Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Banjaran Titiwangsa (Jawi: بنجرن تيتيوڠسا), juga dikenali sebagai Banjaran Besar oleh penduduk tempatan, merupakan sebuah banjaran yang menganjur dari wilayah-wilayah Songkhla, Yala dan Narathiwat di selatan Thailand hingga ke Tampin di Negeri Sembilan, Semenanjung Malaysia. Bahagian banjaran di utara yang berdekatan dengan Thailand Selatan dikenali sebagai Banjaran Sankalakhiri (Bahasa Thai: ทิวเขาสันกาลาคีรี Thiwkhao Sankalakhiri Sebutan bahasa Thai: [tʰīw kʰǎw sǎn.kāːlāːkʰīːrīː] "Pergunungan Sang Kala" atau "Pergunungan Segara"[1]).
Banjaran Titiwangsa | |
---|---|
Titik tertinggi | |
Puncak | Gunung Korbu |
Ketinggian | 2,183 m (7,162 ka) |
Dimensi | |
Panjang | 480 km (300 bt) NW/SE |
Lebar | 120 km (75 bt) NE/SW |
Geografi | |
Negara | Thailand dan Malaysia |
Negeri/Wilayah | |
Induk banjaran | Perbukitan Tanah Seri |
Bersempadan dengan | Banjaran Bintang dan Banjaran Tahan |
Panjang banjaran ini kira-kira 480 km manakala tingginya 700 meter hingga 2,100 meter dari aras laut, dengan Gunung Korbu di Perak sebagai kemuncak tertinggi.
Banjaran Titiwangsa adalah sebahagian daripada sistem Perbukitan Tanah Seri yang meliputi selatan Myanmar, selatan Thailand dan Semenanjung Malaysia. Banjaran ini bertindak sebagai tulang belakang Semenanjung Malaysia yang memisahkan pantai barat dengan pantai timur Semenanjung, selain menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di semenanjung Malaysia. Pola saliran atau cara cawangan-cawangan sungai dicantumkan dengan sungai utama ialah pola saliran reranting.
Banjaran gunung yang terpanjang di Malaysia ini menganjur dari selatan Thailand ke Negeri Sembilan, di mana Tampin merupakan titik penghujung keseluruhan jajaran utama banjaran itu secara geografi.[2][3] Singkapan batuan granit Titiwangsa berupa gugusan-gugusan inselberg (gunung atau bukit yang terpencil dari banjaran utama) seterusnya menganjur ke selatan hingga ke Pulau Besar, Melaka di perairan Selat Melaka.[4]
Gunung Korbu di Perak merupakan gunung tertinggi di Banjaran Titiwangsa. Di sebelah utara pula, Gunung Ulu Titi Basah yang terletak di sempadan Malaysia - Thailand merupakan kemuncak tertinggi, dan Gunung Besar Hantu yang terletak di sempadan Negeri Sembilan - Pahang merupakan kemuncak tertinggi di bahagian selatan banjaran ini. Kemuncak-kemuncak penting yang lain adalah Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Yong Yap dan Gunung Chamah di sempadan Perak - Kelantan, Gunung Semangkok, Gunung Ulu Kali dan Gunung Nuang di sempadan Selangor - Pahang. Sementara Perak dan Selangor dipisahkan dari Kelantan dan Pahang sepanjang Banjaran Titiwangsa, banjaran itu membahagikan Negeri Sembilan menjadi dua kawasan, iaitu Negeri Sembilan Barat yang merangkumi daerah-daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau, dan Negeri Sembilan Timur yang terdiri daripada daerah-daerah Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.[5]
Pelancongan dan pertanian merupakan dua sektor ekonomi yang lazim giat dijalankan di sekitar banjaran ini, dengan tertubuhnya tiga buah pusat peranginan tanah tinggi utama iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser. Di sini juga dijalankan penanaman tanaman hawa sederhana seperti teh, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.