Penyanyi, pelakon, komposer, pengarah dan pelukis Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Dato' Dr. Mohamad Nasir bin Mohamed atau lebih dikenali sebagai M. Nasir (lahir 4 Julai 1957) ialah seorang penyanyi, pencipta lagu, komposer, pelakon, penerbit album, pengarah dan pelukis Malaysia yang lahir di Singapura.[1][2][3] Dikenali dengan jolokan sifu dalam industri muzik Malaysia,[4][5] beliau memulakan kerjaya bersama kumpulan Kembara sebagai vokalis dan gitaris untuk tempoh singkat sebelum memulakan kerjaya muzik secara solo.[6]
M. Nasir | |
---|---|
Kelahiran | Mohamad Nasir bin Mohamed 4 Julai 1957 Bukit Panjang, Koloni Singapura |
Nama lain |
|
Pendidikan | Diploma Lukisan Barat |
Pusat pendidikan | Akademi Seni Halus Nanyang |
Pekerjaan | Penyanyi, pencipta lagu, komposer, pelakon, penulis, penerbit album, pengarah, pelukis |
Tahun aktif | 1979–kini |
Karya | |
Pasangan | Junainah Johari (k. 1981; m. 1998) Datin Marlia Musa (k. 2000) |
Anak-anak |
|
Saudara | Zulkifli Mohamed (Kembara) Siti Hajar Mohamed (Al-Jawaher) Normala Mohamed (Al-Jawaher) |
Anugerah | Senarai penuh |
Kerjaya muzik | |
Genre | |
Instrumen | |
Syarikat rakaman | Luncai Emas |
Pengkarya berkait | |
Antara lagu-lagu terkenal beliau ialah "Mustika", "Apokalips", "Mentera Semerah Padi", "Raikan Cinta" dan "Phoenix Bangkit Dari Abu" dan "Juwita... (Citra Terindah)". M. Nasir juga ialah pengasas dan pemilik syarikat rakaman Luncai Emas yang turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya. Sepanjang kerjayanya, beliau menjadi salah seorang antara penyanyi Melayu yang berjaya melahirkan album solo baru di setiap 4 dekad berbeza berturut-turut selain Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim, Ramlah Ram, Jamal Abdillah, Hattan dan Noraniza Idris.[7][8]
Sebagai pelakon, beliau memulakan kerjaya lakonan menerusi filem Kembara Seniman Jalanan (1986) yang mana beliau turut berkhidmat sebagai penulis skrip. Antara filem-filem lakonannya ialah Fenomena (1990), Selubung (1992), Merah (1997), Puteri Gunung Ledang (2004) dan Tombiruo: Penunggu Rimba (2017). Di luar bidang muzik, Nasir juga ialah seorang pelukis dan telah melukis pelbagai hasil seni lukisan termasuk abstrak.[9] Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
M. Nasir dilahirkan pada 4 Julai 1957 di Bukit Panjang, Koloni Singapura (ketika itu sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu) dan merupakan anak keempat daripada 9 adik-beradik. Bapanya, Mohamed Sam yang berketurunan Bugis, Minang, Jawa, Sunda dan Banjar berasal dari Pagoh, Muar, Johor, bekerja sebagai pegawai bomba di Jabatan Bomba Singapura. Ibunya, Aesah Yahya yang juga berketurunan Bugis dan Minang ialah seorang suri rumah yang gemar berzanji dan mengaji. Selepas pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965, keluarganya memutuskan untuk menjadi rakyat Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Kerajaan Bukit Panjang, kemudian melanjutkan pendidikan menengah di Vocational Institute Boys Town.[10] Beliau mengambil pengajian diploma dalam lukisan Barat di Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura,[11] pada asalnya mahu menjadi seorang pelukis. Beliau mula menceburi bidang muzik pada tahun 1978 apabila seorang rakan yang merupakan penerbit eksekutif PolyGram Singapura ketika itu bernama Wan Ibrahim telah menjemput beliau untuk menulis lirik lagu untuk kumpulan Alleycats yang meningkat popular pada masa itu.[11]
M. Nasir telah didedahkan secara mendalam kepada bidang muzik tidak hanya mendengar radio; tetapi juga abang sulungnya yang membawanya rakaman dari artis antarabangsa seperti Bob Dylan, Queen, Al Stewart, Led Zeppelin dan Iwan Fals (Virgiawan Listianto) penyanyi indonesia semasa membesar di Singapura pada 1950-an dan 1960-an.[12] Beliau telah memilih untuk menceburi bidang nyanyian dengan mengeluarkan album pertamanya, Untuk Pencinta Seni di bawah nama Mohamed M.N.[13][14] pada tahun 1979, namun album tersebut kurang mendapat sambutan di pasaran.[15]
Beliau membentuk kumpulan folk rock Kembara dengan empat orang anggota lain iaitu A. Ali, S. Sahlan, dan adik-beradik Abby dan Eddie Ali.[16] Adik-beradik Ali bagaimanapun meninggalkan Kembara pada awal penubuhannya itu disebabkan oleh perbezaan pendapat mereka memilih genre yang bakal diketengahkan oleh kugiran tersebut. Kembara mengeluarkan album sulung mereka yang menjadi suatu kejayaan komersial dengan sebanyak 25,000 naskhah yang terjual. Antara lagu terkenal mereka ialah "Ekspres Rakyat" yang pernah meraih anugerah khas di Pesta Lagu-lagu Pop Asean yang berlangsung di Bangkok, Thailand.[17] Mereka turut mengeluarkan enam album yang mencapai kejayaan yang sama sehingga pembubaran mereka pada akhir tahun 1985.[11]
Selepas pembubaran Kembara, M. Nasir memulakan kerjaya solo,[18] menandatangani kontrak dengan PMC/BMG dan menerbitkan album S.O.L.O yang dikeluarkan pada 13 November 1989, ia menjadi album pertamanya yang didaftarkan atas nama M. Nasir. Lima lagu di dalam album ini telah dikeluarkan sebagai single, dengan salah satunya menampilkan duet bersama Rahim Maarof, iaitu "Falsafah Cinta".[19] Album ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya mencapai angka jualan sebanyak 50,000 unit sekaligus melayakkan M. Nasir menerima dua anugerah khas daripada BMG Music setahun kemudian.[20]
Pada 5 Januari 1990, beliau menubuhkan label rakamannya sendiri Luncai Emas yang beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor.[21] Beliau seterusnya melancarkan album solo ketiganya, Saudagar Mimpi (1992) di mana beliau menulis kesemua lirik untuk 11 lagu di dalam album ini, dengan 3 lagu dikarang oleh beliau sendiri. Antara lagu popular album ini ialah "Apokalips" yang merupakan single pertama.[22]
Pada 9 Oktober 1992, beliau mengadakan konsert solo Konsert Gong Impian M. Nasir yang berlangsung di Dewan Lee San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang. Persembahan beliau telah diiringi oleh 13 pemuzik undangan dan dimulakan dengan deklamasi sajak oleh Pyan Habib. Antara yang hadir menonton persembahan beliau ialah rakan-rakan penyanyi Ramli Sarip, Hattan, Sheila Majid dan Ramlah Ram.[23]
Album studio keempat beliau, Canggung Mendonan dikeluarkan pada 22 Disember 1993, memperlihatkan M. Nasir mengetengahkan pelbagai genre termasuk muzik dunia. "Mentera Semerah Padi", "Tanya Sama Itu Hud Hud", "Sentuhan Listrikmu" dan "Bonda" dikeluarkan sebagai single. Proses rakaman album ini dijalankan di Australia.[24][25] Canggung Mendonan memenangi Album Tradisional Terbaik dan "Mentera Semerah Padi" memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik kedua.
Pada 29 Julai 1994, M. Nasir mengadakan konsert solonya yang diberi nama Konsert Canggung M. Nasir yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur,.[26] Konsert ini menjadi kejayaan komersial.[27]
Beliau mengadakan konsert jelajahnya di Eropah dengan pesta tiga hari diadakan di Manchester, England pada 1997. Idea untuk konsert ini mula dirancang pada awal tahun sama.[28]
M. Nasir melancarkan album kelima beliau, Srikandi Cintaku (1999) yang mana kesemua lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini merupakan rakaman semula dari lagu-lagu ciptaan beliau yang sebelumnya pernah dipopularkan oleh artis-artis popular dan beliau sendiri. Album ini menjadi kejayaan komersial hingga berjaya dipasarkan di Indonesia.[29][30]
Pada Disember 1999, M. Nasir mengadakan konsert solonya yang diadakan secara 'unplugged' di Auditorium Besar, Angkasapuri dan konsert ini dirakamkan untuk siaran pada Hari Raya kedua. Dalam konsert ini, beliau menyanyikan sejumlah lagu termasuk "Apokalips", "Berikan Nurbisa" dan "Srikandi Cintaku".[31][32]
Beliau kemudian membuat satu lagi persembahan di konsert solonya, iaitu Konsert Andalusia M. Nasir yang diadakan pada 29 Januari 2000 di Stadium Merdeka. Ia mencipta sejarah apabila menjadi konsert pertama yang mendapat iringan muzik orkestra. Konsert ini juga turut dihadiri oleh kumpulan Senario, Erra Fazira dan Siti Nordiana sebagai artis undangan.[33][34]
Pada 12 Jun 2001, album keenamnya, Phoenix Bangkit telah dikeluarkan. Antara lagu-lagu hits ialah "Raikan Cinta" dan "Phoenix Bangkit Dari Abu". Album ini merupakan album pertama M. Nasir bersama Warner Music Malaysia selepas kontraknya bersama BMG Music tamat.[35][36] Sebuah konsert juga telah diadakan bagi mempromosikan album ini, iaitu Konsert Phoenix Bangkit berlangsung pada 21 Oktober 2001.[37]
M. Nasir kemudian melancarkan album ketujuhnya, Sang Pencinta pada 16 Mei 2006. Album ini mendapat sambutan di pasaran.[38] Ia mempunyai pengaruh pop rock dengan pelbagai elemen muzik termasuk Brit Pop berbanding album terdahulu. "Juwita... (Citra Terindah)", "Tujuh Nafas Lagi" dan "Sang Pencinta" dikeluarkan sebagai single.[39] Sang Pencinta juga telah menerima empat pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-14, memenangi satu kategori, iaitu Album Pop Rock Terbaik.
Pada 27 Februari hingga 1 Mac 2009, beliau mengadakan Konsert Alam Muzik M. Nasir yang diadakan di Istana Budaya dengan Ali Bakar berkhidmat sebagai pengarah dan penerbit[40] dan Aznan Alias sebagai pengarah muzik. Beliau membawakan 40 lagu dalam konsert yang menggunakan khidmat 10 pemuzik profesional di bawah bimbingan Aznan.[41][42] Beliau kemudian mengadakan persembahan di Konsert Satu Wajah M. Nasir yang berlangsung di Stadium Negara pada 25 Julai.[43][44] Bagaimanapun, konsert ini dibatalkan selepas ditunda.[45]
Beliau bersama-sama dengan Ella, Ramli Sarip dan kumpulan Spider membuat persembahan di Konsert Untukmu Loloq yang diadakan pada 22 sehingga 24 April 2011 di Panggung Sari, Istana Budaya. Konsert ini diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa penulis lirik, Loloq yang meninggal dunia pada 2008 dengan menampilkan Hasnul Rahmat yang akan melakonkan beberapa sketsa memegang watak sebagai Loloq. Beliau menyampaikan 4 lagu dalam konsert itu.[46][47]
Nasir kembali beraksi di Istana Budaya dengan mengadakan persembahan di Konsert M. Nasir Sang Pencinta yang berkonsepkan teatreikal. Diadakan pada 28 hingga 30 Jun 2013,[48][49] beliau telah mempersembahkan sebanyak 25 lagu popularnya termasuk sebuah lagu baru, "Aku Dah Bilang".[50]
Dari 24 Mei hingga 7 November 2015, beliau mengadakan konsert jelajahnya, Konsert M. Nasir... Kembara yang diadakan di empat negeri di Malaysia. Ia turut dihadiri oleh Spider, Fynn Jamal dan Pitahati yang tampil sebagai artis jemputan.[51][52][53]
M. Nasir ialah salah seorang daripada 45 artis popular yang mengadakan persembahan di Konsert Petronas Bersama Merentas Zaman bersempena ulang tahun ke-45 syarikat minyak dan gas Petronas, artis yang terlibat termasuk Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, Ruffedge, Faizal Tahir, David Arumugam dan lain-lain.[54]
Kemudian pada 23 November 2019, beliau mengadakan konsert solonya, Konsert M. Nasir Satu Hikayat – 40 Tahun Perjalanan yang dianjurkan oleh Shiraj Projects yang berlangsung di Dewan Plenari KLCC. Sebanyak 20 lagu telah disenarai pendek dan dipersembahkan secara langsung selama 2 jam.[55] Konsert ini diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-40 kerjaya muzik beliau.[56][57][58]
"Zuhud", yang dikeluarkan pada 20 Disember 2019, menyaksikan kolaborasi beliau bersama pasangan penyanyi rap, Kmy Kmo dan Luca Sickta dengan beliau muncul sebagai penyanyi jemputan. Lagu ini, yang dicipta bersama oleh duo itu dan beliau sendiri, menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisional Melayu seperti serunai dan gamelan. Sebuah muzik video telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini, diarahkan oleh Yussuf Yunus dan dibintangi oleh Azri Iskandar.[59][60][61]
Pada Julai 2022, Nasir dan kumpulannya, Kembara telah mengadakan konsert Panorama Jingga 1444 Hijrah di Dewan Plenari, KLCC.[62]
Pada 25 dan 26 November 2022, beliau telah mengadakan persembahan di Konsert Simfoni Mustika M. Nasir yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan kerjasama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). Konsert ini dikendalikan oleh Ahmad Muriz Che Rose sebagai konduktor dan 100 pemuzik orkestra.[63][64]
Pada Februari 2023, beliau muncul dengan lagu terbaharu bertajuk "Munajat" yang merupakan rakaman rasmi pertamanya dalam tempoh 17 tahun sejak album terakhirnya, Sang Pencinta (2006). Lagu ini juga digunakan sebagai runut bunyi asli filem Imam arahan Mior Hashim Manap.[65][66]
Pada Oktober, beliau diberi peluang menjadi sebahagian tenaga kerja dalam proses pembangunan permainan video berlatar belakang zaman Kesultanan Melayu Melaka, Empayar: The Melaka Chronicles, yang mana beliau mencipta skor muzik. Permainan video itu dijadualkan akan dilancarkan pada akhir 2024.[67]
M. Nasir membuat persembahan di Konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir Live In Kuala Lumpur yang diadakan pada 18 November 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Dalam konsert yang tiketnya telah habis terjual dalam tempoh hanya 3 minggu ini, beliau mempersembahkan sebanyak hampir 30 lagu selama 3 jam dan menggunakan alat muzik gendang sebagai instrumen utama persembahannya. Konsert ini menjadi kejayaan komersial apabila ia dihadiri oleh seramai 2,800 penonton.[68][69] Ini merupakan konsert Gendang Pati yang kedua selepas konsert pertama yang diadakan pada 22 Julai di The Star Theatre, Singapura.[70][71]
Pada Disember, beliau kembali bertanding pada persaingan Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SAMM38) dengan mempertaruhkan lagu ciptaannya, "Menyantun Kasih" yang dinyanyikan oleh Siti Nordiana. Ini menjadi penyertaan pertamanya dalam SAMM dalam tempoh 12 tahun sejak "Awan Nano" nyanyian Hafiz Suip yang diangkat sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL) pada 2011.[72]
Beliau berkongsi pentas bersama Hattan menerusi Konsert Sifu & Aku yang berlangsung pada 3 Februari 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, Sabah. Konsert ini pada asalnya dijadualkan untuk diadakan pada 2022 namun terpaksa ditunda ke 2024 bagi menghormati pemergian seorang rakan mereka yang terlibat dalam konsert tersebut.[73][74][75]
M. Nasir muncul dengan single kolaborasi bersama Faizal Tahir, "Campak Bintang" ciptaan Faizal sendiri bersama Romeo, Glowrush dan juga Karim Karam. Dikeluarkan pada 3 Mei 2024, lagu ini berkisarkan tentang pengorbanan melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lebih berharga.[76][77] Menurut portal hiburan Oh Bulan!, "Campak Bintang" ialah "sebuah karya yang menyatukan genre pop dengan warisan budaya Melayu" dan "membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dan irama tradisional".[78]
Bagi meraikan 45 tahun penglibatan beliau dalam industri muzik, M. Nasir mengadakan konsert M. N45IR CIPTA yang berlangsung pada 10 Ogos 2024 di Arena Axiata, Kuala Lumpur.[79][80] Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam, beliau menghiburkan peminat dengan mempersembahkan sebanyak lebih 20 buah lagu dengan iringan 25 pemuzik dan penyanyi latar. Antara lagu yang dipersembahkan termasuk "Suatu Masa", "Sentuhan Listrikmu", "Apokalips", "Senandung", "Semalam", "Hati Emas" dan "Bikin Filem". Konsert ini menjadi kejayaan komersial apabila ia dihadiri seramai 8,000 penonton.[81][82][83] Antara yang hadir menonton konsert beliau ialah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.[84] Berikutan kejayaan konsert CIPTA pertama, M. Nasir mengumumkan bahawa konsert CIPTA kedua dijadualkan bakal berlangsung pada Oktober 2024.[85][86][87] Beliaujuga menyertai artis-artis terkenal seperti Sheila Majid dan Misha Omar di dalam Konsert Resonance for a Reason with Malaysian Philharmonic Orchestra pada 9 November 2024 [88].
Kerjaya filem M. Nasir bermula pada 1986 apabila beliau menulis dan membintangi filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang mana beliau melakonkan watak sebagai Bujang, seorang pemuzik jalanan yang baru tiba di ibukota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus di Hentian Puduraya. Filem ini ditayangkan pada 22 Februari 1986 dan merupakan kejayaan kritis.[89]
Pada tahun yang sama, beliau membintangi filem Balik Kampung dengan membuat penampilan kameo sebagai penerbit album. Empat tahun kemudian, iaitu pada 1990, M. Nasir dipelawa oleh Aziz M. Osman untuk membintangi filem pertama arahan Aziz, Fenomena yang turut dibintangi oleh Ramona Rahman dan Amy Search. Beliau memenangi dua anugerah di Festival Filem Malaysia ke-9 bagi dua kategori, Skor Muzik Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.
M. Nasir menduduki kerusi pengarah dengan mengarahkan filem pertamanya, Merah terbitan syarikatnya, Luncai Emas yang mana beliau turut berkhidmat sebagai penerbit, penulis skrip dan pengarah muzik selain turut berlakon. Dikeluarkan pada Disember 1996, filem ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.5 juta.[90]
M. Nasir dalam temu bual bersama Utusan Malaysia pada Januari 1999, mengumumkan bakal muncul dengam sebuah filem mengenai alam mistik dan ghaib, dan berkata: "Yang pasti ia adalah sebuah filem yang akan memberi kupasan tentang kuasa-kuasa ghaib atau mistik".[91] Bagaimanapun, atas sebab yang tidak diketahui, projek itu tidak dapat direalisasikan.
Dari 17 Julai hingga 31 Ogos 2000, beliau melakonkan watak Masterji Ali dalam drama pertama lakonannya, Salam Taj Mahal yang bersiaran di TV3. Pelakon lain yang terlibat termasuk Vanidah Imran, Rashidi Ishak dan Umie Aida.[92] Pada tahun 2001, beliau meminjamkan suaranya untuk watak Putera Afdus dalam filem animasi Putih arahan Rashid Sibir. Dalam temubual bersama The Star, Nasir menyifatkan watak pahlawannya sebagai pengalaman baru. "Saya tidak berfikir dua kali untuk menerima peranan itu. Ini sesuatu yang baru bagi saya dan menarik,". Dikeluarkan pada 25 Oktober 2001, filem animasi ini turut menampilkan lakonan suara Erra Fazira yang menjayakan watak tajuk.[93]
Beliau meraih kejayaan komersial menerusi watak lakonannya sebagai Hang Tuah dalam filem sejarah epik Puteri Gunung Ledang (2004) yang menggandingkan beliau bersama Tiara Jacquelina sebagai watak tajuk. Dikeluarkan pada 31 Ogos 2004, filem ini merupakan filem paling termahal di Malaysia dengan kos pembikinan sebanyak RM16.6 juta. Persembahannya dalam filem ini melayakkan Nasir bersama seorang lagi pelakon filem ini, Adlin Aman Ramlie menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18. Selain berlakon, beliau turut menyumbangkan skor muzik untuk filem itu dan salah satu runut bunyinya, "Bagaikan Sakti" duet bersama Siti Nurhaliza.[94][95][96]
Pada tahun 2014, beliau membintangi sebuah filem Brunei bertajuk Yasmine dengan memegang watak Datuk Raja Nan Hitam. Kemudian pada 12 Oktober 2017, beliau memegang watak Tan Sri Berham dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba, adaptasi dari novel 1998 bertajuk sama karya Ramlee Awang Murshid lakonan bersama Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nabila Huda. Filem ini kembali menggandingkan kolaborasi M. Nasir bersama Nasir Jani dan menjadi kejayaan komersial apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8 juta.[97]
Pada tahun berikutnya, beliau berlakon bersama Ashraf Sinclair (Allahyarham), Remy Ishak, Daniella Sya, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana dan Roy Marten dalam drama premium Malaysia-Indonesia, DO(S)A: Sacred Sin (2018) arahan Ifa Isfansyah. Ia mengisahkan tentang empat beradik yang dibesarkan bapa mereka sendirian dengan nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat dan disiplin persilatan. Dalam drama ini, beliau memegang watak sebagai Latif.[98]
Beliau juga terlibat dalam bidang seni lukisan, terutamanya seni abstrak dan pernah mempamerkan 4 hasil seni lukisannya di Galeri Petronas, Kompleks Dayabumi dari 12 Mei hingga 4 Jun 1995.[99] Beliau telah mengadakan beberapa pameran melalui karya kanvasnya; yang pertamanya ialah Tanda pada 2014 dan Tanda II pada 2015, kedua-duanya diadakan di Shah Alam.[100] Lukisan dihasilkannya berbentuk kerohanian dan ia juga sebagai ilham yang membentuk lagunya.[101][102]
Dari 8 sehingga 30 Jun 2024, beliau mengadakan pameran seni khasnya, SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu...M. Nasir yang dianjurkan di Galeri Puteh. Pameran ini menghimpunkan lebih 30 karya seni yang diinspirasi daripada lagu-lagu ciptaan beliau dengan menggabungkan elemen seni visual, fotografi dan persembahan.[103][104][105][106]
Pada Mei 2005, beliau dan isterinya, Marlia Musa dipilih sebagai antara peneraju utama Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) terbitan Astro. Nasir dilantik sebagai Pengetua manakala Marlia berkhidmat sebagai guru seni persembahan.[107][108]
Pada 28 Oktober 2015, beliau menjadi juri undangan rancangan TV realiti Gegar Vaganza musim kedua. Ini menandakan penampilan pertamanya sebagai juri tamu dalam sebuah rancangan realiti. Beliau menjadi juri undangan bersama dua juri tetap Ramli M. S. dan Khadijah Ibrahim.[109]
Pada Julai 2022, beliau menyertai cabang e-sukan, RSG Malaysia dengan menjadi sebahagian daripada Liga Profesional Mobile Legends (MPL) musim ke-10. Beliau turut bermain di posisi Flex dan menggunakan nama In Game Name atau IGN Sifu! di dalam permainan tersebut. Penyertaan ini menandakan penglibatan sulungnya dalam bidang sukan elektronik.[110][111]
Pada Disember 2023, M. Nasir dilantik sebagai Duta Kemanusiaan MERCY Malaysia bagi tempoh 3 tahun. Pelantikan ini menjadikan beliau sebagai selebriti pertama dilantik sebagai duta dalam sejarah 24 tahun pertubuhan tersebut.[112][113][114]
Semasa membesar di Singapura, beliau diperkenalkan kepada lagu-lagu dendangan penyanyi dan pemuzik antarabangsa seperti Bob Dylan dan Crosby, Stills, Nash & Young. Selain itu, beliau turut menjadikan Queen, Pink Floyd, Bob Marley dan Ahmad Jais sebagai sumber inspirasi dan rujukan. Dalam temubual bersama Harian Metro, beliau berkata: “Pengaruh banyak datang daripada abang saya yang banyak membeli rekod penyanyi luar. Saya kemudian diperkenalkan dengan Crosby, Stills, Nash & Young. Mereka menjana minat saya untuk menghasilkan lagu berunsur kerakyatan dan marhaen seperti apa yang saya lakukan bersama Kembara. Waktu itu juga kebanyakan anak muda lain lebih meminati muzik heavy rock daripada Deep Purple dan sebagainya, tetapi abang saya kemudian memperkenalkan Led Zeppelin kepada saya,".[115]
Beliau merupakan pemilik syarikat rakaman Luncai Emas yang ditubuhkan pada 1990. Adiknya, Dzul juga aktif dalam bidang seni di Singapura. Selaku penggubah, beliau merupakan karyawan yang bertanggungjawab terhadap kegemilangan artis-artis terulung di Malaysia seperti Rahim Maarof, Alleycats, Search, Wings, Ella, Ziana Zain, Hattan, Spider, Mawi dan Misha Omar. Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam zaman kegemilangan muzik rock pada era 1980-an.[115]
M. Nasir juga dikenali menerusi hasil karyanya pelbagai genre seperti balada nusantara, folk rock dan muzik dunia dengan unsur-unsur kerakyatan, kemanusiaan, kerohanian dan ketuhanan yang sering menjadi tema lagu-lagunya.[116] Hasil seni lukisan juga telah mengilhamkan beliau mencipta dan menulis lagu.[117] Sebagai penulis lirik, beliau amat mementingkan konsep metafora, analogi, dan puitis dalam penulisan lirik hingga membolehkan masyarakat mentafsir lirik-liriknya.[118] Nasir dipetik oleh Berita Harian Singapura sebagai berkata: "Lirik dahulu cukup mendalam. Kita rasakan betapa bingitnya kehidupan. Kerap kali, orang tua kita dahulu memang tak tahu apa yang kita sebenarnya buat dalam kita bergelar anak seni".[119]
Beberapa lagu nyanyiannya juga mempunyai maksud yang tersendiri. Sebagai contoh, lagu "Mustika" yang dipetik dari album S.O.L.O mempunyai melodi yang unik dengan muzik asli Jawa dan bunyi-bunyian seperti angklung gamelan dan gong, melambangkan rasa cinta seorang kekasih kepada kekasihnya, seorang suami kepada isterinya atau sebaliknya, juga melambangkan rasa cinta manusia kepada Tuhannya.[20] "Masirah" dari album Phoenix Bangkit menyingkap semangat perjuangan rakyat Palestin lantaran kerakusan rejim zionis. Lagu ini dimulakan dengan petikan puisi Perancis, kemudian dilatari dengan muzik peribumi Palestin, dan diakhiri dengan doa dan harapan yang dibacakan dalam bahasa Arab.[120] M. Nasir juga paling dikenali menerusi kerjasamanya bersama penulis lirik Loloq, bermula dari album S.O.L.O (1989) sehingga Sang Pencinta (2006). Selepas Loloq meninggal dunia pada 2008, Nasir berpendapat kehebatan Loloq sebagai penulis lirik sukar dicari ganti.[121] Ramlah Zainal dari Harian Metro menulis: "[Beliau] sentiasa mencipta karya hebat, luar biasa dan malar segar sehingga meraih pelbagai pengiktirafan sepanjang pembabitannya dalam industri muzik tanah air".[122] Aref Omar dari New Straits Times menulis: "Beliau mungkin seorang yang jarang berkata-kata di atas pentas, tetapi muzik dan keseniannya pasti menebusnya, mencipta perbualan yang memukau, melodi dan berirama" dan "sentiasa menyelitkan intipati Nusantara ke dalam muziknya, melahirkan lagu-lagu hebat untuk dirinya dan artis lain".[123] Menulis untuk Malaysiakini, Faisal Tehrani menyifatkan M. Nasir sebagai "seorang mahaguru muzik luar biasa".[124]
M. Nasir dikenali sebagai salah seorang penyanyi terbaik Malaysia yang memenangi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Lelaki) Anugerah Industri Muzik (AIM).[115] Beliau juga merupakan antara individu yang dihormati hampir semua penggiat seni tempatan dan juga pengamal media, sekaligus dirujuk sebagai 'sifu' atau lagenda.[115]
Beberapa rakan artis, komposer, pengamal media dan sasterawan meluahkan pandangan mereka tersendiri mengenai beliau. Komposer terkenal, LY berkata: "Karya M. Nasir dapat membezakan antara yang lama dan yang baru serta yang berlabuh dan yang perlu di abad ke-21".[125] Bekas vokalis kumpulan Search, Amy yang pernah bekerja dengan M. Nasir untuk album-album Search pula berkata: "Beliau tahu hala tuju muzik ketika membentuk artis kerana ilmu pengetahuannya. Sumbangan M. Nasir amat besar kepada industri seni dan sudah tiba masanya berkecimpung dalam seni".[125] Siti Nurhaliza yang pernah bekerjasama dengan Nasir menerusi lagu "Bagaikan Sakti" menyifatkan M. Nasir sebagai sifu muzik Malaysia dan berkata: "Lagu-lagunya sering menyentuh kita dan pada masa yang sama, mesej-mesej mempunyai elemen ilmu yang tinggi karyanya yang berhayat panjang kerana keindahan melodinya".[125]
Sasterawan Negara, Noordin Hassan berpendapat: "M. Nasir adalah seorang yang inovatif. Karyanya tidak berlandaskan norma-norma biasa, sebaliknya ia sentiasa ada pembaharuan. Beliau tidak menggunakan simpulan bahasa yang sama dalam setiap karyanya. Kegemaran saya sudah tentu qasidahnya bersama Jamal Abdillah dalam lagu "Ghazal Untuk Rabiah".[125] Rosyam Nor pula berpendapat: "Karyanya adalah definasi sebenar kepada budaya Nusantara".[125] Ku Seman Ku Hussein dari Utusan Malaysia berkata: "Lagu dan muzik M. Nasir menghambat saya untuk ikut menyusuri kembara seni yang mistik di sebalik bunyi dengungan bunyi dari akar budaya Melayu".[125] Saniboey Ismail dari Harian Metro pula berkata: "M. Nasir bagi saya adalah seniman versatil. Dia kaya dengan melodi muziknya. Ada sikap dan mengikuti perkembangan semasa. Banyak lagu ciptaanya yang saya anggap sebagai karya besar dan menjadi inspirasi kepada komposer, penyanyi, penulis lirik, malah pendengar biasa seperti saya sendiri. Beliau sebenarnya adalah bapa kepada evolusi muzik tanah air".[125] Penyanyi dan komposer Indonesia, Melly Goeslaw berpendapat bahawa M. Nasir ialah "berlian negara" dan berkata: "Setiap bangsa memiliki berlian, dan berlian merupakan harta karun sesebuah bangsa. Datuk M. Nasir adalah satu satu harta karun Malaysia. Saya sangat suka dengan gaya penulisannya, puitis, tetapi ada jelas kepada maksudnya. Banyak lirik yang mempunyai maksud mendalam".[126]
Nasir berpindah bersama keluarganya ke Malaysia pada tahun 1984, di mana beliau mendapat kerakyatannya secara naturalisasi pada tahun 1989.[11] Beliau bersama keluarganya menetap di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.[15]
Beliau berkahwin dengan vokalis kumpulan Ideal Sisters, Junainah Johari pada 12 September 1981[127] dan dikurniakan lima anak, empat anak lelaki – Ilham, Yassin, Hidayat dan Shafie serta seorang anak perempuan – Nurnilam Sari. Junainah meninggal dunia pada 8 Ogos 1998 akibat asma,[128][129] meninggalkan Ilham, Yassin, Ilham, Shafie dan Nurnilam Sari di bawah jagaan M. Nasir. Beliau mengikat tali pertunangan dengan pelakon dan penulis skrip Marlia Musa pada 7 Mei 2000,[130] pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 31 Ogos dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Suci Musalmah.[128][131][132][133][134]
Bapanya, Mohamed Sam meninggal dunia pada 28 Januari 2021 akibat sakit tua pada usia 96 tahun. Nasir bagaimanapun, tidak dapat pulang ke Singapura bagi memberi penghormatan terakhir kepada bapanya berikutan penularan pandemik COVID-19 di Singapura.[135][136][137] Ini kemudian diikuti oleh ibunya, Aesah Yahya yang meninggal dunia pada 26 Mac 2023 juga akibat sakit tua pada usia 88 tahun.[138][139]
Pada Disember 2021, M. Nasir disahkan positif COVID-19 dan menjalani kuarantin di rumah. Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil.[140][141]
Pada tahun 1996, M. Nasir menjadi subjek kontroversi dan kecaman umum apabila beliau didakwa menjawab pertanyaan "Siapa Mahathir?",[142] selain turut tidak menghadiri latihan sempena Malam Puisi Utusan Malaysia yang menampilkan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat. Akibatnya, beliau digam daripada muncul dalam mana-mana stesen TV dan radio kerana bersikap kurang ajar terhadap Perdana Menteri, Mahathir selepas arahan yang dikeluarkan oleh timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Suleiman Mohamed yang turut mengarahkan agar karya M. Nasir tidak dibenarkan disiarkan di TV dan radio. Konsertnya yang dijadualkan akan diadakan di Selangor dan Kedah juga turut dibatalkan.[143][144][145] Dalam satu temubual pada 2017, M. Nasir menyatakan beliau tidak mahu mengulas berkenaan isu tersebut kerana menyifatkan "tidak mendatangkan hasil".[146][147]
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1986 | Kembara Seniman Jalanan | Bujang | Filem lakonan pertama, sebagai penulis dan komposer |
Balik Kampung | Penerbit Album | Penampilan kameo | |
1990 | Fenomena | Azlan | |
1992 | Selubung | Kamal | |
1993 | Balada | Desa | |
1994 | Simfoni Duniaku | Iskandar | |
1996 | Merah | Hassan | Juga sebagai pengarah, penulis, penerbit dan muzik |
1999 | Perempuan Melayu Terakhir | Pelakon Pentas | Penampilan khas |
2001 | Putih | Putera Aftus (suara) | Filem animasi |
2004 | Puteri Gunung Ledang | Hang Tuah | |
2010 | Magika | Penunggu Tasik Chini | |
2014 | Yasmine | Datuk Raja Nan Hitam | Filem Brunei |
2017 | Tombiruo: Penunggu Rimba | Tan Sri Berham | |
2022 | Rajawali | Komang | |
2023 | Imam | Haji Mihad | |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
2000 | Salam Taj Mahal | Masterji Ali | TV3 |
2018 | Dosa: Sacred Sin | Latif | Astro First Eksklusif |
2023 | Special Force: Anarchy | Umar | Disney+ Hotstar |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2017–2021 | Omar & Hana | Atuk | Astro Ceria | |
2020 | Sepahtu Reunion Live | Kameo | Astro Warna | Episod: "Cinta Si Tukang Kasut" |
|
|
Sepanjang kerjayanya, M. Nasir telah menerima pelbagai anugerah dan pencapaian, termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular pada tahun 1994, 2000 dan 2001[149] dan Anugerah Planet Muzik bagi kategori Artis Lelaki Terbaik pada tahun 2002[150] dan 2007.[151] Beliau juga telah menerima 3 anugerah pencapaian sepanjang hayat, iaitu Anugerah Wirama di Anugerah Industri Muzik 2002,[152][153] Anugerah Seni ERA di Anugerah Era 2005[154] dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.[155] Selain itu, beliau juga memenangi kategori Etnik Kreatif di Anugerah Juara Lagu ke-12 menerusi lagu duetnya bersama Jamal Abdillah, "Ghazal Untuk Rabiah"[156] dan kategori Lagu Hip Hop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-16 menerusi lagu duetnya bersama Malique, "Mantera Beradu". Album keenam beliau, Phoenix Bangkit menerima 8 pencalonan dan memenangi 4 daripadanya termasuk Album Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Lelaki) di Anugerah Industri Muzik ke-9[157] dan memenangi Album Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2002.[158] Bagi hasil kerjanya sebagai komposer dan penerbit rakaman, beliau memenangi Anugerah MACP sebanyak 6 kali berturut-turut bagi kategori Komposer Terunggul dan 4 kali berturut-turut bagi kategori Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.[159][160][161]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.