From Wikipedia, the free encyclopedia
Perang Arab-Byzantine ialah satu siri peperangan antara khilafah Arab Muslim dan Rom Timur atau Empayar Byzantine yang berlaku antara kurun ke-7 sehingga ke-12 M. Peperangan ini bermula pada zaman awal penaklukan Islam di bawah pemerintahan Khalifah-khalifah al-Rasyidin dan Umaiyah dan berterusan dalam bentuk perebutan sempadan yang berpanjangan sehingga permulaan Perang Salib. Akibatnya, Byzantine (Rom atau Rum dalam penulisan sejarah Muslim), kehilangan wilayah yang besar.
| ||||||||||||||||||||||||
Kemunculan orang Arab dari Semenanjung Arab pada tahun 630-an M berkesudahan dengan kehilangan wilayah selatan Byzantine, (Syria dan Mesir) secara mendadak kepada Muslim. Pada waktu lima puluh tahun berikutnya, di bawah kepimpinan Kekhalifahan Umaiyah yang agresif, orang Islam akan melancarkan serbuan terhadap Anatolia yang masih di bawah takluk Byzantine, mengancam untuk menawan ibu negara Byzantine, Constantinople, sebanyak dua kali, dan menawan Afrika Byzantine (Exarchate of Africa). Keadaan tidak menjadi stabil sehinggalah kegagalan pengepungan Constantinople pada tahun 718 M apabila Pergunungan Taurus pada sembir timur Anatolia menjadi perbatasan, yang diperkukuhkan dan yang tidak diduduki orang, di antara kedua-dua pihak. Di bawah Kekhalifahan Abbasiyah, perhubungan menjadi lebih normal, dengan pertukaran duta dan juga kedamaian sementara, akan tetapi konflik menjadi keadaan biasa, dengan serbuan dan serbuan balas dilakukan hampir setiap tahun, ditaja oleh kerajaan Abbasiyah ataupun pembesar tempatan, yang berlarutan sampai abad ke-10 M.
Semasa kurun-kurun pertama, pihak Byzantine sering berada pada pihak yang bertahan dan mengelak daripada bertempur secara terbuka; mereka lebih suka berundur ke dalam kubu-kubu kuat mereka. Hanya selepas 740 M barulah mereka mula melancarkan serangan balas akan tetapi pihak Abbasiyah masih mampu membalas dengan serangan yang membawa kehancuran besar terhadap Anatolia. Dengan kemerosotan dan perpecahan negeri Abbasiyah di Samarra selepas tahun 861 M dan penguatan Empayar Byzantine di bawah Dinasti Macedonia, nasib kedua-dua empayar mula berubah. Pada tempoh lima puluh tahun berikutnya, yakni dari ca. 920 M hingga 976 M, pihak Byzantines akhirnya berjaya menembusi barisan pertahanan Muslim dan mengembalikan penguasaan Byzantine terhadap Syria dan Armenia Raya. Kurun terakhir perang Arab-Byzantine dipenuhi konflik sempadan dengan pihak Fatimiyah di Syria; akan tetapi sempadan terus stabil sehinggalah kemunculan bangsa baharu, Turki Seljuk, selepas tahun 1060 M.
Konflik awal berlangsung pada tahun 634 M sehingga 718 M, dan tamat dengan Pengepungan Arab terhadap Constantinople kedua yang menghalang pengembangan pantas Empayar Arab ke Anatolia. Konflik bagaimanapun berterusan antara kurun ke-9 M dan 1169 M. Pendudukan wilayah selatan Itali oleh tentera Abbasiyah pada kurun ke-9 dan 10 M tidak seperti kejayaan di Sicily. Walau bagaimanapun, di bawah dinasti Macedonia, Byzantine telah menawan semula wilayah di Levant dengan kemaraan tentera Byzantine malah mengancam untuk mengambil semula Baitulmaqdis di selatan. Amiriah Aleppo dan negeri-negeri jirannya menjadi naungan Byzantine di sebelah timur. Amiriah ini menghadapi ancaman terbesar daripada kerajaan Fatimiyah dari Mesir, sehingga kebangkitan dinasti Seljuk mengundurkan kesemua manfaat dan menolak wilayah Abbasiyyah jauh ke dalam Anatolia. Ini mengakibatkan maharaja Byzantine Alexius I Comnenus putus asa dan memohon bantuan ketenteraan daripada Paus Urban II di Majlis Piacenza; salah satu peristiwa yang menjadi pencetus kepada Perang Salib Pertama.
Pihak Muslim juga ke laut, dan dari tahun 650-an M, seluruh Laut Mediterranean menjadi medan pertempuran, dengan serbuan dan serbuan balas dilancarkan terhadap pulau-pulau dan penempatan-penempatan pesisir. Serbuan Muslim memuncak pada kurn ke-9 dan awal kurun ke-10, selepas mereka menawan Crete, Malta dan Sicily, dengan armada-armada mereka merantau ke pantai Perancis, Dalmatia dan kawasan subbandar Constantinople.
Perang Byzantine-Sasan yang berpanjangan dan yang bertambah teruk pada abad-abad ke-6 dan ke-7 telah membuat kedua-dua empayar keletihan dan mudah terdedah pada bahaya apa bila bertembung dengan orang Arab yang baharu muncul dan berkembang dari Semenjung Arab. Perang terakhir berkesudahan dengan kemenangan Byzantine: Maharaja Heraclius menawan semula semua wilayah yang telah jatuh ke tangan Sasan dan dapat membawa Salib Tulen pulang ke Baitulmaqdis pada tahun 629 M.[3]
Walau bagaimanapun, kedua-dua empayar tidak berkesempatan untuk berihat oleh sebab dalam masa beberapa tahun sahaja, kedua-duanya mengalami serangan pihak Arab (yang kini disatukan oleh Islam), yang mengikut pendapat sejarawan Howard-Johnston, "hanya dapat dibandingkan dengan tsunami manusia."[4] Mengikut George Liska, "konflik Byzantine-Parsi yang tidak seharusnya berlarutan membuka jalan kepada Islam."[5]
Pada lewat tahun 620-an M, Nabi Muhammad SAW telah berjaya menyatukan sebahgian besar Semenanjung Arab di bawah pemerintahan Islam, dan di bawah kepimpinan bagindalah pergeseran Muslim-Byzantine bermula. Hanya beberapa bulan selepas Heraclius dan jeneral Sasan Parsi, Shahrbaraz, bersetuju pada tahun 629 M akan terma-terma pengunduran tentera Parsi dari wilayah timur Byzantine yang diduduki Parsi, tentera Arab dan Byzantine bertempur dalam Pertempuran Mu'tah.[6] Nabi Muhammad wafat pada tahun 632 M dan baginda diganti Khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA, khalifah al-Rasydin pertama. Khalifah Abu Bakar menguasai seluruh Semenanjung Arab selepas kejayaan perang Riddah yang menyaksikan pengukuhan negara Islam yang kuat di seluruh semnanjung itu.[7]
Mengikut penulis-penulis biografi Muslim, Nabi Muhammad memimpin sepasukan tentera Muslim ke Tabuk di barat laut Semenanjung Arab selepas baginda menerima perisikan bahawa tentera Byzantine telah berkumpul utarasemenanjung itu, dengan harapan untuk menyerang Byzantine sebelum mereka bersedia. Namun, berita itu tidak tepat dan pertempuran yang menyusul tidak merupai pertempuran biasa.
Oleh sebab kedua-dua angkatan perang itu tidak bertemu dan tiada pula sumber Byzantine berkaitan dengan pertempuran berikut, beberapa sarjana Barat menyoal kesahihan pertempuran tersebut,[8][9] mahupun ia diterima sebagai kejadian oleh orang Arab dan Muslim. Mengikut Safiul Rahman Mubarakpuri, terdapat banyak Ayat dalam Surah al-Taubah (Surah 9) Al-Quran berkait dengan Pertempuran Tabuk.[10] Sarjana Islam, Ibnu Kathir menulis dalam Tafsirnya bahawa Ayat-ayat 9:42-48, 9:49,[11][12] 9:81,[13][14] dan 9:29 al-Quran kesemuanya berkaitan dengan Pertempuran Tabuk ataupun diturunkan semasa pertempuran Tabuk.[11][15]
Walau bagaimanapun, ada yang berkata bahawa dalam sebuah sumber Byzantine, terdapat satu rujukan kepada Pertempuran Mu'tah yang secara tradisinya dikatakan berlaku pada tahun 629 M, akan tetapi kepersisannya tidak dapat dipastikan.[16] Pertempuran-pertempuran awal mungkin bermula sebagai pergeseran antara negeri-negeri ufti Arab empayar-empayar Byzantine dan Sasan: yakni pihak Ghasan dan Lakhmid dari Al-Hirah. Walau apapun, selepas tahun 634 M memang pihak Muslim melancarkan serangan terhadap kedua-dua empayar yang berakhir dengan penaklukan Levant, Mesir Romawi dan Parsi untuk Islam. Jeneral-jeneral yang paling berjaya Islam adalah Khalid bin al-Walid dan Amr bin al-As.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.