan hanya bulu atas. Banyak baka mempunyai "takik", belang, atau "bintang" bulu putih sekali-sekala pada dadanya atau di bahagian bawah.[50] Pengelabuan pramatang dapat berlaku pada anjing seawal usia satu tahun; ini dikaitkan dengan tingkah laku impulsif, tingkah laku keresahan, dan ketakutkan kepada bunyi, orang, atau haiwan tidak lazim.[51] Sesetengah baka anjing adalah botak, sementara yang lain mempunyai lapis bulu pintal sangat tebal. Lapis bulu pada baka-baka tertentu kerap didandani untuk gaya khas, contohnya "gaya potongan bulu pertunjukan" terier Yorkshire.[37]
Kuku embun anjing ialah jari kelima pada anggota hadapan dan tungkai belakangnya. Kuku embun pada anggota hadapan tersambung dengan tulang dan ligamen, sementara kuku embun pada tungkai belakang tersambung hanya dengan kulit. Kebanyakan anjing tidak lahir dengan kuku embun pada tungkai belakangnya dan sesetengah anjing tidak mempunyai kuku embun pada anggota hadapannya. Kuku embun anjing terdiri daripada falanks proksimal dan falanks distal. Sesetengah terbitan berteori bahawa kuku embun pada serigala anjing, yang biasanya tidak mempunyai kuku embun, ialah petanda penghibridan dengan anjing.[52][53]
Ekor anjing ialah apendej hujung bagi turus vertebra, yang terdiri daripada rentetan 5 hingga 23 vertebra yang tertutup di dalam otot dan kulit yang menyokong otot ekstensor belakang anjing. Salah satu fungsi utama ekor anjing adalah untuk mengkomunikasikan keadaan emosinya.[54] Ekornya juga membantu anjing mengekalkan keseimbangan dengan meletakkan beratnya di bahagian lawan bagi kecondongan anjing berkenaan dan juga membantu anjing menyebarkan bau kelenjar duburnya melalui kedudukan dan pergerakan ekor.[55] Anjing dapat mempunyai kelenjar lembayung (atau kelenjar suprakaudal) yang bercirikan kelenjar sebum pada permukaan dorsal ekornya; pada sesetengah baka, kelenjar ini mungkin vestigial atau tidak hadir. Pembesaran kelenjar lembayung pada ekor, yang dapat mewujudkan tompok botak daripada keguguran bulu, dapat disebabkan oleh penyakit Cushing atau lebihan sebum daripada androgen pada kelenjar sebum.[56]
Sebuah kajian mencadangkan bahawa anjing menunjukkan gerak balas penggoyangan ekor tidak bersimetri terhadap rangsangan emosi berlainan. "Rangsangan yang dapat dijangkakan mencetuskan kecenderungan pendekatan kelihatan berkaitan dengan amplitud lebih tinggi bagi pergerakan penggoyangan ekor ke sebelah kanan".[57][58]
Anjing dapat mencederakan diri dengan menggoyangkan ekor secara paksa; keadaan ini dikenali sebagai ekor kenel, ekor gembira, ekor berdarah, atau ekor berpisah.[59] Pada sesetengah anjing pemburu, ekor dipotong secara tradisional untuk mengelakkan kecederaan. Sesetengah anjing dapat lahir tanpa ekor oleh sebab suatu varian DNA pada gen T, yang juga dapat menghasilkan ekor pendek (kontot) sejak lahir.[60] Pemotongan ekor ditentang oleh banyak pertubuhan veterinar dan pertubuhan kebajikan haiwan seperti Persatuan Perubatan Veterinar Amerika[61] dan British Veterinary Association.[62] Bukti daripada amalan veterinar dan soal selidik menunjukkan bahawa sekitar 500 ekor anjing perlu menjalani pemotongan ekor untuk mencegah kecederaan.[63]
Banyak kecelaruan berlainan dapat menjejaskan anjing. Sesetengah bersifat kongenital dan yang lain pula perolehan. Anjing dapat menghidap penyakit salur pernafasan atas termasuk penyakit yang menjejaskan rongga hidung, larinks, dan tenggorokan; penyakit salur pernafasan bawah yang termasuk penyakit paru-paru dan penyakit pernafasan akut; penyakit jantung yang termasuk sebarang keradangan kardiovaskular atau disfungsi jantung; penyakit hematopoiesis termasuk anemia dan kecelaruan penggumpalan; penyakit perut usus seperti cirit-birit dan volvulus pendilatan gastrik; penyakit hati seperti pirau portosistemik dan kegagalan hati; penyakit pankreas seperti radang pankreas; penyakit ginjal; penyakit salur kencing bawah seperti radang punci kencing dan urolitiasis; kecelaruan endokrin seperti diabetes melitus, sindrom Cushing, hipoadrenokortisisme, dan hipotiroidisme; penyakit sistem saraf seperti sawan dan kecederaan tulang belakang; penyakit otot rangka seperti radang sendi dan miopati; kecelaruan kulit seperti kebotakan dan pioderma; penyakit mata seperti radang konjunktiva, glaukoma, entropion, dan atrofi retina progresif; dan neoplasia.[64]
Parasit anjing lazim merupakan kutu, pinjal, larva lalat, sengkenit, tungau, cacing pita, cacing gelang, dan koksidia. Taenia ialah satu genus ketara dengan 5 spesies yang mempunyai anjing sebagai perumah muktamad.[65] Sebagai tambahan, anjing ialah sumber zoonosis untuk manusia. Ia bertanggungjawab atas 99% daripada jumlah kes penyakit anjing gila di seluruh dunia;[66] walau bagaimanapun, di sesetengah negara maju seperti United Kingdom, penyakit anjing gila hampir tidak hadir pada anjing dan sebaliknya hanya direbakkan oleh kelawar.[67] Zoonosis lazim lain merupakan penyakit hidatid, leptospirosis, pasteurelosis, kurap, dan toksokariasis.[67] Jangkitan lazim pada anjing termasuk adenovirus anjing, virus distemper anjing, parvovirus anjing, leptospirosis, influenza anjing, dan koronavirus anjing. Kesemua keadaan ini mempunyai vaksin yang tersedia.[67]
Anjing ialah haiwan teman yang paling kerap dilaporkan untuk pendedahan kepada toksin. Kebanyakan keracunan tidak disengajakan dan lebih daripada 80% daripada jumlah laporan pendedahan kepada talian penting keracunan haiwan ASPCA disebabkan oleh pendedahan mulut. Bahan paling lazim yang pendedahan kepadanya dilaporkan oleh orang merupakan: bahan farmaseutikal, makanan toksik, dan racun rodensia.[68] Data daripada Talian Bantuan Racun Haiwan Peliharaan menunjukkan bahawa ubat manusia merupakan punca paling kerap bagi kematian toksikosis. Produk isi rumah paling lazim yang diinges merupakan produk pembersihan. Kebanyakan keracunan berkaitan dengan makanan melibatkan keracunan teobromina (coklat). Keracunan makanan lazim lain termasuk xilitol, Vitis (anggur, kismis, dll.), dan Allium (bawang putih, bawah merang, dll.). Racun serangga piretrin merupakan punca paling lazim bagi keracunan racun makhluk perosak. Metaldehid, iaitu racun makhluk perosak lazim untuk siput dan lintah bulan, biasanya menyebabkan kesudahan parah apabila diinges oleh anjing.[69]
Neoplasia ialah punca paling lazim bagi kematian untuk anjing.[70][71][72] Punca lazim lain bagi kematian merupakan kegagalan jantung dan kegagalan ginjal.[72] Patologinya serupa dengan patologi manusia, demikian juga gerak balasnya terhadap rawatan dan kesudahannya. Gen-gen yang didapati pada manusia bertanggungjawab atas kecelaruan disiasat pada anjing sebagai punca dan sebaliknya.[28][73]
Jangka hayat tipikal bagi anjing sangat berbeza-beza sesama baka, tetapi kelanjutan usia median (usia yang padanya separuh daripada jumlah anjing dalam sesuatu populasi telah mati dan selebih separuh masih hidup) ialah hampir-hampir 12.7 tahun.[74][75] Keobesan berkorelasi secara negatif dengan kelanjutan usia dengan sebuah kajian yang mendapati bahawa anjing obes mempunyai jangka hayat hampir-hampir setahun setengah kurang berbanding dengan anjing dengan berat sihat.[74]
Dalam sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 yang menganalisis 584,734 ekor anjing, kesimpulan dibuat bahawa anjing baka tulen hidup lebih lama berbanding dengan anjing baka silang, yang mencabar tanggapan terdahulu bahawa anjing baka silang mempunyai jangka hayat lebih tinggi. Para pengarang mencatat bahawa kajian mereka menyertakan "anjing pereka" sebagai anjing baka silang dan bahawa anjing baka tulen biasanya diberi penjagaan lebih baik berbanding dengan anjing baka silang, yang berkemungkinan mempengaruhi kesudahan kajian.[75] Kajian-kajian lain juga menunjukkan bahawa anjing sepenuhnya kacuk hidup sekitar setahun lebih lama pada purata berbanding dengan anjing berpedigri.[76] Lebih-lebih lagi, anjing kecil dengan muncung lebih panjang telah ditunjukkan mempunyai jangka hayat lebih tinggi berbanding dengan anjing bersaiz sederhana yang lebih besar dengan muncung jauh lebih tertekan.[77] Untuk anjing bebas merantau, kurang daripada 1 per 5 mencapai kematangan seks[78] dan jangka hayat median untuk anjing jalang adalah kurang daripada separuh jangka hayat median bagi anjing yang hidup dengan manusia.[79]
Pada anjing bela jinak, kematangan seks berlaku pada usia sekitar enam bulan hingga satu tahun untuk kedua-dua jantan dan betina, namun ini dapat tertangguh sehingga usia dua tahun untuk sesetengah baka besar. Pada masa ini, anjing betina mengalami kitaran estrus pertamanya, yang bercirikan vulva yang membengkak dan mengeluarkan discaj, yang biasanya berlangsung antara 4 dengan 20 hari.[80][81] Ia mengalami kitaran estrus berikutnya dua kali setahun, yang semasanya tubuh badan bersiap sedia untuk kebuntingan. Di puncak kitaran ini, anjing betina mendatangi estrus, menjadi terbuka secara mental dan fizikal terhadap persanggamaan. Oleh sebab ovum hidup dan dapat disenyawakan selama seminggu selepas pengovulan, lebih daripada seekor anjing jantan dapat membapai perinduk sama.[5] Penyuburan biasanya berlaku pada dua hingga lima hari selepas pengovulan. Selepas pemancutan mani, anjing terikat dalam persenggamaan selama sekitar 5–30 minit kerana bebuli glans jantan yang membengkak dan pencerut vestibul yang mengecut; jantan terus memancutkan mani sehingga kedua-dua anjing terlepas daripada ikatan secara semula jadi kerana pengenduran otot.[82] Pada 14–16 hari selepas pengovulan, embrio melekat pada rahim dan, selepas 7–8 hari lagi, denyutan jantung dapat dikesan.[83][84] Anjing membuntingkan perinduknya selama lebih kurang 58 hingga 68 hari selepas penyuburan,[5][85] dengan purata 63 hari, namun panjang gestasi dapat berbeza-beza. Perinduk purata terdiri daripada sekitar enam ekor anak anjing.[86]
Peneuteran ialah pemandulan haiwan melalui gonadektomi, iaitu orkidektomi pada jantan dan ovariohisterektomi pada betina. Peneuteran mengurangkan masalah yang disebabkan oleh kehiperseksualan, terutamanya pada anjing jantan.[87] Anjing betina mandul kurang berkemungkinan menghidap barah yang menjejaskan kelenjar buah dada, ovari, dan organ pembiakan lain.[88] Walau bagaimanapun, peneuteran meningkatkan risiko kencing tidak terkawal pada anjing betina,[89] barah prostat pada anjing jantan,[90] dan osteosarkoma, hemangiosarkoma, pecahan ligamen krusiat, piometra, keobesan, dan kencing manis pada kedua-dua jantina.[91]
Peneuteran ialah tatacara pembedahan paling lazim pada anjing yang berusia kurang daripada setahun di Amerika Syarikat dan terlihat sebagai kaedah kawalan untuk populasi berlebihan. Peneuteran kerap berlaku seawal usia 6–14 minggu di tempat perlindungan di Amerika Syarikat.[92] Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan Amerika Syarikat (ASPCA) menasihatkan bahawa anjing yang tidak diniatkan untuk pembiakbakaan lanjutan patut dineuterkan, supaya tidak melahirkan anak anjing yang tidak diingini yang mungkin perlu dieutanasia kemudian.[93][94] Walau bagaimanapun, Society of Theriogenology dan American College of Theriogenologists membuat pernyataan bersama yang menentang peneuteran mandatori; mereka berkata bahawa punca populasi berlebihan di Amerika Syarikat bersifat kebudayaan.[92]
Peneuteran adalah kurang lazim di kebanyakan negara Eropah, terutamanya di negara-negara Nordik—kecuali United Kingdom, yang menyaksikan kelaziman peneuteran. Di Norway, peneuteran menyalahi undang-undang melainkan untuk manfaat kesihatan haiwan berkenaan (cth., ovariohisterektomi dalam kes neoplasia ovari atau neoplasia rahim). Sesetengah negara Eropah mempunyai undang-undang serupa dengan Norway, namun sebutannya sama ada jelas-jelas mengizinkan peneuteran untuk pengawalan pembiakan atau peneuteran diizinkan dalam amalan atau dengan percanggahan melalui undang-undang lain. Itali dan Portugal telah meluluskan undang-undang terkini yang menggalakkannya. Jerman melarang peneuteran usia muda, namun peneuteran masih diizinkan pada usia biasa. Di Romania, peneuteran adalah mandatori kecuali apabila pedigri untuk memilih baka dapat ditunjukkan.[92][95]
Salah satu amalan pembiakbakaan lazim untuk anjing peliharan ialah pengawanan sesama kerabat (cth., sesama saudara tiri dan saudara sedarah).[96] Dalam sebuah kajian tentang tujuh baka anjing (anjing gunung Bern, anjing pemburu baset, cairn terrier, anjing Bretagne, anjing gembala Jerman, anjing Leonberg, dan terier putih Tanah Tinggi Barat), ada penemuan bahawa pembiakbakaan dalam mengurangkan saiz dan kemandirian perinduk.[97] Satu lagi analisis data tentang 42,855 perinduk dachshund mendapati bahawa semakin pekali pembiakbakaan dalam meningkat, semakin saiz perinduk berkurang dan semakin peratusan anak anjing lahir mati meningkat, lalu menunjukkan kemurungan pembiakbakaan dalam.[98] Dalam sebuah kajian tentang perinduk bokser, 22% daripada jumlah anak anjing mati sebelum mencapai usia 7 minggu. Lahir mati ialah punca paling kerap bagi kematian, yang diikuti oleh jangkitan. Mortaliti yang disebabkan oleh jangkitan meningkat dengan ketara dengan peningkatan pembiakbakaan dalam.[99]
Tingkah laku anjing telah dibentuk oleh perhubungan dengan manusia selama beralaf-alaf. Ia telah memperoleh kebolehan untuk memahami manusia dan berkomunikasi dengan manusia dan menjadi tersesuai secara unik terhadap tingkah laku manusia.[100][101] Ahli sains tingkah laku menganggap bahawa suatu set kebolehan sosial-kognitif pada anjing bela jinak, yang tidak dimiliki oleh kerabat kanin anjing mahupun oleh mamalia sangat cerdas lain, seperti beruk besar, adalah selari dengan kemahiran sosial-kognitif anak manusia.[102]
Kebanyakan haiwan bela jinak pada awalnya dibiakbakakan untuk penghasilan barangan. Anjing pula dibiakbakakan secara terpilih untuk trait-trait tingkah laku yang diingini.[103][104] Pada tahun 2016, sebuah kajian mendapati bahawa hanya ada 11 gen tetap yang menunjukkan variasi antara serigala dengan anjing.[104] Variasi-variasi gen ini menunjukkan kejadian pemilihan buatan dan pencapahan ikutan bagi ciri-ciri tingkah laku dan anatomi. Gen-gen ini ditunjukkan mempengaruhi tapak jalan sintesis katekolamina, dengan majoriti gen yang mempengaruhi gerak balas lari atau lawan[104][105] (iaitu pemilihan untuk kejinakan) dan pemprosesan emosi.[104] Berbanding dengan serigala, anjing cenderung untuk menjadi kurang takut dan kurang agresif, namun sesetengah gen ini telah dikaitkan dengan agresi pada sesetengah baka anjing.[106][104] Trait-trait kebolehgaulan tinggi dan kekurangan ketakutan pada anjing mungkin menyertakan pengubahsuaian genetik yang berkaitan dengan sindrom Williams–Beuren pada manusia, yang menyebabkan kehiperbolehgaulan sambil mengorbankan kebolehan penyelesaian masalah.[107] Dalam sebuah kajian tahun 2023 tentang 58 ekor anjing, sesetengah anjing yang dikelaskan sebagai anjing mirip gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif menunjukkan kepekatan serotonin dan kepekatan dopamina lebih rendah.[108] Sebuah kajian serupa mendakwa bahawa kehiperaktifan adalah lebih lazim pada anjing jantan dan anjing muda.[109] Anjing dapat menjadi agresif oleh sebab trauma atau penganiayaan, ketakutan atau keresahan, perlindungan wilayah, atau kerana melindungi item yang bernilai menurut anggapannya.[110] Tindak balas stres akut berpuncakan kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) yang terlihat pada anjing dapat beransur menjadi stres kronik.[111] Anjing polis dengan PTSD kerap enggan bekerja.[112]
Anjing mempunyai naluri semula jadi yang dipanggil dorongan pemangsa (istilah ini terutamanya digunakan untuk memerihalkan tabiat anjing berlatih) yang dapat dipengaruhi oleh pembiakbakaan. Naluri ini dapat mendorong anjing untuk menganggap objek atau haiwan lain sebagai mangsa atau mendorong tingkah laku posesif. Trait ini telah dipertingkatkan pada sesetengah baka sehingga dapat digunakan untuk memburu dan membunuh haiwan perosak atau makhluk perosak lain.[113] Anak anjing atau anjing dewasa kadang-kadang menanam makanan di bawah tanah. Salah sebuah kajian mendapati bahawa serigala mengatasi anjing dalam pencarian persembunyian makanan, kemungkinan kerana "perbezaan motivasi" antara serigala dengan anjing.[114] Sesetengah anak anjing dan anjing dewasa terlibat dalam koprofagia menurut tabiat, stres, untuk perhatian, atau kerana kebosanan; kebanyakannya tidak melakukan itu pada kemudian hari. Sebuah kajian berhipotesis bahawa tingkah laku itu diwarisi daripada serigala, iaitu tingkah laku yang kemungkinan ber-evolusi untuk mengurangkan kehadiran parasit usus di dalam sarang.[115]
Kebanyakan anjing mampu berenang. Dalam sebuah kajian tentang 412 ekor anjing, sekitar 36.5% daripada jumlah anjing tidak dapat berenang; selebih 63.5% mampu berenang tanpa jurulatih di dalam kolam renang.[116] Sebuah kajian tentang 55 ekor anjing mendapati korelasi antara berenang dengan 'penambahbaikan' sendi osteoartritis pinggul.[117]
Anjing betina dapat mengeluarkan kolostrum, iaitu sejenis susu dengan kandungan tinggi bagi nutrien dan antibodi, pada 1–7 hari sebelum bersalin. Pengeluaran susu berlangsung selama sekitar tiga bulan[118][119] dan meningkat seiring dengan saiz perinduk.[119] Anjing kadang-kadang dapat muntah dan menolak makanan semasa kontraksi anak.[120] Pada peringkat lanjut kebuntingan anjing, tingkah laku bersarang mungkin berlaku.[121] Anak anjing lahir dengan membran janin perlindungan yang biasanya ditanggalkan oleh ibu sejurus selepas kelahiran. Anjing dapat mempunyai naluri keibuan untuk mula merapikan bulu anaknya, memakan tinja anaknya, dan melindungi anaknya, kemungkinan kerana keadaan hormonnya.[122][123] Walaupun bapa anjing dapat menunjukkan tingkah laku kurang minat terhadap anak sendiri,[124] kebanyakan dapat bermain dengan anak muda sebagaimana bapa anjing tersebut bermain dengan anjing lain atau manusia.[125] Anjing betina mungkin meninggalkan atau menyerang anaknya atau anjing pasangan jantannya jika ia mengalami stres atau kesakitan.[126]
Para penyelidik telah menguji kebolehan anjing untuk menanggap maklumat, mengekalkannya sebagai pengetahuan, dan menerapkannya untuk menyelesaikan masalah. Kajian tentang dua ekor anjing mencadangkan bahawa anjing mampu belajar melalui inferens. Sebuah kajian dengan Rico, seekor collie sempadan, menunjukkan bahawa ia mengetahui label bagi lebih daripada 200 item berlainan. Ia membuat inferens bagi nama bagi benda-benda baharu dengan pembelajaran pengecualian dan sebetulnya mengutip item-item baharu berkenaan pada 4 minggu selepas pendedahan pertama. Sebuah kajian tentang seekor lagi collie sempadan, iaitu Chaser, mendokumenkan bahawa ia telah mempelajari nama-namanya dan dapat mengaitkan nama-nama itu dengan arahan kata dengan lebih daripada 1,000 patah perkataan.[127]
Salah sebuah kajian tentang kebolehan kognisi anjing mendapati bahawa keupayaan anjing adalah serupa dengan keupayaan pada kuda, cimpanzi, atau kucing.[128] Salah sebuah kajian tentang 18 ekor anjing isi rumah mendapati bahawa anjing tidak dapat membezakan mangkuk makanan di lokasi-lokasi spesifik tanpa petanda pembeza; kajian menyatakan bahawa ini menunjukkan kekurangan ingatan ruang.[129] Sebuah kajian menyatakan bahawa anjing mempunyai kefahaman penglihatan untuk bilangan. Anjing menunjukkan pengaktifan bergantung pada nisbah untuk nilai-nilai angka daripada 1–3 hingga lebih besar daripada empat.[130]
Anjing menunjukkan teori minda dengan melibatkan diri dalam penipuan.[131] Sebuah lagi kajian uji kaji menunjukkan bukti bahawa dingo Australia dapat mengatasi anjing bela jinak dalam penyelesaian masalah bukan sosial, yang menunjukkan bahawa anjing bela jinak mungkin telah kehilangan kebanyakan kebolehan aslinya dalam penyelesaian masalah sebaik menyertai manusia.[132] Sebuah lagi kajian menunjukkan bahawa anjing merenungi manusia selepas gagal menyelesaikan versi mustahil bagi sesuatu tugasan sebagaimana ia telah dilatih untuk menyelesaikan tugasan sama. Serigala, dalam keadaan sama, mengelak daripada merenungi manusia sama sekali.[133]
| |||||
Masalah mendengarkan ? Sila lihat bantuan media. |
Komunikasi anjing ialah pemindahan maklumat sesama anjing, serta antara anjing dengan manusia.[134] Tingkah laku komunikasi anjing termasuk renungan mata, ekspresi muka,[135][136] penyuaraan, postur badan (termasuk pergerakan tubuh dan anggota), dan komunikasi pengecapan (bau, feromon, dan kecapan). Anjing menandai wilayahnya dengan mengencingi wilayah tersebut, yang lebih berkemungkinan apabila memasuki persekitaran baharu.[137][138] Kedua-dua jantina anjing mungkin juga kencing untuk mengkomunikasikan keresahan atau kekecewaan, ketundukan, atau apabila dalam keadaan mengujakan atau menenangkan.[139] Anjing terbangkit dapat disebabkan oleh paras kortisol lebih tinggi pada anjing berkenaan.[140] Pada usia antara 3 dengan 8 minggu, anjing cenderung tertumpu pada anjing lain untuk interaksi sosial dan, pada usia 5 hingga 12 minggu, anjing menganjakkan tumpuan kepada orang.[141] Pendedahan perut pada anjing dapat menjadi tingkah laku defensif yang membawa kepada gigitan atau untuk kesenangan hati.[142]
Manusia berkomunikasi dengan anjing dengan menggunakan penyuaraan, isyarat tangan, dan postur badan. Dengan deria pendengaran tajamnya, anjing bergantung pada aspek pendengaran bagi komunikasi untuk memahami dan membalas pelbagai petanda, termasuk pola salakan distingtif yang membawa pesanan berlainan. Sebuah kajian yang menggunakan pengimejan resonans magnet fungsian (fMRI) telah menunjukkan bahawa anjing bergerak balas terhadap kedua-dua suara vokal dan suara tidak vokal dengan menggunakan kawasan otak ke arah kutub temporal, serupa dengan yang pada otak manusia. Kebanyakan anjing juga meluangkan lebih masa dengan ketara untuk memandang muka yang ekspresinya memadani valens penyuaraan.[143][144][145] Sebuah kajian tentang gerak balas kaudat menunjukkan bahawa anjing cenderung bergerak balas dengan lebih positif terhadap ganjaran sosial berbanding dengan ganjaran makanan.[146]
Anjing barang kali merupakan karnivoran besar yang paling banyak meluas yang hidup dalam persekitaran manusia.[147][148] Pada tahun 2020, populasi anjing global anggaran ialah antara 700 juta dengan 1 bilion ekor anjing.[149] Pada tahun sama, sebuah kajian mendapati bahawa anjing ialah haiwan peliharaan paling popular di Amerika Syarikat; ada seekor anjing dalam 34 daripada setiap 100 buah rumah.[10] Sekitar 20% daripada jumlah anjing hidup sebagai haiwan peliharaan di negara-negara maju.[150] Di dunia membangun, terdapat anggaran bahawa tiga suku daripada jumlah populasi anjing sedunia hidup sebagai anjing jalang, anjing kampung, atau anjing komuniti.[151] Kebanyakan anjing ini hidup sebagai pebangkai dan tidak pernah dimiliki oleh manusia, dengan sebuah kajian yang menunjukkan bahawa gerak balas paling lazim anjing kampung apabila didekati oleh orang asing ialah melarikan diri (52%) atau bergerak balas dengan agresif (11%).[152]
Potensi anjing jalang dan anjing bebas merantau untuk bersaing dengan karnivor-karnivor besar lain dibatasi oleh perkaitan kuatnya dengan manusia.[147] Sungguhpun serigala diketahui membunuh anjing, serigala cenderung untuk hidup secara berpasangan atau dalam kawanan kecil di kawasan yang menyaksikan penindasan serigala yang kerap, lalu memberi serigala kekurangan apabila menghadapi kawanan besar anjing.[153][154] Dalam sesetengah kejadian, serigala telah memaparkan sifat ketidaktakutan luar biasa akan manusia dan bangunan apabila menyerang anjing, sehingga serigala itu perlu dipukul atau dibunuh.[155] Sungguhpun bilangan anjing yang dibunuh pada setiap tahun adalah agak rendah, ini mencetuskan ketakutan akan serigala yang memasuki perkampungan dan perladangan untuk membunuh anjing dan kehilangan anjing kepada serigala telah membawa kepada permintaan untuk peraturan lebih liberal bagi pemburuan serigala.[153]
Koyote dan kucing besar juga telah diketahui menyerang anjing. Khususnya, harimau bintang diketahui berkecenderungan terhadap anjing dan telah direkodkan membunuh dan memakan anjing tanpa mengira saiznya.[156] Harimau Siberia di rantau Sungai Amur telah membunuh anjing di tengah-tengah kampung. Harimau Amur tidak mentoleransi serigala sebagai pesaing di dalam wilayahnya dan harimau berkenaan mungkin menganggap anjing dengan cara sama.[157] Dubuk belang juga diketahui membunuh anjing di dalam julat wilayahnya.[158]
Anjing sebagai mamalia pemangsa yang diperkenalkan telah menjejaskan ekologi di New Zealand, yang kekurangan mamalia peribumi berdasarkan darat sebelum petempatan manusia.[159] Anjing telah memupuskan 11 spesies vertebrat dan dikenal pasti sebagai 'ancaman berpotensi' untuk sekurang-kurangnya 188 spesies terancam di seluruh dunia;[160] satu lagi angka ialah bahawa anjing juga telah dipautkan dengan kepupusan bagi 156 spesies haiwan.[161] Anjing telah didokumenkan telah membunuh segelintir burung daripada spesies terancam, iaitu kagu, di New Caledonia.[162]
Anjing biasanya diperihalkan sebagai omnivor.[5][163][164] Berbanding dengan serigala, anjing daripada masyarakat pertanian mempunyai salinan-salinan ekstra bagi amilase dan gen-gen lain yang terlibat dalam pencernaan kanji yang menyumbang kepada kebolehan meningkat untuk bertahan hidup dengan diet kaya kanji.[4] Serupa dengan manusia, sesetengah baka anjing mengeluarkan amilase di dalam air liurnya dan dikelaskan sebagai baka yang mempunyai diet kanji tinggi.[165][166] Sungguhpun sebagai omnivor, anjing hanya mampu mengeluarkan asid hempedu dengan taurina. Ia mesti mendapatkan pengambilan vitamin D daripada memakan haiwan lain.[167]
Daripada dua puluh satu asid amino yang lazim pada semua bentuk hidupan (termasuk selenosisteina), anjing tidak dapat mensintesiskan sepuluh: arginina, histidina, isoleusina, leusina, lisina, metionina, fenilalanina, treonina, triptofan, dan valina.[168][169][170] Seperti kucing, anjing memerlukan arginina untuk mengekalkan keseimbangan nitrogen. Keperluan nutrisi ini menempatkan anjing antara karnivor dengan omnivor.[171]
Sebagai haiwan bela jinak atau separa bela jinak, anjing mempunyai pengecualian ketara kehadirannya dalam masyarakat-masyarakat berikut:
Anjing diperkenalkan ke Antartika sebagai anjing kereta luncur salji. Dengan permulaan amalan pada Disember 1993, anjing kemudian dilarang oleh perjanian antarabangsa Protokol Perlindungan Alam Sekitar bagi Perjanjian Antartika kerana kemungkinan risiko penyebaran jangkitan.[184]
[Terjemahan] Anjing tidak boleh diperkenalkan ke atas darat, lembaran ais, atau ais laut.
— Protokol Perlindungan Alam Sekitar bagi Perjanjian Antartika, ditandatangani pada 1991 di Madrid, versi pindaan Lampiran II, Perkara 4 (bilangan dua)
Anjing bela jinak berasal sebagai pemangsa dan pebangkai.[185][186] Ia mewarisi tingkah laku kompleks, seperti perencatan gigitan, daripada leluhur serigalanya, yang sepatutnya merupakan pemburu kawanan dengan bahasa tubuh kompleks. Bentuk-bentuk kognisi dan komunikasi sosial canggih ini mungkin membentuk kebolehlatihan, sikap suka bermain, dan kebolehan anjing untuk menyesuaikan diri dalam isi rumah manusia dan situasi sosial[187] dan barang kali juga kewujudan bersamanya dengan manusia pemburu-pengumpul awal.[188][189]
Anjing memainkan banyak peranan untuk manusia, seperti perburuan, penggembalaan, penarikan muatan, perlindungan, pembantu polis dan pihak tentera, pendampingan, dan pembantu individu kurang upaya. Peranan-peranan ini dalam kemasyarakatan manusia telah memberinya nama gelaran "sahabat baik manusia" di dunia Barat. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah budaya, anjing juga merupakan sumber daging.[190][191]
Pembelaan anjing sebagai teman, terutamanya oleh golongan elit, mempunyai sejarah panjang.[192] Populasi anjing peliharaan tumbuh dengan ketara selepas Perang Dunia Kedua semakin pembangunan pinggir bandar meningkat.[192] Pada tahun 1980-an, terdapat perubahan dari segi fungsi anjing peliharaan, seperti peningkatan peranan anjing dalam sokongan emosi bagi manusia penjaganya.[193][194][195] Dalam separuh kedua abad ke-20, semakin ramai pemilik anjing menganggap haiwan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga. Anjakan status sosial besar ini membolehkan anjing mengakuri jangkaan sosial tentang keperibadian dan tingkah laku.[195] Perubahan kedua ialah peluasan konsep kekeluargaan dan rumah untuk menyertakan anjing sebagai anjing dalam rutin dan amalan harian.[195]
Produk seperti buku, kelas, dan rancangan televisyen pelatihan anjing menyasarkan pemilik anjing.[196][197] Majoriti pemilik anjing semasa memerihalkan haiwan peliharaan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga, namun sesetengah menyatakan bahawa hubungan tersebut ialah hubungan ambivalen.[195] Sesetengah jurulatih anjing telah menggalakkan model kedominanan bagi hubungan anjing–manusia. Walau bagaimanapun, idea "anjing alfa" yang mencuba untuk menjadi dominan adalah berdasarkan teori berkontroversi tentang kawanan serigala.[198][199] Telah ada pertikaian bahawa "percubaan untuk mencapai status" ialah ciri interaksi anjing–manusia.[200] Anggota keluarga manusia telah meningkatkan penglibatan dalam kegiatan yang dalamnya anjing merupakan pasangan integral, seperti tarian anjing dan yoga anjing.[196]
Menurut statistik yang diterbitkan oleh Persatuan Pengilang Produk Haiwan Peliharaan Amerika Syarikat dalam Tinjauan Pemilik Haiwan Peliharaan Kebangsaan pada tahun-tahun 2009–2010, anggaran 77.5 juta orang di Amerika Syarikat mempunyai anjing peliharaan.[201] Sumber menunjukkan bahawa hampir 40% daripada jumlah isi rumah Amerika Syarikat mempunyai sekurang-kurangnya seekor anjing, yang daripada jumlah itu 67% mempunyai hanya seekor anjing, 25% mempunyai dua ekor anjing, dan hampir 9% mempunyai lebih daripada dua ekor anjing. Data juga menunjukkan angka sama rata bagi anjing peliharaan jantan dan betina; kurang daripada seperlima daripada jumlah anjing berpemilik berasal dari tempat perlindungan.[202]
Sebagai tambahan kepada peranan anjing sebagai haiwan teman, anjing telah dibiakbakakan untuk penggembalaan haiwan ternakan (seperti collie, anjing gembala biri-biri); untuk perburuan; untuk kawalan rodensia (seperti terier); sebagai anjing pencarian dan penyelamatan;[203][204] sebagai anjing penghidu (seperti yang dilatih untuk mengesan dadah haram atau senjata kimia);[205][206] sebagai anjing pengawal rumah; sebagai anjing polis (kadang-kadang digelar "K-9"); sebagai anjing tujuan kebajikan; sebagai anjing yang membantu nelayan mengutip jaring; dan anjing yang menarik muatan (seperti anjing kereta luncur salji).[5] Pada tahun 1957, Laika si anjing menjadi haiwan pertama yang dilancarkan ke orbit Bumi di dalam Sputnik 2 milik Kesatuan Soviet; Laika mati semasa penerbangan akibat pemanasan berlebihan.[207][208]
Pelbagai jenis anjing khidmat dan anjing pembantu, termasuk anjing pandu, anjing mendengar, anjing bantuan mobiliti, dan anjing khidmat psikiatri, membantu individu kurang upaya.[209][210] Sebuah kajian tentang 29 ekor anjing mendapati bahawa 9 ekor anjing yang dimiliki oleh orang penghidap epilepsi dilaporkan mempamerkan tingkah laku penarikan perhatian kepada pengendali masing-masing pada 30 saat hingga 45 minit sebelum sawan mendatang; tiada korelasi ketara antara demografi pesakit, kesihatan pesakit, atau sikap pesakit terhadap haiwan peliharaan mereka.[211]
Anjing bertanding dalam pertunjukan pengakuran baka dan sukan anjing (termasuk perlumbaan, penarikan kereta luncur salji, dan pertandingan ketangkasan). Dalam pertunjukan anjing, yang juga dirujuk sebagai "pertunjukan baka", hakim yang mengenali baka anjing spesifik menilai anjing baka tulen secara individu untuk keakuran dengan jenis baka terasasnya seperti yang terperihal dalam piawaian baka.[212] Penarikan berat telah dikritik kerana menggalakkan doping dan kerana risikonya untuk kecederaan.[213]
Manusia telah memakan daging anjing sejak selewat-lewatnya 14,000 tahun lalu. Tiada pengetahuan tentang takat penggunaan dan pembiakbakaan anjing prasejarah untuk dagingnya. Selama berabad-abad, amalan ini prevalen di Asia Tenggara, di Asia Timur, di Afrika, dan di Oseania perubahan budaya yang dicetuskan oleh penyebaran agama menyebabkan pemakanan daging anjing berkurang dan menjadi lebih tabu.[214] Switzerland, Polinesia, dan Mexico pra-Columbus memakan daging anjing dalam sejarah.[215][216][217] Sesetengah anjing Orang Asli Amerika, seperti anjing botak Peru dan xoloitzcuintle, diternak untuk dikorbankan dan dimakan.[218][219] Orang Cina Han memakan anjing menurut tradisi.[220] Pemakanan daging anjing berkurang tetapi tidak berakhir semasa dinasti Sui (581–618) dan dinasti Tang (618–907) sebahagiannya disebabkan oleh penyebaran agama Buddha dan penolakan amalan ini oleh golongan atasan.[221][222] Pemakanan daging anjing adalah jarang di India, di Iran, dan di Eropah.[214]
Pemakanan daging anjing ialah tabu sosial di kebanyakan bahagian dunia,[223] namun sesetengah bahagian dunia masih memakannya pada zaman moden.[224][225] Daging anjing masih dimakan di sesetengah negara Asia Timur, termasuk China,[190] Vietnam,[191] Korea,[226] Indonesia,[227] dan Filipina.[228] Anggaran sebanyak 30 juta ekor anjing dibunuh dan dimakan di Asia pada setiap tahun.[220] China ialah penyumbang terbesar sedunia bagi pemakan anjing, dengan anggaran 10 hingga 20 juta ekor anjing dibunuh pada setiap tahun untuk pemakanan oleh manusia.[229] Di Vietnam, sekitar 5 juta ekor anjing disembelih pada setiap tahun.[230] Pada tahun 2024, China, Singapura, dan Thailand mengenakan larangan ke atas pemakanan anjing di dalam wilayah masing-masing.[231] Di sesetengah bahagian Poland[232][233] dan Asia Tengah,[234][235] lemak anjing, menurut laporan, dipercayai bermanfaat untuk paru-paru.[236] Penyokong pemakanan daging anjing telah berhujah bahawa penempatan pembezaan antara haiwan ternakan dengan anjing ialah kehipokritan Barat dan bahawa tiada perbezaan dengan pemakanan daging haiwan berlainan.[237][238][239][240]
Ada sejarah panjang pemakanan daging anjing di Korea Selatan, namun amalan ini telah menjadi tersisih.[241] Tinjauan tahun 2017 mendapati bahawa kurang daripada 40% daripada jumlah peserta menyokong larangan ke atas pengedaran dan pemakanan daging anjing. Ini kemudian meningkat ke atas 50% pada tahun 2020, yang mencadangkan perubahan sikap, khususnya dalam kalangan individu belia.[12] Pada tahun 2018, Pemerintah Korea Selatan meluluskan rang undang-undang yang melarang restoran yang menjual daging anjing daripada melakukan yang demikian semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk tahun itu.[242] Pada 9 Januari 2024, parlimen Korea Selatan meluluskan undang-undang yang melarang pengedaran dan penjualan daging anjing. Ini bakal berkuat kuasa pada tahun 2027, dengan rancangan untuk membantu penternak anjing beralih kepada produk lain.[243] Jenis anjing utama yang diternak untuk daging di Korea Selatan ialah nureongi.[244] Di Korea Utara pula, yang mengalami kekurangan daging, pemakanan anjing ialah amalan lazim dan berterima, yang dipromosikan secara rasmi oleh pemerintah.[245][246]
Pada tahun 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa seramai 59,000 orang meninggal di peringkat global akibat rabies dengan 59.6% daripada jumlah kematian di Asia dan 36.4% di Afrika. Rabies ialah penyakit yang untuknya anjing ialah vektor paling ketara.[247] Gigitan anjing menjejaskan ribuan jutaan orang di peringkat global pada setiap tahun.[248] Mangsa utama insiden gigitan anjing merupakan kanak-kanak. Kanak-kanak lebih berkemungkinan menerima kecederaan lebih parah daripada gigitan, yang dapat menyebabkan kematian.[248] Cakar tajam mampu melecetkan daging dan menyebabkan jangkitan parah.[249] Di Amerika Syarikat, kucing dan anjing merupakan faktor dalam lebih daripada 86,000 keguguran pada setiap tahun.[250] Telah ada anggaran bahawa sekitar 2% daripada jumlah kecederaan berkaitan dengan anjing yang dirawat di hospital-hospital United Kingdom merupakan kemalangan rumah tangga. Kajian sama berkesimpulan bahawa kemalangan jalan raya berkaitan dengan anjing yang melibatkan kecederaan lebih lazim melibatkan kenderaan dua roda.[251] Sesetengah negara dan bandar raya juga telah melarang atau membatasi baka-baka anjing tertentu, biasanya atas kebimbangan keselamatan.[252]
Telur Toxocara canis (cacing gelang anjing) di dalam tinja anjing dapat menyebabkan toksokariasis. Di Amerika Syarikat, sekitar 10,000 kes jangkitan Toxocara pada manusia dilaporkan pada setiap tahun dan hampir 14% daripada jumlah populasi Amerika Syarikat terjangkit.[253] Toksokariasis tidak terawat dapat menyebabkan kerosakan retina dan mengurangkan penglihatan.[254] Tinja anjing juga dapat mengandungi cacing kerawit yang menyebabkan larva migrans kutis pada manusia.[255][256]
Bukti saintifik bercampur-campur sama ada pendampingan anjing dapat menambah baik kesihatan fizikal dan kebajikan psikologi manusia.[257] Kajian-kajian mencadangkan bahawa ada faedah kepada kesihatan fizikal dan kebajikan psikologi tetapi kajian-kajian itu telah dikritik kerana "tidak dikawal dengan baik".[258][259] Sebuah kajian menyatakan bahawa "kesihatan orang tua berkaitan dengan tabiat kesihatan dan sokongan sosial mereka tetapi bukan dengan pemilikan haiwan pendamping atau keterikatan dengan haiwan pendamping".[260] Kajian-kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa penjaga anjing peliharaan atau penjaga kucing peliharaan kurang melakukan lawatan hospital dan kurang berkemungkinan bergantung pada ubat-ubatan untuk masalah jantung dan kesukaran tidur berbanding dengan bukan penjaga.[260] Orang dengan anjing peliharaan mengamalkan lebih senaman fizikal berbanding dengan yang dengan kucing dan yang tanpa haiwan peliharaan; kesan-kesan ini merupakan kesan-kesan jangka agak panjang.[261] Penjagaan haiwan peliharaan juga telah dikaitkan dengan peningkatan kemandirian dalam kes-kes penyakit arteri koronari. Manusia penjaga kurang berkemungkinan meninggal dalam tempoh satu tahun akibat penginfarkan miokardium berbanding dengan yang tidak memiliki anjing.[262] Kajian telah mendapati korelasi kecil hingga sederhana antara pemilikan anjing dengan peningkatan paras kegiatan fizikal dewasa.[263]
Satu terbitan tahun 2004 menyatakan:[257]
[terjemahan] penyelidikan terkini telah gagal menyokong penemuan-penemuan terdahulu bahawa pemilikan haiwan peliharaan dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit kardiovaskular, penurunan penggunaan perkhidmatan pengamal perubatan umum, atau sebarang manfaat psikologi atau fizikal terhadap kesihatan untuk orang tua dalam komuniti. Walau bagaimanapun, penyelidikan telah menunjukkan pengurangan ketara ketidakhadiran di sekolah akibat penyakit dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal bersama dengan haiwan peliharaan.
Faedah kesihatan daripada anjing dapat terhasil daripada sentuhan dengan anjing pada umumnya dan bukan semata-mata daripada pemilikan anjing sebagai haiwan peliharaan. Contohnya, apabila berada dalam kehadiran anjing peliharaan, orang menunjukkan pengurangan petanda kardiovaskular, tingkah laku, dan psikologi bagi keresahan[264] dan terdedah kepada mikroorganisma perangsang keimunan, yang dapat memberikan perlindungan menentang alahan dan penyakit autoimun (menurut hipotesis kebersihan). Faedah lain termasuk anjing sebagai sokongan sosial.[265]
Sebuah kajian menunjukkan bahawa pengguna kerusi roda mengalami lebih interaksi pergaulan positif dengan orang asing apabila ditemani oleh anjing berbanding dengan apabila tidak ditemani oleh anjing.[266] Dalam sebuah kajian tahun 2015, terdapat penemuan bahawa pemilikan haiwan peliharaan menjadikan orang lebih cenderung untuk menjalin hubungan positif dengan jiran mereka.[267] Dalam sebuah kajian, penjaga baharu melaporkan pengurangan ketara dari segi masalah kesihatan kecil semasa bulan pertama ikutan pemerolehan haiwan peliharaan, yang bertahan sepanjang kajian 10 bulan itu.[261]
Penggunaan anjing dan haiwan lain sebagai sebahagian daripada terapi bertarikh kembali ke lewat abad ke-18, apabila haiwan diperkenalkan ke dalam institusi mental untuk membantu dalam mensosialkan pesakit kecelaruan mental.[268] Penyelidikan campur tangan berbantu haiwan telah menunjukkan bahawa terapi berbantu haiwan dengan anjing dapat meningkatkan senyuman dan tawa dalam kalangan penghidap penyakit Alzheimer.[269] Sebuah kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan ADHD dan kecelaruan tingkah laku yang menyertai atur cara pendidikan dengan anjing dan haiwan lain menunjukkan peningkatan kehadiran, pengetahuan, dan objektif kemahiran dan pengurangan tingkah laku antisosial dan ganas berbanding dengan yang tidak mengikuti atur cara berbantu haiwan.[265]
Karya seni telah menggambarkan anjing sebagai lambang bagi bimbingan, perlindungan, kesetiaan, fideliti, kebaktian, kewaspadaan, dan cinta.[270] Di Mesopotamia kuno, dari tempoh Babilonia Tua hingga tempoh Babilonia Baru, anjing ialah lambang bagi Ninisina, iaitu dewi penyembuhan dan perubatan,[271] dan para penyembahnya kerap mendedikasikan model-model kecil anjing duduk kepadanya.[271] Pada tempoh Asyur Baru dan tempoh Babilonia Baru, anjing berkhidmat sebagai lambang perlindungan sakti.[271] Di China, di Korea, dan di Jepun, anjing dipandang sebagai pelindung baik hati.[272]
Dalam mitologi, anjing kerap muncul sebagai peliharaan atau anjing pengawas.[272] Kisah-kisah tentang anjing yang menjaga pintu-pintu akhirat hadir dalam mitologi-mitologi Indo-Eropah[273][274] dan mungkin berasal daripada tradisi Proto-Indo-Eropah.[273][274] Dalam mitologi Yunani, Serberus atau Kerberos ialah anjing pengawas yang mempunyai tiga kepala dan ekor naga dan menjaga pintu pagar Hades.[272] Anjing juga tampil dalam perkaitan dengan dewi Yunani Hekate.[275] Dalam mitologi Norse, seekor anjing yang dipanggil Garmr menjaga Hel, iaitu alam para orang mati.[272] Dalam mitologi Parsi, dua ekor anjing bermata empat menjaga Jambatan Chinvat.[272] Dalam mitologi Wales, Cŵn Annwn menjaga Annwn.[272] Dalam mitologi Hindu, Yama, iaitu dewa kematian, memiliki dua ekor anjing pengawas bernama Shyama dan Sharvara, yang masing-masing mempunyai empat biji mata—kedua-dua anjing dikatakan menjaga pintu neraka.[276] Seekor anjing hitam dianggap sebagai wahana milik Bhairava (penjelmaan semula Siwa).[277]
Dalam agama Kristian, anjing mewakili kebaktian.[272] Dalam mazhab Katolik Rom khususnya, ikonografi bagi Santo Dominikus menyertakan seekor anjing selepas ibu kepada sang kudus memimpikan seekor anjing yang melompat dari rahimnya dan lalu mengandung sejurus selepas itu.[278] Oleh yang demikian, Ordo Dominikan (bahasa Latin Gereja: Domini canis) memaksudkan "anjing [milik] Tuhan".[278] Dalam folklor Kristian, grim gereja kerap menjelma sebagai anjing hitam untuk menjaga gereja-gereja Kristian dan pekarangan gereja daripada sakrilegium.[279] Hukum Yahudi tidak melarang pembelaan anjing dan haiwan lain, namun menyeru agar orang Yahudi memberikan makanan kepada anjing (dan haiwan lain yang dimiliki oleh mereka) sebelum kepada diri mereka dan mengatur pemakanan untuk haiwan-haiwan tersebut sebelum mendapatkan haiwan-haiwan itu.[280][281] Pandangan tentang anjing dalam Islam bercampur-campur. Sesetengah aliran pemikiran memandang anjing sebagai makhluk tidak suci,[272] tetapi Khaled Abou El Fadl menyatakan bahawa pandangan ini berdasarkan "mitologi Arab sebelum Islam" dan "tradisi [...] yang dikenakan kaitan palsu dengan Nabi".[282] Para ulama Mazhab Maliki Sunni tidak bersejutu dengan idea bahawa anjing adalah tidak suci.[283]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.