Remove ads
binatang bertelapuk yang dibela jinak From Wikipedia, the free encyclopedia
Kuda atau jaran (nama saintifik: Equus caballus)[2] ialah sejenis mamalia ungulat besar yang mempunyai bilangan jari kaki ganjil, ia merupakan salah satu daripada sepuluh spesies moden genus Equus dalam keluarga Equidae. Kuda telah lama merupakan salah satu haiwan bela jinak yang amat penting daripada segi ekonomi, dan telah memainkan peranan yang penting dalam pengangkutan orang dan barang muatan selama beribu-ribu tahun. Sedangkan pembelajinakan kuda terpencil mungkin terjadi seawal 10,000 tahun dahulu, bukti yang jelas terhadap penggunaan kuda secara meluas oleh manusia bertarikh pada sekitar 2000 SM.
Kuda jinak | |
---|---|
Dibelajinakkan | |
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
Filum: | |
Kelas: | |
Order: | |
Keluarga: | |
Genus: | |
Spesies: | |
Subspesies: | E. f. caballus |
Nama trinomial | |
Equus ferus caballus | |
Sinonim | |
48, disenaraikan di sini |
Kuda telah dibiakbakakan dengan teliti supaya haiwan ini dapat ditunggang, biasanya dengan pelana. Haiwan ini juga boleh dikenakan abah-abah untuk menarik objek-objek seperti kereta kuda atau bajak. Dalam sesetengah budaya, kuda merupakan satu sumber makanan, termasuk daging kuda dan kekadangnya susu; dalam budaya yang lain, memakan daging kuda adalah pantang larang.
Di negara-negara kaya pada hari ini, kuda lebih biasa dipeliharakan untuk kegiatan waktu lapang dan sukan. Bagaimanapun, kuda terus memainkan berbagai-bagai fungsi ekonomi di seluruh dunia.
Manusia telah membiakbakakan kuda selama beribu-ribu tahun dan telah menghasilkan banyak jenis baka yang berbeza-beza. Serupa dengan pembiakbakaan anjing, kuda telah dibiakbakakan supaya dapat menghasilkan sifat-sifat dan keupayaan-keupayaan yang khusus; umpamanya, kuda belima dihasilkan untuk kelajuan yang diperlukan oleh perlumbaan kuda.
Perkataan kuda (Jawi: كودا) dalam bahasa Melayu diserap dari perkataan bahasa Sanskrit iaitu घोट ghoṭa melalui suatu bahasa Dravida seperti bahasa Tamil.[3][4]:82 Adalah dipercayai bahawa kuda-kuda terawal di Kepulauan Melayu didatangkan berabad-abad lalu oleh kuasa Hindu dari barat atau saudagar dari negara-negara Pegu dan Cina. Barangkalinya kuda padi Shan yang berasal dari Myanmar diimport ke tanah tinggi Sumatra Utara di mana tempatnya luas. Sejak itu, kuda-kuda tersebut dikacukkan dengan kuda Arab yang dibawa masuk oleh saudagar-saudagar Arab sekitar tahun 1375.[5]
Istilah jaran (Jawi: جارن) pula datang dari bahasa Jawa Kuno (bandingkan dengan kata Jawa ꦗꦫꦤ꧀ ) hasil pengimbuhan kata ajar memberi maksud asal sebagai "haiwan terlatih" (ajaran).[6]
Anatomi kuda diperikan oleh banyak istilah khusus. begitu juga dengan umur, warna dan baka kuda.
Bergantung pada baka, pengurusan dan persekitaran, kuda jinak moden boleh hidup menjangkau 25 ke 30 tahun.[7] Terdapat juga beberapa ekor kuda yang hidup menjangkau 40-an ke atas.[8] Rekod paling tua yang dapat ditentusahkan adalah dipegang oleh seekor kuda dari abad ke-19 bernama "Old Billy" yang hidup hingga usia 62 tahun.[7]
Tanpa mengira tarikh kelahiran sebenarnya, mengikut adat resam pertandingan, umur seseekor kuda ditambah umur setahun hanya pada 1 Januari setiap tahun di Hemisfera Utara[7][9] dan setiap 1 Ogos di Hemisfera Selatan,[10] kecuali untuk lumba kuda lasak, yang mana usia minimum untuk bertanding adalah berasaskan umur jitu sebenar kuda.[11]
Ketinggian kuda diukur hingga ke titik tertinggi kelasa, iaitu di mana leher bertemu dengan belakang.[12] Titik ini digunakan kerana ia merupakan titik anatomi yang stabil, tidak seperti kepala atau leher yang naik turun berhubung dengan tubuh kuda.
Dunia berbahasa Inggeris mengukur ketinggian kuda dengan tangan dan inci: satu tangan bersamaan dengan 4 inci (101.6 mm). Ketinggian disebut sebagai bilangan tangan yang bundar, diikuti oleh titik, diikuti bilangan inci tambahan, dan berakhir dengan singkatan "h" atau "hh" (untuk "hands high"). Oleh itu, seekor kuda yang berukuran "15.2 h" adalah 15 tangan tambah 2 inci, iaitu tinggi sejumlah 62 inci (157.5 cm).[13]
Saiz kuda berbeza-beza mengikut baka, malah juga dipengaruhi oleh pemakanan. Kuda tunggangan ringan lazimnya mencapai tinggi 14 to 16 tangan (56 to 64 inci, 142 to 163 cm) dan berat 380 hingga 550 kilogram (840 hingga 1,210 lb).[14] Kuda tunggangan yang lebih besar pula berukuran sekurang-kurangnya 15.2 tangan (62 inci, 157 cm), tetapi lazimnya mencapai ketinggian 17 tangan (68 inci, 173 cm), dan beratnya 500 hingga 600 kilogram (1,100 hingga 1,300 lb).[15] Kuda penarik pula tidak kurang 16 tangan (64 inci, 163 cm) tingginya dan boleh mencecah 18 tangan (72 inci, 183 cm). Beratnya sekitar 700 hingga 1,000 kilogram (1,500 hingga 2,200 lb).[16]
Kuda padi ditakrifkan sebagai kuda yang membesar hingga takat yang lebih kecil berbanding kuda yang biasa. Mengikut kelaziman, seekor kuda dikira sebagai kuda padi atau pony jika ia mencapai ketinggian dewasa di bawah 14.2 tangan (58 inci, 147 cm).[17] Namun demikian terdapat sesetengah pihak yang mengenakan had tinggi yang berbeza. Misalnya di Australia, kuda yang tingginya di bawah 14 tangan (56 inci, 142 cm) dikira sebagai kuda padi.[18] Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) selaku penaung sukan berkuda sedunia menggunakan ukuran metrik dan menakrifkan kuda padi sebagai kuda yang berukuran kurang daripada 148 sentimeter (58.27 in) tingginya setakat bonggol tanpa ladam, iaitu sedikit lebih daripada 14.2 tangan, dan 149 sentimeter (58.66 in), atau sedikit lebih daripada 14.2½ tangan jika memakai ladam.[19]
Kuda memiliki 64 kromosom.[20] Genom kuda dijujukkan pada tahun 2007, mengandungi 2,700 juta pasangan bes DNA,[21] iaitu lebih besar daripada genom anjing, tetapi lebih kecil daripada genom manusia atau lembu.[22] Peta genom kuda tersedia untuk para penyelidik.[23]
Kuda terdiri daripada pelbagai warna bulu dengan corak bintik tersendiri yang diperikan dengan peristilahan yang khusus. Selalunya, seseekor kuda dikelaskan mengikut warna bulunya sekali dengan baka dan jantina.[24] Kuda-kuda yang sama warna pun bolrh dibezakan mengikut tanda-tanda putihnya[25] yang antara pelbagai percorakan bintiknya diwarisi secara berasingan dengan warna bulu.[26]
Telah dikenalpastinya sejumlah besar gen yang menentukan warna dan corak bulu kuda. Ujian genetik masa kini boleh mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 alel berlainan yang mempengaruhi warna bulu,[27] sementara usaha penyelidikan terus menemui gen-gen baru yang dikaitkan dengan sifat-sifat tertentu. Warna bulu kuda yang umum iaitu merah berangan (chestnut) dan hitam adalah ditentukan oleh gen yang dikawal oleh reseptor melanokortin 1,[28] yang juga dikenali sebagai "gen sambungan" atau "faktor merah,"[27] kerana bentuk resesifnya adalah berangan sementara bentuk dominannya adalah hitam.[29] Terdapat gen-gen tambahan yang mengawal penindasan warna hitam kepada perbezaan warna anggota dengan badan yang menyebabkan bay, corak berbintik-bintik seperti pinto atau leopard, gen cairan seperti palomino atau dun, dan juga kejadian uban, antara lain-lain faktor yang mewujudkan pelbagai warna bulu yang didapati pada kuda.[27]
Kebanyakan kuda yang kelihatan berwarna putih sebenarnya tidak tepat dilabelkan putih; kuda yang kelihatan "putih" sebenarnya merupakan kuda kelabu yang berusia pertengahan ke lanjut. Kuda kelabu lahir dengan warna yang suram, tetapi bertambah cerah selaras sambil meningkat umur, tetapi lazimnya masih menyimpan kulit hitam di dasar bulu putih (kecuali di dasar tompok putih yang berkulit merah muda). Semamangnya wujud kuda putih sebenar yang dilahirkan dengan bulu yang rata-rata putih dengan kulit merah muda, namun itu jarang-jarang sekali ditemui.[29] Terdapat faktor-faktor genetik berlainan sama sekali yang menghasilkan bulu kuda berwarna putih, termasuk beberapa alel berbeza untuk gen putih dominan dan sabino-1.[30] Bagaimanapun, tidak wujudnya sebarang kuda "balar" yang ditakrifkan sebagai berkulit merah muda serta bermata merah.[31]
Kuda mengandung anak selama kira-kira 340 hari dalam julat purata 320–370 hari,[32] dan lazimnya melahirkan seekor anak sekali; anak kembar jarang-jarang sekali.[33] Anak kuda mampu berdiri dan berlari dalam masa yang singkat selepas dilahirkan.[34] Anak kuda biasanya dilahirkan pada musim bunga. Kitaran estrus seekor ibu kuda berlaku kira-kira sekali dalam 19–22 hari and berlaku dari awal musim bunga hingga musim luruh. Kebanyakan ibu kuda memasuki tempoh anestrus pada musim sejuk, dan oleh itu tidak berkitaran pada masa tersebut.[35] Anak kuda biasanya bercerai susu daripada ibu pada umur empat ke enam bulan.[36]
Sesetengah kuda, terutama sekali kuda muda jantan, mencapai kemampuan untuk membiak pada umur sekitar 18 bulan, tetapi kuda jinak jarang sekali dibenarkan untuk membiakbaka sebelum umur tiga tahun, lebih-lebih lagi kuda betina.[37] Kuda dikira matang pada umur empat tahun walaupun rangkanya pada kebiasaannya masih berkembang hingga umur enam tahun; kematangan juga bergantung pada besar, baka, jantina dan tahap penjagaan kuda. Makin besar kuda itu, maka makin besarlah tulang-tulangnya; maka bukan sahaja tulang-tulangnya menelan masa yang lebih lama untuk membentuk tisu tulang, malahan plat epifisisnya lebih besar dan lebih lama untuk berubah dari rawan menjadi tulang. Plat-plat ini berubah selepas bahagian-bahagian tulang yang lain, malah adalah penting untuk pertumbuhan.[38]
Bergantung pada kematangan, baka dan kerjanya, kuda lazimnya dipasangi pelana dan dilatih untuk ditunggang pada umur dua ke empat tahun.[39] Biarpun kuda lumba belima diturunkan ke balapan pada umur semuda dua tahun di sesetengah negara,[40] namun pada umumnya kuda yang dibiakbaka khusus untuk sukan-sukan seperti dressage hanya dipakaikan pelana until pada umur tiga ke empat tahun kerana tulang ototnya belum berkembang dengan mantap.[41] Untuk sukan lumba kuda lasak pula, kuda hanya mencapai kematangan pada umur lima tahun.[11]
Rangka kuda terdiri daripada purata 205 batang tulang.[42] Salah satu perbezaan paling ketara antara rangka kuda dengan rangka manusia adalah tiadanya tulang selangka, yang mana batang kaki depan kuda bercantum dnegan turus vertebra oleh selengkap otot, tendon dan ligamen yang melekatkan tulang belikat kepada torso. Batang kaki dan telapuk kuda juga merupakan struktur yang unik. Tulang kaki kuda berbeza perkadarannya dengan tulang kaki manusia. Contohnya, anggota badan yang digelar "lutut" kuda sebenarnya terdiri daripada tulang-tulang karpus yang bersamaan dengan pergelangan tangan manusia. Begitu juga, hok kuda mengandungi tulang-tulang yang bersamaan dengan tulang-tulang buku lali dan tumit manusia. Tulang kering kaki kuda bersamaan dengan tulang tangan atau tapak kaki manusia, sementara ketingnya merupakan tulang sesamoid di antara "tulang kering" (bersamaan dengan tulang metakarpus atau metatarsus manusia) dan falanks proksimal, iaitu terletak di tempat yang bersamaan dengan "buku jari" manusia. Kuda juga tidak mempunyai otot di bawah lutut dan hok di dalam kakinya, sebaliknya hanya ada kulit, rambut, tulang, tendon, ligamen, rawan, dan beraneka tisu khas yang membentuk telapuknya.[43]
Kepentingan terulung kaki kuda disimpulkan oleh pepatah "tiada kaki, tiada kuda".[44] Telapuk kuda berpangkalkan falanks distal yang bersamaan dengan hujung jari manusia, disaluti oleh rawan dan lain-lain tisu lembut khusus yang kaya dengan darah seperti laminae. Kulit telapuk luaran dan hujung tapak kaki diperbuat daripada bahan yang sama seperti kuku manusia.[45] Hasilnya adalah bahawa seekor kuda yang purata berat badannya 500 kilogram (1,100 lb),[46] berjalan di atas tulang-tulang yang sama seperti manusia yang berjalan berjengket-jengket.[47] Untuk perlindungan telapuk dalam keadaan-keadaan tertentu, sesetengah kuda dipakaikan ladam di tapak kakinya oleh tukang ladam profesional. Telapuk itu membesar tanpa henti, maka bagi kebanyakan kuda jinak, telapuknya harus dipotong (dan ladam yang terpakai dilaraskan) setiap lima ke lapan minggu,[48] meskipun telapuk kuda liar menghaus dan tumbuh semula pada kadar yang sesuai untuk rupa buminya.
Kuda tersesuai dengan meragut rumput. Pada kuda dewasa terdapat 12 batang gigi acip di hadapan mulutnya yang sesuai untuk menggigit rumput atau dedaun seumpamanya. Terdapat 24 batang gigi yang sesuai untuk mengunyah, iaitu geraham kecil dan geraham di belakang mulut. Kuda jantan dewasa memiliki empat batang gigi tambahan di belakang gigi acip, iaitu suatu jenis 'gigi taring'. Sesetengah kuda, baik jantan mahupun betina, akan juga tumbuh satu hingga empat batang gigi sisa di hadapan geraham, iaitu gigi "serigala" yang lazimnya dicabut kerana boleh mengganggu kekang. Terdapat celah kosong di antara gigi acip dan gigi geraham di mana kekang itu terletak terus di atas gusi, ataupun "palang" di dalam mulut kuda yang dikekang.[49]
Umur kuda boleh dianggarkan dengan mengamati giginya. Gigi itu terus tumbuh sepanjang hidup dan dihauskan dengan meragut. Oleh itu, gigi acip memperlihatkan perubahan sambil kuda itu meningkat usia; gigi itu mendapat corak kehausan yang tersendiri, perubahan pada bentuk gigi, serta perubahan pada sudut pertemuan antara permukaan gigi yang mengunyah. Ini membolehkan penganggaran umur kuda yang kasar sekali, tetapi pemakanan dan penjagaan turut mempengaruhi secepat mana gigi itu haus.[7]
Kuda merupakan haiwan maun dengan sistem pencernaan yang sesuai untuk pemakanan rumput dan bahan-bahan tumbuhan seumpamanya secara berterusan sepanjang hari. Oleh itu, berbanding dengan manusia, kuda mempunyai perut yang agak kecil tetapi ususnya amat panjang untuk melicinkan aliran zat. Seekor kuda yang beratnya 450-kilogram (990 lb) mampu memakan 7 hingga 11 kilogram (15 hingga 24 lb) makanan sehari serta meminum 38 liter (8.4 imp gal; 10 US gal) hingga 45 liter (9.9 imp gal; 12 US gal) air dalam kegunaan biasa. Kuda bukan ruminan, maka perutnya hanya satu seperti manusia, tetapi tidak seperti manusia, ia mampu mencerna selulosa, iaitu satu komponen utama dalam rumput. Pencernaan selulosa berlku di dalam sekum atau "usus air" yang dilalui oleh makanan sebelum mencapai usus besar. Kuda tidak boleh muntah, maka masalah pencernaan boleh cepat menyebabkan penyakit kolik, iaitu punca utama kematian.[50]
Pancaindera kuda adalah berasaskan tarafnya sebagai haiwan mangsa, yang mana ianya mesti sentiasa peka akan keadaan di sekelilingnya.[51] Mata kuda adalah yang paling besar dalam kalangan semua mamalia daratan,[52] malah terletak di sisi-sisi kepala.[53] Ertinya, kuda memiliki julat penglihatan yang menjangkau 350°, yang mana sekitar 65° daripadanya adalah penglihatan dwimata sementara 285° yang selebihnya penglihatan ekamata.[52] Penglihatan kuda jelas sekali baik siang mahupun malam, tetapi hanya mampu mencerap dua warna; penglihatan warnanya lebih kurang seumpama manusia yang buta warna merah-hijau, yang mana warna-warna yang sepatutnya kemerahan tampak kehijauan.[54] Deria bau kuda, biarpun jauh lebih tajam daripada manusia, namun bukanlah kelebihannya yang terbesar; kuda lebih bergantung pada penglihatan berbanding bau.[51]
Pendengaran kuda itu tajam,[51] malah cuping telinganya boleh berpulas sehingga 180°, maka bolehnya pendengaran 360° tanpa perlu mengalihkan kepala.[55] Hingar mempengaruhi kelakuan kuda, malah hingar-hingar tertentu boleh menyebabkan tekanan: Sebuah kajian di UK pada tahun 2013 menunjukkan bahawa kuda di dalam kandang adalah paling tenang di dalam suasana yang senyap ataupun apabila mendengr lagu rakyat atau klasik, tetapi mempamerkan tanda-tanda kegemuruhan apabila mendengar lagu jazz atau rock. Kajian ini turut mencadangkan supaya muzik dipasangkan di bawah takat 21 desibel.[56] Satu lagi kajian dari Australia mendapati bahawa kuda-kuda lumba yang mendengar radio sembang-sembang mengalami kadar ulser gastrik yang lebih tinggi daripada kuda-kuda yang mendengar lagu, malahan kuda-kuda lumba dikandangkan di tempat radio berkumandang mencatat kadar pemborokan yang lebih tinggi berbanding kuda-kuda yang dikandangkan di tempat tiada radio berkumandang.[57]
Kuda memiliki deria imbangan yang mantap, antara lainnya disebabkan kemampuannya untuk merasai pijakannya serta propriosepsi (deria tanpa sedar akan di mana letaknya badan dan anggotanya sepanjang masa) yang amat maju.[58] Deria sentuh kuda juga maju sekali. Anggota-anggota kulit yang paling peka adalah di sekitar mata, telinga dan hidung.[59] Kuda mampu merasai sentuhan sehalus serangga yang menghinggap di mana-mana pada tubuh.[60]
Deria rasa kuda juga maju sekali, membolehkannya untuk mengasing-asingkan foder dan memilih makanan yang paling digemarinya,[61] malah bibirnya yang boleh paut senang mengasingkan biji-bijian yang sehalus mana pun. Kuda pada umumnya tidak memakan timbuhan beracun, namun itu pun ada kecualinya; adakalanya kuda sanggup makan sejumlah tumbuhan beracun yang toksik walaupun makanan berkhasiat mencukupi.[62]
Kesemua kuda bergerak semula jadi dengan empat lenggok yang asas, iaitu berjalan berdepak empat yang purata lajunya 6.4 kilometer per jam (4.0 mph); trot berdepak dua pada 13 hingga 19 kilometer per jam (8.1 hingga 11.8 mph); kanter berdepak tiga pada 19 hingga 24 kilometer per jam (12 hingga 15 mph); dan derap.[63] Derap itu puratanya 40 hingga 48 kilometer per jam (25 hingga 30 mph),[64] tetapi rekod dunia untuk kuda yang menderap sepanjang jarak pecutan yang singkat ialah 88 kilometer per jam (55 mph).[65] Selain tiga lenggok asas ini, sesetengah kuda melakukan ligasan sebagai ganti trot.[66] Terdapat juga beberapa gaya "gontai" empat depakan yang lebih kurang selaju ligasan, tetapi lebih senang untuk menunggang. Antaranya ialah rack, jalan lari, dan tölt yang bercorak sisian (lateral) serta fox trot yang bercorak pepenjuru (diagonal).[67] Gaya gontai tersebut biasanya tersemai secara genetik dalam sesetengah baka kuda.[68]
Kuda merupakan haiwan mangsa dengan respons lari atau lawan yang tangkas. Reaksi pertama mereka kepada ancaman adalah terkejut dan berlari pada kebiasaannya, tetapi ia boleh mempertahankan diri tanpa berganjak jika berlari itu mustahil atau jika anaknya diugut.[69] Kuda juga cenderung ingin tahu; apabila terkejut, ianya seing teragak-agak sebentar untuk memastikan punca ketakutannya, dan tidak semestinya berlari dari sesuatu yang ia anggap sebagai tidak mengancam. Kebanyakan baka kuda tunggangan ringan dibiakbakakan untuk kelajuan, ketangkasan, kewaspadaan dan kelasakan; sifat-sifat semula jadi yang dianjurkan daripada leluhur liarnya Akan tetapi, menerusi pembiakbakaan berpilih, sesetengah baka kuda agak jinak, terutamanya jenis-jenis kuda penarik tertentu.[70] Kuda merupakan haiwan berkawanan dengan tatatingkat yang nyata, dipimpin oleh seekor ketua dominan yang lazimnya betina. Kuda juga merupakan makhluk sosial yang mampu membentuk ikatan persahabatan sesama kuda dan juga dengan haiwan jenis lain, termasuk manusia. Kuda berkomunikasi dengan pelbagai cara, termasuk penyuaraan seperti meringkik, saling merapikan badan, dan bahasa gerak-geri. Lazimnya kuda akan sukar diuruskan jika diasingkan, tetapi setelah dilatih, kuda boleh belajar menerima manusia sebagai teman, dan oleh itu mampu selesa berjauhan dari kuda-kuda yang lain.[71] Akan tetapi, jika dikurung dengan kurangnya pertemanan, senaman, atau rangsangan, seseekor kuda mungkin terjebak dalam pelbagai tabiat buruk yang berpunca daripada masalah jiwa, termasuklah mengunyah kayu, menyepak dinding, berbuai-buai mundar-mandir, dan sebagainya.[72]
Pada zaman dahulu, kuda dianggap tidak pintar, tiada kebolehan pemikiran abstrak, tidak mampu membuat anggapan umum, dan didorong terutama sekali oleh mentaliti kawanan. Bagaimanapun, kajian-kajian moden menunjukkan bahawa kuda melakukan beberapa tugas yang kognitif secara sehari-hari, berdepan dengan cabaran mental yang merangkumi pencarian makanan dan pengenalan sistem sosial. Kuda juga memiliki kebolehan mengarifi ruang.[73] Kajian-kajian telah menilai kecerdasan kuda dalam bidang-bidang penyelesaian masalah, kecepatan belajar, serta daya ingatan pembelajaran. Hasil kajian menunjukkan bahawa kuda cemerlang dalam pembelajaran ringkas, malah mampu menyelesaikan cabaran kognitif lanjutan yang melibatkan pengkategorian dan pembelajaran konsep. Kuda belajar dari pembiasaan, penyahpekaan, pelaziman ala Pavlov, dan pelaziman operan. Kuda bertindak balas dan belajar dari peneguhan positif dan negatif.[73] Kajian terkini turut berpendapat bahawa kuda mampu mengira asalkan bilangannya kurang daripada empat.[74]
Kuda jinak cenderung menghadapi cabaran mental yang lebih besar berbanding kuda liar kerana kuda jinak hidup di persekitaran buatan manusia yang membantutkan sifat kenalurian sambil mempelajari tugas-tugas yang tidak semula jadi.[73] Kuda merupakan makhluk yang terikat pada tabiat, yang mampu bertindak balas dan cepat menyesuaikan diri dengan disiplin yang ketat, serta paling baik bertindak balas apabila rutin dan teknik yang sama dijalankan secara tekal. Sesetengah pelatih percaya bahawa kuda yang "pintar" mencerminkan kepintaran pelatihnya yang menggunakan teknik-teknik perapian respons secara berkesan serta peneguhan positif untuk melatih mengikut gaya yang paling sesuai dengan kecenderungan semula jadi seseekor kuda. Ada juga penjaga kuda yang memperhatikan bahawa personaliti mungkin juga memainkan peranan yang berasingan dengan kepintaran dalam menentukan bagaimana seseekor kuda bertindak balas kepada pelbagai pengalaman.[75]
Kuda merupakan mamalia, dan oleh yang demikian "berdarah panas", bertentangan dengan reptilia yang berdarah sejuk. Bagaimanapun, istilah-istilah ini telah mendapat pengertian yang berbeza khusus buat peristilahan kuda untuk memerikan pembawaan daripada suhu badan. Misalnya, yang "berdarah panas" (hot-blooded) seperti kebanyakan kuda lumba lebih mempamerkan kepekaan dan tenaga,[76] sementara yang "berdarah sejuk" (cold-blooded) seperti kebanyakan kuda penarik pula lebih senyap dan tenang.[77] Adakalahnya "darah panas" digolongkan sebagai "kuda ringan" atau "kuda tunggangan",[78] sementara "darah sejuk" pula "kuda penarik" atau "kuda kerja".[79]
Antara baka "berdarah panas" termasuk "kuda timur" seperti Akhal-Teke, Arab, Barb dan Turkoman yang kini pupus, serta baka Belima (Thoroughbred) yang dimajukan di Inggeris daripada baka-baka timur yang terdahulu.[76] Kuda berdarah panas selalunya kuat semangat, berani dan cepat belajar. Ianya dibiakbakakan untuk ketangkasan dan kelajuan.[80] Kuda berdarah panas selalunya berkulit jarang halus dan berkaki panjang.[81] Kuda-kuda timur yang asli dibawa ke Eropah dari Timur Tengah dan Afrika Utara sewaktu para pembiakbaka dari Eropah ingin menyemai sifat-sifat ini pada kuda lumba dan kuda tentera ringan.[82][83]
Kuda penarik yang serba berat dan berisi daging digelar "berdarah sejuk" kerana ia dibiakbakakan bukan sahaja untuk kekuatan, malah memerlukan pembawaan tenang dan sabar yang diperlukan untuk menarik bajak atau pedati yang sarat dengan penumpang.[77] Antara baka yang terkenal termasuk Belgium dan Clydesdale.[84] Terdapat sesetengah baka yang lebih ringan dan cergas seperti Percheron, direka untuk menarik pedati atau membajak sawah di kawasan-kawasan beriklim gersang.[85] Ada juga baka yang lebih perlahan tetapi lebih berkuasa seperti Shire, dibiakbakan untuk membajak sawah yang tanahnya tebal dan liat.[86] Kelompok darah sejuk ini turut termasuk sesetengah baka kuda padi.[87]
Baka-baka "berdarah suam" (warmblood) seperti Trakehner atau Belima direka ketika kuda pedati dan kuda perang Eropah dikacukkan dengan kuda Arab atau Belima Inggeris untuk membuahkan kuda tunggangan yang lebih berpekerti halus daripada kuda penarik, tetapi lebih besar dan lebih lembut barannya daripada baka yang lebih ringan.[88] Sesetengah baka kuda padi yang bersifat darah panas telah pun direka untuk penunggang yang berbadan lebih kecil.[89]
Kini, istilah warmblood atau "berdarah suam" memaksudkan baka-baka kuda sukan tertentu yang digunakan untuk pertandingan dalam dressage dan show jumping.[90] Sebenarnya, istilah warmblood memaksudkan sebarang kacukan sesama baka darah panas dan darah sejuk.[91] Antara contohnya ialah Penarik Ireland dan Cleveland Bay. Istilah ini pernah digunakan untuk memaksudkan baka-baka kuda tunggangan ringan selain Belima atau Arab seperti kuda Morgan.[80]
Kuda mampu tidur sambil berdiri mahupun berbaring. Dalam suatu adaptasi dari hidup secara liar, kuda mampu tidur ringan dengan menggunakan suatu "penambat" di dalam kaki-kakinya yang membolehkannya untuk tidur tanpa rebah.[92] Kuda tidur dengan lebih lena secara berkumpulan kerana sesetengah dibiarkan tidur sementara yang lain berjaga-jaga untuk pemangsa. Seekor kuda yang bersendirian tidak senang tidur disebabkan naluri untuk sentiasa mengawasi untuk bahaya.[93]
Tidak seperti manusia, kuda tidak tidur pada waktu yang tetap dan tidak terputus, sebaliknya banyak kali berehat sejenak-sejenak. Kuda menelan masa empat ke lima belas jam sehari untuk berehat sambil berdiri, di samping berbaring selama beberapa minit ke beberapa jam. Jumlah masa tidur dalam tempoh 24 jam mungkin selama beberapa minit atau beberapa jam,[93] lazimnya dalam selang-selang yang sesingkat 15 minit.[94] Purata jangka masa tidur seekor kuda jinak dikatakan pada 2.9 jam sehari.[95]
Kuda mesti berbaring untuk mencapai tidur REM. Ia hanya perlu berbaring selama satu ke dua jam setiap tempoh hari untuk mencapai keperluan tidur REM asasnya.[93] Bagaimanapun, jika seseekor kuda dilarang sesekali berbaring, selepas beberapa hari ia akan kekurangan tidur, dan jarang-jarang mungkin rebah tiba-tiba sambil ia tertidur REM di luar kawalan sambil masih berdiri.[96] Keadaan ini berbeza dengan narkolepsi, tetapi kuda juga boleh mengalami gangguan ini.[97]
Kuda menjalani adaptasi untuk hidup kawasan lapangan terbuka dengan tumbuh-tumbuhan yang jarang, bahkan di sebuah ekosistem yang sukar didiami oleh haiwan-haiwan peragut besar yang lain, terutamanya ruminan.[98] Kuda dan haiwan-haiwan seumpamanya merupakan ungulat berjari ganjil dari order Perissodactyla, iaitu sekumpulan mamalia yang pernah dominan sewaktu zaman Tertier. Pada zaman dahulu, order ini mengandungi 14 famili, tetapi hanya tiga yang wujud hingga masa kini, iaitu Equidae (keluarga kuda), cipan, dan badak sumbu.[99]
Ahli keluarga Equidae tertua yang dikenal pasti ialah Hyracotherium yang hidup pada 45 ke 55 juta tahun dahulu sewaktu zaman Eosen. Ia mempunyai 4 batang jari pada setiap kaki depan, dan 3 batang jari pada setiap kaki belakang.[100] Jari tambahan pada kaki depan kemudiannya gugur pada Mesohippus yang hidup pada 32 ke 37 juta tahun dahulu.[101] Lama-kelamaan, jari-jari sisi itu mengecil hingga lenyap. Yang tinggal pada kuda moden hanya seperanggu tulang sisa yang halus pada bahagian betis[102] yang bergelar "tulang splin".[103] Kaki-kakinya turut memanjang sedangkan jari kakinya hilang hingga kuda itu menjadi haiwan bertelapuk yang mampu berlari dengan amat pantas.[102] Pada sekitar 5 juta tahun dahulu, lahirnya Equus yang moden.[104] Gigi kuda turut berevolusi dari meragut dedaun tropika yang lembut untuk menyesuaikan diri dengan bahan dedaun yang lebih kering, diikuti oleh meragut rumput daratan yang lebih keras. Maka kuda purba berubah dari penghuni hutan yang memakan daun kepada penghuni kawasan separa gersang yang memakan rumput di seluruh dunia, baik di rantau steppe di Eurasia mahupun Great Plains di Amerika Utara.
Menjelang sekitar 15,000 tahun dahulu, Equus ferus telah menjadi spesies holartik yang tersebar luas. Tulang kuda dari zaman ini, iaitu lewat Pleistosen, dijumpai di Eropah, Eurasia, Beringia, dan Amerika Utara.[105] Akan tetapi sekitar 10,000 ke 7,600 tahun dahulu, kuda itu menjadi pupus di Amerika Utara dan jarang ditemui di tempat-tempat lain.[106][107][108] Punca kepupusan ini masih belum dipastikan, tetapi terdapat satu teori yang menganjurkan bahawa kepupusan di Amerika Utara itu selari dengan ketibaan manusia.[109] Satu lagi teori menunjuk kepada perubahan iklim, yang mana diperhatikan bahawa pada sekitar 12,500 tahun dahulu, rumput-rumput yang menyifatkan ekosistem steppe telah membuka laluan kepada tundra pokok renek yang dilitupi dengan tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dimakan oleh kuda.[110]
Kuda liar yang sejati merupakan spesies atau subspesies yang tidak mempunyai leluhur yang pernah dijinakkan. Oleh itu, kebanyakan kuda "liar" zaman sekarang ini sebenarnya kuda jalang, iaitu haiwan yang melarikan diri atau dibebaskan dari kawanan yang dibela jinak serta keturunannya.[111] Hanya dua subspesies yang tidak pernah dibela jinak, iaitu Tarpan dan Przewalski yang hidup di dalam catatan sejarah, malah hanya kuda Przewalski yang hidup hingga masa kini.
Kuda Przewalski (Equus ferus przewalskii) yang dinamai sempena penjelajah Rusia, Nikolai Przhevalsky, merupakan sejenis mamalia Asia yang jarang-jarang dijumpai. Ia juga dikenali sebagai Kuda Liar Mongolia; masyarakat Mongolia mengenalinya dengan nama taki, sementara orang Kyrgyz memanggilnya kirtag. Subspesies tersebut dianggap pupus di alam liar pada tahun 1969 hingga 1992, sementara sebilangan kecil yang membiak hidup di taman-taman haiwan seluruh dunia. Pada tahun 1992, ia diterapkan semula ke dalam alam liar atas usaha pemuliharaan sesetengah taman haiwan.[112] Kini, wujudnya sebuah populasi kecil kuda Przewalski liar yang membiak di Mongolia.[113][114] Masih terdapat kuda Przewalski yang masih dijaga di taman-taman haiwan seluruh dunia.
Kuda Tarpan atau Kuda Liar Eropah (Equus ferus ferus) pernah ditemui di Eropah dan Asia. Ia hidup hingga zaman sejarah manusia, tetapi pupus pada tahun 1909, apabila kuda Tarpan terkurung yang terakhir mati di sebuah taman haiwan di Rusia,[115] maka hilanglah susun galurnya. Terdapat cubaan-cubaan untuk mencipta semula kuda Tarpan,[115][116][117] yang membuahkan kuda-kuda yang amat serupa pada luaran, tetapi tetap diturunkan daripada leluhur-leluhur yang jinak, dan oleh itu bukan kuda liar sejati.
Kadang-kadang, populasi kuda di kawasan terpencil diandaikan sebagai populasi kuda liar tinggalan purba, tetapi pada umumnya diketahui sebagai kuda jalang atau kuda jinak. Misalnya, kuda Riwoche dari Tibet diusulkan sebagai liar,[114] tetapi pemeriksaan tidak mendapati perbezaan genetik dengan kuda jinak.[118] Begitu juga, kuda Sorraia dari Portugal pernah diusulkan sebagai keturunan langsung Tarpan berdasarkan persamaan ciri-ciri,[119][120] namun kajian genetik telah menunjukkan bahawa Sorraia jauh lebih rapat bersaudara dengan baka-baka kuda yang lain, maka persamaan luaran itu bukan ukuran persaudaraan yang berwibawa.[119][121]
Selain kuda, terdapat tujuh spesies lain yang menganggotai genus Equus dalam famili Equidae, iaitu keldai, Equus asinus; kuda belang gunung, Equus zebra; kuda belang dataran, Equus quagga; kuda belang Grévy, Equus grevyi; kiang, Equus kiang; dan onager, Equus hemionus.[122]
Kuda boleh membiak campur bersama ahli-ahli lain dalam genusnya. Antara kacukan yang paling umum ialah baghal, iaitu kacukan keldai jantan dengan kuda betina; dan hinny, iaitu kacukan kuda jantan dengan keldai betina.[123] Selain itu, terdapat juga zorse, iaitu kacukan kuda belang dengan kuda.[124] Kebanyakan besar kacukan ini adalah mandul dan tidak boleh membiak.[125]
Penjinakan kuda mungkin sekali bermula di Asia Tengah sebelum 3500 SM. Dua sumber maklumat utama digunakan untuk menentukan di mana dan bila kuda mula-mula sekali dijinakkan dan bagaimana kuda bela jinak itu tersebar ke seluruh dunia. Sumber pertama adalah berasaskan penemuan palaeologi dan arkeologi, sementara sumber kedua merupakan perbandingan DNA yang diperoleh daripada kuda moden dan daripada tulang gigi kuda purba.
Bukti kaji purba terawal untuk pembelajinakan kuda datangnya dari tapak-tapak di Ukraine dan Kazakhstan yang bertarikh sekitar 3500–4000 SM.[126][127] Menjelang 3000 SM, kuda dibelajinakkan sama sekali dan pada sekitar 2000 SM terdapat peningkatan mendadak dalam bilangan tulang kuda yang ditemui di petempatan manusia di Eropah barat laut, yang menandakan penyebaran kuda bela jinak ke seluruh benua.[128] Bukti yang terbaru dan paling tidak tersangkal tentang pembelajinakan datangnya daripada tapak-tapak di mana bangkai kuda dikebumikan bersama kereta rata di dalam kubur-kubur kebudayaan Sintashta dan Petrovka pada sekitar 2100 SM.[129]
Pembelajinakan kuda turut terkaji dengan menggunakan bahan-bahan genetik dari kuda zaman sekarang untuk dibandingkan dengan bahan-bahan genetik yang terdapat pada tulang gigi tinggalan kuda yang terdapat di tapak ekskavasi kaji purba. Variasi pada bahan-bahan genetik menunjukkan sungguh sedikit sekali kuda jantan liar yang menyumbang kepada kuda bela jinak,[130][131] sedangkan terdapat banyak kuda betina dalam kawanan jinak purba.[121][132][133] Ini dicerminkan pada berbezaan dalam variasi genetik antara DNA yang diturunkan sepanjang keturunan bapa (kromosom Y) dengan yang diturunkan sepanjang keturunan ibu (DNA mitokondrion). Keragaman genetiknya amat rendah bagi kromosom Y,[130][131] tetapi amat tinggi buat DNA mitokondrion.[121][132][133] Juga terdapat variasi antara setempat pada DNA mitokondrion disebabkan penyertaan kuda betina liar ke dalam kawanan jinak.[121][132][133][134] Satu lagi sifat pembelajinakan ialah peningkatan dalam kepelbagaian warna bulu.[135] Bilangan wanra kuda ini meningkat secara mendadak dari 5000 ke 3000 SM.[136]
Kuda jalang lahir dan tinggal di habitat liar, tetapi berasal daripada kuda bela jinak.[111] Terdapat banyak penempatan kuda jalang di seluruh dunia.[137][138] Kajian-kajian ke atas kawanan jalang telah memberi pengertian yang berguna terhadap perilaku kuda purba,[139] di samping menambahkan kefahaman terhadap naluri dan kelakuan yang mendorong kuda-kuda yang hidup dalam keadaan serba jinak.[140]
Terdapat juga kuda separa jalang di merata dunia, misalnya baka Dartmoor dan New Forest di UK, di mana kuda-kuda berkenaan dimiliki oleh pihak persendirian tetapi banyak menghabiskan masa hidup di keadaan "liar" di tempat-tempat awam yang tidak dibangunkan. Pemilik haiwan-haiwan sedemikian lazimnya membayar yuran untuk hak meragut.[141][142]
Konsep baka tulen dan daftar baka bertulis yang terkawal telah menjadi penting sekali pada zaman moden. Kuda baka tulen juga sering bergelar "baka baik" atau "thoroughbred", padahal Thoroughbred memaksudkan satu baka kuda yang tertentu (Belima), sementara "baka tulen" merupakan kuda (atau sebarang haiwan lain) dengan pedigri tertentu yang dikenali oleh sesebuah daftar baka.[143] Baka kuda bermaksud kelompok kuda dengan ciri-ciri tersendiri yang diturunkan secara konsisten kepada anaknya, seperti susuk badan, warna, kebolehan persembahan, atau pembawaan. Sifat-sifat keturunan ini berpunca daripada gabungan pembakaan silang semula jadi dan kaedah-kaedah pemilihan buatan. Kuda menjalani pembiakbakaan terpilih sejak mula-mula dijinakkan. Antara golongan-golongan terawal yang membiakbakakan kuda secara berpilih ialah Badwi yang terkenal dengan alaman yang teliti, membela kuda Arab dalam pedigri yang berlarutan serta amat mementingkan baka tulen.[144] Pembiakbakaan tulen ini asalnya diajarkan secara lisan.[145] Pada abad ke-14, rahib Kristian dari Sepanyol selatan membela pedigri baka baik secara teliti yang masih didapati pada kuda Andalusia.[146]
Setiap baka kuda dihasilkan kerana perlunya "bentuk untuk fungsi", iaitu keperluan untuk memperoleh ciri-ciri tertentu untuk melakukan kerja yang tertentu.[147] Oleh itu, baka yang kuat tetapi halus seperti Andalus terhasil sebagai kuda tunggangan dengan bakat untuk dressage.[147] Kuda penarik berat dihasilkan atas keperluan untuk melakukan kerja ladang yang susah serta menarik kereta sorong yang berat-berat.[148] Baka-baka lain pula dihasilkan khusus untuk kerja pertanian ringan, kerja pedati dan pengangkutan, pelbagai jurus sukan, ataupun sekadar dibela.[149] Sesetengah baka terhasil daripada berabad-abad perkacukan sesama baka, sementara baka-baka lain diturunkan dari seekor "bapa kuda asas" yang tunggal, atau lain-lain baka baik asas yang terhad kacukannya. Antara daftar baka rasmi yang terawal ialah General Stud Book untuk kuda Belima yang dikeluarkan pada tahun 1791 serta menyusur-galurkan asas baka untuk baka berkenaan.[150] Terdapat lebih daripada 300 baka kuda di dunia hari ini.[151]
Di seluruh dunia, kuda memainkan peranan dalam kebudayaan manusia semenjak ribuan tahun dahulu. Kuda digunakan untuk kegiatan istirahat, sukan dan pekerjaan. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menganggarkan bahawa pada tahun 2008, terdapat hampir 59,000,000 ekor kuda di dunia, iaitu sekitar 33,500,000 ekor di benua Amerika, 13,800,000 ekor di Asia, 6,300,000 ekor di Eropah dan sebilangan kecil lagi di Afrika dan Oseania.[152]
Komunikasi antara manusia dan kuda adalah penting sekali dalam sebarang kegiatan berkuda;[153] kuda selalunya ditunggang dengan pelana di atas belakangnya untuk mengimbangi kedudukan penunggang, serta kekang untuk penunggang mengawal kuda.[154] Kuda juga adakalanya ditunggang tanpa pelana,[155] malah adakalanya kuda dilatih untuk beraksi tanpa kekang atau alas kepala yang seumpamanya.[156] Juga banyak terdapat kuda yang "dipandu", iaitu memerlukan abah-abah, kekang, dan suatu jenis kenderaan.[157]
Sejak dahulu kala, penunggang kuda mengasah kemahiran menerusi sukan dan perlumbaan. Sukan menunggang kuda (atau ekuestrian) membekalkan hiburan untuk orang ramai serta mengasah kemahiran menunggang kuda yang diperlukan sewaktu perang. Kebanyakan sukan seperti dressage, eventing dan show jumping berasal dari latihan tentera yang tertumpu pada kawalan dan pengimbangan kuda dengan penunggang sekali. Sukan-sukan lain seperti rodeo pula berkembang dari kemahiran-kemahiran amali seperti yang diperlukan untuk mengusahakan ladang ternak. Kegiatan berburu sambil menunggang kuda turut berevolusi dari teknok-teknik pemburuan amali purba.[153] Segala jenis perlumbaan kuda berevolusi dari peraduan spontan sesama penunggang. Segala jenis pertandingan yang memerlukan kemahiran yang tinggi dan khusus pada kuda dan penunggangnya sekali menyebabkan penghasilan baka dan kelengkapan yang khusus untuk setiap sukan. Berkat daripada kelarisan sukan berkuda selama berabad-abad, terpeliharanya kemahiran-kemahiran yang daripada kepupusan setelah kuda dilucutkan dari kegunaan perang.[158]
Kuda dilatih untuk ditunggang atau dipandu dalam pelbagai pertandingan sukan, misalnya show jumping, dressage, eventing tiga hari, rodeo, dan sebagainya.[159] Pertunjukan kuda yang berakar umbi pada pesta Eropah Zaman Pertengahan turut diadakan di seluruh dunia. Acara-acara ini terdiri daripada pelbagai kelas, meliputi segala jurus bertunggang dan berabah-abah, dan juga kelas 'tali kajai' yang mana kuda itu dituntun, bukan ditunggang, untuk dinilai berasaskan kesusukannya. Kaedah pengadilan berbeza-beza mengikut disiplin, tetapi untuk memenanginya lazimnya bergantung pada gaya dan kebolehan kuda dan penunggang sekali.[160]
Sukan seperti polo tidak mengadili kuda, sebaliknya menggunakan kuda sebagai teman untuk pesaing manusia sebagai kelengkapan asas permainan. Biarpun kuda itu memerlukan latihan khusus untuk bertanding, namun prestasinya tidak diadili, sebaliknya hanya hasil tindakan penunggangnya, iaitu memasukkan bola ke dalam gawang atau sebagainya.[161] Antara sukan gandingan manusia dengan kuda sebegini ialah jousting dari Eropah yang mana pemain mesti menjatuhkan lawannya dari kuda dengan sejenis tombak,[162] dan buzkashi, iaitu sukan berpasukan dari Asia Tengah yang bertujuan menangkap bangkai kambing sambil menunggang kuda.[161]
Lumba kuda merupakan sebuah industri antarabangsa yang disaksikan di hampir setiap negara di dunia. Terdapat tiga jenisnya iaitu: flat (balapan biasa); steeplechase (balapan berhalangan); dan "lumba adang-adang" yang mana kuda meligas sambil menarik pemandunya dengan sebuah pedati kecil.[163] Kepentingan ekonomi lumba kuda ditunjangi oleh perjudian.[164]
Terdapat beberapa pekerjaan yang begitu tangkas dilakukan oleh kuda, hingga belum ada teknologi yang dibangunkan untرuk mengganti mereka sama sekali. Misalnya, kuda polis masih berkesan untuk sesetengah jenis tugas meronda serta mengawal keramaian.[165] Ladang ternak lembu masih memerlukan penunggang kuda untuk menggiring lembu yang bertempiaran di seluruh bumi yang berjauhan dan kasar.[166] Badan-badan mencari dan menyelamat di sesetengah negara mengharapkan pasukan berkuda untuk mencari orang sesat, terutamanya pengembara dan kanak-kanak, serta membekalkan bantuan amal bencana.[167] Kuda juga boleh digunakan di kawasan yang menegah penggunaan kenderaan ke atas tanah yang rapuh seperti hutan simpan, apatah lagi boleh dijadikan satu-satunya bentuk pengangkutan yang dibenarkan di kawasan hidupan liar. Kuda lebih senyap daripada kenderaan bermotor. Penguatkuasa undang-undang seperti renjer atau pelindung mergastua boleh menggunakan kuda untuk meronda. Kuda dan baghal juga sesuai untuk mengerjakan denai atau lain-lain kawasan bumi kasar yang kurang sesuai untuk kenderaan bermotor.[168]
Biarpun kuda diganti oleh jentera di merata dunia, namun sekitar 100 juta ekor kuda, keldai dan baghal masih digunakan untuk tujuan-tujuan pertanian dan pengangkutan di kawasan-kawasan yang kurang terbangun. Bilangan ini merangkumi sekitar 27 juta haiwan bekerja di Afrika sahaja.[169] Sesetengah amalan pengurusan tanah seperti bercucuk tanam dan membalak boleh dijalankan dengan cekap dengan kuda. Dalam bidang pertanian, penggunaan bahan api fosil dikurangkan sementara pemuliharaan alam sekitar dipertingkat lama-kelamaan dengan penggunaan haiwan penarik seperti kuda.[170][171] Pembalakan dengan kuda boleh mengurangkan kerosakan pada struktur tanah dan juga pokok kerana pemilihan balak yang lebih terpilih.[172]
Kuda moden sering digunakan untuk melakonkan semula acara bersejarah, terutamanya peristiwa peperangan yang terkenal.[173] Kuda juga digunakan untuk memelihara tradisi budaya serta menjalankan upacara. Negara-negara maju seperti United Kingdom masih menggunakan kereta kuda untuk mengangkut kerabat diraja dan lain-lain orang ternama untuk acara-acara kebudayaan yang terulung.[174]
Kuda sering diperlihatkan dalam televisyen, filem dan sastera. Adakalanya kuda ditampilkan sebagai watak utama dalam cerita, bahkan digunakan sebagai unsur-unsur tampak yang menjamin ketepatan kisah bersejarah.[175] Kuda yang hidup mahupun gambaran kuda digunakan dalam iklan untuk melariskan pelbagai barangan keluaran.[176] Kuda sering terdapat pada jata, dalam pelbagai gaya berdiri dan kelengkapan.[177] Mitologi-mitologi dalam pelbagai budaya, baik Yunani, Rom, Norse, Hindu mahupun Islam menyebut tentang kuda yang biasa mahupun bersayap atau beranggota tambahan, malah ada yang turut menceritakan kuda yang menarik rata Bulan dan Matahari.[178] Kuda merupakan ahli yang ketujuh dalam kitaran 12 bintang zodiak Cina.[179]
Golongan kelainan upaya dari segi fizikal atau mental tanpa mengira umur mendapat faedah daripada bertemankan kuda. Terapi tunggang kuda digunakan untuk merangsang mereka yang kurang upaya secara mental atau fizikal untuk membantu mereka menambah baik kehidupan mereka dengan memperbaiki keseimbangan dan koordinasi badan, meningkatkan keyakinan diri, serta menyemai rasa bebas dan berdikari.[180] Kebaikan kegiatan berkuda untuk mereka yang kurang upaya turut diiktiraf dengan ditambahnya acara-acara berkuda dalam Sukan Paralimpik serta pengiktirafan acara-acara para-ekuestrian oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI).[181] Hipoterapi dan terapi tunggang kuda adalah antara gelaran bagi pelbagai strategi rawatan terapi fizikal, pekerjaan, mahupun percakapan yang memanfaatkan pergerakan kuda. Ahli hipoterapi menggunakan pergerakan kuda untuk meningkatkan kemahiran kognitif, koordinasi, keseimbangan, dan motor halus pesakit, sedangkan terapi tunggang kuda menggunakan kemahiran menunggang yang tertentu.[182]
Kuda turut membekalkan faedah psikologi kepada manusia walaupun tidak semestinya yang menunggang. Terapi "bantuan kuda" merupakan suatu bentuk psikoterapi pengalaman yang menggunakan kuda sebagai haiwan teman untuk menolong mereka yang mengalami penyakit jiwa, termasuk kecelaruan kerana resah, kecelaruan psikotik, kecelaruan jiwa, kesusahan tatalaku, serta mereka yang sedang melalui perubahan hidup yang besar.[183] Juga terdapat program-program percubaan yang menggunakan kuda di dalam penjara, yang mana pendedahan kepada kuda kelihatan menambah baik perilaku banduan serta mengurangkan berulangnya jenayah apabila banduan dilepaskan.[184]
Kuda telah digunakan dalam peperangan sepanjang sejarah tamadun manusia. Bukti kaji purba terawal akan penggunaan kuda perang berasal dari sekitar tahun 4000 ke 3000 SM,[185] manakala penggunaan kuda perang meluas pada lewat Zaman Gangsa.[186][187] Walaupun rata-rata diganti oleh jentera sebagai senjata perang, namun kuda masih digunakan dalam kegunaan ketenteraan yang terhad, terutamanya untuk kegunaan upacara, atau kegiatan mengintip dan mengangkut di kawasan rupa bumi kasar yang tidak sesuai dijalani kenderaan bermotor. Kuda digunakan pada abad ke-21 oleh puak Janjaweed di Konflik Darfur.[188]
Kuda merupakan bahan mentah untuk pelbagai produk keluaran yang dibuat oleh manusia sepanjang sejarah, baik keluaran sampingan dari penyembelihan kuda mahupun bahan-bahan yang diperoleh dari kuda yang hidup.
Antara hasil perolehan dari kuda hidup termasuk susu kuda yang diminum oleh kaum-kaum yang menyimpan kuda dalam kawanan besar-besar, misalnya orang Mongol yang menapai susu kuda untuk membuat kumis.[189] Darah kuda pernah dijadikan makanan oleh kaum Mongol dan lain-lain puak nomad sebagai sumber khasiat yang mudah ketika mengembara. Dengan meminum darah kuda sendiri, orang Mongol dapat menunggang dalam jangka masa yang lama sekali tanpa bersinggah untuk makan.[189] Ubat Premarin merupakan campuran estrogen yang diekstrak dari air kencing ibu kuda yang bunting (bahasa Inggeris: pregnant mares' urine ), malah pernah digunakan secara meluas untuk terapi ganti hormon untuk wanita yang putus haid.[190] Bulu ekor kuda boleh digunakan untuk membuat penggesek alat muzik bertali seperti biola dan selo.[191]
Daging kuda juga dijadikan makanan untuk manusia dan haiwan maging sejak berzaman-zaman. Di serata dunia terdapat manusia yang makan daging kuda, tetapi dilarang dalam sesetengah budaya,[192] atau setidak-tidaknya dijadikan titik pertikaian.[193] Kulit kuda digunakan untuk membuat kasut, sarung tangan, jaket,[194] bola besbol,[195] dan sarung tangan besbol. Telapuk kuda juga boleh digunakan untuk menghasilkan gam haiwan.[196] Tulang juga sesuai untuk membuat perkakasan.[197] Terutama sekali dalam masakan Itali, tulang kering kuda diasah menjadi jarum spinto yang digunakan untuk menguji kesediaan daging ham (khinzir) yang .[198] Di Asia Tengah, saba merupakan bekas kulit kuda untuk menghasilkan kumis.[199]
Kuda merupakan haiwan peragut yang mendapat punca khasiat utama dalam bentuk rumput segar mahupun kering yang bermutu tinggi.[200] Kuda mampu makan yang kering sebanyak kira-kira 2% ke 2.5% berat badannya setiap hari. Oleh itu, seekor kuda dewasa 450-kilogram (990 lb) mampu makan sehingga 11 kilogram (24 lb) makanan.[201] Adakalanya, makanan pekat seperti bijirin diberikan di samping rumput segar atau kering, lebih-lebih lagi kuda yang sungguh cergas.[202] Sungguhpun demikian, pakar khasiat kuda mengesyorkan supaya 50% ke atas pemakanan kuda mengikut beratnya mesti datang dari meragut rumput segar.[203]
Kuda memerlukan bekalan air bersih yang banyak, iaitu minimum 10 US gallon (38 L) ke 12 US gallon (45 L) sehari.[204] Biarpun sesuai hidup di luar, namun kuda memerlukan perteduhan dari angin, hujan dan salji, yang boleh berupa bangsal yang ringkas mahupun kandang yang serba lengkap.[205]
Kuda memerlukan penjagaan telapuk yang rutin oleh seorang tukang ladam, di samping juga pemvaksinan sebagai perlindungan dari pelbagai penyakit, serta pemeriksaan gigi oleh doktor haiwan atau doktor gigi yang khusus dalam gigi kuda.[206] Kuda yang disimpan di dalam bangsal memerlukan senaman harian demi kesihatan fizikal dan mental.[207] Apabila dipimpin keluar, kuda perlu dibendung dengan pagar yang kukuh dan terpelihara.[208] Pembersihan kuda secara kerap juga membantu kuda menjaga kesihatan bulu dan kulitnya.[209]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.