pulau di Indonesia From Wikipedia, the free encyclopedia
Sumatera (Indonesia: Sumatra ; bahasa Inggeris: Sumatra ; tulisan Jawi: سوماترا)[lower-alpha 1] ialah sebuah pulau yang terletak di sebelah barat Indonesia, iaitu bahagian paling barat dari Kepulauan Sunda. Ia adalah pulau terbesar yang seluruhnya berada di wilayah Indonesia (pulau yang lebih besar, Borneo, dikongsi bersama antara Indonesia dan negara-negara lain), dan merupakan pulau keenam terbesar di dunia, dengan keluasan 473,480 km2. Penduduk pulau ini sebanyak 59,977,438 juta orang (2022). Bandar terbesar ialah Medan dengan jumlah penduduk 3,418,645 orang.
Geography | |
---|---|
Location | Asia Tenggara |
Coordinates | |
Archipelago | Kepulauan Sunda Besar |
Highest point | Kerinci |
Administration | |
Indonesia | |
Aceh, Bengkulu, Jambi, Kepulauan Bangka Belitung, Kepulauan Riau, Lampung, Riau, Sumatera Barat, Sumatera Selatan, Sumatera Utara | |
Largest settlement | Medan (pop. 3,418,645 (2009)) |
Demographics | |
Population | 59,977,438 juta (2022) |
Ethnic groups | Aceh, Batak, Nias, Minangkabau, Melayu, Rawa, Mandailing |
Peneroka koloni diperkirakan tiba di Sumatera pada 500 SM dan beberapa kerajaan besar berkembang di sana. I-Tsing, seorang sami China Buddha, pernah belajar bahasa Sanskrit dan menghabiskan empat tahun dalam hidupnya di Palembang. Penjelajah Itali Marco Polo juga melawat Sumatera dalam tahun 1292. Sumatera mempunyai spesies tumbuhan dan haiwan dalam julat yang besar, tetapi telah kehilangan 48% hutan hujan tropikanya dalam tempoh 35 tahun terakhir serta banyak spesies telah terancam genting, seperti Harimau Sumatera, Badak Sumatera, dan Orang utan Sumatera.
Sumatera dikenali pada zaman kuno dengan nama Sanskrit Swarnadwipa ("Pulau Emas") dan Swarnabhumi ("Tanah Emas"), kemungkinan kerana deposit emas pada dataran tinggi pulau ini.[2] Kata Sumatera pertama kali disebutkan dalam gelar seorang raja Srivijaya Haji Sumatrabhumi ("Raja dari tanah Sumatera"),[3] yang menghantar utusan ke China pada tahun 1017.
Pendapat lain menyatakan bahawa nama Sumatera menjadi popular di akhir abad ke-14 untuk menyebut kepada kerajaan Samudera Pasai, yang kemudian digantikan oleh Kesultanan Aceh. Sultan Aceh Alauddin Shah, dalam surat yang ditujukan kepada Ratu Elizabeth I dari England pada tahun 1602, menyebut dirinya sebagai "Raja Aceh dan Samudera".[4] Kata Samudra (समुद्र) berasal dari bahasa Sanskrit, yang terdiri dari akar kata saṃ- iaitu "bersama" dan -udra iaitu "air", yang bermaksud "lautan";[5] bahkan ia turut diserapkan ke dalam bahasa Melayu sebagai samudera.[6]
Petualang Maghribi Ibnu Battuta yang melawat pulau ini pada tahun 1345, mengucapkan kata Samudera sebagai Samatrah, yang kemudian menjadi Sumatera atau Sumatra. Nama-nama ini selanjutnya dinyatakan di dalam peta yang dibuat orang Portugis sejak abad ke-16 untuk merujuk kepada pulau ini, sehingga dikenal secara luas sampai sekarang.[7]
Orang yang bercakap bahasa Austronesia mula tiba di Sumatera dari utara Lautan Hindi di pesisir tenggara India sekitar 500 SM, sebagai sebahagian daripada perluasan migrasi Austronesia dari Taiwan ke Asia Tenggara. Dengan kedudukannya dalam laluan perdagangan laut India-China, beberapa bandar-bandar perdagangan berkembang terutamanya di pantai timur Sumatera dan dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha. Salah satu kerajaan yang paling awal diketahui ialah Kantoli, yang berkembang di abad ke-5 Masihi di selatan Sumatera. Kantoli digantikan oleh Kerajaan Srivijaya dan kemudian oleh Kerajaan Samudra.
Srivijaya merupakan monarki Buddha, berpusat di apa yang kini adalah bandar Palembang. Empayar ini menguasai kepulauan Melayu menerusi perdagangan dan penaklukan dari abad ke-7 hingga ke-9, serta membantu menyebarkan kebudayaan Melayu ke seluruh Sumatera, Semenanjung Melayu, dan bahagian barat Borneo. Empayar Srivijaya merupakan suatu kuasa maritim (thalassocracy) yang memperluaskan pengaruhnya dari pulau ke pulau. Palembang pada masa itu merupakan pusat pembelajaran yang termasyhur, dan ia merupakan tempat sami China Buddha I-Tsing belajar bahasa Sanskrit sebelum berlepas ke India dalam 671 Masihi. Dalam perjalanan kembalinya ke China, beliau juga menghabiskan masa selama empat tahun di Palembang untuk menterjemahkan teks agama Buddha dan menulis dua manuskrip.
Pengaruh Srivijaya berkurangan dalam abad ke-11 selepas ia ditewaskan oleh serangan empayar Chola yang ketika itu memerintah di India Selatan. Sumatera seterusnya tertakluk kepada penaklukan dari kerajaan-kerajaan di Jawa, iaitu pertama oleh Singhasari dan kemudian oleh Majapahit. Pada masa yang sama Islam masuk ke Sumatera di abad ke-6 dan ke-7 Masihi melalui saudagar Arab dan India.[8] Menjelang akhir abad ke-13, raja-raja kerajaan Samudra telah memeluk agama Islam. Ini disaksikan oleh Marco Polo yang melawat pulau ini di tahun 1292 dan oleh Ibnu Battuta yang melawat dua kali sepanjang 1345-1346. Kerajaan Samudera digantikan oleh Kesultanan Aceh yang kuat, yang kekal hingga abad ke-20.
Kedatangan Belanda telah membuat banyak negeri-negeri di pulau Sumatera secara beransur-ansur jatuh di bawah kawalan mereka, namun Kesultanan Aceh di utara pulau merupakan halangan utama, yang menyebabkan Belanda terlibat dalam Perang Aceh (1873-1903) yang lama dan mahal. Kebanyakan Sumatera jatuh di bawah kawalan kerajaan Hindia Timur Belanda, dan menjadi pengeluar utama lada, getah, dan minyak. Pada awal dan pertangahan abad ke-20, ahli akademik dan pemimpin Sumatera termasuk pada tokoh-tokoh penting dalam pergerakan kemerdekaan Indonesia.
Pembahagian pentadbiran Sumatera (termasuk pulau-pulau berhampirannya) adalah:
Paksi terpanjang pulau Sumatera mencapai lebih kurang 1,790 km (1.110 batu), membentang dari arah barat laut menuju ke arah tenggara dan melintasi khatulistiwa dekat bahagian tengah pulau. Pulau ini membentang 435 km (270 batu) pada bahagian terlebarnya. Dua kawasan geografi mendominasi bahagian dalam pulau ini, iaitu Banjaran Bukit Barisan di sebelah barat dan dataran berawa di sebelah timur.
Pulau ini bersempadan di sebelah tenggara dengan Jawa, dipisahkan oleh Selat Sunda. Di sebelah utara ia bersempadan dengan Semenanjung Tanah Melayu, dipisahkan oleh Selat Melaka, sedangkan ke arah timur berhadapan dengan Kalimantan, melintasi Selat Karimata. Pada bahagian barat pulau ini terbentang Lautan Hindi.
Banjaran Bukit Barisan menyebar dari hujung ke hujung pulau, dengan titik tertinggi setinggi 3,805 meter (12,467 kaki) berada pada Gunung Kerinci, iaitu sebuah gunung berapi aktif yang terletak sekitar titik tengah banjaran. Aktiviti pergunungan berapi ini menganugerahkan kawasan tanah subur dan pemandangan yang indah, misalnya di sekitar Danau Toba. Hal ini juga mengandungi mendapan arang batu dan emas. Pulau Sumatera berada pada Lingkaran api Pasifik yang juga merupakan alasan mengapa pulau ini telah mengalami beberapa gempa paling kuat yang pernah tercatat, contohnya gempa bumi Sumatera pada bulan September 2007.
Sungai-sungai besar membawa lumpur dari pergunungan ke arah timur pulau ini, membentuk dataran rendah yang luas diselingi oleh paya. Bahkan jika kebanyakan dataran tidak sesuai untuk pertanian, kawasan ini saat ini telah menjadi kepentingan ekonomi yang besar bagi Indonesia. Dataran ini menghasilkan minyak baik dari permukaan tanah maupun dari bawahnya, iaitu minyak sawit dan minyak bumi.
Sebahagian besar Sumatera dahulu ditutupi oleh hutan hujan tropika, tetapi pembangunan ekonomi dan pembalakan liar telah sangat mengancam keberadaannya. Daerah-daerah konservasi yang ada walau bagaimanapun telah terpengaruh juga.
Kawasan bandar terbesar di Sumatera, dengan jumlah penduduk berdasarkan perhitungan 2009 yang disusun oleh The World Gazetteer, adalah:[11]
Peringkat | Bandar, provinsi | Populasi |
---|---|---|
1 | Medan, Sumatera Utara | 1,770,000 |
2 | Palembang, Sumatera Selatan | 1,277,000 |
3 | Padang, Sumatera Barat | 986,000 |
4 | Bandar Lampung, Lampung | 940,000 |
5 | Pekanbaru, Riau | 796,000 |
6 | Jambi, Jambi | 457,000 |
7 | Bengkulu, Bengkulu | 386,000 |
8 | Banda Aceh, Aceh | 295,000 |
9 | Pematang Siantar, Sumatera Utara | 205,000 |
10 | Lubuklinggau, Sumatera Selatan | 201,000 |
Sumatera menyokong pelbagai jenis vegetasi serta merupakan rumah bagi pelbagai spesies, termasuk diantaranya ialah 17 marga tanaman endemik.[12] Pulau ini adalah rumah bagi 201 spesies mamalia dan 580 jenis burung. Ada 9 jenis mamalia endemik di daratan Sumatera, dan ada 14 jenis endemik lainnya di Kepulauan Mentawai yang letaknya tidak berapa jauh.[12] Pulau Sumatera telah kehilangan 48% dari hutan primernya sejak tahun 1985, dan banyak spesies yang tersisa terancam punah. Pada bulan Oktober 2008, pemerintah Indonesia mengumumkan rancangan untuk melindungi hutan Sumatera yang masih tersisa.[13]
Pada tahun 2010, Sumatera diduduki lebih dari 50 juta orang atau kira-kira 105 orang/km². Hal tersebut meletakkan Sumatera sebagai pulau yang keempat[14] paling padat penduduknya di dunia. Majoriti masyarakat di Sumatera adalah Muslim (87%), sedangkan 10% beragama Kristian, 2% adalah Buddha dan 1% Hindu.[15]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.