Filem aksi komedi Malaysia 2023 arahan Syafiq Yusof From Wikipedia, the free encyclopedia
Polis EVO 3 merupakan filem aksi komedi Malaysia 2023 arahan Syafiq Yusof. Kesinambungan kepada Polis EVO 2 (2018) dan siri ketiga dalam trilogi Polis EVO, ia dibintangi oleh Shaheizy Sam dan Zizan Razak yang kembali menjayakan watak masing-masing dalam dua filem terdahulu dengan disertai oleh Sharnaaz Ahmad, Farali Khan, Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Douglas Lim, beserta Nora Danish dan Eyka Farhana yang membuat kemunculan semula. Ia mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru untuk menumpaskan bekas sarjan serta teman rapat Khai, Reza (Sharnaaz Ahmad) yang menjadi pengganas, dan kali ini pasukan mereka disertai oleh tiga pegawai polis yang memiliki kepakaran berbeza.
Polis EVO 3 | |
---|---|
Pengarah | Syafiq Yusof |
Penulis |
|
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi | |
Sinematografi | Jordan Chiam |
Disunting oleh |
|
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan |
|
Diedarkan oleh | TGV Cinemas |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 113 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | |
Bajet | RM8 juta |
Pecah panggung | RM54 juta[1] |
Penggambaran dijalankan dari November 2019 sehingga Januari 2020 di kawasan Kuala Lumpur, Terengganu dan Pulau Pinang. Setelah penundaan berikutan pandemik COVID-19, filem ini ditayangkan mulai 25 Mei 2023 di pawagam seluruh Malaysia. Setakat Jun 2023, filem ini memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM50 juta, mengatasi dua filem terdahulunya, dan menjadi filem dengan kutipan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2023.[2] Gaya lakonan para pelakon serta babak aksi filem menerima ulasan positif daripada para pengkritik, sementara gaya plot keseluruhan filem juga menimbulkan kritikan oleh sesetengah daripada mereka.
Dalam kesibukan sebagai anggota polis, keluarga Inspektor Khai (Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan Razak) sedang melakukan persiapan perkahwinan Sani dengan tunangnya, Khadijah. Di samping itu, Khai pula berkonflik dengan teman wanitanya serta adik Sani, Anis (Nora Danish) kerana masih belum berkahwin sungguhpun sudah lama menjalinkan percintaan berikutan tugasnya sebagai anggota polis.
Filem bermula dengan Khai dan Sani menyamar sebagai agen kongsi gelap di bawah ketuanya, Chao di sebuah kelab malam yang dijadikan markas dalam sebuah operasi, dengan pengakhiran berjaya setelah Chao dapat ditangkap. Mereka berdua kemudiannya dipanggil untuk menyiasat satu serangan bom di Pulau Pinang yang menyaksikan seorang anggota polis yang dijadikan tebusan kemudian dibunuh dan diikuti dengan isteri dan anak anggota polis itu serta puluhan orang awam dalam sebuah restoran terbunuh. Serangan itu didalangi seorang bekas sarjan serta rakan sekerja rapat Khai, Reza (Sharnaaz Ahmad) yang disangka mati membunuh diri sedekad yang lalu. Berdasarkan siasatan awal, pihak polis melancarkan Ops Siong yang menyasarkan suspek berkait, Gaya Anuwat, seorang peniaga senjata dan pembekal bom Semtex dalam serangan itu, untuk memperoleh telefon pakai buang dalam usaha menjejak keberadaan Reza.
Kemudian, Khai secara khususnya, serta Sani, giat memburu Reza yang menyasarkan Khai. Reza, selaku rakan Khai, berubah sikapnya selepas Ops Sabrum 10 tahun lepas, di mana Khai terpaksa mengorbankan Farah, isteri Reza yang dijadikan tebusan oleh satu kumpulan pengganas untuk mematikan bom dalam bangunan dipenuhi ratusan orang awam. Sekiranya Farah pula dipilih diselamatkan, sungguhpun ditentang habis-habisan oleh Reza. Selepas kejadian itu, Reza bersembunyi buat sekian waktu, dan merancang membalas dendam untuk membela kematian Farah.
Selepas berjaya dijejak dengan telefon pakai buang daripada Ops Siong, Khai bertemu dengan Reza secara peribadi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menyelesaikan konflik antara mereka selama ini. Walaubagaimanapun, tanpa pengetahuan Khai, pertemuan ini merupakan taktik untuk memerangkap dan menangkap Reza. Setelah penangkapan dan siasatan lanjut, Reza dibawa ke tahanan, dan sebuah operasi dibuat di Kamunting untuk menjejak bom Semtex 20 kilogram yang diperoleh Reza. Namun begitu, Reza berjaya membebaskan dirinya dalam perjalanan, dan pasukan polis di Kamunting pula terperdaya; tiada bom di situ, dan sebaliknya menemui gambar orang sasaran Reza, terutamanya Anis. Reza yang bebas kemudian menculik Anis di rumahnya dan dijadikan tebusan sebelum memanggil Khai ke Bukit Bintang untuk memulakan balas dendamnya.
Di Bukit Bintang, Khai dikenakan dilema yang serupa dengan apa yang dialami Reza semasa Ops Sabrum: dalam masa lima minit, Khai perlu membuat keputusan untuk menyelamatkan Anis yang dipasang ves bom yang direka untuk hanya membunuh Anis, atau orang awam yang diancam bom 20 kilogram yang disembunyikan di stesen MRT berdekatan. Sungguhpun begitu, atas kepakaran Inspektor Dani, pakar pemusnah bom, satu jalan alternatif berjaya ditemui, dan kedua-dua pihak berjaya diselamatkan. Berang dengan kegagalan rancangannya, Reza kemudiannya keluar daripada persembunyiannya lalu melepaskan tembakan rambang dari dalam bangunan Yayasan Selangor. Ini kemudiannya membawa kepada pertempuran antara Reza dengan Khai serta Sani, dan akhirnya, Reza berjaya dibunuh oleh Khai.
Selepas kejadian tersebut, majlis nikah diadakan antara Sani dan Khadijah, dan Khai pula berjaya melamar Anis sejurus selepas itu. Sani berterima kasih kepada Khai atas persahabatannya selama ini, dan mengizinkan berkat kepadanya untuk menjalinkan perkahwinan dengan Anis.
Selepas kejayaan dua filem terdahulu, siri ketiga filem ini telah diumumkan pada September 2019 dengan Syafiq Yusof menggalas tanggungjawabnya sebagai pengarah, sekaligus mengambil alih tugas daripada Ghaz Abu Bakar yang mengarahkan filem pertama dan Joel Soh dan Andre Chiew yang mengarahkan filem kedua, sekaligus kembali mengangkat genre asal filem ini iaitu aksi komedi.[7]
Zizan Razak dan Shaheizy Sam telah bersetuju untuk menjayakan semula watak mereka, turut kembali berlakon dalam siri ketiga filem ini ialah Nora Danish[8] dan Eyka Farhana.[9] Syafiq Kyle yang terkenal dengan drama TV termasuk One Cent Thief, Mencintaimu Mr. Photographer dan Nur,[10] memegang watak sebagai Inspektor Dani. Turut menjayakan filem ini ialah Michael Ang,[11] Fauzi Nawawi, Ben Amir dan Sharnaaz Ahmad.[12] Penerbitan filem ini ditangguhkan sementara berikutan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan penangguhan sementara semua aktiviti penggambaran filem dan drama.[13]
Penggambaran dijalankan dari November 2019 sehingga Januari 2020[14] di beberapa tempat di Semenanjung, termasuk Kuala Lumpur. Bukit Bintang, misalnya, menjadi tempat latar tempat adegan klimaks filem tersebut serta bangunan PULAPOL Jalan Semarak dan Stadium KLFA, Cheras yang dijadikan stand in Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Ibu Pejabat Polis Terengganu.
Runut bunyi rasmi bagi filem ini ialah "Ayuh" dinyanyikan oleh Malique, Kmy Kmo, Ernie Zakri dan Aman RA. Ia dikeluarkan pada 13 April 2023 iaitu hari yang sama dengan tarikh treler filem ini dikeluarkan untuk muzik video lirik,[15] dan muzik video rasmi pula pada 19 Mei 2023, enam hari sebelum tayangan penuh pada 25 Mei.
Berikutan penularan pandemik COVID-19 di Malaysia yang mengakibatkan penutupan panggung wayang dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan di seluruh negara Datuk Dr. Yusof Haslam mengumumkan bahawa filem ini bersama dengan Abang Long Fadil 3, juga arahan Syafiq, ditundakan pelancarannya yang dirancang pada awal 2022.[16][17] Sebaliknya, ia kemudiannya dijadualkan untuk ditayangkan pada 25 Mei 2023 untuk Malaysia, Singapura dan Brunei selepas Hari Raya Aidilfitri.[18] Manakala untuk tayangan OTT, Astro Shaw mengumumkan bahawa filem ini bakal ditayangkan di Astro First terlebih dahulu pada 10 Ogos 2023 setelah semua tayangan di pawagam selesai.[19] Pada 14 April 2023, Polis EVO 3 disiarkan di Astro Ria.
Pada waktu pelancaran, Polis EVO 3 berkolaborasi dengan permainan video mudah alih, PUBG Mobile dengan menerapkan pek kandungan terhad khas yang bertemakan filem tersebut.[20][21] Patung edisi khas filem ini turut dikeluarkan hasil kerjasama Astro Shaw, Rojak Daily dan English Speaking Asians (ESA).[22] Mural filem ini hasil nukilan Abdul Rashade telah diabadikan di Jalan Kamunting, Kuala Lumpur hasil sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).[23] Baju Polis Evo 3 dilancarkan dan boleh dibeli di The Merchist[24] pada hari yang sama. Koleksi akan dikemaskini pada masa yang sama bergantung pada permintaan orang ramai.
Jadual kutipan pawagam Polis EVO 3 (25 Mei – 20 Julai) | |
---|---|
Tempoh Tayangan | Kutipan kumulatif |
Tayangan Awal (24 Mei) | RM1.3 juta |
1 hari (hingga 25 Mei) | RM3.4 juta |
4 hari (hingga 28 Mei) | RM16 juta |
7 hari (hingga 31 Mei) | RM25 juta |
9 hari (hingga 2 Jun) | RM30 juta |
12 hari (hingga 6 Jun) | RM41.3 juta |
16 hari (hingga 10 Jun) | RM45 juta |
24 hari (hingga 18 Jun) | RM50 juta |
32 hari (hingga 26 Jun) | RM52 juta |
56 hari (hingga 20 Julai) | RM54 juta |
Pada hari pelancaran, filem ini memperoleh kutipan sebanyak RM3.4 juta, melebihi kutipan hari pelancaran filem antarabangsa saingan pada masa tersebut di Malaysia.[25][26] Menjelang 30 Mei, kutipan pecah panggung mencapai angka RM16 juta, termasuk kutipan di Singapura dan Brunei,[27][28] sekaligus mengatasi kutipan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) yang memperoleh kutipan RM12.2 juta selepas empat hari tayangan.[29][30]
Dalam seminggu, kutipan dicatatkan kira-kira RM25 juta, sekaligus mengatasi kutipan judul-judul terdahulu trilogi serta menyamai filem arahan Syafiq sendiri, Abang Long Fadil 3 dan berjaya mencipta rekod baharu apabila mendapat kutipan tertinggi selepas seminggu (RM25 juta) yang asalnya juga dipegang oleh filem arahan abangnya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.[31][32][33] Filem ini berjaya menyamai filem edaran Astro Shaw, BoBoiBoy Movie 2.[34] dengan kutipan terus meningkat sebanyak RM30 juta dalam tempoh 10 hari pertama tayangannya di pawagam seluruh negara.[35]
Setelah hampir dua minggu, Polis EVO 3 berjaya mengutip sebanyak RM41 juta sekaligus menjadikan filem ini pilihan nombor 1 Malaysia bagi tahun 2023[36] dan juga mengalahkan filem Hantu Kak Limah dan Mechamato Movie yang kedua-duanya merupakan filem di bawah terbitan Astro Shaw.[37] Secara tidak langsungnya, filem ini berjaya menjadi filem 3 teratas dalam senarai filem kutipan tertinggi sepanjang zaman apabila kutipannya meningkat sebanyak RM50 juta dalam tempoh 24 hari tayangannya.[1][38][39]
Filem ini menerima ulasan yang positif dan bercampur-campur daripada pengkritik filem. Utusan Malaysia memuji filem tersebut atas gaya lakonan yang baik serta plot yang mudah dan menarik.[40]
Fahim Zahar dari Aksiz menyatakan bahawa Polis Evo 3 ialah filem yang boleh tonton dengan seisi keluarga di pawagam dan pulang dengan rasa puas hati. Mereka memberikan rating 8/10.[41]
Getaran mengatakan bahawa filem ini dianggap seperti makan nasi lemak yang sama setiap hari dan memberikan rating filem ini sebanyak 4 Getar.[42]
Aidil Rusli dari The Malay Mail mengulas bahawa filem ini ialah "gabungan sempurna" daripada dua filem terdahulu dan "mengukuhkan lagi ukiran ceruk ini, memberikan hiburan yang sangat menghiburkan yang boleh dinikmati oleh seisi keluarga, tetapi tidak mengabaikan aksi taktikal yang mengagumkan".[43]
Dalam ulasan retrospektifnya mengenai Polis EVO 3, Hazique Zairill dari The Sun Daily menulis: "Polis EVO 3 ialah [sebuah] filem yang wajib ditonton yang menampilkan aksi dan komedi tanpa henti, plot yang mendebarkan dan barisan pelakon yang luar biasa".[44]
Portal filem Kakimuvee memberikan penarafan 4 daripada 5 bintang untuk filem ini dan mengulas: "Polis EVO 3 memberikan jalan cerita yang cukup kuat, dengan kisah lampau Khai yang berjaya memberi kesan pada perkembangan karakter dan pembinaan bahagian ketiga filem yang sangat mendebarkan".[45]
Ruby.my memuji plot filem ini kerana "padat dengan aksi kombat".[46]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.