Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Najib Razak ialah Perdana Menteri Malaysia ke-6. Beliau adalah seorang pemimpin politik yang kontroversial, terkenal dengan skandal 1MDB,[1] yang membawa kepada kekalahan memalukan Barisan Nasionalnya dalam pilihan raya umum Malaysia 2018.[2] Selain skandal 1MDB, Najib turut dikecam kerana gaya hidup mewah dan pemilikan aset yang ketara, yang dianggap tidak konsisten dengan pendapatan rasmi seorang Perdana Menteri. Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.[3] Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.[4] Beliau tiba di Penjara Kajang pada 6.47 petang bagi menjalani hukuman.[5]
Laporan portal kewangan antarabangsa, FinanceAsia juga menyenarai beliau sebagai Menteri Kewangan paling teruk di rantau Asia Pasifik.[6][7][8]
1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah ditubuhkan pada 2009 oleh Najib. Pada tahun 2015, selepas hanya enam tahun operasi, 1MDB dilaporkan telah menanggung hutang sebanyak MYR 42 bilion (kira-kira USD 11.1 bilion), mendorong unjuran negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.[9] Pada 2 Julai 2015, The Wall Street Journal menjalankan satu pendedahan mendakwa bahawa MYR 2.672 bilion telah disalurkan dari 1MDB ke akaun bank peribadi Najib, mencetuskan panggilan meluas untuk meletak jawatannya.[10][11][12] Najib bertindak balas terhadap tuduhan rasuah dengan mendakwa bahawa RM 2.6 bilion adalah derma politik, dan menggantikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, serta Menteri-Menteri lain yang kritis terhadap kepimpinannya. Najib menyatakan bahawa sebabnya adalah untuk mewujudkan lebih banyak "pasukan bersatu".[13]
Polis Hong Kong telah memulakan siasatan berhubung deposit cawangan Credit Suisse bernilai AS$ 250 juta di Hong Kong yang dikaitkan dengan Najib dan 1MDB.[14][15] Polis Singapura membekukan dua akaun berkaitan 1MDB.[16]
Pada bulan Julai 2015, Kerajaan Malaysia mengadakan beberapa langkah kawalan seperti menyekat portal berita Sarawak Report dari terus boleh diakses di Malaysia. Sarawak Report sebelum ini telah melaporkan beberapa berita sensasi berkenaan dakwaan salah laku 1MDB dan kaitannya dengan Najib, sekali mencetuskan pelbagai reaksi dari para pengguna internet.[17] Malah dalam tempoh beberapa bulan yang lepas, Kerajaan malaysia turut menggantung lesen penerbitan akhbar kewangan dan berita The Edge, yang turut melaporkan tentang skandal 1MDB.[18]
Perkhidmatan Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai 2015 atas sebab-sebab kesihatan. Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa pada tarikh yang sama.[19][20] Sementara itu, Abdul Gani memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak tahu mengenai keputusan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara. Ditanya sama ada ia ada kena mengena dengan siasatan isu 1MDB, Abdul Gani juga enggan mengulas.[21]
Pada 1 Ogos 2015, Najib menujukan delegasi UMNO di Seremban dan di dalam rujukan jelas kepada Sarawak Report, meminta "orang putih" (Clare Rewcastle Brown) keluar daripada hal ehwal Malaysia.[22]
Pada 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukannya dari 1MDB.[23][24]
Pada 8 Ogos 2015, seorang anggota Wanita Umno Anina Saaduddin membuat ucapan berapi-rapi itu tersebar meluas di Internet, walaupun Najib sebelum ini berkata tidak akan berundur daripada kedudukannya kerana tiga juta anggota Umno berdiri di belakangnya. Dalam ucapan keras dan bernada tinggi itu, Anina, tuan punya badan berkata tiga juta anggota Umno kini menjadi mangsa “kencing” Najib.[25]
Pada 26 Ogos 2015, bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yakin bahawa wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib dikaitkan dengan dana 1MDB. Beliau tetap beranggapan sedemikian walau SPRM mengisytiharkan bahawa wang tersebut adalah sumbangan derma dan tiada kaitan dengan 1MDB. Mahathir juga mengulangi bahawa penjelasan mengenai derma itu tidak dapat dipercayai memandangkan jumlahnya terlalu besar.[26]
Pada 28 Ogos 2015, satu saman difailkan seorang ahli Wanita UMNO Anina Saaduddin terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Anina ketika ditemui berkata, beliau tidak gentar jika dikenakan tindakan oleh parti.[27] Anina turut berkata beliau mengambil tindakan itu demi kepentingan tiga juta ahli parti dan bagi pihak rakyat Malaysia.[28]
Pada 18 September 2015, Anina terus mengasak Najib di Mahkamah. Beliau memfailkan permohonan perintah injuksi mareva untuk membekukan aset Najib.[29]
Pada 3 Oktober 2015, bekas Presiden MCA Ling Liong Sik menyambut Mahathir bin Mohamad supaya Najib meletakkan jawatan. Kata Ling itu, Najib harus berundur daripada jawatan perdana menteri kerana "mengambil duit orang lain" dan memasukkannya ke akaun peribadi.[30] Pada 27 Oktober, Najib memfailkan saman mendakwa Ling Liong Sik ada mengeluarkan kenyataan fitnah dan diterbitkan melalui portal Malay Mail Online.[31][32] Najib bagaimanapun menarik balik saman itu pada 22 Mei 2018.[33][34]
Pada 12 Oktober 2015, selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Pemuda MCA, Najib dan skandal RM2.6 bilion sekali lagi menjadi isu panas di AGM MCA. Seorang perwakilan menggesa kepimpinan MCA untuk secara terbuka menggesa peletakan jawatan Najib, manakala seorang lagi bertanya sama ada MCA mendapat bahagiannya dari "dana politik" RM2.6 bilion itu.[35]
Pada 13 Oktober 2015, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali menutup siasatan BNM ke atas 1MDB atas alasan tiada bukti baharu yang dikemukakan BNM.[36]
Pada 23 Oktober 2015, Anggota parlimen pembangkang menyambut pembentangan belanjawan 2016 Najib dengan mempamerkan plakad bertulis “mana 2.6 bilion?” Ia bertujuan menyindir isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.[37]
Pada 12 November 2015, Najib berkata beliau akan memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung kes sumbangan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.[38]
Pada 5 Disember 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan daripada Najib berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion di Putrajaya. SPRM dalam satu kenyataan berkata pertemuan itu berlangsung selama dua setengah jam dan Najib memberi kerjasama dengan baik kepada SPRM.[39]
Pada 7 Disember 2015, Timbalan Presiden Parti UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa supaya Najib bercuti semasa penyiasatan 1MDB bagi memastikan penyiasatan dapat dilakukan secara “bebas”.[40][41] Pada 12 Disember, Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan minta maaf kepada Najib kerana perselisihan faham antara mereka bukan menyentuh soal peribadi tetapi semata-mata atas dasar prinsip.[42]
Pada 8 Disember 2015, sebuah video bertajuk ’51 Dalil Mengapa Perdana Menteri Najib Razak Sudah Tidak Layak Jadi Perdana Menteri’ mula menjadi‘viral di media sosial. Antara dalil itu ialah Najib tidak berupaya mengawal isterinya yang boros bebelanja; kos sara hidup rakyat meningkat; syarikat 1MDB berhutang hingga RM42 bilion; menjual aset strategik negara; pentadbiran mengamalkan rasuah; memecat orang yang menyiasat beliau; menghabiskan berbilion ringgit untuk konsultan ‘separuh masak’; mempunyai barisan menteri kabinet yang lesu dan bercakap seperti orang bodoh; terima RM2.6 bilion secara peribadi tetapi tidak beri bukti siapa bagi dan untuk apa ia dibelanjakan; membelakangkan titah Raja-raja Melayu untuk mempercepatkan siasatan salah laku 1MDB; Malaysia menjadi antara negara paling korup dalam dunia; reputasi Malaysia jatuh dan dipandang hina oleh masyarakat dunia kerana masalah yang diciptanya sendiri.[43]
Pada 4 Januari 2016, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, hanya nama individu yang didapati bersalah akan dimasukkan dalam senarai pesalah rasuah. Justeru, permintaan penasihat DAP Lim Kit Siang supaya nama Najib dimasukkan dalam pangkalan data itu tidak boleh dilaksanakan.[44]
Pada 17 Januari 2016, bekas ahli UMNO Anina Saadudin menyifatkan Najib sebagai Perdana Menteri paling gagal dalam sejarah negara kerana dakwanya pemimpin nombor satu negara ini telah bertindak menjual kepentingan negara kepada syarikat asing demi menyelamatkan 1MDB.[45]
Pada 26 Januari 2016, Peguam Negara (AG) Mohamed Apandi Ali memegang carta aliran semasa sidang media, mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berdasarkan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).[46][47][48] Kenyataannya membangkitkan kemarahan ramai.[49][50][51] Pada 15 Mac, Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Apandi.[52]
Pada 29 Februari 2016, bekas Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad mengisytiharkan keluar Umno sebagai tanda protes terhadap Najib. Beliau berkata membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi Umno dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.[53][54] Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam 1MDB yang sarat hutang.[55]
Pada bulan Mac 2016, speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia mengeluarkan perintah melarang Dewan Rakyat berbincang mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Ini menyebabkan Dewan Rakyat mendapat kritikan kerana dianggap membisukan anggota parlimen daripada menimbulkan isu-isu kepentingan awam. Pada 2 Ogos 2018, speaker Mohamad Ariff Md Yusof menarik balik perintah larangan itu.[56]
Pada 4 Mac 2016, Mahathir mengetuai 57 individu dari pembangkang dan NGO menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak peletakan jawatan Najib.[57][58][59] Antara yang menyertai Deklarasi itu adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pemimpin DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, bekas Presiden MCA Ling Liong Sik dan orang yang lain-lain. Tinjauan media sosial yang dilakukan Malaysiakini mendapati bahawa terdapat sokongan padu rakyat terhadap Deklarasi Rakyat dan peranan yang dimainkan Mahathir dalam gerakan tersebut.[60] Pada 15 September, Mahathir menyerahkan petisyen yang didakwa ditandatangani lebih sejuta rakyat Malaysia kepada Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar.[61]
Pada 13 Mac 2016, dua wartawan Australia yang ditahan polis di Sarawak kerana bertanyakan soalan sensitif Najib berhubung isu derma RM2.6 bilion.[62]
Pada 17 Mac 2016, akibat skandal kewangan 1MDB, Malaysia disenaraikan di antara lima negara yang mempunyai masalah rasuah paling besar di dunia.[63][64]
Pada 28 Mac 2016, Dokumentari Australia - Four Corners memamparkan laporan apa yang didakwanya sebagai butiran akaun bank peribadi Najib. Menurut program terbitan, Australian Broadcasting Corporation (ABC) itu, kru penerbitannya telah melihat dokumen-dokumen bank yang dibekalkan oleh 'sumber pada peringkat tertinggi’ yang tidak dinamakan.[65][66]
Pada 30 Mac 2016, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa Najib membelanjakan sehingga AS$15 juta (RM58.1 juta) untuk percutian dan barang-barang mewah di kedai-kedai di Amerika Syarikat, Malaysia, Itali dan di tempat lain, berdasarkan siasatan yang dilakukan terhadap rekod perbankan peribadi beliau.[67][68]
Pada 19 April 2016, WSJ mendakwa bahawa sebahagian wang daripada syarikat palsu Aabar Investments PJS berakhir di Tanore Finance Corp yang juga berpangkalan di Kepulauan British Virgin, entiti sama yang memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.[69] Berhubung jumlah dana yang amat besar itu berasal dari penderma Arab Saudi, bekas Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan secara berterus terang menggambarkan mereka yang menyokong teori itu sebagai "bodoh atau tidak jujur".[70]
Pada 1 September 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan secara rasmi mengesahkan bahawa Malaysia Official 1 (MO1) yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Najib.[71][72][73] BBC memetik beliau sebagai berkata, dalam sebuah artikel yang bertajuk 'Who is Malaysian Official 1? Case Closed' yang disiarkan di laman webnya.[74]
Pada 15 November 2016, Najib berkata, isu 1MDB telah terlalu dipolitikkan dan pihak tertentu dalam Malaysia cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan politk peribadi mereka. Katanya, mereka ini yang telah "menyalurkan kepada pihak berkuasa asing maklumat yang adakalanya salah atau tidak lengkap."[75]
Pada bulan Mei 2017, majalah Time yang berpengkalan di New York menamakan Najib dan Amerika Presiden Donald Trump sebagai antara pemimpin dunia yang memiliki `rating’ terburuk. Time turut mengaitkan Najib dengan 1MDB dan kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya yang dikatakan daripada kerabat diraja Saudi.[76]
Pada 30 Oktober 2017, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata Peguam Negara (AG) Mohamed Apandi Ali pada 24 Oktober lalu, sekali lagi mengarahkan pihak polis supaya menjalankan siasatan lanjut berhubung kes 1MDB.[77]
Pada 28 Februari 2018, Indonesia merampas sebuah kapal mewah di Bali yang sedang dicari DOJ sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB.[78]
Pada bulan Mac 2018, skandal 1MDB dipaparkan dalam majalah hal ehwal semasa Indonesia, Tempo.[79]
Pada 23 Mac 2018, Najib menjelaskan bahawa laporan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB membuat kesimpulan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.[80]
Pada 3 Mei 2018, Mahathir pula sekali lagi membangkitkan soal hutang negara dan isu 'derma' RM2.6 bilion. Beliau berkata, "RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya. Ketika ditanya dari mana, dia kata derma daripada Arab.""Arab mana yang cukup gila untuk buat demikian? Bill Gates pun tak beri sebanyak itu."[81]
Pada 5 Mei 2018, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata 1MDB tidak pernah memindahkan wang ke dalam akaun peribadi Najib.[82]
Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.[83] Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama. Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama. Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun berserta denda RM210 juta.[84][85][86]
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.[87]
Dalam kalangan enam bekas perdana menteri Malaysia, Najib adalah yang pertama menghadapi dakwaan jenayah.[88]
Secara keseluruhan, beliau berdepan 42 pertuduhan.[89] Ini adalah skandal kleptokrasi terbesar di dunia.[90]
Pada 12 Mei 2018, Jabatan Imigresen Malaysia memberi pengesahan mereka menyenarai hitam nama Najib dan isterinya Rosmah Mansor. Dengan keputusan itu Najib terbabit serta isterinya tidak boleh meninggalkan negara ini untuk apa-apa urusan pun, termasuk bercuti.[91][92][93] Perdana Menteri Mahathir berkata, ini selepas kerajaan banyak menerima aduan berkaitan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Najib sebelum ini.[94] Najib berkata beliau akur dengan keputusan Jabatan Imigresen Malaysia untuk melarangnya daripada meninggalkan negara.[95]
Pada 12 Mei 2018, Perdana Menteri Mahathir memberitahu laporan audit 1MDB bukan lagi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan beliau sudah mengarahkan polis mengeluarkan laporan audit itu yang diklasifikasikan di bawah OSA.[96][97]
Pada 15 Mei 2018, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengumumkan laporan audit 1MDB tidak lagi diklasifikasi sebagai rahsia.[98][99]
Pada 14 Mei 2018, seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan kepada SPRM berhubung beberapa dakwaan melibatkan Najib. Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan SPRM Abdul Razak Idris berkata laporan itu berkaitan apa yang disyaki sebagai tindakan menghalang siasatan berhubung kes Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan 1MDB.[100]
Pada 15 Mei 2018, Perdana Menteri Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyelewengkan beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB. Mahathir berkata beliau tidak akan membuat rundingan dengan Najib bagi mendapatkan kembali wang itu.[101][102]
Pada 19 Jun 2018, Mahathir berkata penyelewengan dan rasuah menggunakan wang kerajaan adalah antara tuduhan yang bakal dikenakan kepada Najib susulan penyiasatan ke atas dana kerajaan 1MDB. Mahathir memberitahu Reuters dalam temu bual bahawa pasukan penyiasat "mempunyai kes yang hampir sempurna" terhadap suspek utama yang menyeleweng dana 1MDB dan menyalahgunakan berbilion-bilion dolar dana awam.[103][104]
Pada 18 Mei 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur, bagi memberi notis memintanya hadir sebelum pukul 10 pagi 22 Mei ini untuk memberi keterangan bagi kes tersebut.
Pada 22 Mei 2018, Najib beredar dari Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 3.15 petang selepas lebih lima jam memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kes SRC International. Najib ketika ditemui media di lobi bangunan berkenaan berkata, beliau akan hadir semula di Ibu Pejabat SPRM pada 24 Mei ini untuk sambung memberi keterangan kepada SPRM.[105]
Pada 24 Mei 2018, Najib memberi keterangan untuk kali kedua kepada SPRM dan mengambil masa lebih tujuh jam berhubung siasatan kes sama.[106] Najib ketika ditemui di lobi bangunan berkata, beliau sudah selesai sepenuhnya memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.[107]
Pada 5 Jun 2018, Isteri Najib, Rosmah Mansor beredar meninggalkan Ibu Pejabat SPRM, kira-kira jam 3.45 petang tadi selepas lima jam memberi keterangan berhubung siasatan membabitkan SRC International.[108]
Pada 3 Julai 2018, anak tiri Najib, Riza Aziz tiba di Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung skandal 1MDB.[109]
Pada 4 Julai 2018, Riza Aziz memberi keterangan buat kali kedua selama enam jam kepada SPRM berhubung siasatan 1MDB.[110]
Pada 5 Julai 2018, Riza Aziz memberi keterangan buat kali ketiga kepada SPRM berhubung siasatan 1MDB.[111]
Pada 26 September 2018, Rosmah sekali lagi memberi keterangan kepada SPRM hampir 12 jam.[112][113]
Pada 21 Mei 2018, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kerajaan mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes 1MDB. PMO berkata pasukan khas berkenaan ditubuhkan selepas dipersetujui Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad. Pasukan khas itu akan diketuai bersama bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohamad Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman Abdul Hamid Bador.[114][115]
Pada 31 Mei 2018, Pasukan Khas Siasatan 1MDB Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama untuk membawa pulang sejumlah wang kepada kerajaan Malaysia yang dipercayai telah diseleweng daripada 1MDB.[116]
Pada 25 Jun 2018, bekas pegawai khas kepada Najib direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan 1MDB. Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan memegang jawatan pengarah di sebuah syarikat yang dipercayai menerima wang transaksi daripada 1MDB.[117][118][119]
Pada 1 Julai 2018, Mahkamah Majistret membebaskan bekas pegawai khas kepada Najib yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan kes 1MDB. Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM20,000.[120][121]
Pada 27 Jun 2018, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh berkata jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan Najib ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion. Amar Singh berkata, sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis. Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.[122][123][124]
Pada 29 Jun 2018, keluarga Najib telah memulakan prosiding undang-undang bagi mendapatkan semula barangan yang dirampas. Ahli keluarga beliau mendakwa barangan yang dirampas kebanyakannya merupakan hadiah yang diterima dari keluarga ternama dari luar negara termasuk keluarga Diraja, untuk pelbagai acara.[125]
Selepas Pilihan raya umum Malaysia 2018, Najib menarik balik kes-kes fitnah berkaitan skandal 1MDB termasuk terhadap Harakah, Malaysiakini, Tony Pua Kiam Wee dan Ling Liong Sik.[126]
Pada 3 Julai 2018, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat Langgak Duta kira-kira jam 3 petang.[127][128][129]
Pada 4 Julai 2018, Najib yang dikawal ketat pasukan polis dan pegawai SPRM memasuki Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.[130][131] Beliau didakwa atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.[132][133][134] Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.[135]
Pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.[136]
SRC International dibentuk pada Januari 2011 sebagai anak syarikat 1MDB, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, "SRC" bermakna "strategic resource company" dan tujuan yang dinyatakan untuk melabur dalam industri logam dan tenaga yang menjadi kepentingan negara.[137]
Pada 10 Ogos 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk melarang media dan orang ramai daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kes jenayahnya yang akan membuat inferens (kesimpulan) Najib bersalah sementara menunggu kesnya selesai.[138][139]
Pada 13 Ogos 2018, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak untuk mengeluarkan perintah melarang media dan orang awam daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kesnya.[140]
Pada 18 Disember 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan surat pelantikan Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pasukan pendakwaan dan permohonannya untuk mendapatkan dokumen berhubung kes itu.[141]
Pada 17 Januari 2019, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Manoj Kurup dalam surat bertarikh 17 Jan 2019 yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan, menyatakan permohonan itu "adalah remeh dan akan menyebabkan kelewatan yang tidak munasabah terhadap perbicaraan yang dijadualkan".[142]
Pada 28 Januari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta. Najib mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.[143][144][145]
Pada 11 Februari 2019, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga rayuannya berhubung keputusan pendakwa raya menarik balik sijil perpindahan tujuh pertuduhan terhadapnya, selesai.[146]
Pada 14 Februari 2019, Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar empat rayuan Najib bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan interlokutori Najib mengenai tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC.[147]
Pada 28 Mac 2019, Mahkamah Tinggi menetapkan 3 April pada 2 petang bagi perbicaraan kes SRC Najib.[148]
Pada 1 April 2019, Najib memfailkan satu lagi rayuan (permohonan semakan) terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya menangguhkan perbicaraan kesnya berkaitan SRC.
Pada 29 April 2019, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perisytiharan bahawa tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapinya adalah cacat.[149]
Pada 29 Julai 2019, peguam Ranjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa Najib mengaku dalam saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Presiden MCA Ling Liong Sik bahawa RM42 juta dari SRC telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.[150][151][152]
Pada 27 Ogos 2019, Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 orang saksi.[153]
Pada 11 November 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.[154][155]
Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.[156]
Pada 11 Mac 2020, Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.[157]
Pada 5 Jun 2020, Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan.[158][159][160]
Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.[161][162]
Semua hukuman penjara akan berjalan serentak, menjadikan tempoh hukuman penjara sebenar adalah 12 tahun.[161][162]
Sekiranya gagal membayar denda RM210 juta - yang merupakan lima kali ganjaran RM42 juta yang diterima oleh Najib - maka beliau akan dipenjara lima tahun lagi.[161][162]
Pada 10 Sept 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyifatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib adalah kesalahan salah guna kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang paling teruk. Melalui alasan penghakiman penuh setebal 801 muka surat, Mohd Nazlan berkata, kes terbabit mempunyai elemen yang memberikan kesan ke atas kepentingan awam kerana dana RM42 juta itu adalah milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang berkemungkinan berasal daripada dana pencen Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM4 bilion.[163][164]
Pada 30 Julai 2020, Najib mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Beliau melalui peguamnya memfailkan notis rayuan berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta.[165][166][167]
Pada 2 Disember 2020, Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuan terhadap sabitan. Beliau berkata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila mensabitkan serta menjatuhkan hukuman bagi kesemua tuduhan terhadapnya.[168][169][170][171]
Pada 5 April 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuannya terhadap sabitan bersalah dan hukuman dalam kes rasuah RM42 juta SRC International. Justeru Mahkamah Rayuan meneruskan pendengaran permohonan tersebut.[172]
Pada 18 Mei 2021, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar rayuan Najib, yang berlangsung selama 15 hari. Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.[173]
Pada 23 November 2021, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Disember setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Disember.[174]
Pada 24 November 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.[175][176]
Pada 2 Disember 2021, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.[177]
Pada 3 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.[178]
Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib.[179] Dalam penghakiman yang dibaca, panel hakim Mahkamah Rayuan menjelaskan yang Najib terlibat secara aktif dalam memastikan SRC International mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012. Mahkamah juga yakin Najib mempunyai kawalan penuh terhadap SRC International menerusi peranan perdana menteri sebagai penasihat emeritus terhadap syarikat itu, yang berperanan untuk membuat pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber negara. Sebaik SRC mendapat wang pinjaman itu, kata hakim, Najib menjadi “tidak ambil kisah” terhadap bagaimana ia digunakan dan mengarahkan menteri kewangan kedua ketika itu, Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah untuk tidak “mengambil tahu (keep off)” terhadap syarikat itu.[180][181]
Perlakuan perayu ini hanya menunjukkan satu perkara, iaitu sebaik saja dana diberi kepada SRC, di mana perayu ada kawalan penuh, dia bebas untuk menggunakannya untuk kepentingan peribadi.
Ini ditunjukkan menerusi aliran RM42 juta daripada SRC ke akaun peribadinya. Ini bukan sesuatu yang boleh dikatakan sebagai dilakukan untuk kepentingan negara.
Tiada kepentingan negara di sini, hanya memalukan negara.[180][181]
Mahkamah Rayuan juga berpandangan dakwaan resit derma daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah bukti yang tidak dapat dipertahankan, panel hakim berkata ini kerana bukti menunjukkan RM42 juta berasal daripada SRC dan berakhir di akaun bank peribadi Najib.[182] Beliau kemudiannya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan.[183]
Pada 7 Januari 2022, Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.[184][185]
Pada 2 Mac 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.[186][187]
Pada 16 Mac 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu.[188][189][190]
Pada 18 April 2022, Najib memohon lanjutan masa selewat-lewatnya hingga 25 April ini untuk memfailkan petisyen rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.[191] Pada 25 April, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohanan beliau.[192]
Pada 25 April 2022, Najib mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya. Antara alasan dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan tersilap fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas semua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.[193][194][195] Pada 9 Mei, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib.[196][197]
Pada 31 Mei 2022, Najib memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran melantik Peguam Diraja (QC) untuk membantu dia berhubung isu kompleks dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.[198][199] Pada 6 Jul, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 21 Julai sama ada QC dibenarkan mewakili Najib dalam rayuan akhirnya berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta membabitkan SRC.[200]
Pada 7 Jun 2022, Najib memfailkan permohonan untuk menghantar bahan bukti baru di Mahkamah Persektuan, dalam usahanya membatalkan perbicaraan kes SRC di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.[201]
Pada 13 Jun 2022, pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC.[202][203]
Pada 16 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.[204][205]
Pada 27 Jun 2022, Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.[206][207]
Pada 21 Julai 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen's Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.[208][209]
Pada 26 Julai 2022, Najib memberhentikan khidmat peguam Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes SRC.[210][211] Beliau telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.[212]
Pada 29 Julai 2022, Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir.[213]
Pada 15 Ogos 2022, Najib tiba di Mahkamah Persekutuan pada jam 9.05 pagi, bagi prosiding rayuan sabitan hukuman dan denda. Hadir sama ialah peguam Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama dan Liew Teck Huat serta M Rueben sebagai peguam bersama.[214][215]
Pada 15 Ogos 2022, Najib memohon rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC yang dihadapinya, ditangguh sehingga siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai.[216][217]
Pada 15 Ogos 2022, Timbalan Pendakwa Raya Kanan V Sithambaram berkata dakwaan bahawa wujudnya konflik kepentingan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC membabitkan hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berasas sama sekali.[218]
Pada 16 Ogos 2022, Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.[219][220][221]
Pada 16 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu. [222]
Pada 18 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.[223]
Pada 18 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dalam rayuan akhir.[224][225][226]
Pada 19 Ogos 2022, Najib menamatkan khidmat peguam caranya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam rayuan akhir.[227][228]
Pada 19 Ogos 2022, pendakwa raya ad hoc V Sithambaram berkata keterangan bersumpah itu boleh diperoleh dalam afidavit bersumpah yang difailkan Najib dalam saman sivilnya terhadap bekas Presiden MCA Ling Liong Sik, lama sebelum Najib didakwa dalam kes SRC.[229][230]
Pada 23 Ogos 2022, Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan dana SRC International.[231] Bagaimanapun, permohonan itu yang dikemukakan di saat-saat akhir ditolak oleh mahkamah.[232]
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.[233] Hakim Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat itu memutuskan bahawa Najib tidak pernah mempertikai RM42 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya sepanjang perbicaraan kes penyelewengan dana SRC.[234] Hukuman itu disambut baik pembangkang dan pengkritiknya yang sudah bertahun-tahun membangkitkan isu itu.[235][236][237][238][239][240] Pemimpin Umno menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib adalah penganiayaan politik.[241]
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihantar ke Penjara Kajang kira-kira 5.43 petang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang.[242] Beliau menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama menjalani hukuman di Penjara Kajang.[243] Najib masih berdepan empat lagi kes berkaitan rasuah dana 1MDB dan agensi kerajaan lain.[244][245][246] Pada 25 Ogos, Royal Lake Club Kuala Lumpur memecat Najib sebagai penaung.[247]
Pada 2 September 2022, Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.[248]
Pada 6 September 2022, Najib memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.[249]
Pada 11 Oktober 2022, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhammad berkata selagi Najib masih menjalani hukuman itu, beliau tidak dibenarkan keluar berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).[250][251]
Pada 21 Oktober 2022, Mahkamah Persekutuan menetapkan tiga hari bermula 19 Januari 2023 untuk mendengar permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta.[252][253]
Pada 5 Januari 2023, Najib memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula. Peguam mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya memohon panel UNWGAD membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa memutuskan bahawa penolakan rayuannya pada 23 Ogos 2022 adalah tidak adil, melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.[254][255][256][257][258]
Pada 28 Februari 2023, pihak-pihak selesai berhujah dan Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan berhubung semakan sebelum 31 Mac.[259]
Pada 13 Mac 2023, Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Mac untuk keputusan permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.[260]
Pada 19 September 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan, berkata Najib akan didakwa jam 3 petang esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.[261][262]
Pada 20 September 2018, Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.[263][264] Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.[265][266] Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram, manakala peguam Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011.
Sementara bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat yang sama antara 31 Oktober 2012 dan 20 November 2012.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Najib didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan sebanyak RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di tempat yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 10 April 2013 serta antara 23 Jun 2014 hingga 19 Disember 2014.
Bagi semua perbuatan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 31 Januari 2019, peguam bela Najib sudah menerima sebanyak 421 dokumen berhubung kes rasuah membabitkan dana 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu. Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berkata pihaknya sudah menyerahkan dokumen berkenaan kepada pihak pembelaan dan kini sedang berusaha mendapatkan dokumen perbankan bagi 21 lagi tuduhan pengubahan wang yang dikenakan ke atas Najib.[267]
Pada 2 Mei 2019, perbicaraan kes Najib yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, akan bermula pada 19 Ogos. Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali Jumaat, di samping dua minggu pertama November, untuk perbicaraan kes itu.[268][269][270]
Pada 24 September 2019, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berusaha untuk mengenepikan kenyataan saksi bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang menyentuh mengenai Jho Low yang dekat dengan Najib, mendakwa bahawa ia boleh dianggap sebagai khabar angin.[271] Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gopal Sri Ram telah menyatakan bahawa pihak pendakwaan akan mempertahankan bahawa kesaksian Shahrol masih boleh diterima dalam prosiding.[272]
Pada 7 April 2022, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Ismee Ismail mengesahkan menerusi carta aliran yang ditunjukkan kepadanya oleh pasukan pendakwa, wang sebanyak RM2.28 bilion dimasukkan ke akaun Najib.[273][274][275][276]
Pada 25 Ogos 2022, Najib tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. Ia merupakan penampilan pertama beliau selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.[277][278]
Pada 6 Oktober 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mengingatkan pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa mahkamah perlu mengakhiri perbicaraan rasuah terhadap Najib. Beliau memberitahu pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa perbicaraan yang bermula sejak 2019 itu telah tertangguh sejak sekian lama.[279]
Pada 14 Ogos 2023, Najib memfailkan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.[280][281][282]
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar bin Abdullah mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.[283][284]
Pada 14 Mei 2019, Mahkamah Tinggi menetapkan selama 52 hari bermula 6 Januari 2020 untuk perbicaraan kes Najib dan Mohd Irwan.[285]
Pada 9 Oktober 2020, Hakim Muhammad Jamil menetapkan perbicaraan kes pecah amanah itu selama 32 hari pada setiap hari kecuali Jumaat sekitar September dan Oktober 2021, namun dilapangkan bagi memberi laluan kepada dua kes berkaitan 1MDB membabitkan Najib. Tarikh baharu perbicaraan kes pecah amanah itu belum ditetapkan.[286][287]
Pada 3 Mac 2022, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Najib dan Mohd Irwan, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan IPIC yang dihadapi mereka. Hakim Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.[288][289][290]
Pada 4 November 2018, Utusan Malaysia menuntut Najib memohon maaf kepada Umno kerana berbohong mengenai sumber berbilion ringgit yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib. Akhbar yang menyokong Najib sejak sekian lama itu mengubah pendirian selepas mendapati pembohongan Najib menyebabkan Umno kalah pilihan raya umum 9 Mei.[291]
Pada 6 Disember 2018, Najib tiba di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meluangkan masa kira-kira empat jam bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.[292] Sebelum ini, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.[293]
Pada 10 Disember 2018, Najib ditahan SPRM selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM,[294] dan beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.[295][296]
Pada 11 Disember 2018, SPRM mengesahkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekuitf 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan didakwa esok berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB. Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan proses itu dilaksanakan selepas pihaknya mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.[297][298]
Pada 12 Disember 2018, Najib serta Arul Kanda hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.[299][300] Najib mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mengarahkan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.[301] Hakim Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jan 2019 untuk sebutan kes berkenaan.[302][303]
Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama serta menetapkan 1 Mac untuk sebutan kes.[304][305]
Pada 14 Mac 2019, Perbicaraan terhadap Najib dan Arul Kanda atas dakwaan meminda laporan audit syarikat itu akan didengar di Mahkamah Tinggi. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu daripada mahkamah sesyen.[306]
Pada 16 April 2019, Mahkamah Tinggi menetapkan 15 hari bermula 18 November 2019 hingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.[307][308]
Pada 18 November 2019, Najib gagal dalam cubaannya menunda perbicaraan membabitkan tuduhan meminda laporan audit 1MDB. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, membuat keputusan menolak permohonan itu semasa prosiding.[309]
Kes pendakwaan mengambil masa 43 hari, bermula pada 18 Nov 2019 dengan mendengar keterangan beberapa saksi utama termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang dan Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.
Pada 20 Mei 2020, Mahkamah Tinggi menetapkan selama 15 hari bermula 15 Jun depan untuk menyambung perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.[310]
Pada 12 Jun 2020, Najib memohon agar Gopal Sri Ram digugurkan daripada menjadi pendakwa utama dalam kes pinda laporan audit 1MDB.[311] Permohonannya bergantung kepada afidavit oleh bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang antara lain mendakwa Sri Ram cuba memujuknya untuk memainkan peranan dalam menangkap Najib.[312]
Pada 15 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes pindaan laporan audit laporan 1MDB terhadap Najib.[313]
Pada 14 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk membatalkan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB yang dihadapinya bersama Arul Kanda.[314][315][316]
Pada 15 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes laporan audit itu. Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika membuat keputusan itu berkata dakwaan Najib bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan terhadapnya tidak mempunyai merit.[317][318] Perbicaraan kes itu akan bersambung pada 22 Februari.[319]
Pada 1 Jun 2021, rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 8 September.[320]
Pada 8 September 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menggugurkan pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB.[321]
Pada 7 Mac 2022, perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi ditangguhkan ke hujung bulan ini. Selepas prosiding kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam berkata, ia berikutan peguam yang mewakili Najib itu masih berada di luar Negara.[322]
Pada 20 Mei 2022, Pendakwaan dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB dihadapi Najib dan Arul Kanda memohon supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadap Najib. Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib menyifatkan permohonan pendakwaan bukan perkara biasa dan ia adalah kali pertama dalam sejarah moden negara.[323][324]
Pada 24 Jun 2022, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Arul Kanda memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan itu mengikut Seksyen 63(1) akta SPRM.[325][326]
Pada 14 Julai 2022, pegawai penyiasat (IO) yang ditugaskan menyiasat laporan audit 1MDB membabitkan Najib mengalami pendarahan usus dan tidak dapat menghadiri perbicaraan di Mahkamah. Berikutan itu, perbicaraan terhadap Najib yang dijadualkan akan dilapangkan dan ditangguhkan kepada 12 Ogos.[327][328]
Pada 26 Ogos 2022, Najib hadir di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB. Beliau tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 8.48 pagi dari Penjara Kajang diiringi beberapa kenderaan polis dan Jabatan Penjara.[329][330][331]
Pada 7 September 2022, selepas tiga tahun Najib dan Arul Kanda didakwa berhubung kes meminda laporan audit 1MDB, akhirnya perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi selesai.[332][333][334]
Pada 15 November 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 30 Januari 2023 sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kes itu.[335][336][337]
Pada 3 Mac 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan Najib dan Arul Kanda. Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.[338][339][340] Keputusan yang dikeluarkan terhadap Najib telah mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, tindakan segelintir pihak itu merupakan satu penghinaan terhadap mahkamah.[341]
Pada 9 Mac 2023, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan.[342][343]
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya. Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014. Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Pada 13 Mac 2019, Najib mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya atas tiga kes itu.[344]
Pada 18 Ogos 2023, Najib menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan kes SRC.[345][346]
Pada 1 Disember 2023, Najib memohon dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada kes ini.[347]
Pada 10 Disember 2019, Najib menyaman AmBank dan bekas pengurus hubungannya, Joanna Yu Ging Ping kerana menerima arahan daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Jho Low serta mendedahkan maklumat perbankan kepadanya. Menurut peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee, Joanna Yu mengambil arahan daripada Low dengan menghalang amaran 'red flags' terhadap akaunnya dikeluarkan dan menghalang ahli politik berkenaan daripada dimaklumkan mengenai perkara itu serta mengambil tindakan.[348]
Joanna Yu, adalah saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC yang dihadapi Najib melibatkan tujuh pertuduhan.[349][350]
Pada 29 Januari 2020, Joanna Yu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib.[351]
Pada 28 September 2020, Joanna Yu berjaya dalam usahanya membatalkan saman berkaitan 1MDB terhadapnya oleh Najib. Semasa membacakan keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi Khadijah Idris berkata tindakan undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan.[352][353][354]
Setelah mempertimbangkan afidavit (antara bukti semasa prosiding), mahkamah ini berpendapat bahawa tindakan plaintif (Najib) adalah bersifat melampau (scandalous), sembrono, menjengkelkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Tindakan (saman) ini oleh plaintif bukan untuk menuntut ganti rugi tetapi untuk tujuan jaminan bagi mendukung (pihak pembelaan) plaintif dalam kes SRC, dan dengan demikian merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.[352][353][354]
Pada 19 Julai 2021, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Oktober untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap AMMB Holdings Berhad, AmBank dan Joanna Yu.[355]
Pada 27 Januari 2022, Najib gagal dalam rayuannya agar samannya terhadap Ambank dan Joanna Yu kerana mendedahkan butiran maklumat akaunnya kepada individu yang tidak dibenarkan didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Yaacob Md Sam bersama Hadhariah Syed Ismail dan Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan sebulat suara menolak rayuan Najib selepas mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit dan tiada kekhilafasan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membolehkan keputusan sebelum ini dipinda.[356][357][358][359]
Pada 8 Januari 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio perbualan didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB serta SRC. Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.[360][361][362] Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata rakaman itu dibuat antara Januari hingga Julai 2016 dan diterima pada awal tahun 2020.[363] Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya sedang menimbang untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap Latheefa dan SPRM.[364][365]
Pada 21 Februari 2020, Najib dan Rosmah hadir ke Bukit Aman di Kuala Lumpr bagi memberi keterangan berhubung rakaman audio SPRM.[366][367]
Pada 14 November 2022, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram memainkan klip audio itu di mahkamah apabila saksi pendakwaan ke-42 iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar bin Abdullah, mengenal pasti satu daripada suara terbabit kedengaran seperti Najib. Pada 15 November, pendakwaan kes 1MDB memohon untuk mengemukakan rakaman audio bagi menyangkal pembelaan Najib yang mendakwa wang dideposit ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri itu adalah sumbangan.[368]
Pada 14 September 2020, nama Najib tersenarai dalam data pesalah rasuah yang dikemas kini di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Maklumat yang turut memaparkan nombor kad pengenalan serta perincian kes Najib itu menjadi paparan muka pertama bahagian statistik data pesalah rasuah yang turut menyenaraikan 632 lagi senarai pesalah rasuah lain.[369][370][371]
Pada 3 September 2022, SPRM telah mengemaskini pangkalan data pesalah rasuah di dalam laman webnya melibatkan Najib.[372]
Pada 7 Mei 2021, SRC International Sdn Bhd di bawah pengurusan barunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ismee Ismail. Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan. SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan. Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.[373]
Pada 22 Februari 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Fairuz Zainol Abidin menolak permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman itu selepas berpendapat Najib tidak akan diprejudis jika saman tersebut diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.[374][375]
Pada 24 Februari 2022, kes telah ditetapkan untuk perbicaraan selama 16 hari bermula 13 Februari 2023.[376]
Pada 1 April 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC terhadap bekas perdana menteri itu.[377][378][379]
Najib mengemukakan permohonan itu pada 15 Oktober 2021 bagi membolehkan dia ke Singapura untuk bersama anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan bersalin di negara itu.[380] Pada 18 Oktober, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya buat sementara.[381][382] Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4) menuntut penjelasan mengapa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan Najib untuk memperoleh semula pasportnya.[383][384] Bekas Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad berkata Najib menerima layanan luar biasa apabila boleh menerima penangguhan kes perbicaraan dengan memberi alasan tidak sihat tetapi boleh hadir ke tempat lain.[385]
Pada 22 Oktober 2021, Najib memohon kepada mahkamah untuk meminta tarikh bagi pelepasan dan penyerahan pasportnya daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober kepada 6 Disember ini.[386] Hakim Mohamed Zaini menetapkan 26 Okt untuk mendengar permohonan tersebut.[387] Pada 26 Oktober, tiga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasport.[388][389]
Pada 22 Oktober 2021, Najib memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta. Najib mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu. Beliau mendakwa, pada 2015, Tommy bertemu dengan Mahathir bin Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.[390][391]
Pada 19 November 2021, Tommy Thomas dan kerajaan Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman Najib selepas mendakwa tindakan Najib menyaman mereka adalah suatu serangan sampingan bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.[392]
Pada 12 Ogos 2022, Najib membantah pelantikan dua peguam untuk mewakili Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta yang difailkan beliau terhadap bekas Peguam Negara itu. Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Najib, berhujah pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung adalah tidak sesuai kerana sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dalam tindakan saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021.[393]
Pada 19 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan dua peguam dari Tommy Thomas boleh mewakili bekas Peguam Negara itu dalam tuntutan saman RM1.9 juta yang dikemukakan oleh Najib terhadap beliau. Hakim Ahmad Bache dalam penghakimannya berkata adalah biasa terutamanya dalam common law dan menjadi amalan, pihak litigan mempunyai hak untuk memilih peguamnya sendiri.[394][395]
Pada 4 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk menghadiri perbicaraan berkaitan saman sivil RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas pada 21 Oktober.[396][397]
Pada 25 November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Tommy Thomas untuk membatalkan saman difailkan Najib berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam. Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache membenarkan permohonan Thomas selepas mendapati saman yang difailkan Najib tidak boleh dipertahankan berikutan ia adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.[398][399] Kemudian, Najib merayu terhadap keputusan kes itu pada 22 Disember.[400]
Pada 2 Mac 2022, Najib berkata tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB. Ini kerana, katanya pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.[401]
Jangan kita beri alasan hutang 1MDB sebagai merosakkan kewangan negara, hakikatnya satu sen pun hutang prinsipal 1MDB tidak pernah dibayar pada 2018.
Pada 2018, hutang 1MDB adalah RM32 bilion, 2019, 2020, 2021 hutang (kekal) RM32 billion.
Adalah tidak betul untuk cadangkan bahawa rakyat perlu tanggung atau bayar hutang 1MDB.
Misalnya RM16 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs, bukan daripada wang rakyat, itu wang Goldman Sachs.
Kita juga menerima RM3 bilion daripada DOJ, RM2.83 bilion daripada Ambank, RM340 juta daripada KPMG dan RM324 juta daripada Deloitte.
Kesemuanya ini hampir RM23 billion, ini bukan wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan bayar hutang 1MDB.[401]
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia masih belum membayar balik jumlah hutang prinsipal 1MDB sebanyak RM32.3 bilion, tetapi negara sedang membuat bayaran faedah hutang tersebut iaitu sebanyak RM6.5 bilion.[402]
Kita sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi.
Jadi dakwaan bahawa belum lagi kita bayar prinsipal hutang 1MDB ini adalah tidak berasas.
RM32.3 bilion ini tarikh matang dia di antara 2022 hingga 2039. Jadi, belum lagilah dibayar, ini prinsipalnya, tapi kita sudah mula membayar faedahnya.[402]
Tengku Zafrul, berkata, prinsipal hutang 1MDB merangkumi bon terbitan 1MDB Enegry Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion.[402]
Ahli parlimen pembangkang Tony Pua Kiam Wee (Pakatan Harapan-Damansara) juga mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan titah diraja. Katanya, Najib sebenarnya melakukan kesalahan fakta dalam beberapa isu yang dibangkitkannya khususnya mengenai 1MDB, pengambilalihan loji pengeluar tenaga bebas (IPP) dan nilai aset Bandar Malaysia.[403]
Pada 7 Mac 2022, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau telah menulis surat kepada Najib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan meminta Najib memberi kenyataan.[404]
Pada 15 Mac 2022, Najib sudah menghantar jawapan bertulis kepada Azhar Azizan Harun berhubung kenyataan beliau berkaitan 1MDB.[405]
Pada 21 Mac 2022, Azhar Azizan Harun akan memutuskan sama ada kenyataan Najib mengenai pembayaran balik 1MDB telah mengelirukan Parlimen selepas menerima maklum balas daripada Tony Pua Kiam Wee (Pakatan Harapan-Damansara).[406]
Jho Low ialah seorang ahli perniagaan Malaysia yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. Najib mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low, dan terdapat dakwaan bahawa Jho Low memainkan peranan dalam memudahkan skandal 1MDB. Kewujudan dan peranan Jho Low dalam skandal ini juga menimbulkan kontroversi dan penelitian awam terhadap Najib.[407][408][409] Bagaimanapun, Najib menafikan sebarang penglibatan dalam sebarang tindakan menyalahi undang-undang atau salah guna kuasa yang berkaitan dengan Jho Low atau skandal 1MDB. Beliau mendakwa bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan atau terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang berkaitan dana 1MDB.
Pada 9 Januari 2020, Najib mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau beberapa kali ada berhubung dengan Jho Low berkenaan operasi akaun peribadi Ambank beliau. Beliau mengakui bahawa Jho Low pada masa-masa tertentu berhubung dengannya untuk memastikan transaksi kad kredit dan ceknya dapat ditunaikan. Bagaimanapun, Najib membuat pusingan U dengan menafikan beliau ada berhubung dengan Jho Low berkenaan pengurusan akaun peribadi beliau pada 3 Februari. Beliau berkata beliau hanya berhubung dengan Jho Low berkaitan dengan sumbangan derma oleh Arab Saudi ke dalam akaunnya.[410][411]
Pada 28 Julai 2015, sebuah artikel yang disiarkan oleh majalah Time menyarankan supaya Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengelak bertemu Najib. Mendahului senarai lima sebab untuk Obama berbuat demikian ialah skandal 1MDB.[412]
Pada bulan September 2017, Amerika Presiden Donald Trump mengalu-alukan Najib ke Rumah Putih, dengan memuji keputusan Malaysia melabur di Amerika Syarikat tetapi mengelak menyentuh siasatan negara itu terhadap satu dakwaan skandal rasuah. Seorang pegawai kanan AS mengakui bahawa ia adalah luar biasa untuk bertemu dengan Najib ketika 1MDB berada di bawah pengawasan pengawalseliaan.[413]
Najib ke Amerika Syarikat untuk bertemu Trump mendapat publisiti buruk daripada media antarabangsa.[414] The New York Times mengeluar berita bertajuk “Malaysian Leader in Billion-Dollar Scandal Is Invited to White House”[415](Pemimpin Malaysia Yang Terlibat Skandal Berbilion Dolar di Jemput ke Rumah Putih) manakala berita The Washington Post menyebutkan “Trump’s hosting of Malaysia’s prime minister marks another setback for the rule of law”[416](Trump sebagai tuan rumah kepada Perdana Menteri Malaysia menandakan satu kemunduran kepada kedaulatan undang-undang).
Pada 5 Disember 2017, Amerika Syarikat mengumumkan badan kehakiman negara itu berjaya merampas dan menahan harta berjumlah hampir AS$1.75 bilion melibatkan 1MDB, dana pelaburan yang dicetuskan Najib. Peguam Negara AS Jeff Sessions menyebut, harta yang dirampas itu didakwa hasil daripada kegiatan rasuah yang terlibat dengan kesalahan pengubahan wang haram daripada dana pelaburan 1MDB. Jeff Sessions juga menyifatkan isu 1MDB ialah ‘kleptokrasi paling teruk’.[417]
Pada 9 Mac 2018, dalam segmen sepanjang 21 minit itu, pengacara program berita MSNBC Amerika, Rachel Maddow menyediakan butiran latar belakang skandal 1MDB, daripada 'derma Arab' sehinggalah kepada dakwaan rundingan AS$75 juta di antara penderma parti Republican, Elliot Broidy dan ahli perniagaan Jho Low. Maddow membuat pelbagai rujukan berkaitan saman perlucutan hak atas aset 1MDB oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan laporan berita, mendakwa Najib terlibat melesapkan wang daripada 1MDB.[418]
Pada 30 Julai 2015, media British menurut Perdana Menteri Britain David Cameron menemui rakan sejawatnya Najib, dan membangkitkan skandal rasuah yang membabitkan Najib di dalam perbincangan empat mata di Putrajaya.[419] Terdahulu itu, Najib menyambut ketibaan Cameron di Dataran Perdana, bersalaman dengan rakan sejawatnya dan membawa Cameron melakukan lawatan ringkas di sekitar pejabat Perdana Menteri Malaysia itu. The Guardian pula memetik pegawai Britain sebagai berkata, bahawa skandal 1MDB dan rawatan Anwar adalah di antara isu-isu yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu.[420] Akhbar The Telegraph berkata, "tuduhan bahawa $700 juta (£450 juta) wang 1MDB yang didakwa telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib mengeruhkan lawatan yang dibuat untuk membina hubungan perdagangan." Akhbar tersebut melaporkan, Cameron juga menggesa Najib untuk membersihkan kerajaannya di dalam pertemuan mereka.[421][419]
Pada 8 Mac 2018, majalah mingguan Economist tampil dengan artikel bertajuk “Stop, thief! Malaysia's PM is about to steal an election” (Berhenti, pencuri! PM Malaysia akan curi pilihan raya).[422]
Pada bulan Oktober 2015, Najib bersalaman dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ketika terserempak secara kebetulan ketika Netanyahu sedang menunggu keretanya di pintu masuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Liputan Najib dan gambarnya bersama Netanyahu di akhbar The Times Of Israel[423] mengundang rasa kurang senang di kalangan pengguna internet di Malaysia. Bagi mereka adalah tidak wajar bagi Najib yang dipetik sebagai berkata melihat 'harapan baru' dalam hubungan Islam-Yahudi. Najib menafikan dakwaan beliau mengadakan pertemuan dengan perdana menteri Israel itu, sebaliknya bertembung selepas Netanyahu selesai memberi ucapan dan kemudiannya diikuti ucapan beliau selepas itu.[424]
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata tindakan Najib berjabat tangan dengan Netanyahu dianggap "pengkhianatan" kepada usaha umat Islam antarabangsa memberi tekanan dan meminggirkan negara itu. Beliau berkata PAS akan mendesak Najib memberi penjelasan rasmi di parlimen berhubung perkara itu dan parti itu akan memulakan usul mencela tindakan beliau berjabat dengan perdana menteri Israel.[425]
Pada bulan Oktober 1987, dalam Perhimpunan, Najib mengangkat keris dan membuat ucapan yang terkenal di mana beliau menyatakan bahawa beliau mahu 'rendam keris dengan darah Cina'.[426] Najib bagaimanapun menafikan dakwaan menghunus keris dalam perhimpunan itu ketika ditanya oleh ahli Parlimen DAP, Karpal Singh di Dewan Rakyat pada tahun 2009.[427][428]
Pada 10 Februari 2021, Mahathir mendakwa Najib menghunus keris dan mahu mandikannya dengan darah. Mahathir berkata:
Lagipun, kalau isu yang berlaku 1987/88, Najib boleh ingat yang dia hunus keris dan nak mandikan keris dengan darah orang Cina.
Pada 5 Disember 1990, polis telah menahan seorang ahli politik kerana didakwa memeras ugut RM180,000 daripada Najib untuk menahan pengedaran buku skandal Menteri Pertahanan dan keluarganya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Zaman Khan berkata polis kemudian menyerbu rumah suspek di Petaling Jaya dan merampas 2,661 naskhah buku bertajuk Skandal Najib Tun Razak, tujuh pita video lucah, filem dan disket komputer.[432]
Zaman Khan juga berkata Najib membuat beberapa pembayaran kepada lelaki itu melalui alde di pelbagai tempat. Bayaran berjumlah RM180,000.[433]
Pada 6 Disember 1990, Najib menafikan bahawa beliau membayar RM180,000 kepada seorang ahli politik. Katanya, beliau tidak membayar wang kepada lelaki itu sebaliknya membuat laporan polis.[434] Ahli Parlimen DAP Karpal Singh mempersoalkan konflik antara kenyataan Zaman Khan dan Najib.[435]
Pembunuhan Altantuya Shaariibuu ialah kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku di Malaysia. Dalam kes ini, seorang rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibunuh secara kejam di kawasan berdekatan Shah Alam, Selangor, Malaysia. Enam orang ditahan dan disiasat berhubung dengan kejadian ini. Kes ini berprofil tinggi kerana ia melibatkan Abdul Razak Baginda, seorang yang rapat dengan Najib. Kes ini juga melibatkan dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar. Meskipun Najib sendiri tidak langsung terlibat dalam pembunuhan tersebut, kasus ini menimbulkan pertanyaan dan kontroversi tentang keterlibatannya.
Kes berkenaan telah didengar di tiga mahkamah dan Mahkamah Persekutuan memuktamadkan keputusan mengembalikan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul pada 2015. Walau bagaimanapun, keputusan mahkamah tertinggi gagal memadamkan syak wasangka mendakwa berlaku plot untuk menutup kes bagi melindungi Najib.
Pada 20 Jun 2018, peguam Ramkarpal Singh dan bapa Altantuya, Setev Shaariibuu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi agar siasatan baru dimulakan bagi kes berkenaan. Dalam laporan polis itu, Setev menamakan bekas pembantu Najib, Musa Safri.[436] Pada hari yang sama, Perdana Menteri Mahathir bersetuju agar siasatan berhubung kes Altantuya diteruskan.[437][438][439]
P Balasubramaniam, atau lebih dikenali sebagai “PI Bala”, merupakan saksi utama dalam perbicaraan Altantuya. Akuan bersumpah pertamanya yang dibuat pada 2008 mengandungi dakwaan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib dengan Altantuya.[440] Bagaimanapun, pada hari berikutnya, beliau telah menarik balik akuan berkanun pertamanya dan membuat akuan berkanun baru tanpa bahagian yang merujuk kepada Najib.[441]
Bala terpaksa melarikan diri ke India bersama keluarganya tidak lama sejurus selepas beliau membuat dua akuan bersumpah yang bercanggah. Beliau kemudian mendakwa bahawa dia telah diancam dan dibayar untuk menandatangani akuan bersumpah kedua, untuk mengatakan yang akuan bersumpah pertamanya dibuat "kerana ugutan ". Bala turut mendakwa bahawa dia ditawarkan RM5 juta oleh seorang yang dikenali sebagai Deepak Jaikishan, seorang ahli perniagaan yang didakwa rapat dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor supaya menarik balik akuan bersumpah pertamanya.[442][443]
Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas kembali dari India.[444][445][446] Sebelum ini, ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Februari, Bala bersumpah bahawa pengakuan berkanun pertamanya bertarikh Julai 2008 yang mengaitkan Najib dengan Altantuya adalah pengakuan sebenar.[447]
Pada bulan Jun 2014, Santamil Selvi, balu Bala, dan tiga anaknya memfailkan saman RM1.9 juta untuk ganti rugi terhadap Najib, isterinya Rosmah Mansor, adik-beradik Najib - Ahmad Johari dan Nazim -, peguam kanan Cecil Abraham, peguam M Arulampalam, Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan. Saman itu dibuat atas alasan konspirasi menyebabkan Selvi dan anak-anaknya hidup dalam buangan dari 2008 hingga 2013.[448] Bagaimanapun, pada 11 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman sivil mereka tanpa memberi pendengaran penuh, setelah membenarkan permohonan responden untuk berbuat demikian.[449][450]
Pada 11 Oktober 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor untuk memfailkan pembelaan mereka berhubung saman yang difailkan oleh balu Bala.[451] Najib dan Rosmah dalam pernyataan pembelaan mereka menafikan semua tuduhan terkandung dalam kenyataan tuntutan itu. Mereka menyifatkan dakwaan Santamil tentang Bala diarahkan untuk menarik semula akuan bersumpahnya, yang membabitkan Najib dalam pembunuhan Altantuya, adalah tanpa asas dan direka untuk memalukan mereka.[452]
Pada 16 Disember 2019, Azilah Hadri yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.[453][454] Pada 17 Disember, J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah memberitahu pemberita bahawa mahkamah tertinggi itu telah menetapkan 20 April 2020 untuk mendengar kes itu.[455] Najib menafikan dakwaan Azilah, dan menuduh semua itu semata-mata rekaan dan plot politik untuk membungkamnya.[456] Peguam yang mewakili Abdul Razak Baginda menggesa prosiding menghina mahkamah dikenakan terhadap akuan berkanun (SD) Azilah.[457]
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Azilah dibawa keluar dari penjara Kajang pada bulan Februari 2019 untuk berjumpa dengan seorang VVIP. Beliau juga berkata terdapat beberapa pihak termasuk ejen kerajaan Malaysia yang ke Australia untuk berjumpa Sirul Azhar Umar, seorang lagi bekas anggota UTK yang disabit bersalah membunuh Altantuya. Shafee berkata mendapat "maklumat yang sangat dipercayai, tetapi tidak dapat disahkan" berkenaan perkara itu.[458] Bagaimanapun Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan Shafee dan berkata Azilah tidak pernah dibawa keluar kecuali pada 15 April 2015 untuk prosiding mahkamah di Sepang.[459]
Pada 18 Disember 2019, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Perdana Menteri Mahathir menafikan pernah bertemu dengan Azilah.[460] PMO dalam satu kenyataan juga berkata, Mahathir juga menafikan Kerajaan Malaysia merupakan dalang di sebalik kenyataan akuan bersumpah (SD) yang dikeluarkan Azilah mengenai dakwaan pembabitan Najib dalam kes itu.[461]
Pada 20 Disember 2019, Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu bagi menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan membunuh Altantuya.[462]
Pada 23 Disember 2019, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil Najib bagi menyiasat tuduhan terbaru yang mendakwa beliau mengarahkan pembunuhan Altantuya.[463]
Pada 24 Disember 2019, peguam negara Tommy Thomas berkata beliau akan membuka semula kes Altantuya yang didakwa berkait dengan Najib. Tommy berkata, mahkamah ketika menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar Umar bergelut dengan ketiadaan motif pembunuhan.[464][465]
Pada 10 Februari 2020, polis telah mengambil keterangan 15 saksi berhubung siasatan Akuan Berkanun (SD) Azilah. Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Mohd Roze Shaari berkata lebih ramai saksi akan dipanggil.[466]
Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mencelah dalam prosiding semakan Azilah bagi mengetepikan sabitan serta hukuman mati kerana membunuh Altantuya.[467][468]
Pada tahun 2002, semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan, kerajaan memutuskan untuk membeli dua kapal selam daripada syarikat pengeluar Perancis, DCNS (kini dikenali sebagai Naval Group), sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkuatkan kemampuan pertahanan laut Malaysia. Pembelian ini dilakukan melalui perantara yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat kepada syarikat Malaysia, KS Ombak Laut Sdn Bhd.
Isu berkaitan dengan pembelian kapal selam ini timbul apabila terbongkar terdapat dugaan rasuah dan penyelewengan dana yang berkaitan dengan kontrak pembelian tersebut. Terdapat tuduhan bahawa sejumlah wang yang besar yang digunakan dalam pembelian kapal selam telah dialirkan melalui syarikat-syarikat perunding dan perantara, termasuk Perimekar, dan akhirnya mengalir ke akaun peribadi Najib. Pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 turut didakwa ada kaitan dengan skandal pembelian kapal selam berkenaan.
Pada 19 November 2018, Najib dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berkaitan pembelian dua kapal selam Scorpene pada 2002.[469] SPRM sudah membuka semula siasatan kes itu.[470]
Istilah 'cash is king' yang secara literal bererti 'duit adalah raja', juga boleh membawa makna 'duit adalah segala-galanya'. Istilah itu sering diungkapkan bagi menggambarkan bahawa duit dapat membeli segala-galanya termasuk pengaruh dan kuasa. Istilah itu juga sering digunakan pemimpin PH ketika berkempen menentang pentadbiran BN di bawah Najib,[471] yang kini berdepan dakwaan mahkamah berhubung penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan pecah amanah.
Pada 14 September 2017, Pengerusi Pakatan Harapan Mahathir berkata Najib menggunakan pendekatan ‘cash is king’ pada pertemuan di White House apabila mengumumkan pelaburan berbilion ringgit dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS). Mahathir menuduh Najib menggunakan pendekatan itu untuk meraih sokongan politik dan berkata ia sekali lagi digunakan pada pertemuan Najib dengan Presiden Donald Trump.[472]
Pada 7 Ogos 2019, Najib berkata istilah 'cash is king' yang dikaitkan dengannya disalah tafsir oleh Perdana Menteri Mahathir. Najib berkata Mahathir mungkin tidak faham atau sengaja mengelirukan istilah itu, yang menurut Najib maksud sebenar yang cuba disampaikan ialah rakyat adalah raja.[473]
Cash is king saya maksudkan bukan secara literal, maksud saya rakyat itu 'king' (raja). Sebab kita gunakan duit bantu rakyat.
Mungkin beliau (Mahathir) tak faham atau sengaja tak faham.
— Najib[473]
Pada 12 Mei 2022, dalam program Debat Perdana Anwar-Najib, Najib mempertahankan pendekatan 'cash is king' yang dibawanya dengan menyifatkan langkah itu lebih mudah untuk membantu rakyat ketika susah. Sambil merujuk 'king' itu adalah rakyat, Najib berkata, pengenalan pembayaran tunai secara terus kepada rakyat yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya sebelum ini dan diteruskan sehingga hari ini, berjaya menyegerakan bantuan kepada rakyat.[474]
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata kerajaan seharusnya membebaskan rakyat daripada beban kemiskinan bukan hanya dengan memfokuskan pemberian bantuan tunai kepadanya. Katanya, masalah jangka panjang dihadapi rakyat tidak akan dapat diselesaikan jika kerajaan hanya mengambil dasar bantuan seumpama itu saja tanpa memikirkan soal mencipta peluang pekerjaan, menyelesai masalah pengangguran dan kemiskinan serta membasmi amalan rasuah dalam pentadbiran.[474] Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata penjelasan Najib berhubung ungkapan 'cash is king' sebagai tidak logik.[475]
Empat hari kemudian, Mahathir mengkritik Najib sebagai "kurang siuman" kerana membuat kenyataan sedemikian.[476][477]
Beberapa hari sebelum PRK Sibu pada 2010, Najib ketika berkempen di Rajang Park membuat ucapan yang mengundang perhatian iaitu, “You help me, I help you”. Najib berkata jika calon BN Sarawak Robert Lau Hui Yew menang, pentadbirannya akan memperuntukkan RM5 juta untuk projek tebatan banjir.[478]
Pengerusi DAP Karpal Singh mendakwa Najib terbabit dalam ‘pembelian undi’ pada pilihan raya keci parlimen Sibu.[479]
Ini jelas mencabuli Akta Kesalahan Pilihan Raya. Jika tidak berhati-hati, PM (Najib) akan dihumban ke penjara. Kita mungkin terpaksa adakan pilihan raya kecil di Pekan.
— Karpal Singh[479]
Pada 12 Januari 2014, Najib berkata:
Kalau harga sayuran naik, sawi naik, kangkung naik, ada masa dia naik, ada masa dia turun. Hari ini dalam surat khabar, saya baca, ada yang dah turun.
Kangkung dulu naik, sekarang ini dah turun. Bila turun apa pasal tak puji kerajaan? Bila naik salahkan kerajaan. Ini tidak adil sebab ini adalah (ekoran) keadaan, cuaca...[480]
Kenyataan Najib berhubung penurunan harga kangkung disebar meluas dan menjadi bahan sindiran dan gelak ketawa di Internet. Selain komen di laman sosial, terdapat pengguna Internet yang secara nakal menujukan lagu rakyat “Lenggang Kangkung” nyanyian penyanyi terkenal Saloma (isteri P. Ramlee) kepada beliau.[480]
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sendiri dalam Twitter beliau tampil menyindir Najib berhubung kenyataannya itu dengan menulis:
Zaman konfrontasi (dengan Indonesia) kerajaan sindir Soekarno makan jagung; sekarang rakyat Malaysia digalak makan kangkung! LOL (ketawa besar)![480]
Selepas menjadi bahan ejekan di Internet, agensi berita BBC bawah segmen trending beritanya melaporkan bagaimana Najib dikritik kerana mengeluarkan kenyataan itu.[481]
Pada 26 Januari 2014, orang ramai pelbagai kaum berkumpul di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Mereka membawa kain rentang dan melaungkan slogan menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menuntut harga penurunan harga barangan keperluan asas serta mengejek kenyataan kangkung Najib. “Kangkung turun” antara laungan yang kedengaran dalam perhimpunan itu.[482]
Pada 17 Jun 2014, Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa menempelak sikap Najib yang kerap ‘ponteng’ sidang Parlimen sepanjang menjadi Perdana Menteri. Menurutnya, selepas lima tahun menjadi Perdana Menteri semenjak 2009, Najib hanya 26 kali hadir ke Dewan Rakyat sepanjang 358 hari persidangan.[483]
Pada 12 Disember 2014, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto berkata rekod buruk kehadiran Najib ke Parlimen mengesahkan kegagalannya sebagai Perdana Menteri. Ujar Kasthuriraani, sejak 2009 hingga April 2014, Najib hanya hadir kira-kira 26 hari ke Parlimen. Dalam satu kenyataan, beliau berkata:[484]
Rekod ini jauh lebih rendah berbanding Perdana Menteri Britain yang hadir ke Parlimen setiap Rabu selama 30 minit untuk menjawab enam soalan.
Najib menghabiskan 14 minit di Parlimen berucap tentang tragedi kehilangan MH370 dan keluar sebaik Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bangun memulakan debat.
Pada 23 Julai lalu, ketika sidang khas berikutan tragedi pesawat MH17, Najib hanya hadir 35 minit sebelum meninggalkan Parlimen sebaik Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bangun.
Selepas lebih dua jam membentangkan Belanjawan 2015 pada 10 Oktober, dia terus keluar tanpa memerhati prosiding Parlimen terutamanya perbahasan yang berlangsung sehingga 27 November.[484]
Pada 25 Oktober 2016, Najib tidak berada di Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan Bajet 2017. Beliau bingkas bangun meninggalkan Dewan Rakyat tidak lama selepas menjawab soalan semasa sesi Soal Jawab Menteri. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada beliau bertindak begitu untuk bergegas ke Johor Bahru ekoran kebakaran melibatkan Hospital Sultanah Aminah.[485]
Pada bulan Disember 2014, ketika Malaysia dilanda banjir paling teruk dalam sejarah, Najib meluangkan masa di padang golf di ambang sambutan Krismas bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Najib mendapat kritik pedas dari netizen.[486][487][488][489][490] Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua Kiam Wee berkata, tambah mengecewakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih belum mengumumkan darurat meskipun lebih 90,000 mangsa banjir telah dipindahkan.[491] Najib menjelaskan aktiviti bermain golf bersama Obama di Hawaii tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan bencana banjir di negara ini seperti yang dipolemikkan sesetengah pihak.[492]
Pada 6 Jun 2015, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi apabila gempa bumi Sabah. Parti pembangkang mengkritik langkah itu.[493] Bekas Perdana Menteri Mahathir menyindir bahawa Najib terlalu sibuk untuk melawat Sabah yang dilanda gempa bumi.[494] Pada 9 Jun, Najib tiba di Sabah.[495]
GST dilaksanakan sewaktu pentadbiran Najib pada 1 April 2015 pada kadar 6 peratus.[496] Cukai berkenaan dianggap kontroversi kerana dikatakan menjadi beban kepada rakyat dan menjadi punca harga barang meningkat.[497][498][499] Ia kemudian memberi kesan ketara kepada keputusan PRU14.[500]
Banyak kritikus berpendapat bahwa penerapan GST meningkatkan beban ekonomi bagi rakyat Malaysia, terutama golongan masyarakat berpenghasilan rendah. Mereka berpendapat bahwa GST mengakibatkan kenaikan harga barang dan jasa, sehingga mengurangi daya beli masyarakat.[501]
Pada 1 Mei 2015, satu gabungan NGO dan parti politik mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk membantah pelaksanaan GST.[502]
Pada 2 April 2016, Ratusan rakyat Malaysia berarak di beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur menyambut ulang tahun pertama pelaksanaan GST yang kontroversi.[503] Peserta menuntut peletakan jawatan Najib.[504] Mereka kemudian menyifatkan perhimpunan itu sangat berjaya kerana kesanggupan mereka meredah cabaran cuaca yang panas membahang untuk membuat bantahan.[505]
Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Mahathir kemudiannya menurunkan kadar GST kepada 0% pada 1 Jun 2018.[506][507]
Pada 8 Ogos 2018, Dewan Rakyat meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.[508] Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata GST sudah mati.[509]
Pada 28 Ogos 2018, Perdana Menteri Mahathir berkata Najib yang juga menteri kewangan sepatutnya tahu tentang pergerakan wang dalam Kumpulan Wang Disatukan yang dikhususkan untuk bayaran balik GST.[510]
Pada 28 September 2021, Najib mempertahankan dasar kerajaan pimpinannya untuk memperkenalkan GST pada 2015 di Dewan Rakyat. Beliau berkata ini kerana kerajaan perlu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan.[511] Najib turut menggesa kerajaan memperkenalkan semula GST secepat mungkin selepas negara pulih daripada krisis Covid-19.[512][513]
Pada 18 September 2015, Najib mengucapkan penghargaan terhadap peserta Himpunan Rakyat Bersatu dengan menyatakan himpunan Baju Merah berhimun secara aman tanpa sebarang provokasi.[514] Himpunan itu turut dikenali "mempertahankan maruah Melayu" dan dicemari dengan penghinaan kaum dilemparkan terhadap masyarakat Cina. Ia sebagai balasan terhadap peserta BERSIH 4 yang kebanyakannya kaum Cina, yang mendesak Najib meletakkan jawatan.
Pada 20 September 2015, pemuda MCA Pasir Gudang memutuskan hubungan dengan Najib. Ketua Pemuda MCA bahagian itu Chia Chow Hui berkata himpunan 'Baju Merah' menghancurkan keharmonian kaum.[515]
Kami tidak bersetuju dengan himpunan 16 September yang merosakkan hubungan kaum. Tapi Najib memujinya sebagai perhimpunan aman. Jadi kami buat keputusan (untuk memutuskan huungan).
— Chia Chow Hui[515]
Hal ini bermaksud semua anggota Pemuda MCA bahagian itu tidak akan menghadiri majlis Najib atau menyokong beliau dalam apa cara sekalipun. Ketika ditanya, Chia berkata beliau tidak bimbang jika dikenakan tindakan displin daripada kepimpinan pusat berhubung keputusaan itu.[515]
Bekas Presiden MCA Ling Liong Sik berkata beliau memahami perasaan Pemuda MCA Pasir Gudang yang telah memutuskan hubungan dengan Najib. Ling berkata jika beliau masih muda, beliau akan melakukan perkara yang sama. Beliau berkata Najib tidak memberikan penjelasan yang sesuai terhadap banyak isu, dan malah memuji perhimpunan baju merah pada 16 September, dengan mengisytiharkannya sebagai perhimpunan aman, dan ini telah membuat rakyat kecewa dengan PM.[516]
Semasa Najib menjadi Perdana Menteri, begitu banyak media cetak dan online yang telah digantung atau diharamkan termasuk The Edge, Sarawak Report, The Malaysian Insider dan Asia Sentinel. Kebanyakan media ini ditekan kerana membuat laporan tentang penyelewengan wang dari 1MDB.[517][518][519][520]
Kerajaan Najib menggunakan undang-undang dan agensi-agensi kawal selia untuk mengetatkan kawalan ke atas pengkritik kerajaan dalam talian, termasuk kandungan yang dianggap 'tidak menghormati' pemimpin BN.
Pada bulan Ogos 2015, Artis Bilqis Hijjas yang juga dikenali sebagai 'Gadis Belon', didakwa seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 Bilqis kerana didakwa berkelakuan dengan cara menghina bertujuan membangkitkan kemarahan sehingga keamanan mungkin terganggu, kerana menggugurkan belon kuning yang tertera dengan perkataan 'democray', 'Free media' dan 'Justice' di majlis yang dihadiri oleh Najib dan isterinya.[521]
Dalam kes lain, artis Fahmi Reza sedang disiasat kerana menghasilkan karya karikatur Najib ‘bermuka badut’ yang kemudiannya dimuat naik ke akaun Twitter dan Instagram.[522] Fahmi disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas dakwaan menyalahgunakan rangkaian telekomunikasi dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan berkaitan dengan sengaja membuat penghinaan bagi mencetuskan ketenteraman awam.[523]
Pada 13 Mac 2016, dua wartawan Australia yang ditahan polis di Sarawak kerana bertanyakan soalan sensitif Najib berhubung skandal 1MDB. Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata Canberra akan menimbulkan cara wartawannya dilayan oleh pihak berkuasa Malaysia.[524][525][526] Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata, insiden itu mendatang tiga implikasi negatif kepada negara iaitu kebebasan media yang mengundur ke belakang; tanda kediktatoran yang semakin ketara dan isu 2.6 bilion derma ke akaun peribadi PM memang sah satu skandal yang cuba disembunyikan.[527]
Pada 2 Julai 2016, seorang penulis buku berusia 76 tahun ditahan polis setelah didapati menghantar mesej bergambar Najib dalam aplikasi WhatsApp yang bersifat jelik bertujuan menghina.[528][529]
Pada 22 November 2016, seorang penganggur Mohamad Arif Fadila Arbain didenda RM9,500 di Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap Najib menggunakan aplikasi Twitter. Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.[530]
Pada 19 Jun 2017, seorang peniaga tukaran mata wang asing (forex) Mohd Nasaruddin Saron dihukum penjara sehari dan denda RM4,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah membuat kenyataan menghina Najib. Melalui kenyataan dibuatnya itu dia merungut mengenai kenaikan harga barang serta pelaksanaan cukai barangan dan Perkhidmatan (GST).[531]
Pada 26 Februari 2018, Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM4,000 keatas seorang bekas pengendali kren Muhammad Amirul Helmy Hisham kerana memuat naik status di laman media sosial yang menghina satu video yang memaparkan Najib sedang menyanyi dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada 2016.[532]
Pada bulan Oktober 2015, dalam satu laporan yang diumumkan di Kuala Lumpur, Human Rights Watch (HRW) berkata kebebasan bersuara dan perdebatan awam menjadi semakin sempit di Malaysia apabila kerajaan menggunakan undang-undang untuk menyekat pendapat dan kritikan terhadap dasar-dasarnya. Laporan tersebut, "Mewujudkan Budaya Takut: Menjenayahkan Kebebasan Bersuara Secara Aman di Malaysia," mengkaji pelbagai undang-undang berkaitan kebebasan bersuara, perdebatan dan perhimpunan di Malaysia yang telah diperketatkan, diperkenalkan atau dihidupkan semula sejak Najib mengambil alih jawatan pada 2009 - khususnya Akta Hasutan.[533]
Pada bulan Oktober 2016, Human Rights Watch berkata Kerajaan Malaysia meningkatkan tindakan keras terhadap "ucapan secara aman" bagi melindungi Najib daripada kritikan seperti rasa tidak puas hati orang ramai terhadap skandal rasuah yang membimbangkan.[534]
Anthony Kevin Morais adalah seorang pegawai yang bekerja sebagai Timbalan Pendakwa Raya atau Deputi Jaksa Penuntut Umum. Pada bulan September 2015, beliau ditemui mati dengan cara dibunuh dan jenazahnya ditemui dalam sebuah tong yang tenggelam dalam simen. Susulan itu, terdapat tanggapan pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan kes 1MDB dan skandal SRC International. Seorang lagi adik mendiang, Charles Morais, mendakwa abangnya mendraf kertas dakwaan terhadap Najib sebelum dibunuh,[535] namun SPRM menafikan Kevin Morais terlibat dalam siasatan 1MDB.[536]
Pada 2 Oktober 2018, S Ravi Chandaran, tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Kevin Morais mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa dia ditawarkan wang RM3.5 juta oleh Najib untuk mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.[537][538] Najib kemudian berkata dakwaan tertuduh ketujuh dalam kes itu bahawa beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu sebagai mengarut.[539][540] Pada 5 Oktober, Ravi Chandaran menafikan semua keterangan yang diberikan sepanjang prosiding membela dirinya di Mahkamah Tinggi, adalah satu pembohongan dan rekaan semata-mata.[541]
Pada 24 Oktober 2015, tiga belas cawangan Umno dalam bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilan menggesa supaya presiden mereka Najib meletakkan jawatan. Ketua Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman yang mengetuai kumpulan itu berkata, sebagai pemimpin akar umbi beliau tidak berniat untuk menghukum presiden parti berhubung isu yang melanda negara ketika ini. Namun, katanya, pengunduran Najib perlu dilakukan bagi memastikan Umno tidak menjadi mangsa keadaan oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang.[542]
Pada 17 November 2015, sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan parti itu di Sepang turut menggesa agar Najib melepaskan jawatan. Jurucakap kumpulan itu, Rushdan Mohamed berkata Najib perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno kerana skandal berpanjangan yang melanda dirinya telah menjadikan beliau sebagai liabiliti. Rushdan turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal 1MDB dan 'sumbangan politik' RM2.6 bilion yang dikatakan diterima oleh Najib.[543]
Pada 23 November 2015, sebanyak 81 orang ketua cawangan dari lapan bahagian Umno Johor mendesak Najib meletakkan jawatan. Menurut jurucakap kumpulan itu, Ketua Umno cawangan Bandar Pulai Jaya 2, Zairuddin Hamid, beliau tuntutan itu dibuat kerana Najib banyak melakukan kerosakan pada parti.[544]
Selain itu, Mahathir, yang sebelum ini penyokong kuatnya tetapi kini bertukar menjadi penentang utamanya, turut menggesa supaya Najib meletak jawatan.[545][546][547]
Pada bulan Disember 2015, Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 telah diluluskan di Parlimen selepas perdebatan selama enam jam maraton. Rang undang-undang itu memberikan Najib dengan kuasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, seperti keupayaan untuk menentukan apa yang menjadi isu keselamatan serta menganggap mana-mana bahagian Malaysia kawasan keselamatan.[548] Di dalam kawasan itu, pihak berkuasa boleh membuat tangkapan, menjalankan carian atau merampas harta tanpa waran. Rang undang-undang itu dikritik oleh kumpulan hak asalkan mengundang penyalahgunaan kerajaan.[549] Bar Malaysia memanggilnya sebagai "kejam ke arah kerajaan autoritarian".[550] Kerajaan mempertahankan rang undang-undang itu, dengan menteri kabinet Shahidan Kassim mengatakan undang-undang itu perlu untuk membolehkan penyelarasan yang lebih baik dan tindak balas yang seragam sekiranya negara menghadapi ancaman keselamatan, dan undang-undang itu tidak melanggar hak asasi manusia yang dijamin di bawah persekutuan perlembagaan.[551]
Pada 22 Februari 2018, bercakap dalam sesi perkongsian Bajet 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Najib berkata beliau mengawal diet sebagai ganti senaman untuk kekal sihat.
(Saya) tidak (selalu senaman)... Saya suka makan. Masalah saya saya suka makanan, macam kebanyakan rakyat Malaysia.
Kita suka makanan. Saya terpaksa kawal. Sebagai contoh, saya tidak makan nasi, saya makan kuinoa. Anak saya yang perkenalkan saya dengan Kuinoa.
Peserta kemudian bertanya Najib apakah quinoa itu. Najib menjelaskan ia adalah makanan ruji masyarakat Inca, yang lebih sihat berbanding nasi.
Ia datang dari Peru, orang Inca telah tanamnya 3,000 tahun lalu. Ia berasaskan protien, kurang karbohidrat dan kurang gula.
Jadi ia lebih sihat berbanding nasi.
Najib menerima reaksi negatif selepas mendedahkan amalan pemakanan sihatnya yang menggantikan nasi dengan kuinoa, sejenis bijian dari Amerika Selatan yang mahal.[552][553]
Bekas perdana menteri Mahathir hanya menulis sebaris ayat pendek di media sosial: "Saya makan Nasi beras tempatan sahaja." Sementara itu, Mahathir turut memuat naik poster memuatkan petikan kata Najib dengan perbandingan harga kuinoa dan beras biasa yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia.[554]
Ahli Parlimen Gelang Patah DAP Lim Kit Siang mengakui beliau tidak pernah mendengar tentang kuinoa sehingga disebut oleh Najib.[555]
Saya tidak pernah dengar tentang kuinoa - sebenarnya, saya akui tidak tahu bahawa kuinoa wujud.
Saya terpaksa tanya sama ada ada sesiapa yang tahu apa-apa mengenai kuinoa.
Kuinoa yang Najib makan kira-kira 23 kali lebih mahal daripada beras, yang dimakan oleh 30 juta rakyat Malaysia.[555]
Pada 23 Februari 2018, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Najib tidak mengambil bijirin quinoa semata-mata sebagai hidangan hariannya. Memberikan kenyataan sebagai reaksi laporan media mengenai amalan pemakanan sihat itu PMO berkata Najib menghadiri banyak acara setiap minggu dan sentiasa dijamu dengan pelbagai makanan.[556][557][558]
Pada 4 Ogos 2018, Gerakan Bersih 2.0 mendakwa, Najib, melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya apabila terus berkempen untuk Barisan Nasional pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis. Dalam kenyataan menerusi akuan Facebook rasminya, Bersih 2.0 yang turut berkongsi gambar cetakan skrin akaun Facebook Najib, mendakwa beliau melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 26(1)(a) dan (f) Akta Kesalahan Pilihan Raya.[559][560]
Seksyen 26(1)(a) menyatakan, pada hari mengundi, tiada seorang pun boleh mengadakan, memanggil atau mengaturkan di mana-mana tempat, apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan sama ada atau tidak perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan, ucapan atau syarahan itu terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau selainnya.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Timbalan Pengerusi Othman Mahmood berkata akan menyiasat dakwaan Najib melanggar undang-undang pilihan raya jika menerima aduan.[561]
Pada 26 Oktober 2018, Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan memutuskan pengurniaan darjah kepada Najib dan isteri Rosmah Mansor ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.[562][563][564][565]
Pendaftar Darjah, Razali Ab Malik dalam kenyataan berkata ia membabitkan pengurniaan Darjah Seri Paduka Negeri Sembilan (S.P.N.S) kepada Najib pada tahun 2005 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.5 bertarikh 2 Mac 2006.
Katanya mesyuarat yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah itu juga memutuskan untuk menarik balik Darjah Seri Paduka Tuanku Ja'afar Yang Amat Terpuji (S.P.T.J) yang dikurniakan kepada Rosmah pada tahun 2006 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.23 Tambahan 1 bertarikh 9 Nov 2006.
Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
— Razali Ab Malik
Pada 10 Mei 2019, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengantung gelaran dan penggunaan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Najib dan Rosmah Mansor. Setiausaha kerajaan Selangor merangkap pendaftar darjah kebesaran Selangor, Mohd Amin Ahmad Ahya dalam satu kenyataan berkata penggantungan gelaran dan penggunaan darjah itu disemak semula setelah kes mereka dimuktamadkan di mahkamah.[566]
Najib telah dikurniakan keahlian darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan darjah kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kelas kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.
Beliau telah didakwa di mahkamah di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.
Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran SPMS dan DPMS adalah digantung berkuatkuasa 6 Mei lalu sehingga kes perbicaraan dan rayuan (jika ada) yang melibatkan beliau selesai di mahkamah.
— Mohd Amin
Mohd Amin juga mengumumkan baginda turut menggantung darjah kebesaran SPMS kelas pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada Rosmah yang dikurniakan pada tahun 2005.
Pada 12 September 2022, Sultan Sharafuddin menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk yang dikurniakan kepada Najib berkuat kuasa. Setiausaha Kerajaan Negeri, Haris Kasim berkata, penarikan darjah kebesaran itu dibuat selepas baginda berunding dengan Dewan di-Raja Selangor.[567][568][569]
Beliau didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang membabitkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang sudah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran SPMS yang membawa gelaran Datuk Seri dan DPMS Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September.
— Haris Kasim
Pada 15 September 2022, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Ahmad Fuzi Abdul Razak, menarik balik darjah kebesaran negeri, keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang dianugerahkan kepada Najib berkuat kuasa. Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohd Zakuan Zakaria, berkata Najib dianugerahkan DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada 2009.[570][571][572][573][574]
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan.
Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan kepada beliau, keahlian beliau sebagai penyandang DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan.
— Mohd Zakuan
Menurut Mohd Zakuan, pembatalan dan pemansuhan keahlian itu selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.
Pada 17 September 2022, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan nekad mahu memulangkan empat anugerah diberikan kepada beliau oleh kerajaan Pulau Pinang. Ia dilakukan susulan beliau mendakwa kerajaan negeri berkenaan tidak bertanggungjawab kerana menarik balik darjah kebesaran diberikan kepada Najib.[575] Huan boleh dikira sebagai penyokong setia Najib dan Barisan Nasional.
Pada 13 November 2018, Najib mendakwa kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 terjadi kerana partinya bersaing secara tidak adil dengan HARAPAN selain faktor penipuan, fitnah dan janji palsu yang ditabur.[576]
Kita kalah kerana penipuan, fitnah, dan janji palsu. Kalau even playing field (padang yang sama rata), saya percaya Umno boleh menang.
— Najib
Bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memilih untuk berterus-terang kepada Najib. Beliau bercakap di Twitter:
Kita kalah sebab 1MDB. Tamat.
— Khairy Jamaluddin[577]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin mempersenda kenyataan Najib yang mengulas mengenai punca kekalahannya pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Kata Hanipa bagi orang yang memahami realiti politik di negara ini, semuanya akan kepenatan ketawa apabila melihat kenyataan dibuat Najib.[578]
Pada 25 Februari 2019, Najib yang berceramah di Kampung Sungai Lalang mengkritik cadangan kerajaan memperkenalkan kadar tol caj kesesakan. Antara cadangan baru ialah kadar tol percuma antara jam 11 malam dan 5 pagi.
Dari 10 malam sampai 5 pagi, tidur tak tidur? Yang tak tidur siapa? Hantu tak tidur, lepas itu kaki botol tak tidur, kaki LGBT, yang cari pelanggan mungkin tak tidur, yang lain semua tidur, pukul 11 malam semua tidur.
— Najib
Kenyataan Najib dikecam oleh beberapa pihak termasuk golongan pekerja syif malam yang berkata kenyataan Najib sebagai tidak menghormatinya.
Pemimpin Amanah Mohamed Hanipa Maidin berkata kenyataan berbentuk sindiran Najib boleh dianggap penghinaan kepada pihak tertentu. Menurut Hanipa Maidin kedudukan dan keistimewaan yang ada pada Najib mungkin menyebabkan bekas perdana menteri itu tidak memahami apa yang dialami rakyat biasa. Katanya Najib bolehlah dianggap berasakan dirinya sangat suci sehingga tergamak menyindir dan mentertawakan orang lain yang mencari rezeki pada waktu malam hingga awal pagi.[579]
Pada 26 Februari 2019, Najib meminta maaf susulan kenyataan beliau bahawa hanya golongan LGBT dan kaki botol akan menikmati 'tol percuma' yang dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).[580]
Bukan niat saya untuk mempersendakan sebarang kumpulan masyarakat yang bekerja pada waktu malam atau yang menggunakan lebuhraya tol selepas jam 11 malam.
Saya dengan rendah hati mohon maaf jika ada yang berasa tersinggung.
— Najib[580]
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.[581]
Pada 8 Ogos 2019, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN.[582]
Pada 28 Februari 2020, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.[583]
Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.[584]
Najib kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan. Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.
Pada 6 April 2021, LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.[585]
Pada 15 April 2021, Najib berkata, beliau tidak akan membayar penalti cukai tambahan RM1.74 bilion yang dikenakan ke atasnya itu.[586]
Pada 14 Jun 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN.[587]
Pada 9 September 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan anaknya Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.[588]
Pada 21 Oktober 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin menangguhkan sementara pembayaran tunggakan cukai pendapatan masing-masing yang berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.[589]
Pada 10 Mei 2022, Najib dan Mohd Nazifuddin berjaya memperoleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung tunggakan cukai berjumlah lebih RM1.7 bilion Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).[590]
Pada 19 Mei 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka. Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili mereka ketika dihubungi pemberita berkata, mahkamah membenarkan permohonan itu semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif.[591]
Pada 21 September 2022, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Najib dan Nazifuddin untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah berhubung tuntutan tunggakan cukai tertunggak berjumlah RM1.7 bilion.[592][593]
Pada 6 Mac 2023, Mahkamah Persekutuan menetapkan 14 Jun untuk mendengar rayuan Najib dan Nazifuddin.[594]
Pada 14 November 2019, dalam ucapan ceramahnya, Najib cuba menimbulkan kebencian terhadap kaum Cina dengan mempersoalkan identiti bangsa Menteri Kewangan tersebut. Berdasarkan kepada klip video yang memaparkan ucapan itu, Najib berkata:
Di mana letaknya maruah Melayu kalau Menteri Kewangannya DAP (Lim Guan Eng). Boleh dia jaga maruah Melayu atau tidak?
— Najib[595]
Najib telah memperlihatkan sikap rasisnya apabila mempertikaikan status Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan hanya kerana beliau berketurunan Cina.[595]
Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi atas selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya memerintahkan Najib dipenjarakan 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.[596]
Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah Najib dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).[597]
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International. Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. Tengku Maimun berkata hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali betul semasa memutuskan kes prima facie ke atas Najib dan mengarahkannya membela diri bagi tujuh pertuduhan rasuah.[598]
Najib dibawa terus ke Penjara Kajang dari Istana Kehakiman di Putrajaya selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan.[599][600][601]
Pada 20 Mac 2021, Harian Metro melaporkan satu video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib dilihat masuk ke restoran berkenaan dengan tidak melakukan imbasan suhu serta mendaftar MySejahtera tular di media sosial.[602] Pada 6 May, Najib dikompaun RM3,000 atas dua kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).[603][604]
Pada 18 November 2021, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membangkitkan rakaman sebuah video yang tular memaparkan Najib menurunkan tandatangan di sebuah motosikal semasa berkempen malah meminta Najib dikenakan kompaun maksima sebanyak RM 50.000 kerana didakwa melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau sentiasa memerhatikan kempen Najib.[605][606]
Pada 11 Januari 2022, polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, dalam sebuah majlis Parti Makkal Sakti yang dihadiri Najib.[607][608]
Pada 27 Februari 2022, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan meneliti rakaman video yang dikatakan menunjukkan Najib melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 semasa berkempen di Perling, Johor.[609][610]
Pada 10 Mac 2022, Khairy Jamaluddin mendedahkan Najib telah didenda lima kali kerana melanggar SOP semasa tempoh kempen pilihan raya Johor.[611][612] Walaupun telah dikenakan lima denda kerana melanggar SOP, Najib sekali lagi muncul di acara yang penuh sesak.[613]
Pada 18 November 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara. Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan. Tengku Zafrul menjawab soalan yang dikemukakan bekas perdana menteri Mahathir yang meminta dia menjelaskan mengapa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 tidak menyentuh mengenai hartanah berkenaan.[614][615]
Bagaimanapun jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parlimen pembangkang.[616] Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim antaranya mahu bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan semula Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH), susulan tindakan kerajaan itu.[617][618] Mahathir juga membantah keras keputusan itu. Dia berhujah Najib tidak layak mendapatkan pemberian itu kerana disabitkan bersalah dalam kes rasuah melibatkan anak syarikat 1MDB, SRC International.[619]
Pada 19 November 2021, Najib menarik balik permohonannya untuk mendapatkan hartanah didakwa bernilai RM100 juta yang layak dipohon oleh bekas-bekas perdana menteri. Katanya, beliau membuat keputusan itu dengan mengambil kira keadaan rakyat yang berdepan saat sukar.[620]
Pada 7 Mac 2022, Mahathir mendakwa Najib menulis surat kepada kerajaan supaya diberikan sebidang tanah bagi menghargai jasanya sebagai bekas pemimpin nombor satu negara. Jelas Mahathir, Najib menulis surat tersebut selepas mengenal pasti sebidang tanah yang diingininya itu.[621]
Pada 31 Disember 2021, bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Najib susulan tuduhannya berkenaan nepotisme dan kronisme. Dzulkefly memfailkan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dilampirkan bersama satu hantaran di Facebook dimuat naik oleh Najib pada 24 Ogos, 2020 bersama artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari, 2019 sebagai bukti.[622]
Pada 3 Februari 2022, Najib diarahkan menfailkan pembelaannya pada 17 Feb, berikutan saman fitnah difailkan terhadapnya oleh Dzulkefly Ahmad, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.[623] Menurut laporan The Edge Market, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi mengarahkan peguam Dzulkelfy daripada Tetuan Farida & Company untuk memfailkan hujahan balas terhadap penyataan pembelaan Najib pada 3 Mac, ketika mengumumkan pengurusan kes berkenaan.[624]
Pada 29 Mac 2022, Najib memfailkan pernyataan pembelaan di mahkamah bahawa hantaran di Facebooknya mengenai isu kronisme tidak merujuk kepada Dzulkefly Ahmad.[625]
Pada 22 Jun 2022, peguam mewakili Dzulkefly, SN Nair, berkata perbicaraan saman fitnah Dzulkefly Ahmad terhadap Najib ditetapkan selama empat hari bermula Jun 2024.[626]
Pada 25 Mac 2022, Najib berkunjung ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis rasmi. Ia mendorong sekumpulan anggota DAP mengadakan protes terhadap Najib di Bukit Mertajam. Mereka diketuai ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Bukit Mertajam, Lim Zheng Han, yang turut membawa sepanduk bertulis "Bossku kemaluan negara". Namun protes itu hanya berlangsung selama 20 minit sebelum Najib tiba di Medan Selera Insa Dunia di situ apabila protes berkenaan dihentikan oleh penyokong Najib. Berdasarkan video yang dirakam oleh Pemuda DAP, lapan anggota parti yang menyertai protes itu dihalang tiga lelaki yang memakai baju "Bossku". Difahamkan Lim sudah membuat laporan kepada polis berhubung insiden tersebut dengan mendakwa mereka dikasari, manakala barangan mereka dirampas serta dirosakkan.[627] Lim kemudiannya didakwa pada bulan Jun kerana menggunakan kata-kata menghina dengan niat untuk membangkitkan pecah keamanan.[628] Pada 10 April 2023, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membebaskan beliau daripada pertuduhan berkelakuan menghina ketika mengadakan bantahan terhadap Najib.[629]
Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) Hong Yeam Wah menafikan tanggapan bahawa masyarakat Cina di negeri itu mengalu-alukan lawatan Najib ke Pulau Pinang. Hong berkata PCCC tidak mungkin menjemput atau mengalu-alukan Najib - yang telah disabitkan kesalahan rasuah - ke Pulau Pinang. Ini kerana katanya, ahli-ahli perniagaan mengutamakan integriti melebihi segalanya.[630] Ketua Wanita BN Pulau Pinang Norliza Abdul Rahim meluahkan rasa kesal terhadap sikap negatif yang didakwanya ditunjukkan oleh individu tertentu berhubung lawatan Najib ke negeri itu.[631]
Pengarah Komunikasi PKR Pulau Pinang Amir Ghazali mendakwa Najib cuba mendapatkan simpati orang awam ketika berkunjung ke negeri itu, memandangkan dia mungkin berdepan hukuman penjara dalam kes rasuah SRC International. Amir menyifatkan Najib sebagai "drama king desperado" yang membuat "pementasan drama" menyasarkan masyarakat Cina.[632]
Pada 19 Mei 2022, satu foto yang melibatkan Najib menjadi perhatian netizen di Twitter. Foto itu memperlihatkan Najib sedang bergambar dengan sebuah keluarga, di sebelah beliau dilihat seorang wanita dengan memegang erat lengannya.[633] Menurut perkongsian daripada netizen yang dikenali sebagai Salim Iskandar, wanita ini dikenali sebagai Shimah, dia merupakan bekas isteri kepada komposer terkenal dengan lagu Kekasih Awal & Akhir, Fauzi Marzuki. Menurutnya lagi, lagi 4 individu bersebelahan mereka itu adakah anak-anak Shimah dan menantu lelaki.[634]
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengucapkan “selamat pengantin baru” kepada Najib dalam komen di Facebook.[635]
Pada 20 Mei 2022, Najib enggan mengulas mengenai sekeping gambar yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.[636]
Pada hari yang sama, seorang individu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta siasatan dibuat terhadap penyebaran gambar Najib dengan seorang wanita yang memeluk lengan kirinya dalam satu majlis yang tular dalam media sosial. Menurut Utusan Malaysia, individu itu yang merupakan rakan kepada keluarga akrab Najib dan isteri, Rosmah Mansor membuat laporan di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, Selangor. Dalam laporan tersebut, individu yang enggan dikenali itu mahu siasatan dijalankan sekiranya hasil siasatan membuktikan gambar berkenaan telah diedit dan keterangan pada gambar juga tidak benar.[637]
Pada 4 Ogos 2022, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pertahanan dan BNS telah mengabaikan pandangan tentera laut bagi projek LCS. Wong berkata, tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut, yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka. Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein selepas itu berkata, pihak yang terlibat dalam salah laku ini akan dibawa ke muka pengadilan.
Pada 7 Ogos 2022, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata satu-satunya pimpinan politik yang berkuasa untuk untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS), serta mempunyai sejarah hubungan dengan sub-kontraktor DCNS, ialah Najib. Dalam satu kenyataan, beliau berkata Najib lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan pada ketika itu (Ahmad Zahid Hamidi) untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.[638]
Pada 9 Ogos 2022, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa supaya Najib, bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi tampil memberikan penjelasan mengenai pembabitan mereka dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).[639]
Pada 13 Ogos 2022, Ahli Parlimen veteran Lim Kit Siang dengan tegas menuntut Najib menerima tanggungjawab berhubung skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bukannya cuba meletakkan kesalahan kepada orang lain. Lim berkata Mahathir dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terlibat dalam skandal kapal itu memandangkan konsep, rundingan dan menandatangani kontrak LCS semuanya berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri.[640]
Pada 4 Julai 2024, Jabatan Ketua Audit Negara melaporkan bahawa walaupun kerajaan telah membelanjakan RM3.915 bilion sejak 2011 untuk projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) di Lembah Kelang, projek ini kemungkinan tidak dapat disiapkan pada tahun ini dan tidak mencapai objektif yang ditetapkan. Juruaudit mencatat bahawa infrastruktur projek tersebut mengalami pelbagai kerosakan, sementara kualiti air Sungai Klang masih belum memuaskan.[641]
RoL dimulakan di bawah pentadbiran Najib dengan peruntukan kira-kira RM4.4 bilion, bertujuan untuk merevitalisasi sungai-sungai di sekitar Lembah Klang serta membersihkan kualiti air sepanjang 110km aliran sungai. Menurut laporan Jabatan Audit, pada Julai 2023, masih terdapat 12 projek RoL dalam peringkat prapelaksanaan, lapan dalam pelaksanaan, dan dua lagi belum mendapat kontraktor penyiap selepas tamat kontrak.[641]
Ia adalah projek pemuliharaan sungai dalam kawasan bandar yang paling kompleks dengan kos tertinggi pernah dilaksanakan di Malaysia.[642]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.