Faizal Hussein
Pelakon lelaki Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Mohd Faizal Hussein (lahir 31 Mei 1967) ialah seorang pelakon lelaki Malaysia.[2][3] Dikenali dengan hasil karyanya dalam filem dan televisyen, beliau menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam kerjaya lakonannya termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin dan Festival Filem Malaysia. Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang daripada 10 pelakon senior Malaysia paling laris sepanjang zaman pada tahun 2019.[4]
Faizal Hussein | |
---|---|
![]() Faizal di majlis tayangan perdana filem Kalla: Hidup Atau Mati pada Oktober 2018. | |
Kelahiran | Mohd Faizal bin Hussein 31 Mei 1967 |
Pekerjaan | Pelakon, pengacara[1] |
Tahun aktif | 1972–kini |
Terkenal kerana | Watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja |
Ketinggian | 1.80 m (5 ka 11 in) |
Pasangan | Suhaila Sulaiman (k. 2004) |
Anak-anak |
|
Ibu | Allahyarhamah Mahyon Ismail |
Bapa | Allahyarham Hussein Abu Hassan |
Saudara |
|
Dilahirkan dan dibesarkan di daerah Gombak, dalam kawasan Lembah Kelang, Selangor,[a] seluruh ahli keluarga beliau berkecimpung dalam bidang seni kreatif. Beliau ialah anak kepada pasangan pelakon veteran Hussein Abu Hassan dan isterinya, Mahyon Ismail dan sepupu kepada Rosyam Nor.[5][6] Faizal memegang peranan kecil pada usia 5 tahun dalam filem Darah Panglima (1972) arahan S. Kadarisman, diikuti oleh Penyamun Si Bongkok (1973) arahan M. Amin. Filem-filem terkenal beliau termasuk Gila-Gila Remaja (1986), Bayangan Maut dan Kanta Serigala (1991), XX Ray (1992), Leftenan Adnan (2000), KL Menjerit dan Gerak Khas The Movie II (2002), Bunohan (2012), Longkai (2013), Manisnya Cinta Di Cappadoccia (2014) dan Dukun (2018). Antara drama-drama lakonan Faizal ialah Fitrah Khadijah (1999), Sembilu (2004), Senja Permai (2009), Lara Hati (2012), Jiwa (2014), Devoted (2019), I-Tanggang: Mother Of All Lies (2021) dan One Cent Thief (2022–2025).
Kerjaya antarabangsanya bermula dengan membintangi filem Hong Kong, Fighting Madam 2 (1988) dan filem Indonesia, Misteri Harta Karun (1989). Beliau turut membintangi sebuah siri drama British-Amerika, Strike Back: Revolution (2019). Melangkaui kerjaya lakonan, Faizal melancarkan autobiografi pertamanya, Limelight pada tahun 2012, yang mengisahkan tentang corat-coret dunia perfileman daripada perspektif beliau. Dengan kerjaya yang melangkaui selama lima dekad, Faizal telah diiktiraf sebagai antara pelakon yang paling disegani dalam industri hiburan Malaysia.[7]
Kehidupan awal
Faizal dilahirkan pada Rabu, 21 Safar 1387, bersamaan dengan 31 Mei 1967 di Gombak, Selangor dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan anak lelaki tunggal dalam keluarganya. Ibu bapanya ialah pasangan pelakon veteran 60-an, Allahyarham Hussein Abu Hassan (1937–2007) dan Allahyarhamah Mahyon Ismail (1942–2011).[8][9] Faizal mempunyai dua orang kakak, iaitu Dilla (lahir 1963) dan Fairuz (lahir 1965).[10] Sepupunya ialah Rosyam Nor, juga bergiat aktif dalam bidang lakonan. Beliau berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kerjaya
1972–1999: Pelakon kanak-kanak dan karya awal
Faizal, yang ketika itu berusia 5 tahun, memulakan kerjaya lakonan sebagai pelakon kanak-kanak dalam filem Darah Panglima (1972) arahan S. Kadarisman.[11] Selepas itu, Faizal berlakon dalam beberapa filem sebagai bintang cilik, antaranya termasuk Penyamun Si Bongkok (1973) dan Bunga Padi Berdaun Lalang (1975). Akan tetapi, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya lakonan bagi memberi tumpuan kepada pendidikannya di sekolah. Hanya pada tahun 1982, Faizal, yang ketika itu berusia 15 tahun, kembali beraksi di layar lebar dengan membintangi filem Senja Merah arahan bapanya, Hussein Abu Hassan dengan memegang watak sebagai Anuar. Ia menjadi filem pertama lakonan beliau sebagai pelakon sebaik sahaja meningkat alam kedewasaan.[12]
Beliau sekali lagi bekerja di bawah arahan bapanya menerusi filem Gila-Gila Remaja (1986) dengan memegang watak sebagai seorang remaja nakal yang bernama Azroy, yang menjadi penanda aras dalam kerjaya Faizal dalam bidang lakonan[13]. Jeehan dari Berita Harian Singapura beranggapan bahawa watak lakonan Faizal dalam filem ini "kacak orangnya".[14] Pada tahun 1988, Faizal membuat penampilan antarabangsa sulungnya menerusi filem kerjasama Hong Kong-Malaysia, Fighting Madam 2 arahan Teresa Woo lakonan Moon Lee, Elaine Lui dan Alex Fong. Beliau membintangi 3 filem serentak dalam tahun 1989, iaitu filem Tuah lakonan Jamal Abdillah dengan memegang dua watak, sebagai Sultan Anuar Alauddin Shah dan Hang Jebat; filem Tak Kisahlah Beb sebagai Bob dan sebuah filem Indonesia, Misteri Harta Karun dengan melakonkan watak Ganda.
Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1991, Faizal melakonkan watak pembantu dalam filem Bayangan Maut arahan Yusof Haslam dengan memegang watak sebagai Eddie, teman lelaki kepada penyanyi rock, Ella yang dilakonkan oleh Ella sendiri. Selepas filem itu, beliau kembali berlakon di bawah arahan bapanya, Hussein Abu Hassan dalam filem aksi thriler, Kanta Serigala. Dalam filem yang dibintangi oleh Didie Alias dan Rosyam Nor serta barisan pelakon lain.[15] Beliau memegang watak sebagai Zarul, seorang penderita masalah tekanan mental yang berazam untuk menuntut bela keatas kematian satu-satunya adik perempuan kesayangannya, Shakira yang dilakonkan oleh Melissa Saila. Faizal sifatkan watak lakonannya itu "benar-benar mencabar".[16] Seawal Januari 1992, beliau menubuhkan syarikat perfileman sendiri, Reverse Angle Productions atau ringkasnya, RAP. Namun operasi syarikatnya itu ditutup tidak lama selepas ditubuhkan kerana beliau mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang lakonan.[17] Beliau kemudian membintangi filem cereka sains, XX Ray (1992) arahan Aziz M. Osman dengan memegang watak sebagai Anuar, rakan karib Amir lakonan Aziz. Ia menjadi satu-satunya filem lakonan beliau dalam tahun 1992.[18]
Kerjasama antara Faizal dan Aziz diteruskan menerusi filem Fantasi (1993) yang pada asalnya bertajuk Fantasia. Dalam filem ini, beliau dan Kuza Muzani memegang watak suami isteri, Teruna dan Dara.[19][20][21] Penampilan pertamanya di layar kaca ialah pada tahun 1994 menerusi drama Hati Waja yang disiarkan di TV1 dengan memegang watak sebagai Sharif.[22] Faizal pada mulanya dipertimbangkan untuk kembali beraksi sebagai Anuar dalam filem XX Ray II (1995) sebelum penggambaran dijalankan.[23] Namun beliau digugurkan dan digantikan oleh Bonnie Sta. Maria yang memegang watak Johan.[24]
Beliau berlakon dalam dua filem pada tahun 1996, iaitu Siapa Dia? lakonan bersama Nina Juren dengan memegang watak sebagai Saiful,[25][26] diikuti oleh Litar Kasih lakonan bersama Azhar Sulaiman dan Linda Rafar dengan memegang watak sebagai Herman.[27] Menerusi Litar Kasih, beliau berjaya memperoleh royalti menerusi filem lakonannya itu.[28] Tawaran berlakon telefilem turut diperolehi Faizal dengan membintangi beberapa telefilem antara 1996 dan 1997, antaranya ialah Putih Gaun Pengantin dan Maaf Kami Tak Sengaja yang kedua-duanya disiarkan di TV3. Pada tahun 1999, beliau berlakon dalam drama Fitrah Khadijah untuk siaran di TV1. Beliau juga menggalas tanggungjawabnya sebagai pengacara rancangan permainan Kosa Kata yang disiarkan di TV1.[29] Faizal membuat penampilan pentas pertamanya menerusi pementasan teater Opera Ayu Cendana arahan Fauziah Nawi pada Oktober.[30][31]
2000–2013: Kejayaan kritis
Selepas hampir 3 tahun tidak muncul dalam sebarang filem, beliau kembali bekerjasama dengan Aziz M. Osman menerusi filem Leftenan Adnan (2000) dengan memegang watak sebagai Prebet Ayob. Sebagai persediaan untuk membawakan wataknya, Faizal bersama-sama dengan dua pelakon lain, Rusdi Ramli dan Azri Iskandar menjalani latihan di kem tentera selama sebulan sebelum penggambaran dijalankan.[32] Persembahan beliau dalam filem ini melayakkannya dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2001, namun tewas kepada Afdlin Shauki yang memenangi kategori tersebut menerusi filem Soal Hati.
Setahun kemudian, Faizal bersama-sama dengan barisan pelakon lain seperti M. Rajoli, Lyana Sulaiman dan Suhaina Yahya membintangi drama Madu Empat (2001) yang disiarkan di Slot Citrawara TV3. Beliau mempunyai dua filem lakonannya yang ditayangkan pada tahun 2002. Beliau memegang watak sebagai seorang pelumba motosikal profesional yang bernama Pit dalam filem KL Menjerit arahan Bade Hj. Azmi.[33] Kemudian, beliau memegang watak sebagai ketua sindiket dadah yang bernama Frankie dalam filem Gerak Khas The Movie II arahan Yusof Haslam.[34]
Faizal muncul dalam dua filem pada tahun 2003. Beliau memegang watak sebagai Ijoy, seorang ketua samseng dan mat rempit dalam filem drama romantik Janji Diana lakonan Erra Fazira yang memegang watak tajuk. Seterusnya, beliau menjadi pelakon utama bersama Saiful Apek dan Zul Yahya dalam filem aksi komedi penyiasatan MX3 arahan Yusof Kelana.[35] Selain itu, beliau juga berlakon dalam drama Sembilu, adaptasi dari filem 1994 bertajuk sama yang dibintangi oleh Hetty Sarlene dan Zed Zaidi sebagai watak utama. Dalam drama ini, beliau memegang watak sebagai Azman, abang sulung kepada Zetty lakonan Hetty. Beliau kembali memegang wataknya dalam Sembilu Kasih (2006–2007).
Pada tahun 2005, Faizal muncul bersama dua filem terakhirnya sebelum berehat panjang dari kerjaya filem. Beliau bersama-sama dengan barisan pelakon ensembel termasuk Juliana Banos membintangi filem seram komedi Pontianak Menjerit dengan memegang watak sebagai Yassin, kemudian diikuti dengan filem Gerak Khas The Movie III dengan memegang watak sebagai Raymond, kembar kepada watak Frankie lakonannya dalam filem sebelumnya. Sepanjang tempoh tidak belakon dalam mana-mana filem, beliau banyak membintangi drama dan telefilem. Antara drama lakonannya sepanjang tempoh itu ialah Fajar Kinaboi dan Abadi Sebuah Cinta yang masing-masing disiarkan di TV1 dan TV3. Faizal turut membintangi beberapa telefilem antaranya ialah Sebuah Ijtihad dan Kalam Cinta Rabiah.
Pada tahun 2009, Faizal kembali beraksi di layar lebar dengan membuat penampilan khas dalam filem Jalang, diikuti dengan 2 Alam (2010). Beliau memegang watak tajuk dalam filem Abuya arahan Imran Haji Ismail. Dikeluarkan pada 10 November 2011, ia mengisahkan tentang Abuya yang mengetuai satu kumpulan ajaran sesat.[36] Pada tahun yang sama, beliau berlakon dalam drama Pak Su Man di TV AlHijrah, drama ini turut dibintangi oleh Ezany Nizariff, Yatt Hamzah, Fazren Rafi dan Ieka Zulkifli.[37] Beliau juga berlakon dalam 3 filem yang mana kesemuanya menjalani penggambaran pada 16 November 2011 – Taiko, Khon Malay dan 1945. Bagaimanapun, status terkini ketiga-tiga filem itu masih belum diketahui sehingga kini.[38]

Pada tahun 2012, Faizal berlakon di samping Pekin Ibrahim dan Zahiril Adzim dalam filem arahan Dain Said, Bunohan di mana beliau memegang watak sebagai Ilham.[39] Persembahan beliau dalam filem ini melayakkannya memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25[40] dan menerima pencalonan bagi kategori sama di Anugerah Skrin 2012.[41] Darah seni beliau juga diperolehi dari kedua ibu bapanya yang juga merupakan seorang pelakon mendorong Faizal menerbitkan sebuah memoirnya yang bertajuk Limelight yang menceritakan perjalanan suka duka hidupnya sepanjang bergelar anak seni. Buku ini dikeluarkan pada Jun 2012 dan diterbitkan oleh Merpati Jingga.[42] Pada tahun yang sama juga, Faizal juga berlakon dalam beberapa drama termasuk Dalam Hati Ada Taman dan Lara Hati serta telefilem Diba Benci Abah lakonan bersama Eyka Farhana.
Pada tahun 2013, Faizal kembali menjayakan watak sebagai Azroy dalam filem arahan V. Nagaraj, Gila-Gila Remaja 2, kesinambungan dari filem 1985, Gila-Gila Remaja arahan bapanya.[43] Filem ini turut dibintangi oleh Hairul Azreen, Faralyna Idris, Taiyuddin Bakar, Fizz Fairuz dan Bella Dally. Beliau turut berlakon dalam dua lagi filem, iaitu Longkai arahan Hashim Rejab dengan memegang watak sebagai Bada, pemandu Longkai (trak tunda) berpengalaman. Ia turut dibintangi oleh Erra Fazira, Niezam Zaidi dan Wawa Zainal,[44] diikuti oleh Balada Pencinta arahan Khir Rahman dengan memegang watak sebagai ketua samseng.[45] Selain itu, beliau juga berlakon dalam Metro Skuad sebanyak dua episod: "Jerat Awang Hitam" sebagai Joe dan "Jalan Pintas" sebagai Rambo. Faizal turut berlakon dalam sejumlah telefilem dalam tahun 2013, antaranya ialah Bungkusan Leman dan Karma Abah.
2014–kini: Pengembangan kerjaya dan projek terkini
Faizal berlakon dalam dua filem pada tahun 2014. Beliau membuat penampilan khas dengan memegang watak sebagai Bomoh Urut dalam filem Fobia Malam Pertama arahan Murali Abdullah lakonan Azad Jasmin, Syafnida Shuhaimi dan pelakon Indonesia, mendiang Julia Perez. Kemudian, beliau muncul pula dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia arahan Bernard Chauly dengan memegang watak sebagai Bakhtiar. Beliau turut berlakon dalam dua telefilem untuk siaran di TV3, Titian Keinsafan dan Nasi Air.
Pada 17 Januari 2015, Faizal memegang watak utama bersama Sari Yanti dalam telefilem Penjara Seorang Isteri yang berkisarkan tentang perkahwinan Salmah dengan Zaid yang berlaku atas dasar suka sama suka dan perkahwinan mereka dikurniakan dua cahayamata. Dalam telefilem ini, yang berdasarkan dari satu kisah benar, Faizal menjayakan watak sebagai Zaid. Selain itu, beliau turut berlakon dalam beberapa telefilem lain termasuk Detik, Aku Kaya Raya Ni dan Lorong Kecil Ke Syurga. Tawaran berlakon filem tetap diperolehinya apabila beliau membintangi filem seram Gudang Kubur yang menggandingkannya bersama Nora Danish. Dikeluarkan pada 12 Januari 2015, ia mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang mengalami pelbagai kejadian mistik selepas membeli sebuah gudang untuk perniagaan jubin mereka. Ia menjadi filem seram pertama Faizal dalam kerjaya lakonannya.[46][47] Beliau berlakon bersama Remy Ishak dan Kamal Adli dalam drama Jiwa yang disiarkan di slot Aksi TV3 dari 5 Februari sehingga 20 Mei 2014.[48] Kemudian, beliau memegang watak sebagai Zohri, seorang pemuda yang dibawa ke zaman silam selepas mencuri sebuah kapsul masa dalam filem cereka sains Kapsul yang menampilkan penampilan khas oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Filem ini ditayangkan pada 17 September 2015.[49][50]
Bekerja di bawah arahan Pekin Ibrahim, Faizal menjayakan watak lakonannya sebagai Pit dalam filem Mat Moto yang ditayangkan pada 14 Januari 2016.[51] Beliau meneruskan rentetan kerjasamanya bersama Pekin dalam filem aksi permotoran KL Wangan dengan memegang watak Yudi. Beliau mengakui watak Yudi merupakan "watak idaman" beliau ketika proses pra-penerbitan filem ini dijalankan. Ini merupakan kali ketiga beliau dan Pekin bekerjasama selepas Bunohan dan Mat Moto.[52][53] Beliau membuat penampilan iklan pertamanya menerusi iklan terbitan Pelaburan MARA yang bertajuk Ikhlas yang turut menampilkan Umie Aida. Faizal turut membuat penampilan muzik video pertamanya menerusi muzik video lagu "Cinta Takkan Berakhir" nyanyian Anuar Zain dengan memegang watak sebagai Doktor Pakar Bedah. Selain itu, beliau juga menggalas tanggungjawabnya sebagai pengacara rancangan Jejak Rezeki terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk siaran di TV1 sebanyak 13 episod.[54][55][56]
Pada tahun 2018, Faizal berlakon dalam filem Dukun arahan Dain Iskandar Said yang diilhamkan daripada kes Mona Fandey, filem ini ditayangkan pada 5 April 2018 selepas sedekad disekat dari tayangan. Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Karim, seorang peguam yang nekad untuk mencari anaknya yang hilang. Ia dibintangi oleh Umie Aida yang memegang watak sebagai Diana Dahlan.[57][58] Beliau kemudian berlakon dalam filem Kalla: Hidup Atau Mati dengan memegang watak sebagai Dr. Ezahar, seorang doktor dan suami kepada Serina lakonan Vanidah Imran.[59][60][61] Beliau bersama-sama dengan barisan pelakon ensembel membintangi telefilem The Hantus arahan bersama Nabil Ahmad dan Helmi Yusof, di mana beliau memegang watak sebagai Pemandu Volkswagen Kuning.[62][63]
Beliau memegang watak penting dalam siri televisyen British-Amerika, Strike Back yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia. Beliau memegang watak sebagai seorang pengganas Indonesia yang merancang untuk mengebom sebuah pusat beli-belah.[64][65] Faizal kemudian memegang watak sebagai Musa dalam siri drama cereka sains Devoted yang disiarkan di platform penstriman Viu. Ditanya mengenai penglibatan beliau dalam drama ini, Faizal berkata: "Siri web ini berbeza kerana ada sekumpulan pengarah yang terdiri daripada seorang ketua dan dibantu tiga sutradara lain. Jadi, percambahan idea mereka lebih pelbagai. Disebabkan itu saya nampak naskhah ini berbeza daripada yang lain,".[66] Beliau kembali beraksi sebagai Anuar, rakan karib Amir dalam francais filem XX Ray karya Aziz M. Osman dengan membuat penampilan kameo pada adegan akhir dalam filem ketiga dalam francais itu yang ditayangkan pada 24 Januari 2019.[67] Beliau kemudian membuat penampilan khas dalam filem Geran dengan memegang watak sebagai Haji Daud, seorang ketua sindiket ceti haram.
Faizal bersama-sama dengan Nabila Huda memegang watak utama dalam filem seram thriler M4M4 arahan Eyra Rahman.[68] Filem ini turut dibintangi oleh pelakon baru, Bella Dowanna. Penggambaran dijalankan pada Disember 2018 dan filem ini ditayangkan pada 6 Februari 2020. Setahun kemudian, beliau berlakon bersama-sama dengan sepupunya, Rosyam Nor dalam filem Proksi (2021) dengan memegang watak sebagai Mr. Roy, seorang penyiasat. Filem ini turut dibintangi oleh Bront Palarae, Remy Ishak dan Sangeeta Krishnasamy.[69]
Menerusi siri drama Astro Originals, i-Tanggang yang disiarkan di Astro Citra, Faizal memegang watak sebagai Rahmat, bapa kepada Khalil Rayyan lakonan Danish Hazriq dan bekas suami kepada Erma lakonan Sherie Merlis.[70][71] Beliau juga muncul sebagai pelakon undangan dalam drama Oh My Hantaran dengan memegang watak sebagai Bujas. Beliau kemudian melakonkan watak sebagai Shah Karim, seorang ahli perniagaan yang dibelenggu hutang dan bapa kepada Iman Shah (Syafiq Kyle), dalam satu lagi drama Astro Originals One Cent Thief yang disiarkan di Astro Ria.[72] Faizal juga membuat penampilan khas dalam filem Remp-It 2 dengan kembali melakonkan watak Pit, dalam dua filem lakonannya sebelum ini, KL Menjerit dan Mat Moto. Tidak lama selepas itu, beliau membintangi filem aksi komedi Daddyku Gangster arahan Ismail Bob Hasim bersama barisan pelakon lain termasuk Zul Huzaimy, Reen Rahim, Adeline Tsen, Vanidah Imran dan Azhan Rani.[73]
Beliau kembali bekerja di bawah arahan Dain Said menerusi filem seram Harum Malam yang mana beliau memegang watak sebagai Kiai Hassan.[74] Kemudian, beliau menjadi pelakon utama bersama M. Nasir dalam filem Imam arahan Mior Hashim Manap, yang diadaptasi dari novel karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Dalam filem ini, Faizal memegang watak sebagai Haji Syamsuri, sepupu kepada Haji Mihad (M. Nasir) dan merupakan pengerusi lembaga pemegang amanah Masjid Haji Salih.[75] Bagi menjayakan wataknya, Faizal bertutur dalam bahasa Arab dan mengikuti beberapa siri kelas bahasa Arab sebelum dan semasa penggambaran dijalankan. Katanya: "Ada beberapa babak dalam filem Imam memerlukan saya bertutur dalam bahasa Arab. Disebabkan itu, saya perlu belajar dan mengikuti beberapa kelas".[76]
Dari 30 November 2023 sehingga 4 Januari 2024, Faizal memegang watak sebagai Omar Yusuf, seorang pelukis siri webtoon dan bapa kepada Izara (Daiyan Trisha) dalam W: Two Worlds. Drama web yang disiarkan di platform penstriman Viu ini, diadaptasi dari drama Korea Selatan 2016 bertajuk sama.[77][78] Untuk drama ini, beliau melakukan sendiri adegan aksi ngeri sendiri tanpa bantuan tenaga terlatih.[79] Kemudian, beliau memegang watak sebagai Tok Ayah dalam telefilem Mati Hidup Balik arahan Syawal Azrai Mokhtar lakonan bersama Fiza Thomas, Sahronizam Noor dan Usop Wilcha. Telefilem terbitan Zeel Production itu ditayangkan para 19 Januari 2024 di Astro Ria.[80] Faizal menjadi salah seorang pelakon utama drama Menanti Senja yang disiarkan di slot Samarinda TV3 dengan memegang watak sebagai Kamal, bapa kepada Sarah Adina lakonan Trisha Ooi. Ia turut dibintangi oleh Johan As'ari, Kodi Rasheed dan pelakon kanak-kanak, Hawra Jamalullail.[81]
Penerimaan dan gaya lakonan
"Sejak dahulu lagi saya memang bersikap agak selektif terhadap projek yang saya terima dan itu sebenarnya strategi saya untuk terus kekal dalam industri. Pada saya, [...] seseorang pelakon itu tidak hanya boleh bersandarkan populariti untuk terus kekal tetapi perlu pasang strategi"
—Faizal mengenai strategi kekal relevan dalam bidang lakonan[82]
Faizal Hussein telah dianggap sebagai salah seorang pelakon lelaki Malaysia terbaik dalam generasinya dan sering mendapat perhatian umum menerusi beberapa filem dan drama yang menampilkan beliau memegang watak protagonis dan antagonis.[83] Telah membintangi lebih 60 filem dan ratusan drama dan telefilem sejak memulakan kerjaya lakonan pada 1972, wartawan hiburan Harian Metro, Georgie Joseph mendapati bahawa Faizal ialah "satu-satunya pelakon senior tempatan yang terus menduduki takhta artis paling mahal bakat seninya" dan menggelarnya sebagai "permata berharga dalam seni lakon layar".[75] Ridzuan Abdul Rahman dari akhbar sama menulis, "Dikategorikan ramai pihak sebagai pelakon senior dan berusia. Namun jangan pandang lekeh atau main-main dengan Faizal Hussein".[79] Faizal berkata beliau enggan beralah kepada tawaran yang diberikan kepadanya sekadar watak pembantu sahaja: "Saya tak kisah watak yang ditawarkan pun, masih ditawarkan watak hero mahupun antagonis. Pada saya, paling penting adalah mesej yang kita sampaikan pada cerita dilakonkan [...] Dari aspek itu, saya memang tekankan jadi keutamaan diri".[75] Dennis Chua dari New Straits Times menggelar Faizal sebagai antara "salah seorang pelakon yang paling serba boleh negara, dan mengambil alih kedudukan bapanya dalam banyak cara".[84]
Beliau juga mengakui mendapat lebih kepuasan melalui bidang lakonan dan menolak tawaran menduduki kerusi pengarah kerana merasakan ia bukan citarasanya.[85][86] Ditanya mengenai penglibatannya dalam drama over-the-top (OTT),[87] Faizal berkata kepada Berita Harian: "Keutamaan saya sekarang adalah platform OTT, walaupun belum dibayar pada tahap lumayan, saya amat berpuas hati dengan upah diterima. Malah, jika diberi pilihan antara filem dan OTT, saya pilih OTT. Jika ada tawaran selain daripada OTT, mungkin saya akan pertimbangkan".[88] Wartawan hiburan Utusan Malaysia, Mohammad Al-Faizal Abdul Karim menulis, "Deretan trofi dan penghargaan yang diterima menjadikan dia salah seorang anak seni yang cukup berjaya. Namun dia sederhana, dalam apa jua aspek. Lantas itu menjadikan dia, unik". Beliau juga berpendapat bahawa "berurusan dengan Faizal adalah mudah. Rendah diri dan baik budi pekerti. Tiada kerenah yang tak disenangi. Itulah profesionalisme seorang bintang yang wajar diteladani".[89] Menulis untuk Kosmo!, Sairul Zamri Misrani berpendapat bahawa Faizal "dilihat masih kekal relevan serta ditagih pesona bakatnya sehingga ke hari ini".[90] Nazrin Zulkafli dari mStar Online menulis, "Kehebatan seorang Faizal Hussein memang tidak dapat disangkal menerusi persembahan lakonan dalam drama mahupun filem walaupun usianya sudah mencecah 57 tahun".[91] Farali Khan yang pernah berlakon bersama Faizal dalam filem Kalla: Hidup Atau Mati mencontohi disiplin dan cara kerjanya bidang lakonan yang disifatkannya sebagai "luar biasa" dan berkata: "Tidak hairan disebabkan sikap merendah diri, menjaga disiplin, sentiasa tenang dan sedia berkongsi pengalaman membuatkan dia dihormati".[92]
Kehidupan peribadi
Beliau berkahwin dengan Suhaila Sulaiman yang juga merupakan seorang bekas pelakon pada 3 Julai 2004 di Masjid Arrahman, Taman Dahlia, Johor Bahru, Johor.[93][94] Pasangan ini mula berkenalan ketika sama-sama menjayakan pementasan teater Ayu Cendana pada tahun 1999.[95] Mereka dikurniakan dua anak, Fazryn dan Fazrick.[96][97][98]
Filemografi
Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan |
Filem
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1972 | Darah Panglima | Filem pertama sebagai pelakon kanak-kanak | |
1973 | Kelana | Sebagai pelakon kanak-kanak | |
Penyamun Si Bongkok | Ladim/Putih (kecil) | ||
1975 | Bunga Padi Berdaun Lalang | ||
1982 | Senja Merah | Anuar (kecil) | |
1985 | Bujang Selamat | Bujang | |
1986 | Gila-Gila Remaja | Azroy | |
1987 | Mati Hidup Semula | Jamal | |
1988 | Gila-Gila Si Pikoy | Faizal | Filem usahasama Malaysia-Filipina |
Fighting Madam 2 | Filem Hong Kong | ||
1989 | Tuah | Sultan Anuar Alauddin Shah/Hang Jebat | |
Tak Kisahlah Beb | Borhan @ Bob | ||
Misteri Harta Karun | Ganda | Filem Indonesia | |
1991 | Bayangan Maut | Eddie | |
Kanta Serigala | Zarul | ||
1992 | XX Ray | Anuar | |
1993 | Fantasi | Teruna/Rahmat | |
1994 | Sofia-Jo | Joe | |
1996 | Litar Kasih | Herman | |
Siapa Dia? | Saiful | ||
1997 | Sate | Kadir | |
2000 | Leftenan Adnan | Prebet Ayob | |
2001 | Getaran | Zamri | |
2002 | Gerak Khas The Movie II | Frankie | |
KL Menjerit | Pit | ||
2003 | Janji Diana | Ijoy | |
MX3 | Mamat | ||
2005 | Pontianak Menjerit | Yassin | |
GK3 The Movie | Raymond | ||
2009 | Jalang | Penampilan khas | |
2010 | 2 Alam | Adam | |
2011 | Abuya | Abuya | |
Datin Ghairah | Suffian | ||
2012 | Azura | Bapa Azura | Pelakon undangan |
Bunohan | Ilham | ||
Leftwings | Penampilan khas | ||
2013 | Gila-Gila Remaja 2 | Azroy @ Roy | |
Longkai | Bada | ||
Balada Pencinta | Gengster | ||
2014 | Fobia Malam Pertama | Bomoh Urut | Penampilan khas |
Manisnya Cinta Di Cappadoccia | Bakhtiar | ||
2015 | Gudang Kubur | Anwar | |
Kapsul | Zohri Ibrahim | ||
Polis EVO | Dirinya sendiri | Penampilan kameo | |
2016 | Mat Moto | Pit | Penampilan khas |
Mrs K | Tano | Filem Malaysia–Hong Kong | |
2017 | Tombiruo: Penunggu Rimba | Pondolou | |
KL Wangan | Yudi | ||
2018 | Dukun | Karim | |
Kalla: Hidup Atau Mati | Dr. Ezahar | ||
7ujuh | Inspektor Azmi | ||
2019 | XX Ray III | Anuar | Penampilan kameo |
Geran | Haji Daud | Penampilan khas | |
Pusaka | Mansor | ||
2020 | M4M4 | Inspektor Azahari | |
2021 | Proksi | Mr. Roy | |
2022 | Rajawali | Abang Long | |
Remp-It 2 | Pit | Penampilan khas | |
Daddyku Gangster | Karim | ||
2023 | Harum Malam | Kiai Hassan | |
Imam | Haji Syamsuri | ||
Syaitan Munafik | Nizam | ||
Bintang Yang Terindah | Amir | ||
2025 | Saadiah: Bekal Kasih Merdeka | Pos-produksi | |
TBA | Abang | Haji Daud | Pos-produksi |
Drama
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
1994 | Hati Waja | Sharif | TV1 | Drama pertama |
Runtuh | ||||
1999 | Fitrah Khadijah | |||
2001 | Madu Empat | Alang | TV3 | |
2003–2005 | Sembilu | Azman | TV2 | |
2006–2007 | Sembilu Kasih | TV3 | ||
2008 | Fajar Kinaboi | Kamal | TV1 | |
Abadi Sebuah Cinta | Faizal | TV3 | ||
2009 | Senja Permai | Hairi | Astro Prima | |
2009–2010 | Cuci Cuci Services | TV2 | ||
2011 | Gerak Khas (Musim 13) | Joe | Episod: "Buru" | |
Seharum Kenanga | Omar | |||
Pak Su Man | Tarmizi | TV AlHijrah | ||
2012 | Puaka Bunga Tanjung | Andaman | TV9 | |
Metro Skuad (Musim 1) | Joe | TV2 | Episod: "Jerat Awang Hitam" | |
Lara Hati | Roslin | TV9 | Pelakon undangan | |
Ameera | Jai | TV3 | ||
Dalam Hati Ada Taman | Tuan Zul | Astro Ria | ||
2013 | Metro Skuad (Musim 2) | Rambo | TV2 | Episod: "Jalan Pintas" |
Dahlia | Fuad | Astro Mustika HD | ||
2014 | Beret Hijau (Musim 2) | TV1 | ||
Oh My English! (Musim 3) | Homeless | Astro TVIQ | Episod: "Ramadan" | |
Jiwa | Alif Rizal | TV3 | ||
Azam Ramadan Su | Luqman | |||
2015 | Papa Chef | Chef Zikri | TV1 | |
2016 | Cinta Macarons | Jefri | TV2 | |
Si Kolot Suamiku | Tengku Ahmad Ehsan | Astro Ria | ||
2017 | Cerita Dari Mastika | Hamid | Astro Prima | Episod: "Kereta Rosak" |
2019 | Strike Back: Revolution | Hassan Ahmed | Cinemax | 2 episod |
2020 | Dua Takdir Cinta | Tuan Ismail | Astro Prima | |
Jaman Tori | Sultan Sulaiman | Awesome TV | ||
2021 | Kisah Rumah Tangga | Kalif | Astro Ria | Episod: "Azan Rumah Abah" |
I-Tanggang: Mother Of All Lies | Rahmat | Astro Citra | ||
Dak Dan Ofis | Awesome TV | |||
2021–2022 | Oh My Hantaran | Bujas | TV9 | Pelakon undangan |
2022 | Epilog 3 Naga | Azroy | Awesome TV | |
One Cent Thief | Shah Karim | Astro Ria | ||
2024 | Menanti Senja | Kamal | TV3 | |
2025 | One Cent Thief 2 | Shah Karim | Astro Citra | |
Drama web
Telefilem
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
1986 | Drama Minggu Ini: Putik Kasih | Farid | TV1 | Telefilem pertama |
1992 | Cari-Cari Jodoh | Zainal | ||
Identiti | TV3 | |||
1993 | Sebuah Pelayaran | VCD | ||
Antara Dua Bayang | TV3 | |||
1994 | Hello | Kekasih Haz | ||
Pengantin Popular | ||||
1995 | Diari Hati Julia | |||
1996 | Prelude | |||
Putih Gaun Pengantin | Ridzuan | |||
1997 | Wasiat Untuk Natili | |||
Maaf Kami Tak Sengaja | ||||
1999 | Impian Suraya | |||
2003 | Kordi & Konah | |||
2007 | Sebuah Ijtihad | Ehsan Ali | ||
Lahad | TV2 | |||
2008 | Kalam Cinta Rabiah | Zakuan | TV3 | |
2009 | Wira Malam Bisikan Naga | Wira Legend | Astro Ria | |
2010 | Kasut Emas | Otai | TV2 | |
2011 | Bertemu Kasih | Syukri | TV1 | |
Anak | Amir | Astro Prima | ||
Maafkan Aku Papa | Salim | TV2 | ||
Kenapa Aku Mencuri? | Pejal | Astro Prima | ||
Aku bin Abdullah | ||||
Kerana Aku Seorang Anak | Hisham | TV9 | ||
2012 | Aku Bukan Buaya | NTV7 | ||
Kasihnya Qaseh | Rizman | TV1 | ||
Puteri Pulau Tuba | TV2 | |||
Diba Benci Abah | Borhan | Astro Prima | ||
Ke Pintu Bahagia | Azmin | TV3 | ||
Fatihah Untuk Abah | Dollah | |||
Mati Hidup Semula | Ayah Lan | Astro Oasis | ||
2013 | Bungkusan Leman | Sham | TV2 | |
Delusi | Dato' Hanif | TV9 | ||
Mencari Syifa | Hakimi | TV AlHijrah | ||
Lukisan | Deraman | Astro Mustika HD | ||
Qarina | Azimal | TV3 | ||
Karma Abah | Nasir | |||
2014 | Titisan Keinsafan | Azzul | ||
Nasi Air | Pak Rahman | |||
2015 | Penjara Seorang Isteri | Zaid | Astro Oasis | |
Pendua | Izwan | TV2 | ||
Detik | Rauzan | TV3 | ||
Aku Kaya Raya Ni | Sudin | Astro Prima | ||
Lorong Kecil Ke Syurga | Azmi | TV9 | ||
Jalan Singkat Ke Syurga | Fadil | Astro Oasis | ||
Wan Embong | Omar | TV3 | ||
2016 | Che Pah Penari Hadrah Terakhir | Che Pah | Astro First Eksklusif | |
Dia Untukku | Adam Mukriz | TV AlHijrah | ||
Ayah Mentuaku | Tuan Haji Abu Zahar | TV9 | ||
Dari Asar Ke Isyak | Syukri | TV2 | ||
Buku Cinta Abah | Amar | TV3 | ||
Syawal Yang Hilang | Pak Ayob | Unifi TV | ||
Munajat Suci | Muiz | Astro Prima | ||
Liga Masjid | Pak Tham | Astro Ria | ||
2017 | Petanda | Ramlan | TV9 | |
Papa Sayang | Yusuf | Unifi TV | ||
Cerita Seram Paya Hitam | Hassan | Astro Ria | ||
Anak Kerak | Hussein | Astro Citra | ||
2018 | The Hantus | Abang Volkswagen Kuning | Astro First Eksklusif | |
Kelir | Rahman | TV1 | ||
Qalbu | Kamal | TV3 | ||
2019 | Samad Tedung | Samad | ||
Sesalan Terakhir | Tarmizi | |||
Dah Mati Pun Cantik | Dr. Malik | Astro Citra | ||
2020 | Berdua | Al | TV1 | |
7 Langkah | TV Okey | |||
Nurul Najwa | Tuan Sulaiman | TV1 | ||
Takbir Dari Belantara | Tobias | |||
2022 | Orang Minyak Kampung Lenggong | Amir | Astro Citra | |
Aroma Cinta | Orang Asing | TV1 | ||
2023 | Demi Masa | Musa | TV3 | |
2024 | Titipan Kasih | Rashid | ||
Isteri Seorang Lelaki | TV1 | |||
Mati Hidup Balik | Tok Ayah | Astro Ria | ||
2025 | Pondok Abuya | Abuya | TV3 |
Televisyen
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV |
---|---|---|---|
1990 | Varia Aidilfitri | Dirinya sendiri | TV1 |
1999 | Kosa Kata | Pengacara | |
2015 | Gegar Vaganza (musim 2) | Juri jemputan | Astro Ria |
2018 | It's Alif | Tetamu undangan | NTV7 |
2019 | Malaysia Hari Ini: Retro Mania | Artis undangan | TV3 |
Iklan
Tahun | Tajuk | Watak | Untuk | Gandingan |
---|---|---|---|---|
2017 | Ikhlas | Ayah | Pelaburan MARA | Umie Aida |
2019 | Baju Cantik | Jakel | Suhaila Sulaiman | |
2021 | Ayah & Ibu | Along | Little Joe Perfume | Zul Huzaimy, Mior Hashim Manap |
2023 | Manih-Manih Podeh | Abah Ilham | Saji | Fimie Don |
Kapital Rahmah | Rahman | Malaysia Madani | Mak Wan & Kamarulzaman Taib 'Chekem' | |
Videografi
Muzik video
Tahun | Tajuk lagu | Watak | Artis undangan | Catatan |
---|---|---|---|---|
2017 | "Cinta Takkan Berakhir" | Doktor Pakar Bedah | Anuar Zain | Penampilan khas |
Diskografi
Tahun | Tajuk Lagu | Penyanyi |
---|---|---|
2017 | "KL Wangan" | Altimet & Pekin Ibrahim |
Bibliografi
- Faizal Hussein (2012). Limelight. Merpati Jingga. ISBN 9789671118511
Anugerah dan pencalonan
Tahun | Anugerah | Kategori | Pencalonan | Keputusan |
---|---|---|---|---|
1992 | Festival Filem Malaysia ke-10 | Pelakon Lelaki Terbaik | Kanta Serigala | Tercalon |
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | XX-Ray | Tercalon | ||
1997 | Anugerah Bintang Popular ke-10 | Menang | ||
2001 | Anugerah Skrin 2001 | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) | Leftenan Adnan | Tercalon |
2003 | Anugerah Skrin 2003 | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) | Gerak Khas The Movie II | Menang |
2012 | Anugerah Skrin 2012 | Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) | Bunohan | Tercalon |
2013 | Festival Filem Malaysia ke-25 | Pelakon Lelaki Terbaik | Menang | |
2014 | Anugerah Skrin 2014 | Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) | Longkai | Tercalon |
Festival Filem Malaysia ke-26 | Pelakon Lelaki Terbaik | Tercalon | ||
2015 | Festival Filem Malaysia ke-27 | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Manisnya Cinta Di Cappadoccia | Tercalon |
2018 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 | Pelakon Filem Lelaki Popular | Tercalon | |
Anugerah Skrin 2018 | Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) | Dukun | Tercalon | |
2019 | Anugerah Skrin 2019 | Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) | Samad Tedung | Menang |
Catatan
- Walaupun kampung halamannya ialah di Alor Gajah, Melaka, asal sebelah bapa dan juga Tanjung Karang, daerah Kuala Selangor di bahagian utara Selangor, asal sebelah ibu.
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.