Kumpulan etnik peribumi Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Orang senoi(juga dieja Sengoi dan Sng'oi) merupakan sebuah kaum penduduk Malaysia yang tergolong dalam Orang Asli, iaitu pribumi Semenanjung Malaysia. Merekalah suku Orang Asli yang paling ramai jumlahnya, malah tersebar luas di seluruh semenanjung. Kaum Senoi bertutur dalam bahasa-bahasa Asli yang merupakan cabang bahasa Austroasia. Ramai pula boleh bertutur dalam bahasa Malaysia.
Sengoi / Sng'oi / Mai Darat / Sakai | |
---|---|
Jumlah penduduk | |
99,585 (2010)[1] | |
Kawasan ramai penduduk | |
Malaysia | |
Semenanjung Malaysia | 90,000[2] |
Bahasa | |
Bahasa-bahasa Senoi (Semai, Temiar), Bahasa-bahasa Asli Selatan (Semaq Beri, Mah Meri, Semelai, Temoq), Che Wong, Jah Hut, Melayu | |
Kumpulan etnik berkaitan | |
Lanoh, Semelai, Temoq |
Kerajaan Malaysia mengelaskan suku pribumi Semenanjung Malaysia sebagai "Orang Asli". Terdapat 18 puak yang diiktiraf di bawah naungan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), terbahagi kepada tiga suku etnik iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Melayu Proto, masing-masing enam puak. Pembahagian sebegini adalah bersyarat dan khususnya berasaskan kemudahan pentadbiran negeri. Istilah "Semang", "Senoi" dan "Melayu Proto" adalah pemberian dari luar dari sudut pandang Orang Asli dan tidak memaksudkan sebarang identiti etnik yang tertentu. Setiap puak tidak mempunyai sebarang pertalian dengan satu sama lain selain daripada tergolong dalam satu kategori.
Pembahagian Orang Asli kepada tiga suku etnik dicipta oleh penjajah British pada awal abad ke-20 sejajar dengan konsep ras yang lampau dari Eropah. Memandangkan ketiga-tiga suku berbeza dari segi bahasa, paras rupa, dan sara hidup, maka dikenal pasti bahawa Negrito (susuk pendek, kulit gelap, rambut keriting) dianggap ras paling primitif, Senoi (susuk sederhana tinggi, kulit sederhana cerah, rambut hitam beralun) lebih maju, dan Melayu Pribumi pula (susuk tinggi, kulit cerah, rambut lurus) hampir sama maju dengan Melayu Muslim. Kemudian, konsep-konsep yang berbaur rasis diketepikan dan digantikan dengan kategori Semang, Senoi and Melayu Proto (konsep pengganti "Melayu Pribumi") sebagai penanda perbezaan adat budaya dan struktur sosioekonomi tertentu. Struktur Senoi terdiri daripada komuniti-komuniti swadaya (berautonomi) yang menyara diri terutamanya dengan pertanian tebas dan bakar, disokong kegiatan memburu, memancing, memungut hasil hutan, dan memproses dan menjual hasil hutan secara kecil-kecilan. Dari segi inilah mereka berbeza dari Semang (pemburu-pengumpul) dan Melayu Proto (pertanian tetap).
Kaum Senoi juga dipanggil Sakai di kalangan masyarakat tempatan.[3] Bagi orang Melayu, istilah sakai merupakan kata cacian dan kata terbitannya menyakaikan bermaksud melayan dengan hina. Akan tetapi bagi kaum Senoi, mensakai bermaksud bekerjasama.[4] Pada zaman British, Orang Asli yang tinggal di kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu dikelaskan sebagai Sakai; lama-kelamaan Sakai juga dijadikan gelaran bagi seluruh Orang Asli.[5] Sebaliknya, kaum Senoi yang hidup di kawasan Daerah Batang Padang dan sekitarnya lebih senang digelar Mai Darat daripada sakai.[6] Seringkali disalah sangka bahawa kaum Senoi yang meninggalkan bahasa asal untuk bahasa Melayu digelar orang Blandas, Biduanda atau Mantra.[7] Kaum Blandas sebenarnya merupakan kaum Senoi dari Melaka.[8] Bahasa Blandas merupakan campuran bahasa Melayu dan Senoi[9] yang mungkin dituturkan sebelum kedatangan sulung Melayu di Melaka.[7]
Senoi merupakan kelompok Orang Asli terbesar iaitu kira-kira 45 persatus daripada keseluruhan Orang Asli. Kelompok etnik Senoi terdiri daripada enam puak, iaitu Che Wong, Mah Meri, Jah Hut, Semaq Beri, Semai dan Temiar. Mereka mempunyai pertalian rapat dengan puak Semelai yang tergolong dalam Melayu Proto. Terdapat satu lagi puak kecil iaitu Temoq yang terbubar pada 1980-an ketika disertakan ke dalam Senoi oleh pertubuhan yang mendahului JAKOA iaitu Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Kriteria yang digunakan untuk mengenal pasti Senoi adalah tidak konsisten. Kelompok ini selalunya merangkumi puak-puak yang bertutur dalam bahasa Asli Tengah dan terlibat dalam pertanian tebas dan bakar. Kriteria ini dipenuhi oleh Semai dan Temiar selaku dua puak terbesar, tetapi Senoi juga termasuk puak Che Wong yang berbahasa Asli Utara, puak Jah Hut yang bahasanya tergolong dalam cabang istimewa di kalangan bahasa-bahasa Asli, dan puak Semaq Beri selaku penutur bahasa Asli Selatan. Dari segi kebudayaan, Senoi seharusnya merangkumi puak Semelai dan Temoq yang secara rasminya tergolong dalam Melayu Proto. Mah Meri pula terlibat dalam pertanian dan perikanan, dan budaya mereka lebih mirip dengan Melayu. Semelai, Temoq, dan Mah Meri semuanya bertutur dalam bahasa Asli Selatan.
Pada masa yang lampau pastinya pernah ada puak Senoi yang lain. Di kawasan hulu Sungai Klau di barat Gunung Benom, pernah disebut tentang suku Beri Nyeg atau Jo-Ben yang bertutur dalam bahasa yang seiras dengan Cheq Wong. Juga pernah dikhabarkan tentang puak Jah Chong yang bertutur dalam dialek yang jauh berbeza dari suku Jah Hut. Beberapa lagi dialek yang dikaitkan dengan kaum Besis (Mah Meri) pernah wujud di kawasan Kuala Lumpur. Barangkali terdapat puak-puak lain yang bertutur dalam bahasa-bahasa Asli Selatan dan mendiami kawasan-kawasan yang kini diduduki oleh suku-suku Temuan dan Jakun yang bertutur dalam bahasa-bahasa Austronesia.[19] Kawasan petempatan Senoi kini semakin sempit disebabkan kegiatan membasmi hutan di kawasan lereng gunung atas usaha pembangunan kerajaan.
Puak-puak Senoi tinggal di kawasan tengah Semenanjung Malaysia[20] dan terdiri daripada enam kelompok berbeza, iaitu Semai, Temiar, Mah Meri, Jah Hut, Semaq Beri dan Che Wong, keseluruhannya berjumlah 60,000 orang.[2]
Data yang sedia ada tentang populasi puak-puak Senoi masing-masing adalah seperti berkut:-
Tahun | 1960[21] | 1965[21] | 1969[21] | 1974[21] | 1980[21] | 1982 | 1991[22] | 1993[22] | 1996[21] | 2000[Note 1][23] | 2003[Note 1][23] | 2004[Note 1][24] | 2005 | 2010[1] |
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Semai | 11,609 | 12,748 | 15,506 | 16,497 | 17,789 | N/A | 28,627 | 26,049 | 26,049 | 34,248 | 43,892 | 43,927 | N/A | 49,697 |
Temiar | 8,945 | 9,325 | 9,929 | 10,586 | 12,365 | N/A | 16,892 | 15,122 | 15,122 | 17,706 | 25,725 | 25,590 | N/A | 30,118 |
Jah Hut | 1,703 | 1,893 | 2,103 | 2,280 | 2,442 | N/A | N/A | 3,193 | 3,193 | 2,594 | 5,104 | 5,194 | N/A | 4,191 |
Che Wong | 182 | 268 | 272 | 215 | 203 | 250[11] | N/A | N/A | 403 | 234 | 664 | 564 | N/A | 818 |
Mah Meri | 1,898 | 1,212 | 1,198 | 1,356 | 1,389 | N/A | N/A | 2,185 | 2,185 | 3,503 | 2,986 | 2,856 | 2,200[25] | 2,120 |
Semaq Beri | 1,230 | 1,418 | 1,406 | 1,699 | 1,746 | N/A | N/A | 2,488 | 2,488 | 2,348 | 3,545 | 3,345 | N/A | 3,413 |
Semelai[Note 2] | 3,238 | 1,391 | 2,391 | 2,874[Note 3] | 3,096[Note 3] | N/A[Note 3] | 4,775[Note 3] | 4,103[Note 3] | 4,103[Note 3] | 5,026[Note 3] | 6,418[Note 3] | 7,198[Note 3] | N/A[Note 3] | 9,228[Note 3] |
Temoq[Note 2] | 51 | 52 | 100 | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] | N/A[Note 3] |
Jumlah | 28,856 | 28,307 | 32,905 | 35,507 | 39,030 | 250 | 50,294 | 53,140 | 53,543 | 65,659 | 88,334 | 88,674 | 2,200 | 99,585 |
Data ini datang dari pelbagai sumber, dan oleh itu tidak sentiasa konsisten. Misalnya, perangkaan JAKOA tidak mengambil kira Orang Asli yang hidup di kawasan bandar yang terletak di luar bidang kuasa JAKOA. Ada kalanya perbezaan dalam kiraan puak Semai dan Temiar mencapai sekitar 10-11 peratus. Sejumlah besar Orang Asli kini menetap di kawasan bandar, dan jumlah mereka hanya dapat dianggar kerana mereka tidak tercatat secara berasingan dari Melayu. Akan tetapi, ini tidak bermakna mereka berasimilasi dengan masyarakat Melayu.
Taburan kaum Senoi mengikut negeri (JHEOA, bancian 1996):-[21]
Perak | Kelantan | Terengganu | Pahang | Selangor | Negeri Sembilan | Melaka | Johor | Total | |
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Semai | 16,299 | 91 | 9,040 | 619 | 26,049 | ||||
Temiar | 8,779 | 5,994 | 116 | 227 | 6 | 15,122 | |||
Jah Hut | 3,150 | 38 | 5 | 3,193 | |||||
Che Wong | 4 | 381 | 12 | 6 | 403 | ||||
Mah Meri | 2,162 | 12 | 7 | 4 | 2,185 | ||||
Semaq Beri | 451 | 2,037 | 2,488 | ||||||
Semelai | 2,491 | 135 | 1,460 | 6 | 11 | 4,103 | |||
Jumlah | 25,082 | 6,085 | 451 | 17,215 | 3,193 | 1,483 | 13 | 21 | 53,543 |
Kaum Senoi bertutur dalam pelbagai bahasa dalam rumpun bahasa Asli iaitu cabang bahasa Austroasia, iaitu bersaudara dengan bahasa-bahasa Mon-Khmer yang dipertuturkan di Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, dan wilayah Kepulauan Nicobar, India. Bahasa-bahasa Asli merupakan sebahagian daripada bahasa-bahasa Mon-Khmer selatan di samping bahasa Mon dan mungkin juga bahasa-bahasa Nicobar. Saudara paling rapatnya ialah bahasa Mon.
Bahasa-bahasa Asli terbahagi kepada empat cabang iaitu Jahaik (Asli Utara), Semelaik (Asli Selatan), Senoik (Asli Tengah) dan Jah Hut. Kaum Senoi terdiri daripada penutur keempat-empat cabang bahasa tersebut. Dua puak terbesar iaitu Semai dan Temiar bertutur dalam bahasa Asli Tengah (Senoi), maka mereka dikaitkan dengan Senoi. Bahasa Jah Hut pernah digolongkan dalam rumpun Asli Tengah, tetapi kajian sejarah dan fonologi terbaharu menunjukkan ia terletak dalam cabang yang tersendiri di kalangan rumpun bahasa Asli.[26] Hampir semua loghat Senoi dan Semelai dituturkan oleh kaum Senoi seperti Semaq Beri, Semelai, Temoq, dan Mah Meri yang tergolong dalam rumpun Asli Selatan. Akan tetapi, suku Lanoh (Sakai Jeram)[27] yang digolongkan sebagai Semang tetapi bertutur dalam loghat Senoik,[28] dan suku Semelai yang digolongkan sebagai Melayu Proto tetapi bertutur dalam loghat Semelaik. Bahasa Che Wong jauh berbeza dari bahasa-bahasa Senoi lain kerana ia tergolong dalam rumpun Asli Utara yang juga dituturkan oleh Semang.[19]
Bahasa-bahasa Asli ini biarpun banyak persamaan yang ketara, namun belum ditentukan asal-usul bersamanya dari mana-mana satu bahasa.[26]
Bahasa Semai selaku bahasa Senoi terbesar[29] terbahagi kepada lebih 40 dialek berbeza,[30] namun hanya dua dialek utama dikenali umum (Barat/Hilir dan Timur/Hulu), dan bukan semua saling mudah difahami.[31] Perbezaan yang jauh sesama bahasa menyukarkan usaha memelihara bahasa berkenaan.
Bahasa Temiar pula agak seragam di mana dialek-dialeknya saling mudah difahami.[32] Bahasa ini dapat dibakukan dan diperluas penggunaannya. Ia juga bertindak sebagai perintang antara bahasa-bahasa Asli lain dan bahasa Melayu. Ini bukan sahaja memperkaya kosa kata bahasa Temiar sehingga mencapai tahap kesinoniman tinggi, bahkan menyumbang kepada penyebaran bahasa Temiar di kalangan puak-puak Asli yang berjiran sehingga menjadi lingua franca di kalangan Orang Asli utara dan tengah.[33]
Hampir semua Orang Asli bertutur sekurang-kurangnya dalam dwibahasa; di samping bahasa ibunda, mereka juga bertutur dalam bahasa Melayu.[34] Bahkan ada juga yang bertutur dalam berbilang bahasa Asli dan mudah berkomunikasi sesama puak.[35] Akan tetapi, bahasa-bahasa pribumi beransur-ansur diganti bahasa Melayu, mengurangkan skop penggunaan setempatnya.[36]
Pengaruh bahasa Melayu berkembang seiring dengan pembangunan ekonomi dan prasarana di kawasan petempatan Orang Asli, maka hubungan dengan orang luar semakin kerap. Yang paling diancam kepupusan di kalangan bahasa Senoi ialah bahasa Mah Meri kerana penuturnya sangat dekat dengan Melayu dan orang-orang Asli lain, bahkan berlakunya perkahwinan campur yang menyebabkan peralihan ke bahasa lain. Namun demikian, masih ramai Orang Asli yang menutur dalam bahasa asal masing-masing, malah ada di kalangan muda-mudi yang bangga bertutur dalam bahasa Asli dan akan rasa kesal jika bahasa itu pupus. Akan tetapi, ramai pula yang malu bertutur dalam bahasa asal secara terbuka.[26][37]
Kedudukan bahasa Semai dan Temiar sebagai dua bahasa Asli terbesar masih cukup mantap. Bahasa Semai dijadikan bahasa perantaraan detasmen separa tentera Orang Asli yang digelar Senoi Praaq.[26] Bahasa Temiar tersebar luas di kalangan puak-puak Orang Asli sekitar, malah juga dikenali beberapa orang Melayu di Kelantan. Di Kompleks Hospital Orang Asli di Daerah Gombak, Selangor, ramai pesakit bertutur dalam bahasa Temiar,[38] iaitu manifestasi solidariti "Asli".
Satu lagi faktor kemantapan bahasa Semai dan Temiar ialah bangkitnya identiti "pan-Asli" di kalangan penduduk Asli Semenanjung Malaysia mengimbangi majoriti Melayu. Siaran radio untuk Orang Asli disampaikan oleh Radio Televisyen Malaysia menerusi saluran yang ditubuhkan pada 1959 dan kini memakai nama Asyik FM.[39] Hebahan dalam dua bahasa tersebut banyak menyelitkan kata-kata Melayu, khususnya dalam siaran berita. Pernah juga ada siaran dalam bahasa lain seperti Mah Meri. Bahasa Semai dan Temiar tiada status rasmi di Malaysia.
Jarang sekali terdapat bahan bacaan dalam bahasa-bahasa Asli.[40] Contohnya, terdapat bahan bacaan yang diterbitkan oleh JAKOA dan juga misi-misi penyebaran agama (mubaligh). Ucapan siaran radio sering berdasarkan catatan Melayu atau Inggeris dan bersifat amatur. Orang Asli menghargai kepentingan literasi tetapi sukar menyesuaikan bahasa mereka dalam tulisan Rumi, lebih-lebih lagi dari segi ejaan dan transkripsi ciri-ciri bahasa mereka yang tidak terdapat dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris.[41]
Bahasa-bahasa Asli belum dikaji secara menyeluruh, malah tidak mendapat sebarang sistem ejaan yang kualitatif. Namun demikian, langkah-langkah telah diambil oleh pihak berwajib untuk memperkenalkan bahasa Temiar dan Semai sebagai bahasa perantaraan beberapa sekolah rendah di Perak.[42] Bahan-bahan pengajaran disusun oleh Jawatankuasa Sumber Bahasa Semai. Untuk menyokong program ini, mesyuarat "orientasi" khas diadakan di Tapah pada Mac 1999.[43] Memandangkan kesukaran teknikal dan lain-lain yang dikaitkan dengan kewujudan pelbagai dialek dalam bahasa Semai, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada usaha ini berjaya. Akan tetapi, sudah ada beberapa sekolah yang menggunakan bahasa Semai, seiring dengan Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan sebarang sekolah yang mempunyai 15 murid Orang Asli ke atas untuk mengadakan pengajaran dalam bahasa etnik mereka atas permintaan ibu bapa dan penjaga. Kerajaan mengambil berat bahasa-bahasa Asli kerana isu murid-murid orang Asli tidak kerap hadir ke sekolah.[43]
Satu lagi fenomena moden ialah kemunculan pesanan ringkas dalam bahasa-bahasa Asli yang tersebar melalui rangkaian telefon bimbit; sayangnya, pola literasi tak formal ini tidak dapat disaksikan atas dasar menghormati privasi. Satu lagi peristiwa bersejarah ialah penerbitan muzik pop dalam bahasa-bahasa Asli, khususnya bahasa Semai dan Temiar yang berkumandang di Asyik FM. Antara album yang laris dijual ialah Asli yang dirakam oleh kugiran Orang Asli bernama Jelmol (Jɛlmɔl bermaksud "gunung-ganang" dalam bahasa Temiar).[44] Kebanyakan lagunya dalam bahasa Melayu tetapi ada dua lagu dalam bahasa Temiar.[44]
Orang Senoi dipercayai telah tiba di Semenanjung Tanah Melayu kira-kira 10,000 hingga 8,000 tahun dahulu sewaktu pertengahan usia Holosen, populasi Semenanjung Tanah Melayu telah menjalani perubahan ketara dari segi biologi, budaya benda, kemahiran pengeluaran, dan bahasa. Semuanya berpunca daripada kedatangan migran petani dari bahagian utara Asia Tenggara (Thailand, Kemboja, Vietnam), antara sebab-sebab lain. Kedatangan migran ini dikaitkan dengan kemunculan pertanian tebang dan bakar dan tanaman padi di Semenanjung. Kemasukan pertanian ini menjurus kepada didirikannya petempatan separa tetap bagi puak-puak berkenaan dan juga pembentukan struktur sosial yang lebih utuh dalam persekitarannya. Migran dari utara ini bukan sahaja mendatangkan pertanian, bahkan juga bahasa-bahasa Asli yang kini dituturkan oleh Semang dan Senoi.
Populasi semenanjung ketika ini terdiri daripada dua kelompok dengan kompleks sosioekonomi masing-masing yang utuh, iaitu Semang dan Senoi. Kaum Semang tinggal di dalam hutan hujan tebal yang terletak di bawah 300 meter atas paras laut, hidup secara berpindah randah dan bergiat dalam memburu dan mengumpul. Kaum Senoi pula tinggal di tanah tinggi dan bercucuk tanam. Kedua-dua kaum jarang berhubung, dan kaum Senoi hanya bertukar hasil tani untuk buah tangan dari hutan.
Migran Austronesia terawal tiba di Semenanjung Tanah Melayu kira-kira 2,500 tahun dahulu, iaitu nenek moyang kepada kaum Melayu Proto (Jakun, Temuan) Orang Melayu tiba kemudian pada sekitar 1,500 hingga 2,000 tahun dahulu. sewaktu peluasan wilayah kerajaan Srivijaya (abad ke-7 hingga ke-14) yang beribu kota di Sumatera selatan. Puak-puak Orang Asli tidak hidup berpencilan. Sekitar 500 SM, munculnya beberapa petempatan kecil di tepi pantai Semenanjung yang menjadi pusat perdagangan dan menjalin hubungan dengan China, India, Thailand,[45] Timur Tengah, dan Mediterranean. Orang Asli menjadi pembekal hasil hutan (kayu wangi, sumbu badak, dan gading gajah), di samping bijih emas dan timah yang dicari-cari oleh saudagar India untuk penghasilan gangsa. Sebagai tukaran, Orang Asli menerima kain, alat-alat besi, kalung, dan makanan termasuk nasi, dan sebagainya.
Di hujung abad ke-14 di pesisiran Semenanjung Tanah Melayu, orang Melayu mendirikan petempatan perdagangan, khususnya negeri Melaka. Pada awal abad ke-15, pemerintah Melaka memeluk Islam, dan bilangan Melayu meningkat secara pesat daripada kemasukan migran baharu dari Sumatera dan serata Nusantara di samping asimilasi Orang Asli. Migran Melayu beransur-ansur pindah masuk melalui sungai ke dalaman, sementara kebanyakan Orang Asli berundur ke kawasan lereng bukit. Seiring dengan perluasan populasi dan budaya Melayu, kepentingan politik dan ekonomi Orang Asli pula menurun. Bilangan mereka pun merosot, dan kini golongan pribumi yang tinggal sekadar minoriti yang menolak asimilasi.
Masyarakat Senoi mula diketepikan ekoran kebangkitan negeri-negeri Melayu, malah selepas kedatangan Islam, mereka dihina dan dilayan sebagai kafir.[46][47] Gaya hidup, pemakaian, dan paras rupa Orang Asli mula menjadi bahan persendaan di kalangan masyarakat Melayu.[48][49] Pada abad-abad ke-18 dan ke-19, Orang Asli menjadi mangsa pemburu hamba oleh Melayu dari Sumatera.[48][50] Lazimnya, gerombolan lelaki bersenjata menyerbu kampung pada waktu malam; penghuni dewasa dibunuh sementara kanak-kanak ditawan. Ada kalanya orang Melayu menggertak atau memaksa penghulu Orang Asli untuk menculik puak Orang Asli lain untuk diserahkan kepada Melayu semata-mata untuk melindungi suku sendiri daripada ditawan. Adanya hamba yang gigih membentuk tenaga buruh di bandar dan rumah penghulu dan pemerintah, sementara hamba lain pula diperdagangkan kepada pedagang hamba yang mengangkut mereka ke rantauan seperti Jawa. Pada zaman inilah timbulnya kata makian "sakai" yang bermaksud orang liar atau hamba, digunakan oleh Melayu untuk menghina Senoi.[47][51] Ekoran British Akta Pemansuhan Perhambaan 1833 di Britain, amalan perhambaan dimansuhkan di seluruh Empayar British termasuklah jajahan Malaya British pada tahun 1883, namun terdapat catatan pemburuan hamba selewat tahun 1920-an.[50]
Peristiwa-peristiwa lampau ini telah menyebabkan Orang Asli curiga terhadap populasi Melayu, maka mereka cuba mengasingkan diri di kawasan-kawasan terpencil. Hubungan dengan orang luar kembali hanya setelah amalan perhambaan diharamkan. Darurat pada tahun 1950-an mempercepat kemaraan negeri ke dalam pedalaman. Dalam cubaan menghalang Orang Asli dari menyokong Parti Komunis Malaya (PKM), orang British menjalankan pemindahan paksa golongan pribumi ke perkhemahan khas yang dilindungi tentera dan polis.[52] Mereka tinggal di perkhemahan selama dua tahun sebelum dibenarkan kembali ke hutan. Peristiwa ini amat derita kerana ratusan orang mati dalam perkhemahan akibat pelbagai penyakit.[53] Semenjak itu, pihak kerajaan memberi lebih perhatian kepada Senoi dan pribumi lain.[53] Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), pendahulu kepada JAKOA, ditubuhkan pada tahun 1954, diberi kuasa untuk memimpin masyarakat Orang Asli.[53] Pada tahun 1956 dalam perjuangan menentang PKM, pihak penjajah British menubuhkan detasmen Senoi Praaq ("orang tentera" dalam bahasa Semai) yang bertugas sebagai perisik tentera dan pegawai polis. Senoi Praaq terdiri daripada Orang Asli dan bertugas di pedalaman hutan. Unit-unit Senoi Praaq terbukti amat berkesan dan berjaya menyekat kemaraan komunis, malah cukup digeruni kerana kekejaman mereka yang melampaui mana-mana unit angkatan keselamatan yang lain.[54] Kini, Senoi Praaq merupakan anggota Pasukan Gerakan Am dalam Polis Diraja Malaysia.[55]
Sejak 1980-an, petempatan Orang Asli diguguat oleh pihak-pihak berkepentingan baik individu, syarikat korporat mahupun pemerintah negeri.[56] Berleluasanya kerja-kerja pembalakan dan penggantian hutan dengan dusun getah dan kelapa sawit,[56] lebih-lebih lagi pada 1990-an, menjejaskan kehidupan ramai puak Orang Asli. Tiadanya hutan akan menyebabkan puak pemburu-pengumpul tidak dapat lagi berpeluang memungut dan memburu hasil hutan, sebaliknya terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu berasaskan wang. Pembinaan lebuh raya dan perkembangan ekonomi tanaman menyebabkan Orang Asli berpindah ke bandar dan perkampungan baharu yang dibina khusus oleh kerajaan negeri.[50]
—Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia, akhbar The Star, 6 November 1986[57]
Adalah dasar kerajaan untuk memasukkan kaum pribumi ke dalam agama Islam[58] dan menyepadukan mereka dengan arus perdana populasi negara sebagai petani tetap.[59] Pada masa yang sama, Orang Asli lebih rela memodenkan diri tanpa menjadi Melayu sungguhpun memeluk agama Islam. Setelah menyertai arus perdana, Orang Asli menduduki darjat sosial paling rendah, malah status mereka sebagai pribumi pertama semenanjung juga tercabar atas alasan bahawa mereka bukan pengasas tamadun.[57] Susun atur politik Malaysia berkisarkan gagasan memelihara status etnik khas Melayu sebagai bumiputera yang setara dengan masyarakat pribumi. Biarpun Melayu, Orang Asal Sabah dan Sarawak, dan Orang Asli semenanjung semuanya dianggap bumiputera, tetapi tidak setara dari segi darjat sosial dan tidak dilayan saksama dari segi hak dan keistimewaan.[60] Ini mendatangkan implikasi mendalam bagi hak-hak Orang Asli ke atas tanah yang dimiliki selama ribuan tahun yang kini digugat dengan rampasan oleh pihak lain. Litigasi berlarutan yang berkaitan isu-isu tersebut diadakan di beberapa negeri dan selalunya berkesudahan secara berpihak kepada Orang Asli, lebih-lebih lagi yang meraih perhatian umum.
Sekitar tahun 1950, kebanyakan Orang Asli menjalani cara hidup tradisional dengan ekonomi sara diri yang disokong oleh perdagangan atau jualan hasil hutan. Pekerjaan utama kebanyakan puak Senoi merupakan sejenis pertanian tebang dan bakar yang primitif.[61] Antara tanaman Senoi termasuk padi huma, ubi kayu, jagung, sekoi, sayur-sayuran dan pokok buah-buahan.[62]
Di dalam lingkungan tanah adat, mereka menebas tanah hutan secerang untuk dijadikan kawasan pertanian selama empat lima tahun, kemudian berpindah ke kawasan lain[63] dan meninggalkan cerang lama begitu sahaja untuk kembali tumbuh hutan rimba. Cerang baharu mengambil masa dua minggu hingga sebulan untuk ditebas. Alat-alatan utamanya merupakan pasak untuk menanam dan parang untuk menebas. Tanaman Senoi diancam rumpai, haiwan perosak (seperti tikus, burung) dan binatang buas (rusa, gajah). Pengurusan tanah tidak kekal lama, begitu juga dengan pembasmian haiwan perosak yang tidak praktik di hutan, maka rosaklah sebahagian besar hasil tani.[64] Tanaman Senoi dipagarkan sebagai perlindungan dari binatang buas. Tanaman ditanam selalunya pada pertengahan tahun, tetapi ada yang ditanam awal-awal. Tujuannya untuk menanam segala jenis tanaman agar sekurang-kurangnya ada sedikit yang terselamat tanpa mengira cuaca dan keadaan. Tanaman boleh dituai bila-bila sepanjang tahun selagi diperlukan; hanya padi dituai secara bermusim.
Selain pertanian, kaum Senoi juga terlibat dalam bidang-bidang lain seperti memburu, menangkap ikan, dan memungut hasil hutan seperti rotan, getah, daun pisang liar dan sebagainya.[65] Secara tradisional, Senoi memburu dengan menggunakan sumpit dan damak beracun. Sumpit merupakan harta benda kemegahan lelaki[66] yang digilap sehingga berkilat, dihias-hiasi dan dijaga dengan penuh cermat dan kasih sayang; bahkan mereka lebih rela menghabiskan masa untuk membuat sumpit yang terbaik daripada membina rumah. Antara mangsa buruan mereka ialah haiwan kecil-kecil seperti tupai dan monyet.[67] Pemburu yang pulang dari pemburuan diraikan dengan sambutan gilang-gemilang diiringi upacara tarian.[67] Buruan yang besar-besar seperti rusa, ular sawa, babi hutan, dan binturung pula dipermudah dengan penggunaan perangkap, jerat, jebak, dan lembing.[65]
Masyarakat Senoi juga menanam pokok buah-buahan di dalam lingkungan tanah adat untuk hasil tanaman bermusim. Antara bahan-bahan mentah utama yang digunakan untuk kraftangan Senoi ialah buluh, rotan, dan pandan.[68] Buluh amat diperlukan untuk pembinaan rumah, alat-alatan, perkakasan rumah,[69] senjata, perahu, rakit pagar, bakul, saliran, alat muzik, dan barang kemas. Senoi adalah pakar menganyam bakul, lebih-lebih lagi dengan teknik canggih yang dikuasai di kalangan golongan penduduk tetap. Untuk menelurusi sungai, mereka lebih banyak menaiki rakit daripada perahu. Penghasilan tembikar, pemprosesan fabrik dan logam tidak diketahui di kalangan Senoi. Fabrik-fabrik tradisional yang diperbuat daripada kulit kayu empat spesies pokok, kini hanya dipakai sewaktu upacara khas.[70]
Orang Senoi juga membela ayam, kambing, itik, anjing dan kucing.[71] Ayam diternak untuk sara diri sahaja sementara kambing dan itik dijual kepada Melayu.[71]
Masyarakat Senoi membekalkan barang-barang dagangan seperti rotan, getah, kayu, buah-buahan (petai, durian), dan rama-rama kepada pedagang Melayu dan Cina sebagai tukaran untuk perkakasan logam (kapak, pisau), garam, kain, pakaian, tembakau, garam, gula, atau wang.[72]
Tidak dipastikan agihan mengikut sektor ekonomi satu persatu di kalangan masyarakat Senoi. Kebanyakan orang Semaq Beri adalah petani tetap, tetapi ada di kalangan mereka yang menjalani kehidupan berpindah randah sebagai pemburu-pengumpul.[73][74] Bagi masyarakat Mah Meri yang hidup di kawasan pantai pula, laut lebih dekat di hati mereka, maka mereka terlibat dalam perikanan.[75]
Sebenarnya, tiada pula resmi pembahagian kerja antara lelaki dan wanita. Lazimnya, lelaki khusus dalam pemburuan dan kerja-kerja berat seperti membina rumah, menebang pokok besar-besar, dan juga membuat sumpit dan perangkap, sementara wanita tertumpu pada menjaga anak dan mengemas rumah,[76] di samping memungut hasil hutan, menganyam bakul, dan menangkap ikan dengan bakul. Ada juga kerja yang dipikul kedua-dua jantina seperti bercucuk tanam.
Kini, kebanyakan masyarakat Senoi sering berhubungan dengan arus perdana masyarakat Malaysia. Ramai yang tinggal di perkampungan seakan-akan kampung Melayu. Sejajar dengan usaha pembangunan kerajaan, mereka diberi peluang untuk mengurus dusun getah, kelapa sawit, atau koko.[77] Orang Senoi sering diupah untuk bekerja sebagai buruh kasar di bandar, tetapi ada juga segelintir pekerja mahir dan profesional di kalangan mereka. Sesetengah kaum Senoi seperti Jah Hut telah belajar membuat kraftangan kayu untuk dijual kepada pelancong atas sokongan kerajaan. Sesetengah kelompok Che Wong masih tinggal di hutan dan memelihara cara hidup turun-temurun, tetapi juga tidak terkecuali dari perubahan ketara dengan peluang untuk membeli kemudahan moden seperti makanan, pakaian moden, dan sarung.
Hubungan Senoi dengan orang luar diselubungi kesangsian dan ketakutan[78] disebabkan pengalaman dieksploitasi selama berabad-abad lamanya. Masyarakat Cina dan Melayu membeli hasil hutan atau tani dari Senoi tetapi bayarannya jauh kurang dari harga pasaran. Kaum-kaum arus perdana mengupah orang pribumi tetapi sering membayar upah kosong atau terlalu sedikit jika dibandingkan kepada upah yang diberi kepada kaum sendiri. Kaum pribumi sedar tentang hal ini dan berasa tidak adil dilayan sebegini oleh orang luar, tetapi jarang mengadu dan lebih rela mengambil langkah mengelak pertelingkahan berdasarkan adat turun-temurun.
Kebanyakan puak Senoi berstruktur egalitarian dari segi politik dan sosial.[79][80] Bagi masyarakat Senoi, setiap orang bebas melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak diri selagi tidak merugikan orang lain. Kesamarataan sesama ahli masyarakat dari dahulu hingga sekarang merupakan salah satu tunggak masyarakat Senoiy. Mesyuarat kampung diadakan dari masa ke semasa, boleh disertai semua ahli tanpa mengira usia atau jantina, dan selalunya membincangkan isu-isu pokok dan pertikaian serius.[81] Keputusan dicapai secara sepakat selepas perbincangan terbuka di kalangan masyarakat yang mungkin menelan masa berjam-jam atau berhari-hari sehingga semua pihak puas hati. Disedari bahawa tujuan utama perbincangan sebegini adalah memelihara perpaduan masyarakat. Jika ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan masyarakat, maka mereka berkemungkinan akan berpindah ke petempatan lain.
Masyarakat Senoi dikuasai oleh golongan orang tua yang dihormati dan dilantik sebagai ketua tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak dalam segala hal. Orang tua tidak berkuasa mencampuri hal peribadi anak buah mahupun menghalangnya dari mengingkari kata putus atau meninggalkan kampung disebabkan pantang larang mencabuli kebebasan individu.[80] Sifat yang dikehendaki pada pemimpin kampung bukanlah harta benda atau budi baik tetapi kepetahan berbahasa[82] dan juga kebijaksanaan rohani yang diperoleh menerusi hubungan dengan semangat saka dalam mimpi.
Adat resam Senoi melarang sebarang keganasan sesama orang baik sesama ahli mahupun dengan orang luar.[79] Mungkin antara sebabnya ialah perubahan yang dialami masyarakat pada zaman ketika Orang Asli diburu oleh orang Melayu untuk dijadikan hamba.[83] Masyarakat Senoi zaman dahulu sering bersengketa dengan negeri-negeri Melayu yang terletak di kawasan hilir, maka mereka berikhtiar untuk mengelak dari berhubung dengan orang luar.[83] Misalnya, suku Che Wong berpegang kuat pada semangat kepuakan, dan setiap kali diberi peluang, mereka berpindah jauh dari masyarakat arus perdana sejauh mungkin.[84][85] Kaum Senoi lebih rela menjauhkan diri dari sengketa[85] dan tidak malu mengaku ketakutan.[86] Secara tradisi, kaum Senoi bertindak pasif terhadap orang luar untuk mencapai kesudahan yang damai sekiranya ditimpa masalah. Masyarakat Senoi berasa sentiasa digugat bahaya apabila bersendirian, dan cenderung untuk cemas kerana takut akan ribut petir dan harimau.[87]
Ketakutan ini diwarisi secara turun-temurun,[87] dan kategori ini dianggap cukup rentan dan memerlukan perlindungan. Orang Senoi tidak sesekali menghukum atau memaksa anak-anak, maka perilaku anak-anak dikawal melalui pantang larang. Orang tua selalu risau bahawa anak-anak mereka akan berbuat salah tanpa sedar. Anak-anak mengambil iktibar dari kisah-kisah orang tua mengenai "puaka" yang sentiasa ada di seluruh tempat dan berbentuk harimau atau binatang ganas yang lain.[87] Ibu bapa boleh mendisiplinkan anak-anak mereka yang nakal dengan ugutan mengundang petir. Orang Senoi menyemai perasaan takut akan orang luar kepada anak-anak dari kecil lagi.[88]
Kecuali ketakutan yang sentiasa, kaum Senoi jarang mengalami ledakan emosi.[89] Baik kelakar, amarah, suka mahupun duka, semua perasaan itu ditahan. Mereka tidak menunjukkan emosi dalam hubungan antara orang. Jarang sekali berlakunya luahan kasih sayang, empati, dan belas kasihan secara terbuka.[90]
Akan tetapi, masyarakat Senoi, lebih-lebih lagi puak-puak selatan, telah mengalami perubahan ekoran interaksi dengan budaya dominan. Kaum Semelai[91] dan Mah Meri[92] telah sekian lama mengamalkan sistem pentadbiran bertatatingkat dengan jawatan "batin" (penghulu) yang diwarisi turun-temurun.
Bentuk keluarga yang paling am dalam masyarakat Senoi ialah keluarga asas yang memiliki cerang hutan, biarpun tidak seutuh mana.[93] Mengikut adat lama, pasangan kekasih beransur menjalin hubungan kekal yang tidak melibatkan sebarang upacara perkahwinan yang rumit.[86] Akan tetapi, semakin ramai puak yang meninggalkan tradisi lama dan mengadakan majlis pernikahan seperti Melayu siap dengan hantaran kahwin. Hubungan kekeluargaan di kalangan puak-puak utara dan tengah adalah tertumpu di lembah-lembah sungai tertentu. Perkahwinan sesama saudara rapat adalah dilarang tetapi perkahwinan sesama saudara jauh digalakkan.[94] Bagi puak-puak selatan pula, perkahwinan diadakan antara penduduk kampung setempat sahaja, walaupun sesama pupu. Pengantin baharu menumpang rumah orang tua masing-masing secara bergilir sehingga kediaman sendiri didirikan. Juga kerap berlakunya perceraian, selalunya setelah lama bersama.[95] Di mana anak-anak tinggal selepas ibu bapa bercerai, orang tua mana yang menyara anak, akan diputuskan bersama-sama oleh anak-anak dan ibu bapa.[95]
Terdapat perbezaan dalam peristilahan ahli keluarga antara suku-suku Senoi dari segi salasilah dan generasi. Suku Semai[96] dan Temiar[97] membezakan adik-beradik dari segi umur tetapi bukan jantina. Suku Semelai[98] dan Mah Meri[99] pula membezakan abang dan kakak. Bahasa Senoi menggunakan istilah yang berpadanan dengan golongan umur, contohnya bayi baru lahir, kanak-kanak, dan orang tua.
Keluarga luas yang mempunyai pertalian yang amat rapat dan disatukan oleh asal-usul yang satu, tidak tentu bentuknya dalam masyarakat Senoi dan tidak memainkan peranan penting dalam susun atur masyarakat tersebut.[100] Keluarga luas dai kawasan pergunungan tinggal bersama di dalam rumah panjang.[101]
Puak setempat yang biasanya terdiri daripada satu kampung tetapi juga beberapa kampung, memegang hak bersama ke atas tanah adatnya (saka).[102] Apabila berpindah ke saka baharu, puaknya sering berpecah atau bergabung. Puak besar pula melanjutkan hak milik ke atas beberapa saka. Juga terdapat kesatuan wilayah besar-besaran yang menduduki tanah di dalam lingkungan legeh-legeh utama. Ikatan antara puak dan sakanya tidak bersifat perundangan tetapi sekadar sentimental. Undang-undang moden tidak pernah mengiktiraf hak Senoi ke atas tanah adat mereka.
Hutan Senoi dimiliki oleh seluruh masyarakat, tetapi kawasan-kawasan yang ditebang untuk bercucuk tanam serta rumah-rumah dimiliki keluarga masing-masing. Pokok buah-buahan dalam hutan pun dimiliki individu.[103] Biarpun selepas puak berpindah ke tempat baharu, pokok-pokok masih kekal hak milik pemiliknya. Selepas kematian pemilik, tanah diserahkan kepada janda atau duda, sementara adik-beradik atau anak-anak pula mewarisi harta boleh alih sesuai dengan keperluan mereka. Kaum Semai Barat membahagikan tanah atau pokok-pokok yang diperoleh oleh si mati selepas berkahwin secara sama-rata antara janda dan saudara dekat.
Hutan dan segala benda di dalamnya adalah hak milik seluruh masyarakat, maka semua hasil hutan dibawa ke kampung dan dibahagikan sama-rata di kalangan mereka yang hadir, kecuali yang ditujukan untuk perdagangan. Terdapat larangan makan seorang diri (yang boleh dihukum atas undang-undang adat) kerana makanan harus dikongsi dengan semua,[104] dan penggunaan dan penyimpanan makanan secara individu tidak digalakkan.[105] Atas dasar inilah terdapat amalan menggunakan apa-apa sahaja yang ditemui di hutan.
Masyarakat Senoi mempunyai agama etnik tersendiri, tetapi ada yang telah memeluk agama Islam, Kristian, mahupun Baháʼí. Kaum Senoi tidak mempunyai sistem kepercayaan dan upacara keagamaan yang ketat.[86] Kepercayaan agama diresapi kemandirian individu sehingga wujudnya animisme yang tidak berstruktur dan berkembangnya sistem pantang larang. Masyarakat Senoi menganggap persekitaran hutan mereka dipenuhi banyak makhluk bukan manusia yang berakal di samping orang-orang yang dihubungi seharian, ekoran beberapa peraturan dan larangan yang berdasarkan pemahaman mereka bahawa ketenteraman alam sejagat amat rapuh maka kita mesti berhati-hati supaya tidak mengganggunya sehingga terlepas kejahatan di dunia.
Dunia Senoi dipenuhi puaka yang dipanggil mara` yang membawa maksud "pembaham".[106] Secara amnya, mara` datang dalam bentuk binatang buas seperti harimau, beruang mahupun gajah, ataupun makhluk-makhluk ghaib, menyebabkan penyakit, kemalangan dan lain-lain musibah. Mara` berniat jahat dan sukar diduga, sentiasa boleh mengganas tanpa sebab, lebih-lebih lagi jika berlakunya pelanggaran pantang larang.[106] Perlindungan dari ancaman mara` hanya dapat dilakukan dengan menggunakan satu lagi mara` yang menjadi jinak dengan orang, iaitu gunig (atau gunik), semangat saka yang boleh diseru untuk menolong apabila ditimpa kesusahan.[107] Gunig ini dipercayai dapat melindungi orang daripada ancaman atau penyakit yang dipercayai berpunca daripada gangguan puaka.[108] Juga terdapat semangat baik yang membantu dalam bercucuk tanam, memburu, dan kehidupan peribadi.
Semangat-semangat berkenaan bersifat pemalu, maka diadakannya upacara untuk mereka pada waktu malam buta.[109] Dipercayai bahawa semangat ini tertarik dengan bau harum dan kejelitaan, maka tempat upacara dihiasi bunga-bunga dan daun-daun wangi.[109] Dengan menyanyi sambil menari, orang cuba menunjukkan kepada para semangat bahawa mereka berasa bahagia. Upacara yang berlangsung selama dua hingga enam malam ini hanya diadakan untuk menyembuhkan penyakit jiwa atau raga individu mahupun seluruh komuniti.[109]
Semua orang takut akan petir, maka mereka mengadakan upacara sembah darah untuk menenteramkan ribut.[110]
Menurut kepercayaan Senoi, makhluk hidup, baik manusia, haiwan mahupun makhluk halus, mempunyai beberapa "roh".[111] Manusia mempunyai "roh kepala" yang terletak di puncak kepala,dan "roh hati/darah" yang terletak di tulang dada; kedua-duanya dapat meninggalkan jasad apabila seseorang tidur, bersawai, atau mati tiba-tiba.[112] Juga terdapat banyak lagi roh seperti "roh mata" di anak mata, dan "roh bayang".[87] Oleh itu, mimpi dianggap amat penting kerana menghubungi orang dengan alam ghaib dan memberi peringatan akan peristiwa mendatang. Orang Senoi percaya bahawa mereka mempunyai semangat di alam kubur yang dihubungi melalui mimpi dan sawai. Dengan ini, mereka boleh meminta pertolongan untuk mengenal pasti dan merawat penyakit yang disebabkan oleh puaka. Perhubungan semangat ini tidak dilakukan oleh wanita (kecuali bidan) kerana bersawai itu sudah amat memenatkan bagi lelaki.[113]
Tidak ramai orang berkebolehan menghubungi benda ghaib, maka mereka sering meminta bantuan daripada dukun sekampung untuk menghubungi para semangat.[114] Dukun ini boleh jadi lelaki atau wanita, malah dipercayai bahawa wanita lebih cekap, tetapi dukun wanita pun tidak ramai kerana badannya tidak cukup kuat untuk menampung sawai yang kuat.
Dukun juga berperanan sebagai penyembuh.[115] Menurut kepercayaan Senoi, kesakitan dan kematian disebabkan oleh puaka dan tindakan semangat disebabkan pelanggaran pantang larang. Penyakit ringan dirawat dengan ubat-ubatan herba,[116] tetapi penyakit tenat pula dihadapkan kepada dukun. Apabila bersawai, dukun menghantar rohnya ke alam ghaib untuk menagih penawar atau jampi mujarab daripada para semangat untuk mengembalikan roh pesakit.[117] Menurut kepercayaan Senoi, roh orang mati akan merayau-rayau seperti hantu. Oleh itu, mayat dikebumikan di seberang sungai dari kampung kerana hantu tidak boleh menyeberangi air mengalir.
Ekoran pengaruh luar yang menjadi-jadi, Orang Asli telah menyambut kepercayaan agama lain. Pada tahun 1930-an, rancaknya kegiatan mubaligh Kristian yang menghasilkan bahan bertulis bahasa Asli yang pertama.[113] Kerajaan Malaysia pula mempergiatkan dasar pengislaman kaum pribumi, tetapi tidak disambut baik di kalangan Orang Asli malah menimbulkan ketegangan di kalangan mereka yang enggan memeluk.[118] Agama Baháʼí meluas di kalangan Temiar. Dipengaruhi agama-agama utama dunia di kalangan masyarakat Senoi, juga wujudnya "agama campuran" iaitu kepercayaan tradisional bertindan dengan unsur-unsur kepercayaan Melayu Islam, Cina dan Hindu.[57]
Menurut statistik JHEOA, Orang Asli terdiri daripada 76.99% animis, 15.77% Islam, 5.74% Kristian, 1.46% Baháʼí, 0.03% Buddha, dan 0.01% lain-lain.[21] Bilangan individu Senoi Muslim adalah seperti berikut:-[21]
Orang Senoi menerima atau menolak agama tertentu berdasarkan pertimbangan peribadi dan sosial. Yang mengaku Muslim mengharapkan agar menerima sokongan kerajaan dan diberi keutamaan tertentu. Sebaliknya, orang Senoi khususnya Semai khuatir bahawa memeluk agama besar akan menggugat jati diri mereka.
Secara tradisional, orang Senoi tinggal dalam petempatan desa swadaya,[119] dalam bilangan 30[120] hingga 300 penduduk.[121] Petempatan ditentukan oleh orang tua-tua, biasanya terletak di aras tinggi berhampiran kuala anak sungai dengan sungai, harusnya berjauhan dari kawasan pusara, bebas dari pokok kayu keras seperti merbau dan sebagainya.[122] Kawasan paya tidak boleh dijadikan petempatan kerana dipercayai bahawa hantu ada di tempat-tempat sedemikian.[122] Juga dielakkan air terjun dan sungai besar tempat tinggal ikan duyung.
Di kawasan kurang padat, masyarakat Senoi mendiami satu tempat selama tiga hingga lapan tahun. Apabila tanah tidak lagi berhasil, mereka berpindah ke tempat baharu. Orang Senoi jarang meninggalkan lingkungan legeh asal mereka yang menandakan tanah adat komuniti mereka (saka).[123] Jarang ada yang berpindah lebih 20 kilometer dari tempat kelahiran seumur hidup. Kini di kawasan-kawasan yang lebih padat, lebih-lebih lagi yang diduduki Melayu dan lain-lain kaum luar, masyarakat Senoi akan menetap di satu tempat dan hanya kembali ke hutan untuk menuai, ketika mana mereka menginap dalam pondok. Masyarakat yang terlibat dalam penanaman padi sawah[124] juga telah lama hidup di petempatan tetap kerana ramai sahaja yang sudah berintegrasi dengan masyarakat moden.[125]
Rumah tradisional dibina daripada buluh, kulit pokok, dan daun pinang dianyam, berbumbungkan daun pinang kering, [126] didirikan di atas tiang tinggi setinggi 1 hingga 3.5 meter dari aras tanah, ataupun setinggi 9 meter di kawasan-kawasan yang terdapat harimau dan gajah.[71]
Di peringkat awal kewujudan petempatan, dibinanya satu buah rumah panjang besar untuk dihuni seluruh kampung,[127] dibina oleh seluruh kampung menggunakan kayu keras. Lama-kelamaan, keluarga-keluarga asas membina dan menghuni rumah-rumah sendiri, sementara rumah panjang ditebus guna untuk perhimpunan dan upacara.[128] Sestengah komuniti di perkampungan gunung terpencil terus menghuni rumah panjang yang panjangnya sebanyak 30 meter dan mampu menampung seramai 60 orang, terdiri daripada bilik masing-masing bagi setiap keluarga asas dan juga satu ruang awam.
Kebanyakan orang Senoi kini tinggal di perkampungan ala Melayu yang dibina khusus oleh kerajaan negeri.
Orang Senoi moden yang berhubungan dengan Melayu, pakaiannya mirip dengan arus perdana masyarakat Malaysia,[129] walhal di beberapa kawasan terpencil, lelaki mahupun wanita masih beralaskan cawat[129] yang diperbuat daripada gentian kulit kayu di paras pinggang. Jarang sekali mereka berbaju, tetapi kadang-kadang wanita menutup buah dada dengan satu lagi jalur cawat yang halus. Cacahan (tatu) dan palitan badan juga menjadi kebiasaan.[130] Hidungnya dicucuk dengan duri landak berhias, tulang, ranting, batang buluh[130] atau lain-lain barang hiasan.[131] Cacahan muka dan susuk badan selalunya membawa erti kesaktian.[132]
Makanan orang Senoi rata-ratanya berasakan tumbuh-tumbuhan,[133] tetapi selera makan daging tidak kurang kuatnya.[134] Apabila dalam bahasa mereka disebut "Sudah berapa hari tak makan" maksudnya dia tidak makan sebarang bentuk daging sepanjang masa berkenaan.
Tarian tradisional Orang Asli biasanya diadakan oleh dukun sebagai upacara memohon restu daripada semangat. Antaranya termasuk tarian Gengulang oleh suku Semai,[135] Gulang Gang Mah Meri, Berjerom Jah Hut, dan Sewang oleh Semai dan Temiar.[136]
Satu-satunya perayaan tahunan ialah perayaan lepas menuai yang kini diadakan serentak dengan Tahun Baru Cina.[65]
Upacara khas juga diadakan untuk meraikan kelahiran anak. Ibu yang hamil melakukan semua tugas harian sebelum bersalin. Persalinan dilakukan di pondok yang dibina khusus dengan bimbingan bidan.[137] Sebaik sahaja selepas lahir, anak diberi nama.
Orang mati biasanya dikebumikan pada hari kematian di kawasan seberang sungai dari tempat tinggal.[138] Pusaranya dikorek di dalam hutan, mayatnya dimasukkan dengan kepala menghadap ke barat lalu dikebumikan sekali dengan makanan dan harta peribadi si mati.[138] Sungguhpun dikebumikan bersama harta, masyarakat Senoi tidak mengenali dunia selepas mati. Uri dan bayi lahir mati dikebumikan dalam pokok.[138] Mayat dukun tersohor pula dibiarkan terdedah dengan diletak di atas pelantar buluh rumah, kemudian seluruh kampung berpindah jauh dari tempatnya.[138] Perkabungan adalah dari seminggu hingga sebulan, ketika mana dilarang bermuzik, menari atau berhibur.[139] Unggun api dinyalakan di tempat pengebumian selama beberapa hari. Enam hari selepas pengebumian, diadakannya upacara "menutup pusara" untuk mengembalikan tempat semadi ke hutan. Pada zaman dahulu, pernah ada amalan di kalangan puak berpindah randah untuk berpindah ke petempatan baharu setelah kematian seorang penduduk, tetapi kini sudah dihentikan.
Pada tahun 1960-an tersebarnya gagasan "Teori Mimpi Senoi" (Senoi Dream Theory ) di Amerika Syarikat yang merupakan pedoman bagi orang untuk mengawal mimpi demi membasmi ketakutan serta menambah rasa nikmat, khususnya nafsu berahi. Teori Mimpi Senoi berdasarkan dakwaan bahawa masyarakat Senoi mempunyai kaedah menguasai dan menggunakan mimpi untuk tujuan tertentu. Setelah bersarapan, orang ramai berhimpun untuk membincangkan mimpi tidur masing-masing, menduga masuk di sebalik mimpi itu dan mengikhtiarkan tindakan sewajarnya berdasarkan mimpi tersebut. Perbincangan mimpi secara terbuka adalah penting khususnya untuk memastikan keharmonian sosial, bahkan juga digunakan untuk menyelesaikan persengketaan. Amalan inilah yang dikatakan membuatkan Senoi antara kaum yang paling sihat dan damai di dunia.
Kilton Stewart (1902-1965) yang pernah mengembara bersama kaum Senoi sebelum Perang Dunia Kedua, pernah menulis tentang masyarakat Senoi dalam tesis kedoktoran pada tahun 1948[140] dan buku laris bertajuk Pygmies and Dream Giants (Puak Kerdil dan Gergasi Mimpi) pada tahun 1954. Karya-karya Stewart dilariskan oleh ahli parapsikologi Charles Tart dan ahli pedagogi George Leonard dalam buku-buku dan pusat istirahat Esalen Institute, malah pada 1970-an, Patricia Garfield menerangkan penggunaan mimpi di kalangan Senoi berdasarkan hubungan beliau dengan beberapa orang Senoi di hospital orang asli Gombak, Malaysia in 1972.[141]
Hasil dapatan Stewart gagal disokong oleh kajian-kajian yang berikutnya. Teori Mimpi Senoi membuahkan mitos yang hampir tiada kena-mengena dengan kehidupan sebenar Senoi. Masyarakat Senoi sendiri tidak mengenali teori ini, apatah lagi memahaminya. Mereka menyangkal kemungkinan mengawal mimpi. Mereka percaya bahawa roh tidak boleh dipaksa untuk melakukan apa-apa. Hanya setelah bangun dari tidur, mereka dapat mengkaji mimpi dan tanda-tandanya. Oleh yang demikian, tidak wajar nama Senoi dipakaikan pada teori ini.[142] Sebenarnya, tiadanya perbincangan serius mengenai mimpi pada waktu sarapan atau mesyuarat kampung, malah tiadanya bukti penguasaan mimpi. Pada tahun 1985, G. William Domhoff berhujah[143][144] bahawa ahli-ahli antropologi yang mengkaji suku Temiar melaporkan bahawa konsep mimpi waras (lucid dreaming ) dikenali tetapi tidak penting bagi suku tersebut, tetapi ada yang lain mempertikai kritikan Domhoff itu sebagai tokok tambah.[145][146]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.