From Wikipedia, the free encyclopedia
Holosen ialah nama untuk epok geologi pada masa ini. Ia bermula kira-kira 11,700 tahun dahulu.[2] Ia mengikuti Tempoh Glasier Terakhir, yang berakhir dengan pengunduran glasier Holosen.[2] Epok Holosen dan epok sebelumnya iaitu epok Pleistosen[3] bersama-sama membentuk tempoh Kuaterner. Holosen telah dikenal pasti dengan tempoh hangat pada masa kini yang dikenali sebagai MIS 1. Ia dianggap oleh sesetengah pakar geologi sebagai zaman antara glasier dalam Epok Pleistosen, yang dikenali sebagai zaman antara glasier Flandria.[4]
Holosen | |
---|---|
Kronologi | |
Usia-usia dalam Holesen -10400 — – -10200 — – -10000 — – -9800 — – -9600 — – -9400 — – -9200 — – -9000 — – -8800 — – -8600 — – -8400 — – -8200 — – -8000 — – -7800 — – -7600 — – -7400 — – -7200 — – -7000 — – -6800 — – -6600 — – -6400 — – -6200 — – -6000 — – -5800 — – -5600 — – -5400 — – -5200 — – -5000 — – -4800 — – -4600 — – -4400 — – Usia-usia Epok Holosen. Skala paksi: Tahun Masihi. | |
Etimologi | |
Keformalan nama | Formal |
Maklumat kegunaan | |
Jasad cakerawala | Bumi |
Kegunaan tempatan | Global (ICS) |
Skala masa yang digunakan | Skala Masa ICS |
Takrifan | |
Unit kronologi | Epok |
Unit stratigrafi | Siri |
Keformalan jangka masa | Formal |
Takrif sempadan bawah | Pengakhiran pengunduran Dryas Muda. |
Sempadan bawah GSSP | teras ais NGRIP2, Greenland 75.1000°N 42.3200°W |
Tarikh ratifikasi sempadan bawah GSSP | 2008[1] |
Takrif sempadan atas | Masa kini |
Sempadan atas GSSP | N/A N/A |
Tarikh ratifikasi sempadan atas GSSP | N/A |
Epok Holosen berpadanan dengan percambahan, pertumbuhan, dan kesan jangka masa singkat oleh spesies manusia di seluruh dunia, termasuk semua sejarah bertulisnya, revolusi teknologi, perkembangan beberapa tamadun utama, dan peralihan ketara secara keseluruhan ke arah kehidupan bandar pada masa kini. Kesan manusia terhadap Bumi pada era moden dengan ekosistemnya mungkin dianggap sebagai kepentingan global untuk evolusi masa depan spesies hidup, termasuk bukti litosfera yang lebih kurang segerak, atau yang lebih terkini bukti hidrosfera dan atmosfera berkaitan kesan aktiviti manusia. Pada Julai 2018, Kesatuan Sains Geologi Antarabangsa membahagikan Epok Holosen kepada tiga usia berbeza berdasarkan iklim, iaitu usia Greenland (11,700 tahun dahulu sehingga 8,200 tahun dahulu), Northgrip (8,200 tahun dahulu sehingga 4,200 tahun dahulu) dan Meghalayan (4,200 tahun dahulu sehingga kini), seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Stratigrafi Antarabangsa.[5] Usia tertua iaitu usia Greenland dicirikan oleh pemanasan berikutan zaman ais sebelumnya. Usia Northgrip terkenal dengan penyejukan meluas disebabkan oleh gangguan dalam peredaran laut yang disebabkan oleh pencairan glasier. Usia Holosen yang paling terkini ialah usia Meghalayan, yang bermula dengan kemarau melampau yang berlangsung selama lebih kurang 200 tahun.[5]
Perkataan Holocene terbentuk daripada dua perkataan bahasa Yunani Purba. Hólos (ὅλος ) ialah perkataan Yunani untuk "keseluruhan". "Cene" berasal daripada perkataan Yunani kainós (καινός ), bermaksud "baru". Konsepnya ialah epok pada waktu ini "sepenuhnya baru".[6][7] Akhiran '-sen' digunakan untuk semua tujuh epok di bawah Era Senozoik.
Suruhanjaya Stratigrafi Antarabangsa telah mentakrifkan Holosen sebagai nama untuk peringkat atau epok yang bermula kira-kira 11,700 tahun sebelum tahun 2000 SM (11,650 tahun dikalibrasi sebelum kini, atau 9,700 SM).[2] Suruhanjaya Kecil Stratigrafi Kuarterner (SQS) menganggap istilah 'terkini' sebagai cara yang salah untuk merujuk kepada epok Holosen, sebaliknya lebih suka penggunaan istilah 'moden' untuk menggambarkan proses semasa. Suruhanjaya tersebut juga membuat pemerhatian dan menganggap bahawa istilah 'Flandrian' boleh digunakan sebagai sinonim untuk Holocene, walaupun ia semakin ketinggalan zaman.[8] Suruhanjaya Stratigrafi Antarabangsa, bagaimanapun, menganggap Holosen sebagai zaman selepas Pleistosen dan khususnya selepas tempoh pengglasieran terakhir. Nama tempatan untuk tempoh pengglasieran terakhir termasuk Wisconsinan di Amerika Utara,[9] Weichselian di Eropah,[10] Devensian di Britain,[11] Llanquihue di Chile[12] dan Otira di New Zealand.[13]
Holosen boleh dibahagikan kepada lima selang masa, atau kronozon, berdasarkan turun naik iklim:[14]
Ahli geologi yang bekerja di kawasan berbeza sedang mengkaji paras laut, rawa gambut, dan sampel teras ais menggunakan pelbagai kaedah, dengan tujuan untuk mengesahkan dan memperhalusi jujukan Blytt-Sernander dengan lebih lanjut. Pengelasan sebegini merupakan klasifikasi tempoh iklim yang pada mulanya ditakrifkan oleh tinggalan tumbuhan dalam lumut gambut.[15] Walaupun kaedah itu pernah dianggap kurang menarik, berdasarkan pentarikhan 14C pada gambut yang tidak konsisten dengan kronozon yang didakwa,[16] penyiasat telah menemui padanan umum di seluruh benua Eurasia dan Amerika Utara. Perancangan ini ditakrifkan untuk Eropah Utara, tetapi perubahan iklim didakwa berlaku dengan lebih meluas. Tempoh-tempoh yang ditentukan oleh perancangan ini termasuk beberapa ayunan suhu terakhir pra-Holosen pada tempoh pengglasieran terakhir dan kemudian mengklasifikasikan iklim prasejarah yang lebih terkini.[17]
Ahli paleontologi tidak menentukan mana-mana peringkat fauna untuk Holosen. Jika pembahagian yang lebih kecil diperlukan, tempoh pembangunan teknologi manusia seperti Zaman Mesolitik, Neolitik dan Gangsa, biasanya digunakan. Walau bagaimanapun, tempoh masa yang dirujuk oleh istilah ini berbeza dengan kemunculan teknologi tersebut di bahagian dunia yang berlainan.[18]
Menurut beberapa sarjana, zaman ketiga Kuarterner, Antroposen, kini telah bermula.[19] Istilah ini digunakan untuk menandakan selang masa pada waktu ini dengan berlakunya pengubahsuaian secara mendalam oleh aktiviti manusia terhadap banyak keadaan dan proses yang penting secara geologi. 'Antroposen' (istilah yang dicipta oleh Paul J. Crutzen dan Eugene Stoermer pada tahun 2000) bukanlah unit geologi yang ditakrifkan secara rasmi. Suruhanjaya Kecil Stratigrafi Kuarterner di bawah Suruhanjaya Stratigrafi Antarabangsa mempunyai kumpulan kerja untuk menentukan sama ada perlu atau tidak penggunaan istilah tersebut. Pada Mei 2019, ahli kumpulan kerja mengundi memihak untuk mengiktiraf Antroposen sebagai unit krono-stratigrafi formal, dengan isyarat stratigrafi sekitar pertengahan abad kedua puluh CE sebagai pangkalannya. Kriteria yang tepat masih perlu ditentukan, selepas itu syor itu juga perlu diluluskan oleh badan induk kumpulan kerja (akhirnya Kesatuan Sains Geologi Antarabangsa).[20]