Kaum Dayak berasal daripada Gua Niah Sarawak From Wikipedia, the free encyclopedia
Iban adalah salah satu kaum pribumi Pulau Borneo. Tanah leluhur orang Iban terletak di Kapuas Hulu, Kalimantan Barat. Penghijrahan yang bermula sekitar tahun 1750 ke Sarawak menjadikan mereka suku yang paling ramai di Sarawak, membentuk kira-kira 22.8% daripada jumlah penduduk negeri tersebut. Selain Sarawak, masyarakat Iban juga dapat ditemui di Kalimantan Barat, Indonesia dan Brunei. Di Sabah, mereka dikenali sebagai Iban Merotai.
Iban | |
---|---|
Perempuan Iban memakai pakaian tradisional (Ngepan Iban) semasa perayaan Hari Gawai di Debak, Betong, Sarawak | |
Jumlah
penduduk |
702,579 (Sarawak)[1] 19,978 (Kalimantan Barat)[2] 17,000 (Brunei) |
Asal usul | Kapuas Hulu[3][4] |
Bahasa | Iban |
Agama | Kepercayaan Nenek Moyang(Pengarap Lama), Kristian, Islam |
Kelompok etnik terdekat | Dayak Laut, Bidayuh, Melayu Sarawak-Kalimantan Barat, Orang Ulu, Balau, Mualang, Remun, Seberuang, Sebuyau, Kendayan, Keninjal, Dayak Malayik |
Gelaran Dayak diperkenalkan oleh orang Eropah pada abad ke-19 untuk merujuk sebagai kategori umum kepada masyarakat non-Muslim di Pulau Borneo, yang pada masa itu sukar dibezakan berdasarkan persamaan budaya, kepercayaan dan ciri fizikal. Gelaran "Dayak Laut" pula merujuk kepada orang Iban yang terkenal dengan kegiatan mereka di lautan, terutamanya di Laut China Selatan antara abad ke-17 hingga ke-19. Tradisi kayau (memenggal kepala musuh) di laut menyebabkan orang Iban digeruni oleh pelayar dan pedagang asing.
Pada masa kini, kebanyakan orang Iban menganut agama Kristian, manakala sebilangan kecil lagi mengikuti agama Islam. Walaupun demikian, mereka masih memelihara nilai adat resam dan kebudayaan yang menjadi identiti mereka, termasuk dalam upacara tradisional, seni dan bahasa.
Orang Iban di Borneo memiliki sejarah yang kaya yang diwariskan melalui tradisi lisan, penulisan pada papan turai (catatan kayu), serta amalan kebudayaan adat yang memainkan peranan penting dalam identiti mereka. Penyelidikan tentang asal-usul dan migrasi mereka telah didokumentasikan dalam pelbagai sumber akademik yang berkaitan, yang menggabungkan bukti daripada mitos, legenda dan kajian budaya serta linguistik semasa.[5][6][7]
Menurut sejarah dan cerita rakyat yang diwarisi oleh masyarakat Iban, mereka dipercayai berasal dari kawasan sekitar Sungai Kapuas di Kalimantan Barat. Proses migrasi mereka ke Sarawak didorong oleh pelbagai faktor, termasuk konflik antara suku. Kajian linguistik oleh Asmah Haji Omar (1981), Rahim Aman (1997), Chong Shin, dan James T. Collins (2019), serta penyelidikan budaya material oleh M. Heppell (2020), menunjukkan bahawa bahasa dan budaya Iban berakar umbi di wilayah Kapuas Hulu, yang menyokong pemahaman mengenai sejarah migrasi mereka.[8][9][10]
Berdasarkan kajian ilmiah oleh Benedict Sandin (1968), migrasi orang Iban dari Pegunungan Kapuas Hulu dijangka bermula sekitar 1550-an. Pendatang awal tercatat memasuki kawasan Batang Lupar dan mendirikan penempatan di sekitar Sungai Undop. Dalam tempoh lima generasi, mereka memperluas penempatan mereka ke arah barat, timur dan utara, membina komuniti baru di sepanjang anak-anak sungai Batang Lupar, Batang Sadong, Saribas dan Batang Layar.[8]
Pada abad ke-19, semasa pemerintahan Raja Putih Sarawak, orang Iban mula bergerak ke lembah Rejang melalui hulu Sungai Katibas, Batang Lupar dan Sungai Saribas. Berdasarkan catatan yang ada, sejak tahun 1870-an, populasi besar orang Iban mula menetap di sekitar Sungai Mukah dan Oya. Kemudian, pada awal abad ke-20, penempatan Iban berkembang ke Tatau, Kemena (Bintulu), dan Balingan. Menjelang pergantian abad ke-20, orang Iban turut memperluaskan penempatan mereka ke Sungai Limbang dan Lembah Baram di utara Sarawak.[8]
Kaum Iban dikenali dengan kepandaian dalam menggunakan bahasa, di setiap baris ayat, mencipta serta membina puisi dengan cantik, bijak dalam memilih dan menyusun ayat serta mempunyai banyak jenis puisi yang menggunakan penyusunan ayat yang sesuai dengan bunyi.
Puisi rakyat (leka main) Iban boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama berdasarkan bentuk dan fungsi mereke masing-masing iaitu untuk acara hiburan, upacara invokasyen dan acara rasmi. Puisi untuk acara hiburan sosial termasuklah bejara, pantun, ganu, ramban, jawang, sugi, renong semain, ensera (epik atau saga), entelah, pelandai karung, dan pelandai ara. Manakala puisi untuk acara keramaian rasmi merangkum renong adat, tanya indu, pantun meri ngirup, dungai ngerasukka tinchin, ai ansah dan geliga. Puisi untuk upacara invokasyen terdiri darpada sampi (doa), biau, timang, pengap (zikir), pelian, sugi sakit, renong sakit dan sabak bebuah.
Orang Iban yang mempunyai bahasanya yang tersendiri, iaitu Bahasa Iban, bahasa Iban adalah tidak jauh berbeza di setiap tempat (kecuali dari segi intonasinya). Bahasa Iban merupakan bahasa yang seragam (homogenous). Masyarakat Dayak-Iban merupakan satu-satunya bangsa pribumi di Malaysia yang mempunyai sistem tulisan bergambar yang disebut 'papan turai' untuk membantu proses ingatan kepada puisi rakyat (leka main) seperti tusut, pengap dan sabak yang sungguh panjang dan mengambil masa semalaman untuk dilafazkan pada upacara dan gawai tertentu. Sistem papan turai ini berkesan apabila orang Iban dapat merujuk keturunan sehingga berpuluhan generasi yang terdahulu dengan darjah ketepatan yang mengagumkan dan juga merekodkan peristiwa-peristiwa penting dengan bukti-bukti fizikal dan kewujudan adat-adat dan budaya asal sehingga ke hari ini.
Kemudiannya sistem abjad Dunging telah dicipta oleh seorang Iban sendiri yang bernama Dunging. Sistem tulisan Dunging mempunyai tidak kurang daripada 59 abjad yang mewakili bunyi sebutan seperti tulisan rumi. Sistem ini sedang diselidik sekrang ini supaya boleh ditaip daripada komputer sperti tulisan Cina, Jawi dan Roman.
Dialek-dialek yang tergolong dalam Bahasa Iban ialah:
Merindang/Nyibur temuai = Menghibur pelawat
Suku kata-kata Iban:
Suku-suku yang tergolong dalam Kaum Iban (Ibanic) ialah:
Orang Iban biasanya menduduki di kawasan berhampiran tebingan sungai (sama ada di huluan atau hiliran sungai). Antara penempatan atau rumah panjang yang boleh dilihat sehingga kini adalah di kawasan seperti Sungai Lupar, Sungai Saribas, Sungai Kalaka, Sungai Rajang, Sungai Igan, Sungai Lassa, Sungai Mukah, Sungai Oya, Sungai Nyelong, Sungai Kanowit, Sungai Sadong, Sungai Sarawak, Sungai Balingian, Sungai Kemena, Sungai Baram, Sungai Krian, Sungai Seblak, Sungai Limbang dan Sungai Lawas. Kaum Iban adalah kaum yang mengamalkan pelbagai adatresam dan budaya yang menarik. Mereka hidup bermasyarakat dan mendiami rumah-rumah panjang. Diketuai oleh ketua kampung yang dipanggil Tuai Rumah. Kebanyakkan masyarakat Iban sekarang telah menetap di bandar-bandar di Negeri Sarawak. Namun demikian,ciri-ciri asal tradisi, adat dan budaya mereka tetap dikekalkan.
Tradisi orang Iban adalah adat, budaya dan kepercayaan asal mereka, tanah pusaka dan kehidupan di rumah panjang. Banyak adat-adat asal yang masih diamalkan dan digunapakai dalam komuniti di rumah-rumah panjang untuk menjaga ketenteraman dan keamanan masyarakat. Antaranya budaya memiliki, menggunakan atau menyimpan gong tembaga, pasu tembikar dan tempayan yang dipanggil kebok, benda, tajau, guci, jabir dan lain-lain; masih diamalkan hingga sekarang walaupun berkurangan. Ia diwarisi secara turun-temurun, bernilai, dianggap suci, dan dihomati. Tajau antaranya adalah berfungsi sebagai harta simpanan dan diperoleh secara tukar barang (sistem barter) pada zaman belum ada sistem wang/duit. Pada zaman sekarang tidak banyak masyarakat bumiputera Iban masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang (Pengarap Lama Iban)..
Orang Iban mempunyai banyak adat asal yang diikuti dalam kehidupan harian dan untuk menyelesaikan isu atau konflik dalam kehidupan mereka. Contoh-contoh adat ini termasuklah:
Kebanyakan adat-adat ini masih boleh digunapakai sehingga ke hari ini sama ada di rumah panjang atau di bandar-bandar. Ketua rumah adalah penjaga utama adat sala orang Iban untuk memastikan kelancaran pelaksanaan adat dan dendanya demi ketenteraman dan keamanan. Tanggungjawab ketua rumah adalah menjaga hal-ehwal para pengikut beliau dan dia mestilah mengetahui setiap jenis adat. Jika sesuatu pertingkaian atau kes tirujuk kepada tuai rumah, beliau akan cuba membicara dan menyelesaikannya secepat mungkin bersama dengan ketua bertani, ketua burung, ketua-ketua keluarga dalam rumah panjang tersebut dan anggota-anggota masyarakat yang lain.
Mengikut buku yang ditulis oleh Bendict Sandin[11], perlanggaran adat-adat ini akan dihukum mengikuti sistem tunggu dengan nilainya yang dipanggil mungkul iaitu satu mungkul sama dengan satu dollar ($1.00). Jadi, lebih berat atau besar kesalahan seseorang itu, maka lebih tinggilah jumlah mungkul yang akan diputuskan oleh ketua rumah atau penghulu.
Untuk kes-kes kesalahan kecil, ketua rumah boleh mendenda pesalah dengan telur ayam, paku besi, mangkok, pinggan dan mangkuk. Denda sebegini dipanggil sa-uta iring yam dan biasanya dibayar oleh sahabat handai dan kaum kerabat mereka yang terlibat.
Untuk kes-kes kesalahan besar, hukuman boleh diisi dengan tajau pada mahkamah ketua rumah atau padi pada mahkamah penghulu seperti berikutnya:
Nama tunggu dengan tajau = Nilainya:
Nama tunggu dengan berat padi (kati) = Nilai dollar dahulu = Nilai dollar pada 1980an dan sekarang:
Di kawasan-kawasan pedalaman, hukuman bagi kes-kes kecil masih dibayar dengan lima puluh sen ($0.50) untuk satu jabir yang biasanya bernilai satu dollar ($1.00). Sistem denda ini bersala daripada decree riegim Brunei sebelum kedatangan Brooke dalam tahun 1840. Orang Iban panggil sistem denda ini sebagai "jabir Iban" yang berbeza dengan "jabir perintah" seperti jadual berat padi dan nilai tajau di atas.
Bayaran denda biasanyan dipunyai oleh ketua rumah atau ketua rumah akan membahagikan denda itu kepada ketua-ketua keluarga yang hadir dalam mesyuarat (betugong) menyelesaikan kes-kes itu.
Selain membayar tunai, jika sesuatu kesalahan itu adalah sungguh besar yang boleh menyebabkan alam "kudi" (buruk), kemarahan dewa dan roh, para pesalah adalah dikehendaki menyemebelih babi dewasa dengan darahnya digunakan untuk menyucikan tanah dan air darpada dosa yang telah dilakukan. Di samping itu, para pesalah juga diminta untuk memberikan sebilah parang dan kapak beliong untuk orang yang menyembelih babi itu dan tajau kecil (kebok untuk ketua rumah.
Pada masa dahulu kala, jika seseorang telah membunuh orang lain secara tidak sengaja, dia akan diminta membayar "pati nyawa" dua biji tajau kepada keluarga si mati. Jika gagal membayar, dia dan keturunannya akan menjadi hamba kepada keluarga si mati sehinggalah mereka melangsaikan gantirugi atau dibebaskan oleh tuan punya mereka.
Jika seseorang pelawan membunuh rakan seperjuangannya semasa "ngayau" (serangan atau perang), pembunuh mestilah membayar pati nyawa dua biji tajau kepada keluarga si mati. Kalau gagal menunaikan ini, dia mestilah menyerah diri sebagai hamba kepada keluarga si mati.
Apabila ketua rumah mengetahui satu kesalahan besar seperti zina telah berlaku, dia akan menyembelih seekor ayam dengan segera. Ini menandakan kepada umum bahawa kesalahan itu adalah dalam proses perbicaraan dan penyelesaian untuk mengelakan pertumpahan darah di mana ketua rumah boleh didenda jika dia gagal membendung kejadian itu daripada berlaku. Mengikut tradisi dahulu, si suami atau isteri boleh membalas dendam serta merta sebagai ganti rugi dalam kes zina jika pasangan itu didapati sedang melakukan zina.
Jika ada hal yang tidak boleh diselesaikan sesama sendiri secara peribadi, salah seorang atau kedua-duanya sekali boleh merujuk kes mereka kepada tuai rumah untuk dibicarakan. Pertama sekali, tuai rumah akan cuba menolong menyelesaikan kes itu melalui mesyuarat kecil (baum mit atau berandau) yang bersifat peribadi antara kedua-dua pihak yang bertelegah untuk mencapai persetujuan (konsensus) dan perdamaian semula (rekonsiliasi) sebelum memanggil mesyuarat besar (becara) yang besifat rasmi dan terbuka.
Semua ketua rumah atau masyarakat akan cuba menyelesaikan kes-kes hal-ehwal para pengikut mereka dengan bepegang teguh kepada prinsip berikut:
Kedua-dua pihak yang bertikai adalah dinasihatkan untuk bersetuju menyelesaikan hal mereka dan berdamai secara peribadi kerana ada pepatah orang Iban yang terkenal dan selalu disebut-sebut oleh ketua rumah atau masyarakat seperti berikut:
Jika mereka masih bertelagah, tuai rumah akan menentukan suatu tarikh perbicaraan dengan memanggil semua ketua keluarga dan anggota rumah panjang ke suatu mesyurat besar. Selepas makan malam, tuai rumah akan membentang tikai dan memanggil semua orang untuk datang duduk di ruai ketua rumah. Kedua-dua pihak yang bertelagah akan dipanggil duduk berdepan dan bersemuka antara satu sama lain. Pihak pendakwa akan diminta bercakap dahulu dan diikuti oleh pihak tertuduh. Selepas itu, semua saksi akan dibenarkan bercakap satu demi satu. Seterusnya sesi pertanyaan, jawapan dan perbincangan berlaku sehingga isu-isu pertikaian atau pertelagahan telah dikenalpasti dan kedua-dua pihak telah diberi peluang secukupnya untuk bersuara. Kemudian, ketua rumah akan meninta para anggota tertua dan setiap ketua keluarga untuk memberikan pandangan terhadap kes yang dibicarakan. Akhir sekali, ketua rumah memutuskan pihak mana yang bersalah berdasarkan adat mana yang berhubungkait dengan kes yang dibicarakan dan menyatakan hukumannya.
Jika pihak yang bersalah masih tidak puas hati, dia boleh merayu kepada penghulu. Kalau penghulu bersetuju untuk membicarakan sesuatu kes, beliau akan menetapkan satu tarikh kepada kedua-dua belah pihak yang terlibat dan termasuk ketua-ketua rumah. Prosedur bicara seperti diadakan oleh ketua rumah akan diikuti oleh penghulu. Selepas mendengar ucapan dari kedua belah pihak dan ketua-ketua rumah, penghulu akan memutuskan pihak mana yang bersalah dan menyatakan hukumannya sekali.
Kalau pihak bersalah mahu merayu lagi, dia boleh membuat rayuan kepada mahkamah pribumi atau daerah dalam masa seminggu. Jika tidak, kes tersebut dikira selesai dengan sendirinya sperti yang diputuskan.
Biasanya, kedua-dua pihka akan menyelesaikan hal mereka secara peribadi tanpa bicara untuk menjaga air muka diri sendiri dan keluarga dan mengelak jumlah hukuman yang semakin meningkat daripada ketua rumah ke atas. Ada pepatah masyhur yang : "Jika berjalan menggunakan tungkat adat, seseorang akan kekal pada jalan yang betul." Jadi, adat mestilah diamalkan dengan akal fikiran untuk menjaga keharmonian hubungan masyarakat. Maka "Bila tidur, ingatan menjadi bantal. Bila berjalan, adat dijadikan tungkat."
Keengganan untuk menghadiri mahkamah ketua rumah atau penghulu akan dihukum satu jabir dan lima kati masing-masing. Sesipa yang tidak menghormati mahkamah juga akan dihukum sebelum mahkamah boleh bersambung.
Tajau iaitu tempayan-tempayan seramik adalah singguh dihargai oleh masyakarakat Iban sebagai harta pusaka keluarga masing-masing. Pada masa dahulu sewaktu mata wang atau duit tunai susah diperolehi, segala hukuman ke atas perlanggaran adat boleh dibayar dengan tempayan. Amalan ini dipanggil adat mata tajau. Jika hukuman tidak dapat diisi atau hutang tidak dapat dilangsaikan misalnya membayar dengan tajau jika tiada duit, seseorang itu akan menjadi jaum atau hamba kepada orang yang telah disalahi atau memberi hutang. Tajau juga digunakan semasa upacara suci dan perayaan gawai kepercayaan asal. Kadang-kala sesetengah tajau dianggap mempunyai kuasa ghaib.
Ada beberapa jenis tajau seperti berikut mengikuti nilainya: Jenis tajau = Nilai dalam dollar ($) pada masa dahulu kala[12]: Salang-alang = 150.00 Rusa Salang-alang = 200.00 Begeri = 200.00 Rusa Begeri = 200.00 Rusa Randok = 250.00 Betanda Begeri = 200.00 Betanda Bendar = 280.00 Menaga = 300.00 – 350.00 Ningka Menaga = 320.00 – 370.00 Ningka Bendar = 400.00 Ningka Betanda = 320.00 Sergiu = 600.00 – 900.00 Guchi = 700.00 – 1,000.00
Pada masa sekaramg, harga-harga tajau ini dijangka telah melambung berlimpat kali ganda kerana tajau-tajau ini telah dianggap ahrat pusaka yang klasik dan unik dan tidak dibuatkan lagi, jadi tiada bekalan lagi.
Perayaan Gawai merupakan pesta utama bagi suku kaum Iban sebagai upacara keagamaan dan kepercayaan asal untuk menyembah para dewa. Jenis-jenis Hari Gawai adalah seperti Gawai Dayak (Pesta Kehasilan Menuai), Gawai Burung dengan sembilan peringkat yang berturut-turut untuk memyembah Sengalang Burong dan keluarganya sebagai dewa perang atau pengubatan secara ajaib, Gawai Kenyalang (untuk menandakan kejayaan seseorang dalam kehidupannya), Gawai Umai seperti upacara manggul semasa mencari tapak umai, Gawai Batu untuk mengasah tajam peralatang besi sebelum menebas dan menebang, Gawai Ngalihka Tanah untuk memajak tanah yang tidak subur lagi, Gawai Benih untuk menimang benih padi supaya sihat, subur dan berhasil, Gawai Ngemali Umai untuk mengubati padi huma yang sakit, upacara Matah untuk memulakan penuaian padi, Gawai Bersimpan Padi selepas menuai, Gawai Pangkong Tiang apabila pindah ke rumah baru, Gawai Tuah untuk mencari dan memasukan nasib baik ke bilih keluarga, Gawai Lelabi (Melah Pinang / Majlis Nikah), Gawai Sakit untuk mengubati pesakit selain begama (bersentuh), belian (berubat oelh manang), besugi sakit dan berenong sakit, Gawai Antu untuk menghormati orang yang telah meninggal, Gawai Bertambah Bulu untuk menjahit sehelai baju kesihatan dan Gawai Nangga Langit untuk memohon pengampunan daripada dewa. Antaranya sambutan Hari Gawai Dayak yang dijalankan antara hari pertama mulanya pada 1 May dan hari kedua pada bulan 1 Jun adalah terpenting. Biasanya, [Tarian Ngajat]] ditarikan dalam sambutan Hari Gawai sebagai tanda kesyukuran dalam kehasilan menuai padi sepanjang tahun ini. Tuai rumah merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan sambutan yang penting ini. Perayaan Gawai juga tidak akan lengkap, sekiranya Tuak tidak dihidangkan. Minuman yang diperbuat daripada ragi dan beras ini boleh didapati di rumah panjang.
Antara kebudayaan Iban lain yang menarik adalah:
Dalam kepercayaan Iban, mereka berpegang kepada adat yang diwarisi turun temurun dan beasr kemungkinan ditulis di dalam 'Papan Turai' oleh 'Tuai Raban Bansa' atau "Paramount Chief" dengan berpandukan nasihat 'Manang' dan 'Lemambang'.
Orang Iban percaya kepada kwujudan seorang Tuhan yang agung (Bunsu Petara) yang mencipta dunia ini dan alam semesta. Di bawah Tuhan agung ini, orang Iban percaya ada tujuh orang dewa yang sentiasa dihitung sebeum memulakan biau dan sampi dengan nama=nama berikutnya:
Orang Iban percaya bahawa semua binatang yang hidup, tumbuhan dan barangan fizikal seperti bukit, gunung, sungai, air, ribut dan sebagainya mempunyai semengat atau roh masing-masing. Mereka juga percaya kepada orang Panggau Libau dan Gelong sperti Keling dan Laja, dan Kumang dan Lulong. Juga disembah oleh orang Iban adalah roh-roh nenek moyang yang telah meninggal untuk meminta pertolongan semasa Gawai Antu.
Ilmu firasat lama orang Iban bergantung kepada beberapa cara seperti berikut:
Contohnya apabila hendak membuka penempatan dan mendirikan rumah, kawasan tanah yang hendak didirikan rumah tersebut hendaklah disemak terlebih dahulu. Mereka juga percaya pada petanda-petanda lain seperti bunyi burung ketupung dan burung beragai. Bunyi yang dikeluarkan oleh binatang-binatang ini adalah petunjuk dan alamat untuk menentukan kesesuaian tapak. Semua petanda akan ditafsirkan oleh 'Beliau' dan 'Manang' bagi mematuhi adat supaya tidak mendatangkan malapetaka.
Mimpi merupakan salah satu sumber alamat tentang sesuatu yang bakal terjadi di masa akan datang dan diterjemah oleh Beliau dan Manang. Bagi menghidar alamat yang boleh mendatangkan malapetaka, biasanya upacara 'Ngintu Burung' dan 'belian' akan dijalankan mengikut 'Adat' yang dirujuk kepada Tuai Raban Bansa.
Sebahagian besar masyarakat Iban masih tinggal di rumah-rumah panjang di mana pola pertempatan bagi rumah panjang ini adalah beselerak di lembah-lembah sungai di seluruh Negeri Sarawak, segolongan besar orang Iban masih melibatkan diri di dalam kegiatan pertanian iaitu menanam padi bukit atau padi huma. Orang Iban pada zaman dahulu merupakan peneroka terulung dalam membuka hutan rimba (berimba) atau (berumpang kampong) bagi tujuan penanaman padi bukit. Aktiviti penerokaan ini dilakukan dengan seluas yang termampu dengan matlamat untuk mendapatkan hasil tuaian tanaman padi yang lebih banyak. Bagi masyarakat Iban sesiapa yang dapat tuaian padi yang banyak maka dia merupakan seorang yang boleh dianggap kaya dan dipandang tinggi, pintar dan rajin. Justeru itu masyarakat Iban pernah dianggap sebagai salah satu masyarakat yang terkenal dengan penanaman padi bukit (Sultive,1978:3). Selain itu orang Iban yang tinggal di rumah panjang masih menjalankan aktiviti memburu dan mendapat sumber-sumber hutan untuk mendapatkan bekalan makanan dan perubatan. Pendek kata, penghijrahan orang Iban ke kawasan-kawasan baru adalah bertujuan untuk mencari tanah bagi tujuan bercucuk tanam dan mencari sumber makanan daripada hutang serta sekaligus mewarisi tanah-tanah ini sebagai tanah pusaka mereka dari turun-temurun.
Selain menanam padi, ornag Iban juga menanam getah, kopi, lada, koko dan sekarang ini kelapa sawit. Apabila harga hasil tanaman ini melambung tinggi, orang akan mendapat sumber pendapatan yang lumayan tetapi apabila harga menurun sehingga ke paras terendah, ekonomi mereka mula terjejas kerana kos penanaman tidak dapat lagi ditanggung walaupun tanah dipunyai sendiri dan tidak perlu disewa.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.