From Wikipedia, the free encyclopedia
Rencana ini memaparkan isu-isu serta kontroversi yang berkait dengan pandemik COVID-19 di Malaysia. Isu-isu yang dibincangkan dalam rencana ini termasuk isu pengurusan bencana COVID-19 oleh pihak kerajaan, isu taraf hidup dan ekonomi di negara Malaysia.
Sejak pelaksanaan MCO pada bulan Mac 2020, banyak orang telah melanggar SOP, termasuk Najib Razak[1], Annuar Musa[2], Mohd Khairuddin[3], Meera Alyanna binti Mukhriz[4], Neelofa[5] dan lain-lain.
Perhimpunan Tabligh Sri Petaling berlaku selari dengan krisis domestik negara yang terbit daripada pengunduran Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 24 Februari, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad. Sebelum pembentukan kerajaan Perikatan Nasional yang baru di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai menteri selama lebih dari dua minggu sehingga pelantikan Adham Baba pada 10 Mac. Selama itu, hanya ada nasihat dari Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan pendedahan orang ramai.
Pada pertengahan April, Adham mengkritik pengurusan kerajaan PH terhadap kelompok Sri Petaling. Sebagai tindak balas, Dzulkefy mempertahankan persiapan kerajaan PH berkenaan COVID-19 dan mencadangkan agar Perdana Menteri Muhyiddin serta bekas Menteri Kementerian Dalam Negeri untuk bertanggungjawab atas wabak tersebut kerana pertemuan-pertemuan awam seperti Tabligh Jamaah adalah tertakluk kepada portfolionya.
Pilihan raya negeri Sabah 2020 dikatakan mengembalikan semula masalah penularan pandemik COVID-19 di seluruh Malaysia setelah Malaysia hampir selesai dalam pengekangan pandemik tersebut.
Pada 12 Januari 2021, sebuah proklamasi darurat telah diisytihar sebagai langkah proaktif dalam membendung penularan wabak penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) di dalam negara, dan dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Darurat ini dikuatkuasakan hingga 1 Ogos (jangkaan) menyebabkan sistem perundangan digantung di peringkat persekutuan (Parlimen) dan negeri (Dewan Undangan Negeri). Perkara ini sekali gus menghalang penganjuran sebarang pilihan raya di Malaysia.
Sungguhpun begitu, sesetengah pihak, terutamanya pihak pembangkang mempertikaikan motif sebenar pelaksanaan darurat, yakni sama ada darurat diisytiharkan untuk mengekang pandemik COVID-19 atau bermotifkan politik; kerajaan Perikatan Nasional pada masa ini berada dalam situasi genting dengan kerajaan PN mudah kehilangan majoriti mudah. Sementara itu, para pendukung pula menyokong darurat kerana dapat menghalang sebarang pilihan raya yang boleh merebakkan lagi ancaman COVID-19, dan menyeru agar darurat dikekalkan sehingga pandemik COVID-19 menjadi lebih terkawal.[6]
Keputusan penutupan sidang Parlimen dalam situasi darurat menjadi pertelingkahan para ahli politik negara sepanjang proklamasi, dengan pihak pembangkang bertungkus-lumus memberi tekanan terhadap pihak kerajaan untuk membuka sidang Parlimen demi mafaat negara. Namun begitu, tidak kurang banyak yang mendukung penutupan tersebut dengan hujah bahawa penutupan sidang Parlimen dapat mengelakkan ancaman COVID-19 dalam kalangan ahli politik serta para pekerja Parlimen.[7]
Pada Januari 2021, 50 orang pegawai kesihatan dan mantan pegawai kanan menyerahkan surat kepada Muhyiddin Yassin untuk mengkritik kegagalan Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah kesihatan lain untuk mengurangi penyebaran jangkitan, yang telah menimbulkan tekanan pada sistem unit rawatan rapi di hospital. Pegawai-pegawai ini menyeru pembentukan pasukan tugas COVID-19 secara segera, meningkatkan ujian COVID-19, mengurangi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan negara dengan menyuruh orang untuk mengasingkan diri di rumah, mencepatkan persetujuan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, dan memberi keutamaan dalam mengimunisasi para pekerja migran dan pelarian.[8]
Pada petang 24 Januari, sepasang pelancong China membawa anak mereka yang berusia 2 tahun ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan. Setelah itu, hospital mendapati bahawa anak mereka mempunyai gejala koronavirus. Pihak hospital memerlukan anak pasangan itu dihantar ke wad pengasingan di Hospital Permai untuk pemeriksaan lanjut. Pasangan itu pada mulanya pergi ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan, tetapi pihak hospital menasihati mereka untuk pergi ke hospital pusat. Walau bagaimanapun, apabila pasangan itu mengetahui bahawa anak mereka perlu dikuarantin, mereka menolak permintaan doktor kerana ingin kembali ke Guangzhou pada keesokan harinya. Doktor yang menguruskan kes tersebut melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Mereka kemudiannya ditahan oleh polis di lapangan terbang pada 25 Januari dan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya. Pasangan tersebut juga dibawa ke hospital untuk pengasingan.[9][10]
Pada 26 Januari 2020, dua masjid di Putrajaya iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Masjid Wilayah Persekutuan mengumumkan bahawa ketiga-tiga masjid tersebut ditutup buat sementara waktu kepada pelancong bukan Islam susulan kebimbangan terhadap pandemik koronavirus.[11] Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu bahawa kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menyekat pelancong dari melawat masjid-masjid tersebut dan menyatakan tidak setuju dengan langkah tersebut.[12] Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi juga menyatakan tidak setuju terhadap langkah itu. Beliau bekerjasama dengan pihaknya untuk menulis surat kepada pihak masjid agar tidak menyekat pelancong mengadakan lawatan.[13] Pada 29 Januari 2020, ketiga-tiga masjid itu kemudiannya dibuka semula untuk pelancong bukan Islam untuk melawat.[14]
Pada 14 Februari 2020, selepas 145 penumpang kapal persiaran Westerdam turun dari Sihanoukville, Kemboja. Kemudian, mereka menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk transit di Kuala Lumpur. Mereka merancang untuk menaiki penerbangan sewa khas yang ditempah Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia untuk membawa mereka pulang dari KLIA ke Amerika Syarikat.[15] Pada 15 Februari, seorang wanita Amerika berusia 83 tahun di kalangan penumpang didapati mengalami demam semasa pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dan kemudian didapati positif terhadap ujian untuk virus. Selepas menerima berita itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen meminta Malaysia untuk menguji semula ujian. Keputusan selepas 2 kali ujian adalah positif juga. Kes ke-22 yang disahkan secara rasmi di Malaysia pada 15 Februari. Wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala, suami wanita tersebut didapati negatif. Hun Sen sentiasa curiga dengan keputusan ujian dan juga mempersoalkannya dua kali di khalayak umum.[15]
Pada 21 Februari, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Wan Azizah Wan Ismail menegaskan dalam satu sidang akhbar bahawa dalam dua ujian terakhir, wanita AS yang disahkan tidak lagi mempunyai virus dalam badan beliau, tetapi masih ada simptom batuk dan perlu dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian dan rawatan.[15] Setelah menerima berita, Kementerian Kesihatan Kemboja mengecam Kementerian Kesihatan Malaysia kerana "salah diagnosis". Pada hari yang sama, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menyatakan di Facebook bahawa keputusan ujian itu adil kepada semua penumpang di Kemboja dan mengkritik kelalaian pihak berkuasa Malaysia.[16] Pada 22 Februari, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa selepas kedua-dua ujian disahkan pada hari ke-15, keadaan wanita itu bertambah baik selepas 72 jam rawatan, dan dua lagi ujian dilakukan 24 jam sebelum menunjukkan tanda negatif.[17]
Satu isu utama dalam pengurusan pandemik COVID-19 di Malaysia ialah masalah penetapan SOP pengekangan pandemik yang dilihat tidak cekap, berkesan dan selari dengan perkembangan pandemik semasa.Penetapan SOP yang tidak cekap menyebabkan masyarakat Malaysia untuk menganggap perkara tersebut sebagai kelonggaran kepada mereka yang selalu keluar rumah dan juga yang merentas daerah /negeri.
Masalah ketidakadilan serta dua darjat menjadi isu utama pengurusan COVID-19 yang merujuk kepada layanan tidak adil apabila ahli-ahli ternama, termasuk ahli politik dan selebriti secara jelas menerima hukuman atau peringatan yang lebih ringan berbanding dengan golongan rakyat lazim yang menerima hukuman secara serta-merta tanpa tindakan lanjut.[18]
Banyak pihak, terutamanya pihak pembangkang yang mengkritik pihak kerajaan serta pihak terbabit kerana memberi hukuman melampau-lampau terhadap golongan rakyat lazim seperti memberi denda yang terlalu tinggi kepada golongan rakyat lazim.[19]
Pada April 2021, tular suatu insiden penghukuman beberapa pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang disaman sebanyak RM1,500 seorang oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang ke sana untuk menyiasat suatu kes keracunan makanan yang menimbulkan kecaman oleh orang ramai serta beberapa ahli politik kerana sifat denda yang disifatkan melampaui batas seseorang pelajar.[18] Hal ini membawa kepada sebuah siastan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak terhadap isu tersebut.[20] Selain itu, pihak Pemuda UMNO juga tampil untuk membantu para pelajar tersebut.[21] Kes disimpulkan dengan denda tersebut dinyahkan, bermakna bahawa para pelajar tidak perlu membayar denda itu.[22]
Pada bulan sama, terdapat beberapa laporan pengenaan denda secara melampau-lampau terhadap golongan seperti penjaja kecil oleh pihak polis Kelantan.[23][24] Nilai denda yang diberikan, yakni setinggi RM50 ribu dikatakan jauh melebihi nilai maksimum dalam perundangan semasa, yakni maksimum RM10 ribu (ini adalah bagi individu, denda RM50 ribu masih sah bagi pihak syarikat, premis atau organisasi).[25] Hal ini membawa kegusaran dan kecaman banyak pihak, termasuk Perdana Menteri sendiri.[26][27] Oleh kerana itu, pihak polis sedang menyiasat penghukuman tersebut.[28]
Pada 11 Mac 2021, denda pelanggaran SOP ditinggikan kepada sebanyak-banyaknya RM10,000 secara rasmi berdasarkan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.[29][30] Meskipun begitu, pihak terbabit menekankan bahawa nilai denda RM10,000 itu ialah nilai maksimum yang hanya dikenakan kepada pesalah-pesalah tertentu (contohnya pesalah berulang), dan jumlah denda itu boleh dikurangkan atas rayuan penyaman dan budi bicara.[31] Dalam hal ini, satu kes contoh yang menjadi tular ialah kes seorang pesalah yang disaman sebanyak RM10,000 gara-gara gagal mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera ketika memasuki sebuah premis di Bukit Jalil, pihak polis menjelaskan bahawa nilai saman yang diberi pihak penyaman (polis) bukanlah nilai muktamad, dan hanya diberi memandangkan pihak polis tiada kuasa untuk mengurangkan saman.[32]
Sungguhpun kebanyakan kes COVID-19 pada 2021 terbit daripada industri perkilangan, keputusan kerajaan untuk membiarkan industri kilang dibuka dalam situasi pandemik menjadi perdebatan dan kritikan orang ramai. Perkara ini adalah betul terutamanya di kawasan Lembah Klang yang mencatatkan peratusan mencecah 80% kes COVID-19 daripada sektor perkilangan, dan 11% lagi daripada sektor pembinaan.[33] Sungguhpun begitu, pembukaan sektor perkilangan dipertahankan oleh menteri kanan Mohamed Azmin Ali yang membantah data berkenaan, dan membantah usaha perintah berkurung berikutan ancaman terhadap ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.[34]
Pada 21 Ogos 2020, cucu bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, Meera Alyanna binti Mukhriz dan suami ditahan di sebuah pub TTDI kerana melanggar PKPP.[35]
Pada 27 Ogos, ayahnya Mukhriz Mahathir mengesahkan Meera Alyanna dan anak menantunya ditahan dan didenda RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Mukhriz itu berkata beliau kecewa dengan pasangan terbabit yang ditahan pihak polis ketika serbuan di sebuah pub di ibu negara.[36][37]
Pada 28 Ogos, Meera Alyanna memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.[38] Dalam masa sama, beliau turut menyatakan kekesalannya serta malu terhadap perbuatannya yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab ketika seluruh rakyat Malaysia masih lagi resah dengan penularan pandemik COVID-19.[39]
Ketika pandemik COVID-19, Teresa Kok (Seputeh-PH) pada 18 Ogos 2020 telah membangkitkan di dalam Parlimen bahawa Dr. Khairuddin telah ke Turki atas urusan peribadi dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Julai, dan pada 13 Julai, Dr. Khairuddin telah hadir ke Parlimen meskipun sepatutnya, berdasarkan undang-undang pencegahan COVID-19, Dr. Khairuddin perlu dikuarantin selama 14 hari. Dr. Khairuddin telah memohon maaf atas perlanggaran perintah tersebut, dan memulangkan gajinya sebanyak empat bulan terhadap Tabung Bantuan Bencana Negara sempena pandemik COVID-19.[40]
Oleh itu, pada 22 Ogos, pihak Kementerian Kesihatan telah mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap Dr. Khairuddin atas perlanggaran perintah kuarantin tersebut.[41] Meskipun begitu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 hanya memperuntukkan Ketua Pengarah dan penjawat-penjawat awam (dalam hal ini, pihak Kementerian Kesihatan) untuk memberi kompaun sehingga nilai RM1,000, dan pihak polis sedang meneruskan siasatan tentang perlanggaran ini.[42][43][44] Kontroversi ini mendorong pihak kerajaan untuk mencadang untuk meminda semula akta tersebut.[43] Menjelang 21 Oktober, pihak berkuasa mengesahkan bahawa Khairuddin tidak dikenakan sebarang tindakan lanjut memandangkan Khairuddin tidak menerima sebarang arahan supaya berkuarantin selepas kepulangannya.[45]
Hal ini telah menimbulkan kemarahan rakyat serta ahli-ahli politik pembangkang dan kerajaan[46] disebabkan oleh hukuman yang dikatakan berat sebelah terhadap seorang menteri, dengan perbandingan antara hukuman ini dengan hukuman yang diterima oleh golongan rakyat yang menerima denda yang lebih berat banyak diutarakan.[42][47] Para penganalisis politik menyatakan bahawa pelepasan Mohd Khairuddin daripada sebarang tindakan dengan jelas menggambarkan ketidakadilan kedaulatan perundangan kepada golongan elit dengan rakyat, dan disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan status Mohd Khairuddin sebagai ahli politik PAS.[48]
Bermula daripada sesi perkahwinannya dengan Neelofa pada 27 Mac 2021, Haris serta Neelofa terpalit dalam siri perlanggaran tatacara operasi piawai berdasarkan hukum pandemik COVID-19 yang melanda negara serta dunia pada masa itu pada bulan-bulan awal perkahwinan. Perlanggaran-perlanggaran yang dilakukan termasuk tidak menjaga penjarakan sosial ketika sesi perkahwinan mereka serta salah guna permit rentas negeri bagi tujuan peribadi. Siri perlanggaran yang dilakukan serta hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka mendapat perhatian serta kutukan pelbagai pihak. Kontroversi ini menjadi contoh utama persepsi ketidakadilan terhadap golongan atasan yang dipetik oleh orang ramai.[49]
Daripada perspektif rakyat, masalah rakyat yang mengingkari langkah-langkah pembendungan penularan COVID-19 juga menjadi isu di pihak kerajaan dan pihak berkuasa.[50] Masalah ini banyak menjurus kepada pembentukan kluster-kluster jangkitan COVID-19 setempat, dengan kluster yang mendapat perhatian termasuk Kluster Sivagangga yang berpunca daripada keingkaran seorang pengusaha restoran di Kubang Pasu, Kedah.
Dalam wawancara Bicara Naratif oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 19 Mac 2020, Menteri Kesihatan Adham Baba menasihatkan kepada orang ramai bahawa minum air suam akan membantu mencegah jangkitan COVID-19 dengan dakwaan bahawa virus akan dibawa ke perut dan asid pencernaan akan membunuh virus tersebut. Ucapannya tular di media sosial, dengan banyak netizen mempersoalkan kesahihannya. Dakwaan rawatan ini berkemungkinan berasal dari pos media sosial yang tular, dan telah banyak dicanggah oleh pakar kesihatan, termasuk WHO, yang telah menyatakan bahawa minum air suam tidak mencegah jangkitan koronavirus, meskipun minum air secara keseluruhannya adalah bermanfaat kepada kesihatan.
Pada Mei 2021, ahli parlimen Teresa Kok yang disokong oleh rakannya mengusulkan penggunaan perubatan tradisional Cina untuk merawat COVID-19 dan merujuk kepada kejayaan pengekangan pandemik COVID-19 di China yang didakwa dibantu oleh perubatan itu.[51][52] Meskipun begitu, keberkesanan rawatan COVID-19 dengan penggunaan itu masih diperdebatkan pada peringkat antarabangsa (terutamanya di Barat), meskipun ada yang mendukung keberkesanannya, terutamanya oleh kerajaan China.[53]
Pada 28 Julai, terbit seruan untuk membenarkan penggunaan ubat ivermektin dalam sidang Dewan Rakyat oleh beberapa orang ahli Parlimen daripada pihak pembangkang;[54] ubat tersebut sering diperdebatkan tentang penggunaannya dalam merawat COVID-19 di peringkat global, tetapi bukti-bukti yang sedia ada adalah lemah dan memiliki banyak kekurangan.[55][56] Selain itu, penggunaan ivermektin juga diseru oleh pihak Persatuan Pengguna Pulau Pinang dengan hujah bahawa ivermektin adalah "berisiko rendah dan murah".[57] Sementara itu, menteri Adham Baba enggan menerima seruan tersebut berdasarkan data-data terkini yang belum menunjukkan keberkesanan ivermektin dalam rawatan COVID-19 secara sahih.[54] Cadangan para ahli pembangkang tersebut juga dibantah oleh para pakar kesihatan serta rakyat negara.[58]
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang dirasmikan pada Mac 2021 ialah sebuah ordinan yang menekankan isu berita tidak benar berkenaan pandemik COVID-19.[59] Walaupun begitu, ordinan ini melahirkan kebimbangan berkenaan sebarang penyalahgunaan ordinan yang boleh menjejaskan kebebasan suara rakyat Malaysia, terutamanya dalam krisis politik negara yang masih berlanjutan.[60] Kebimbangan ini juga membawa kepada perhimpunan bantahan skala kecil oleh pihak pemerhati hak kebebasan bersuara.[61]
Pada Oktober, pihak Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan bahawa semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang bakal menjalankan pendaftaran mahasiswa pada hari keesokannya untuk membatalkan pendaftaran fizikan akibat peningkatan mengejut kes COVID-19 di negara pada masa itu; Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tetap meneruskan pendaftaran fizikal pada waktu itu.
Akibat pengumuman tersebut, Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad diserang kerana keputusan tersebut yang menyebabkan para pelajar IPTA tersadai.[62] Rata-rata kalangan rakyat memberi tekanan kepadanya agar meletak jawatan susulan tindakan tersebut serta ada yang mengejek Noraini di laman sosial.[62] Walau bagaimanapun, Noraini memohon maaf atas kesulitan akibat pengumuman tersebut.[63] Pihak akademik menyatakan bahawa isu ini menampakkan isu-isu yang lebih besar, termasuklah isu kekurangan autonomi IPT akibat penguasaan berlebihan pihak kerajaan serta kemarahan rakyat kepada mutu sistem pendidikan yang dikatakan merudum saban masa.[64]
Berikutan pengumuman tersebut, sebuah tagar #SiswaJagaSiswa menjadi tular pada waktu tersebut dan bertujuan sebagai wadah penyaluran bantuan kepada golongan pelajar IPTA, terutamanya pelajar baharu yang terkandas pada masa itu.[65] Pihak IPTA pula dipuji kerana mengambil tindakan pantas dalam menjaga kebajikan pelajar yang terkesan seperti pemberian keperluan harian, akses Internet dan wang bantuan.[66]
Masalah utama yang diutarakan oleh warga pendidikan Malaysia ialah masalah pelaksanaan SOP dan dasar-dasar di institut-institut pendidikan sehingga menyebabkan terbitnya kluster-kluster COVID-19 di pusat-pusat tersebut serta mengelirukan orang ramai.[67] Tambahan pula, pihak pembangkang menuntut peletakan jawatan menteri kanan pendidikan, Radzi Jidin serta timbalan-timbalannya kerana gagal menguruskan isu pandemik COVID-19 dalam sektor pendidikan negara.[68] Meskipun begitu, Radzi menyelar kritikan-kritikan tersebut, dengan menyatakan bahawa pihak pengkritik 'tidak pernah menguruskan krisis COVID-19'.[69]
Pihak kerajaan terpalit dengan beberapa kontroversi berkenaan pemberian khas peralatan elektronik terhadap para pelajar ketika peralatan teknologi menjadi suatu keperluan penting dalam sistem pendidikan yang terpaksa dijalankan secara atas talian susulan pandemik (PdPR). Satu masalah utama ialah dakwaan pengabaian janji pihak kerajaan untuk memberi sejumlah komputer riba kepada warga pelajar berkeperluan seperti yang tertakluk dalam Belanjawan Malaysia 2021.[70]
Pada Jun 2021, syarikat telekomunikasi Yes 4G bersama-sama pihak kerajaan telah memberi bantuan berupakan pemberian telefon pintar percuma terhadap para pelajar berkeperluan sebagai memenuhi program Jaringan Prihatin pihak kerajaan.[72] Sungguhpun begitu, telefon pintar yang diberikan pihak Yes didapati terlalu usang daripada segi spesifikasi yang diperlukan bagi proses PdPR atau sebarang kegunaan lazim (seperti dalam kotak di sebelah kanan) setelah bantuan pemberian dijalankan oleh pihak kerajaan Perak.[71][73]
Menjawab kritikan orang ramai, pihak Perak menyatakan bahawa telefon dengan spesifikasi sebegitu sengaja diberikan untuk "mengelakkan penyalahgunaan seperti bermain permainan video" dan sepatutnya hanya digunakan bagi tujuan PdPR semata-mata.[74] Selain itu, terdapat laporan bahawa telefon yang diberi terbakar secara spontan ketika digunakan.[75]
Sejak kes virus yang disyaki muncul di Bintulu, Sarawak, farmasi di negeri itu telah mula kehabisan topeng muka, penyembur pembasmian kuman, pembersih tangan, gel mandi dan produk lain.[76] Beberapa kawasan lain juga menghadapi gangguan bekalan topeng muka.[77][78] Berikutan kejadian ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan bahawa kementerian itu memberi perhatian terhadap kekurangan bekalan topeng[79] dan memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga topeng muka sementara kekurangan bekalan, jika tidak, mereka akan dikompaun oleh kementerian.[80] Sesetengah farmasi seperti Caring Pharmacy menasihati pelanggan untuk tidak membeli topeng muka dalam kuantiti yang banyak pada masa yang sama dengan mengambil kira keperluan pelanggan lain. Farmasi itu hanya menetapkan bahawa pelanggan hanya boleh membeli maksimum 1 kotak topeng pada satu masa.[81]
Pada 10 Februari, sebanyak 17 peniaga di Selangor telah dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna kerana menaikkan harga topeng.[82]
Beberapa isu dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang terbit ialah dakwaan pihak kenamaan yang sengaja melanggar giliran pemerolehan vaksin untuk divaksin secepat mungkin, atau "memotong barisan" untuk memperoleh vaksin tanpa menghiraukan pihak barisan hadapan yang sepatutnya didahulukan, dengan pihak-pihak terbabit termasuk ahli politik dan para selebriti.[83][84] Selain itu, fahaman antivaksin juga menjadi halangan dalam menjayakan PICK, dengan langkah-langkah pencegahan terpaksa dilakukan untuk mengekang fahaman antivaksin daripada menular.[85][86] Masalah teknikal melibatkan perisian-perisian terlibat dalam PICK seperti aplikasi MySejahtera serta laman web pendaftaran PICK rasmi juga menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat.
Terdapat juga dakwaan suatu skandal melibatkan pemerolehan vaksin COVID-19 jenis Sinopharm oleh keluarga diraja Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah dan beberapa pihak lain. Suatu laporan dalam majalah berita dalam talian Asia Sentinel mendakwa bahawa baginda dan pihaknya terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk dilalikan di sana serta memohon kira-kira 2,000 dos vaksin Sinopharm daripada seorang putera negara tersebut, Mohamed bin Nayan. Vaksin-vaksin tersebut kemudian dipakai oleh kerabat diraja serta rakan-rakan berkepentingan. Namun begitu, vaksin tersebut masih belum disahkan lagi di Malaysia dan oleh itu, pemvaksinan itu tidak boleh diperakui. Hal ini menyebabkan Hisham Abdullah selaku ketua pengarah kesihatan menghalang pengesahan pemvaksinan mereka serta cuba untuk menyaman dua orang doktor peribadi yang memvaksin mereka, tetapi dihalang oleh baginda serta Perdana Menteri.[87] Menteri Kesihatan, Adham Baba menolak laporan tersebut serta mengesyaki suatu rancangan jahat oleh pihak penulis rencana.[88]
Masalah berlanjutan apabila sebuah komen oleh Permaisuri YDPA, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyindir seorang pengguna media sosial berkenaan pemvaksinan yang diperolehnya, menyebabkan syak dan kritikan dalam segelintir rakyat.[89] Isu ini disusuli dengan isu-isu seperti penahanan pelukis serta aktivis tempatan Fahmi Reza yang melakukan sindiran balas terhadap komen itu atas kesalahan menghina kerabat diraja.
Pada awal pandemik, satu petisyen di Malaysia yang meminta larangan pendatang dari China diterbitkan, yang mendakwa bahawa "virus baharu itu tersebar luas di seluruh dunia oleh kerana gaya hidup mereka yang tidak bersih".[90] Petisyen itu dilaporkan ditandatangani lebih daripada 250,000 orang dalam masa seminggu.[91] Masalah Islamofobia juga berlaku berkaitan kluster tabligh di Sri Petaling pada Mac 2020 tatkala pengguna media sosial menghina kumpulan tersebut yang membawa kepada lonjakan mendadak dalam jumlah kes di Malaysia.[92]
Pandemik COVID-19 juga menyaksikan peningkatan sentimen kebencian kepada pelarian Rohingya di Malaysia. Sebuah laporan Reuters mendapati bahawa sentimen ini bermula pada April 2020 menerusi tuduhan dan fitnah besar-besaran, terutamanya di Facebook bahawa pelarian Rohingya bertanggungjawab dalam menyebarkan virus COVID-19 di Malaysia.[93] Pihak Reuters dalam laporan itu juga menemui puluhan laman Facebook anti-Rohingya yang bertanggungjawab menyebarkan tuduhan-tuduhan sebegitu.[93]
Video luar | |
---|---|
Locked Up in Malaysia’s Lockdown di YouTube |
Locked Up in Malaysia's Lockdown merupakan sebuah dokumentari oleh agensi berita antarabangsa Al Jazeera yang mengkritik layanan pihak berkuasa Malaysia terhadap golongan banduan, terutamanya pendatang asing ketika pelaksanaan PKP. Pihak kerajaan Malaysia menolak dakwaan dalam video tersebut,[94] dan mengesahkan bahawa dokumentari itu adalah rakaman haram di sisi undang-undang.[95] Susulan itu, pihak-pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap pihak yang terlibat dalam dokumentari itu. Seorang imigran Bangladesh yang dijadikan perhatian dalam dokumentari itu juga diusir ke negara asalnya oleh pihak kerajaan.[96] Dengan itu, beberapa organisasi sivil menyeru kerajaan Malaysia agar tidak menghalang hak-hak kewartananan serta menyeru agar hak golongan imigran dibela.[97]
'Kluster kayangan' merujuk kepada golongan taraf hidup atasan Malaysia yang pulang daripada luar negara dan tidak menghormati SOP yang ditetapkan kerajaan Malaysia ketika PKP, termasuk tidak menghormati para petugas yang bertanggungjawab dalam melaksanaan tugas-tugas berkaitan PKP, dan mula tular sejak awal April 2020.[98]
Pada awal penguatkuasaan PKP (Mac 2020), sebuah isu timbul apabila para selebitri dan penggiat seni tanah air memohon bantuan kewangan daripada pihak kerajaan, yakni Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) susulan perintah tersebut.[99] Hal ini terbit daripada pendapat sesetengah rakyat yang mendakwa para artis sepatutnya tidak begitu terkesan akibat PKP berikutan stereotaip terhadap taraf hidup para artis yang sering digambarkan sebagai berkehidupan mewah.[100] Sebagai tindak balas, beberapa orang artis tampil memberi penjelasan dengan menyatakan bahawa PKP telah memutuskan pendapatan utama para penggiat seni dengan menghalang penganjuran acara-acara hiburan seperti konsert, dan bukan semua selebriti yang dapat menikmati kehidupan mewah seperti yang disangkakan.[100][101]
Penampakan ahli politik yang dilihat tidak endahkan pandemik COVID-19 menyebabkan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan ahli-ahli politik Malaysia secara amnya. Tindakan lazim rakyat adalah melalui penggunaan tagar di Internet bagi menyuarakan hasrat ketidakpuasan terhadap kerajaan, meskipun tindakan protes tidak langsung di dunia nyata juga dilakukan sesetengah pihak.[102][103]
Dalam sesetengah kes, ketidakpuasan rakyat membawa kepada rusuhan dan tunjuk perasaan berskala kecil, khususnya menjelang tahun 2021. Protes-protes ini kadangkala dianjurkan oleh pihak pembangkang untuk menuntut penyelesaian isu-isu daripada aspek politik seperti siri perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen.[104] Kadangkala, tunjuk perasaan juga dianjurkan oleh golongan rakyat secara keseluruhan seperti dalam protes di Kampung Muhibbah Raya, Tawau dan Parit Raja, Batu Pahat yang membawa kepada penahanan para pemprotes serta dakwaan keganasan polis dan pelanggaraan hak kebebasan bersuara.[105][106][107]
Tagar seperti #RakyatJagaRakyat, sebuah versi alternatif kepada tagar #KitaJagaKita yang disokong oleh kerajaan menjadi tular yang memperlihatkan ketidakpercayaan kalangan rakyat Malaysia kepada pihak kerajaan yang dikatakan sambalewa dalam pengurusan pandemik COVID-19 dan seterusnya membahayakan nyawa rakyat secara amnya.[108]
Pada Januari 2021, suatu tagar bertajuk #SiBodohKauDengarSini menjadi tular yang mula-mula terbit daripada masalah peraturan baharu tempoh pembukaan restoran ketika pandemik yang dilihat membebankan sistem perkhidmatan makanan dan minuman serta rakyat negara secara keseluruhannya. Tagar itu terbit daripada sebuah pertelingkahan di Twitter berkenaan dasar baharu tersebut. Tagar itu juga membuka perbincangan terhadap dasar-dasar lain seperti usul peningkatan denda terhadap golongan LGBT, dan mungkin berjaya mempengaruhi kerajaan untuk melihat semula peraturan tempoh pembukaan tersebut.[109]
Akibat ketidakpuasan rakyat yang memuncak, pada 6 Februari 2021, sebuah tanda pagar aktivis #KitaMintaLima menjadi tular di media sosial yang menuntut campur tangan ketua negara Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan isu-isu pengurusan kerajaan dalam pandemik COVID-19 negara, dengan menuntut lima perkara (seperti di kotak di sebelah kanan).[110] Selain itu, simbol-simbol seperti isyarat tapak tangan menandakan lima tuntutan terbabit juga dipopularkan. Berdasarkan pencetus tagar itu, tindakan itu dibuat selepas melihat komen-komen di laman Facebook yang membantah kerajaan Muhyiddin lalu mengumpulkan keluhan-keluhan yang diperoleh kepada lima perkara asas.[111]
Para pakar membandingkan inti pati tagar tersebut dengan kejadian-kejadian serupa di luar negara seperti tuntutan para pemprotes dalam tunjuk perasaan Hong Kong 2019–2020. Meskipun begitu, para pakar juga berpendapat bahawa tindakan-tindakan aktivisme atas talian seperti ini adalah lazim di Malaysia, terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan, dan mungkin tidak akan dibalas dengan sebarang tindakan lanjut.[112]
Pada 16 April, satu lagi tagar bertajuk #KerajaanGagal pula tular di persekitaran Twitter negara sebagai tanda marah kepada kerajaan secara am atas kegagalan pengekangan pandemik COVID-19 serta pelbagai isu berkaitan.[113] Dalam hal ini, Azmin Ali selaku Menteri Kanan membidas tagar tesebut, menyatakan bahawa tagar itu hanya sekadar suatu sentimen atas talian dan menekankan bahawa pihak kerajaan kini lebih memfokuskan kepada pengurusan pandemik dan ekonomi berbanding krisis politik dalaman.[114] Di samping itu, tagar itu juga dibantah kerana disifatkan tidak menggambarkan pendapat majoriti yang menyokong Muhyiddin dan kerajaannya sambil merujuk kepada data-data berkaitan.[115] Sementara itu, rata-rata ahli politik pembangkang pula mengiktiraf dan mendukung tagar tersebut. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi juga mengiktiraf tagar tersebut sebagai kritikan terhadap isu-isu pengurusan pandemik.[114]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.