baka anjing dari Kanada From Wikipedia, the free encyclopedia
Anjing Eskimo Kanada[lower-alpha 1] atau anjing Inuit Kanada[lower-alpha 2][2] ialah satu baka anjing pekerja dari Artik. Nama lain termasuk qimmiq[3] atau qimmit[4] (perkataan bahasa Inuit untuk "anjing"). Anjing Greenland dianggap sebagai baka sama dengan anjing Eskimo Kanada oleh sebab kedua-duanya belum cukup mencapah secara genetik untuk dianggap sebagai baka terpisah, walaupun terdapat pengasingan geografi.[5][6]
Nama lain |
| ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Kanada | ||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Baka ini diancam dengan kepupusan, dengan anggaran tahun 2008 sebanyak hanya 300 ekor anjing baka tulen.[7] Sungguhpun pernah digunakan sebagai kaedah pengangkutan pilihan oleh orang Inuit di Artik Kanada, menjelang tahun 1960-an, pasukan anjing pekerja tradisional semakin jarang di Utara. Faktor penyumbang kepada penurunan baka ini termasuklah peningkatan kepopularan kereta salji untuk pengangkutan dan ketersebaran penyakit anjing berjangkit.[4][8] Kontroversi menyelubungi penghancuran terniat bagi bilangan yang diperbedatkan bagi anjing tarikan Inuit pada antara tahun 1950 dengan tahun 1970 oleh Polis Berkuda Diraja Kanada serta usaha baru-baru ini untuk meningkatkan populasi baka ini.
Anjing pertama tiba di Benua Amerika pada 12,000 tahun lalu. Walau bagaimanapun, orang dan anjing mereka tidak bertapak di Artik sehingga ketibaan dua kelompok dari Siberia, orang Paleo-Eskimo pada 4,500 tahun lalu dan orang Thule pada 1,000 tahun lalu. Anjing Inuit dari Kanada (anjing Eskimo Kanada) dan anjing Greenland diturunkan daripada anjing yang dikaitkan dengan orang Thule yang bergantung pada anjing ini untuk pengangkutan dari Siberia.
Pada tahun 2015, sebuah kajian yang menggunakan sebilangan penanda genetik menunjukkan bahawa kedua-duanya merupakan anjing sama dan tidak patut dianggap sebagai baka terpisah,[6][5] bahawa kedua-duanya mengekalkan warisan peribumi yang mendahului penjajahan dan waktu yang sepadan dengan ketibaan orang Thule, dan bahawa kedua-duanya berbeza daripada husky Siberia, husky Alaska, dan malamut Alaska. Jujukan-jujukan DNA mitokondrion ibu bagi anjing-anjing Inuit dikelaskan sebagai haplotip A31 yang menandakan seekor leluhur betina bersama. Haplotip ini tidak dapat ditemukan pada anjing moden lain; padanan terdekat adalah dengan jasad seekor anjing berusia 1,000 tahun dari Florida.[6]
Sebuah kajian tahun 2018 menemukan bahawa semua anjing asli yang pada asalnya dibawa oleh gelombang pertama penghijrahan manusia ke Benua Amerika, beristilahkan klad "pre-contact dog" ("anjing praperhubungan"; PCD), kini pupus. Kelompok ini termasuk anjing-anjing yang dibawa oleh orang Paleo-Eskimo pada 4,500 tahun lalu. Anjing Eskimo Kanada, yang dibawah dalam gelombang kemudian oleh orang Thule, tergolong dalam kelompok berjiran bagi anjing Artik.[9] Sebuah kajian tahun 2019 mengesahkan bahawa anjing-anjing Artik yang lebih kemudian disebarkan oleh orang Inuit ke serata Amerika Utara pada 2,000 tahun lalu, dan menggantikan gelombang pertama PCD di tempat tujuan anjing-anjing ini.[10]
Anjing Eskimo Kanada patut sentiasa bertubuh berkuasa, atletik, dan berpenampilan mengagumkan. Ia patut mempunyai "susuk tubuh yang memberikan penampilan bahawa ia tidak terbina untuk kelajuan tetapi sebaliknya untuk kerja keras".[11] Sebagaimana baka spits yang tipikal, ia mempunyai telinga segi tiga tegak dan ekor berumbai lebat yang terangkat ke arah atas belakangnya. Jantan patut berbeza dengan lebih berotot berbanding dengan betina yang bertulang lebih halus, lebih keciL, dan kerap mempunyai lapis bulu lebih pendek sedikit.
Keserupaan luarannya dengan serigala kerap dicatat oleh para penjelajah semasa Penjelajahan Coppermine 1819–1822. Mereka mencatat bahawa telinga anjing Eskimo yang ditemukan oleh mereka adalah serupa dengan telinga serigala Amerika, dan tungkai hadapan anjing-anjing ini kekurangan tanda hitam di atas paras pergelangan kaki seciri dengan serigala Eropah. Cara paling pasti untuk membezakan kedua-dua spesies ini dikatakan adalah melalui panjang dan postur ekor, yang lebih pendek dan lebih melengkung pada anjing.[12]
Lapis bulunya adalah sangat tebal dan padat, dengan lapis bulu bawah lembut dan rerambut pengawal kaku dan kasar. Anjing Eskimo mempunyai surai bulu lebat di sekitar lehernya, yang agak mengagumkan pada jantan dan menambahkan ilusi saiz tambahan. Surai ini lebih kecil pada betina. Anjing Eskimo dapat memiliki hampir mana-mana warna, dan tiada warna tunggal atau corak warna tunggal patut mendominasi. Anjing putih padu kerap terlihat, serta anjing putih dengan tompok berwarna lain di kepala atau di tubuh dan di kepala. Anjing berwarna perak atau hitam padu adalah umum juga. Banyak anjing berwarna padu mempunyai tanda mirip topeng putih di muka, kadang-kadang dengan tompok di atas paras mata. Anjing lain pula mungkin mempunyai stoking dan belang hidung putih tanpa tompok mata atau topeng.
Saiz anjing Eskimo Kanada bergantung pada jantinanya. Jantan berukuran seberat 30–40 kg (66–88 lb) dan berdiri setinggi 58–70 cm (23–28 in) pada paras bahu. Betina pula berukuran seberat 18–30 kg (40–66 lb) dan berdiri setinggi 50–60 cm (20–24 in).[1]
Perangai anjing Eskimo Kanada mencerminkan kerja dan persekitaran aslinya. Ia setia, tabah, berani, cerdas, dan berwaspada.[13] Ia bersikap penyayang dan lembut, dan membentuk ikatan kukuh dengan tuannya dan amat setia. Apabila digunakan sebagai anjing tarikan, ia kerap diperlukan untuk mencari makanan dan memburu makanan sendiri. Hasilnya, banyak anjing Eskimo Kanada mempunyai dorongan pemangsa lebih kuat berbanding dengan sesetengah baka lain. Atas sebab persekitaran aslinya, ia amat menikmati cuaca sejuk dengan kerap memilih untuk tidur di luar pada musim sejuk. Seperti kebanyakan baka spits, ia dapat menjadi sangat kuat bersuara.
Anjing Eskimo Kanada memerlukan sangat banyak senaman. Ia tidak boleh hanya dijalankan kerana ia memerlukan kerja dengan lebih keamatan dan lebih senaman daripada yang dapat diberikan oleh ramai pemilik anjing. Keperluan untuk kerja dan rangsangan menjadikannya amat sesuai untuk sukan anjing, seperti carting, mushing, dan skijoring. Ia sangat mudah dilatih dan mengalah, tidak seperti banyak baka spits, serta cerdas. Anjing Eskimo Kanada paling baik dibela dalam iklim sejuk dan terdedah kepada strok haba. Lapis bulunya agak mudah dijaga pada kebanyakan masa dengan keperluan pemberusan hanya sekali atau dua kali seminggu. Walau bagaimanapun, apabila ia berganti bulu (yang berlaku sekali setahun), ia bakal memerlukan penjagaan bulu setiap hari.
Dahulu, orang Inuit memakaikan abah-abah pada anjing mereka sebaik ia mampu berjalan dan kemudian memperoleh tabiat penarikan kereta luncur dalam cubaan untuk membebaskan diri. Pada usia dua bulan, anak anjing ditempatkan bersama dengan anjing dewasa. Kadang-kadang, sepuluh ekor anak anjing diletakkan di bawah pimpinan anjing lebih tua, disertakan dengan pukulan kerap daripada tuan, yang patut mendidik anak anjing itu.[12]
Orang Inuit tidak pernah menganggap anjing sebagai sebahagian daripada alam haiwan (uumajuit), tetapi hanya sebagai alat untuk kewujudan manusia.[14] Ia digunakan (kini sangat terhad) oleh orang Inuit Kanada sebagai anjing serba guna yang kerap dikerjakan untuk memburu anjing laut dan buruan Artik lain dan menarik bekalan dan orang. Para penjelajah mencatat bahawa anjing-anjing ini mampu menjejak lubang anjing laut dari jarak jauh dan kadang-kadang digunakan untuk memburu beruang kutub. Anjing ini dilaporkan sebagai anjing yang sangat bersungguh-sungguh dalam memburu beruang sampaikan, kadang-kadang, pengendalinya menjeritkan "nanuq"[15] (sebutan bahasa Inuktitut untuk beruang) untuk menggalakkan anjing semasa menarik kereta luncur.
Walau bagaimanapun, anjing ini tidak mengejar serigala dan sebaliknya melolong dengan takut apabila didekati oleh serigala.[16] Air kencing beku anjing digunakan oleh orang Inuit sebagai ubat dan bulunya lebih dihargai berbanding dengan bulu serigala, oleh sebab rintangan lebih tinggi terhadap kehausan.[14][17] Pada waktu kebuluran, anjing digunakan sebagai sumber makanan darurat.[14] Walaupun pernah diandaikan sebagai serigala jinak atau kacukan anjing–serigala oleh para penjelajah,[16] termasuk Charles Darwin oleh sebab keserupaan dari segi penampilan dan penyuaraan,[18] pengujian genetik telah menunjukkan bahawa anjing Eskimo tidak mempunyai keleluhuran serigala terkini.[19]
Baka ini kini diancam dengan kepupusan. Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, baka ini masih dalam permintaan untuk ekspedisi kutub, dan hampir-hampir 20,000 ekor anjing hidup di Artik Kanada pada tahun 1920-an. Walau bagaimanapun, baka ini berkurang dengan ketara menjelang tahun 1960-an. Baka ini pernah diterima untuk pertunjukan oleh kedua-dua American Kennel Club (AKC) dan Canadian Kennel Club (CKC); walau bagaimanapun, pada tahun 1959, AKC menggugurkan baka ini daripada daftarnya oleh sebab angka amat rendah.[20] Anjing Eskimo Kanada dan anjing Greenland kadang-kadang dianggap sebagai baka sama oleh pihak-pihak berwibawa, namun anjing Greenland dapat dikritik kerana kekurangan program pembiakbakaan tersusun, yang menyebabkan pertikaian terhadap keesahannya sebagai baka tulen.[21]
Sejak tahun 1970-an, pihak berminat yang termasuk Eskimo Dog Research Foundation ("Yayasan Penyelidikan Anjing Eskimo"; EDRF) telah berusaha untuk menaikkan angka baka ini. EDRF ditubuhkan pada tahun 1972 dan sebahagian besarnya dibiayai oleh Pemerintah Kanada dan Pemerintah Wilayah Barat Laut, dengan sedikit sokongan daripada CKC.[22] EDRF membeli anjing daripada populasi kecil (kira-kira 200 ekor anjing) yang tersisa di Artik Kanada dari kem-kem pedalaman Inuit di Pulau Baffin, di Semenanjung Boothia, dan di Semenanjung Melville.[22] EDRF kemudian mula membiakbakakan anjing untuk meningkatkan bilangan.
Brian Ladoon juga membeli anjing pada tahun 1970-an daripada komuniti-komuniti utara di Kanada dan memulakan pembiakbakaan selepas diberi tugas untuk menyelamatkan anjing ini oleh Uskup Omer Alfred Robidoux dari Keuskupan Churchill–Teluk Hudson. Beliau beralih daripada malamut dan husky kepada anjing Eskimo Kanada, dan selepas pembiakbakaan selama 30 tahun masih memiliki koloni ternakan genetik terbesar bagi anjing Eskimo Kanada di dunia. Baka moden berasal daripada bilangan pengasas yang agak ramai, lantas memastikan kebolehubahan genetik cukup untuk mengelakkan pembiakbakaan dalam.
Anjing Eskimo Kanada pada masa ini digunakan dalam pasukan anjing tarikan yang menghibur para pelancong dan untuk pemburuan beruang kutub komersial. Menurut undang-undang, pemburuan beruang kutub di Wilayah Barat Laut dan di Nunavut mesti dijalankan dengan pasukan anjing atau secara berjalan.[23][24] Syaratnya sebahagiannya adalah untuk tujuan keselamatan; anjing pekerja dapat mengesan dengan lebih baik apabila beruang kutub hadir, manakala bunyi motor kereta salji mengaburi sebarang petanda beruang kutub. Pada 1 Mei 2000, wilayah Nunavut di Kanada secara rasmi mengangkat "anjing Inuit Kanada" sebagai lambang haiwan bagi wilayah itu,[2][25] lalu menyematkan nama anjing tradisional mereka (qimmiq) dalam bahasa Inuktitut.
Pada antara tahun 1950 dengan tahun 1950, Polis Berkuda Diraja Kanada (Royal Canadian Mounted Police, RCMP) membunuh anjing tarikan Inuit. Orang Inuit merujuk kejadian ini sebagai qimmiijaqtauniq. Anggaran angka anjing terbunuh berjulat antara 1,200 hingga 20,000 ekor anjing.[26][27] Dalam sesetengah komuniti, orang tua-tua telah mendakwa bahawa pemusnahan ini dilakukan untuk menakut-nakutkan orang Inuit dan untuk sengaja mengganggu-gugat cara hidup mereka.[28] Sebagai respons kepada tuduhan ini, pada tahun 2005, RCMP menjalankan penyiasatan dalaman terhadap pembunuhan ini. Laporannya menyimpulkan bahawa anjing memang dibunuh, namun dengan tujuan kesihatan awam – untuk menggugurkan haiwan sakit, berbahaya, dan merana. Walau bagaimanapun, laporan juga mengakui bahawa RCMP jarang mengikuti ordinan yang mensyaratkan bahawa anjing perlu ditangkap dahulu dan pemilik perlu dimaklumkan dahulu sebelum pembunuhan, bahawa pemilik tidak mengusahakan bantuan menentang pembunuhan tidak munasabah, dan bahawa justifikasi untuk pembunuhan tidak selalu diperjelaskan kepada orang Inuit. Laporan ini menafikan bahawa mana-mana anjing dibunuh sebagai sebahagian rancangan menentang orang Inuit. Persatuan Inui Qikiqtani mengutuk laporan ini sebagai laporan "pincang, cacat, dan tidak lengkap".[4][29][30] Persatuan ini kemudian menerbitkan laporan sendiri yang keras-keras mengkritik pembunuhan anjing oleh RCMP sementara masih belum menemukan konspirasi sengaja menentang orang Inuit.[31]
Pada Ogos 2019, Menteri Hubungan Mahkota–Peribumi Kanada Carolyn Bennett menyatakan permintaan maaf meluas kepada orang Inuit Pulau Baffin, termasuk kerana pembunuhan dan kemerosotan angka paksaan bagi anjing Inuit. Ini merupakan acara ketiga bagi sederet permintaan maaf yang dinyatakan oleh sebab penderaan terdahulu, layanan buruk, dan pemindahan paksa orang Inuit, dan hadir dengan sumbangan CA$20 juta kepada Persatuan Inuit Qikiqtani, $700,000 daripadanya disalurkan kepada perlumbaan anjing tarikan Nunavut Quest tahunan selama 7 tahun.[31]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.