Remove ads
Filem genre pengembaraan dan sains fiksyen Malaysia 1992 arahan Aziz M. Osman From Wikipedia, the free encyclopedia
XX Ray ialah sebuah filem pengembaraan cereka sains Malaysia 1992 arahan Aziz M. Osman dengan idea oleh Azmil Mustapha dan cerita asal oleh Nahar Akhbar Khan. Ia merupakan filem pertama dalam trilogi XX Ray dan dibintangi oleh Aziz sendiri sebagai pelakon utama bersama Faizal Hussein, Nor Aliah Lee , Sharmaine Farouk, Ibrahim Pendek dan Edika Yusof.[2][3]
XX Ray | |
---|---|
Pengarah | Aziz M. Osman |
Penulis |
|
Lakon layar | Aziz M. Osman |
Cerita oleh | Nahar Akhbar Khan |
Berdasarkan | idea dari Azmil Mustapha |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi |
|
Sinematografi | Bade Hj. Azmi |
Disunting oleh | Mariam Ibrahim |
Muzik oleh | Azman Abu Hassan |
Syarikat penerbitan | Nizarman (M) Sdn. Bhd. |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 116 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM1.5 juta |
Pecah panggung | RM1.2 juta |
Filem ini berkisarkan tentang Amir, Anuar, dan rakan-rakan mereka yang melalui pengembaraan menarik setelah sebuah metorit (tahi bintang) jatuh berhampiran sebuah perkampungan Iban di Sarawak. Amir yang kemudiannya mencipta alat untuk melihat sejauh mana metorit tersebut boleh diaplikasikan, mengalami banyak kesulitan apabila dia bertukar menjadi orang halimunan.
XX Ray telah ditayangkan kepada umum pada 24 Disember 1992 dan telah diiktiraf sebagai filem cereka sains pertama Malaysia.[4][5] Filem ini menerima ulasan yang rata-ratanya positif dan telah meraih kutipan sebanyak RM1.2 juta.[6] Kesinambungannya, XX Ray II telah ditayangkan kepada umum pada 1995, diikuti oleh siri TV susulannya, Misi XX-Ray pada 2006 dan filem ketiga, XX Ray III pada 2019. Ini juga merupakan filem terakhir lakonan Ibrahim Pendek sebelum kematiannya pada 2003.
Filem ini bermula dengan meteorit mendarat berhampiran sebuah perkampungan Iban di Sarawak, yang di mana seorang lelaki yang tidak dikenali mengusir penduduk kampung yang ingin melihat batu tersebut. Insiden tersebut tersebar luar di akhbar, dan menarik perhatian seorang penuntut universiti Anuar.
Amir, tergesa-gesa untuk menyertai sahabat baiknya Anuar dan Zurina. Zurina yang rapat dengan Aishah secara tidak sengaja mendedahkan kepada Aishah bahawa Amir akan menyertai mereka, menyebabkan situasi yang memalukan, yang lebih dirumitkan dengan kedatangan yang tidak dijangka oleh Karim, yang merupakan playboy kampus dan anak lelaki seorang Dato.
Sebelum kelas Profesor Amin, Amir menyalahkan Anuar dan Zurina kerana mengaturkan pertemuan dengan Aishah walaupun meminatinya dalam diam. Kemudiannya Anuar memberitahu Amir tentang berita metorit. Amir memutuskan untuk menyiasat meteorit itu sebagai bahan penyelidikan, dan itu membawanya dan Anuar bertemu dengan bapa saudara Anuar yang bernama Ismail di Kuching.
Minat Amir bertambah apabila dia memperhatikan retakan pada pameran meteorit tersebut di Muzium Sarawak, menandakan ada terdapat serpihan. Amir, Anuar dan Ismail pergi ke perkampungan Iban tersebut. Mereka kemudiannya mendapat kebenaran dari Tok Ketua, yang merupakan pemimpin perkampungan Iban itu untuk mencari serpihan dan mencari abangnya Tok Binjai yang sudah lama menetap di area tersebut secara bersendirian kerana kulit dan mukanya yang rosak akibat penyakit kulit yang tidak diketahui.
Seorang lelaki misteri yang mengawasi Amir sejak di muzium, kemudiannya didedahkan menjadi sebahagian daripada seorang kumpulan duo bomoh (Beragas) dan pengikutnya (Kublai) yang mencari sifat ajaib meteorit itu. Cerita berlanjutan dengan acara perkampungan, pertemuan dengan Beragas yang mahukan batu tersebut, dan penemuan Amir yang tidak dijangka tentang sifat unik meteorit itu, termasuk sinar-X.
Amir mengubahsuai topi keledar untuk menggunakan kuasa meteorit itu, dan memanggilnya sebagai XX-Ray, yang membawa kepada satu siri peristiwa yang melibatkan Karim, sebuah kelab malam, dan Amir bertukar sebagai orang halimunan. Keadaan dirinya telah merumitkan keadaan, dan ia menyebabkan kekacauan di majlis ulang tahun Aishah.
Amir berkeras untuk mencari topi keledar itu semula, dan mereka meminta bantuan dari Profesor Amin. Beragas dan Kublai tiba di kampus dalam cubaan untuk mendapatkan semula meteorit itu.
Amir dan rakan-rakannya menemui topi keledar semula dan berdepan dengan Beragas dan Kublai, yang dibantu oleh Karim, di makmal. Beragas merampas batu serpihan tersebut dan meminta untuk menjadi manusia yang berukuran sederhana tercapai. Disebabkan dia menjadi bongkak, Beragas bertukar menjadi saiz sebesar tapak tangan.
Sebuah objek terbang aneh (UFO) muncul di luar kampus, membekukan Karim dan mengembalikan Beragas kepada saiz normal. Seorang wakil makhluk UFO turun dan telah menjelaskan tujuan meteorit dan mengambilnya semula.
Makhluk tersebut kemudiannya membekukan Beragas dan Kublai, dan Amir menjadi normal semula. Pada hari berikutnya, semua individu yang dibekukan kembali normal seperti biasa, tetapi dipakaikan baju wanita oleh Anuar, lalu menjadi bahan ketawa pada semua orang di kampus.
XX Ray merupakan hasil cetusan idea pelakon, Azmil Mustapha dan filem kedua terbitan Nizarman selepas Bintang Malam (1991). Ia juga merupakan filem kedua arahan Aziz M. Osman yang sebelum ini mengarahkan filem pertamanya, Fenomena (1990) di mana beliau turut berkhidmat sebagai penulis skrip dengan Nahar Akbar Khan menulis cerita asal.[10] Azman Abu Hassan menyumbangkan skor muzik,[11] manakala Mariam Ibrahim mengendalikan suntingan. Menurut penerbit, Ruhani Abdul Rahman, XX Ray memiliki potensi untuk menjadi sebuah "filem pecah panggung", mengikut jalan cerita dan mereka yang terlibat dalam pembikinan filem ini, sambil menyifatkannya sebagai sebuah karya berunsur fantasi.[12] Ruhani telah memperuntukkan RM250,000 untuk kesan khas yang akan dilakukan oleh pengarah fotografi dan jurukamera Bade Hj. Azmi.[13] Majlis pelancaran filem ini diadakan pada 12 Januari 1992 dan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Annuar Musa.[14]
Aziz sendiri turut berlakon dengan memegang watak sebagai Amir, Faizal Hussein memegang watak sebagai Anuar, manakala Sharmaine Farouk dan isteri Aziz ketika itu, Nor Aliah Lee (ketika itu dikenali dengan nama asal, Vianney Anastasia Lee) masing-masing memegang watak sebagai Zurina dan Aisyah. XX Ray ialah filem pertama lakonan Sharmaine.[15][16] Barisan pelakon lain termasuk Edika Yusof, Ibrahim Pendek, Ebby Yus, Shaharuddin Thamby, Syanie dan Bibiyana Loyola (kakak Nor Aliah Lee) yang menjayakan watak pembantu. Malek Noor dan Erma Fatima membuat penampilan khas. Yusof Haslam pada mulanya mahu membintangi filem ini dengan melakonkan watak Datuk Yahya (bapa kepada Karim), namun menarik diri sebelum penggambaran bermula.[13] Penggambaran sebahagiannya dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi dan Lembah Klang, Selangor; Kuala Lumpur dan Sarawak pada Januari dan Februari 1992.[17]
Lagu tema filem XX Ray yang bertajuk sama dipersembahkan oleh Azman Abu Hassan yang turut berkhidmat sebagai komposer dan penulis lirik. Filem ini turut menampilkan lagu "Mercu" dan "Bermula Cerita" yang dipersembahkan oleh Liza Aziz. Kedua-dua lagu ini dimuatkan dalam album pertama beliau yang mengambil namanya sebagai tajuk album, yang diterbitkan oleh Rediffusion Records (Redirec), manakala lagu "Rap XX Ray" dipersembahkan oleh Nana Nurgaya yang mengandungi sedutan audio daripada filem ini. Ini dimuatkan dalam album R.R.A.P: Rentak Rancak Ala Puisi terbitan EMI Music Malaysia.
XX Ray ditayangkan pada 24 Disember 1992 di 13 pawagam seluruh negara. Tidak lama selepas ia dikeluarkan, filem ini menerima kutipan bersih RM33,739 paling tinggi bagi tayangan larut malam (Sabtu) dan tayangan pagi (Ahad).[18] Filem ini mencipta sejarah apabila meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM500,000 dalam tempoh seminggu selepas tayangan perdana rasminya,[19] dan terus meningkat kepada RM780,000 pada minggu berikutnya.[20][21] Kutipan pecah panggung kemudian melonjak kepada RM1.2 juta pada hari ke-33 tayangannya.[22][23][24] XX Ray ditayangkan di Singapura pada 29 Mei 1993 dan mendapat sambutan di pawagam.[25][26]
Bagi mempromosikan filem ini, penerbit filem ini, Nizarman telah menganjurkan pertandingan kuiz yang terbuka untuk penyertaan kepada umum, di mana ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.[27][28] Filem ini bersama-sama dengan Selubung, telah disenarai sebagai antara filem Melayu yang disiarkan di TV3 selepas tamat tayangan perdana di pawagam.[29]
Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Seri Intan Othman dari Berita Harian menulis bahawa "idea yang kreatif, diselitkan unsur hiburan dan jenaka menjadi tunjak kekuatan" filem ini sambil mengatakan ia "berjaya memaparkan sebuah karya menarik sekaligus menaikkan martabat filem Melayu yang dikatakan semakin merosot sejak kebelakangan ini".[30] Kamil Othman, menulis untuk Sunday Mail memuji filem ini sambil menyifatkannya sebagai "sebuah dunia baru yang berani".[31] Menulis untuk New Straits Times, Suraya Al-Attas memuji gaya pengarahan Aziz kerana memberikan "sesuatu yang berbeza untuk filem Melayu" sambil menyifatkan kesan khas filem ini "cukup mengagumkan".[32]
Pada 14 November 2018, XX Ray telah dipertontonkan di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi bersempena dengan penganjuran Urbanscapes Festival 2018 dan dianjurkan oleh Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia.[33] Aziz dalam satu temubual pada Januari 2019 bahawa beliau mempertimbang idea untuk tayangan semula filem ini. Beliau dinyatakan berkata: "Saya pernah ajukan idea penayangan semula filem XX Ray dan XX-Ray II kepada penerbit asal yakni Grand Brilliance tahun lalu dan masih menunggu maklum balas mereka sehingga ke hari ini,".[34] Aziz kemudian mengingati kembali filem itu dalam satu ciapan di Twitter pada April 2021: "XX Ray bukan filem terbaik saya. Filem terbaik saya belum buat".[35]
Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan | Ruj. |
---|---|---|---|---|---|
1992 | Festival Filem Malaysia ke-10 | Skor Muzik Terbaik | Azman Abu Hassan | Menang | [36][37] |
Pengarah Harapan | Aziz M. Osman | Menang | |||
Anugerah Khas Juri (Penggunaan teknik kesan khas) | XX Ray | Menang | |||
Kesinambungan filem ini, XX Ray II ditayangkan pada 25 November 1995, tiga tahun selepas kejayaan filem pertama.[38][39] Untuk filem ini, Aziz masih kekal sebagai pelakon utama dengan penambahan pelakon baru termasuk Lydiawati, Aleeza Kasim, Jalaluddin Hassan dan Azmil Mustapha.[40]
Susulan kejayaan dua filem XX Ray, Aziz M. Osman mula membayangkan idea untuk filem ini pada tahun 2011.[41] Aziz mengambil masa selama 20 tahun untuk mengarahkan XX Ray III kerana ingin memastikan plot dan jalan cerita ditampilkan segar dan tidak ketinggalan zaman.[42] Pencarian bagi pelakon utama dan penulisan skrip filem ini telah dimulakan pada Jun 2015.[43][44] Izzue Islam telah dipilih menjayakan watak utama dalam filem ini, bersama-sama pelakon baru termasuk Adam John, Dazrin Kamarudin, Nonny Nadirah dan Ardell Aryana. Aziz dan Faizal Hussein turut berlakon dengan membuat penampilan kameo. Kesinambungan dua filem XX Ray, XX Ray III ditayangkan pada 24 Januari 2019.
Pada tahun 2006, sebuah siri drama adaptasi filem ini telah diterbitkan dengan tajuk Misi XX-Ray, telah memulakan tayangan perdana di TV3 bermula 18 April 2006 hingga 5 Mei 2007 sebanyak 2 musim dan 26 episod. Idea untuk siri TV adaptasi filem ini telah diutarakan pada 1993 susulan kejayaan XX Ray.[45] Episod pengenalan telah diterbitkan sebagai telefilem telah bersiaran pada 15 April, iaitu 3 hari sebelum tayangan perdana rasmi drama ini. Antara barisan pelakon termasuk Syed Aiman, Farah Putri, Qazem Nor dan Raja Farah. Aziz M. Osman dalam satu sidang media drama ini, mengatakan biarpun masih menggunakan perkataan XX-Ray, namun jalan cerita yang ditonjolkan dalam drama itu berbeza dengan filem asal.[46]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.