Remove ads
Sasterawan dan Pahlawan Nasional Indonesia From Wikipedia, the free encyclopedia
Tengku Amir Hamzah (Tulisan Jawi: تڠكو أمير حمزه ڤڠيرن ايندرا ڤوترا; 28 Februari 1911 – 20 Mac 1946)[nota 1], lebih dikenali sebagai Amir Hamzah, ialah seorang pemuisi dan juga seorang Pahlawan Kebangsaan Indonesia. Beliau dilahirkan di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Timur. Anak kelahiran sebuah keluarga bangsawan Kesultanan Langkat di Sumatera Utara, beliau mendapat pendidikan di Sumatera dan Pulau Jawa. Amir terlibat dengan pergerakan nasionalis Indonesia semasa beliau belajar di sekolah menengah atas di Surakarta sekitar tahun 1930-an. Beliau jatuh cinta dengan rakan sekolah berbangsa Jawa, Ilik Sundari. Kedua-dua rakan ini kekal rapat mahupun selepas Amir menamatkan pendidikannya di sekolah perundangan di Betawi (sekarang Jakarta). Mereka hanya berpisah dalam tahun 1937 apabila Amir dipanggil pulang ke Sumatera untuk mengahwini puteri Sultan dan menggalas tugas dan tanggungjawab di istana – Amir tetap menjalankan tugasnya mahupun tidak berasa gembira dengan perkahwinannya. Beliau bertugas sebagai wakil pemerintah di Langkat selepas pengisytiharan kemerdekaan Indonesia dalam tahun 1945. Beliau terbunuh dalam tahun berikutnya semasa sebuah revolusi sosial yang diketuai Partai Komunis Indonesia dan disemadikan di dalam kubur ramai.
Amir Hamzah تڠكو أمير حمزه ڤڠيرن ايندرا ڤوترا Pangeran Indera Poetera | |
---|---|
Lahir | Tengku Amir Hamzah 28 Februari 1911 Tanjung Pura, Langkat, Hindia Timur Belanda |
Meninggal dunia | 20 Mac 1946 35) | (umur
Tempat pengebumian | Masjid Azizi, Tanjung Pura, Langkat, Indonesia |
Pekerjaan | Penyair |
Bahasa | Melayu |
Warganegara | Indonesia |
Genre | Puisi |
Subjek | Cinta, agama |
Karya terkenal | |
Pasangan | Tengku Puteri Kamiliah |
Anak | Tengku Tahura |
Amir mula menulis puisi pada usia belasan tahun: mahupun karya-karyanya tidak bertarikh, dipercayai karyanya yang paling awal ditulis semasa beliau mula-mula berkunjung ke pulau Jawa. Dengan berbekalkan pengaruh kebudayaan Melayu dan Islamnya, dan juga pengaruh Kristian dan kesusasteraan Timur, Amir menghasilkan 50 buah puisi, 18 buah prosa lirik, dan pelbagai karya lain, termasuk beberapa buah terjemahan. Dalam tahun 1932, beliau menjadi pengasas bersama majalah sastera Poedjangga Baroe. Beliau berhenti berkarya selepas pulang ke Sumatera. Kebanyakan puisinya diterbitkan dalam dua himpunan, Nyanyi Sunyi (1937) dan Buah Rindu (1941), mula-mula dalam majalah Poedjangga Baroe dan kemudiannya sebagai buku berasingan.
Puisi-puisi yang dikaryakan Amir berkaitan dengan tema-tema kasih dan agama, dan puisinya sering membayangkan konflik dalaman yang amat sangat. Diksinya, dengan penggunaan perkataan bahasa-bahasa Melayu dan Jawa di samping pengembangan struktur-struktur tradisional, dipengaruhi keperluan untuk memuatkan irama dan matra, dan juga simbolisme yang terkait dengan perkataan-perkataan tertentu. Karya-karya awalnya berkaitan dengan perasaan rindu dan juga cinta unggul dan erotik, sementara karya terkemudian memiliki maksud agama yang lebih mendalam. Antara dua himpunan karyanya, Nyanyi Sunyi dianggap sebagai lebih terbina. Amir diberi gelaran "Raja Pemuisi era Poedjangga Baroe" dan beliau satu-satunya pemuisi Indonesia bertaraf antarabangsa sebelum Revolusi Kemerdekaan Indonesia.[1]
Amir dilahirkan sebagai Tengkoe Amir Hamzah Pangeran Indra Poetera di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara, anak bongsu Naib Sultan Tengku Muhammad Adil dan isteri ketiganya, Tengku Mahjiwa. Amir bersaudara dengan Sultan Mahmud, Langkat, melalui bapanya. Sumber-sumber tidak sepakat tentang tarikh lahirnya dan tarikh yang diiktiraf rasmi oleh pemerintah Indonesia ialah 28 Februari 1911, tarikh yang digunakan Amir sepanjang hayatnya. Amir kemudian mengambil nama datuknya, Tengku Hamzah, sebagai nama kedua; justeru beliau dikenali sebagai Amir Hamzah. Dan walaupun beliau kelahiran kelas bangsawan, Amir sering bergaul dengan orang biasa.[2]
Diketahui bahawa Amir menerima pendidikan dalam bidang agama Islam seperti mengaji al-Quran, fikah, dan tawhid, dan belajar di Masjid Azizi Tanjung Pura semenjak usia kecil lagi.[3] Amir seorang yang warak sepanjang hayatnya. Sumber-sumber juga tidak sepakat tentang waktu beliau menamatkan pendidikan formal. Beberapa sumber, termasuk Pusat Bahasa Republik Indonesia, menyatakan bahawa beliau memulakan persekolahan dalam tahun 1916,[4] sementara penulis biografi, M. Lah Husny, pula berkata pemuisi ini memulakan persekolahannya dalam tahun 1918.[5] Amir mula menulis di sekolah pertamanya, sekolah rendah berbahasa Belanda[6] dan menerima markah tinggi;[7]. Nh. Dini ("Dini") menulis dalam biografinya yang Amir digelar "abang" oleh rakan yang sedarjah dengannya kerana beliau lebih tinggi daripada mereka.[3]
Amir lulus daripada sekolah di Langkat dalam tahun 1924[8] atau 1925,[9] dan berpindah ke Medan untuk menghadiri sekolah Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO; sekolah menengah) di sana.[10] Selepas menamatkan pendidikannya dua tahun kemudian, beliau bertunang dengan sepupu sebelah ibunya, Aja (atau Aje) Bun.[11] Husny menulis bahawa perkahwinan itu diatur oleh ibu bapa masing-masing,[12] sementara Dini pula mengatakan perhubungan itu lebih mirip perjanjian yang masing-masing akan saling setia.[13] Oleh sebab beliau telah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di Jawa, Amir berpindah ke ibu negeri kolonial di Betawi (sekarang Jakarta) untuk tujuan tersebut.[12]
Pelayaran Amir ke pulau Jawa, yang beliau lakukan seorang diri dengan kapal Plancus, mengambil masa tiga hari.[14][15]. Sebaik sahaja tiba di Betawi, beliau memasuki MULO Kristian di sana dan menamatkan pengajian tahun terakhir sekolah menengah rendah.[12] Anthony H. Johns daripada Universiti Nasional Australia (Australian National University) menulis bahawa Amir mempelajari beberapa konsep dan nilai Kristian.[16] Juga, semasa di Betawi, Amir melibatkan diri dengan organisasi sosial bergelar Jong Sumatera.[17] Orang muda ini mula menulis puisi-puisi pertamanya pada waktu ini. Husny mempercayai bahawa beberapa buah puisi diilhamkan perasaan dukacita yang dirasai Amir selepas beliau mendapat berita yang Aja Bun telah berkahwin dengan orang lain tanpa pengetahuannya (kedua-duanya tidak saling menegur selepas ini), [18] sementara Dini pula mencanangkan bahawa puisi Tinggallah ditulis tidak lama selepas Amir menaiki kapal Plancus, sambil Amir masih merindui ibu bapanya.[19]
Selepas pulang ke Sumatera buat seketika, Amir meneruskan pendidikan yang dikendalikan Boedi Oetomo, iaitu sekolah Algemene Middelbare School (AMS; sekolah menengah tinggi) di Surakarta, Jawa Tengah, di mana beliau mengkaji kesusasteraan Timur dan bahasa, termasuk bahasa-bahasa Jawa, Sanskrit dan Arab.[20] Amir lebih suka berseorangan daripada terlibat dengan kesibukan asrama dan beliau memilih untuk tinggal di rumah persendirian seorang warga Surakarta.[21] Beliau kemudian berkesempatan untuk bertemu beberapa bakal penulis, termasuk Armijn Pane dan Achdiat Karta Mihardja.[22] Mereka mendapatinya sebagai seorang penuntut peramah dan rajin, yang memiliki nota lengkap, dan kain cadar yang putih melepak (kain cadar yang dilipat sungguh rapi, yang Mihardja kemudiannya memerhatikan bahawa, "... lalat jang kesasar akan dapat tergelintjir atasnja". Namun demikian, Amir juga seorang romantis yang mudah berfikiran sayu sambil diterangi lampu dan menjauhkan dirinya daripada rakan-rakan sedarjah dengannya.[23]
Amir menyertai pergerakan nasionalis di Surakarta. Beliau bertemu dengan rakan-rakan senegerinya dan membincangkan keadaan pahit getir penduduk-penduduk kepulauan Melayu di bawah pemerintahan kolonial Belanda. Mahupun kebanyakan pemuda yang berpendidikan lebih senang menggunakan bahasa Belanda, beliau tetap menggunakan bahasa Melayu.[24] Dalam tahun 1930 Amir menjadi ketua pergerakan Indonesia Muda cabang Surakarta, dan menyampaikan ucapan kepada Kongres Pemuda tahun 1930 sambil berkhidmat sebagai penyunting Garuda Merapi, majalah pertubuhan itu.[25] Beliau bertemu dan jatuh cinta dengan Ilik Sundari, seorang wanita keturunan Jawa yang sebaya dengannya di sekolah.[26] Ilik Sundari, anak gadis Raden Mas Kusumodihardjo, merupakan seorang daripada segelintir penuntut wanita yang bersekolah di sekolah Amir, dan rumahnya berdekatan dengan rumah tumpangan Amir. Mengikut Dini, mereka menjadi rapat dengan Amir mengajar Ilik bahasa Arab sementara gadis itu mengajarnya bahasa Jawa.[27] Tidak lama kemudian mereka bertemu setiap hari dan berbual tentang pelbagai perkara.[28]
Ibu Amir meninggal dunia dalam tahun 1931, dan bapanya pula meninggal dunia setahun kemudian. Ini bermaksud, dari segi kewangan, pendidikannya tidak dapat ditampung lagi. Beliau berhajat untuk menyambung pendidikan di sekolah perundangan di Betawi selepas menamatkan pendidikan di AMS. Justeru, beliau menulis surat kepada abangnya, Jakfar, yang menguruskan pembayaran yuran pendidikan Amir oleh Sultan. Dalam tahun 1932, Amir dapat pulang ke Betawi dan memulakan pendidikan undang-undangnya,[29] sambil bekerja sebagai guru sambilan.[30] Mula-mulanya perhubungan beliau dengan Ilik diteruskan melalui surat walaupun tidak lama kemudian Ilik meneruskan pelajarannya di Lembang, sebuah bandar yang lebih dekat dengan Surakarta. Ini membolehkan kedua-dua mereka bertemu secara rahsia[31] – akan tetapi apabila perhubungan ini diketahui ibu bapa Ilik, kedua-duanya ditegah daripada bertemu lagi.[32]
Dalam tahun ini (1932) dua puisi pertama Amir, Sunyi dan Mabuk..., diterbitkan dalam majalah Timboel edisi bulan Mac. Lapan buah karya lain yang diterbitkan tahun ini termasuk sebuah syair berlandaskan Hikayat Hang Tuah,[33] tiga buah puisi, dua buah prosa berlirik, dan dua cerpen. Sekali lagi puisi diterbitkan dalam Timboel, sementara karya-karya prosa pula diterbitkan dalam majalah Pandji Poestaka.[34] Sekitar bulan September 1932, setelah digalakkan Sutan Takdir Alisjahbana, penyunting "Memadjoekan Sastera" (bahagian kesusasteraan Pandji Poestaka), Armijn Pane menjemput Amir untuk sama-sama menubuhkan majalah kesusasteraan bebas.[35] Amir menerima pelawaan dan ditugaskan untuk menulis surat permintaan sumbangan karya;[35] sebanyak lima puluh surat dikirim kepada penulis-penulis ternama, termasuk empat puluh yang dikirim kepada para penyumbang "Memadjoekan Sastera".[36] Selepas beberapa bulan membuat persiapan, edisi sulung diterbitkan pada bulan Julai 1933,[37] di bawah judul Poedjangga Baroe. Majalah baharu dibiarkan di bawah kawalan editorial Amir, Armijn dan Sutan Takdir,[38] dan Amir menerbitkan hampir semua penulisannya dalam majalah tersebut.[34]
Pada pertengahan tahun 1933, Amir diarah pulang ke Langkat, di mana Sultan memaklumkannya tentang dua syarat yang perlu ditepati sekiranya beliau mahu melanjutkan pelajaran: menjadi seorang penuntut yang tekun belajar dan meninggalkan pergerakan kemerdekaan.[39] Namun demikian, beliau melibatkan diri lebih lagi dengan pergerakan kemerdekaan dan menarik perhatian pihak berkuasa Belanda.[40] Beliau masih menerbitkan karya dalam Poedjangga Baroe, termasuk sebuah siri lima rencana berkaitan dengan kesusasteraan Timur antara Jun dan Disember 1934, dan terjemahan Bhagavad Gita antara tahun 1933 dan 1935.[34] Walau bagaimanapun, pengajian undang-undangnya tergendala dan menjelang tahun 1937, beliau masih belum menamatkan kajian.[41]
Pemerintah kolonial Belanda, yang sudah menjadi resah dengan Amir yang berkecimpung dengan pergerakan nasionalis dan kemerdekaan, berjaya meyakinkan Sultan agar memanggil Amir pulang ke Langkat, suatu titah yang tidak dapat ditolak pemuisi muda itu. Dalam tahun 1937, Amir, bersama-sama dua orang pegawai Sultan yang ditugaskan untuk mengiringinya pulang, menaiki kapal Opten Noort dari Tanjung Priok, dan pulang ke Sumatera. Sebaik tiba di Langkat, Amir dimaklumkan bahawa beliau akan dinikahkan dengan puteri sulung Sultan, Tengku Puteri Kamiliah, seorang wanita yang tidak dikenalinya.[41] Sebelum majlis perkahwinan, Amir sempat pulang ke Betawi untuk menduduki peperiksaan terakhir – dan bertemu buat kali terakhir dengan Ilik.[42] Beberapa minggu kemudian, beliau pulang ke Langkat dan berkahwin dengan Kamiliah dalam satu majlis mewah.[41] Sepupunya, Tengku Burhan, kemudiannya berkata bahawa Amir tidak mengambil endah akan majlis tujuh hari itu kerana asyik memikirkan Ilik Sundari.[43]
Amir sekarang berpangkat "pangeran",[41] dan diberi gelaran Tengku Pangeran Indra Putera.[44] Beliau tinggal bersama Kamiliah di dalam rumah mereka sendiri. Mengikut laporan Kamiliah seorang isteri yang solehah dan menyayangi, dan dalam tahun 1939 pasangan itu dikurniakan seorang puteri bernama Tengku Tahura.[nota 2][45] Mengikut Dini, Amir mengaku kepada Kamiliah bahawa beliau tidak dapat mencintainya seperti mana beliau mencintai Ilik dan hanya mengahwininya kerana berasa terhutang budi dan terpaksa, sesuatu yang nampaknya diterima baik oleh Kamiliah. Pemuisi ini menyimpan album gambar-gambar buah hatinya, Ilik, di rumah[46] dan kerap mengasingkan dirinya daripada keluarga sambil melamun, berfikiran seorangan.[47] Sebagai seorang pangeran Langkat, Amir menjadi pagawai istana dan mengendalikan hal-hal pentadbiran dan perundangan, dan kadangkala menghakimi kes-kes jenayah.[48] Beliau juga menwaikili Sultan pada majlis pengebumian Pakubuwono X di Jawa – kunjungannya yang terakhir ke pulau itu.[49]
Walaupun Amir tidak banyak berhubung dengan rakan-rakannya di Jawa,[50] puisi-puisi beliau – yang kebanyakannya ditulis di Jawa – masih diterbitkan dalam Poedjangga Baroe. Himpunan puisi pertamanya, Nyanyi Sunyi, diterbitkan dalam edisi November 1937 majalah tersebut. Hampir dua tahun kemudian, pada bulan Jun 1939, majalah itu menerbitkan sebuah himpunan puisi yang diterjemahkan Amir, berjudul Setanggi Timur. Pada bulan Jun 1941, himpunan terakhirnya, Buah Rindu diterbitkan. [34] Kesemuanya kemudian diterbitkan semula sebagai buku.[51] Satu buku terakhir, Sastera Melayu Lama dan Raja-Rajanya, diterbitkan di Medan dalam tahun 1942 — buku ini berlandaskan sebuah ucapan radio yang dibuat Amir.[34]
Selepas serangan Jerman terhadap Belanda dalam tahun 1940, pemerintah kolonial Hindia Belanda membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan serangan oleh Jepun. Di Langkat, sebuah pasukan Askar Wataniah atau Stadswacht ditubuhkan bagi mempertahankan Tanjung Pura. Amir dan sepupunya Tengku Harun menjadi ketua — orang bangsawan, yang dipercayai masayarakat am, dipilih bagi memudahkan perekrutan orang awam. Apabila serangan Jepun menjadi kenyataan pada awal tahun 1942, Amir antara anggota tentera yang dihantar ke Medan untuk mempertahankan kota tersebut. Beliau dan tentera sekutu Belanda ditawan Jepun dengan cepat. Amir ditawan sebagai tawanan perang sehingga tahun 1943, apabila pengaruh Sultan berjaya membebaskan beliau daripada tahanan Jepun. Sepanjang tempoh penaklukan oleh Jepun yang berlarutan sehingga tahun 1945, Amir bekerja sebagai seorang pengulas radio dan penapis di Medan.[52] Sebagai seorang pangeran, beliau ditugaskan bagi mengumpul beras untuk kegunaan tentera penakluk Jepun.[50]
Selepas kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, keseluruhan Sumatera diisytihar sebagai sebahagian republik baharu itu secara de facto. Pemerintah pusat menetapkan Teuku Muhammad Hasan sebagai gabenor pulau Sumatera, dan pada 29 Oktober 1945 Teuku Muhammad Hasan memilih Amir sebagai wakil pemerintahn di Langkat (kemudian disamakan dengan jawatan bupati; di Tanah Melayu, "temenggong"), dengan pejabat di Binjai;[53] Amir tidak ada masalah untuk menyetujui pelantikan itu,[54] dan seterusnya menangani pelbagai tugasan yang diberikan pemerintah pusat, termasuk merasmikan bahagian tempatan pertama Tentara Keamanan Rakjat (pelopor tentera darat Indonesia),[53] merasmikan mesyuarat cabang-cabang tempatan parti-parti politik kebangsaan,[55] dan menggalakkan pendidikan —khususnya celik huruf abjad Rumi.[54]
Revolusi Nasional Indonesia yang masih berterusan dengan beberapa pertempuran di Jawa bermakna republik yang baru ditubuh itu tidak stabil.[56] Pada awal tahun 1946, khabar angin yang Amir dilihat menjamu selera dengan wakil-wakil kerajaan Belanda yang baru pulang merebak;[57] para bangsawan kawasan menyedari akan pergolakan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk awam.[58] Pada 7 Mac 1946, semasa revolusi sosial yang diketuai puak-puak Partai Komunis Indonesia, sebuah kumpulan yang keras menentang feudalisme dan bangsawan, kuasa Amir dilucutkan daripadanya dan beliau ditahan;[59] Kamiliah dan Tahura terlepas.[60] Bersama-sama dengan para bangsawan Langkat yang lain, Amir dihantar ke sebuah ladang yang dipegang Komunis di Kuala Begumit, lebih kurang 10 kilometer (6 bt) di luar bandar Binjai.[59] Pengakuan yang dinyatakan kemudian menggambarkan yang mereka dibicara oleh penawan mereka, dipaksa menggali lubang, dan diseksa.[61]
Penulisan terakhir Amir, sebuah cebisan daripada puisi tahun 1941, Buah Rindu, dijumpai di dalam bilik kurungannya kemudian:[62]
Wahai maut, datanglah engkau
Lepaskan aku dari nestapa
Padamu lagi tempatku berpaut
Disaat ini gelap gulita.
Pada pagi 20 Mac 1946, Amir dibunuh bersama-sama 26 orang lain dan dikebumikan di dalam kubur sama yang digali oleh orang-orang tahanan itu sendiri.[nota 3][63] sebilangan adik-beradiknya juga terbunuh semasa revolusi berjalan.[64] Selepas revolusi dipatahkan angkatan nasionalis, ketua-ketua revolusi disoal oleh sebuah pasukan yang diketuai Adnan Kapau Gani: beliau dilaporkan bertanya berkali-kali, "Mana Amir Hamzah?" semasa sesi soal-siasat.[65] Dalam tahun 1948 kubur di Kuala Begumit digali semula dan mayat dikenal pasti oleh ahli keluarga; tulang-tulang Amir dikenal pasti dengan ketiadaan gigi palsu.[66] Pada bulan November 1949 jenazah beliau disemadikan semula di Masjid Azizi di Tanjung Pura, Langkat.[67]
Amir dibesarkan di dalam istana dan bertutur dalam bahasa Melayu sehingga "... mendjadi darah daging baginja."[68] Daripada usia kecil lagi beliau terdedah kepada sastera lisan serta pantun dan syair bertulis; beliau mendengar dan membuat sajaknya sendiri.[69] Seperti bapanya, Amir suka akan teks tradisional seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, dan Hikayat Panca Tanderan. Beliau akan mendengar pembacaan teks-teks ini semasa upacara-upacara awam,[68] dan pada zaman dewasanya, beliau memiliki himpunan besar teks-teks tersebut mahupun himpunan ini musnah semasa revolusi komunis.[69]
Sepanjang pendidikan formalnya, Amir membaca karya-karya sastera Arab, Parsi dan Hindu.[70] Beliau juga dipengaruhi karya negara-negara Timur lain:[71] puisi-puisi yang diterjemahkan beliau dalam Setanggi Timur, misalnya, memuatkan karya-karya oleh Omar Khayyám (Parsi), Du Fu (China), Fukuda Chiyo-ni (Jepun), dan Rabindranath Tagore (India).[34] Karya-karya ini tidak dibaca dalam bahasa asal, akan tetapi dalam terjemahan bahasa Belanda.[72] Pengkritik sastera, Muhammad Balfas, menulis bahawa berlainan dengan orang sezamannya, Amir tidak banyak dipengaruhi soneta mahupun pemuisi neoromantis Belanda, Tachtigers (Pergerakan (Lapan Belas) Lapan Puluh);[73] Johns juga sependapat dengan Muhammad Balfas dalam hal ini.[74] Walau bagaimanapun, sarjana kesusasteraan Australia, Keith Foulcher, berpendapat sebaliknya dan memerhatikan bahawa Amir memetik Lenteavond, tulisan Willem Kloos, dalam rencananya berkaitan dengan pantun; pada hemat Foulcher ini menunjukkan yang Amir berkemungkinan besar dipengaruhi Tachtigers.[75]
Ramai penulis mengulas tentang pengaruh doktrin Islam terhadap Amir. Penulis dokumen sastera Indonesia, HB Jassin[76] dan pemuisi Arief Bagus Prasetyo[77] antara lain, berpendapat bahawa Amir seorang Muslim jati dan hakikat ini dapat dilihat dalam karya-karya beliau. Arief Prasetyo menghujah bahawa ini ketara dalam cara Amir menggambarkan Tuhan; beliau tidak menyamakan dirinya sebagai setara dengan Tuhan, sebuah tema yang terjumpa dalam karya-karya pemuisi Sufi seperti Hamzah Fansuri, tetapi menggambarkan Tuhan sebagai Raja kepada Amir, dan Amir sebagai hambaNya.[77] Johns pula menulis bahawa mahupun Amir bukan seorang ahli sufi, Amir juga bukan hanya penulis yang amat patuh dan beliau mengetengahkan sejenis "Humanisme Islam".[78] Pengkaji lain, seperti sarjana sastera Indonesia berbangsa Belanda A Teeuw dan sarjana sastera berbangsa Indonesia Abdul Hadi WM, berpendapat bahawa Amir dipengaruhi Sufisme.[77] Aprinus Salam daripada Universitas Gadjah Mada, yang juga sehaluan, mengetengahkan saat Amir menggambarkan Tuhan seperti kekasih, dan pada hemat beliau, ini menandakan pengaruh sufi.[79] Akhir sekali, pemuisi Chairil Anwar menulis bahawa Nyanyi Sunyi Amir dapat disebut sebagai "puisi tersorok" memandangkan yang para pembaca tidak akan dapat memahami karya-karya Amir tanpa berbekalkan pengetahuan tentang sejarah Melayu dan Islam.[80]
Beberapa percubaan juga dibuat untuk mengaitkan karya-karya Amir dengan perspektif Kristian. Dalam analisisnya terhadap Padamu Jua, pengkritik Indonesia, Bakri Siregar, mencadangkan bahawa ternampak sedikit pengaruh daripada Bible Kristian dan menyatakan bahawa beberapa aspek puisi itu dapat dilihat sebagai menyokong pendapat ini, seperti gambaran Tuhan antropomorfik dan idea berkaitan dengan Tuhan yang cemburu. Beliau menulis bahawa konsep Tuhan yang cemburu tidak dibenarkan Islam, akan tetapi terdapat dalam Bible dan memetik Exodus 20:5Template:Bibleverse with invalid book dan Exodus 34:14Template:Bibleverse with invalid book.[81] Dalam sebuah lagi puisi, Permainanmu, Amir Hamzah menggunakan ayat "Kau keraskan kalbunya"; HB Jassin mendapati kesamaan dengan Tuhan mengeraskan hati Firaun dalam Kitab Keluaran.[nota 4].[82]
HB Jassin menulis bahawa puisi-puisi Amir juga dipengaruhi cintanya terhadap satu atau lebih wanita, yang dalam Buah Rindu disebut "Tedja" dan "Sendari-Dewi". Beliau menawarkan pendapat bahawa wanita atau wanita-wanita tersebut tidak diberikan nama kerana yang pentingnya ialah kasih Amir terhadap mereka.[83] Husny menulis bahawa sekurang-kurangnya sembilan karya dalam Buah Rindu[nota 5] berilhamkan kerinduan Amir terhadap Aja Bun, menggambarkan perasaan dukacita selepas pertunangan mereka dibatalkan.[84] Berkaitan dengan dedikasi buku yang dibahagikan kepada tiga, "Kebawah peduka Indonesia-Raya / Kebawah debu Ibu-Ratu / Kebawah kaki Sendari-Dewi", dalam Ramayana bahasa Indonesia, Sendari (juga Sundari) ialah isteri pertama Abhimanyu.[85] Mihardja menulis bahawa Ilik Sundari dapat dikenali serta-merta oleh rakan sedarjah Amir; Mihardja menganggapnya sebagai inspirasi Amir sama dengan peranan Laura dengan Petrarch, Mathilde dengan Jacques Perk".[86] Pengkritik, Zuber Usman juga menjumpai pengaruh Sundari terhadap Nyanyi Sunyi, dan menyarankan bahawa pemisahan mereka membawa Amir lebih dekat dengan Tuhan,[87] satu pendapat yang diulangi Dini.[88] Burton Raffel mengaitkan sebuah kuplet yang terdapat pada penghujung buku, "Sunting sanggul melayah rendah / sekaki sajak seni sedih"[89] sebagai satu sapaan terhadap cinta terlarang.[90] Dini menyatakan bahawa cinta Amir terhadap Ilik Sundari menjadi penyebab Amir sering menggunakan perkataan bahasa Jawa dalam penulisannya.[43]
Amir menulis lima puluh buah puisi kesemuanya: lapan belas prosa lirik, dua belas rencana, empat cerita pendek, tiga himpunan puisi, dan satu buku asli. Beliau juga menterjemahkan empat puluh empat puisi, sebuah puisi lirik, dan sebuah buku.[34] Terjemahan-terjemahan ini, mengikut Johns, mencerminkan tema-tema penting dalam karya-karya aslinya.[91]
Sebahagian besar daripada penulisan Amir diterbitkan dalam Poedjangga Baroe, walaupun sebilangan kecil karya-karya awalnya diterbitkan dalam Timboel dan Pandji Poestaka.[34] Tidak ada satupun puisinya diberikan tarikh, dan tidak ada kata sepakat tentang bila puisi-puisi individu ditulis.[92] Walaupun demikian, terdapat sepakatan am yang karya-karya yang dimuatkan dalam Nyanyi Sunyi ditulis selepas puisi-puisi yang terkandung dalam Buah Rindu, mahupun himpunan yang kedua itu diterbitkan kemudian.[93] Johns menulis bahawa puisi-puisi yang terkandung dalam buku-buku himpunan itu secara amnya diatur mengikut masa; beliau mengetengahkan hujah tentang peningkatan kematangan penulisan yang ditunjukkan Amir seiring dengan pengembangan penulisannya sebagai alasan.[94]
HB Jassin menulis bahawa Amir mengekalkan identiti Melayu dalam penulisannya walaupun beliau menghadiri sekolah-sekolah kendalian orang Eropah. Berlaianan dengan rakan penulis sezaman dengannya seperti Sutan Takdir Alisjahbana atau Sanusi Pane, puisi-puisinya tidak mengandungi lambang-lambang moden terbitan budaya orang Eropah seperti kuasa elektrik, kereta api, telefon, dan jentera, dan dengan itu menunjukkan yang "Alam dunia Melaju masih utuh...". Pada puncaknya, mengikut HB Jassin, apabila "Membatja sadjaknja diruang fantasi kita tidak terbajang lukisan seorang jang berpantalon, berdjas dan berdasi, melainkan seorang muda jang berpakaian setjara Melaju."[95] AK Mihardja memerhatikan yang Amir menghasilkan karyanya pada waktu rakan sedarjahnya, malah para pemuisi di mana-manapun "... mentjurahkan isi hati dan buah pikiran" dalam bahasa Belanda, ataupun, jika mampu "... melepaskan dirinja dari belenggu Bahasa Belanda", dalam bahasa tempatan.[96]
Karya-karya Amir sering berkaitan dengan cinta (kedua-dua cinta erotik dan sempurna), dan pengaruh agama dapat dilihat dalam karya-karyanya.[73] Mistisisme (tasawuf) merupakan bahan penting dalam banyak karyanya, dan puisi-puisi Amir sering mencerminkan konflik dalaman yang tebal.[97] Dalam sekurang-kurangnya satu cerpen, Amir mengkritik pandangan tradisional terhadap kelas bangsawan dan "menggugat pandangan tradisional tentang watak-watak wanita".[98] Terdapat juga beberapa pebezaan tema antara dua himpunan puisi beliau,[99] yang dibincangkan dengan lebih mendalam di bawah.
Nyanyi Sunyi, himpunan puisi Amir pertama, diterbitkan dalam Poedjangga Baroe edisi November 1937,[100], dan kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku oleh Poestaka Rakjat dalam tahun 1938.[51] Himpunan ini terdiri daripada dua puluh empat buah pantun berjudul dan sebuah kuatrin (sajak berangkap empat) yang tidak diberi judul,[101] termasuk puisi termasyhur Amir, Padamu Jua. HB Jassin mengklasifikan lapan daripada karya-karya ini sebagai puisi berlirik dan bakinya sebagai puisi biasa.[100] Walaupun himpunan ini merupakan koleksi yang pertama diterbitkan, berpandukan sifat pembentukan puisi-puisi yang terkandung dalamnya,[102] kesepakatan am adalah karya-karya yang terkandung dalam Buah Rindu ditulis lebih awal.[103] Pemuisi Laurens Koster Bohang menganggarkan puisi-puisi yang dimuatkan dalam Nyanyi Sunyi ditulis antara tahun 1933 dan 1937,[104] sementara Teeuw pula menganggarkan penulisan antara tahun 1936 dan 1937.[105]
Pembacaan-pembacaan Nyanyi Sunyi cenderung tertumpu kepada perasaan keagamaan yang terpendam. Mengikut Muhammad Balfas, agama dan Tuhan sentiasa hadir dalam keseluruhan koleksi, bermula dengan puisi pertama, "Padamu Jua".[106] HB Jassin menulis bahawa dalam puisi ini, Amir mempamerkan perasaan kurang puas hati dengan keadaannya yang tidak berkuasa dan memprotes Kemutlakan Tuhan,[107] akan tetapi sedar akan kekerdilannya di hadapan Tuhan dan hakikat yang beliau hanya bertindak sebagai pelaksana kehendak Tuhan.[108] Teeuw merumuskan yang Amir menyedari bahawa beliau tidak akan wujud jika Tuhan tidak wujud.[109] HB Jassin mendapati bahawa tema agama sebenarnya satu jalan keluar daripada kesedihan duniawi yang dialami Amir.[110] Walau bagaimanapun, Johns mencadangkan yang pada akhirnya Amir mendapati bahawa Tuhan tidak dapat mententeramkan jiwanya oleh sebab Amir "tidak memiliki keimananan unggul untuk membuat pengorbananan besar dan menerima padahnya"; dan kelihatan yang beliau semacam berasa kesal yang beliau memilih untuk pulang ke Sumatera, dan kemudian membantah Tuhan.[111]
Himpunan puisi Amir kedua, Buah Rindu, diterbitkan dalam Poedjangga Baroe edisi bulan Jun 1941,[112] dan kemudiannya diterbitkan sebagai buku oleh Poestaka Rakjat pada lewat tahun yang sama.[51] Koleksi ini mengandungi dua puluh lima buah puisi berjudul dan sebuah kuatrin yang tidak berjudul; satu daripadanya, "Buah Rindu", terdiri daripada empat bahagian, sementara satu lagi, "Bonda", mengandungi dua bahagian. Sekurang-kurangnya sebelas daripada karya yang terkandung dalam himpunan ini sudah diterbitkan dahulu, sama ada dalam Timboel atau Pandji Poestaka.[112] Kendatipun himpunan ini diterbitkan selepas penerbitan Nyanyi Sunyi, anggapan umum adalah himpunan ini ditulis lebih awal.[103] Puisi-puisi dalam Buah Rindu bertarikh antara tahun 1928 dan 1935, iaitu pada waktu awal Amir di Jawa;[104] himpunan ini menyatakan kedua-dua tahun tersebut dan juga lokasi penulisannya di Jakarta–Solo (Surakarta)–Jakarta.[17]
Teeuw menulis bahawa koleksi ini disatukan dengan perasaan kerinduan,[113] dan pendapat ini dikembangkan HB Jassin: kerinduan untuk ibunya, kerinduan kekasih-kekasihnya, (di Sumatera dan Jawa), dan kerinduan kampung halamannya. Semua dirujuk sebagai "kekasih".[114] Teeuw juga menulis bahawa kerinduan ini tidak seperti perasaan keagamaan terpendam yang terdapat dalam Nyanyi Sunyi : perasaan kerinduan ini lebih bersifat duniawi, dan bertapak dalam kenyataan;[99] HB Jassin memerhatikan satu lagi perbezaan tema antara kedua-dua himpunan: tidak macam Nyanyi Sunyi dengan gambaran jelasnya tentang satu tuhan, Buah Rindu secara tersurat menampilkan beberapa dewata, termasuk dewa Hindu Shiva dan Parvati, dan dewata mujarad seperti dewa dan dewi cinta.[114]
Diksi Amir dipengaruhi keperluan ritma dan matra serta simbolisme yang terkait dengan kata-kata tertentu.[115] Diksi rapi ini menekankan kata-kata biasa sebagai unit asas serta penggunaan aliterasi dan asonansi.[116] Akhir sekali, Amir lebih bebas dalam penggunaan bahasanya daripada pemuisi-pemuisi tradisional:[106] Jennifer Lindsay dan Ying Ying Tan menonjolkan "daya reka lisan" Amir, yang menyuntik "kekayaan ungkapan, kemerduan bunyi dan makna" ke dalam puisi beliau.[117] Bakri Siregar menulis hasilannya "... permainan kata jang indah."[118] Teeuw mengatakan yang Amir memiliki pengfahaman penuh tentang kekuatan dan kelemahan Bahasa Melayu, mencampur pengaruh Timur dan Barat,[116] dan Johns pula menulis bahawa "kegeligaan Amir sebagai seorang pemuisi terletak pada kebolehan luar biasanya untuk meniup nafas baru ke dalam abu puisi Melayu, dan menyerapkan kesegaran jelas dan daya hidup yang tidak disangka ke dalam bentuk dan kekayaan kosa kata bahasa Melayu tradisional."[119]
Pilihan kata amat bergantung pada kata-kata bahasa Melayu lama yang jarang digunakan pada zaman itu. Amir juga meminjam kata-kata daripada bahasa-bahasa suku Indonesia lain, khususnya bahasa-bahasa Jawa dan Sunda;[120] pengaruh bahasa-bahasa ini lebih ketara dalam Nyanyi Sunyi.[121] Oleh sebab itu, pencetakan-pencetakan awal Nyanyi Sunyi dan Buah Rindu diiringi nota kaki yang menjelaskan maksud perkataan-perkataan tersebut.[73] Teeuw menulis bahawa puisi-puisi memuatkan banyak klise yang sering terjumpa dalam pantun yang tidak dapat difahami pembaca asing.[122] Mengikut penterjemah John M. Echols, Amir seorang penulis yang amat prihatin, "seorang yang tidak banyak menulis, akan tetapi prosa dan puisinya berada pada aras yang amat tinggi, sukar dibaca mahupun buat pembaca Indonesia."[97] Echols menyandarkan kehidupan semula Bahasa Melayu kepada Amir kerana meniup nyawa baharu ke dalam kesusasteraan Melayu pada tahun 1930-an.[123]
Dari segi binaan, karya-karya awal Amir amat berlainan daripada karya-karyanya yang terkemudian. Karya-karya yang dihimpun dalam Buah Rindu secara amnya mengikut gaya kuatrin pantun dan syair tradisional yang berima pada hujung ayat, termasuk banyak yang memuatkan kuplet berima;[116] beberapa karya menggabungkan kedua-dua kuatrin dan kuplet atau memuatkan barisan atau perkataan tambahan, lebih daripada yang lazim dilakukan dalam puisi tradisional, yang menghasilkan rentak berbeza.[124] Meskipun karya-karya awal ini tidak terperinci macam karya-karya terkemudian, Teeuw menulis bahawa karya-karya ini mencerminkan penguasaan Amir terhadap bahasa dan kesungguhannya menulis puisi.[125] Karya-karya dalam antologi ini mengulangi perkataan-perkataan yang menggambarkan kesedihan seperti "menangis", "duka", "rindu" dan "air mata", dan juga perkataan-perkataan seperti "cinta", "asmara" dan "merantau".[126]
Apabila tiba masanya bagi Amir menulis karya-karya terkemudian beliau, gayanya sudah bertukar. Beliau tidak lagi mengehadkan penulisan pada bentuk-bentuk tradisional, akan tetapi meneroka cara-cara penulisan lain: bentuk lapan daripada karya beliau hampir-hampir sama dengan prosa lirik.[127] Chairil Anwar memerikan penggunaan bahasa Amir dalam koleksi ini sebagai bersih dan murni, dengan ayat-ayat yang "amat bernas, tajam, akan tetapi pendek", yang menyimpang daripada "kuasa kerosakan" bahasa berbunga-bunga yang terdapat pada puisi Melayu tradisional.[128]
Amir sudahpun menerima pengiktirafan meluas daripada pemerintah Indonesia, mula-mula dengan pengiktirafan pemerintah daerah Sumatera Utara tidak lama selepas kematian beliau.[129] Dalam tahun 1969 beliau dianugerahkan "Satya Lencana Kebudayaan" dan "Piagam Anugerah Seni".[130] Dalam tahun 1975 beliau dinobatkan sebagai Pahlawan Kebangsaan Indonesia.[8] Sebuah taman di Jakarta, Taman Amir Hamzah, terletak berdekatan dengan Monumen Nasional Indonesia.[70] Sebuah masjid di Taman Ismail Marzuki, yang dibuka dalam tahun 1977, juga dinamakan sempena nama beliau.[131] Beberapa batang jalan juga dinamakan sempena Amir, termasuk jalan-jalan di Medan,[132] Kota Mataram,[133] dan Surabaya.[134]
Teeuw menganggap Amir sebagai pemuisi Indonesia kelas antarabangsa tunggal sebelum Revolusi Nasional Indonesia.[1] Chairil Anwar menulis yang Amir adalah "kemuncak pergerakan Pujangga Baru", dan menganggap Nyanyi Sunyi sebagai "lampu terang yang disulukan Amir terhadap bahasa baru";[128] bagaimanapun Chairil tidak menyukai Buah Rindu, dan menganggapnya terlalu klasikal.[135] Muhammad Balfas mengatakan bahawa karya-karya Amir adalah "hasilan penulisan yang terbaik yang merentasi zaman".[136] Karya-karya Amir, khususnya, "Padamu Jua", diajar di sekolah-sekolah Indonesia. Karya Amir juga satu daripada ilham buat lakonan pentas pascamoden Biografi Yanti setelah 12 Menit penulisan Afrizal Malna dalam tahun 1992.[137]
HB Jassin menggelar Amir "Raja Penyair Pujangga Baru", rangkap yang beliau gunakan buat judul bukunya tentang Amir.[1] Dalam penutup bukunya, Jassin menulis:
... Amir bukanlah seorang pemimpin bersuara lantang mengerahkan rakjat, baik dalam puisi maupun prosanja. Ia adalah seorang perasa dan seorang pengagum, djiwanja mudah tergetar oleh keindahan alam, sendu gembira silih berganti, seluruh sadjaknja bernafaskan kasih : kepada alam, kampung halaman, kepada kembang, kepada kekasih. Dia merindu tak habis2nja, pada zaman jang silam, pada bahagia, pada 'hidup bertentu tudju'. Tak satupun sadjak perdjuangan, sadjak adjakan membangkit tenaga, seperti begitu gemuruh kita dengar dari penjair2 Pudjangga Baru jang lain. Tapi laguan alamnja adalah peresapan jang mesra dari orang jang tak diragukan tjintanja pada tanah airnja.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.