Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Al-Andalus (Arab: الأندلس ; Sepanyol: Al-Ándalus ; Portugis: Al-Andalus ; Catalan: Al-Àndalus ), atau juga dikenali sebagai Iberia Moor, merupakan sebuah negeri Islam pada Zaman Pertengahan yang merangkumi beberapa wilayah negeri-negeri Sepanyol, Portugal dan Perancis masa kini. Secara amnya nama "Al-Andalus" menggambarkan bahagian-bahagian Semenanjung Iberia dan Septimania yang diperintah orang Islam (dikenali dengan nama generik Moor) di antara tahun 711 dan 1492 CE, walaupun sempadannya sentiasa berubah akibat peperangan dengan negeri-negeri Kristian.[1][2][3]
Rencana ini adalah berkenaan lingkungan sejarah. Untuk wilayah masa sekarang, silat lihat Andalusia.
Al-Andalus dibahagikan kepada lima unit pentadbiran berikutan penaklukan Hispania oleh Kekhalifahan Umayyah yang lebih kurang setanding dengan Andalusia, Galicia and Portugal, Castilla dan Leon, Aragon dan Catalonia, dan Septimania.[4] Sebagai domain politik, ia berturutan menjadi wilayah Kekhalifahan Umayyah, diasaskan oleh Khalifah Al-Walid I (711–750); Amiriah Cordoba (c. 750–929); Pemerintahan Kekhalifahan Cordoba (929–1031); dan kerajaan-kerajaan taifa (pengganti) Kekhalifahan Cordoba. Pemerintahan di bawah kerajaan-kerajaan ini menyaksikan peningkatan pertukaran budaya dan kerjasama di antara orang Islam dan Kristian. Di bawah pimpinan Kekhalifahan Cordoba, Al-Andalus menjadi pusat pendidikan, dan bandar Cordoba menjadi satu daripada pusat budaya dan ekonomi termaju dalam dunia Islam dan Lembangan Mediterranean.
Dalam kurun-kurun berikutnya, Al-Andalus menjadi wilayah dinasti Islam Berber Al-Murabitun (Almoravid) dan Al-Muwahhidun (Almohad), dan kemudiannya berpecah kepada beberapa negeri-negeri kecil, yang termasyhur di antaranya Amiriah Granada. Selepas membantu mematahkan serangan Alfonso VI ke atas wilayah itu, pihak Al-Murabitun, dengan sokongan penduduk tempatan, berjaya menjatuhkan raja-raja Islam taifa lain. Dikatakan pertukaran budaya dan sosial (dengan pihak Kristian) merosot di bawah pemerintahan Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun.
Dalam sebahagian besar tempoh kewujudannya, Al-Andalus bersengketa dengan kerajaan-kerajaan Kristian di utaranya yang pada akhirnya berjaya mengalahkan jiran Muslim mereka. Dalam tahun 1085, Alfonso VI dari Leon dan Castilla menawan Toledo, satu peristiwa yang menjadi detik permulaan kemerosotan pemerintahan Islam sehinggalah dengan kejatuhan Cordoba pada tahun 1236, Amiriah Granada menjadi wilayah tunggal Islam di dalam apa yang disebut sebagai Sepanyol. Reconquista Portugis berakhir dengan penaklukan Algarve oleh Afonso III dalam tahun 1249. Pada tahun 1238, Amiriah Granada dengan rasminya menjadi negeri ufti atau negeri vasal kepada mahkota [[Castilla|Kerajaan Castilla], yang pada masa itu diperintah Ferdinand III. Akhirnya pada Januari 2, 1492, Amir Muhammad XII menyerahkan Amiriah Granada kepada Ratu Isabella, yang bersama-sama suaminya Ferdinand II dikenali sebagai "Raja-raja Katolik." Penyerahan kalah ini mengakhiri kewujudan Al-Andalus sebagai satu entiti politik kendatipun beberapa aspek pemerintahan Islam masih terdapat di wilayah tersebut.
Asal-usul nama Al-Andalus masih dipertikaikan. Penggunaan "Al-Andalus" sebagai nama untuk Iberia mula-mula dijumpai pada duit syiling yang ditempa pemerintah Islam di Iberia lebih kurang pada tahun 715 M. Tahun sebenar tidak dapat dipastikan kerana syiling itu dwibahasa, yakni mempunyai bahasa Arab dan Latin, dan terdapat tarikh tempaan yang berlainan padanya.
Para sarjana sejarah Barat mengusulkan tiga etimologi dan berpendapat nama tersebut diwujudkan selepas zaman pemerintahan Romawi. Ahli-ahli linguistik pula berpendapat sebaliknya dan menyatakan nama tersebut wujud sebelum pemerintahan Romawi.
Maklumat lanjut: Penaklukan Hispania oleh Kekhalifahan Umaiyah
Dalam tempoh pemerintahan Khalifah Umaiyah Al-Walid I, panglima Berber Tariq bin Ziyad mengetuai angkatan kecil yang mendarat di Gibraltar pada April 30, 711 M, diminta untuk membantu dan campur tangan dalam perang saudara Visigoth. Selepas kemenangan muktamad terhadap Roderic di Pertempuran Guadalete pada Julai 19, 711, Tariq bin Ziyad, bersama-sama gabenor Arab Ifrikiyyah, Musa bin Nusayr, menakluk sebahagian besar negeri Visigoth selepas menjalankan kempen peperangan selama tujuh tahun. Mereka menyeberang banjaran Pyrene dan menakluk Septimania, wilayah Visigoth di selatan Perancis.
Sebahagian besar semenanjung Iberia menjadi wilayah pemerintahan Umaiyah yang disebut al-Andalus. Wilayah yang ditakluk diatur sebagai wilayah di bawah pengelolaan Ifrikiyya; justeru, dalam dekad-dekad awal, gabenor-gabenor al-Andalus dilantik oleh Amir di Kairouan dan bukannya Khalifah di Damsyik. Ibu negeri wilayah terletak di Cordoba, dan anak tanah jajahan terawal bertaburan di beberapa tempat – kolonis atau peneroka Arab ditempatkan di bahagian selatan dan timur, sementara peneroka Berber ditempatkan di bahagaian barat dan tengah. Pembesar-pembesar Visigoth yang tunduk kepada pertuanan Islam dibenarkan untuk mengekalkan pegangan tanah feudal masing-masing (terutamanya di Murcia, Galicia dan Lembah Ebro). Visigoth yang menentang pemerintahan Muslim berlindung di tanah tinggi Cantabria, di mana mereka menubuhkan kerajaan Asturias, negeri pemerintahan saki-baki Visigoth.
Pada tahun 720-an, gabenor-gabenor al-Andalus melancarkan beberapa pencerobohan sa'ifa terhadap Aquitaine. Duke Odo Agung dari Aquitaine merayu kepada Charles Martel datuk bandar bangsa Frank, agar membantu dan menawarkan untuk meletakkan dirinya di bawah kedaulatan Carolingian. Charles Martell mengalahkan pasukan penceroboh al-Andalus dalam Pertempuran Poitiers pada tahun 732. Pada tahun 734, al-Andalus melancarkan serangan ke arah timur, menawan Avignon dan Arles dan menakluki sebahagian besar wilayah Provence. Pada tahun 737, mereka merentasi lembah Rhone sehingga ke ilayah Burgundy. Charles Martel dengan bantuan Raja Liutprand dari Lombard, menyerang Burgundy dan Provence dan berjaya mengusir para penceroboh dalam tahun 739.
Cabaran daripada pihak Abbasiyah di timur empayar mengalih perhatian khalifah-khalifah Umaiyah (semasa itu di Damsyik) dan dengan itu wilayah-wilayah Islam di bahagian barat, iaitu Maghreb dan al-Andalus, terabai. Bermula dari tahun 745 M, puak Fihri, merampas kuasa di wilayah-wilayah barat dan memerintah seolah-olah wilayah-wilayah tersebut empayar persendirian keluarga — Abdul Rahman bin Habib al-Fihri di Ifrikkiya dan Yusuf al-Fihri di al-Andalus. Puak Fihri mengalu-alukan kejatuhan Umaiyah di timur Empayar Islam pada tahun 750 M, dan mencuba untuk mendapatkan persefahaman dengan pihak Abbasiyah dengan harapan mereka (al-Fihri) dapat mengekalkan pemerintahan di barat. Namun, Kekhalifahan Abbasiyah menolak cadangan itu dan sebaliknya menuntut al-Fihri berserah kepada mereka. Dengan itu pihak al-Fihri mengisytiharkan kemerdekaan dan menjemput (mungkin kerana ingin menyakitkan hati Abbasiyah) saki-baki Umaiyah yang telah dijatuhkan untuk berselindung di tanah-tanah jajahan mereka. Keputusan bersejarah itu kemudiannya membawa padah kerana sebagai anak dan cucu para khalifah, tuntutan pertuanan pihak Umaiyah lebih kuat daripada pihak al-Fihri. Pembesar-pembesar tempatan yang tawar hati dengan pemerintahan autokratik al-Fihri berkomplot dengan pihak Umaiyah yang berada dalam buangan untuk merampas kuasa daripada pihak al-Fihri.
Pada tahun 756 M, raja dalam buangan Umaiyah Abdul Rahman I (diberi panggilan Al-Dakhil, yakni "Pendatang") menggulingkan Yusuf Al-Fihri dan menjadikan dirinya Amir Cordoba. Beliau enggan tunduk kepada Khalifah Abbasiyah yang telah membunuh kebanyakan ahli keluarganya. Dalam lingkungan masa pemerintahan selama 30 tahun, beliau menguasai [sungguhpun agak lemah] sebahagian besar wilayah Al-Andalus, dengan menewaskan penyokong-penyokong kedua-dua keluarga Al-Fihri dan Khalifah Abbasiyah.[5]
Sepanjang satu setengah kurun berikutannya, para warisnya menjadi amir Cordoba yang menguasai Al-Andalus dan bahagian barat Afrika Utara. Dalam kebanyakan masa, penguasaan amir-amir Cordoba ke atas Al-Andalus, khususnya kawasan bersempadan wilayah Kristian, agak lemah dan turun-naik bergantung kepada keupayaan amir. Sesungguhnya, kuasa amir Abdallah ibni Muhammad (c. 900 M) terbatas kepada sempadan Cordoba sahaja.
Namun cucu Amir Abdallah, Abdul Rahman III, yang menggantinya dalam tahun 912 M, tidak sahaja memulihkan kuasa Umaiyah di seluruh Al-Andalus, malah melebarkannya ke wilayah barat Afrika Utara. Pada ahun 929 M beliau mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah Cordoba, sekaligus menaik taraf dirinya dan amiriah tersebut bagi menyaingi darjat Khalifah Abbasiyah di Baghdad dan juga Khalifah Syiah di Tunis yang menandinginya dalam perebutan kuasa ke atas Afrika Utara.
Zaman Kekhalifahan dilihat sebagai zaman keemasan Al-Andalus. Sektor pertanian di Cordoba dan kawasan-kawasan berdekatannya menjadi yang termaju di Eropah dengan pengeluaran tanaman dengan bantuan sistem saliran serta makanan yang diimport dari Timur Tengah. Di bawah pemerintahan Kekhalifahan Umaiyah, Cordoba dengan jumlah penduduk lebih kurang 500,000 orang, akhirnya mengatasi Constantinople sebagai bandar yang paling besar dan makmur di seluruh Eropah.[6] Dalam dunia Islam pula, Cordoba muncul sebagai satu pusat budaya terunggul. Karya-karya ahli falsafah dan sains (khususnya Al-Zahrawi (Abulcasis) dan Ibnu Rushd (Averroes) amat berpengaruh terhadap kehidupan intelektual Eropah.
Orang Islam dan juga yang bukan Islam berkunjung ke Cordoba dari seberang laut untuk belajar di perputakaan-perpustakaan dan universiti-universiti Al-Andalus selepas penaklukan Toledo dalam tahun 1085 M. Yang paling ternama ialah Michael Scot (c. 1175 ke c. 1235 M), yang membawa karya-karya Ibnu Rushd dan Ibnu Sina (Avicenna) ke Itali. Penyebaran ini memberi kesan yang amat tinggi terhadap pembentukan Zaman Pembaharuan Eropah.
Masyarakat Al-Andalus terdiri daripada tiga golongan utama: Kristian, Islam dan Yahudi. Orang Islam, kendatipun bersama dalam agama, terbahagi kepada beberapa kumpulan etnik, yang terbesar di antaranya kumpulan etnik Berber dan Arab. Orang Mozarab merupakan Kristian yang telah lama tinggal di bawah pemerintahan Islam dan telah mengguna pakai banyak adat, seni dan perkataan Arab, tetapi masih mengamalkan agama Kristian dan bahasa-bahasa Romawi mereka. Setiap kumpulan masyarakat ini tinggal di kawasan-kawasan tertentu di bandar-bandar. Pemelukan Islam besar-besaran dilakukan masyarakat Kristian dalam abad ke-10. Pada abad ke-11, muwallad (Muslim daripada kumpulan etnik Iberia) bersama-sama Arab dan Berber menjadi lapan puluh peratus penduduk Al-Andalus.[7][8]
Orang Berber yang merupakan bangsa terbesar di kalangan para penyerang, tinggal di wilayah tanah tinggi yang sekarang kawasan utara Portugal, dan Meseta Central Sepanyol moden, sementara orang Arab tinggal di wilayah selatan dan Lembah Ebro di kawasan timur laut semenanjung Iberia. Orang yahudi kebanyaknnya bekerja sebagai penguti cukai, sebagai pedagang, atau sebagi doktor atau duta. Pada penghujung abad ke-15 terdapat lebih kurang 50,000 orang Yahudi in Granada dan lebih kurang 100,000 orang di seluruh Iberia Islam.[9]
Terdapat banyak bangsa, suku bangsa dan agama di Al-Andalus, dan masing-masing menyumbang kepada kekayaan intelek wilayah itu. Kadar celik huruf di Al-Andalus jauh lebih tinggi dari mana-mana daerah di Eropah pada masa itu.[10]
Dari awal lagi pihak Umayyah mahu dilihat sebagai pesaing intelek yang setanding dengan Abbasiyyah, dan supaya Cordoba memiliki perpustakaan dan institusi pelajaran yang setanding dengan Baghdad. Walaupun terdapat persaingan jelas di antara pemerintah Al-Andalus dan Baghdad, perjalanan di antara kedua-dua kekhalifahan itu dibenarkan dan dengan peredaran masa, ini membawa kepada penyebaran idea-idea baharu serta inovasi dan ciptaan baharu.
Lihat juga: Falsafah awal Islam
Ahli sejarah Said Al-Andalusi menulis bahawa Khalifah Abd Al-Rahman III mengumpul banyak buku dan menjadi penaung kepada sarjana-sarjana perubatan dan "ilmu sains kuno". Kemudian, Al-Mustansir (Al-Hakam II) menambah kepada usaha tersebut dengan membina universiti dan perpustakaan-perpustakaan di Cordoba. Dengan usaha-usaha ini Cordoba menjadi satu daripada pusat perubatan dan perdebatan falsafah terunggul di dunia.
Maklumat lanjut: Madrasah, Bimaristan dan Ilmu falak Islam
Terdapat beberapa institusi penting yang tidak wujud dalam zaman kuno diasaskan dalam dunia Islam Zaman Pertengahan: contoh-contoh utama termasuklah hospital awam (yang menggantikan kuil penyembuhan dan kuil tidur)[11] dan hospital psikiatri,[12] Perpustakaan awam dan perpustakaan pinjaman, universiti yang mengurniakan ijazah, dan balai cerap astronomi yang berfungsi sebagai institut penyelidikan[11] (berlainan dengan pos pemerhatian peribadi yang terdapat dalam zaman kuno),[13] dan Waqf.[14][15]
Universiti-universiti pertama yang mengeluarkan diploma ialah hospital-universiti Bimaristan alam Islam dalam Zaman Pertengahan. institusi-institusi ini mengurniakan diploma perubatan kepada penuntut-penuntut perubatan Islam yang layak menjadi pengamal perubatan dalam kurun ke-9. Sir John Bagot Glubb menulis:[16]
"Sekolah-sekolah perubatan sangat aktif di Baghdad setibanya zaman Ma'mun. Hospital awam percuma pertama dibuka di Baghdad pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid. Dengan pembangunan sistem ini, para pakar perubatan dan pembedahan dilantik sebagai pensyarah kepada penuntut perubatan dan mengurniakan diploma kepada mereka yang dikira layak menjadi pengamal perubatan. Hospital pertama di Mesir dibuka pada tahun 872 CE dan selepas itu hospital-hospital awam dibuka di seluruh empayar Islam, dari Al-Andalus dan Maghreb hinggalah ke wilayah Parsi."
Universiti_Al-Karaouine di Fez, Maghribi, yang ditubuhkan pada tahun 859 CE diiktiraf Buku Rekod Dunia Guinness sebagai universiti tertua di dunia.[17] Universiti Al-Azhar yang ditubuhkan di Kaherah, Mesir pada abad ke-10, menawarkan beberapa ijazah akademik termasuklah ijazah pascasiswazah, dan dianggap universiti penuh yang pertama.
Beberapa ciri tersendiri perpustakaan moden diperkenalkan di dalam dunia Islam. Perpustakaan bukan sahaja merupakan kumpulan manuskrip lama seperti pada zaman kuno, tetapi juga berfungsi sebagai perpustakaan awam dan pinjaman, pusat pendidikan dan penyebaran sains dan idea, tempat mesyuarat dan muzakarah, dan kadangkala sebagai rumah pertumpangan para sarjana atau murid. Konsep katalog perpustakaan juga diperkenalkan di dalam perpustakaan Islam Zaman Pertengahan, dan buku-buku disusun mengikut genre dan kategori tertentu.[18]
Perjalanan jauh menimbulkan keperluan bagi pemetaan, dan para musafir sering menyediakan maklumat bagi tugas tersebut. Mahupun perjalanan jauh di Zaman Pertengahan berbahaya, orang Islam tetap berjalan jauh. Satu sebab ialah ibadat Haji. Orang Islam berangkat menuju Makkah di Semenanjung Arab dari Al-Andalus, Parsi, Afrika, dan India. Satu lagi sebab ialah perdagangan. Orang Islam berdagang dengan orang Eropah, India dan China, dan para pedagang Islam berkembara jauh kerana ingin berdagang.[19]
Keazalian kapal caravel yang digunakan Portugis bagi pengembangan wilayah mereka pada kurun ke-15, bermula dengan kapal Cog, Holk dan kapal Dromon, tetapi juga kapal jenis qarib yang digunakan pengembara dari Al-Andalus dalam abad ke-13.[20]
Maklumat lanjut: Perubatan Islam sewaktu zaman pertengahan dan Psikologi Islam pada zaman pertengahan
Doktor-doktor Islam dari Al-Andalus membuat sumbangan besar dalam kajian perubatan, termasuklah dalam bidang anatomi dan fisiologi. Tokoh-tokoh utama zaman ini termasuk Al-Zahrawi ('Abulcasis'), penulis Kitab Al-Tasrif ("Buku Konsesi"), suatu ensiklopedia sebesar 30 jilid, dan Ibnu Zuhr ('Avenzoar'), yang membuat kemajuan penting dalam bidang pembedahan.
Al-Zahrawi, yang dianggap bapa pembedahan moden, membangunkan bahan dan teknik pembedahan yang masih digunakan di dalam pembedahan neuro. Ibnu Zuhr memberikan gambaran tepat yang terawal penyakit neurologi, termasuk meningitis, tromboflebitis intrakranium (di dalam ruang tengkorak), dan tumor sel germa mediastinum. Beliau juga menyumbang kepada farmakologi neuro moden. Ibnu Rushd pula membayangkan kemungkinan terdapatnya penyakit Parkinson dan menyatakan bahawa retina memiliki sifat sel fotopenerima. Maimonides, seorang Yahudi, menulis tentang gangguan neuropsikiatri dan memberikan gambaran tentang penyakit rabies dan keracunan belladonna.[21]
Said Al-Andalusi (1029–1070 CE) menyatakan bahawa manusia dari semua pelusuk dunia mempunyai asal-usul yang sama, tetapi berbeza satu dari yang lain dalam beberapa segi: "Etika, penampilan, seni taman, dan bahasa." Beliau menganggap sejarah Mesir sebagai sebahagian daripada sejarah manusia sejagat dan memautkan Mesir dan Sudan dengan sejarah bangsa Arab melalui leluhur yang sama.[22] Sejarah yang terpaut ini menghubungkan Mesir kuno dengan sejarah Islam melalui Hajar, isteri Nabi Ibrahim (as) dan ibu kepada Nabi Ismail (as) moyang bangsa Arab, sekaligus menjadikan Hajar ibu kepada bangsa Arab.[22] [23]
Pemerintah-pemerintah Islam telah memperkenalkan gaya seni bina yang bersifat Arab yang pada akhir zaman pemerintahan mereka juga mengandungi unsur-unsur seni bina Arab, Byzantine dan Visigoth. Ciri-ciri ini kenal berpengaruh di semenanjung Iberia mahupun selepas Reconquista. Beberapa contoh sumbangan seni bina yang berkekalan di bawah pemerintahn ta'ifa termasuk Masjid Agung Cordoba dan estat istana Cordoba Al-Rustafa. Orang Kristian dan Yahudi meniru unsur-unsur seni bina Arab untuk gereja dan synagogue (kuil) mereka. Gaya ini kemudiannya dikenali sebagai gaya Mozarabic. Gaya seni bina Mozarabic termasuklah ketiadaan hiasan luaran, kepelbagaian pelan lantai, penggunaan gerbang bentuk ladam dalam gaya Islam, dan penggunaan tiang sebagai penyokong dengan kepala tiang dihias dengan unsur-unsur tanaman.
Restoran-restoran di Al-Andalus menghidangkan makanan tiga sajian, yang diperkenalkan oleh Ziryab pada kurun kesembilan: Ziryab berkeras bahawa makannan harus dihidang dalam tiga sajian termasuk sup, sajian utama, dan pencuci mulut.[24]
Lihat juga: Kesusasteraan Arab
Pada kurun ke-12, ahli falsafah dan penulis novel Arab Andalus, Ibn Tufail (dikenali sebagai 'Abubacer' atau 'Ebn Tophail' di Barat) mula-mula menunjukkan teori tabula rasa Ibnu Sina sebagai satu eksperimen pemikiran dalam novel Arabnya bertajuk Hayy ibn Yaqzan. Di dalam novel ini Ibn Tufail menggambarkan pembetukan minda seorang kanak-kanak feral (kanak-kanak liar) dari "tabula rasa sehinggalah menjadi minda dewasa, dalam keadaan pengasingan sempurna dari masyarakat, di sebuah pulau pulau yang tidak berpenghuni. Terjemahan Latin karya ini dalam tahun 1671 CE, dengan tajuk Philosophus Autodidactus, terbitan Edward Pococke the Younger, mempengaruhi perumusan tabula rasa oleh John Locke di dalam Esei tentang Pemahaman Manusia,[25] yang kemudiannya menjadi satu daripada sumber utama empiricisme dalam falsafah moden, dan telah mempengaruhi ramai para ahli falsafah Zaman Kesedaran seperti David Hume dan George Berkeley.
Hadith Bayad wa Riyad ("Kisah Bayad dan Riyad") merupakan kisah cinta Arab abad ke-13 yang tertulis di Al-Andalus. Watak-watak utama ialah Bayad, anak seorang pedagang dari Damsyik, dan Riyad anak gadis yang berpendidikan, ahli dewan seorang Hajib (wazir ataupun menteri) Al-Andalus yang dikenali hanya sebagai "Puan". Dipercayai manuskrip Hadith Bayad wa Riyad merupakan satu-satunya manuskrip bergambar yang wujud daripada kehadiran selama lapan ratus tahun orang Islam dan Arab di Sepanyol.
Maklumat lanjut: Sumbangan Islam kepada Eropah Zaman Pertengahan
Karya-karya ramai sarjana Islam, yang pada awalnya hanya boleh dirujuk oleh orang Islam khususnya di Al-Andalus dan Sicily Islam tersebar ke dalam sains Eropah hasil usaha para penterjemah Sekolah Terjemahan Toledo, yang telah diasaskan selepas penaklukan Toledo oleh pihak Kristian pada tahun 1085 CE.[26] Para sarjana ini menterjemahkan teks-teks baharu berkaitan sains dan falsafah daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Latin.
Seorang daripada ahli penterjemah yang banyak menghasilkan penterjemahan di Castilla ialah Gerard dari Cremona. Gerard menterjemahkan 87 buku dari bahasa Arab ke Latin, termasuklah karya-karya Al-Khawarizmi, Al-Kindi, Ibnu Kathir Al-Farghani, Al-Farabi, Al-Razi, dan karya-karya Al-Zarqali, Jabir ibn Aflah, Banu Musa, Abu Kamil Shuja ibn Aslam, Al-Zahrawi dan Ibn Al-Haytham.
Dengan kejatuhan Amiriah Granada pada tahun 1492 CE, langkah utama saintifik dan teknologi dunia Islam diwarisi orang Eropah dan seterusnya menjadi landasan Zaman Pembaharuan dan Revolusi Saintifik Eropah.[27]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.