Pilihan raya umum Malaysia ke-13 (Tulisan Jawi: ڤيليهن راي عموم مليسيا 2013; PRU-13) telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah parlimen dibubarkan pada 3 April. Tempoh penggal parlimen mengikut Perlembagaan Malaysia ialah lima tahun sejak mula bersidang, iaitu sehingga 28 April 2013. Namun parlimen hanya akan terbubar secara automatik pada 30 April kerana 28 April ialah hari Ahad.[1] Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun boleh membubarkan parlimen lebih awal dengan nasihat Perdana Menteri. Bagi pilihan raya serentak seluruh negara (parlimen dan DUN), pilihan raya perlu diadakan selewat-lewatnya 28 Mei.[2] Pilihan raya umum Malaysia menggunakan sistem undian pemenang undi terbanyak. Pilihan raya akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Walaupun daripada segi teori mana-mana negeri boleh membubarkan Dewan Undangan Negerinya secara berasingan daripada Parlimen, secara tradisinya DUN dibubarkan sekali dengan Parlimen, kecuali Sarawak.[3]

Fakta Segera Pengundi hadir, Parti pertama ...
Pilihan raya umum Malaysia 2013

 2008 5 Mei 2013 2018 

Kesemua 222 kerusi Dewan Rakyat Malaysia
dan 505 kerusi DUN di 12 negeri (kecuali Sarawak)
112 kerusi diperlukan untuk majoriti
Pengundi hadir84.84%
  Parti pertama Parti kedua
 
Pemimpin Najib Razak Anwar Ibrahim
Parti 99 0
Gabungan Barisan Nasional Pakatan Rakyat
Pemimpin sejak 3 April 2009 28 Ogos 2008
Kerusi pemimpin Pekan Permatang Pauh
Pilihan raya
lepas
140 kerusi, 50.27% 82 kerusi, 46.75%
Kerusi yang
dimenangi
133 89
Perubahan kerusi 7 7
Undian popular 5,237,699 5,623,984
Peratusan 47.38% 50.87%
Peralihan undi 2.89% 4.12%

Perdana Menteri sebelum pilihan raya

Mohd Najib bin Abdul Razak
Barisan Nasional

Bakal Perdana Menteri

Mohd Najib bin Abdul Razak
Barisan Nasional

Tutup

Pada 3 April 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.[4] Beliau juga memberi jaminan sebarang perubahan kuasa sama ada di peringkat persekutuan atau negeri akan berjalan dengan aman.[5]

Pada 10 April 2013, SPR mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon ialah 20 April dan pilihan raya pada 5 Mei, hari Ahad.[6]

Pada awal pagi 6 Mei, Barisan Nasional secara muktamad diumumkan kekal berkuasa, dengan majoriti yang berkurang. Bagaimanapun, ia berjaya merampas kembali negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat.[7] Walau bagaimanapun, PR memenangi undian popular buat pertama kali.[8]

Latar belakang

Perang bendera

Pemerintah Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum 2008 dengan 140 kerusi, menjadikannya keputusan terburuk gabungan itu sejak pilihan raya 1969 (sebagai Parti Perikatan). Gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mendapat 82 kerusi, dengan itu menghalang BN mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. Pakatan Rakyat juga mendapat lima daripada 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) (namun tinggal empat selepas krisis politik Perak) serta 10 daripada 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Parti-parti yang bertanding

Barisan Nasional

Selepas keputusan "kurang memberangsangkan" ini, Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad Badawi mengumumkan pada 8 Oktober 2008, yang beliau akan mengundurkan diri, sebagai Perdana Menteri dan presiden UMNO.[9][10] Pemilihan presiden baharu diadakan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2009, di mana Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib bin Abdul Razak menang selepas menjadi calon tunggal yang layak bertanding.[11] Pada 2 April 2009, Dato' Seri Abdullah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Sultan Mizan Zainal Abidin. Pada 3 April, Dato' Seri Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 di hadapan baginda.[12]

GTP dan 1Malaysia

Selepas Najib mengambil alih daripada Abdullah Badawi, beliau memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang berusaha meningkatkan perkhidmatan awam, meningkatkan kecekapan pengurusan dan menjadikan kerajaan lebih telus. Tonggaknya enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diukur melalui satu siri Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Pentadbiran Najib juga melancarkan gagasan 1Malaysia bagi memupuk perpaduan rakyat di antara kaum. Ia menjadi dasar awam, dengan pelbagai inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),[13] Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Pakatan Rakyat

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, juga ketua Pakatan Rakyat kembali ke parlimen selepas 10 tahun apabila memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008. Isteri beliau, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat, Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan Ahli Parlimennya supaya Dato' Seri Anwar dapat bertanding dan seterusnya kembali ke parlimen. Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya Mac 2008 kerana undang-undang tidak membenarkan seseorang yang dipenjara bertanding buat tempoh lima tahun selepas hukumannya berakhir, iaitu sehingga April 2008.

Pakatan Rakyat mengeluarkan Buku Jingga yang menggariskan rancangan mentadbir negara sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan pada pilihan raya mendatang.[14] Justeru, mereka memfokus pada tadbir urus baik negeri-negeri yang kekal dikuasai mereka (Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor) walaupun tidak mendapat kerjasama penuh kerajaan persekutuan[15] Satu perkara yang telah diserlahkan ialah prestasi baik ekonomi Pulau Pinang dan Selangor yang dilaporkan menarik pelaburan perniagaan lebih tinggi dibandingkan dengan negeri lain di mana BN memerintah.[16] Pada 2011, Pulau Pinang dan Selangor merekod sejumlah RM 17.8 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, 30% lebih sedikit daripada jumlah pelaburan.[17]

Parti lain

Selain daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, terdapat juga parti-parti lain yang berhasrat bertanding. Antaranya ialah Parti Hak Asasi Manusia (HRP) yang disokong Hindraf (bagaimanapun Hindraf telah berpecah kepada sekurang-kurangnya dua kem, satu menyokong BN[18] manakala satu lagi neutral.[19]), Parti Maju Sabah (SAPP, bekas parti komponen BN), Parti Reformasi Negeri (STAR)[20] dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA). Penyertaan parti-parti ini akan menyebabkan pertandingan tiga penjuru di beberapa kerusi.

Peraturan baharu

Susulan laporan akhir PSC 2012, SPR telah mewartakan empat peraturan baharu pada 2012 bagi pilihan raya ini:[21]

  1. Penggunaan dakwat kekal
  2. Pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos
  3. Membenarkan orang kelainan upaya membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian
  4. Pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.

Pengundian pos bagaimanapun masih dibenarkan, bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara yang memenuhi syarat.[22] Jari mereka tidak perlu ditanda dengan dakwat kekal, manakala warna dakwat bagi pengundi awal dan pengundi biasa adalah berbeza.[23] Undi pos and undi awal hanya akan dibuka pada hari pengundian dan dikira bersama dengan undi biasa.[24]

Pengundi dan pemerhati

Berdasarkan daftar pemilih, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyatakan terdapat 12,992,661 pengundi biasa dan 275,341 pengundi awal, menjadikan seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini. Pengundi awal terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta 2,954 pengundi tidak hadir (di luar negara).[25] SPR telah menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 saluran mengundi. Daripada jumlah itu, 8,245 pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi bakal disediakan bagi pengundi biasa, manakala pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat mengundi.[25]

SPR telah melantik kira-kira 17 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan lebih 2,500 orang individu untuk bertindak sebagai pemerhati tempatan pada pilihan raya kali ini. Di peringkat antarabangsa pula, lima negara ASEAN iaitu Kemboja, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Filipina bersetuju menghantar seramai tujuh orang pemerhati daripada setiap negara. Para pemantau hanya dibenarkan memantau proses membuang undi dan tidak mempunyai kuasa mengganggu pengundi.[26]

Sebelum itu, tiga NGO menubuhkan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (PEMANTAU) bagi merekrut sukarelawan menjadi pemerhati PRU13. Mereka ialah Bersih 2.0, MAFREL dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat Komas). Badan ini bagaimanapun tidak diiktiraf SPR.[27]

Manifesto

Poster PR
Sepanduk BN

Pakatan Rakyat melancarkan manifesto mereka, dengan tema "Pakatan Harapan Rakyat", pada 25 Februari 2013.[28] Manakala Barisan Nasional hanya melancarkan manifesto mereka bertema "Menepati Janji, Membawa Harapan", disebut dokumen "aku janji", selepas parlimen dibubarkan. Pelancaran itu diadakan dalam satu majlis khas pada 6 April, dan disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM dan swasta.[29][30]

Buat pertama kali, parti politik ditawarkan membentangkan manifesto mereka di RTM selepas parlimen dibubarkan.[31] Tawaran ini bagaimanapun ditolak Pakatan Rakyat kerana masa yang pendek (10 minit) dan perlu direkod, dikhuatiri akan disunting dahulu sebelum disiarkan.[32] Ini berbeza dengan siaran langsung dua jam pelancaran manifesto BN oleh media milik kerajaan dan swasta.[33][34] Beberapa penganalisis berpendapat kedua-dua manifesto ini hampir serupa.[35] Kedua-dua BN dan PR mengeluarkan manifesto mereka dalam enam bahasa: Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Kadazan-dusun dan Iban. Selain manifesto utama, terdapat juga manifesto khusus yang lebih terperinci untuk negeri-negeri tertentu.[36]

Pembubaran DUN dan Parlimen

Mengikut undang-undang, kedua-dua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan terbubar secara automatik selepas lima tahun daripada persidangan pertama. Lalu pilihan raya baharu wajib diadakan dalam masa 60 hari. Selepas pembubaran, sama ada secara automatik atau dibubarkan, kerajaan sedia ada akan kekal sebagai kerajaan sementara. Kerajaan sementara hanya dibenarkan meneruskan komitmen lama dan tidak boleh membuat komitmen baharu.[37]

Pada 28 Mac, DUN Negeri Sembilan telah terbubar kerana tamat tempoh, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di negara ini.[38]

Selangor bercadang membubarkan DUN pada 22 April, iaitu hari pembubaran automatiknya, sekiranya parlimen belum dibubarkan pada masa itu.[39]

Parlimen akhirnya dibubarkan pada 3 April,[4] dan disusuli semua negeri (kecuali Sarawak dan Negeri Sembilan).[25]

Berikut merupakan tarikh setiap DUN akan terbubar dengan sendirinya:[40]

Maklumat lanjut Tarikh, Negeri ...
Tarikh Negeri Nota
28 Mac
Negeri Sembilan[38] DUN pertama terbubar automatik
7 April
Pahang
21 April
Johor
22 April
Selangor
25 April
Perak
26 April
Melaka
28 April
Perlis
Kelantan
Sama dengan Parlimen
29 April
Sabah
2 Mei
Pulau Pinang
6 Mei
Kedah
Terengganu
Terakhir
Tutup

DUN Sarawak tidak akan terbubar sehingga 2016 memandangkan pilihan raya terakhir diadakan pada 2011.

Pengendalian

Penamaan calon

Pada 10 April 2013, SPR mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon ialah 20 April dan pilihan raya pada 5 Mei. Ini memberikan tempoh berkempen rasmi selama 15 hari. Tempoh lama ini membolehkan pengundian awal dijalankan pada 30 April.[25]

Pakatan Rakyat mengumumkan calon mereka secara berperingkat mengikut parti dan tempat.[41] Penasihat DAP Lim Kit Siang misalnya, sebelum parlimen dibubarkan lagi telah mengumumkan akan bertanding di parlimen Gelang Patah, kubu BN di Johor.[42] Pada 13 April, PAS mengumumkan akan bertanding di lapan parlimen dan 30 DUN di negeri Johor. Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw akan turut bertanding, menjadikan beliau calon pertama DHPP yang diumum bertanding atas tiket PAS.[43] Walaupun kebanyakan ahli parlimen PKR akan kekal bertanding,[44] mereka turut menampilkan muka baharu apabila mengumumkan bertanding sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN di Perak. Lebih 80% calon mereka merupakan orang baharu, kebanyakannya golongan profesional.[45] Presidennya Wan Azizah Wan Ismail, yang sebelum ini hanya bertanding menggantikan suaminya Anwar, tidak akan bertanding.[46]

Sementara itu, Barisan Nasional hanya mengumumkan senarai calon mereka bermula 15 April. Sepertiga calon parlimen dan hampir separuh calon DUN merupakan orang baharu. Kesemua calon-calon ini dianggap sebagai calon boleh menang (winnable).[47] BN turut menurunkan calon bebas rakan BN untuk bertanding, misalnya Zulkifli Noordin yang merupakan naib presiden Perkasa.[48] Bagaimanapun, beberapa nama besar digugurkan. Antaranya bekas Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad Badawi,[49] Ketua Wanita UMNO dan bekas Menteri Pembangunan Wanita Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pelancongan Ng Yen Yen, Menteri Penerangan Rais Yatim dan Presiden MCA Chua Soi Lek.[50] Naib presiden Gan Ping Sieu serta bekas presiden MCA Ong Tee Keat juga tidak terpilih.[51] Menteri Besar Perlis Md Isa Sabu pula bersara.[52] Selain MCA, tiga lagi presiden parti komponen BN tidak bertanding: Presiden Gerakan Koh Tsu Koon, Presiden SUPP Peter Chin Fah Kui dan Presiden PPP M. Kayveas.[53]

Dua hari sebelum penaman calon, Pendaftar Pertubuhan (RoS) menghantar surat kepada DAP menyatakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharunya tidak sah. Ini menyebabkan DAP mungkin tidak dapat menggunakan logonya dalam pilihan raya kerana surat kuasa membenarkan penggunaan logo DAP yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng mungkin tidak sah. Lalu calonnya mungkin terpaksa menggunakan logo rakan Pakatan iaitu PAS dan PKR.[54] Malam sebelum penamaan calon, RoS memaklumkan DAP boleh menggunakan simbol sendiri.[55] Namun sebagai langkah berjaga-jaga, calon DAP membawa dua surat watikah pada hari penamaan calon, satu daripada DAP manakala satu lagi daripada PAS (di Semenanjung Malaysia) atau PKR (Malaysia Barat).[56] Namun akhirnya calon DAP dapat menggunakan logo mereka sendiri.[57]

Selepas penamaan calon ditutup, SPR menyatakan semua kerusi akan melihat pertandingan. BN bertanding 221 kerusi parlimen dan semua 505 kerusi DUN. Di pihak Pakatan Rakyat, PKR bertanding di 99 parlimen dan 172 DUN, PAS 73 parlimen dan 236 DUN, manakala DAP 41 parlimen dan 102 DUN. Parti-parti lain yang turut bertanding ialah STAR, SAPP, BERJASA, SWP, KITA, PCM, PSM BERSAMA Dan Parti Amanah. Terdapat 79 calon bebas bertanding di parlimen dan 190 lagi di DUN.[58]

PRU-13 mencatat sejarah tersendiri berikutan kemunculan paling ramai calon bebas. Sebelum ini, calon bebas lebih banyak mewarnai pilihan raya di Sabah dan Sarawak, namun kali ini fenomena sama turut berlaku di negeri di Semenanjung. Ini juga menyebabkan banyak kerusi Parlimen dan DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan lebih. Kerusi paling ramai menyaksikan calon bertanding ialah dua DUN Sabah iaitu Kalabakan dan Sulabayan, yang membabitkan pertandingan tujuh penjuru.[59]

Antara kejutan pada hari penamaan calon ialah calon bebas Ibrahim Ali yang juga Presiden Perkasa akan mempertahankan kerusi parlimennya menentang calon PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sahaja. Calon BN bagi Pasir Mas Che Johan Che Pa walaupun hadir di pusat pencalonan tidak menghantar borang beliau.[60][61] Sementara itu, calon bebas paling terkenal dan tertua di Malaysia, Maimun Yusuf sekali lagi bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu.[62][63]

Selain itu, beberapa anggota parti DAP dan UMNO yang bertanding sebagai calon bebas pula dipecat atau mengundur diri.[64] Paling menonjol ialah Naib Ketua Wanita UMNO Kamilia Ibrahim yang kecewa tiada pemimpin tertinggi sayap parti berkenaan terpilih.[65] Manakala beberapa kerusi akan menyaksikan pertembungan PAS dan PKR, rakan dalam Pakatan Rakyat.[64] Tiga artis popular 1980-an turut bertanding: Herman Tino (bebas), Aishah (PAS) dan Dayangku Intan (PKR).[66] Berikut merupakan senarai parti yang bertanding mengikut kerusi masing-masing:

Maklumat lanjut Parti, Bertanding kerusi untuk Parlimen ...
PartiBertanding kerusi untuk ParlimenBertanding kerusi untuk DUN
BN221505
PAS73236
PKR99172
DAP51103
STAR2849
SAPP841
BERJASA95
KITA211
BERSAMA14
PCM23
PSM02
SWP60
Bebas79191
Jumlah5791322
Tutup

Insiden

Semasa tiga hari pertama tempoh berkempen rasmi, sejumlah 387 kejadian dilaporkan, dengan tidak kurang 15 orang ditahan oleh polis bagi membantu siasatan. Pada 23 April 2013 di Nibong Tebal, sebutir alat letupan reka ganti (IED) meletup di tapak sebuah ceramah BN, mencederakan seorang. Polis selepas itu menjumpai IED kedua di tapak tersebut, yang kemudian diletupkan dengan selamat. Polis percaya alat letupan itu lebih bertujuan menakutkan berbanding mencederakan khalayak. Kedua-dua Perdana Menteri Najib Razak dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengutuk keganasan tersebut.[67][68] Pengeboman ini juga dikecam oleh Bersih yang menyatakan semua ahli politik patut mengutuk keganasan ini tanpa mengira penggabungan parti. Mereka telah menawarkan memantau laporan polis berkenaan keganasan politik dan kejadian salah laku pilihan raya.[69][70]

Terdapat juga gangguan perhimpunan politik pembangkang oleh Mat Rempit. Pada 24 April, seorang jurugambar akhbar diserang 50 penunggang motosikal yang memakai baju 1Malaysia di suatu ceramah DAP di Bukit Gelugor. Ketua BN negeri telah menafikan sebarang kaitan dengan peristiwa itu.[71] Tambahan lagi, terdapat banyak laporan laku musnah terhadap kenderaan yang digunakan ahli politik pembangkang dan penyokong mereka.[72][73] Dalam satu kejadian, dua kereta milik anak perempuan seorang calon PKR rosak akibat cubaan membakar di rumah beliau di Klang.[74]

Beberapa video lucah seks yang kononnya memaparkan tokoh pembangkang telah muncul di ruang siber, terutamanya pada blog yang bermusuhan dengan Pakatan Rakyat.[75][76][77] Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, yang dikatakan terbabit dalam salah satu video itu telah menafikan penglibatannya, dengan peguam beliau memanggil video tersebut sebagai "kempen fitnah oleh UMNO".[78] Sebagai balasan, UMNO telah menyaman Mustafa dan peguamnya kerana kenyataan tersebut.[79] Anwar Ibrahim juga telah menyaman pemblog UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris, lebih dikenali sebagai Papagomo, kerana cuba membabitkan beliau dalam salah satu video lucah tersebut.[80]

Beberapa tapak web media dan berita dalam talian, seperti Malaysiakini dan Harakahdaily, telah mendakwa sebahagian pembekal perkhidmatan Internet di Malaysia mendikit kelajuan capaian ke tapak mereka.[81][82] Beberapa tapak web yang kritikal kepada kerajaan pula, seperti Radio Free Malaysia dan Sarawak Report telah mengalami serangan penafian perkhidmatan (DDoS).[83][84] Malaysiakini juga mendakwa beberapa akaun Twitter mereka telah dirampas pada masa yang sama.[85][86]

Beberapa hari sebelum hari mengundi, ketua umum PKR Anwar Ibrahim mendedahkan puluhan penerbangan sewa khas dari pelbagai lokasi di Malaysia Timur ke Semenanjung Malaysia, kononnya membawa warga asing selain rakyat Malaysia, oleh Pejabat Perdana Menteri, bagi mempengaruhi pilihan raya.[87][88] Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan dakwaan ini, menyatakan mereka hanyalah pengundi berdaftar, dan dibiayai oleh "rakan-rakan BN". Katanya lagi, Pakatan Rakyat turut menempah bas untuk membawa pengundi, manakala Bersih turut membayar tambang penerbangan rakyat pulang. Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan tiada salahnya membawa pengundi pulang, kecuali pengundi itu dipaksa memilih siapa calon yang patut diundi.[89][90][91] Manakala pengerusi bersama Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan berkata "rakan-rakan" BN telah melakukan kesalahan pilihan raya dengan menerbangkan pengundi menyeberangi laut, melainkan pengangkutan sedemikian disediakan kepada semua pengundi.[92][93]Akan ada sukarelawan parti dan NGO yang memantau keadaan dan membuat tangkapan awam terhadap pengundi ragu warga asing.[94][95]

Proses mengundi

Thumb
Pengundi telah mencelupkan jarinya sebagai tanda sudah mengundi.
Thumb
Proses mengundi di salah satu tempat mengundi

Undi pos bagi rakyat Malaysia yang layak dijalankan pada 28 April 2013. Kedutaan atau pejabat perwakilan Malaysia dibuka pada hari berkenaan bagi tujuan ini dari 9 pagi hingga 6 petang waktu tempatan. Pejabat di London dan Melbourne ditutup lebih lewat pada 8 pm kerana jumlah pengundi pos di kedua bandar tersebut melebihi seribu orang.[96] Mengikut SPR, 70% daripada 8,756 pengundi luar negara yang layak hadir mengundi walaupun terdapat beberapa masalah awal.[97][98][24]

Pengundian awal dijalankan pada 30 April 2013 bagi kakitangan tentera dan polis serta pasangan masing-masing di 544 pusat mengundi di seluruh negara. Terdapat lebih 270,000 pengundi awal ini.[99][100][101][102] Terdapat beberapa laporan dakwat kekal merah saga yang digunakan luntur dan hilang apabila dibasuh.[103][104][105] SPR menafikan perkara ini pada awalnya, namun kemudian menjanjikan siasatan selepas beberapa pihak membuat laporan polis.[106][107] Pada 2 Mei, SPR mengadakan demonstrasi umum penggunaan dakwat kekal. Dakwat yang dicalit cuba dibasuh hilang dengan berbagai-bagai cara, namun tidak berjaya. Menjawab isu dakwat yang tidak kekal sebelum ini, timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyatakan ia disebabkan prosedur penggunaan yang salah. Sekiranya botol dakwat tidak digoncang secara menyeluruh, dakwat tidak sebati dan ada dakwat yang tidak memiliki kuantiti cukup argentum nitrat, sebatian yang menyebabkan kesan kekal.[108][109][107]

Pengundian umum 5 Mei secara umumnya berlangsung dengan aman dan terkawal.[110] Proses undi berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang, kecuali beberapa tempat di Sabah ditutup awal pada jam 3 petang. Sebanyak 80 peratus daripada 12,992,661 pengundi berdaftar keluar mengundi, peratusan tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah PRU negara ini.[111] Bagaimanapun, masih terdapat laporan dakwat kekal ditanggalkan dengan mudah.[112] Kali ini, SPR menyatakan bahawa kekuatan dakwat kekal berbeza dengan dakwat di negara lain disebabkan keperluan halal dan kesihatan.[113]

Cuti umum

Memandangkan hari pengundian Ahad 5 Mei ialah hari bekerja di Kelantan, kerajaan negeri mengisytiharkan hari tersebut sebagai cuti peristiwa sempena pilihan raya.[114] Ini kemudian diikuti oleh kerajaan Kedah dan Terengganu, di mana Ahad juga merupakan hari bekerja.[115]

Manakala kerajaan Selangor[116] dan Pulau Pinang[117] mengisytiharkan Isnin 6 Mei sebagai hari pelepasan am, bagi memudahkan warga kedua-dua negeri ini balik kampung mengundi.

Kontroversi

Terdapat beberapa isu yang telah lama ditimbulkan, daripada pelbagai pihak. Pada akhir 2011, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil dikaitkan dengan kontroversi Pusat Fidlot Nasional. Beliau meletak jawatan pada April 2012 dan tidak bertanding dalam PRU-13.[118]

Isu yang hampir sama lamanya ialah bekalan air di Selangor dan Lembah Klang. Kerajaan persekutuan berpendapat Projek Langat 2 perlu diteruskan manakala kerajaan negeri PR percaya isu ini dapat diselesaikan dengan mengambil alih kawalan syarikat air SYABAS, yang dikatakan gagal mengurus sumber air negeri dengan baik.[119][120]

Pakatan Rakyat berhasrat menutup loji Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang jika didapati tidak selamat.[121][122] Ini dilihat sebagai menyokong Himpunan Hijau, gerakan hijau yang menentang operasi loji nadir bumi ini. Pengerusinya Wong Tack akan bertanding di parlimen Bentong atas tiket DAP.[123][124]

Pakatan juga berjanji meningkatkan bayaran royalti minyak Petronas kepada negeri pengeluar minyak (Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak) di Malaysia.[125] Kelantan kini tidak mendapat royalti minyak, cuma wang ihsan.[126]

Selain isu-isu di atas, Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 telah mengetengahkan beberapa isu lain seperti tahanan ISA, bahasa ibunda dan FELDA.

Pada Mac 2013, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan cadangan membina sebuah terowong dasar laut bagi bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pulau, Pulau Pinang, menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di tanah besar.[127] Kerajaan persekutuan menganggap projek mega ini tidak perlu. Bekas Perdana Menteri yang juga ahli parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi menyatakan dua jambatan yang sedia ada sudah cukup ketika ini. Beliau juga pernah menimbangkannya ketika BN memerintah Pulau Pinang.[128] Memorandum persefahaman kemungkinan projek itu telahpun ditandatangani dengan China pada 2011.[129]

Satu isu yang baru muncul selepas penamaan calon ialah BN/UMNO menyokong calon daripada kumpulan sayap-kanan Melayu Perkasa untuk bertanding seperti Zulkifli Noordin[130] dan Ibrahim Ali.[131]

Garis panduan kerajaan sementara

Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut perihal kerajaan sementara secara langsung. Namun sebuah kerajaan atau kabinet perlu wujud pada setiap masa bagi membantu Yang di-Pertuan Agong mentadbir negara. Kerajaan sementara ini boleh berfungsi sebagaimana kerajaan biasa tertakluk kepada beberapa syarat; tidak membuat keputusan dasar besar yang mengikat kerajaan akan datang, tidak membuat pelantikan jawatan penting, dan tidak menandatangani kontrak besar.[132][133] Bersih 2.0 mendakwa Perdana Menteri Najib melanggar peraturan ini apabila mengumumkan projek besar di Cyberjaya bernilai RM8 bilion.[134]

Perhimpunan BERSIH

Kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH menuntut pilihan raya yang bebas dan adil, menganjurkan dua perhimpunan selepas pilihan raya lalu, pada 2011 dan 2012. Mereka mendakwa terdapat kecacatan dalam proses pilihan raya dan senarai pemilih akibat proses persempadanan kawasan, pertukaran tempat mengundi, pengundi hantu, pembelian undi dan penipuan undi pos.[135][136][137]

Sejak Ogos 2012, satu Suruhanjaya Diraja telah menyiasat masalah berkaitan kerakyatan dan pendatang di Sabah. Namun ini terhenti apabila Lahad Datu diceroboh pada Februari 2013.[138]

Keputusan

Pada 6 Mei 2013, parti gabungan penyandang Barisan Nasional telah mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Kerusi yang selebihnya jatuh kepada gabungan Pakatan Rakyat iaitu sebanyak 89 kerusi. Di peringkat negeri pula, BN berjaya menawan kembali Kedah.[7]

Parlimen

Thumb
Keputusan Dewan Rakyat (perwakilan luas sama)

Sumber[139]

Maklumat lanjut Undian, % undian ...
s  b Ringkasan keputusan pilihan raya umum 2013 bagi Dewan Rakyat Malaysia
Undian % undian Kerusi % kerusi
Barisan Nasional (BN)5,366,99748.5513259.46
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) 3,382,18430.608638.74
Persatuan Cina Malaysia (MCA) 899,4208.1473.15
Kongres India Malaysia (MIC) 291,8142.6441.80
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) 153,0811.3820.90
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) 232,3902.10146.31
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)133,6031.2110.45
Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)43,9050.4041.80
Parti Rakyat Sarawak (PRS)59,5400.5462.70
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO)65,9660.6031.35
Parti Bersatu Sabah (PBS)88,0970.8041.80
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)9,4670.0810.45
Parti Liberal Demokratik (LDP)00.0000.00
Parti Progresif Penduduk (PPP)7,5300.0700.00
Pembangkang5,687,41751.459040.54
Pakatan Harapan (DAP-PKR-AMANAH):4,147,01437.517131. 98
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2,187,66319.792812.61
Parti Amanah Negara (AMANAH) 244,6772.2162.70
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 1,714,67435.453716.67
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 26,2740.2410.45
Parti Warisan Sabah (Warisan) 48,1570.4420.90
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1,388,71212.56146.31
Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) 11,6000.1010.45
Parti Sosialis Malaysia (PSM) 21,5930.2010.45
Parti bebas (dan lain-lain)44,0670.4010.45
Jumlah keseluruhan11,054,577100.00222100.00
Tutup

DUN

Thumb
Keputusan DUN (perwakilan luas sama)
Maklumat lanjut Calon, Kerusi ...
s  b Ringkasan keputusan pilihan raya umum 2013 bagi Dewan Undangan Negeri Malaysia
Calon Kerusi % kerusi +/–
Perlis15
Barisan Nasional (BN): 151386.7
Pakatan Rakyat (PR): 15213.3
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 816.71
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 616.71
Kedah36
Barisan Nasional (BN): 362158.37
Pakatan Rakyat (PR): 361541.77
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 225.61
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 249257
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 10411.11
Kelantan45
Barisan Nasional (BN): 451226.76
Pakatan Rakyat (PR): 453373.36
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 403271.16
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 515.4
Terengganu32
Barisan Nasional (BN): 321753.17
Pakatan Rakyat (PR): 351546.97
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 291443.86
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 613.11
Pulau Pinang40
Barisan Nasional (BN): 4010251
Pakatan Rakyat (PR): 4130751
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 191947.5
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 612.5
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1610251
Perak59
Barisan Nasional (BN): 593152.53
Pakatan Rakyat (PR): 592847.53
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 181830.5
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 2258.51
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1958.52
Pahang42
Barisan Nasional (BN): 423071.47
Pakatan Rakyat (PR): 421228.68
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 7716.75
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 2137.11
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1424.82
Selangor56
Barisan Nasional (BN): 561221.48
Pakatan Rakyat (PR): 574478.68
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 151526.82
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 211526.87
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2114251
Negeri Sembilan36
Barisan Nasional (BN): 362261.11
Pakatan Rakyat (PR): 361438.91
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 111130.61
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1200.01
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1338.31
Melaka28
Barisan Nasional (BN): 2821752
Pakatan Rakyat (PR): 287252
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 8621.41
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1313.61
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 700.0
Johor56
Barisan Nasional (BN): 563867.912
Pakatan Rakyat (PR): 571832.112
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 141323.29
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 3147.12
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1211.81
Sabah60
Barisan Nasional (BN): 60488011
Pakatan Rakyat (PR): 601118.310
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 846.73
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 900.0
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 43711.77
Parti Reformasi Negeri (STAR) 4911.71
Tutup

Keputusan ketara

Beberapa tokoh ternama tewas dalam pilihan raya kali ini:[140][141][142]

Reaksi dan analisis

Perdana Menteri Najib meminta seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan. Beliau berkata: "Malaysia perlu mempamerkan kepada dunia bahawa ia merupakan sebuah negara demokrasi yang matang. Walau apapun yang berlaku, keputusan rakyat, kehendak rakyat, perlu dihormati. Beliau menambah bahawa PRU13 mempamerkan pelbagai sentimen, sesetengahnya bersifat perkauman, yang "amat tidak sihat" untuk negara. Dengan itu kerajaan BN akan melaksanakan usaha penyatuan nasional untuk mengeratkan hubungan antara rakyat.[143] Manakala ketua pembangkang Anwar berkata kemenangan PR "telah dirompak" dan menyifatkan pilihan raya ini penuh dengan penipuan.[144][145] Sementara itu, Bersih tidak mahu mengiktiraf kerajaan baru sehingga laporan penipuan disiasat.[146] Kerajaan baru ini merupakan kerajaan minoriti, disokong oleh cuma 47.38% pengundi, sementara PR mendapat 50.87% undi popular.[8]

Perubahan undi paling ketara ialah daripada parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina, MCA dan Gerakan kepada DAP, di kalangan pengundi etnik Cina.[147][148] Ini menyebabkan Najib mendakwa pembangkang telah memanipulasi dan memperdaya kelompok ini[149] dan menyalahkan "tsunami Cina" terhadap prestasi BN.[147]

Herizal Hazri daripada Yayasan Asia Malaysia berkata: "Terdapat rasa penolakan pengundi bandar terhadap retorik. Mereka mahukan Malaysia yang lebih merangkumi semua, mereka mahu mengundi parti yang mewakili semua kumpulan bangsa."[150] Majoriti pengundi Cina menunjukkan sokongan terhadap PR. "Mereka merupakan pengundi terbesar berubah undi," kata ahli parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed. Seperti dalam pilihan raya umum lepas, pengundi di kawasan bandar, termasuk Melayu, telah menyokong PR manakala pengundi di kawasan kampung kekal mengundi BN. "Ini bukan peperangan bangsa, ini peperangan golongan," kata seorang pakar analisis.[151] Bekas Perdana Menteri Abdullah pula berkata adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan pilihan raya ini sebagai isu perkauman,[152] manakala Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan BN ditolak oleh 'tsunami Internet dan anak muda'.[153]

Pada 8 Mei, Anwar memimpin satu perhimpunan sekurang-kurangnya 50,000 orang berpakaian hitam di sebuah stadium di Kelana Jaya, Selangor. Mereka mengecam PRU-13 sebagai satu penipuan.[154] Bagaimanapun, buat kali pertama, tiada satupun unit polis yang hadir, biarpun mengelaskan perhimpunan tersebut sebagai haram.[155]

Selepas keputusan PRU-13 dimuktamadkan pada 23 Mei dan tempoh petisyen dibuka, sejumlah 60 petisyen difailkan sekaligus menjadi jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya di negara ini. 39 petisyen dikemukakan oleh PR manakala 21 lagi oleh BN, melibatkan 31 kerusi parlimen dan 29 kerusi DUN.[156]

Pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum ini ialah di DUN Kuala Besut selepas ADUNnya meninggal dunia. BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut.[157]

Rujukan

Pautan luar

Wikiwand in your browser!

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.

Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.