Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Columbidae adalah satu keluarga burung yang terdiri daripada merpati (Jawi: مرڤاتي) dan punai[1] (Jawi: ڤوناي) dalam order Columbiformes,[2] keluarga ini termasuk sekitar 42 genus dan 310 spesies. Burung-burung dalam keluarga ini berbadan bulat, leher yang pendek, paruh bengkok pendek dan cere berdaging pada beberapa spesies. Makanan mereka terdiri daripada bijiran, buah-buahan dan tumbuhan. Keluarga burung Columbidae boleh ditemui di seluruh dunia tetapi kepelbagaian spesies boleh didapati di ekozon Indomalaya dan Australasia.
Columbidae Julat zaman: Miosen - Kini Awal | |
---|---|
Punai gading | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Haiwan |
Filum: | Chordata |
Kelas: | Aves |
Klad: | Columbimorphae |
Order: | Columbiformes Latham, 1790 |
Keluarga: | Columbidae Leach, 1820 |
Subkeluarga | |
Lihat teks | |
Taburan geografi bagi keluarga Columbidae |
Merpati dan punai membina sarang nipis, sering kali menggunakan ranting kayu atau sampah sarap lain, yang mana terletak di atas pokok, belebas atau tanah bergantung pada spesies. Merpati dan punai betina bertelur sebanyak biji atau dua biji pada satu-satu masa, dan kedua-dua jantan dan betina akan menjaga anak-anak yang menetas sampai tiba masa meninggalkan sarang selepas 7–28 hari.[3] Tidak seperti kebanyakan burung-burung lain, kedua-dua jantina merpati dan punai akan menghasilkan cecair rembesan daripada lapisan tembolok seperti "susu" yang diberi kepada anak-anaknya..
Nama keluarga Columbidae diberikan daripada kata bahasa Latin columba yang bermaksud "burung merpati".[4][5]
Keluarga Columbidae telah diperkenalkan oleh ahli zoologi Inggeris William Elford Leach dalam satu panduan kandungan Muzium British yang diterbitkan pada tahun 1820.[6][7] Columbidae merupakan satu-satunya keluarga hidup dalam order Columbiformes. Sandgrouse (Pteroclidae) dahulunya diletakkan di sini, sebelum dipindahkan ke order Pterocliformes berlainan berdasarkan perbezaan anatomi (contohnya ia tidak boleh minum dengan cara "menghisap" atau "mengepam");[8] mereka kini dianggap berkait rapat dengan burung pantai.[9] Kajian pilogenomik terkini menyokong pengumpulan burung merpati dan sandgrouse bersama-sama, begitu juga mesite, membentuk takson dalam Mirandornithes.[10][11][12][13]
Columbidae biasanya dibahagikan kepada lima sub-keluarga, berkemungkinan tidak berapa tepat.[14] Contohnya, punai tanah dan punai-puyuh Amerika (Geotrygon), di mana biasanya diletakkan dalam genus Columbinae, kelihatan adalah dua sub-keluarga yang berbeza.[15] The order presented here follows Baptista et al. (1997),[16] with some updates.[17][18][19]
Susunan genus dan penamaan subkeluarga adalah sementara dalam sesetengah waktu kerana analisis jujukan DNA yang berbeza membawa kepada keputusan-keputusan berlainan, kadangkala secara ketara, dalam peletakan sesetengah genus (terutamanya Indo-Australia).[perlu rujukan] Ketidaktentuan ini yang mungkin disebabkan oleh penarikan cabang panjang dilihat mengesahkan burung-burung merpati terawal muncul di kawasan Australasia, dan Treronidae serta jenis-jenis bersekutu mewakili sinaran evolusi terawal dalam kumpulan tersebut.[perlu rujukan]
Keluarga Coumbidae pada sebelum ini juga termasuk keluarga Raphidae yang terdiri daripada dodo dan Pezophaps solitaria yang pupus.[19][20][21] Spesies-spesies ini berkemungkinan adalah sebahagian daripada radiasi Indo-Australia yang membentuk tiga subkeluarga kecil yang dinyatakan di atas,[22] dengan burung merpati dan punai buah (termasuk punai emas), dan oleh itu, burung dodo dan Pezophaps solitaria diletakkan dalam subkeluarga Raphinae, membawa kepada bukti yang lebih baik berkenaan hubungan sebenar sesama mereka.[23]
Satu lagi masalah ialah burung-burung Columbidae tidak begitu diwakili dengan baik dalam rekod fosil.[24] Tiada bentuk primitif yang benar-benar dijumpai setakat kini.[perlu rujukan] Genus Gerandia dihuraikan menerusi deposit-deposit Miosen Awal di Perancis, meskipun pada awalnya disangka sebagai burung merpati,[25] kini dikelaskan sebagai burung dari keluarga Pteroclidae.[26] Sisa-sisa merpati Miosen Awal "Ptilinopus" dijumpai di Pembentukan Bannockburn di New Zealand dan kini dikelaskan dalam Rupephaps.[26] "Columbina" prattae dari deposit kontemporari kasar dari Florida kini dikelaskan pada Arenicolumba, tetapi perbezaan daripada Columbina/Scardafella dan genus-genus berkaitan perlu dibuktikan dengan kukuh seperti melalui analisis kladistik.[27] Selain itu, fosil-fosil lain tergolong dalam genus-genus yang masih hidup.[28]
Taksonomi berdasarkan hasil kerja oleh John H. Boyd, III,[29] seorang professor ekonomi.[30]
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Burung-burung merpati memiliki jurang saiz yang ketara dengan panjang dari 15 hingga 75 sentimeter (5.9 hingga 29.5 in), dan jisim dari 30 g (0.066 lb) hingga lebih daripada 2,000 g (4.4 lb).[31] Burung terbesar dalam Columbidae ialah burung Goura dari New Guinea,[32] dengan jisim 2–4 kg (4.4–8.8 lb),[33] hampir sebesar ayam Belanda. Burung merpati terkecil pula ialah burung merpati tanah Dunia Baru daripada genus Columbina dengan jisim serendah 22 g (0.049 lb), lebih kurang sama saiz dengan burung ciak rumah.[16] Burung Ptilinopus nainus dengan panjang sekecil 13 cm (5.1 in) memiliki panjang yang terkecil dalam golongan burung dalam keluarga ini.[16] Salah satu burung arboreal terbesar, Pampusana rubescens kini dalam ancaman kepupusan.[34]
Secara keseluruhan, anatomi burung Columbidae mempunyai ciri-ciri kaki pendek, paruh kecil dan berisi, dan berkepala kecil dengan badan yang besar dan kompak.[35] Seperti sesetengah burung, burung-burung Columbidae tidak memiliki pundi hempedu.[36] Sesetengah ahli alamiah pada Zaman Pertengahan menyimpulkan keputusan bahawa burung-burung ini tidak berhempedu, dan menurut teori humoralisme pada zaman itu, ketiadaan hempedu menerangkan bahan kumuh burung merpati yang dikatakan manis. [37]Namun begitu, burung Columbidae memiliki hempedu yang dirembeskan secara terus ke saluran gastrousus, seperti yang diketahui oleh Aristotle.[38]
Burung-burung Columbidae memiliki sayap yang besar dengan sebelas bulu primer;[39] burung merpati memiliki otot sayap yang kuat (otot sayap merangkumi 31 ke 44 peratus jisim burung),[40] dan disifatkan sebagai salah satu penerbang-penerbang terkuat dalam kalangan burung.[39]
Dalam siri uji kaji pada 1975 oleh Dr. Mark B. Friedman yang meggunakan burung merpati, perilaku burung merpati yang suka mematuk kepalanya ialah naluri burung itu yang bertujuan untuk memastikan penglihatannya tampak serupa.[41] Pada sebuah eksperimen pada 1978 oleh Dr. Barrie J. Frost, burung-burung merpati diletakkan pada sawat injak, burung-burung tidak mematuk kepalanya kerana persekitaran yang tampak serupa.[42]
Columbidae memiliki bulu pelepah badan yang istimewa dengan syaf yang secara lazimnya lebar, kuat dan rata yang menjadi tirus secara tiba-tiba.[39] Secara umumnya, bahagian selepas syaf tidak wujud, tetapi kadangkala ada pada sesetengah pelepah ekor dan sayap, namun kecil.[43] Bulu pelepah badan adalah padat dengan tapak berbulu dan terlekat secara loggar pada badan, menyebabkan bulu ini mudah tertanggal.[44] Dengan kemungkinan sebagai mekanisme untuk mengelakkan pemangsa,[45] jumlah pelepah yang banyak dijatuhkan ke dalam mulut pemangsa sekiranya seekor burung disambar untuk memudahkan burung melarikan diri. Warna bulu-bulu pelepah dalam kalangan burung Columbidae adalah pelbagai.[46] Pelepah spesies yang memakan bijian lazimnya berwarna pudar kecuali sesetengah spesies, tetapi spesies frugivor memiliki pelepah yang berwarna cerah.[16] Burung Ptilinopus adalah salah satu daripada burung-burung Columbidae yang paling terang warnanya. Genus Alectroenas dengan tiga spesies endemik di Fiji dan Lautan Hindi adalah yang paling cerah. Burung-burung merpati mungkin monokromatik atau dikromatik secara seksual. [47] Selain warna yang terang, bulu pelepah burung merpati boleh memiliki jambul atau ciri-ciri hiasan lain.[48]
Burung Columbidae adalah penerbang yang bagus disebabkan oleh daya angkat yang diberikan oleh sayap yang besar lalu membawa kepada beban sayap yang rendah.[49] Burung-burung ini mudah bergerak ketika penerbangan,[50] dan memiliki nisbah aspek sayap yang rendah disebabkan oleh kelebaran sayap yang besar, membolehkan pelancaran terbang yang pantas dan kemudahan untuk lari daripada pemangsa, tetapi memakan tenaga yang banyak.[51]
Merpati dan punai boleh ditemuai hampir di seluruh dunia kecuali kawasan paling kering di padang pasir Sahara, Antartika dan kawasan pulau-pulau di sekelilinginya, dan Artik.[31] Ia juga mendiami kebanyakan pulau-pulau di lautan dunia, mencapai timur Polynesia dan kepulauan Chatham di Pasifik, Mauritius, Seychelles dan Réunion di Lautan Hindi, dan Azores di Lautan Atlantik.Keluarga ini membiasakan di dengan kebanyakan habitat Bumi. Spesies-spesies Columbidae boleh menjadi arboreal, terestrial atau semiterestrail. Pelabgai spesies juga mendiami kawasan savana, padang rumput, gurun, belukar, hutan, paya bakau dan atol.[52]
Beberapa spesies memiliki julat jenis habitat yang besar. Kawasan habitat Zenaida auriculata meliputi keseluruhan Amerika Selatan dari Colombia ke Tierra del Fuego,[53] Streptopelia decaocto memiliki taburan dari Great Britain, menerusi Eropah, Timur Tengah, India, Pakistan dan China,[54] Spilopelia senegalensis wujud di hampir keseluruhan Afrika Sub-Sahara, India, Pakistan dan Timur Tengah.[55] Beberapa spesies lain pula memiliki taburan yang terhad, terutamanya spesies-spesies bersifat endemik di kawasan pulau. Ptilinopus layardi hanya endemik di Pulau Kadavu, Fiji,[56] Pampusana kubaryi wujud di dua pulau, Truk dan Pohnpei di Kepulauan Caroline,[57] dan Leptotila wellsi pula endemik di negara Grenada, Caribbean.[58] Beberapa spesies di kawasan benua juga memiliki taburan yang amat terhad seperti Ptilinopus alligator yang terhad di kawasan kecil Arnhem Land di Australia,[59] Columba oliviae wujud di kawasan kecil utara Somalia,[60] dan Metriopelia morenoi wujud di kawasan Salta and Tucuman di utara Argentina.[16]
Spesies dengan taburan terbesar ialah Burung Pergam Batu, Columba livia.[61] Spesies ini memiliki taburan besar dari Britain dan Ireland ke utara Afrika, kawasan Eropah, Arabia, Asia Tengah, India, Himalaya dan kawasan China serta Mongolia.[61] Taburan spesies ini membersar secara mendadak akibat pembelajinakan, dan menjadi spesis liar di bandar-bandar di seluruh dunia.[61] Spesies ini kini menetap di hampir keseluruhan Amerika Utara dan kawasan-kawasan bandar di Amerika Selatan, Afrika Sub-Sahara, Asia Tenggara, Jepun, Australia dan New Zealand.[61] Spesies ini bukan satu-satunya spesies Columbidae yang mengalami pembesaran taburan habitat akibat perbuatan manusia; beberapa spesies lain juga menetap di kawasan luar habitat asal selepas terlepas daripada kurungan, dan spesies-spesies lain mengalami pembesaran habitat akibat perbuatan manusia yang menjurus kepada perubahan persekitaran.[16]
Merpati jantan boleh berpasangan dengan betina lain.[62]
Bijiran dan buah-buahan membentuk komponen sumber makanan diet utama bagi merpati dan punai.[31][63] Faktanya, keluarga ini boleh dikelaskan kepada dua iaitu pemakan bijiran atau spesies granivor (subkeluarga Columbinae) dan pemakan buah-buahan atau spesies frugivor (empat subkeluarga yang lain).[64] Spesies granivor biasanya makan bijian yang dijumpai di tanah manakala spesies frugivor cenderung untuk makan di pokok.[64] Beberapa penyesuaian morfologi boleh digunakan untuk membezakan antara kedua-dua kumpulan tersebut: granivor cenderung untuk memiliki hempedal, usus dan esofagus berdinding tebal manakala frugivor memiliki dinding yang nipis.[31] Spesies yang memakan buah-buahan memiliki usus yang pendek manakala spesies yang memakan bijian memiliki usus yang lebih panjang.[65] Frugivor berkebolehan untuk berpaut pada ranting, malah boleh menggantungkan diri secara terbalik untuk mencapai makanan.[16][64]
Selain daripada buahan dan bjiran, sejumlah jenis makanan lain juga dimakan oleh banyak spesies. Beberapa spesies terutamanya punai tanah dan punai puyuh, memakan sejumlah makanan berdaging seperti serangga dan cacing.[64] Satu spesies, Ptilinopus coralensis memakan serangga dan reptilia.[64] Siput, rama-rama dan serangga lain juga dimakan oleh Patagioenas leucocephala, Ptilinopus victor dan Columbina talpacoti.[16]
Meskipun banyak spesies Columbidae mendapat manfaat daripada perbuatan manusia serta pembesaran taburan habitat, spesies-spesies lain menghadapi jumlah populasi yang berkurangan; sesetengah spesies menjadi terancam, bahkan ada yang telah pupus.[66] Antara sepuluh spesies yang telah pupus sejak 1600 (tahun mula anggaran kepupusan moden), dua spesies Columbidae pupus yang terkenal ialah dodo dan tekukur Passenger [66]
Kepupusan tekukur Passenger adalah istimewa kerana beberapa sebab. Pada masa moden, spesies ini ialah satu-satunya spesies Columbidae bukan pulau yang mengalami kepupusan.[66] Jumlah populasi pada masa dulu sukar dianggarkan, tetapi seorang ahli ornitologi, Alexander Wilson menganggarkan bahawa satu kumpulan tekukur Passenger boleh memiliki lebih daripada dua juta ekor burung.[67] Kejatuhan spesies tersebut berlaku secara tiba-tiba; pada 1871, sebuah koloni boleh memiliki lebih daripada 100 juta ekor burung, tetapi burung terakhir maut pada 1914.[68] Walaupun kehilangan habitat ialah faktor penyumbang, speises ini dikatakan diburu secara berlebihan untuk dijadikan makanan kepada golongan hamba dan seterusnya, golongan miskin di Amerika Syarikat pada abad ke-19.[perlu rujukan]
Kepupusan burung dodo adalah lebih lazim dalam konteks kepupusan spesies Columbidae. Burung dodo, seperti spesies-spesies yang menghuni pulau-pulau terpencil dengan sedikit pemangsa, mengalami kejinakan pulau yang membawa kepada kehilangan tindakan mengelakkan pemangsa serta kebolehan burung untuk terbang. [69] Kedatangan manusia serta spesies-spesies bawaan seperti tikus, khinzir dan kucing membawa pengakhiran kepada spesies ini serta spesies-spesies pulau lain secara pantas.[69]
Sekitar 59 spesies Columbidae adalah terancam terhadap kepupusan pada hari ini, yakni kira-kira 19% spesies Columbidae.[70] Kebanyakan daripada spesies-spesies ini bersifat tropika dan tinggal di pulau. Punca-punca ancaman termasuk pemangsa bawaan, kehilangan habitat, pemburuan atau campuran punca-punca ini. [69] Dalam sesetengah kes, spesies-spesies dikelaskan sebagai pupus di liar seperti Zenaida graysoni yang berasal dari Pulau Socorro di Mexico dan kali terakhir ditemui pada 1972, mengalami kepupusan akibat kehilangan habitat dan kucing liar.[71] Di sesetengah kawasan, kekurangan maklumat menyebabkan taraf sesuatu spesies tidak dapat diketahui, Ptilinopus arcanus tidak dapat ditemui sejak 1953,[72] dan mungkin pupus atau sebaliknya, dan Pampusana erythroptera dikelaskan sebagai terancam kritikal memandangkan spesies ini tidak dapat dipastikan sama ada boleh hidup di pulau-pulau terpencil di kawasan barat Lautan Pasifik atau tidak. [73]
Pelbagai langkah pemuliharaan telah dilakukan untuk menghalang kepupusan spesies ini termasuk undang-undang dan peraturan untuk mengawal tekanan pemburuan, penubuhan kawasan lindungan untuk mengelakkan kehilangan habitat yang berterusan serta penubuhan populasi tangkapan untuk membawa balik spesies ke kawasan liar (pemuliharaan ex situ), dan pemindahan spesies ke habitat sesuai untuk menambahkan populasi.[69][74]
Burung merpati digunakan dalam kedua-dua Perang Dunia Pertama dan Kedua, khususnya oleh pihak Australia, Perancis, Jerman, Amerika dan UK. Burung-burung merpati juga dianugerahkan dengan pelbagai penghargaan atas perkhidmatan yang dilakukan. Pada 2 Disember, tiga ekor burung merpati, Winkie, Tyke, dan White Vision menjadi burung-burung terawal yang menerima Pingat Dickin ketika berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja British kerana menyelamatkan sepasukan anggota tentera udara ketika Perang Dunia Kedua.[75] 32 ekor burung merpati mendapat anugerah Pingat Dickin kerana melakukan "perkhidmatan secara berani"[76] dalam peperangan seperti Commando, G.I. Joe,[77] Paddy, Royal Blue dan William of Orange.[78]
Cher Ami, seekor merpati utusan dalam Perang Dunia Pertama mendapat anugerah pingat Croix de Guerre oleh pihak Perancis bersama-sama gugusan daun oak atas perkhidmatan di Verdun.[79] Cher Ami dapat terbang pada jarak kira-kira 25 batu meskipun hampir atah kaki dan ditembak di bahagian dada untuk menghantar mesej yang menyelamatkan 194 orang tentera Lost Battalion dari Divisyen Infantri Ke-77 ketika Pertempuran Argonne pada Oktober 1918.[79][75] Apabila Cher Ami mati, burung ini mendapat taksidermi dan menjadi pameran kekal di Muzium Sejarah Amerika Kebangsaan milik Institusi Smithson.[80]
Sebuah majlis besar-besaran dilaksanakan di Istana Buckingham untuk menghargai sekumpulan burung merpati yang berkhidmat dalam Pertempuran Normandie untuk menghantar rancangan-rancangan penting kepada pihak Pihak Berikat di pesisir Jerman.[81] Tiga daripada burung-burung yang menerima pingat dipamerkan di Muzium Ketenteraan London supaya orang ramai boleh memberi penghormatan.[81]
Burung Pergam Batu telah mengalami penjinakan selama ratusan tahun.[82] Burung ini telah dibiakkan menjadi beberapa jenis baka yang dipelihara oleh para peminat, jenis yang paling terkenal ialah racing homer.[82] Selain itu, baka-baka burung merpati lain termasuk Birmingham roller serta baka-baka yang dibiak untuk mendapatkan ciri-ciri tertentu seperti pelepah besar di kaki atau ekor berbentuk kipas. Burung pergam batu domestik juga dibiak sebagai burung merpati yang membawa surat pendek sejak ribuan tahun,[48][83] dan burung-burung merpati yang dilepaskan dalam majlis-majlis.[84] Burung merpati putih pula sering digunakan dalam pertunjukan silap mata.[85]
Ketika zaman Mesopotamia, burung-burung merpati merupakan simbol haiwan utama bagi Inanna-Ishtar, dewi cinta, keseksualan dan peperangan.[86][87] Burung merpati ditunjukkan pada objek-objek kultus yang berkaitan dengan Inanna seawal milenium ketiga SM.[86] Patung-patung burung merpati ditemui di kuil Ishtar di Aššur dengan usia sejak abad ketiga belas SM,[86] dan lukisan dinding yang dilukis di Mari, Syria menunjukkan burung merpati raksasa yang muncul dari pokok palma di kuil Ishtar,[87] menunjukkan bahawa dewi itu sendiri kadang-kadang dipercayai berbentuk burung merpati.[87] Dalam Epik Gilgamesh, Utnapishtim melepaskan burung merpati dan gagak untuk mencari tanah; burung merpati itu hanya berpusing-pusing dan kembali.[88] Hanya apabila Utnapishtim menghantar gagak yang tidak kembali, dan Utnapishtim menyimpulkan bahwa gagak telah menemui tanah.[88]
Pada zaman Levant purba, burung merpati dijadika sebagai simbol dewi ibu Asherah dalam agama purba Kanaan.[86][87][89] Perkataan Yunani Kuno bagi burung merpati ialah peristerá,[86][87] yang menunjukkan terbitan kata mungkin daripada perkataan Semitik peraḥ Ištar, "burung Ishtar".[86] Pada zaman antikuiti, burung merpati dikatakan suci kepada dewi Yunani Aphrodite,[90][91][86][87] yang menyerap perlambangan ini daripada Inanna-Ishtar.[87] Aphrodite lazim muncul dalam tembikar Yunani pruba.[90] Kuil Aphrodite Pandemos di cerun tenggara Acropolis Athens dihias dengan ukiran-ukiran burung merpati dengan gelang-gelang pada paruh burung,[90] dan burung-burung merpati kecil putih yang dijadikan korban ditemui di kuil Aphrodite di Daphni.[90] Dalam upacara utama Aphrodite, Aphrodisia, mazbah-mazbah akan disukikan dengan darah burung merpati korban.[92] Perkaitan Aphrodite dengan burung merpati mempengaruhi dewa-dewa Rom, Venus dan Fortuna, menyebabkan mereka dikaitkan dengan burung merpati.[89]
Dalam Alkitab Ibrani, burung-burung merpati adalah korban bakar yang dapat diterima bagi mereka yang tidak mampu membeli binatang yang lebih mahal.[93] Dalam Kitab Kejadian, Noah mengirim seekor burung merpati keluar dari bahteranya, tetapi kembali kepadanya kerana air banjir belum surut. Tujuh hari kemudian, Noah mengirimnya lagi dan ia kembali dengan ranting zaitun di mulutnya, menunjukkan air telah surut sehingga pohon zaitun dapat tumbuh. "Burung merpati" juga merupakan istilah yang disukai dalam Song of Songs dan di tempat lain. Dalam bahasa Ibrani, Jonah (יוֹנָה) bererti burung merpati.[94] Istilah "lambang Jonas" Alkitab berkait dengan "lambang burung merpati".[95]
Burung-burung merpati dikorbankan ketika majlis berkhatan Jesus (Luke).[95] Kemudian, Roh Kudus diturunkan kepada Jesus ketika pembaptisannya sebagai seekor burung merpati (Matthew), dan menyebabkan "burung merpati keamanan" dijadikan sebagai lambang Kristian lazim berkaitan Roh Kudus.[95]
Dalam agama Islam, burung merpati dihormati kerana membantu Nabi Muhammad s.a.w. dalam memperdayakan pihak musuh di luar Gua Tsur ketika Hijrah.[96] Burung-burung merpati menghasilkan sarang burung dan bertelur di situ sementara seekor labah-labah menghasilkan sarang, menyebabkan pihak musuh menyangka Nabi Muhammad s.a.w. tidak mungkin berada di dalam gua tersebut ketika waktu malam.[96]
Beberapa spesies merpati dan punai digunakan sebagai sumber makanan; bagaimanapun hampir semua spesies boleh dimakan.[97] Merpati peliharaan atau buruan telah dijadikan sumber makanan sejak zaman Timur Tengah Tua, Rome Tua, dan Eropah Zaman Pertengahan.[76] Ia merupakan sumber daging biasa bagi Yahudi, Arab, Assam dan Perancis. Berdasarkan pada Tanakh, punai merupakan kosher, dan ia satu-satunya burung yang boleh digunakan sebagai seekor korban. Burung kosher lain boleh dimakan tetapi tidak sebagai seekor korban. Merpati juga digunakan dalam masakan Asia, seperti Cina dan Indonesia.
Di Eopah, wood pigeon biasanya ditembak sebagai daging buruan,[98] sementara Pergam Batu yang asalnya dibiakkan sebagai spesies makanan, kemudian dikembangkan banyak baka-baka lain di sebabkan kualiti dagingnya.[52] Kepupusan merpati Passenger di Amerika Utara sebahagiannya diakibatkan oleh pemburuan untuk digunakan sebagai sumber makanan.[99] Mrs Beeton's Book of Household Management mengandungi resipi-resipi merpati panggang dan pai merpati, sejenis makanan popular dan tidak mahal pada zaman industri Victoria di Britain.[100]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.