Kuala Lumpur
ibu kota Malaysia; salah satu Wilayah Persekutuan From Wikipedia, the free encyclopedia
Kuala Lumpur (sebutan dalam loghat tempatan: Kolumpo, Jawi: كوالا لمڤور, singkatan: KL)[8] atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan bandar raya terbesar di Malaysia. Kuala Lumpur meliputi kawasan seluas 244 km2 (94 bt2), diduduki 2.16 juta orang mengikut banci tahun 2022. Lebih kurang 50 peratus penduduknya ialah Bumiputera, manakala 45 peratus ialah Cina dan 5 peratus ialah India.[9] Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompok bandar yang diduduki 8.9 juta orang[10], dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di Asia Tenggara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.[11] Lembah Klang juga adalah sebahagian daripada rantau metropolitan yang lebih besar yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Raya.
Kuala Lumpur
Kolumpo | |
---|---|
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur | |
Transkripsi lain | |
• Tulisan Jawi | كوالا لمڤور |
• Cina | 吉隆坡 Jílóngpō (Hanyu Pinyin) Gātlùhngbō (Perumian Kantonis Yale) Gat1 lung4 bo1 (Jyutping) |
• Tamil | கோலாலம்பூர் Kōlālampūr (Transliterasi) |
Cogan kata: Bersedia Menyumbang Bandaraya Cemerlang | |
Lagu: Maju dan Sejahtera | |
![]() | |
![]() | |
Koordinat: 03°08′52″N 101°41′43″E | |
Negara | Malaysia |
Ditubuhkan | 1857 |
Dikurniakan status bandaraya | 1972 |
Dijadikan Wilayah Persekutuan | 1974 |
Pentadbiran | |
• Jenis | Pemerintahan persekutuan dengan kerajaan tempatan |
• Badan | Dewan Bandaraya Kuala Lumpur |
• Datuk Bandar | Maimunah Mohd Sharif [1] |
Keluasan | |
• Ibu negara dan Wilayah Persekutuan | 243 km2 (94 batu persegi) |
• Metro | 2,243.27 km2 (866.13 batu persegi) |
Aras | 21.95 m (72 ft) |
Aras tertinggi | 302 m (991 ft) |
Penduduk (2024)[4] | |
• Ibu negara dan Wilayah Persekutuan | 2,075,600 |
• Kepadatan | 8,500/km2 (22,000/batu persegi) |
• Bandar | 8,403,775 |
• Metro | 8,815,630 |
• Kepadatan metro | 2,708/km2 (7,010/batu persegi) |
KDNK (2023)[6] | |
• Wilayah Persekutuan | RM 277.519 billion (US$60 billion) |
• Metro | RM 727.790 billion (US$160 billion) |
Indeks bandar | |
• IPM (2023) | 0.890 (sangat tinggi) (Pertama)[7] |
Zon waktu | UTC+8 (WPM) |
• Musim panas (DST) | UTC+8 (Tiada) |
Poskod | 50xxx hingga 60xxx 68xxx |
Waktu suria min | UTC+06:46:48 |
Kod panggilan kebangsaan | 03 |
Awalan nombor plat kenderaan | Vxx dan Wxx (semua kenderaan kecuali teksi) HWx (teksi sahaja) |
ISO 3166-2 | MY-14 |
Bahasa rasmi | Melayu |
Laman sesawang | www.dbkl.gov.my |
Kuala Lumpur menempatkan Parlimen Malaysia, dan juga pernah menjadi lokasi cabang eksekutif dan kehakiman kerajaan persekutuan yang kini bertapak di Putrajaya sejak tahun 1999.[12] Namun begitu, terdapat beberapa cawangan kehakiman yang kekal di ibu kota ini. Kuala Lumpur juga menempatkan kediaman rasmi bagi Ketua Negara Malaysia, Yang di-Pertuan Agong iaitu Istana Negara. Bandar raya ini juga merupakan pusat kebudayaan, pelancongan, pendidikan, perundangan dan ekonomi Malaysia kerana kedudukannya selaku ibu negara dan bandar raya primat.[13] Kuala Lumpur ditarafkan sebagai bandar raya dunia alfa, dan juga satu-satunya bandar raya global di Malaysia, menurut Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).[14]
Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada tiga buah Wilayah Persekutuan Malaysia, dan juga sebuah enklaf dalam negeri Selangor, di pantai barat tengah Semenanjung Malaysia.[15]
Semenjak 1990-an, bandar raya ini menjadi tuan rumah kepada berbilang acara sukan, politik dan kebudayaan, termasuk Sukan Komanwel 1998, Sukan Asia Tenggara 2017 dan Kejohanan Dunia Formula Satu.[16] Selain itu, di bandar ini juga berdirinya bangunan kedua tertinggi di dunia dan pertama di Asia Tenggara iaitu Menara Merdeka 118 dan yang paling terkenal ialah menara berkembar tertinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas.[17]
Kuala Lumpur dihubungkan dengan negara dan kawasan lain oleh dua buah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang kini hanya menyediakan penerbangan domestik. Kuala Lumpur juga dapat dihubungkan dengan kawasan bandar yang berdekatan seperti Petaling Jaya melalui Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang. Penduduk bandar ini boleh mengunjungi kawasan lain di Semenanjung dengan perkhidmatan rel melalui Kuala Lumpur Sentral.
Etimologi

Kuala Lumpur dipercayai dinamakan bersempena dengan Sungai Lumpur, di mana pada tahun 1820-an, satu kawasan bernama Sungai Lumpoor dikatakan merupakan pusat pengeluaran bijih timah terpenting di Sungai Klang. Terdapat juga pendapat lain yang menyatakan bahawa Kuala Lumpur asalnya dinamakan "Pengkalan Lumpur", sama seperti Klang yang pernah digelar "Pengkalan Batu".[18] Namun nama ini berubah kepada Kuala Lumpur. Pendapat lain mengatakan bahawa nama Kuala Lumpur berasal daripada perkataan Kantonis, "lam-pa", yang bermaksud hutan banjir atau hutan reput.
Namun, tiada pendapat dan bukti kukuh yang membenarkan pendapat asal usul nama bandar ini.[19]
Sejarah
Gabungan sejarah

Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1895–1942; 1945–1946
Empayar Jepun 1942–1945
Malayan Union 1946–1948
Tanah Melayu 1948–1963

Beberapa penempatan dipercayai telah wujud di kawasan pertemuan Sungai Gombak dan Klang sejak 1820-an, namun identiti peneroka pertamanya masih belum diketahui, walaupun banyak pendapat menganggap Raja Abdullah sebagai pengasas Kuala Lumpur.
Sejarah moden Kuala Lumpur bermula pada 1850-an, ketika ketua Melayu Klang, Raja Abdullah,[20] mengupah buruh Cina untuk membuka lombong bijih timah yang baru dan lebih besar.[21] Mereka tiba di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang untuk membuka lombong di Ampang.[21] Sungai Gombak pernah dikenali sebagai Sungai Lumpur, maka nama asal untuk bandar ini ialah "Pengkalan Lumpur", lama-kelamaan diberi nama Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, lombong timah dibuka di Pudu dan Batu.
Lombong-lombong ini berkembang menjadi kawasan perdagangan yang semakin diterima sebagai bandar sempadan. Banyak krisis dan kemelut yang berlaku di Kuala Lumpur, terutamanya permusuhan antara puak pelombong Cina dan Melayu dalam menguasai lombong-lombong timah sehingga mencetuskan Perang Saudara Selangor, di samping penyebaran wabak penyakit, kejadian kebakaran dan banjir.[21] Sekitar 1870-an, pengasas Kuala Lumpur, Raja Abdullah menjadi pemimpin yang bertanggungjawab memastikan ketahanan diikuti pertumbuhan sistematik bandar ini. Beliau mula membangunkan Kuala Lumpur dari sebuah kawasan terpencil yang tidak dikenali menjadi bandar perlombongan.[22] Pada tahun 1880, ibu negeri Selangor berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur yang jauh lebih strategik.[23]
Pembinaan semula

Pada tahun 1881, kebakaran besar telah berlaku di Kuala Lumpur disusuli banjir besar, memusnahkan struktur kayu atap bangunan-bangunan di Kuala Lumpur. Residen British di Selangor, Frank Swettenham, bertindak dengan mewajibkan semua bangunan dibina daripada batu-bata dan jubin sahaja.[23]
Kapitan Yap Ah Loy telah membeli hartanah di sebuah tanah pinggiran kota dan menyarankan penghasilan batu-bata untuk pembinaan semula kota Kuala Lumpur. Tempat tersebut kini dikenali Brickfields. Kebanyakan bangunan batu yang baharu menyerupai seni bina rumah kedai di China Selatan, menyerlahkan seni bina eklektik rumah kedai tersendiri yang biasa terdapat di rantau ini. Pengangkutan ke bandar ini dipermudahkan lagi dengan pembinaan landasan kereta api yang siap dibina pada 1886. Yap Ah Loy seterusnya telah membelanjakan wang sejumlah $20,000 untuk membina jalan raya. Jalan-jalan tersebut merangkumi Jalan Ampang, Jalan Pudu dan Jalan Petaling yang kini merupakan jalan raya utama kota KL. Sekolah pertama Kuala Lumpur juga diasaskan sekitar masa ini oleh Yap Ah Loy. Sebagai seorang Kapitan Cina, kuasa pentadbiran yang dimilikinya setaraf pembesar Melayu, di mana beliau boleh menggubal undang-undang dan peraturan serta menyusun semula struktur penempatan.
Perkilangan tepung ubi turut dibangunkan di Jalan Petaling. Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad juga mempunyai kepentingan dalam projek tersebut. Beliau juga telah menegakkan keamanan dan ketenteraman kota dengan bantuan hanya enam orang polis dan beliau turut membina penjara yang mampu memuatkan 60 tahanan pada suatu masa.[24] Beliau juga menggalakkan orang Melayu berusaha padi di sekitar kota untuk menampung pembangunan kota. Berikutan kepesatan pembangunan pada 1890-an, sebuah Lembaga Kebersihan (Sanitary Board) telah diwujudkan di Kuala Lumpur. Pada tahun 1896, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai ibu negara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baharu..[25]
Perang Dunia Kedua

Pelbagai komuniti berlainan bangsa mula mewujudkan penempatan di serata Kuala Lumpur. Kaum Cina menetap di sekitar pusat perdagangan Medan Pasar (Market Square) di timur Sungai Klang, ke arah Pekan Cina (Jalan Petaling). Kaum Melayu, Chettiar India, dan India Muslim pula menetap di sepanjang Java Street (kini Jalan Tun Perak). Padang yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, merupakan pusat pejabat pentadbiran British.[21]
Ketika Perang Dunia Kedua, Kuala Lumpur telah ditawan oleh tentera Jepun pada 11 Januari 1942 dan menguasainya bersama seluruh Tanah Melayu. Pemerintahan Jepun berakhir pada 15 Oktober 1945, setelah panglima besar Tentera Kawasan Ketujuh Jepun di Singapura dan Tanah Melayu, Seishirō Itagaki, menyerah kalah kepada pentadbir British selepas pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki.[26] Kuala Lumpur menempuhi zaman peperangan yang mendorong kepada kejatuhan nilai getah dan timah, dan zaman darurat ketika Tanah Melayu berdepan dengan pemberontakan komunis.[23] Setelah Jepun menyerah kalah, Kuala Lumpur kembali dijadikan ibu negara bagi Pentadbiran Tentera British dan Malayan Union. Setelah Malayan Union digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, Kuala Lumpur terus dijadikan ibu negara sehinggalah Tanah Melayu merdeka dari pemerintahan British pada tahun 1957.[27] Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Pasca kemerdekaan
Pada 13 Mei 1969, satu rusuhan kaum telah tercetus antara kaum Melayu dan Cina di Kuala Lumpur.[28] Rusuhan yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei ini tercetus akibat ketidakpuasan hati orang Melayu dengan kedudukan sosiopolitik mereka. Rusuhan ini menyebabkan 196 orang terkorban,[28] lantas menyebabkan pembaharuan besar dalam dasar ekonomi negara untuk keadilan sosial yang menyeluruh.
Kuala Lumpur mencapai status bandar raya pada tahun 1972,[29] menjadikannya petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status itu sejak mencapai kemerdekaan. Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur telah dijadikan Wilayah Persekutuan yang pertama,[30] dan dipisahkan daripada pemerintahan negeri Selangor bagi pemerintahan langsung kerajaan pusat. Ibu negeri Selangor juga telah dipindahkan ke Shah Alam pada tahun 1978.[31] Pada 14 Mei 1990, Kuala Lumpur menyambut 100 tahun kerajaan tempatannya dengan memperkenalkan lagu dan bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pada 1 Februari 2001, Putrajaya telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan juga pusat kerajaan persekutuan Malaysia.[32] Fungsi-fungsi pentadbiran dan kehakiman kerajaan beralih dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Namun begitu, Kuala Lumpur masih mengekalkan fungsi perundangan,[33] dan juga kekal sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong.[34]
Kerajaan

Kerajaan tempatan
Tugas pentadbiran Kuala Lumpur berada di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebuah agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.[35] DBKL bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kebersihan awam, pelupusan dan pengurusan sampah dan bahan buangan, perancangan bandar, perlindungan alam sekitar dan kawalan pembinaan, pembangunan sosial dan ekonomi dan penyelenggaraan prasarana bandar secara amnya. Kuasa eksekutif dipegang oleh Datuk Bandar yang dilantik untuk penggal dua tahun oleh Menteri Wilayah Persekutuan. Sistem perlantikan datuk bandar ini diamalkan sejak pilihan raya kerajaan tempatan digantung pada tahun 1970.[36]
Sejak penubuhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1972, seramai 15 orang Datuk Bandar telah dilantik.[37] Datuk Bandar Kuala Lumpur yang terkini ialah Maimunah Mohd Sharif yang telah memegang jawatan sejak 15 Ogos 2024.[38]
Politik

Kuala Lumpur menempatkan Parlimen Malaysia yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kuala Lumpur merangkumi 11 kawasan Parlimen yang diwakili dalam Dewan Rakyat. Ahli-ahli Parlimen tersebut dipilih dalam pilihan raya umum yang diadakan setiap lima tahun.
Berikut merupakan senarai perwakilan Kuala Lumpur dalam Dewan Rakyat;
Kod | Parlimen | Penyandang | Parti |
---|---|---|---|
P114 | Kepong | Lim Lip Eng | Pakatan Harapan (DAP) |
P115 | Batu | Prabakaran Parameswaran | Pakatan Harapan (PKR) |
P116 | Wangsa Maju | Zahir Hassan | Pakatan Harapan (PKR) |
P117 | Segambut | Hannah Yeoh Tseow Suan | Pakatan Harapan (DAP) |
P118 | Setiawangsa | Nik Nazmi Nik Ahmad | Pakatan Harapan (PKR) |
P119 | Titiwangsa | Johari Abdul Ghani | Barisan Nasional (UMNO) |
P120 | Bukit Bintang | Fong Kui Lun | Pakatan Harapan (DAP) |
P121 | Lembah Pantai | Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil | Pakatan Harapan (PKR) |
P122 | Seputeh | Teresa Kok Suh Sim | Pakatan Harapan (DAP) |
P123 | Cheras | Tan Kok Wai | Pakatan Harapan (DAP) |
P124 | Bandar Tun Razak | Wan Azizah Wan Ismail | Pakatan Harapan (PKR) |
Geografi
Geografi Kuala Lumpur dicirikan oleh lembah besar yang dikenali sebagai Lembah Klang yang bersempadan dengan Banjaran Titiwangsa di timur, beberapa banjaran kecil di utara dan selatan, dan Selat Melaka di barat. Kuala Lumpur memetik namanya daripada kuala yang menemukan Sungai Klang dan Sungai Gombak di tengah-tengah ibu kota itu.[39]
Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah negeri Selangor, pernah berada di bawah pemerintahan kerajaan negeri Selangor, sehingga dipisahkan pada tahun 1974 untuk menjadi Wilayah Persekutuan pertama yang ditadbir secara terus oleh Kerajaan Persekutuan. Lokasinya di pantai barat Semenanjung Malaysia yang lebih luas tanah ratanya berbanding pantai timur, menyumbang kepada pembangunan yang lebih pesat berbanding bandar-bandar lain di Malaysia.
Pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur meliputi kawasan seluas 243.65 km2 (94.07 bt2), dengan ketinggian tanah purata 21.95 m (72.0 ka). Aras tertinggi di Kuala Lumpur ialah Bukit Dinding yang berketinggian 302 meter.
Iklim dan cuaca
Terlindung oleh Banjaran Titiwangsa di timur dan pulau Sumatera, Indonesia di barat, Kuala Lumpur beriklim hutan hujan tropika (Pengelasan iklim Köppen Af) yang panas dan cerah dengan curahan hujan yang lebat sepanjang tahun, terutamanya ketika musim monsun timur laut dari bulan Oktober hingga Mac. Suhunya agak malar iaitu maksimumnya sekitar 31 dan 33 °C (88 dan 91 °F) tetapi tidak pernah melampaui 37 °C (99 °F), sementara minimumnya sekitar 22 dan 23.5 °C (71.6 dan 74.3 °F) dan tidak pernah kurang daripada 19 °C (66 °F). Kuala Lumpur lazimnya menerima curahan hujan sebanyak 2,266 mm (89.2 in) setiap tahun; bulan Jun dan Julai agak kering, namun demikian curahan hujan biasanya melebihi 125 mm (5 in) sebulan.
Banjir seringkali berlaku di Kuala Lumpur apabila hujan turun dengan lebatnya, khususnya di pusat bandaraya dan kawasan hilir.[40] Adakalanya, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dicemari oleh jerebu akibat kepulan zarah-zarah habuk dari kebakaran hutan di Pulau Sumatera, menjadikan jerebu sebagai salah satu punca utama pencemaran di bandaraya di samping pembakaran terbuka, pengeluaran bahan-bahan pencemar dari kenderaan bermotor dan kerja-kerja pembinaan.[41]
Data iklim untuk Pusat Jabatan Meteorologi Petaling Jaya (Anggaran 5km dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur) | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
Purata curahan hujan, mm (inci) | 207 (8.1) |
214 (8.4) |
290 (11.4) |
326 (12.8) |
238.1 (9.37) |
148 (5.8) |
158 (6.2) |
164 (6.5) |
217 (8.5) |
283.2 (11.15) |
350 (13.8) |
273 (10.7) |
2,868.3 (112.93) |
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia - Pusat Jabatan Meteorologi Petaling Jaya 2010 |
![]() ![]() | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
Rekod tertinggi °C (°F) | 35 (95) |
36 (96.8) |
37 (98.6) |
36 (96.8) |
35 (95.0) |
36 (96.8) |
36 (96.8) |
36 (96.8) |
35 (95.0) |
36 (96.8) |
35 (95.0) |
34 (93.2) |
37 |
Suhu tinggi purata °C (°F) | 31.9 (89.4) |
32.8 (91.0) |
33.1 (91.6) |
33.0 (91.4) |
32.8 (91.6) |
32.5 (90.5) |
32.1 (89.8) |
32.2 (90.0) |
31.9 (89.4) |
31.8 (89.2) |
31.4 (88.5) |
31.5 (88.7) |
32.3 (90.0) |
Suhu rendah purata °C (°F) | 22.1 (71.8) |
22.3 (72.1) |
22.8 (73.0) |
23.4 (74.1) |
23.1 (73.6) |
22.1 (71.8) |
22.7 (72.9) |
22.7 (72.9) |
22.7 (72.9) |
22.9 (73.2) |
22.9 (73.2) |
22.5 (72.5) |
22.7 (72.8) |
Rekod terendah °C (°F) | 19 (66.2) |
21 (69.8) |
20 (68) |
21 (69.8) |
22 (71.6) |
20 (68) |
19 (66.2) |
19 (66.2) |
20 (68) |
21 (69.8) |
21 (69.8) |
19 (66.2) |
18 |
Kerpasan mm (inci) | 162 (6.4) |
145 (5.7) |
218 (8.6) |
285 (11.2) |
184 (7.2) |
127 (5.0) |
129 (5.1) |
146 (5.7) |
192 (7.6) |
272 (10.7) |
275 (10.8) |
230 (9.1) |
2,266 (93.1) |
Sumber: Agensi Alam Sekitar Singapura.[42] {{{accessdate}}} |
Ekonomi


Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan bandar di sekelilingnya membentuk rantau yang paling berindustri dan paling pesat pembangunan ekonominya di Malaysia.[11] Walaupun pentadbiran kerajaan persekutuan berpindah ke Putrajaya, namun institusi-institusi kerajaan tertentu seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta kebanyakan kedutaan dan misi diplomatik kekal di Kuala Lumpur.[43]
Bandar raya ini juga masih merupakan pusat ekonomi, perniagaan, kewangan, insurans, hartanah, media dan kesenian Malaysia. Pembangunan prasarana di kawasan-kawasan sekeliling seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, pembinaan Koridor Raya Multimedia dan peluasan Pelabuhan Klang mengukuhkan lagi kepentingan ekonomi bandar raya ini. Bursa Malaysia juga membentuk salah satu kegiatan ekonomi utama di Kuala Lumpur.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kuala Lumpur dianggarkan bernilai RM73,536 juta pada tahun 2008 dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 4.2%.[44][45] KDNK per kapita untuk Kuala Lumpur pada tahun 2008 ialah RM48,556, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 5.9%.[44][46] Jumlah tenaga kerja di Kuala Lumpur dianggarkan sekitar 838,400 orang.[47] Sektor perkhidmatan merangkumi kewangan, insurans, hartanah, khidmat perniagaan, pemborongan dan peruncitan, restoran dan hotel, pengangkutan, simpanan dan komunikasi, utiliti, khidmat peribadi dan khidmat kerajaan, membentuk paling ramai tenaga kerjanya iaitu 83.0% daripada jumlah guna tenaga.[47] 17% yang selebihnya berada dalam sektor perkilangan dan pembinaan.
Sektor perkhidmatan terbesar terbukti pada bilangan syarikat perbankan dan insurans baik tempatan mahupun antarabangsa yang beroperasi di bandar raya ini. Kuala Lumpur juga bakal menjadi pusat kewangan Islam sedunia[48] kerana semakin banyaknya institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam serta kehadiran institusi kewangan dari Timur Tengah seperti Al-Rajhi Bank[49] dan Kuwait Finance House. Bandar raya ini menempatkan banyak cawangan perniagaan syarikat luar negara termasuk pejabat serantau atau pusat sokongan untuk pelbagai syarikat multinasional, terutamanya kewangan dan perakaunan serta teknologi maklumat. Kebanyakan syarikat terbesar di dunia beribu pejabat di sini dan setakat Disember 2007, terdapat 14 buah syarikat dalam senarai Forbes 2000 (kecuali Petronas) yang bertapak di Kuala Lumpur.[50]
Kegiatan ekonomi penting yang lain di bandar ini termasuklah perkhidmatan, pendidikan dan kesihatan. Pelbagai institusi pendidikan utama yang menawarkan kursus-kursus beraneka bidang dalam lingkungan sempadannya, termasuk institusi awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perubatan Antarabangsa dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, serta sebilangan besar kolej swasta seperti Universiti Tun Abdul Razak dan Universiti Tunku Abdul Rahman yang menarik penuntut dari dalam dan luar negara. Terdapat juga pelbagai pusat kepakaran perubatan dan hospital awam dan swasta yang menawarkan perkhidmatan kesihatan am serta rawatan dan pembedahan pakar untuk kemudahan warga tempatan mahupun pelancong dari luar.
Semakin banyak penekanan diberikan untuk meluaskan skop ekonomi bandar raya ini kepada kegiatan perkhidmatan lain seperti penyelidikan dan pembangunan yang menyokong seluruh ekonomi Malaysia. Kuala Lumpur selama bertahun-tahun lamanya menjadi tuan rumah kepada pusat-pusat penyelidikan terpenting seperti Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia dan Institut Penyelidikan Perubatan[51].
Pelancongan

Sektor pelancongan juga memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi Kuala Lumpur, bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah meluaskan peluang perniagaan. Pelbagai rantaian hotel besar dibuka di ibu kota ini. Kuala Lumpur juga berkembang menjadi destinasi beli-belah antarabangsa dengan beraneka pusat beli-belah yang memasarkan jenama tempatan dan antarabangsa yang tersohor. Pelancongan persidangan, terutamanya yang melibatkan penganjuran konvensyen, turut berkembang hingga menjadi komponen penting dalam industri pelancongan.
Antara destinasi pelancongan utama di Kuala Lumpur termasuklah Dataran Merdeka, Parlimen Malaysia, Istana Budaya, Istana Negara, Menara Kuala Lumpur, Muzium Negara, Pusat Dagangan Dunia Putra, Tugu Negara, dan tempat-tempat ibadah seperti Masjid Jamek, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.[52]; ditambah pula dengan Aquaria KLCC, Batu Caves, Makam Pahlawan, Pusat Sains Negara, Jalan Petaling, Pusat Pelawat Royal Selangor, Zoo Negara, juga acara-acara seperti pusat kebudayaan Melayu, perayaan kebudayaan Cina di Tokong Thean Hou dan perarakan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman. Pusat hiburan dan beli belah utama di bandar raya ini kebanyakannya berpusat di Segitiga Emas yang merangkumi Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Bukit Bintang.
Peruncitan
Kuala Lumpur mempunyai sebanyak 66 pusat beli-belah, menjadikannya pusat peruncitan dan fesyen di Malaysia dan Asia Tenggara.[53] Sektor beli-belah di Malaysia menyumbangkan RM 7.7 bilion (USD 2.26 bilion) atau 20.8% daripada sumbangan keseluruhan pelancongan sebanyak RM 31.9 bilion pada tahun 2006.[54]
Suria KLCC ialah salah sebuah destinasi beli-belah utama di Malaysia kerana lokasinya yang terletak di bawah Menara Berkembar Petronas. Selain Suria KLCC, Bukit Bintang juga mempunyai bilangan pusat beli-belah yang tertinggi di Kuala Lumpur. Bukit Bintang yang berada dalam Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, meliputi tiga jalan raya, iaitu Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi and Jalan Sultan Ismail. Bukit Bintang menempatkan pelbagai kafe, kedai makan alfresco (luaran) dan kompleks beli-belah seperti Berjaya Times Square, Plaza Bukit Bintang, Lot 10, Plaza Low Yat, Pavilion KL, Starhill Gallery dan Plaza Sungei Wang. Di Kuala Lumpur juga terletaknya gedung beli-belah tunggal terbesar di Malaysia, iaitu Sogo Kuala Lumpur[55] yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di kawasan Bangsar juga wujud beberapa kompleks beli-belah, termasuklah Bangsar Village, Mid Valley Megamall dan The Gardens.
Selain pusat beli-belah, Kuala Lumpur turut menetapkan beberapa kawasan dalam ibu kota untuk memasarkan barangan keluaran tempatan seperti tekstil, fabrik dan kraftangan. Antaranya termasuklah Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menempatkan busana adat Melayu, Jalan Petaling yang bercirikan binaan pra-kemerdekaan dengan pengaruh Cina Peranakan dan Eropah[56][57] serta Pasar Seni yang memasarkan beraneka hasil seni dan kraftangan seperti antik, seni lukis, pakaian dan cenderamata.
Sejak tahun 2000, Kementerian Pelancongan Malaysia telah mengadakan acara jualan mega tiga kali setahun iaitu sekitar bulan Mac, Mei dan Disember, yang mana semua pusat beli-belah di negara ini digalakkan untuk membantu menaikkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi beli-belah utama.[58]
Demografi
Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1890 | 20,000 | — |
1900 | 30,000 | +50.0% |
1931 | 111,418 | +271.4% |
1957 | 316,537 | +184.1% |
1970 | 451,201 | +42.5% |
1974 | 612,004 | +35.6% |
1980 | 919,610 | +50.3% |
1991 | 1,145,342 | +24.5% |
2000 | 1,305,792 | +14.0% |
2010 | 1,588,750 | +21.7% |
2020 | 1,982,112 | +24.8% |
Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan pada 1974 Sumber: [59][60] |
Kuala Lumpur ialah bandar paling ramai penduduk di Malaysia, dengan populasi seramai 1.982 juta penduduk pada tahun 2020. Kuala Lumpur merupakan wilayah terpadat di Malaysia, dengan kepadatan penduduk seramai 8,157 orang perkilometer persegi.[62] Kuala Lumpur juga merupakan pusat kepada kawasan metropolitan Lembah Klang yang mempunyai jumlah populasi kira-kira 7.25 juta orang.
Penduduk Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik, di mana tiga bangsa terbesar di bandar raya ini ialah Melayu, Cina dan India. Masyarakat Melayu yang tergolong dalam kumpulan Bumiputera merupakan kelompok terbesar di Kuala Lumpur, iaitu sebanyak 42 peratus dari jumlah penduduk. Masyarakat Cina pula membentuk kelompok kedua terbesar dengan peratusan 37 peratus dan diikuti masyarakat India dengan peratusan sebanyak sembilan peratus.[61] Penduduk bandar raya ini juga terdiri daripada bangsa dan etnik lain termasuklah Iban, Kadazan, Eurasia dan masyarakat orang Asli dari seluruh Malaysia.
Terdapat lebih 208 ribu orang atau 10.5 peratus penduduk di Kuala Lumpur merupakan warganegara asing[61], yang kebanyakannya terdiri daripada buruh asing dan pekerja migran daripada negara-negara berdekatan seperti Indonesia, Bangladesh dan Myanmar. Tahap kemajuan ekonomi Kuala Lumpur yang menyumbang kepada lambakan peluang pekerjaan telah menarik ramai pekerja asing. Warganegara asing di Kuala Lumpur juga terdiri daripada golongan ekspatriat dan diplomat, pelajar antarabangsa dan para pekerja profesional.
Kadar pertumbuhan penduduk Kuala Lumpur dicatatkan sebanyak 2.2% pada tahun 2020, menunjukkan tren peningkatan berbanding 2.0% pada tahun 2010 dan 1.5% pada tahun 2000. Kadar kelahiran kasar di Kuala Lumpur pula telah menurun iaitu dari kadar 14.6 pada tahun 2010 kepada 13.1 pada tahun 2020. Hal ini telah menyebabkan penurunan peratusan penduduk berumur kurang 14 tahun iaitu dari 22% pada tahun 2010 kepada 20% pada tahun 2020. Namun, peratusan penduduk dalam umur bekerja (15-64 tahun) telah menunjukkan sedikit peningkatan iaitu dari 73.2% kepada 73.5%. Kuala Lumpur juga merekodkan peratusan penduduk dalam umur bekerja tertinggi di Malaysia.[59]
Bahasa dan agama

Kuala Lumpur adalah satu bandar pluralistik di mana penduduknya terdiri daripada penganut pelbagai agama. Banyak tempat ibadat berbilang agama berada di bandar ini. Islam merupakan agama terbesar di Kuala Lumpur, diamalkan terutamanya dalam kalangan orang Melayu dan masyarakat Islam India serta sebahagian kecil masyarakat Islam Cina. Agama Buddhisme, Konfusianisme dan Taoisme diamalkan terutamanya di kalangan masyarakat Cina. Masyarakat India pula secara tradisinya menganut agama Hindu. Sesetengah orang Cina dan India juga menganut agama Kristian.[63]
Pada tahun 2020, sebanyak 45.3% penduduk Kuala Lumpur menganut agama Islam, manakala 32.3% menganut Buddhisme, diikuti 8.2% penganut Hindu, 6.4% menganut Kristian dan 1.8% menganut agama lain-lain. Sebanyak 6% penduduk tidak beragama atau tidak diketahui status kepercayaannya. Kuala Lumpur juga merupakan salah satu daripada tiga negeri di mana kurang daripada 50% penduduknya menganut Islam, bersama dengan Pulau Pinang dan Sarawak.
Statistik dari Banci 2010 menyatakan bahawa 87.4% penduduk Cina dikenal pasti sebagai penganut agama Buddha, dengan minoriti signifikan dikenal pasti sebagai penganut Kristian (7.9%), agama rakyat Cina (2.7%) dan Islam (0.6%). Majoriti masyarakat India merupakan penganut agama Hindu (81.1%), dengan minoriti signifikan dikenal pasti sebagai penganut Kristian (7.8%), Islam (4.9%) dan Buddha (2.1%). Komuniti bumiputera bukan Melayu kebanyakannya adalah penganut Kristian (44.9%), dengan minoriti signifikan menganut agama Islam (31.2%) dan Buddha (13.5%). Kesemua masyarakat bumiputera Melayu menganut agama Islam, sesuai dengan Perlembagaan yang menyatakan bahawa orang Melayu haruslah menganut agama Islam.[64]
Bahasa Melayu adalah bahasa utama di Kuala Lumpur. Majoriti masyarakat Melayu tempatan menggunakan dialek Selangor, namun orang Melayu dari negeri lain seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu lebih cenderung untuk menggunakan dialek negeri mereka. Penduduk Kuala Lumpur juga secara amnya celik dalam bahasa Inggeris, dengan sebahagian besar mengamalkannya sebagai bahasa utama mereka.[65] Ia mempunyai kehadiran yang kuat, terutamanya dalam perniagaan dan merupakan bahasa wajib yang diajar di sekolah.[66] Kantonis dan Mandarin pula merupakan dialek utama dalam kalangan masyarakat Cina.[67] Hakka juga digunakan secara meluas dalam masyarakat Cina. Walaupun Bahasa Tamil dominan dalam kalangan masyarakat India tempatan, bahasa India lain turut digunakan termasuklah Telugu, Malayalam, Punjabi dan Hindi.[68] Di samping bahasa Melayu, terdapat pelbagai bahasa yang dituturkan oleh orang berketurunan Indonesia, seperti Minangkabau[69] dan Jawa.
Pemandangan bandar
Seni bina

Seni bina Kuala Lumpur merupakan paduan pangaruh kolonial lama, tradisi Asia, inspirasi Melayu Islam, seni bina moden dan pascamoden.[70] Sebagai sebuah bandar yang agak muda berbanding ibu kota lain di Asia Tenggara seperti Bangkok, Jakarta dan Manila, kebanyakan binaan kolonial di Kuala Lumpur dibina sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Binaan-binaan ini menampilkan gaya seni bina Moor, Tudor, Neo-Gothik atau Yunani-Sepanyol.[71] Kebanyakan penggayaannya telah terubah suai bagi memanfaatkan sumber tempatan dan sesuai dengan iklim tempatan yang panas dan lembap sepanjang tahun.
Sebelum Perang Dunia Kedua, di sekitar pusat bandar lama terdapat banyak rumah kedai, kebanyakannya bertingkat dua iaitu kedai di tingkat bawah dan rumah di tingkat atas. Rumah-rumah kedai ini diilhamkan oleh tradisi Cina Peranakan dan Eropah.[56][57] Walaupun sebilangan daripadanya telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan terbaru, namun banyak lagi rumah kedai lama yang masih berdiri di sekitar kawasan Medan Pasar, Jalan Petaling, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Doraisamy, Bukit Bintang dan Tengkat Tong Shin.
Pencapaian kemerdekaan disusuli pembangunan ekonomi pesat dari 1970-an hingga 1990-an, di samping Islam sebagai agama rasmi negara, telah menyaksikan pembinaan bangunan yang lebih dipengaruhi corak tempatan dan Islam di sekitar ibu kota, khususnya seni bina yang diilhamkan dari alat kebudayaan Melayu seperti songkok dan keris, di samping disepadukan motif geometri Islam yang melambangkan pembatasan terhadap peniruan alam melalui lukisan yang sejajar dengan nilai Islam.[72] Contoh-contoh bangunan berseni bina Islam sedemikian ialah Menara Telekom, Menara Maybank dan Kompleks Dayabumi.[73] Sebilangan bangunan pula dibina agar berupa tempat ibadah yang lengkap dengan kubah dan menara masjid, seperti Muzium Kesenian Islam dan Planetarium Negara, biarpun sebenarnya berfungsi sebagai tempat penghayatan sains dan ilmu alam. Menara Berkembar Petronas yang tingginya 452-meter (1,483 ka) direka bina untuk menyerupai motif-motif yang terdapat dalam kesenian Islam.[74]
Pada akhir 1990-an dan awal 2000-an, seni bina akhir moden dan pascamoden mula muncul di bandar ini. Berikutan pembangunan ekonomi, binaan-binaan lama seperti Rumah Bok terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada bangunan baru. Binaan-binaan berangka serba kaca mula dibina di serata ibu kota, khususnya Menara Berkembar Petronas dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.[75]
Taman

Taman Tasik Perdana yang berkeluasan 92 hektar (230 ekar) merupakan taman rekreasi pertama di Kuala Lumpur. Taman ini terletak berhampiran dengan bangunan Parlimen Malaysia dan Carcosa Seri Negara. Taman ini merangkumi taman rama-rama, taman rusa, kebun orkid, kebun bunga raya dan Taman Burung Kuala Lumpur, iaitu taman burung terbesar di Asia Tenggara.[76] Taman-taman lain yang berada di bandar ini termasuklah Taman Arca ASEAN, Taman KLCC, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Metropolitan di Kepong, Taman Tasik Permaisuri, Taman Botani Bukit Kiara, taman ekuestrian dan Taman Lembah Barat berdekatan Taman Tun Dr. Ismail dan Taman Antarabangsa Bukit Jalil.[77]
Terdapat tiga hutan simpanan dalam lingkungan bandar ini, iaitu Hutan Simpan Bukit Nanas di pusat bandar, iaitu hutan simpan paling lama diwartakan dalam negara dengan keluasan 10.52 he atau 26.0 ekar*, Hutan Simpan Bukit Sungai Putih (7.41 he atau 18.3 ekar*) dan Hutan Simpan Bukit Sungai Besi (42.11 he atau 104.1 ekar*). Bukit Nanas yang terletak di tengah pusat bandar raya ini merupakan salah sebuah hutan dara yang tertua dalam lingkungan bandar raya di dunia.[78] Hutan-hutan ini merupakan habitat untuk sebilangan spesies fauna termasuk monyet, tupai dan burung.
Pengangkutan

Tidak seperti kebanyakan bandar raya utama di Asia, berkenderaan sendiri merupakan kaedah pengangkutan utama di Kuala Lumpur.[79] Sebagai ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur menikmati rangkaian jalan raya menyeluruh yang menghubungkannya ke destinasi lain di Semenanjung Malaysia.[80] Kuala Lumpur juga dilengkapi jaringan lebuh raya ekspres bertol, dan pengguna lebuh raya mempunyai pilihan sama ada membayar tol dengan wang tunai ataupun melalui sistem pembayaran elektronik prabayar seperti SmartTAG dan Touch 'n Go.
Dari segi pengangkutan udara, Kuala Lumpur dihubungkan melalui dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan lapangan terbang utama serta Lapangan Terbang Subang yang pernah menjadi lapangan terbang utama Kuala Lumpur sebelum KLIA dibuka pada tahun 1998.
Pengangkutan awam di Kuala Lumpur terdiri daripada perkhidmatan bas, teksi dan kereta api. Sistem aliran laju di Kuala Lumpur terdiri daripada Laluan Kajang, Laluan Putrajaya, Laluan Ampang dan Sri Petaling, Laluan Kelana Jaya, KL Monorail dan KTM Komuter, di mana KL Sentral menjadi hab utama pengangkutan rel. Selain sebagai hab pengangkutan aliran pantas, KL Sentral juga menjadi hab utama bagi sistem pengangkutan kereta api kendalian KTM Antarabandar yang berkhidmat dari Singapura di selatan, hingga ke Hat Yai, Thailand, di utara.[81]

Pengendali pengangkutan awam yang terbesar di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ialah RapidKL.[82] Semenjak mengambil alih tugas Intrakota Komposit Sdn Bhd, RapidKL telah menyusun semula seluruh rangkaian bas di Kuala Lumpur dan kawasan metropolitan Lembah Klang[83] demi mempertingkatkan mutu sistem pengangkutan awam Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur, kebanyakan teksi berwarna merah dan putih. Syarikat-syarikat teksi yang besar seperti Syarikat Teksi Oren Innovasi Timur diberi kelulusan dari kerajaan untuk berwarna selain yang ditetapkan. Kuala Lumpur merupakan salah satu kota ASEAN di mana kebanyakan teksi mengunakan bahan bakar kenderaan gas asli (NGV). Sejak 2010-an, Kuala Lumpur turut dilengkapi dengan perkhidmatan e-hailing seperti Grab yang mana pelanggan boleh menghubungi pemandu kereta persendirian melalui aplikasi untuk membawa mereka ke destinasi yang dituju.
Selain pengangkutan darat dan udara, Kuala Lumpur juga dihubungkan ke laluan perkapalan antarabangsa melalui Pelabuhan Klang. Pelabuhan Klang adalah pelabuhan terbesar dan paling sibuk di Malaysia.[84]
Kebudayaan
Kesenian
Kuala Lumpur ialah sebuah pusat kegiatan dan acara kebudayaan di Malaysia. Antara tempat-tempat kebudayaan terpenting di ibu kota ialah Muzium Negara yang terletak di Lebuhraya Mahameru, menyimpan koleksi artifak dan lukisan yang terkumpul dari seluruh negara.[85]
Di Kuala Lumpur juga terletaknya Muzium Kesenian Islam berhampiran Masjid Negara di Jalan Lembah Perdana, yang menempatkan lebih tujuh ribu buah artifak Islam termasuk bahan pameran yang jarang ditemui di samping sebuah perpustakaan buku-buku kesenian Islam.[86] Koleksi muzium ini tidak terhad kepada hasil karya kesenian Timur Tengah, bahkan juga menekankan pusaka kesenian dari Asia, terutama China dan Asia Tenggara. Muzium ini menampilkan kubah yang berhiasan menawan dan ruang pameran terbuka yang lebar sekali.
Dewan Filharmonik Petronas merupakan tempat acara seni persembahan terulung di Malaysia yang didiami oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang terdiri daripada ramai pemuzik dari seluruh pelusuk dunia yang mempersembahkan konsert dan persembahan kebudayaan tradisional.[87]

Balai Seni Lukis Negara terletak di Jalan Temerloh, berhampiran Jalan Tun Razak, di sebidang tanah seluas 5.67-hektar (14.0-ekar) yang berjiran dengan Istana Budaya dan Perpustakaan Negara. Seni bina balai ini menerapkan unsur-unsur seni bina Melayu lama yang disebatikan dengan seni bina moden kontemporari. Balai Seni Lukis Negara berfungsi sebagai pusat kecemerlangan dan amanah warisan seni kebangsaan.
Sebuah lagi pusat seni halus, iaitu Galeri Petronas, terletak dalam pusat beli-belah Suria KLCC, menempatkan hasil karya seni yang berubah-ubah mengikut tema semasa. Galeri Tangsi berdekatan Dataran Merdeka pula menempatkan karya seniman tempatan dan antarabangsa.
Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) di Sentul West ialah salah sebuah pusat seni persembahan tersohor di negara, khususnya untuk teater, muzik dan tayangan filem. Di samping menjadi pusat penerbitan seni tempatan, KLPac turut mendukung artis-artis persembahan bebas tempatan dan serantau.[88]
Persembahan harian tarian dan muzik tradisional ada terdapat di Menara Kuala Lumpur. Persembahan ini dijalankan oleh artis-artis 'Menara Kuala Lumpur Performing Art Groups'
Setiap tahun juga, Kuala Lumpur mengadakan pesta masakan Malaysia International Gourmet Festival[89] dan Kuala Lumpur Fashion Week[90] yang menyaksikan hasil fesyen oleh pereka busana tempatan dan antarabangsa.
Syarikat pengeluar barangan piuter Royal Selangor di Setapak menempatkan sebuah Pusat Pelawat yang membolehkan rombongan diadakan di sekitar pameran, galeri dan kilangnya, terutamanya bengkel latihan pembuatan hasil piuter, "The School of Hard Knocks," yang mana pesertanya diajar menghasilkan pinggan piuter sendiri dengan menggunakan perkakas dan kaedah tradisional.
Sukan dan rekreasi
Kuala Lumpur juga mempunyai berbilang-bilang taman, kebun dan ruang terbuka untuk tujuan rekreasi. Jumlah ruang terbuka untuk kegunaan kemudahan rekreasi dan sukan di ibu kota telah meningkat sebanyak 169.6% dari 586 hektar (1,450 ekar) pada tahun 1984, kepada 1,580 hektar (3,900 ekar) pada tahun 2000.[91]
Kuala Lumpur ialah salah sebuah tuan rumah Kejohanan Dunia Formula Satu tahunan,[16] perlumbaan kereta beroda terbuka Grand Prix A1[92] dan Grand Prix Motosikal[93] yang berlumba di Litar Antarabangsa Sepang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Acara Formula Satu banyak menyumbang kepada bilangan pelancong dan pendapatan pelancongan di Kuala Lumpur. Walaupun mengalami Krisis Kewangan Asia yang menyaksikan penurunan kedatangan pelancongan di bandar-bandar utama yang lain di Asia, namun kedatangan pelancong ke Kuala Lumpur meningkat sebanyak 64.6% dari 6,210,900 pada tahun 1997 kepada 10,221,600 pada tahun 2000.[94]
KL Grand Prix CSI 5*,[95] ialah sebuah acara sukan berkuda tahunan antarabangsa bertaraf lima bintang yang menarik penunggang-penunggang dan kuda-kuda lumba terhandal di dunia ke Malaysia.
Antara acara-acara sukan tahunan lain yang diadakan di bandar ini termasuk KL Tower Run, KL Tower International BASE Jump Merdeka Circuit dan Maraton Antarabangsa Kuala Lumpur. Kuala Lumpur juga merumahkan salah satu peringkat dalam lumba basikal Tour de Langkawi.[96]
Pertandingan badminton Super Series Terbuka Malaysia tahunan juga sering diadakan, tetapi bukan sentiasa, di Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur turut menyediakan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa semenjak menganjurkan Sukan Komanwel 1998. Kebanyakan kemudahannya termasuk stadium utama (dengan balapan dan padang bola sepak), stadium hoki dan kolam renang terletak di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, sementara sebuah velodrom dan beberapa lagi kolam renang terletak di Bandar Tun Razak, berhampiran Taman Tasik Permaisuri. Juga terdapat padang bola sepak, kompleks sukan setempat, kolam renang dan gelanggang tenis di sekitar pinggir bandar. Gelanggang badminton dan sepak takraw biasanya diterapkan dalam dewan orang ramai.
Kuala Lumpur mempunyai sebilangan padang golf dalam lingkungan sempadannya, termasuk Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) dan Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia di Bukit Kiara, dan Berjaya Golf Course di Bukit Jalil. KL juga menyediakan berbilang-bilang pusat kesihatan swasta besar yang dikendali oleh rangkaian terkemuka seperti California Fitness, Fitness First, Celebrity Gym, True Fitness dan hotel lima bintang utama.
Media
Kawasan metropolitan Kuala Lumpur merupakan pangkalan utama penerbitan akhbar dan tabloid utama di negara seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo!, Harakah, Suara Keadilan (bahasa Malaysia); The Star, New Straits Times, The Sun, The Malay Mail (bahasa Inggeris); Sin Chew Jit Poh, China Press, Nanyang Siang Pau (bahasa Cina); Tamil Nesan, Makkal Osai dan Malaysia Nanban (bahasa Tamil). Kuala Lumpur juga dijadikan tapak terdirinya pusat penyiaran RTM dan Media Prima (penyiar TV3, ntv7, 8TV dan TV9) yang menyiarkan rancangan berbabasa Malaysia, Inggeris, Cina Tamil, lain-lain.

Kuala Lumpur juga merupakan tempat bertapaknya khidmat televisyen berbayar utama negara, iaitu Astro yang menyiarkan beraneka saluran tempatan dan antarabangsa seperti CNN, BBC World, Star World dan HBO.[97] Rangkaian berita berbahasa Arab terkemuka iaitu Al-Jazeera yang bertapak di Doha, mengendali sebuah saluran berita berbahasa Inggeris iaitu Al-Jazeera English untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh dunia, dengan salah sebuah pusat penyiaran beritanya di Kuala Lumpur.[98] Saluran muzik Channel [V] International turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat unit penerbitan dengan melantik syarikat tempatan Double Vision Sdn Bhd.[99] Pada bulan Mac 2008, Time Out, majalah acara antarabangsa, dilancarkan di Kuala Lumpur selaku bandar sejagat yang ke-24.
Kuala Lumpur turut dipaparkan dalam segala bentuk budaya popular seperti filem, televisyen, muzik dan buku. Antara filem-filem yang berlatarkan Kuala Lumpur termasuk Entrapment, dibintangi Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones, dan Children of Men, (dibintangi Clive Owen) yang memaparkan adegan Menara Berkembar Petronas terbakar selama beberapa saat.[100] Buku-buku yang berlatarkan Kuala Lumpur termasuk KL 24/7 oleh Ida M Rahim, Shireen Zainudin dan Rizal Zainudin,[101] My Life As a Fake oleh Peter Carey, dan Democracy oleh Joan Didion.[102] Kuala Lumpur juga disebut dalam lagu dendangan tempatan seperti "Keroncong Kuala Lumpur" oleh P. Ramlee,[103] "Kuala Lumpur, Ibu Kota" oleh Saloma, "Chow Kit Road" oleh Sudirman Arshad, "Senyumlah Kuala Lumpur" oleh Alleycats, "Streets of Kuala Lumpur" oleh Murkyway, "K.L." oleh Vandal, "Kuala Lumpur" oleh Poetic Ammo, "Anak Dara" oleh Azmyl Yunor dan "KL" oleh Too Phat. Kuala Lumpur juga merupakan destinasi yang dilalui oleh rancangan realiti The Amazing Race Asia dan The Amazing Race.[104] Ibu negara Malaysia ini juga kelihatan dalam permainan video, termasuk tiga peringkat dalam Hitman 2: Silent Assassin dan dua peringkat dalam Burnout.
Pendidikan

Menurut perangkaan kerajaan, Kuala Lumpur mencapai kadar celik huruf sebanyak 97.5% pada tahun 2000, iaitu yang tertinggi dalam kalangan semua negeri dan wilayah di Malaysia.[105]
Di Kuala Lumpur sahaja, terdapat 13 insititusi pendidikan tinggi, 79 sekolah menengah, 155 sekolah rendah dan 136 tadika.[106]
Terdapat beberapa buah institusi terkemuka di ibu kota yang sudah wujud sejak seabad lebih, seperti SMK Victoria (1893); Methodist Girls' School (1896); Methodist Boys' School (1897); Convent Bukit Nanas (1899) dan Institusi St. John (1904) dan SMK Convent Jalan Peel (1943).
Di Kuala Lumpur juga bertempatnya Universiti Malaya selaku universiti tertua di Malaysia semenjak kemerdekaan negara, yang ditubuhkan pada tahun 1949.[107] Antara universiti-universiti lain yang terletak di Kuala Lumpur termasuk Universiti UCSI, Universiti Perubatan Antarabangsa, Universiti Terbuka Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Terbuka Wawasan dan kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia terletak di Pangkalan Tentera Sungai Besi, di bahagian selatan Kuala Lumpur, ditubuhkan sebagai pusat pengajian ketenteraan dan teknologi pertahanan utama di negara.[108]
Empat Sekolah Tinggi Persendirian Cina[109] juga terdapat di bandar Kuala Lumpur, iaitu Sekolah Menengah Tsun Jin, Sekolah Menengah Confucian (Persendirian), Sekolah Menengah Kuen Cheng dan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuala Lumpur.
Bandar raya kembar
Kuala Lumpur telah menjalin hubungan persaudaraan rasmi dan perkongsian diplomatik dengan beberapa bandaraya di seluruh dunia.
Penduduk terkenal
Galeri
- Menara Berkembar Petronas
- Menara KL di Bukit Nanas
- Muzium Negara
- Bangunan Sultan Abdul Samad ketika waktu malam
- Pemandangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman
- Tiang bendera di Dataran Merdeka
- Stesen KL Monorel Bukit Nanas
Lihat juga
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.