Hang Tuah
Laksamana Kesultanan Melaka From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Hang Tuah ialah seorang tokoh legenda Melayu yang terkenal sebagai Laksamana utama dalam Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Beliau diangkat sebagai lambang kesetiaan, keberanian dan kebijaksanaan dalam tradisi Melayu, dan menjadi watak utama dalam karya klasik seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.[1][2]
"Takkan Melayu hilang di dunia." - Hang Tuah
Remove ads
Biografi
Menurut rekod dan tradisi lisan, Hang Tuah dilahirkan di Pulau Bintan antara tahun 1431 hingga 1444. Bapanya bernama Hang Mahmud, manakala ibunya ialah Dang Merdu Wati. Sejak muda, Hang Tuah menunjukkan kepimpinan dan ketajaman akal. Hang Tuah mengetuai rombongan bersama empat sahabat karibnya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu untuk berguru dengan seorang Guru Silat di Gunung Ledang.
Setelah menamatkan pengajian, mereka berlima kembali ke Melaka. Dalam perjalanan pulang, mereka terserempak dengan Bendahara Tun Perak yang telah dikepung oleh sekumpulan penjahat. Hang Tuah dan empat sahabatnya menunjukkan keberanian apabila mereka memilih untuk menyelamatkan Tun Perak dan bertarung dengan kumpulan penjahat tersebut. Ketangkasan dan kecekapan mereka bertarung dengan kumpulan penjahat itu telah menarik perhatian Tun Perak. Setelah berjaya menumpaskan kumpulan tersebut, Hang Tuah dan empat orang sahabatnya dijemput untuk menghadap Sultan Melaka. Mereka berlima akhirnya dilantik sebagai Hulubalang untuk berkhidmat di bawah naungan Sultan Melaka.
Pada suatu hari, ketika Hang Tuah mengiringi rombongan Sultan Melaka ke Majapahit, Hang Tuah telah dicabar oleh pendekar Jawa bernama Taming Sari di istana. Taming Sari adalah seorang pendekar handal yang kebal dan sukar untuk dilukakan. Dalam pertarungan mereka, Hang Tuah dengan kebijaksanaannya menilai dan membaca gerak geri pihak lawan, telah mengenalpasti bahawa kekebalan Taming Sari adalah terletak pada azimat kerisnya. Hang Tuah menumpukan segala kekuatan untuk menepis dan merampas keris tersebut, lantas berjaya membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya disembahkan pada raja Majapahit Suraprabhawa, yang kemudian menganugerahkannya kepada Hang Tuah sebagai tuan baru kepada Keris Taming Sari.[3]
Misi ke Pahang dan Fitnah terhadap Hang Tuah
Hang Tuah telah diutuskan oleh Sultan Melaka untuk berangkat ke Pahang bagi meminang Tun Teja Ratna Benggala sebagai permaisuri baginda. Dalam misi diplomatik ini, Hang Tuah menunjukkan kebijaksanaan dan kepetahan bicara yang melambangkan adab dan budi pekerti Melayu berasaskan nilai Islam.[4]
Setelah selesai misi dan tiba di Istana Melaka, timbul golongan iri hati terhadap Hang Tuah yang menabur fitnah kepada Sultan Melaka, kononnya Hang Tuah telah berkhalwat dengan Tun Teja. Sultan yang murka tanpa usul periksa telah menitahkan agar Hang Tuah dihukum bunuh.
Namun, Tun Perak, yang mengenali Hang Tuah sebagai seorang yang setia, beriman dan tidak mungkin melakukan perbuatan terkutuk, enggan melaksanakan hukuman tersebut. Dengan kebijaksanaan dan belas ihsan, beliau menyembunyikan Hang Tuah di sebuah kawasan terpencil di Hulu Melaka. Di situ Hang Tuah tidak memberontak dan memilih untuk hidup dalam buangan, mendekatkan diri kepada Allah dan menunggu ketentuan Ilahi. Kisah ini mencerminkan tema besar dalam tamadun Melayu-Islam: bahawa fitnah adalah ujian yang paling berat bagi insan beriman, dan kejujuran akhirnya akan terbukti dengan izin Tuhan.[5]
Peristiwa ini juga menjadi titik penting dalam konflik moral antara kesetiaan kepada raja dan pembelaan terhadap keadilan yang kemudian memuncak dalam pemberontakan Hang Jebat. Dalam konteks kesusasteraan Melayu klasik, ia menzahirkan persoalan tentang keadilan raja, fitnah, dan keteguhan iman seorang hamba yang diuji.
Pemberontakan Hang Jebat dan Pertarungan Tujuh Hari
Selepas Hang Tuah difitnah dan disangka telah dihukum mati, Sultan Melaka melantik Hang Jebat sebagai Laksamana yang baharu dan menganugerahkan kepadanya Keris Taming Sari, lambang kepimpinan dan keberanian panglima tertinggi istana.[6]
Sekian lama, Hang Jebat berasa amat kecewa dan atas nasib yang menimpa sahabatnya Hang Tuah, yang menurutnya telah dianiaya tanpa pengadilan yang secukupnya. Dalam versi Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat memberontak untuk menentang kezaliman sultan menggunakan kedudukan dan pengaruhnya sebagai Laksamana untuk menguasai istana. Namun dalam versi Sejarah Melayu, watak yang memulakan penderhakaan itu ialah Hang Kasturi.[7]
Hang Jebat dengan azimat yang ada pada keris Taming Sari mempunyai kekebalan dan kekuatan luar biasa, menjadikan tiada seorang pun pendekar atau hulubalang Melaka yang mampu untuk menandinginya. Dalam kemarahan dan dendam yang membara, Hang Jebat mula mengamuk di istana dan seluruh kota Melaka, menyebabkan ramai rakyat tidak berdosa terbunuh. Perbuatannya menggambarkan peralihan dari semangat menegakkan keadilan kepada tindakan melampaui batas syarak dan adab seorang pahlawan Islam.[8]
Apabila Sultan Melaka akhirnya menyesali perbuatannya menjatuhkan hukuman terhadap Hang Tuah tanpa usul periksa, Tun Perak memohon ampun dan menerangkan dengan jujur bahawa Laksamana itu masih hidup dan telah disembunyikan di Hulu Melaka. Dalam keinsafan dan rasa bersalah, baginda menitahkan supaya Hang Tuah kembali ke istana dan menumpaskan pemberontakan Hang Jebat demi memulihkan keamanan negeri Melaka yang sedang huru-hara.[9]
Peristiwa ini menjadi simbol paling mendalam dalam kesusasteraan dan falsafah Melayu-Islam, kerana Hang Tuah terpaksa membuat pilihan antara dua amanah besar: ketaatan kepada ulil amri (pemerintah Islam) selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama, atau kasih terhadap sahabat yang bangkit menuntut keadilan buat sahabatnya. Dalam kerangka pemikiran Islam, konflik ini melambangkan ujian keimanan seorang mukmin, di mana kesetiaan kepada kebenaran mesti disertai dengan kesabaran, hikmah dan reda terhadap takdir Allah.[10]
Kembalinya Hang Tuah ke Melaka mempertemukan dua sahabat sejati dalam pertarungan yang tragis. Pertempuran antara Hang Tuah dan Hang Jebat, bersama pengikut-pengikut mereka, berlangsung selama tujuh hari tujuh malam. Pertarungan itu bukan sekadar pertembungan fizikal tetapi juga simbol pertembungan dua prinsip, kesetiaan dan keadilan. Akhirnya, dengan penuh keinsafan dan kesedihan, Hang Tuah berjaya merampas kembali Keris Taming Sari daripada tangan Hang Jebat dan menikamnya hingga maut.[11]
Tragedi ini terus menjadi lambang pengorbanan dalam budaya Melayu, memperlihatkan bahawa dalam setiap perjuangan, keadilan dan kesetiaan hanya bernilai apabila disertai dengan iman dan keikhlasan.
Remove ads
Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah cerita hikayat Melayu yang menggambarkan dengan terperinci keadaan semasa sewaktu tersebut. Hikayat Hang Tuah telah disifatkan oleh pengkaji sebagai menggambarkan tiga zaman yang ditempuhi oleh bangsa Melayu iaitu zaman permulaan, zaman kegemilangan, dan zaman kejatuhannya.
Terdapat perdebatan mengenai sama ada Hang Tuah benar-benar wujud, ataupun hanya dongengan semata-mata. Ini disebabkan tempoh yang dirangkumi dalam Hikayat Hang Tuah agak lama. Selain itu terdapat perbezaan dalam beberapa kitab lain mengenai jalan cerita hikayat Hang Tuah.
Perkara ini merupakan satu perkara biasa bagi tokoh silam, sama seperti permasalahan tokoh terkenal, Raja Arthur, Robin Hood dan yang lain-lain dalam legenda-legenda bangsa Inggeris.
Pada tahun 2015, Dewan Bahasa Dan Pustaka telah menerbitkan antologi Nilai Insan bagi subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif Tingkatan 4 dan 5. Antologi ini meliputi puisi dan prosa tradisional telah menggantikan teks-teks sebelumnya yang telah diguna buat kali terakhir bagi pelajar yang menduduki SPM pada tahun 2014.
Antara kandungan yang terdapat dalam Nilai Insan ialah Sastera Epik yang bertajuk Hang Tuah Diutus Ke Siam yang dikutip dari Hikayat Hang Tuah.
Buku Jaket Kulit Kijang dari Istanbul yang merupakan teks antologi bagi subjek-subjek bahasa Melayu untuk tingkatan 4 dan 5 juga memetik Kisah Kertala Sari dari Hikayat Hang Tuah dibawah tajuk “Kepimpinan Melalui Teladan”
Remove ads
Hang Tuah menurut catatan sejarah Sulalatus Salatin[12]
Terdapat perbezaan penceritaan mengenai sejarah Hang Tuah antara Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin. Gambaran Hang Tuah yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin dilihat lebih realistik serta tidak sarat dengan unsur mistik. Dalam Sulalatus Salatin, nama sebenar Hang Tuah dicatatkan sebagai Daeng Mempawah. Beliau merupakan anak kepada Raja Bajung (sebutan asal dalam bahasa Sulawesi ialah Bajeng) dan berasal dari wilayah Gowa, Makassar, Sulawesi.
Hang Tuah telah dikurniakan oleh Raja Gowa kepada rombongan diplomatik Melaka yang diketuai oleh Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja, sebagai hadiah kepada Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka pada ketika itu. Ketika dikurniakan kepada rombongan Melaka, Hang Tuah masih berusia sekitar 12 tahun. Walaupun masih muda, beliau dikisahkan pernah membunuh dua orang yang mengamuk di negerinya.
Nama "Hang Tuah" diberikan oleh Sultan Mansur Shah setelah baginda berkenan melihat beliau. Hang Tuah kemudian dikurniakan keris yang bernama Keris Tempa Melaka (bukan keris Taming Sari). Sepanjang berada di Melaka, Hang Tuah berguru dengan hulubalang-hulubalang yang ada di Melaka, bukan dengan Adi Putera di Gunung Ledang seperti di dalam hikayat yang masyhur itu. "Perhangan" yang kita sedia maklum adalah lima orang tetapi sebenarnya di dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), Sultan Mansur telah memilih lapan orang "Hang" sebelum kedatangan Hang Tuah, iaitu:
- Hang Jebat
- Hang Kasturi
- Hang Lekir
- Hang Lekiu
- Hang Ali
- Hang Iskandar
- Hang Hassan
- Hang Hussin
Maka dengan kedatangan Hang Tuah, "Perhangan" (pahlawan Melaka) menjadi sembilan orang semuanya. Mereka semuanya saling bermuafakat dan berkasih sayang. Hang Tuah adalah pahlawan yang paling handal di antara sembilan orang "Hang" ini.
Hang Tuah dikenali sebagai seorang yang rupawan, cerdik, perkasa, mempunyai hikmat dan berani. Apabila ada orang yang mengamuk di dalam Melaka dan tidak ada sesiapa yang mampu mengawal amukan tersebut maka Hang Tuah akan dititahkan oleh Sultan untuk mengatasinya. Dikatakan bahawa Hang Tuah pernah membunuh 74 orang yang mengamuk di Melaka. Pemuda-pemuda di Melaka menggelarnya Laksamana kerana apabila Hang Tuah bergurau dengan rakan-rakannya, beliau akan menyinsing lengannya dan berkata: "Laksamana akan lawanku". Sejak dari itu para pemuda memanggilnya dengan Laksamana hingga akhirnya sultan juga terikut-ikut memanggilnya Laksamana.
Pada suatu hari ada seorang dari suku Jawa mengamuk kerana berasa malu diejek oleh para pemuda Melaka. Ramai yang telah dibunuh oleh orang Jawa tersebut dan tidak ada sesiapa yang mampu menghalanginya. Sultan Mansur Shah kemudian menghantar Hang Tuah untuk menyelesaikannya dan akhirnya orang yang mengamuk itu berjaya dibunuh. Dengan kejayaan itu, Sultan terus melantik Hang Tuah menjadi Laksamana. Digambarkan juga di dalam Sulalatus Salatin akan ketampanan Hang Tuah. Ketika berada di Majapahit, Hang Tuah telah menjadi kegilaan para wanita Jawa sama ada gadis sunti atau isteri orang. Dikatakan jika seorang isteri sedang berada dalam dakapan suaminya sekalipun pasti akan terkejut dan terus keluar untuk melihat Hang Tuah.
Ketika pertarungan dengan Hang Jebat, Hang Tuah dalam keadaan tubuh yang sangat kurus. Berjalan pun terketar-ketar kerana beliau dipasung dalam tempoh yang lama oleh Seri Nara Diraja di Dusun akibat kesalahan berzina dengan Dayang Istana. Hang Tuah berjaya menewaskan Hang Jebat kerana kepintarannya memperdaya Hang Jebat. Ketika keris beliau terlekat di dinding, beliau meminta belas kasihan daripada Hang Jebat agar memberikannya peluang untuk mencabut kembali kerisnya. Hal tersebut berlaku selama dua tiga kali. Tetapi apabila keris Hang Jebat tersangkut ke dinding, cepat-cepat beliau menikam Hang Jebat. Apa yang perlu diperhatikan, tidak ada diceritakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat bertarung di atas talam kerana para pengawal menjolok dengan lembing dari bawah istana. Juga tidak ada perebutan keris Taming Sari yang mana sesiapa yang memiliki keris tersebut akan menjadi kebal. Malah Keris Taming Sari itu juga tidak wujud dalam Sulalatus Salatin.
Dinyatakan di dalam Sulalatus Salatin bahawa Hang Tuah berkahwin dengan mempunyai dua orang isteri, tiga orang anak, empat orang cucu, dua orang cicit dan seorang piut iaitu:
- Isteri pertama: (Nama tidak disebutkan), merupakan saudara kepada Seri Bija Diraja Dato' Bongkok.
- Anak dari isteri pertama: 1) Tun Sirah (perempuan) kahwin dengan Temenggung Khoja Hassan.
- Cucu dari isteri pertama: 1) Tun Abdullah (lelaki), 2)Tun Biajid (lelaki), 3) Tun Daerah (perempuan) - berkahwin dengan Sultan Mahmud Shah
- Cicit dari isteri pertama: 1) Raja Dewi binti Sultan Mahmud Shah
- Cucu dari isteri pertama: 1) Tun Abdullah (lelaki), 2)Tun Biajid (lelaki), 3) Tun Daerah (perempuan) - berkahwin dengan Sultan Mahmud Shah
- Anak dari isteri pertama: 1) Tun Sirah (perempuan) kahwin dengan Temenggung Khoja Hassan.
- Isteri kedua: (Nama tidak disebutkan), dari keluarga Bendahara Paduka Raja Tun Perak.
- Anak dari isteri kedua: 1) Sang Guna (lelaki), 2) Tun Emas Jiwa (perempuan) - berkahwin dengan Hang Nadim
- Cucu dari isteri kedua: 1) Tun Mat Ali bin Hang Nadim
- Cicit dari isteri kedua: 1) Tun Hamzah bin Tun Mat Ali
- Piut dari isteri kedua: 1) Tun Ali bin Tun Hamzah - Tun Ali bergelar Seri Petam.
- Cicit dari isteri kedua: 1) Tun Hamzah bin Tun Mat Ali
- Cucu dari isteri kedua: 1) Tun Mat Ali bin Hang Nadim
- Anak dari isteri kedua: 1) Sang Guna (lelaki), 2) Tun Emas Jiwa (perempuan) - berkahwin dengan Hang Nadim
Ketika ekspedisi mendaki Gunung Ledang untuk meminang Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah tidaklah merasa sangat kecewa hingga ghaib di Sungai Melaka akibat gagal meneruskan pendakian ke puncak Gunung Ledang. Hang Tuah masih lagi hidup hingga beliau meninggal dunia setelah sekembali menantunya, Hang Nadim dari Benua Keling. Hang Tuah telah dimakamkan dengan penuh adat istiadat di Tanjung Keling, Melaka oleh Sultan Mahmud Shah. Hingga sekarang makam tersebut masih lagi wujud dan terjaga dengan baik oleh kerajaan negeri Melaka. Jawatan Laksamana kemudiannya disandang oleh menantunya sendiri, Khoja Hassan. Selepas Laksamana Khoja Hassan meninggal dunia, jawatan Laksamana disandang pula oleh Hang Nadim, namun ketika itu Kesultanan Melaka telah berpindah ke Johor.
Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan, bukanlah Hang Tuah yang melarikan Tun Teja dari Pahang sebagaimana di dalam Hikayat Hang Tuah. Peristiwa tersebut sebenarnya berlaku selepas Hang Tuah meninggal dunia. Dicatatkan yang melarikan Tun Teja adalah Hang Nadim, iaitu menantu Hang Tuah.
Remove ads
Peranan dalam Kesultanan Melaka
Hang Tuah dilantik sebagai Laksamana kerana keberanian dan kebijaksanaannya dalam mengurus urusan istana serta hubungan diplomatik dengan kuasa asing seperti Dinasti Ming di China dan Kerajaan Majapahit di Jawa.[13] Beliau dikatakan pernah mengetuai misi ke Majapahit dan membawa pulang puteri diraja Hang Li Po untuk diperisterikan oleh Sultan Mansur Shah, walaupun kebenaran sejarah peristiwa ini masih diperdebatkan.[14]
Remove ads
Perseteruan dengan Hang Jebat
Salah satu kisah paling terkenal ialah pertembungan antara Hang Tuah dan sahabatnya Hang Jebat. Hang Jebat bangkit menentang sultan setelah Hang Tuah dihukum mati tanpa bicara. Namun, apabila Hang Tuah dibebaskan, beliau diperintahkan untuk menumpaskan Hang Jebat. Pertarungan ini berakhir dengan kematian Hang Jebat, melambangkan dilema antara kesetiaan terhadap raja dan keadilan kepada sahabat.[2][15]
Remove ads
Legenda dan Simbolisme
Dalam budaya Melayu, Hang Tuah dianggap sebagai simbol kesetiaan mutlak kepada pemerintah dan keutuhan nilai bangsa. Ungkapan terkenal yang dikaitkan dengannya ialah "Takkan Melayu hilang di dunia, selagi Melayu berpegang kepada agama", yang menjadi pepatah nasionalisme Melayu moden.[16]
Watak Hang Tuah turut menjadi ikon dalam kesusasteraan, teater, filem dan wacana politik Melayu, menggambarkan ketegangan antara taat setia dan keadilan sosial.
Remove ads
Penghargaan
Bagi mengenang jasa Hang Tuah, pihak berkuasa di Malaysia dan Indonesia telah mengabadikan namanya pada pelbagai jenis jalan, sistem pengangkutan, dan bangunan.
Malaysia


- Jalan Hang Tuah di Melaka, Kuala Lumpur dan Taman Khalidi Bharu, Muar, Johor
- Plaza Hang Tuah dan Hang Tuah Mall di Melaka
- Stesen Hang Tuah, sebuah stesen monorel Laluan KL Monorail dan LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling di Kuala Lumpur.[17][18]
- Hang Tuah Jaya, petempatan di Melaka.[19]
- KD Hang Tuah oleh Tentera Laut DiRaja Malaysia
- Perigi Hang Tuah, tarikan pelancong di Melaka
- Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, masjid di Melaka
Indonesia
- Universiti Hang Tuah di Surabaya, Indonesia
- KRI Hang Tuah oleh Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut
- Sekolah Menengah Kejuruan Pelayaran Hang Tuah di Kediri Jawa Timur, Indonesia
- Jalan Hang Tuah di Jakarta
- Jalan Hang Tuah di Riau
- Jalan Hang Tuah di Padang
- STMIK dan STIKES Hang Tuah di Pekanbaru
Remove ads
Filemografi
Remove ads
Kesejarahan
Kewujudan Hang Tuah sering didebatkan oleh beberapa sarjana moden, seperti Khoo Kay Kim yang berpendapat bahawa tiada bukti bertulis dari sumber luar seperti dokumen Portugis atau Cina yang mengesahkan kewujudannya sebagai tokoh sejarah.
Namun, pandangan ini dibias oleh sarjana lain seperti Professor Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Professor Dr. Hashim Musa dari Universiti Putra Malaysia yang menegaskan bahawa sumber catatan sejarah Sulalatus Salatin dan tradisi lisan yang kuat menyokong kewujudan Hang Tuah sebagai tokoh sejarah.[20]
Selain itu, terdapat rujukan luar yang baru dikenalpasti seperti dalam Rekidai Hōan (Jepun) dan The Commentaries of the Great Afonso de Albuquerque (Portugis) yang menyebut tentang seorang laksamana Melaka pada zaman yang sama, walaupun tidak menamakan Hang Tuah secara langsung.[21]
Tapak dan Warisan
Beberapa lokasi di Melaka dikaitkan dengan Hang Tuah, antaranya:
- Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong
- Makam Hang Tuah di Tanjung Kling
- Perkampungan Hang Tuah yang dijadikan tapak pelancongan warisan oleh kerajaan negeri Melaka.[22]
Dalam Budaya Moden
Hang Tuah telah diabadikan dalam pelbagai bentuk karya seni, termasuk filem Hang Tuah (filem 1956) lakonan P. Ramlee, pementasan teater, dan novel moden seperti Hang Tuah: Catatan Kedua oleh Kassim Ahmad (1992).[23]
Lihat juga
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads
