institusi kewangan From Wikipedia, the free encyclopedia
Bank (Jawi: بڠك atau بڠک) ialah sebuah institusi kewangan yang bertindak utama sebagai sebuah agensi pembayaran untuk para pelanggan menerima, menyimpan, dan meminjam wang[1] di mana untung diperolehi bank secara pembayaran khidmat dan faedah; transaksi atau urus niaga kewangan lain seperti menulis cek, pembayaran bil dan pelaburan turut ditawarkan dalam institusi sebegini.[2]
Kata bank berasal meminjam dari banca dalam bahasa Itali yang terserap dari bahasa Jerman bank bermakna kerusi atau "bangku" kerana pada awalnya peminjam wang di utara Itali biasanya memberikan khidmat urus niaga di tempat awam secara berduduk di atas bangku panjang,[3][4] ia merupakan pekerjaan yang berkesinambungan dari zaman Rom Purba disebutkan sebagai mensarii terbitan kata mensa "meja".[3] Perkataan bangku sendirinya perkataan sewarisan dalam bahasa Melayu meminjam dari bahasa Portugis banco yang menyerap dari akar Jerman ini.[5][6]
Zaman Maurya di India menyaksikan sistem urus niaga di mana wang ditukar pindah secara pembayaran berwakil melalui perintah dikirim disebutkan sebagai ādeśa (Sanskrit: आदेश ).[7][8] Pengurusan niaga dan penyimpanan harta di Timur terutamanya di China dari zaman Qin banyak bergantung kepada saudagar-saudagar yang mengeluarkan surat janji sebagai bukti;[9] munculnya institusi kewangan unik yang wujud bersampingan selewat Dinasti Qing iaitu piaohao (Cina Tradisional: 票號, Cina Ringkas: 票号 , "bilik surat") milik Shanxi yang menyediakan khidmat tukar dan cukai sesama pihak saudagar dan kerajaan dalam negeri dan qianzhuang (Cina Tradisional: 錢莊, Cina Ringkas: 钱庄 , "balai wang") iaitu badan mandiri kecil milik bersama keluarga-keluarga setempat kepada para pedagang asing di pelabuhan.[10]
Zaman Pembaharuan di Eropah merupakan titik mula sistem perbankan moden yang wujud pada hari ini di mana keluarga-keluarga Bardi dan Peruzzi memulakan pejabat urus niaga mereka di Firenze mencawang di banyak kota serata benua itu sepanjang abad ke-14.[11] Bank moden pertama yang diaturkan secara kawalan setempat mula wujud pada 1406 dengan tertubuhnya Banco di San Giorgio di kota Genoa, Itali.[12]
Sistem bank moden mula didirikan di Nusantara sejajar dengan kedatangan penjajah Barat ke kepulauan tersebut. Bank pertama didirikan di rantau ini adalah Bank van Courant di Hindia Timur Belanda pada 1746 yang berperanan memberikan pinjaman dengan jaminan emas, perak, perhiasan dan barang-barang berharga lain, ia tutup muflis tahun 1818.[13] Bank swasta yang menggantikan peranan Bank van Courant adalah De Javasche Bank NV (JVB) di Batavia pada tanggal 24 Januari 1828 atas kurniaan Raja Willem I sebagai pemegang utama monopoli pembelian hasil bumi dan penjualan eksport jajahan tersebut.[14] Bank ini diserahkan kepada pihak Indonesia berikutan Konferensi Meja Bundar 1949; ia dimiliknegarakan menjadi Bank Indonesia selepas lulusnya Undang-Undang no 11 Pokok Bank Indonesia 1953.[13] Di sebelah jajahan Empayar British pula, Oriental Bank Corporation yang beribupejabat di Bombay merupakan bank pertama wujud dalam Negeri-Negeri Selat apabila sebuah cawangan ia ditubuhkan di Singapura tahun 1846.[15]
Khidmat-khidmat yang ditawarkan oleh institusi-institusi bank ini yakni perbankan merangkumi banyak tujuan termasuk tujuan awam atau runcit, pelaburan, serta komersial.
Perkhidmatan yang dilakukan dalam bank-bank ini boleh dilakukan secara banyak saluran:
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.