From Wikipedia, the free encyclopedia
Hari Gawai Dayak merupakan pesta tahunan yang disambut oleh orang Dayak di Sarawak, Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia pada 31 Mei dan 1 Jun. Pesta ini merupakan cuti umum di Sarawak dan majlis keagamaan dan sosial yang diiktiraf sejak 1957.
Hari Gawai | |
---|---|
Official name | Hari Gawai Dayak |
Also called | Ari Gawai (Iban), Andu Gawai (Bidayuh) |
Observed by | Sarawak, Kalimantan Barat |
Type | Pesta keagamaan, sosial, etnik tradisional |
Celebrations | Gawai Dayak |
Begins | 31 Mei |
Ends | 2 Jun |
Date | 1 Jun |
Frequency | tahunan |
Hari Gawai Dayak merupakan konsep yang dibawa oleh penerbit radio, Tan Kingsley dan Owen Liang daripada komuniti Dayak. Kerajaan kolonial British enggan mengiktiraf Hari Dayak sehingga 1962. Mereka hanya memanggilnya sebagai "Hari Sarawak" dengan melibatkan semua orang Sarawak sebagai hari kebangsaaan, tanpa mengira asal etnik.
Pada 1 Jun 1963, Datuk Michael Buma, anak jati Betong, menganjurkan sambutan Hari Gawai Dayak yang pertama di rumahnya di Siol Kandis, Kuching. [1] Pada 25 September 1964, Hari Sarawak telah diwartakan sebagai cuti umum bagi memaklumkan pembentukan Persekutuan Malaysia. Cuti umum ini mula disambut pada 1 Jun 1965 dan menjadi simbol perpaduan, hasrat dan harapan komuniti Dayak. Pesta ini disambut sebagai hari kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah-ruah dan masa untuk merancang musim penanaman yang baru.
Gawai bermaksud "perayaan" dan Dayak pula nama kolektif untuk orang peribumi di Sarawak, Kalimantan dan pedalaman Borneo. Bilangan penduduknya dianggarkan antara dua hingga empat juta orang. Orang Dayak, sebelumnya dikenali sebagai Dayak Laut kebanyakannya orang Iban. Kumpulan etnik lain yang diiktiraf terdiri daripada orang Bidayuh (Dayak Darat dan Orang Ulu). Orang Ulu termasuklah orang Kayan, Kenyah dan Lun Bawang. Terdapat lebih daripada 200 subkumpulan etnik di wilayah ini. Walaupun mereka memiliki ciri-ciri persamaan, tetapi mereka memiliki dialek, adat, undang-undang, wilayah dan budaya tersendiri. Bahasa Dayak dikategorikan sebagai sebahagian daripada bahasa Austronesia. Orang-orang rumpun Dayak mempercayai pemujaan roh betara yang tersendiri tetapi sejak kebelakangan ini, ramai yang memeluk agama Kristian.
Persediaan untuk menyambut Gawai Dayak bermula bila tibanya bulan Mei dengan penapaian "tuak" iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak. Penapaian tuak mengambil masa selama kira-kira sebulan. Tuak dihasilkan daripada penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampur ragi sebelum disimpan dalam tempayan. Bila sudah ada sedikit air tuak tulen pada nasi pulut yang ditapai itu, air yang telah dimasak dan dicampurkan gula akan ditambahkan secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut. Pada akhir bulan Mei, air tuak itu boleh ditapis dan diminum. Meminum tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati tanpa berbelah-bahagi.
Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil "sarang semut", "acuan" dan "kuih sepit". Kuih-muih ini diperbuat daripada tepung beras yang dicampur air, telur dan gula lalu digoreng sehingga keras dan kering dalam minyak masak. Kuih-muih yang telah siap akan disimpan dalam tempayan atau tin supaya tahan untuk beberapa minggu tanpa basi sementara menunggu tibanya hari gawai.
Sebelum berakhirnya bulan Mei, gotong-royong untuk pembersihan dan perhiasan rumah panjang atau kampung boleh diadakan seperti mengecat atau membaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. Rumah panjang dibina mengikuti peraturan-peraturan tertentu supaya ia digunakan sebagai tempat kediaman dan juga tempat beribadat. Jadi, pembinaan arkitek ini mesti dikekalkan sepanjang masa. [2]
Selepas itu, acara pembersihan kubur selalunya diadakan setiap tahun sebagai tanda penghormatan bagi orang-orang yang telah meninggal seperti nenak moyang, ahli-ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat setempat.
Rumah panjang atau kampung seterusnya akan bermesyuarat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa atau komiti bagi mengatur acara sambutan gawai pada 31hb Mei dan 1hb Jun. Acara-acara tradisi termasuklah meminum air panjang umur, perarakan menyambut Tuhan, pertandingan ratu cantik seperti "pekit Kumang dan Keling" bagi kaum Iban, pendirian "pokok ranyai", bermain muzik tradisi, menari tarian asal seperti Ngajat dan Datun Jalut, persembahan seni mempertahankan diri, dan menyanyikan puisi rakyat.
Pada zaman moden sekarang, acara sukaneka pada siang harinya, permainan sukaria, karaoke, berjoget dan disko boleh diselitkan untuk memeriahkan suasana gawai.
Peraturan-peraturan khas untuk dipatuhi oleh orang ramai juga akan ditentukan untuk menjaga suasana gawai yang meriah tanpa pergaduhan dan gangguan yang lain. Bagi kaum Iban, peraturan ini dipanggil begeliga.
Bila tibanya pagi 31hb Mei, orang ramai akan turun meramu bahan makanan dari hutan atau kebun terutamanya umbut yang sedap dimasak sup dengan daging. Ikan, haiwan liar dan sayuran hutan juga dicari untuk lauk-pauk sebelum gawai.
Selepas itu, orang ramai akan menyembelih haiwan ternakan sebagai lauk utama gawai. Sekarang ini, daging dan sayuran boleh dibeli di pasar-pasar terutamanya bagi mereka yang bekerja dan tinggal di bandar-bandar.
Pulut pansuh (lemang) akan dimasak dalam ruas buluh supaya ada aroma istimewa daripada buluh tersebut yang tidak diperolehi jika dimasak dalam periuk. Pulut ini dianggap hidangan istimewa kerana kelekitannya melambangkan perpaduan di kalangan komuniti itu yang menjamahnya. Pulut juga digunakan untuk membuat nasi manis dan tuak, sebagai salah satu sajian kepada para dewa dan membaling tiang candi sewaktu Gawai Burung atau Kenyalang. Selain itu masakan seperti ayam pansuh turut disediakan.
Sementara itu, tikar-tikar anyaman tradisi dengan rekaan bunga-bungaan yang cantik dan berwarna terang akan dibentangkan di sepanjang ruai rumah. Jenis-jenis tikar tradisi termasuklah tikar bemban, tikar rotan dan tikar kulit kayu. Kain-kain tenunan atau ikatan tradisi yang dipanggil Pua Kumbu pula digantung di dinding-dinding sebagai perhiasan. Barangan kraf tangan yang lain seperti bakul dan topi besar boleh juga digantung di dinding-dinding bilik.
Pelantar istimewa dan tilam kapas empuk akan dibuat terutamanya di ruai ketua rumah atau gawai sebagai tempat singgahsana para tetamu khas yang dijemput hadir semasa upacara duduk berbaris mengikut kedudukan sosial masing-masing nanti.
Selepas semua persediaan ini siap, orang ramai mulalah mandi, berpakaian kemas dan bersedia untuk acara malam menyambut gawai pada 31hb Mei.
Kira-kira jam 6 petang 31hb Mei, gong akan dipukul untuk mengumumkan permulaan upacara sambutan Gawai Dayak kepada semua orang.
Acara ringkas membuang roh hantu pembaziran yang dipanggil Antu Rua oleh kaum Iban akan dilakukan dengan mengheret sebuah penampi oleh dua orang budak atau lelaki supaya setiap keluarga boleh membuang sesuatu barang yang tidak berguna lagi untuk roh itu supaya ia tidak mengganggu perjalanan perayaan pesta gawai seterusnya selepas barang-barang itu dipersembahkan untuknya.
Seterusnya akan dilakukan upacara sajian dan penyembahan, yang dipanggil "miring" atau "bedara" oleh kaum Iban, di setiap bilik keluarga secara bergilir-gilir dari bilik ke bilik sepanjang rumah panjang atau kampung. Upacara ini bertujuan sebagai tanda kesyukuran untuk tahun yang telah berakhir dan memohon panjang umur, kesihatan dan rezeki pada tahun akan datang.
Bagi mereka yang ada mendapat ubat dan pengaruh (azimat) terbaru, mereka bolehlah terus membuat kesyukuran atas pemberian barangan itu bersama sekali. Sekarang ini, beg duit juga akan dikeluarkan bersama sewaktu upacara sajian ini untuk mendoakan rezeki yang lebih baik pada masa akan datang.
Bagi kaum Iban, pelbagai bahan sajian persembahan tradisi kepada dewa-dewa mereka termasuklah daun rokok dan tembakau, daun sirih dan buah pinang, ketupat dan sungkoi, penganan dan tumpi, nasi pulut dan nasi manis, cuan dan sarang semut, rendai, telur ayam masak dan tuak selainnya. Bilangan setiap jenis barangan sajian ini selalunya bergantung kepada berapa ramai dewa yang dijemput hadir dan untuk Gawai Dayak adalah lima biji sebagai sajian untuk tujuan memohon ampun dan pergi berusaha pada tahun hadapan. Jumlah agihan sajian bergantung kepada berapa tempat yang ingin diberikan sajian biasanya pada empat sudut bilik besar, satu di atas dapur, satu di atas tempayan beras, satu di ruai, satu di beranda, satu di huma atau sawah, satu di kebun, satu pada kenderaan dan satu sajian untuk setiap harta yang dimiliki jika ada.
Komuniti Dayak percaya pada seorang Bunsu Kree Petara dan ada tujuh orang dewa-dewa utama iaitu: dewa kegagahan dan peperangan yang digelar Sengalang Burung, dewa pertanian untuk hasil tuaian yang lumayan iaitu dipanggil Sempulang Gana, dewa kesihatan dan panjang umur yang bernama Menjaya Manang, dewa kekayaan dengan namanya Anda Mara, dewa pembuatan dan kesuburan yang dipanggil Selampandai, dewa kepercayaan yang disebut Biku Bunsu Petara dan akhir sekali Ini Inee atau Andan sebagai seorang doktor semula jadi dan dewa keadilan.[3] Inilah sebabnya komuniti Dayak akan membilang dari satu hingga tujuh bila memulakan doa.
Untuk memulakan upacara sajian persembahan kepada para dewa, seekor ayam akan dihayunkan di atas kepala semua yang hadir. Hanya orang-orang terhormat dijemput menyajikan bahan-bahan persembahan itu ke dalam pinggan tembikar atau bakul kulit buluh. Mereka akan membuang separuh air tuak sebagai "pedara" dalam beberapa gelas dan separuh lagi diminum oleh mereka sendiri. Air tuak yang dibuang ke tanah itu diberikan kepada para dewa, orang kenamaan kayangan dan roh nenak moyang untuk memberitahu upacara sajian akan dilakukan. Rendai akan ditaburkan untuk memberitahu upacara sajian bermula. Ada turutan atau giliran untuk mengambil bahan-bahan itu supaya nampak ada perhiasan pada sajian persembahan itu. Selalunya penganan akan diletakkan di tengah-tengah pingan diikuti oleh daun rokok dengan tembakau, daun sirih dibalut kapur dengan buah pinang, ketupat dan sungkoi, tumpi, nasi pulut dan nasi manis, rendai, telur ayam dan akhir sekali tuak ditaburkan atau disimpan dalam cawan ruas buluh.
Setelah sajian untuk para dewa siap dibahagikan mengikut bilangan yang betul dan agihan yang cukup, ketua rumah panjang atau kampung akan membaca doa sambil memegang dan menghayunkan seekor ayam di atas sajian tadi. Selesai saja doa ini selesai, ayam tersebut akan disembelih dan bulu-bulu sayapnya akan dilumuri darah sebelum diletakkan pada bahan persembahan tadi. Ayam itu boleh dibersihkan untuk dimasak sebagai jamuan atau dipanggang terus untuk semua yang hadir pada upacara sajian itu. Sajian para dewa itu akhirnya digantung pada tempat-tempat tertentu. Bagi orang Dayak yang telah memeluk agama Kristian, mereka akan bersembahyang untuk menggantikan upacara persembahan sajian ini.
Selepas itu, makan malam untuk seisi keluarga bagi setiap bilik dalam rumah panjang atau setiap rumah dalam sesebuah kampung akan menyusuri. Inilah makan malam besar yang wajib dihadir semua keluarga setelah lama tidak berjumpa dan masing-masing mencari rezeki di mana-mana boleh. Makan malam ini boleh diadakan di ruai setiap bilik rumah panjang supaya boleh makan beramai-ramai di sepanjang ruai rumah panjang. Bagi orang kampung, mereka boleh makan di sesebuah buah rumah atau di balai raya masyarakat. Maljis makan ini diadakan di lantai ruai rumah yang dibentangkan tikar-tikar untuk duduk walaupun sekarang meja dan kerusi ada digunakan untuk yang mampu beli. Biasanya komuniti Dayak makan dengan menggunakan tangan dan air basuh tangan akan disediakan.
Selepas makan malam, acara perayaan Gawai Dayak akan bermula secara rasmi. Jadi, acara-acara rasmi yang telah dipersetujui sewaktu mesyuarat komiti rumah panjang akan dilaksanakan satu demi satu. Satu acara penting tepat jam 12 malam ialah peminuman air panjang umur. Tetapi sementara menunggu kedatangan tengah malam itu, beberapa acara lain akan diadakan seperti berkumpul di ruai ketua rumah panjang atau di balai raya kampung, perarakan menyambut para dewa, pertandingan ratu cantik dan permainan sukaria terutamanya untuk kanak-kanak jika sempat.
Tetawak akan dipukul untuk memanggil semua penghuni rumah panjang supaya datang duduk di ruai ketua rumah panjang atau di balai raya. Mulanya, semua orang-orang utama akan duduk berbaris di sepanjang dinding ruai atas dalam upacara duduk berbaris yang dipanggil "bedigir" oleh kaum Iban. Setelah itu, peraturan-peraturan khas dengan hukumannya sekali akan diumumkan kepada semua hadirin supaya perayaan gawai berjalan dengan lancar tanpa gangguan, pergaduhan dan malapetaka yang luar biasa. Acara ini dipanggil "begeliga" oleh kaum Iban.
Berikutnya, ketua rumah panjang atau kampung akan berucap kepada semua anak buahnya dan diikuti oleh anak-anak buah yang telah berjaya dalam persekolahan dan kehidupan mereka. Tujuan semua ucapan itu adalah untuk memuji kejayaan pada tahun yang sudah-sudah dan memberi motivasi serta galakan kepada semua untuk berusaha mencapai kejayaan dalam hidup pada masa akan datang. Anak-anak murid sekolah yang telah berjaya dalam peperiksaan selalunya akan diberikan hadiah wang tunai sebagai galakan.
Sebelum tibanya tengah malam, satu perarakan untuk menyambut kedatangan para dewa akan diadakan sepanjang rumah panjang atau balai raya sebanyak tujuh kali. Pakaian tradisi dengan perhiasan logam duit siling, logam perak, kulit siput dan manik akan dikenakan. Contohnya, orang lelaki kaum Iban akan memakai cawat sirat, baju burung, baju perisai kulit "gagong", topi lelanjang (berhiaskan bulu burung merak dan kenyalang) dan hiasan perak serta dilengkapi oleh sebuah perisai, sebilah parang dan tombak. Orang perempuan kaum Iban pula memakai kain tenunan betating pada pinggang, perisai tembaga (rawai tinggi) pada tubuh, selendang selampai, rantai laboh (marik empang), sikat sugu tinggi, tali pinggang (lampit pirak), anting-anting perak dan gelang-gelang perak pada lengan dan kaki. Tubuh badan kaum lelaki selalunya sudah diukir dengan corak-corak tradisi seperti hidupan darat dan laut sebelum itu mengikut pengembaraan dan pengalaman seseorang itu [4] atau diukir sementara waktu untuk acara ini.
Pada waktu perarakan itu, pertandingan Kumang dan Keling boleh diadakan untuk memilih seorang pemenang perempuan dan lelaki yang akan masing-masing digelar "Kumang Gawai" dan "Keling Gawai" bersama hadiah-hadiah yang diberikan. Gelaran ini sungguh bermakna bagi kaum Iban kerana Kumang dan Keling ialah wira dan wirawati mistik yang tinggal di dunia kayangan dan selalu memberikan pertolongan dalam kehidupan kaum Iban pada masa lampau.
Sementara itu, makanan dan minuman tradisi yang telah disediakan sebelum ini akan terus dihidangkan kepada sesiapa yang ingin menjamu selera. Ahli-ahli keluarga dan sahabat handai mula datang berkunjung dan melawat dalam acara rumah terbuka yang akan diteruskan untuk beberapa hari berikutnya. Acara tradisi kunjung-mengunjungi ini dipanggil "ngabang" oleh kaum Iban untuk semua rumah-rumah panjang dan lampung yang semakan dengan sesebuah rumah panjang.
Tepat jam 12 malam pada 31hb Mei, sebuah gong akan dipukul untuk memberitahu semua orang supaya bersedia dengan minuman panjang umur masing-masing. Ketua rumah panjang atau kampung akan dilantik untuk membacakan doa jampi supaya minuman itu memberikan panjang umur, kesihatan dan rezeki kekayaan pada tahun akan datang. Bagi kaum Iban, air panjang umur yang dipanggil "ai pengayu" akan ditimang oleh "lemambang" (pemuisi) sebelum diminum oleh orang ramai. Biasanya tuak akan dijadikan air panjang umur dan selepas itu, minuman jenis lain seperti yang berjenama mahal-mahal belaka akan dibahagikan. Mulanya semua hadirin bersalaman untuk mengucapkan "Selamat Hari Gawai" dan diikuti oleh ungkupan pendek "gayu-guru, ngerai-nyamai dan senang-lantang nguan menoa" yang bermaksud "semoga panjang umur, sihat walafiat dan murah rezeki ketika hidup di dunia".
Selepas tengah malam, suasana akan dimeriahkan lagi dengan acara pokok kehidupan, pertandingan tarian tradisi seperti ngajat dan datun jalut, meminum tuak dan menyumpit serta permainan bersukaria.
Salah satu acara utama yang sentiasa diadakan ialah mendirikan sebatang pokok kehidupan yang dikenali sebagai "ranyai" oleh kaum Iban di tengah-tengah ruai selalunya di ruai ketua rumah panjang atau di balai raya kampung jika belum didirikan pada siang hari tadi. Pokok ini diperbuat daripada bahagian pucuk kelapa, aping, rumbia atau pohon pisang di mana umbutnya boleh dimasak dan dimakan bersama oleh orang ramai. Sebiji gong akan dipukul untuk mengajak semua orang mendirikan pokok itu bersama-sama dan membawa sumbangan masing-masing untuk digantung sebagai buah-buah pokok itu. Pokok ini mestilah lebat buahnya untuk untuk menggembirakan rombongan para dewa, para jemputan dan para hadirin sekalian.
"Pokok ranyai" itu akan dihiasi dengan menggantungkan buah-buahnya yang berupa sumbangan makanan dan minuman untuk dicantas dan diambil oleh para penari ngajat yang menari mengelilingi pokok itu sebagai hadiah. Beberapa biji buah kelapa selalunya turut digantungkan pada pokok itu sebagai lambang kepala musuh sewaktu masa dahulu. Jadi, para penari lelaki bolehlah secara simbolik memenggal kepala musuh yang diwakili oleh buah-buah kelapa itu. Sebenarnya, dikatakan asal-usul Tarian Ngajat adalah daripada budaya mengayau pada dahulukala di mana para pengayau yang berjaya dialu-alukan dengan muzik tradisi dan mereka yang gembira menari-nari meraikan kejayaan itu.
Pertandingan tarian tradisi boleh diadakan pada waktu menari mengelilingi pokok "ranyai" ini. Tarian ngajat ada beberapa jenis seperti Ngajat Perempuan, Ngajat Lelaki, Ngajat Pua Kumbu, Ngajat Lesong, Ngajat Pahlawan, Ngajat Bebunuh dan sebagainya mengikut kreativiti si penari. Selain tarian ngajat, orang lelaki bolehlah menunjukkan seni mempertahankan diri seperti "kuntau" (silat jari) dan "penca" (silat parang).
Tarian tradisi ini diiringi oleh muzik tradisi. Bagi kaum Iban, set muzik tradisinya terdiri daripada satu set "engkerumung" (gong kecil), sebiji "tawak" (gong besar), sebuah "bebendai" (gong leper) dan sebatang gendang. Sape ialah alat muzik Orang Ulu yang dimainkan untuk tarian tradisi yang dipanggil "Datun Jalut" dan "Nganjak Lansan".
Jika dipersetujui oleh semua, sebuah bakul dikaitkan pada pokok itu untuk para penari memberi sumbangan derma untuk komiti rumah panjang atau kampung. Wang derma ini boleh digunakan untuk tujuan kebajikan ahli-ahli rumah panjang pada masa-masa kesulitan seperti sakit tenat atau kematian, atau untuk projek-projek khas seperti membeli alat pencegah kebakaran rumah panjang atau kampung.
Satu lagi acara pada "pokok ranyai" itu ialah menyediakan sebiji batu geseran di dalam sebuah dulang berair. Memang sudah menjadi tradisi, batu yang agak kasar sedikit digunakan oleh kaum perempuan menggeser kulit untuk membuang daki sewaktu mandi. Jadi, sesiapa boleh menggeser bahagian belakang atas sendiri dengan batu itu sebagai tanda simbolik untuk mendoakan "kesejukan" atau keselamatan dalam kehidupannyan pada masa akan datang.
Selain itu, acara untuk orang-orang dewasa Dayak yang berbakat dalam mainan suara puisi rakyat selalunya disertakan untuk memeriahkan suasana sambutan Gawai Dayak dan menyuburkan warisan kebudayaan komuniti Dayak sendiri. Misalannya, puisi-puisi rakyat kaum Iban termasuklah pantun, pelandai, ramban dan sebagainya.[5]
Salah satu acara kesukaan ramai sekarang ialah pertandingan menyumpit menggunakan sebatang sumpitan dan anak panahnya yang dipanggil "laja" oleh kaum Iban. Sumpit ialah sebatang kayu lurus sepanjang kira-kira 9 kaki dan yang ditebuk pada tengah-tengahnya. Pada masa dahulu, sumpit digunakan untuk memburu binatang buas dan burung liar pada masa dahulu kerana hujung anak panahnya direndam dalam sejenis racun daripada kulit kayu hutan. Kawasan yang terkena sekitar anak panah beracun itu akan dibuang secepat mungkin bagi mengelak bahaya daripada dimakan. Sekarang ini, sasaran pertandingan menyumpit bolehlah berupa belon, tembikai atau mentimun.
Permainan sukaria tradisi biasanya diadakan untuk orang dewasa seperti pertandingan meminum tuak, lawan lengan ("bibat lengan"), lawan kaki ("bapatis"), tarik sebatang kayu ("batarit lampong") dan tarik tali. Pada zaman sekarang, permainan sukaria kanak-kanak adalah seperti main sorok-sorok, lari dalam guni, lari berpasangan dengan sebelah kaki diikat bersama, meniup belon dan kerusi beracun. Acara permainan ini boleh diadakan pada keesokan harinya jika masa tidak mengizinkan pada malam tersebut terutamanya jika acara pokok ranyai menjadi panjang kerana kemeriahan dan keseronokannya yang menghiburkan semua.
Sambutan Gawai Dayak pada malam 31hb Mei berakhir dengan penebangan "pokok ranyai" bila malam telah menjelang subuh. Hanya seorang tua yang berstatus tinggi dan dihormati akan disuruh "menebang" batang pokok itu. Penari ngajat yang lain hanya boleh mencantas dahan-dahan pokok itu dan buah-buahnya. Selalunya seekor ayam akan turut disertakan pada pokok itu. Jadi, ayam ini akan disembelih bila tumbangnya pokok itu dan dibersihkan untuk dimasak bersama-sama oleh orang ramai sebelum bersurai untuk berehat atau tidur kerana acara hari esok sedang menanti.
Pada keesokan harinya, setiap bilik dalam sesebuah rumah panjang atau kampung akan bersedia untuk acara rumah terbuka kepada orang ramai dengan menghidangkan makanan dan minuman di bilik atau di ruai mereka. Orang Dayak akan terus berpesta sambil bersukaria sesama sendiri.
Jika ada para tetamu jemputan khas, acara menyambut tetamu akan diadakan oleh seluruh warga rumah panjang atau kampung. Selalunya, sebuah "kuta" yang berupa sebatang buluh dan digantungkan sehelai kain tradisi akan direntangkan pada jalan ke arah rumah panjang atau balai raya kampung. Selepas melafazkan puisi kata-kata untuk membuka "kuta", ketua tetamu akan diminta untuk mencantas "kuta" tersebut dengan sebilah parang tajam. Acara simbolik ini menandakan semua halangan atau rintangan yang ada telah pun diatasi supaya rumah itu pun terbuka untuk tetamu.
Sebelum naik ke rumah, ketua tetamu sekali lagi diminta melembing seekor haiwan yang disediakan di kaki tangga rumah oleh pihak tuan rumah. Acara ini secara simbolik menandakan persembahan kepada para dewa dan ampun-mengampuni antara pihak tuan rumah dan para tetamu dengan mengalirnya darah haiwan itu ke tanah di kaki tangga. Haiwan itu akan dibersihkan dan dimasak sebagai hidangan makanan untuk semua orang.
Bila saja tetamu masuk ke rumah, mereka terus dijamu minuman yang dinamakan "air naik" dan "air haus" oleh sekumpulan perempuan yang berbaris menyambut ketibaan mereka di kiri dan kanan kepala tangga atau pintu rumah. Adalah menjadi amalan tradisi bagi orang yang memberi minuman kepada seseorang akan minum atau merasa sedikit daripada air minumannya dahulu sebelum memberikan minuman kepada orang lain. Amalan ini membuktikan minuman itu adalah sedap dan selamat untuk diminum. Jika tidak, seseorang boleh menyuruh orang yang memberi minuman itu supaya merasa minumannya dahulu sebelum menerima pelawaan untuk minum.
Jika pemberi minuman enggan merasa minumannya duluan, orang lain berhak menolak pelawaan minumnya. Ini penting kerana dahulu sesetengah orang Dayak terkenal dengan ubat dan azimat pengaruh yang boleh bertujuan baik atau jahat terutamanya bila berdepan dengan orang yang tidak disenangi atau seseorang itu ingin mencuba kerberkesanan ubat atau azimatnya.
Satu lagi amalan acara jamuan minuman ini ialah semua orang menggunakan atau berkongsi satu gelas yang sama. Jadi, si penjamu minuman tak payahlah terpaksa minum dahulu sebelum setiap orang lain kerana dia boleh minum dahulu sekali sahaja pada permulaannya dan dengan nyaring sekali mengumumkan dia akan merasa minumannya duluan supaya didengar dan dilihat oleh sekumpulan orang lain yang ingin dijamunya. Pada masa sekarang, sebuah dulang berisi air akan dibawa bersama penjamu minuman untuk membasuh gelas atau cawan yang digunakannya menjamu minuman. Ada juga orang yang pandai meneguk minumannya tanpa bibirnya menyentuh gelas atau cawan itu.
Perarakan tetamu terus diadakan dengan berjalan sepanjang rumah panjang sebelum dipersilakan duduk di ruai ketua rumah atau ketua gawai. Perarakan ini didahului oleh sekumpulan penari tradisi lelaki dan perempuan yang memakai pakaian tradisi berwarna-warni, diikuti oleh rombongan tetamu dan diiringi oleh sekumpulan pemuzik tradisi. Sewaktu perarakan ini, semua penghuni rumah panjang akan berdiri dan berbaris di kanan dan kiri ruai sambil mengucapkan selamat datang dan berjabat tangan pada zaman sekarang. Ketua rumah atau ketua gawai akan melaungkan kepada semua untuk menerima para tetamu yang sedang diarakan itu: "Sila sambut, sambutlah para tetamu dengan segala hormatnya!".
Selepas para tetamu dipersilakan duduk, mereka akan didoakan oleh ketua rumah atau ketua gawai dengan memegang dan menghayunkan seekor ayam supaya kunjungan mereka membawa berkat dan dihindari malapetaka. Selesai doa ini, para tetamu terus dijamu minuman beberapa kali yang dinamakan "air basuh", "air untung" dan "air hormat" yang harus diterima tetamu sebagai tanda hormat-menghormati. Lagi sekali, orang yang membahagi minuman itu akan minum duluan sebelum para tetamu. Selepas minum, upacara sajian "miring" yang ringkas diadakan untuk menyambut tetamu dan para tetamu diundang untuk menyediakan sajian itu untuk memohon ampun dan roh pembaziran.
Kemudian, acara ucapan rasmi dimulakan. Ketua tuan rumah menyampaikan ucapan alu-aluan, selamat datang dan selamat hari gawai kepada tetamu jemputan khas dan hadirin semua. Ketua tetamu pula akan diminta untuk membalas ucapan tuan rumah dan akan menyampaikan pertolongan jika ada. Selalunya jika orang kenamaan yang dijemput seperti pemimpin masyarakat atau ahli politik, mereka akan membawa buah tangan dengan memberikan sumbangan derma atau projek kecil.
Seterusnya, barulah acara makan dan minum tetapi sebelum itu sejenis ungkupan puisi membuka selimut makanan dan minuman akan dilafazkan oleh seseorang yang berbakat selalunya "lemambang". Makanan dan minuman yang disediakan khas itu akan diselimuti dulu dengan kain tradisi pua kumpu yang akan dibuka setelah dipuisikan. Ini secara simbolik menandakan hidangan telah pun disediakan dengan rapi dan semua para hadirin dijemput untuk menjamu selera.
Pada masyarakat Dayak, adalah menjadi tradisi semua hadirin termasuk jemputan dan tuan rumah makan bersama-sama serentak. Sebagai tanda kemesraan dan hormat, adalah adat asal kaum Dayak menghidangkan makanan secara langsung kepada para tetamu berbanding cara layan diri atau bufet yang lazim sekarang ini. Para hadirin akan diminta duduk berbaris dalam deretan sepanjang ruai rumah panjang untuk majlis makan. Sekumpulan anak muda dari tuan rumah akan menghulurkan pinggan kepada semua hadirin secukupnya sebelum membahagikan makanan kepada semua satu demi satu. Cara ini dapat memastikan semua hadirin dapat makan dan hidangan makanan mencukupi tanpa pembaziran makanan. Jadi, pihak tuan rumah dan para tetamu makan dan minum jamuan yang sama.
Bagi masyarakat Dayak, adalah menjadi adat hormat untuk menawarkan makanan dan minuman kepada tetamu walaupun seseorang itu mungkin orang asing atau haiwan ternakan yang mungkin sesat jalan. Sekurang-kurangnya, nasi dan garam akan ditawarkan jika tiada lauk-pauk lain. Pada zaman dahulu, seseorang tangkapan perang boleh diangkat menjadi ahli keluarga penangkapya jika dia telah berkhidmat dan berjasa kepada tuannya melalui Gawai Batimbang (Pesta Mengangkat Ahli Keluarga). Sampai begitulah betapa masyarakat Dayak mesra, hormat dan kasih sayang kepada orang lain dan sesama sendiri. Kalau ada silap salahnya akan diselesaikan dengan cara adat istiadat tradisi dengan memegang prinsip "hal kecil dijadikan tiada manakala hal besar dijadikan kecil".[6]
Acara tradisi sabung ayam jantan biasanya akan diadakan oleh kaum lelaki semasa gawai. Seorang ketua sabung akan dilantik untuk menentukan kalah menang dan peraturan-peraturan sabung. Sebenarnya, acara laga ayam ini amalan kepercayaan tradisi dan aktiviti masa lapang komuniti Dayak yang terkenal. Oleh itu, komuniti Dayak mempunyai pengetahuan mengenali jenis-jenis bulu dan sisik kaki ayam jantan yang menandakan nasib dan kemenangannya. Pada asalnya, acara sabung tradisi hanyalah untuk tiga kali perlawanan saja di bahagian beranda (tanju) rumah panjang dan selepas itu ia ialah acara bebas bagi yang berminat untuk disambung di tanah lapang di luar rumah.[7]
Sebelum gawai, ayam-ayam jantan yang baik-baik belaka akan dipilih untuk dipelihara khas dengan mengikat kakinya (ditambat dalam bahasa Iban) atau disimpan di dalam sebuah reban di luar rumah. Ayam-ayam sabung ini akan dibela sebaik mungkin, diberi makan minum secukupnya, dimandikan di air, dilatih berlawan dan akhir sekali diberi ilmu kebal sebelum dilagakannya. Sebelum hari menyabung, seorang "lemambang" akan diminta untuk mendeklamasikan "renong sabung" pada malam sebelum hari menyabung yang mengisahkan sejarah menyabung ayam.
Pada zaman sekarang, acara kunjung-mengunjungi akan diatur supaya ada yang menunggu untuk dikunjungi dan ada yang dijemput untuk mengunjungi. Ini bertujuan mengelak percanggahan acara di antara rumah-rumah panjang sekitarnya. Tarikh-tarikh gawai tertentu akan diumumkan lebih awal demi mengelak percanggahan ini. Tarikh-tarikh gawai akan disusun satu demi satu.
Beberapa hari sebelum atau selepas Gawai Dayak pada 31hb Mei dan 1hb Jun, ada beberapa jenis gawai sebenar bagi komuniti Dayak yang selalunya diraikan kerana bekalan beras yang banyak selepas musim menuai padi.
Gawai Bersimpan Padi akan diraikan untuk upacara menyimpan sejumlah padi yang banyak di atas siling ("sadau") rumah sebagai tempat kediaman roh padi dan mengelakkan kecurian atau makluk perosak. Gawai ini diadakan apabila siap menggugurkan bijian padi daripada tangkainya, mengipas untuk mengasingkan biji padi berisi daripada hampanya dan mengeringkan biji padi bernas untuk disimpan dalam jangka masa yang panjang. Akhir sekali, padi daripada huma atau sawah yang jauh daripada rumah akan diangkut ke rumah untuk keselamatan padi itu.
Sebelum memulakan musim penanaman padi yang baru, Gawai Batu[8] boleh diraikan untuk mengasah tajam peralatan logam pertanian seperti parang dan beliung atau kapak sekarang ini.
Gawai Lelabi (Majlis Perkahwinan atau Melah Pinang [9] dalam bahasa Iban) selalunya diadakan pada musim ini kerana ramai yang pulang ke kampung halaman sewaktu cuti Gawai Dayak. Bagi kaum Iban, adat "nguai" iaitu sama ada pengantin perempuan mengikuti pengantin lelaki tinggal di rumahnya atau sebaliknya akan diputuskan dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Semasa maljis perkahwinan, pasangan mempelai itu akan selalunya memakai pakaian tradisi dan duduk di pelamin tawak supaya ahli-ahli keluarga dari kedua-dua belah boleh mengucapkan selamat pengantin baru kepada raja dan ratu sehari itu. Doa perkahwinan akan dilakukan oleh seseorang yang dihormati seperti ketua rumah sambil memegang dan menghayunkan seekor ayam di atas kepala mereka. Dewa yang diminta untuk memberkati perkahwinan mereka ialah Selampandai sebagai dewa pembuatan supaya perkahwinan itu berkekalan hingga ke anak cucu dan mereka melahirkan ramai anak sebagai waris.
Antara gawai-gawai lain yang boleh didirikan selepas musim menuai padi bila ada banyak beras ialah Gawai Pangkong Tiang[10] untuk memohon restu keselamatan, kesihatan dan rezeki selepas berpindah ke rumah baru, Gawai Tuah untuk mencari dan memasukkan nasib, Gawai Tempayan untuk memasukkan tempayan tembikar yang baru diperolehi[11], Gawai Antu untuk meraikan roh-roh orang yang telah meninggal[12], Gawai Kalingkang, Gawai Burung untuk memberi makan burung-burung ada mengikuti kepercayaan asal dan Gawai Kenyalang untuk menaikkan patung burung enggang di atas tiang yang tinggi sebagai tanda simbolik memohon pertolongannya menjemput dewa kegagahan dan menyerang musuh.[13] Gawai Mimpi juga boleh diadakan pada masa ini untuk bersyukur atas mimpi yang baik atau menawar mimpi yang buruk.
Ada juga yang mengambil peluang ini untuk mengadakan Gawai Sakit[14] selepas usaha penyembuhan lain seperti "begama" dan "belian" gagal mengubati si pesakit. Dua lagi upacara penyembuhan ajaib yang agak besar ialah "besugi sakit" dan "berenong sakit". Si pesakit boleh juga pergi "nampok" atau bertapa untuk mencari penyembuhan ajaib.
Di samping itu, ada yang mendirikan Gawai Betambah Bulu untuk membuat sehelai baju berbulu yang boleh dipakai bila-bila terasa tidak sedap tubuh badan dan Gawai Menangga Langit untuk memohon pengampunan jika telah disuruh dalam mimpi untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana sebab-sebab tertentu.
Jika tidak meraikan sesuatu gawai sebenar, seseorang Dayak akan meraikan Gawai Dayak pada umumnya. Jadi, Gawai Dayak adalah musim perayaan bagi pelbagai jenis pesta tradisi dan sosial. Gawai-gawai sebenar ini akan menjemput para tetamu daripada kawasan sekitar.
Setiap kaum Dayak mempunyai pesta-pesta tradisi tersendiri tetapi mereka semuanya merayakan pesta menuai. Kaum-kaum Dayak di Kalimantan juga meraikan beberapa pesta-pesta tradisi pada sekitar musim menuai ini. Musim menuai berlaku pada jangka waktu yang lebih kurang sama kerana musim permulaan penanaman bergantung kepada faktor geografi iaitu kedudukan Bintang Banyak dan Bintang Tiga[15] yang boleh dilihat oleh semua manusia di langit pada waktu malam.
Kini, Gawai Dayak diadakan pada peringkat daerah, bahagian dan negeri di Sarawak. Acara yang memeriahkan suasana perayaan Gawai Dayak sudah tentunya Pertandingan Ratu dan Raja Gawai yang dikenali sebagai "Kumang Gawai" dan "Keling Gawai". Pertandingan ini bermula di peringkat daerah, kemudian ke peringkat bahagian dan kemuncaknya pada peringkat negeri.
Di bandar-bandar, Gawai Dayak diraikan di sesuatu tempat seperti restoran atau hotel. Oleh kerana, ramai kaum Dayak yang akan balik kampung untuk meraikan Gawai Dayak di rumah-rumah panjang masing-masing pada pengujung bulan Mei, program pragawai diraikan biasanya pada awal bulan Mei. Pesta Pragawai di bandar-bandar adalah mirip perayaan Gawai Dayak di rumah panjang atau kampung.
Selalunya, sebuah persatuan Dayak atau jawatankuasa gawai akan ditubuhkan di sesuatu daerah atau bahagian. Sebuah tempat akan dipilih dan sejumlah meja akan ditempah dengan tiket dijual kepada orang ramai yang ingin bersama meraikan gawai. Seseorang tetamu khas seperti orang kenamaan akan dijemput yang selalunya akan memberikan derma kepada persatuan Dayak berkenaan. Tuak akan disediakan untuk setiap meja. Makanan dan minuman ditempah dari restoran atau hotel. Makanan tradisi "pansuh ayam" dan "umai" akan disediakan oleh komuniti Dayak setempat untuk dikongsi dengan orang ramai. "Pokok ranyai" akan didirikan. Upacara "miring" juga dilakukan. Ada tarian tradisi dengan muzik tradisi dipersembahkan. Pertandingan Kumang dan Keling juga diadakan. Pantun boleh juga dinyanyikan oleh seseorang yang pandai atau dimainkan dari cakera padat. Karaoke lagu-lagu Dayak selalunya disertakan. Acara penutupan iaitu menggulung tikar juga diadakan di bandar-bandar.
Pada akhir bulan Jun, majlis penutupan Gawai Dayak akan diadakan dengan acara simbolik menggulung tikar yang dipanggil "ngiling bidai" oleh kaum Iban. Acara ini merupakan majlis kecil atau sederhana di mana jamuan diadakan, "pokok ranyai" yang lebih kecil boleh didirikan, diikuti tarian ngajat dan tuak peruk mungkin dihidangkan. Tuak peruk disediakan daripada hampas nasi pulut yang tinggal dalam tempayan setelah air tuaknya hampir habis diminum. Jadi, tuak peruk selalunya berwarna putih. Akhir sekali, sebuah tikar yang dipanggil "bidai" akan digulung untuk menandakan berakhirnya perayaan Gawai Dayak.
Penganut Kristian Dayak menggantikan upacara tradisional persembahan iaitu "miring", kepada sesi berdoa dalam bilik keluarga. Ketua khidmat gereja yang memimpin doa dipanggil "tuai sembiang".
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.