baka anjing dari Jerman From Wikipedia, the free encyclopedia
Dachshund, anjing bejar, atau tekel[lower-alpha 1], juga dikenali sebagai anjing sosej, ialah satu baka anjing jenis hound bertungkai pendek dan bertubuh panjang. Anjing ini mungkin berbulu licin, berbulu dawai, atau berbulu panjang dengan pewarnaan berbeza-beza.
Nama lain | Anjing bejar Tekel | ||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Jerman | ||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Dachshund dibiakbakakan untuk menghidu, mengejar, dan menggarah bejar dan haiwan yang tinggal di dalam lubang. Dachshund kerdil atau dachshund katik pula dibiakbakakan untuk memburu haiwan kecil seperti arnab.[1]
Dachshund dinilai sebagai baka ke-9 dari segi pendaftaran dengan American Kennel Club pada tahun 2022.[2]
Nama dachshund berasal daripada bahasa Jerman dan memaksudkan "anjing bejar", daripada kata Dachs ("bejar") dan Hund ("anjing"). Kata bahasa Jerman Dachshund disebut [ˈdaks.hʊnt] ( dengar). Walaupun Dachshund ialah perkataan bahasa Jerman, di Jerman moden, anjing ini lebih kerap dikenali dengan nama singkat Dackel. Anjing pekerja pula kurang dikenali sebagai Teckel.[3]
Oleh sebab tubuh panjang dan sempitnya, ia kerap dijuluki "anjing sosej" ("wiener dog"" atau "sausage dog").[4][5]
Walaupun dikelaskan dalam kumpulan hound atau kumpulan anjing pemburu bau di Amerika Syarikat dan di Great Britain, baka ini mempunyai kumpulannya sendiri di negara-negara yang tergolong dalam Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[6] Banyak dachshund, terutamanya subjenis berbulu dawai, mungkin menunjukkan tingkah laku dan penampilan yang serupa dengan kumpulan anjing terier.[7] Hujah dapat dikemukakan untuk pengelasan kumpulan anjing pemburu bau atau kumpulan hound kerana baka ini dikembangkan untuk menggunakan bau untuk menjejak dan memburu haiwan, dan barang kali diturunkan daripada anjing pemburu Santo Hubert sebagaimana banyak baka anjing pemburu bau moden seperti anjing pemburu darah dan anjing pemburu baset; namun dengan keperibadian tekun dan kecintaan terhadap penggalian yang barang kali dikembangkan daripada terier, dapat ada juga hujah bahawa ia mungkin tergolong dalam kumpulan terier, atau "anjing tanah".[7]
Dachshund tipikal adalah bertubuh panjang dan berotot dengan tungkak kontot pendek. Kaki hadapannya besar di luar perkadaran, dengan rupa bentuk dayung dan kesesuaian khusus untuk penggalian. Kulitnya cukup longgar untuk tidak koyak semasa menerowongi korok sempit untuk mengejar mangsa. Muncungnya panjang.[8]
Terdapat tiga keragaman lapis bulu dachshund: berbulu licin (berbulu pendek), berbulu panjang, dan berbulu dawai.[9] Dachshund berbulu panjang mempunyai lapis bulu berkilat dan buluan pendek pada tungkai dan telinga. Dachshund berbulu dawai pula merupakan keragaman lapis bulu paling kurang umum di Amerika Syarikat (walaupun paling umum di Jerman) dan lapis bulu paling terkini yang muncul dalam piawaian baka.[9] Dachshund mempunyai pelbagai warna dan corak, dengan warna merah sebagai yang paling umum. Pewarnaan dasarnya mungkin ekawarna (sama ada merah atau krim), bertitik sawo matang (hitam dan sawo matang, coklat dan sawo matang, biru dan sawo matang, atau putih telur dan sawo matang), dan pada anjing berbulu dawai, warna yang dirujuk sebagai babi hutan. Corak seperti telau (merle), sabel, brindle, dan piebald juga terdapat pada mana-mana warna dasar. Dachshund dalam perinduk sama mungkin lahir dengan warna lapis bulu berlainan bergantung pada komponen genetik daripada induk.
Dachshund Club of America (DCA) dan American Kennel Club (AKC) menganggap Double Dapple ("Telau Ganda") sebagai ciri luar piawaian dan warna penyingkir dalam gelanggang pertunjukan. Piebald kini merupakan warna beriktiraf dalam piawaian baka Dachshund Club of America.[10]
Anjing yang bertelau ganda mempunyai corak merle bagi telau, namun dengan tompok-tompok putih tersendiri yang hadir apabila gen telau mengekspresikan diri sebanyak dua kali di kawasan lapis bulu sama. DCA mengecualikan sebutan "double-dapple" ("telau ganda") daripada piawaian pada tahun 2007 dan kini hanya menggunakan sebutan "dapple" ("telau") kerana gen telau ganda pada umumnya menyebabkan kebutaan dan kepekakan.[11]
Dachshund terdapat dalam tiga saiz: piawai, kerdil,[9] dan arnab. Walaupun saiz piawai dan kerdil diiktiraf hampir di mana-mana, saiz arnab tidak diiktiraf oleh kelab-kelab di Amerika Syarikat dan di United Kingdom. Saiz arnab diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) yang mengandungi kelab-kelab kenel dari 83 buah negara di serata dunia.[12][13] Saiz yang ssemakin menjadi umum untuk peliharaan keluarga terletak antara saiz kerdil dengan saiz piawai; ini kerap dirujuk sebagai "tweenie", yang bukan pengelasan rasmi.
Dachshund piawai dewasa biasanya berukuran seberat 7.5–14.5 kg (16–32 lb), manakala keragaman kerdil biasanya berukuran lebih ringan daripada 5.5 kg (12 lb).[9] Dachshund arnab pula berukuran seberat 3.5–5 kg (8–11 lb). Menurut piawaian kelab kenel, anjing kerdil (dan anjing arnab) berbeza daripada saiz penuh hanya dari segi saiz dan berat, maka anak daripada induk anjing kerdil mesti berukuran berat tidak lebih daripada piawaian anjing kerdil untuk dianggap sebagai anjing kerdil.[9] Walaupun banyak pembahagian saiz kelab kenel menggunakan berat untuk pengelasan, seperti American Kennel Club, piawaian kelab kenel lain menentukan perbezaan antara anjing kerdil dengan anjing piawai dengan lilitan dada; sesetengah kelab kenel, seperti yang di Jerman, malah mengukur lilitan dada sebagai tambahan kepada tinggi dan berat.[14]
Dachshund berwarna cerah dapat memiliki mata ambar, perang muda, atau hijau; walau bagaimanapun, piawaian kelab kenel menyatakan bahawa semakin gelap warna mata, semakin baki. Dachshund telau dan dachshund telau ganda dapat memiliki mata "dinding" berbilang warna dengan iris sepenuhnya biru, separa biru, atau bertompok oleh sebab kesan gen telau pada ekspresi pempigmenan mata.[15] Mata "dinding" diizinkan menurut piawaian DCA tetapi tidak diingini dalam piawaian AKC.
Dachshund dapat menjadi degil dan menolak perintah, terutamanya jika mengejar yang terhadapnya ia cenderung.[16][17][18] Oleh sebab dachshund pada asalnya digunakan sebagai pemburu bejar, ia mempunyai deria bau tajam untuk mengejar haiwan lebih kecil. Dachshund kerap degil, menjadikannya cabaran untuk dilatih.[19][20][21][22]
Sebagai pemilik dachshund, untuk saya, buku tentang disiplin anjing menjadi sejilih kelucuan penuh ilham. Setiap ayat menggelikan hati. Sesetengah hari, jika saya berpeluang, saya akan menulis buku, atau amaran, tentang perwatakan dan perangai dachshund dan sebab bahawa ia tidak dapat dilatih dan tidak patut pun. Saya lebih rela melatih kuda belang untuk menyeimbangkan kayu belantan daripada memujuk dachshund untuk mematuhi perintah terkecil saya. Apabila saya bercakap kepada Fred, saya tidak pernah menaikkan suara saya mahupun harapan saya. Dia malah mengingkari saya apabila saya mengarahnya dalam sesuatu yang saya mahu dia lakukan. (terjemahan)
Dachshund dapat menjadi agresif terhadap orang asing dan anjing lain.[25] Walau bagaimanapun, ia dinilai dari segi kecerdasan anjing sebagai anjing pekerja sederhana dengan kebolehan berterusan untuk mengikuti perintah sebanyak 50% kali atau lebih.[26] Ia dapat memiliki salakan lantang. Sesetengah anjing menyalak dengan agak banyak dan mungkin memerlukan pelatihan untuk dihentikan, manakala selebihnya tidak begitu banyak menyalak langsung.[17][18] Dachshund dapat menjadi tidak ramah terhadap orang asing.[16] Sebuah kajian Jepun mendapati bahawa dachshund kerdil mempunyai kadar lebih tinggi untuk enggan bergerak semasa berjalan, menyalak terhadap bunyi dari luar semasa berada di dalam, menyalak terhadap orang asing yang melawati rumahnya, kebimbangan perpisahan, penyingkiran tidak wajar (inkontinens tinja dan kencing), keraguan untuk menghampiri manusia dan anjing yang tidak dikenali, dan agresi terhadap anggota keluarga, lantas menegaskan kedegilan dan agresi baka ini.[27]
Menurut piawaian baka American Kennel Club, "dachshund adalah pintar, bersemangat, dan berani sehingga takat kegopohan, tekun dalam kerja atas tanah dan bawah tanah, dengan semua deria yang cukup berkembang. Sebarang penampilan kesiluan ialah kecacatan parah".[9] Perangainya dan bahasa tubuhnya memberikan penampilan bahawa ia tidak tahu atau peduli tentang saiznya agak kecil. Seperti banyak anjing pemburu kecil, ia akan mencabar anjing lebih besar. Dachshund yang menurut hati mungkin menjadi bengkeng atau teramat ketegar.[19][28]
Sebuah kajian Universiti Pennsylvania tahun 2008 terhadap 6,000 orang pemilik anjing yang ditemu duga menunjukkan bahawa anjing baka lebih kecil lebih mungkin menjadi "cenderung secara genetik terhadap tingkah laku agresif". Dachshund dinilai paling agresif dengan 20% yang pernah menggigit orang asing, serta kadar tinggi serangan terhadap anjing lain dan pemiliknya. Kajian mencatat bahawa serangan oleh anjing kecil kurang mungkin menyebabkan kecederaan parah dan, oleh sebab ini, barang kali kurang dilaporkan.[29]
Baka ini terdedah kepada masalah spina, terutamanya penyakit ceper intervertebra (IVDD), sebahagiannya oleh sebab turus spina amat panjang dan sangkar rusuk pendek.[30] Risiko kecederaan mungkin diperburuk oleh kegemukan, lompatan, pengendalian kasar, atau senaman kencang, yang mengenakan bebanan lebih tinggi terhadap vertebra. Sekitar 20%–25% dachshund bakal menghidap IVDD.[31] Dachshund dengan sebilangan ceper intervertebra terkapur pada usia muda mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit ceper di peringkat lanjut kehidupan. Sebagai tambahan, kajian telah menunjukkan bahawa perkembangan cakera terkapur adalah sangat boleh waris pada baka ini.[32] Program penyaringan sesuai untuk IVDD telah dikenal pasti oleh para penyelidik Finland[33] dan program penyaringan IVDD United Kingdom telah dimajukan untuk para pembiak baka[34] dengan sasaran untuk mengurangkan prevalens masalah spina.
Rawatan terdiri daripada gabungan pengurungan bersangkar dan susunan ubat-ubatan antiradang (drug antiradang steroid dan bukan steroid seperti karprofen dan meloksikam), atau ubat-ubatan sakit kronik, seperti tramadol. Kes parah mungkin memerlukan pembedahan untuk menanggalkan kandungan cakera bermasalah.[35] Anjing mungkin memerlukan bantuan kereta tarik untuk bergerak dari tempat ke tempat jika kelumpuhan terjadi.
Tatacara minimal invasi minimal yang dipanggil "ablasi cakera laser perkutaneus" telah dimajukan di Hospital Veterinar Universiti Negeri Oklahoma.[36] Pada asalnya, tatacara ini[37] digunakan dalam ujian klinikal[37] hanya pada dachshund yang telah menderitai insiden belakang terdahulu. Oleh sebab dachshund terdedah kepada isu belakang, matlamatnya adalah untuk mengembangkan rawatan ini kepada anjing dalam populasi normal.
Sebagai tambahan kepada masalah belakang, baka ini terdedah kepada kehelan tempurung lutut.[38][39] Dachshund mungkin juga terjejas akibat osteogenesis imperfekta (penyakit tulang rapuh). Keadaan ini kelihatan terutamanya terbatas kepada dachshund berbulu dawai, dengan 17% yang menjadi pembawa.[40] Ujian genetik tersedia untuk membolehkan para pembiak baka untuk mengelakkan pembiakbakaan sesama pembawa. Dalam pasangan sedemikian, setiap anak anjing bakal mempunyai 25% peluang untuk terjejas.[41]
Pada sesetengah anjing telau ganda, terdapat darjah berbeza-beza dari segi kehilangan penglihatan dan pendengaran, termasuk mata terkurang atau ketiadaan mata.[42] Bukan semua anak anjing telau ganda mempunyai masalah dengan mata atau telinga, yang mungkin termasuk darjah berbeza-beza bagi kehilangan pendengaran, kepekakan penuh, telinga cacat bentuk, kecacatan mata kongenital, mata terkurang atau ketiadaan mata, kebutaan separa atau penuh, atau darjah berbeza-beza bagi masalah penglihatan dan pendengaran; namun masalah memuncak dapat terjadi oleh sebab proses genetik yang melibatkan persilangan dua gen telau, khususnya pada susur galur pembiakbakaan tertentu. Gen-gen telau, yang merupakan gen dominan, dianggap sebagai gen "pencairan", yang bermaksud bahawa apa-apa warna yang sepatutnya pada asalnya dimiliki oleh anjing tersebut menjadi cerah, atau cair, secara rawak; dua gen "pencairan" dominan dapat membatalkan satu sama lain, atau "bersilang", lantas menanggalkan semua warna dan menghasilkan gen resesif putih, pada dasarnya mutasi putih.[43] Apabila terjadi secara genetik pada mata atau pada telinga, mutasi putih ini dapat membawa mudarat, lalu menyebabkan masalah pendengaran atau penglihatan.
Masalah kesihatan lain pada dachshund termasuklah epilepsi warisan,[44] meningoensefalitis granuloma, isu gigi, sindrom Cushing, masalah tiroid[44] dan autoimun,[45] pelbagai alahan[46] dan atopi, dan pelbagai keadaan mata termasuk katarak, glaukoma, atrofi retina progresif,[44] ulser kornea, penyakit kornea nonulseratif, kemerosotan retina perolehan tiba-tiba, dan mata ceri. Dachshund juga 2.5 kali lebih cenderung daripada baka anjing lain untuk menghidap duktus arteriosus paten, iaitu suatu kecacatan jantung kongentinal. Anjing berwarna cair (biru, putih telur, dan krim) sangat terdedah kepada alopesia pencairan warna, suatu kecelaruan kulit yang dapat menyebabkan keguguran bulu dan kepekaan esktrem terhadap cahaya matahari. Oleh sebab kejadian dan keparahan masalah-masalah kesihatan ini sebahagian besarnya merupakan warisan, para pembiak baka sedang berusaha untuk menghapuskan ini.
Faktor-faktor yang mempengaruhi saiz perinduk dan perkadaran anak anjing lahir mati seperinduk dianalisis pada dachshund Jerman bersaiz normal.[47] Catatan yang dianalisis mengandungi data tentang 42,855 perinduk. Terdapat penemuan bahawa semakin pekali pembiakbakaan meningkat, semakin saiz perinduk menurun dan peratusan anak lahir mati meningkat, lantas menunjukkan kemurungan pembiakbakaan dalam. Terdapat juga penemuan bahawa ibu muda dan ibu lebih tua melahirkan saiz perinduk lebih kecil dan lebih anak anjing lahir mati berbanding dengan ibu pertengahan usia.
Sebuah kajian di Jepun mendapati bahawa dachshund kerdil mempunyai kadar lebih rendah bagi glaukoma berbanding dengan baka lain. Dengan 2.4% kes yang berpunca daripada baka ini, baka ini merangkumi 10.1% daripada jumlah lawatan ke hospital veterinar.[48]
Dachshund cenderung terhadap hipotiroidisme.[49]
Sebuah kajian tahun 2018 di Jepun tentang data perkuburan haiwan peliharaan meletakkan jangka hayat dachshund kerdil pada 13.9 tahun berbanding dengan 13.7 tahun secara keseluruhan dan 15.1 tahun untuk baka silang.[50] Sebuah kajian tahun 2024 di United Kingdom pula mendapati jangka hayat sebanyak 13.2 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang dengan dachshund kerdil yang didapati mempunyai jangka hayat sebanyak 14 tahun.[51] Sebuah kajian Itali tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.5 tahun untuk baka ini berbanding dengan 10 tahun secara keseluruhan.[52] Sebuah kajian Sweden tahun 2005 tentang data insurans mendapati bahawa 28% daripada jumlah dachshund mati menjelang usia 10 tahun, yang kurang daripada kadar keseluruhan 35% daripada jumlah anjing yang mati menjelang usia 10 tahun.[53]
Dachshund ialah ciptaan para pembiak baka Jerman dan menyertakan unsur-unsur anjing dan terier Jerman, Perancis, dan Inggeris. Dachshund telah dibela oleh istana diraja di serata Eropah, termasuk istana Ratu Victoria, yang khususnya berkenan dengan baka ini.[54][sumber tak boleh dipercayai?]
Rujukan sahih pertama terhadap dachshund, pada asalnya dinamai "Dachs Kriecher" ("perangkak bejar") atau "Dachs Krieger" ("pahlawan bejar"), berasal daripada buku-buku yang ditulis pada awal abad ke-18.[55] Sebelum itu, terdapat rujukan terhadap "anjing bejar" dan "anjing lubang", namun ini mungkin merujuk tujuan berbanding dengan baka khusus. Dachshund asli Jerman lebuh besar daripada keragaman saiz penuh moden, dengan ukuran berat 14–18 kg (31–40 lb), dan pada asalnya terdapat dengan keragaman tungkai lurus dan keragaman tungkai bengkok (daripada keragaman ini dachshund moden diturunkan). Walaupun baka ini terkenal kerana penggunaannya dalam pembasmian bejar dan pengumpanan bejar, dachshund juga umumnya digunakan untuk pemburuan arnab dan rubah, untuk pengesanan kedudukan rusa tercedera, dan dalam kawanan diketahui memburu buruan sebesar babi hutan dan seganas wolverin.[56]
Terdapat perbezaan besar dari segi pendapat mengenai waktu pembiakbakaan khusus dachshund untuk tujuan pemburuan bejar, kerana American Kennel Club menyatakan bahawa dachshund dibiakbakakan pada abad ke-15, manakala Dachshund Club of America menyatakan bahawa para rimbawa membiakbakakan anjing ini pada abad ke-18 atau abad ke-19.[perlu rujukan]
Dachshund telau ganda, yang terdedah kepada masalah mata, kebutaan, atau masalah pendengaran, pada umumnya dipercayai telah diperkenalkan ke Amerika Syarikat pada antara tahun 1879 dengan tahun 1885.[57][58]
Telinga lipat bawah dan ekor melengkung terkenal dachshund telah sengaja dibiakbakakan ke dalam anjing. Dalam hal telinganya, ini adalah untuk menghalang benih rumput, kotoran, dan jirim lain daripada memasuki liang telinga. Ekor melengkungnya bertujuan ganda: untuk dilihat dengan lebih mudah di kawasan rumput tinggi dan, dalam soal dachshund penggali korok, untuk membantu menarik anjing ke luar jika terperangkap di dalam korok.[59]Templat:Unreliable source Dachshund berbulu licin, gaya terlama, mungkin merupakan silangan antara anjing penuding berbulu pendek Jerman, pincer, dengan bracke (sejenis anjing pemburu darah), atau telah dihasilkan melalui penyilangan anjing pemburu Jura Bruno dengan pincer.[22] Sebahagian percaya bahawa ia merupakan silangan daripada anjing penuding katik Perancis dengan pincer; sebahagian lain mendakwa bahawa ia dikembangkan daripada anjing pemburu St. Hubert, juga bloodhound, pada abad ke-18,[60] dan sebahagian lagi percayai bahawa ia diturunkan daripada anjing pemburu baset, berdasarkan kebolehan penghiduannya dan penampilan umumnya.[61]
Oleh itu, asal usul tepat bagi dachshund tidak diketahui. Menurut William Loeffler, daripada The American Book of the Dog (1891), dalam bab tentang dachshund: "Asal usul dachshund diragui, orang berwibawa terbaik kami bercanggah tentang permulaan baka ini".[61] Hal yang dapat dipersetujui, walau bagaimanapun, ialah bahawa dachshund licin menurunkan keragaman berbulu panjang dan keragaman berbulu dawai.[62]
Terdapat dua teori tentang cara kemunculan dachshund berbulu panjang piawai. Salah satu teori ialah bahawa dachshund licin kadang-kadang memperanakkan anak anjing yang mempunyai bulu lebih panjang sedikit berbanding dengan induk. Melalui membiakbakakan anjing-anjing ini secara terpilih, para pembiak baka akhirnya menghasilkan anjing yang setekalnya menghasilkan anak anjing berbulu panjang, lantas dachshund berbulu panjang dilahrikan. Lagi satu teori ialah bahawa dachshund berbulu panjang piawai dikembangkan dengan membiakbakakan dachshund licin dengan pelbagai spaniel darat dan spaniel air. Dachshund berbulu panjang mungkin merupakan silangan antara mana-mana baka anjing kecil dalam kumpulan spaniel, termasuk stoeberhund Jerman, dengan dachshund licin.[22]
Dachshund berbulu dawai pula, yang terakhir dikembangkan, dibiakbakakan pada lewat abad ke-19. Terdapat kemungkinan bahawa dachshund berbulu dawai ialah silangan antara dachshund licin dengan pelbagai terier berbulu kasar dan pincer berbulu dawai, seperti schnauzer, terier Dandie Dinmont, anjing penuding berbulu dawai Jerman, atau mungkin terier Scotland.[22]
Dachshund secara tradisional pernah dipandang sebagai lambang Jerman. Pelukis kartun politik kerap menggunakan imej dachshund untuk mencemuh Jerman.[63] Semasa Perang Dunia Pertama, kepopularan dachshund di Amerika Syarikat menjunam oleh sebab perkaitan ini. Hasilnya, ia kerap dipanggil "liberty hound" ("anjing kebebasan"), sebaik "liberty cabbage" ("kubis kebebasan") menjadi istilah untuk jeruk kubis kebanyakannya di Amerika Utara.[64] Stigma perkaitan ini dihidupkan semula dengan tidak begitu parah semasa Perang Dunia Kedua, namun ini hanya kekal dengan agak singkat. Maharaja Wilhelm II dan fil marsyal Jerman Erwin Rommel diketahui membela dachshund.
Oleh sebab perkaitan baka ini dengan Jerman, serta kepopularan khususnya dalam kalangan pembela anjing di München pada masa itu, dachshund dipilih sebagai maskot rasmi pertama untuk Sukan Olimpik Musim Panas 1972 di München, dengan nama Waldi.[65]
Sesetengah orang melatih dan memasukkan dachshund mereka untuk bertanding dalam perlumbaan dachshund, seperti Wiener Nationals. Beberapa perlumbaan di serata Amerika Syarikat kerap menarik beberapa ribu orang pelawat.[66]
Sungguhpun acara-acara ini popular, Dachshund Club of America menentang "perlumbaan anjing sosej", kerana banyak litar grehaun menggunakan acara-acara ini untuk menarik kerumun besar ke prasarana mereka. DCA juga bimbang tentang potensi kecederaan kepada anjing, oleh sebab kecenderungannya terhadap kecederaan belakang. Satu lagi sukan kegemaran ialah ujian anjing tanah, yang melibatkan dachshund yang memasuki terowong dengan jalan mati dan halangan dalam usaha untuk mengesan lokasi sama ada bagi umpan buatan atau tikus hidup namun bersangkar (dan terlindung).[67]
Di Jerman, dachshund dipanggil Dackel secara meluas. Dalam kalangan pemburu, ia terutamanya dirujuk sebagai Teckel. Ada kenel yang khusus untuk pembiakbakaan dachshund pemburu, yang dipanggil jagdliche Leistungszucht ("pembiakbakaan prestasi perburuan") atau Gebrauchshundezucht ("pembiakbakaan anjing pekerja"), berlainan dengan pembiakbakaan anjing keluarga. Maka, Teckel kadang-kadang salah dipercayai sebagai nama untuk baka perburuan atau tanda kelulusan ujian untuk anjing pemburu terlatih (dipanggil "VGP", "Verband-Gebrauchsprüfung") di Jerman.[68]
Dachshund merupakan salah satu baka anjing paling popular di Amerika Syarikat dengan kedudukan di tangga ke-12 dalam statistik pendaftaran AKC tahun 2018.[69] Ia popular sesama penghuni luar bandar dan pangsapuri sebagai antara 10 baka paling popular di 76 daripada 190 buah bandar raya utama Amerika Syarikat yang ditinjau oleh AKC.[70]
Terdapat kelab dachshund tempatan di kebanyakan bandar raya utama Amerika, termasuk New York, New Orleans, Portland, Los Angeles, dan Chicago.[perlu rujukan]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.