Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Gajus, janggus, jambu golok, jambu monyet, ketereh, bunga kesasar, atau jambu terung[1] adalah sejenis pokok berbuah. Dikenali sebagai buah janggus di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia, iaitu Perak, Kedah, Perlis & Pulau Pinang. Nama saintifiknya ialah Anacardium occidentale[2][1][3] dan ia tergolong dalam keluarga Anacardiaceae.
Gajus | |
---|---|
Buah gajus yang sudah sedia untuk dituai. | |
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
(tanpa pangkat): | |
(tanpa pangkat): | |
(tanpa pangkat): | |
Order: | |
Keluarga: | Anacardiaceae |
Genus: | Anacardium |
Spesies: | A. occidentale |
Nama binomial | |
Anacardium occidentale | |
Pokok ini berasal dari negara Brazil dan ditanam masyarakat peribumi sana untuk mendapatkan bijinya. Buah ini kemudian tersebar ke Dunia Lama melalui penjelajahan orang Portugis dari kawasan tersebut ke Goa sekitar tahun 1560-an, dari situlah ia tersebar ke Asia Tenggara dan Afrika.
"Gajus" (Jawi: ڬاجوس) merupakan pinjaman Portugis: cajus atau bentuk tunggalnya caju;[4] ia serapan perkataan bahasa Tupi acajú yang ditafsirkan bermaksud "kacang yang terhasil sendiri" (nut that produces itself),[5] namun ia juga difikir datang dari penyerapan acaiú dalam bahasa sama dibentuk daripada a- ("buah", fruto) + ´ác- ("mengeluarkan", que trava) + aiú- ("serat", fibroso) lalu diertikan sebagai "buah yang mengeluarkan serat" (fruto que trava fibroso). Nama ini yang diterapkan dalam dialek Johor-Riau selaku asas bahasa baku turut dimetatesis kepada beberapa nama lain yang ada dalam dialek-dialek tertentu seperti janggus (Jawi: جڠڬوس, di Kedah, Johor dan Kelantan),[6] jagus (di Brunei) dan kanjus.[7][8]
Tumbuhan ini turut diberi nama dari buah pudungnya yang sebiji bentuk buah jambu. Nama jambu monyet didapati di Riau[9][10] turut dikongsi bahasa-bahasa serumpun lain seperti:[10]
Nama jambu golok pula ada dari dialek Melaka dan Terengganu datang daripada bentuk bijinya di luar pudung buah yang membengkok seperti hulu golok.[9][11]
Ketereh dan tere datang dari dialek di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.[11][12][13]
Pokok buah gajus jenis malar hijau sederhana besar mampu mencecah setinggi 8-12 m, dengan cabang banyak dan berkanopi terbuka. Batangnya melengkung, berkayu, bergetah. Dedaun ia tunggal dan sederhana besar bersusunan berselang-seli dari tangkai berbentuk bujur telur dengan pangkal runcing dan hujung membulat dengan ukuran 8–22 sm panjang × 5–13/15 sm lebar.[14][2] Dedan tepi rata, urat daun selirat, pucuk berwarna merah perang bertukar menjadi hijau tua setelah matang, permukaan berkilat, liat,[2] licin, urat sisi jelas kelihatan.
Bunga kecil dihasilkan sederhana besar kedua-dua berputik yang jantan dan betina[2] tersusun menjambak keluar dari hujung dahan dan ketiak daun. Bunga yang telah disenyawakan akan menghasilkan buah jenis drup terlebih dahulu[5] berbentuk ginjal dan keras terhasil berwarna hijau ketika muda dan bertukar coklat apabila matang.
Pudung yang memegang bunga asal atau hipokarpium[15] pula kemudian mengembang[5] dan menghijau sebelum bertukar warna menguning atau memerah setelah matang - pudung ini sering disalah sangka sebagai buah. Biji yang dihasilkan dalam buah terjengul ini berupa sejenis kekeras.[2]
Bijinya mempunyai kulit yang keras dan benih di dalamnya mempunyai rasa lemak seperti kacang, malah ia sendiri dimasak dan dimakan seumpama kacang sebagai makanan ringan baik digoreng atau dipanggang untuk dijual di pasaran. Ia juga boleh digunakan sebagai hidangan masakan dan kuih.
Getah dan bijinya mempunyai getah berbisa yang boleh mengakibatkan kudis serta merengsakan kerongkong[2] serta juga komponen-komponen lain seperti lipid fenol, asid anakardik dan kardanol.[16][17] Maka, biji-biji ini perlu diproses dengan digoreng dengan pasir, supaya tidak hangus, sebelum ia dapat dimakan.
Sisa kulit hasil pemprosesan kacang gajus ini mengandungi minyak yang digunakan dalam perubatan tradisional mahupun merawat kayu mengelakkan dari dimamah anai-anai.[18][19] serta memberi perlindungan kepada jala.[19] Kardanol dalam kulit kacang ini (sebanyak 5%)[20][21] juga dimanfaatkan untuk menghasilkan resin dan cecair lapisan industri.[22][21]
Pudung buah atau "jambu" tumbuhan ini lembut dan sarat berair dengan rasa manis, ia boleh dimakan terus serta digunakan sebagai sayur dalam masakan sebaiknya tidak lama selepas saat dituai kerana ia cepat rosak. Air diperah dari "buah jambu" ini dapat diusahakan membuat sirap atau ditapai menjadi suatu minuman keras.[19]
Pucuk muda gajus berwarna merah boleh dimakan mentah dicecah bersama sambal belacan, budu, cencalok atau mana-mana pencecah yang lain. Rasanya lemak-lemak kelat.[2]
Kayunya agak bernilai rendah lalu sangat jarang dipergunakan melainkan sebagai kayu bakar api atau untuk membuat perkakas bermutu rendah.[10]
Buah gajus mengandungi protein, asid sterik, riboflavin, thiamin, lemak, vitamin (A, B dan C), kalsium, zat besi, magnesium, zink dan sulfur.[perlu rujukan] Manakala daunya pula mengandungi tanin-galat dan flavonol.[perlu rujukan]
Ia dikatakan dapat merawat faraj berbau busuk, tidak selera makan, darah toksik, cirit-birit, mual dan muntah.[perlu rujukan]
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Gajus. |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.