baka anjing dari Rusia From Wikipedia, the free encyclopedia
Husky Siberia[lower-alpha 1] ialah satu baka anjing pekerja tarikan bersaiz sederhana. Baka ini tergolong dalam keluarga genetik spits. Ia dapat dikecam mengikut lapis bulu ganda tebal, telinga segi tiga tegak, dan tanda-tanda distingtif, dan lebih kecil daripada malamut Alaska yang berpenampilan serupa.
Nama lain | Chukcha[1] | ||||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas | Husky Sibe | ||||||||||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Rusia[2] | ||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Husky Siberia berasal dari Asia Timur Laut. Di sana, ia dibiakbakakan oleh orang Chukchi serta orang Koryak, orang Yukaghir, dan orang Kamchadal dari Siberia untuk penarikan kereta luncur salji dan sebagai pendamping.[2][5] Ia merupakan baka giat, bertenaga, dan bingkas, yang leluhurnya datang dari persekitaran sangat sejuk dan mencabar di Artik Siberia. William Goosak, seorang pedagang bulu, memperkenalkannya ke Nome, Alaska semasa Kerubut Emas Nome, pada mulanya sebagai anjing tarikan untuk mengerjakan lapangan perlombongan dan untuk ekspedisi melalui rupa bumi yang sukar dilalui.[2] Kini, husky Siberia biasanya dibela sebagai anjing peliharaan rumah, namun ia masih kerap digunakan sebagai anjing tarikan oleh para musher pertandingan dan rekreasi.[6]
Pada tahun 2015, sebuah kajian DNA menunjukkan bahawa husky Siberia, malamut Alaska, dan husky Alaska mengongsi hubungan genetik rapat antara satu sama lain dan berkaitan dengan anjing tarikan Chukotka dari Siberia. Anjing-anjing ini terpisah daripada dua baka anjing Inuit, iaitu anjing Eskimo Kanada dan anjing Greenland. Di Amerika Utara, husky Siberia dan malamut kedua-duanya telah mengekalkan zuriat Siberianya dan telah menyumbang dengan ketara kepada husky Alaska, yang dikembangkan melalui persilangan dengan baka-baka Eropah.[7] Husky Siberia menunjukkan kesemendaan genetik dengan anjing-anjing Siberia Timur terdahulu dan anjing Tasik Baikal purba, dan dapat dijejak kepada zuriat yang berusia lebih daripada 9,500 tahun.[8] Sampel genomik bagi husky Siberia kini telah muncul sebagai empat populasi terpisah secara genetik: anjing pertunjukan, anjing peliharaan, anjing lumba kereta luncur salji, dan husky Siberia Seppala.[5]
Beberapa baka anjing Artik, termasuk anjing Siberia, menunjukkan kerapatan genetik ketara dengan serigala Taymyr dari Asia Utara yang kini pupus oleh sebab percampuran. Baka-baka ini dikaitkan dengan latitud tinggi – husky Siberia dan anjing Greenland yang juga berkaitan dengan populasi manusia Artik, dan secara kurang ketara, dengan shar pei dan spits Finland. Terdapat data yang menunjukkan percampuran antara 1% dengan 3% antara populasi serigala Taymyr dengan populasi leluhur anjing bagi keempat-empat baka latitud tinggi ini. Introgresi ini dapat memberi anjing awal yang tinggal di latitud tinggi variasi fenotip yang bermanfaat untuk adaptasi terhadap persekitaran baharu dan mencabar. Ini juga menunjukkan bahawa keleluhuran bagi baka anjing zaman kini diturunkan dari lebih daripada satu kawasan.[9]
Husky Siberia pada asalnya dikembangkan oleh orang Chukchi dari Semenanjung Chukci di Siberia timur.[10] Ia dibawa ke Nome, Alaska pada tahun 1908 untuk berkhidmat sebagai anjing pekerja tarikan dan kemudiannya dikembangkan dan digunakan untuk perlumbaan anjing tarikan.[11][7]
Husky Siberia memiliki lapis bulu ganda yang lebih tebal daripada yang pada kebanyakan baka anjing.[12] Terdapat dua lapis: lapis bulu bawah padat dan beralun halus dan lapis bulu atas lebih panjang dengan rerambut pengawal lebih tebal dan lurus.[13] Lapis bulu ini melindungi anjing dengan berkesan daripada cuaca musim sejuk Artik yang mencabar dan juga memantulkan haba pada musim panas. Ia mampu mengharungi suhu serendah −50 – −60 °C (−58 – −76 °F). Lapis bulu bawahnya kerap tiada semasa ganti bulu. Lapis bulu tebalnya memerlukan perawatan bulu mingguan.[12] Lapis bulu terlebih panjang, kadang-kadang dirujuk sebagai lapis bulu "wul", dianggap sebagai kecacatan menurut piawaian baka kerana kekurangan perlindungan lebih tebal seperti yang pada rerambut pengawal lapis bulu piawai, mengaburkan garis rangka jelas anjing berkenaan, menyebabkan kenaikan haba berlebihan dengan lebih cepat semasa kerja berat dengan abah-abah, dan semudahnya menjadi kusut dan berkerak dengan salji dan air batu.[14]
Husky Siberia terdapat dengan pelbagai warna dan corak, kerap dengan kaki dan tungkai putih, tanda muka putih, dan hujung ekor putih. Contoh warna lapis bulu merupakan hitam dan putih, merah tembaga dan putih, kelabu dan putih, putih metah, dan lapis bulu "agouti" jarang, namun banyak individu mempunyai tompok perang muda atau piebald. Sesetengah individu lain juga mempunyai corak "belakang pelana", yang melibatkan keterbatasan rerambut pengawal berhujung hitam hanya di kawasan pelana sementara kepala, pinggul, dan bahu sama ada berwarna merah muda atau putih. Topeng menonjol, gelang mata, dan tanda muka lain hadir dalam kepelbagaian meluas. Semua warna bulu daripada hitam hingga putih metah diizinkan.[13][15][16][17] Corak lapis bulu merle tidak diizinkan oleh American Kennel Club (AKC) dan The Kennel Club (KC).[13][18] Corak ini kerap dikaitkan dengan isu kesihatan dan pembiakbakaan tidak tulen.[19]
American Kennel Club memerihalkan mata husky Siberia sebagai mata yang "berbentuk badam, sederhana terjarak, dan terletak agak condong". Piawaian baka AKC menetapkan mata yang perang, biru, atau hitam; salah satu warna atau berwarna-warni diterima (yang lengkap ialah heterokromia). Gabungan warna mata ini dianggap dapat dierima oleh American Kennel Club. Yang berwarna-warni tidak menjejaskan penglihatan anjing.[20]
Anjing layak pertunjukan lebih diterima jika tidak mempunyai hidung menajam mahupun hidung sudut tegak. Hidungnya hitam pada anjing kelabu, sawo matang pada anjing hitam, berwarna hati pada anjing berwarna tembaga, dan mungkin sawo matang cerah pada anjing putih. Dalam sesetengah keadaan, husky Siberia dapat mempamerkan hidung yang dipanggil "hidung salji" atau "hidung musim sejuk". Keadaan ini dipanggil hipopigmentasi pada haiwan. "Hidung salji" diterima dalam gelanggang pertunjukan.[12][21]
Ekor husky Siberia berbulu lebat; anjing ini kerap melingkarkan dengan ekornya ke atas mukanya dan hidungnya untuk menambahkan kehangatan. Apabila melingkar untuk tidur, husky Siberia menutup hidungnya untuk kehangatan, kerap dirujuk sebagai "pusaran Siberia". AKC mengesyorkan ekor yang ekspresif, terangkat rendah-rendah apabila anjing bertenang, dan melingkar ke atas dalam rupa bentuk "sabit" apabila teruja atau minat pada sesuatu.[12]
Piawaian baka menunjukkan bahawa jantan baka ini berdiri dengan unggul setinggi 20–24 inci (51–61 cm) pada paras kelasa dan berukuran seberat 45–60 paun (20–27 kg).[22] Betinanya pula lebih kecil dan membesar sehingga setinggi 19–23 inci (48–58 cm) pada paras kelasa dan berukuran seberat.35–50 paun (16–23 kg).[12] Warga Nome merujuk husky Siberia sebagai "tikus Siberia" oleh sebab saiznya yang seberat 40–50 paun (18–23 kg) berbanding dengan saiz malamut Alaska yang seberat 75–85 paun (34–39 kg).[23]
Husky biasanya lebih kerap melolong berbanding menyalak.[24] Ia telah diperihalkan sebagai ahli lepas diri, yang dapat termasuk menggali ke bawah, mengunyah, malah melompati pagar.[4][25][26]
ASPCA mengelaskan baka ini sebagai baka yang baik dengan kanak-kanak. Persatuan itu juga menyatakan bahawa ia memaparkan paras tenaga tinggi di ruangan dalaman, mempunyai keperluan senaman khusus, dan mungkin bersikap pemusnah "tanpa penjagaan betul".[4]
Pagar 6 ka (1.83 m) disyorkan untuk baka ini sebagai anjing peliharaan, namun sesetengah anjing telah diketahui mengatasi pagar setinggi 8 ka (2.44 m).[26] Pagar haiwan peliharaan elektrik mungkin tidak berkesan.[26] Ia memerlukan pendampingan kerap daripada orang dan anjing lain dan keperluan untuk berasa seperti sebahagian daripada kawanan adalah kuat.[27]
Perwatakan husky Siberia adalah ramah dan lemah lembut.[15] Sebuah kajian mendapati perkaitan antara satu gen pada baka ini dengan keimpulsifan, kekurangan perhatian, dan paras kegiatan tinggi.[28]
Husky Siberia diletakkan di tangga ke-77 daripada 138 baka yang dibandingkan untuk kecerdasan oleh ahli psikologi anjing Stanley Coren.[29] Walau bagaimanapun, ranking dalam karya terbitan Coren menggunakan hanya salah satu daripada tiga bentuk tertakrif bagi kecerdasan anjing, iaitu "kecerdasan kerja dan kepatuhan", yang tertumpu pada kebolehlatihan—kebolehan anjing untuk mengikuti arahan dan perintah dalam konteks langsung, khususnya oleh hakim ujian dalam persekitaran litar terkawal.[30]
Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.9 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[31] Isu-isu kesihatan pada baka ini terutamanya merupakan isu keturunan, seperti sawan dan kecacatan mata (katarak juvenil, distrofi kornea, glaukoma anjing, dan atrofi retina progresif) dan kelumpuhan larinks kongenital.[32] Displasia pinggul tidak kerap didapati pada baka ini; walau bagaimanapun, sebagaimana dengan banyak kanin bersaiz sederhana atau besar, ini dapat berlaku.[33] Orthopedic Foundation for Animals pada masa ini telah menempatkan husky Siberia di tangga ke-155 daripada 160 baka yang berisiko untuk displasia pinggul, dengan hanya dua peratus daripada husky Siberia teruji yang menunjukkan displasia.[34]
Husky Siberia yang digunakan untuk perlumbaan kereta luncur salji mungkin juga terdedah kepada penyakit lain, seperti penyakit gastrik,[35] bronkitis, atau penyakit bronkopulmonari ("asma ski"),[36] dan hakisan gastrik atau pengulseran.[37]
Husky Siberia ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat atrofi retina progresif terangkai X. Keadaan ini disebabkan oleh mutasi pada gen RPGR pada baka ini.[38]
Husky Siberia moden yang berdaftar di Amerika Syarikat hampir keseluruhannya merupakan keturunan daripada import Siberia tahun 1930 dan daripada anjing-anjing Leonhard Seppala, khususnya Togo.[39] Bilangan terhad bagi anjing asasi berdaftar telah membawa kepada sesetengah perbincangan tentang kerentanannya terhadap pengaruh pengasas.[40]
Anjing tarikan Chukotka dianggap sebagai leluhur kepada husky Siberia. Anjing tarikan Chukotka yang dikembangkan oleh orang Chukchi dari Rusia telah digunakan sejak zaman prasejarah untuk menarik kereta luncur salji dalam keadaan mencabar, seperti pemburuan mamalia laut di atas air batu sarah lautan.[41][42]
Dari tahun 1890-an hingga tahun 1930-an, anjing kereta luncur salji dari Siberia timur laut dan terutamanya anjing tarikan Chukotka diimport secara aktif dalam bilangan besar ke Alaska, untuk mengangkut pelombong emas ke Yukon, mula-mula sebagai sebahagian daripada Kerubut Emas Klondike,[41][5] kemudian dalam "All-Alaska Sweepstakes",[13] iaitu perlumbaan kereta luncur salji anjing sejauh 408 bt (657 km) dari Nome, ke Candle, ulang-alik. Pada masa ini, "Esquimaux" atau "Eskimo" merupakan istilah pejoratif umum untuk penghuni asli Artik dengan banyak pilih atur dialek termasuk Uskee, Uskimay, dan Huskemaw. Maka, anjing yang digunakan oleh orang Artik merupakan anjing orang Huskie, dan akhirnya hanya anjing husky.[43][44] Para penetap Kanada dan Amerika, yang tidak cukup mengarifi geografi Rusia, membezakan import Chukotka dengan merujuknya sebagai husky Siberia kerana Chukotka merupakan sebahagian Siberia.[41]
Sebagai anjing pengangkut muatan yang lebih kecil, lebih pantas, dan lebih berdaya tahan daripada anjing pengangkut muatan 100–120 paun (45–54 kg) yang digunakan secara umum pada masa itu, anjing ini segera mendomnasi perlumbaan Sweepstakes. Leonhard Seppala, pembiak baka terpenting bagi anjing tarikan Siberia pada masa itu, menyertai pertandingan dari tahun 1909 hingga pertengahan tahun 1920-an dengan sebilangan kejuaraan dengan nama beliau.[45]
Pada 3 Februari 1925, Gunnar Kaasen merupakan musher terakhir dalam pengangkutan serum ke Nome 1925 untuk mengirimkan serum difteria dari Nenana sejauh 600 batu (970 km) ke Nome. Ini merupakan usaha berkumpulan oleh beberapa pasukan anjing tarikan dan musher, dengan segmen terpanjang (264 batu (425 km)) dan paling berbahaya bagi pengangkutan itu yang dilalui oleh Leonhard Seppala dan anjing pemimpin pasukan kereta luncur salji beliau, Togo. Peristiwa ini digambarkan dalam filem tahun 2019 Togo. Sebahagian daripada ini juga digambarkan dalam filem animasi tahun 1995 Balto; nama anjing pemimpin Gunnar Kaasen dalam pasukan kereta luncur salji beliau ialah Balto, namun tidak seperti anjing sebenar, watak Balto digambarkan sebagai seekor anjing serigala dalam filem itu. Sempena memperingati anjing pemimpin ini, sebuah patung gangsa didirikan di Central Park di New York City]]. Pada plak terdapat inskripsi,
Terjemahan: Didedikasikan untuk semangat tidak terkalahkan anjing tarikan yang menyampaikan antitoksin sejauh enam ratus batu merentasi ais kasar, menyeberangi perairan berbahaya, melalui ribut salji Artik dari Nenana hingga kelegaan Nome yang terlanda pada musim sejuk tahun 1925. Ketahanan · Kesetiaan · Kecerdikan[45]
Husky Siberia memperoleh kepopularan besar dengan kisah "Perlumbaan Besar Rahmat", iaitu pengangkutan serum ke Nome tahun 1925, yang menonjolkan Balto dan Togo. Walaupun Balto dianggap lebih masyhur, sebagai anjing yang mengirimkan serum itu ke Nome selepas menjalani peringkat 53 batu (85 km) terakhir, Togo merupakan anjing yang menjalani peringkat terpanjang bagi larian berganti-ganti itu, dengan memandu musher-nya Leonhard Seppala dalam perjalanan sejauh 261 batu (420 km) yang termasuk penyeberangan Norton Sound yang membawa maut ke Golovin,[46] dan yang akhirnya menjadi anjing pengasas untuk baka husky Siberia, melalui keturunannya Toto, Molinka, Kingeak, Ammoro, Sepp III, dan Togo II.[11]
Pada tahun 1930, pengeksportan anjing dari Siberia dihentikan.[27] Tahun sama juga menyaksikan pengiktirafan husky Siberia oleh American Kennel Club.[13] Pada sembilan tahun kemudian, baka ini pertama kali didaftarkan di Kanada. United Kennel Club mengiktiraf baka ini pada tahun 1938 sebagai "husky Artik" atau "Arctic Husky", kemudian mengubah namanya kepada husky Siberia pada tahun 1991.[47] Seppala memiliki kenel di Alaska sebelum berpindah ke New England untuk menjadi pasangan Elizabeth Ricker. Mereka berdua bersama-sama memiliki kenel Poland Springs dan mula melumbakan dan mempamerkan anjing mereka di serata Kawasan Timur Laut. Kenel ini dijual kepada Harry Wheeler warga Kanada pada tahun 1931, ikutan kepulangan Seppala ke Alaska.[11]
Ternakan asasi baka ini menurut catatan dan buku pembaka terdiri daripada anjing-anjing berikut:
Sebaik baka ini mula menjadi terkenal, pada tahun 1933, Laksamana Muda Laut Richard E. Byrd membawa sekitar 50 ekor husky Siberia bersama dengan beliau dalam ekspedisi dengan harapan untuk mengelilingi pinggir laut Antartika sejauh 16,000 batu (26,000 km). Banyak anjing tersebut dibiakbakakan dan dilatih di Chinook Kennel di New Hampshire, yang dimiliki oleh Eva Seeley. Dengan nama Operation Highjump, perjalanan bersejarah itu membuktikan kelayakan husky Siberia oleh sebab saiz padatnya dan kelajuan tingginya.[45] Husky Siberia juga berkhidmat dalam Unit Pencarian dan Penyelamatan Artik Tentera Darat Amerika Syarikat bagi Air Transport Command semasa Perang Dunia Kedua.[49] Kepopularannya kekal sehingga abad ke-21. Ia ditempatkan di tangga ke-16 dalam kalangan pendaftar American Kennel Club pada tahun 2012,[50] lalu menaiki tangga ke-14 pada tahun 2013.[51]
Husky digunakan secara meluas sebagai anjing tarikan oleh British Antarctic Survey di Antartika pada antara tahun 1945 dengan tahun 1994.[52] Tugu untuk semua pasukan anjing BAS terletak di luar ibu pejabatnya di Cambridge dengan plak yang menyenaraikan nama semua anjing.[53]
Pada tahun 1960, Tentera Darat Amerika Syarikat menjalankan projek untuk membangunkan prasarana di bawah ais untuk pertahanan dan penyelidikan angkasa, Camp Centru, sebahagian daripada Project Iceworm yang melibatkan 150+ orang kakitangan yang juga membawa bersama mereka maskot tidak rasmi, seekor husky Siberia bernama Mukluk.[54]
Oleh sebab kepopularan tingginya sekali dengan keperluan fizikal dan mentalnya yang tinggi, anjing Siberia ditinggalkan atau diserahkan kepada tempat perlindungan haiwan pada kadar tinggi oleh para pemilik baharu yang tidak menyelidik sepenuhnya tentangnya dan mendapati bahawa mereka tidak mampu menjaganya. Ramai mengambil keputusan untuk membela anjing baka ini kerana rupanya dan mitosnya dalam kebudayaan popular, dan membeli anak anjing daripada para pembiak baka kecilan atau kilang anak anjing yang tidak mempunyai kontrak pemulangan kepada pembiak baka yang dipunyai oleh para pembiak baka bertanggungjawab, dengan niat untuk mengekalkan baka ini di luar tempat perlindungan.[55]
Anjing tarikan yang dibiakbakakan dan dibela oleh suku Chukchi dari Siberia disangkakan telah pupus, namun Benedict Allen, yang menulis untuk majalah Geographical pada tahun 2006 selepas melawati rantau itu, melaporkan kemandiriannya. Keterangan beliau bagi pembiakbakaan yang diamalkan oleh orang Chukchi menyebut pemilihan untuk kepatuhan, daya ketahanan, pembawaan ramah, dan saiz yang membolehkan keluarga menyara untuknya tanpa kesukaran yang tidak wajar.[42]
Pada asalnya, husky digunakan sebagai anjing tarikan di rantau kutub. Husky dapat dibezakan daripada jenis anjing lain melalui gaya tarik pantasnya. Husky lumba moden (juga dikenali sebagai husky Alaska) mewakili baka silang yang saling berubah bagi anjing-anjing terpantas. Manusia menggunakan hudky dalam perlumbaan anjing tarikan. Beberapa syarikat telah memasarkan denai pelancong dengan kereta luncur salji anjing untuk pelancong kembara di rantau salji.[56] Husky juga dibela sebagai anjing peliharaan dan banyak kumpulan sedang berusaha untuk mencari rumah untuk anjing perlumbaan dan anjing denai kembara yang telah bersara.[57]
Banyak husky, terutamanya husky Siberia, dianggap sebagai "anjing pekerja" dan kerap bertenaga tinggi. Senaman adalah amat penting untuk kesihatan fizikal dan mental bagi anjing jenis ini dan juga dapat menjalin ikatan kuat antara pemilik dengan anjing.[14] Oleh sebab ramai pemilik kini mempunyai husky sebagai anjing peliharaan di tempat yang tidak sesuai untuk penarikan kereta luncur salji, kegiatan lain yang baik untuk anjing dan menyeronokkan pemilik telah ditemukan.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.