Pelakon wanita Malaysia berketurunan Cina From Wikipedia, the free encyclopedia
Yang Hormat Tan Sri Michelle Yeoh PSM (/joʊ/ YOH; lahir Yeoh Choo Kheng; Cina mudah: 杨紫琼; Cina tradisional: 楊紫瓊; 6 Ogos 1962)[1][2] ialah seorang pelakon wanita Malaysia. Dikreditkan sebagai Michelle Khan dalam filem-filem terawalnya di Hong Kong, beliau meniti kemasyhuran pada tahun 1990-an selepas membintangi dalam beberapa siri filem aksi Hong Kong yang mana beliau melakukan sendiri aksi ngerinya, seperti Yes, Madam (1985), Magnificent Warriors (1987), Police Story 3: Supercop (1992), The Heroic Trio (1993), dan Holy Weapon (1993).
Selepas berpindah ke Amerika Syarikat, Yeoh meraih pengiktirafan antarabangsa kerana membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) dan filem seni bela diri Ang Lee, Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000), yang mana beliau dicalonkan untuk Anugerah BAFTA untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Utama. Kerjayanya berkembang dengan filem-filem seperti Memoirs of a Geisha (2005), Sunshine (2007), The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor (2008), Reign of Assassins (2010), Kung Fu Panda 2 (2011), dan The Lady (2011), yang mana beliau melakonkan watak Aung San Suu Kyi.
Yeoh melakonkan watak pembantu dalam filem komedi Crazy Rich Asians (2018) dan Last Christmas (2019), dan filem Marvel Cinematic Universe Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021). Beliau juga berlakon dalam siri televisyen Star Trek: Discovery (2017–2020) dan The Witcher: Blood Origin (2022). Untuk peranannya sebagai ibu yang terharu mengemudi pelbagai alam dalam Everything Everywhere All at Once (2022),[3] beliau memenangi Anugerah Akademi untuk Pelakon Wanita Terbaik, menjadi rakyat Asia[lower-alpha 1] pertama yang memenangi anugerah, dan menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi Anugerah Akademi dalam sebarang kategori.[4][5][6][7][8][9]
Laman web agregat ulasan filem Rotten Tomatoes menyenaraikan beliau, antara heroin aksi terhebat sepanjang zaman pada tahun 2008.[10] Pada tahun 1997, beliau telah dipilih oleh majalah People sebagai salah seorang daripada "50 Orang Paling Tercantik di Dunia", dan pada tahun 2009 majalah yang sama menyenaraikan beliau sebagai salah seorang "35 Jelitawan Layar Lebar Sepanjang Zaman".[11] Pada tahun 2022, Time menamakan beliau sebagai salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh dunia di dalam senarai tahunannya dan Ikon Tahun Ini.[12][13]
Michelle Yeoh | |
---|---|
Tulisan Cina Tradisional | 楊紫瓊 |
Tulisan Cina Ringkas | 杨紫琼 |
Hanyu Pinyin | Yáng Zǐqióng [jɑ́ŋ tsɨ̀.tɕʰjʊ́ŋ] |
Jyutping | Joeng4 Zi2-king4 Templat:IPAc-yue |
Tâi-lô | Iônn Tsú-khîng [ĩũ tsu kʰiŋ] |
Yeoh dilahirkan pada 6 Ogos 1962 di Ipoh, Perak,[14] kepada Janet Yeoh dan Datuk Yeoh Kian-teik (1925–2014). Bapanya dipilih sebagai Senator Malaysia dari 1959 sehingga 1969 (mewakili Persatuan Cina Malaysia Perak),[15][16][17] pengerusi Persatuan Peguam Perak,[15] dan pengasas "Sri Maju" pada 1975, perkhidmatan koc antara bandar utama di Malaysia dan Singapura.[15][18] Meskipun berketurunan Hokkien dan Kantonis,[19] beliau dibesarkan dengan bertutur bahasa Inggeris kepada bapanya dan boleh memahami sedikit bahasa Kantonis Malaysia daripada nenek sebelah ibunya yang tinggal bersama mereka.[20] Beliau mempelajari bahasa Kantonis dengan fasih pada tahun 1980-an dan sedikit Mandarin pada tahun 2000-an. Sungguhpun begitu, beliau tidak pernah mempelajari, membaca atau menulis bahasa Cina, yang merupakan penyesalan terbesarnya.[21]
Yeoh meminati tarian sejak kecil, memulakan tarian balet pada usia empat tahun. Beliau belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Ipoh, sebuah sekolah menengah khusus untuk wanita, sebagai pelajar rendah. Pada usia 15 tahun, beliau berpindah bersama ibu bapanya ke United Kingdom, yang mana beliau mendaftar di The Hammond School, Chester dan mula berlatih sebagai penari balet.[22][23] Yeoh kemudiannya belajar di Royal Academy of Dance di London, dalam jurusan balet. Walau bagaimanapun, kecederaan tulang belakang menghalangnya daripada menjadi penari balet profesional, dan beliau mengalihkan perhatiannya kepada koreografi dan seni lain.[24] Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam seni kreatif dengan minor dalam drama pada tahun 1982.[25][26]
Pada tahun 1983, Yeoh yang ketika itu berusia 20 tahun, memenangi pertandingan Miss Malaysia World.[27] Beliau merupakan wakil Malaysia di Miss World 1983 yang diadakan di London, yang mana beliau menduduki tempat ke-18. Kemudian pada tahun itu, beliau terbang ke Australia yang mana beliau memenangi pertandingan Miss Moomba International 1984.[28] Tugas pertamanya dalam bidang lakonan ialah dalam iklan ja, tangan Guy Laroche bersama Jackie Chan.[28] Ini menarik perhatian syarikat penerbitan filem Hong Kong yang masih baru, D&B Films. Walaupun beliau mempunyai pemahaman pasif tentang Kantonis Ipoh yang dituturkan di kampung halamannya, beliau tidak dapat menuturkannya. Semasa panggilan telefon dalam bahasa Kantonis, beliau telah ditawarkan untuk membintangi iklan televisyen bersama Sing Long, dan hanya menyedari itu ialah nama Kantonis Jackie Chan apabila beliau tiba di studio.[29] Beliau belajar untuk bertutur bahasa Kantonis sebaik sahaja memulakan kerjayanya di Hong Kong.[25]
Yeoh memulakan kerjaya filem dalam genre aksi dan seni bela diri, yang mana beliau melakukan sendiri kebanyakan aksi ngerinya.[30] Telahpun ditawarkan membintangi filem, Yes, Madam (1985), beliau telah diberikan watak utama.[24] Beliau telah dikreditkan sebagai Michelle Khan dalam filem-filem terawalnya. Nama samarannya dipilih oleh D&B Films, yang berpendapat ia mungkin lebih boleh dipasarkan kepada khalayak antarabangsa dan barat. Yeoh berkahwin dengan Dickson Poon, yang menerajui D&B Group, pada tahun 1987 dan bersara daripada bidang lakonan.
Yeoh kembali aktif dalam bidang lakonan dengan membintangi filem Police Story 3: Super Cop (1992) selepas bercerai dengan Poon.[27] Beliau muncul dalam filem The Heroic Trio (1993), dan filem Yuen Woo-ping, Tai Chi Master dan Wing Chun masing-masing pada 1993 dan 1994.
Beliau menukar namanya semula kepada Michelle Yeoh apabila beliau memulakan kerjayanya di Hollywood menerusi filem Tomorrow Never Dies pada 1997.[27] Dalam filem James Bond 1997 itu, beliau memegang watak Wai Lin bersama Pierce Brosnan. Brosnan tertarik dengan lakonan Yeoh, menyifatkan beliau sebagai "pelakon hebat" yang amat "serius dan komited terhadap kerjanya".[31] Beliau merujuk kepadanya sebagai "James Bond wanita" merujuk kepada kebolehan tempurnya. Beliau mahu melakukan aksinya sendiri tetapi dihalang kerana pengarah Roger Spottiswoode menganggapnya terlalu berbahaya. Namun begitu, beliau mempersembahkan semuanya adegan pertarungannya sendiri.[32][33] Pada tahun 1997, beliau melakonkan watak Soong Ai-ling dalam filem The Soong Sisters yang memenangi anugerah. Yeoh telah didekati oleh pengarah Ang Lee untuk memegang watak Yu Shu Lien dalam filem seni bela diri berbahasa Mandarin pertamanya Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000). Beliau tidak bertutur bahasa Mandarin sehingga 2000-an, dan beliau terpaksa mempeljari sebaris ayat Mandarin dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon secara fonetik.[34] Filem ini memperoleh kejayaan antarabangsa, dan melayakkan Yeoh menerima pencalonan BAFTA 2000 bagi Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Utama.
Pada tahun 2002, Yeoh terbitkan filem berbahasa Inggeris pertamanya, The Touch, menerusi syarikat penerbitannya sendiri Mythical Films. Pada tahun 2005, Yeoh memegang watak sebagao Mameha dalam adaptasi filem Memoirs of a Geisha, dan diikuti oleh filem 2007, Sunshine. Pada tahun 2008, Yeoh berlakon dalam filem aksi fantsi The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor bersama Brendan Fraser dan Jet Li.[35] Pada tahun 2011, beliau memegang watak sebagai Aung San Suu Kyi dalam filem Luc Besson, The Lady.[36] Yeoh telah disenarai hitam oleh Kerajaan Burma kerana penglibatannya dalam The Lady; beliau juga tidak dibenarkan memasuki Myanmar pada 22 Jun 2011 dan dihantar pulang pada hari yang sama.[37]
Pada Oktober 2011, Yeoh telah dipilih oleh Guerlain sebagai duta penjagaan kulitnya.[38] Peranan Yeoh membantu mengukuhkan hubungan syarikat kosmetik Perancis bersama Asia.[39]
Yeoh tidak muncul dalam mana-mana siri televisyen sehingga 2015, dengan peranan pertamanya sebagai Mei Foster, isteri Duta Besar British ke Thailand, yang merupakan seorang pengintip rahsia Korea Utara yang bernama Li-Na,[40] dalam musim kelima siri Cinemax/Sky series Strike Back.[41]
Pada tahun 2016, Yeoh memegang watak sebagai Starfleet Kapten Philippa Georgiou dari USS Shenzhou dalam siri Star Trek: Discovery, dan berulang sebagai "cermin" doppelganger Georgiou kemudian dalam rancangan itu.[42][43] Yeoh terus melakonkan peranan selama tiga musim, mendapat pujian kritis dan menjadi kegemaran peminat. Berikutan kejayaan Star Trek: Discovery, siri terbitan turunan dengan Yeoh dalam peranan utama, telah ditugaskan pada 2019.[44] Siri ini, yang akan berkisarkan kepada watak Yeoh, Maharaja Georgiou yang bekerja sebagai ahli Section 31, sebuah pertubuhan pengintip antara galaksi rahsia, masih "dalam pembangunan" setakat pada Januari 2023,[45] namun pada April, Paramount+ mengumumkan ia telah menempah filem Section 31 yang dibintangi Yeoh, bukannya satu siri.[46]
Pada tahun 2018, Yeoh memegang watak Eleanor Young dalam filem arahan Jon M. Chu, Crazy Rich Asians, adaptasi filem dari buku Kevin Kwan bertajuk sama, bersama Constance Wu dan Henry Golding.[47] Carlos Aguilar dari TheWrap menyifatkan persembahannya sebagai "penuh meyakinkan".[48] Pada tahun 2019, she beliau memegang watak kedai Krismas "Santa" dalam filem Last Christmas, bersama Golding dan Emilia Clarke. Filem ini dikeluarkan pada 8 November 2019, dan merupakan kejayaan pecah panggung apabila memperoleh kutipan sebanyak $121 juta di seluruh dunia.[49]
Yeoh memegang watak Ying Nan dalam filem Marvel Studios' Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, arahan Destin Daniel Cretton.[50] Filem ini dikeluarkan pada 3 September 2021. Ia telah diumumkan di The Game Awards 2020 bahawa Yeoh akan membintangi Ark: The Animated Series, sebuah siri yang berdasarkan daripada permainan video Ark: Survival Evolved oleh Studio Wildcard, yang mana beliau memegang watak Meiyin Li, seorang pemimpin pemberontak Cina abad ke-3, yang dikenali sebagai Ratu Binatang.[51]
Pada tahun 2022, Yeoh berlakon dalam filem komedi cereka sains Everything Everywhere All at Once arahan pasangan pembikin filem Daniels, dikeluarkan pada Mac hingga kejayaan kritis.[52][53][54] Dalam filem itu, beliau memegang watak pemilik kedai dobi Evelyn Wang yang bergelut, peranan yang dipuji secara meluas oleh pengkritik, dengan David Ehrlich daripada IndieWire menulisnya sebagai "persembahan terbaik yang pernah diberikan oleh Michelle Yeoh".[55][56][24] Untuk peranan inilah Yeoh memperoleh kemenangan Golden Globe pertamanya (menjadi pelakon Malaysia pertama yang memenangi Persembahan Terbaik oleh Pelakon dalam Filem – Muzikal atau Komedi di Golden Globe[57]),[58][59] anugerah dan pencalonan Independent Spirit pertamanya, anugerah dan pencalonan Oscar pertamanya,[4][60] pencalonan BAFTA keduanya, dan pencalonan Anugerah Pilihan Pengkritik pertamanya. Selain itu, beliau menjadi wanita Asia pertama yang memenangi mana-mana kategori filem utama individu dalam Anugerah Screen Actors Guild, memenangi Anugerah Screen Actors Guild untuk Persembahan Cemerlang oleh Pelakon Wanita dalam Peranan Utama.[61][62][63] Beliau juga menjadi rakyat Malaysia pertamanya yang dicalonkan untuk dan memenangi Anugerah Akademi,[4] dan rakyat Asia[lower-alpha 1] pertama dan wanita kulit berwarna" kedua yang memenangi Anugerah Akademi untuk Pelakon Wanita Terbaik.[64][65]
Yeoh bakal muncul dalam siri Disney+ akan datang, American Born Chinese, berdasarkan daripada buku bertajuk sama oleh Gene Luen Yang.[66] Pada Jun 2022, ia telah diumumkan bahawa beliau bakal membintangi siri 8 bahagian, The Brothers Sun untuk Netflix.[67]
Beliau juga bakal membintangi A Haunting in Venice arahan Kenneth Branagh dan sebagai Madame Morrible dalam adaptasi filem dua bahagian bagi muzikal Wicked arahan Jon M. Chu.[68][69][70]
Yeoh beragama Buddha.[71][72][73] Beliau tidak mempunyai anak,[74] dan beranggapan ketidakmampuannya untuk memiliki anak sebagai sebab untuknya mengakhiri perkahwinan pertamanya.[75]
Yeoh berkahwin dengan usahawan Hong Kong Dickson Poon, pemilik empayar perniagaan seperti Harvey Nichols dan Charles Jourdan,[76] dari 1988 sehingga 1992.[24] Pada tahun 1998, Yeoh bertunang dengan Alan Heldman, seorang ahli kardiologi Amerika.[77] Pada tahun 2004, beliau mula menjalin hubungan dengan Jean Todt,[78] yang ketika itu merupakan pengurus besar dan CEO Scuderia Ferrari dan kemudian menjadi presiden FIA.[79] Setakat pada 2019, beliau tinggal di Geneva, Switzerland, bersama Todt.[80]
Pada Mac 2008, beliau berkunjung ke Vietnam untuk menjalani penggambaran filem dokumentari Yayasan Pencegahan Kecederaan Asia.[81] Yeoh ialah penaung projek Save China's Tigers yang komited untuk melindungi Harimau Cina Selatan terancam.[82] Aktivisme Yeoh menjangkau isu kesihatan dan kesejahteraan, daripada AIDS sehinggalah keselamatan jalan raya, melalui organisasi termasuk Live to Love dan American Foundation for AIDS Research (amfAR).[83][84][85] Baru-baru ini, usaha dermawan beliau telah melibatkan advokasi hidupan liar dan pemuliharaan alam sekitar sebagai Duta Muhibah untuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan WildAid.[86][87][88] Yeoh menyatakan sokongannya terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional semasa Pilihan raya umum Malaysia 2013.[89]
Pada tahun 2022, beliau memberitahu majalah Vanity Fair bahawa Shakespeare dan Stephen King ialah pengarang kegemarannya dan Tarzan merupakan wira cereka kegemaran beliau.[21]
Pada tahun 1999, beliau merupakan juri Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-49.[90] Pada 19 April 2001, Yeoh telah dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP), yang membawa gelaran Dato', oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di negeri kelahirannya, atas pengiktirafannya menjulang nama negeri Perak menerusi kemasyhurannya.[91] Pada 25 November 2002, Yeoh menerima The Outstanding Young People of the World (TOYP) (Pencapaian Kebudayaan) oleh JCI (Junior Chamber International).[92] Pada 23 April 2007, Presiden Perancis Jacques Chirac mengurniakan Yeoh gelaran Kesatria Légion d'honneur (Perancis: Chevalier de la Légion d'honneur ). Penganugerahan itu diberikan kepada beliau dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2007.[93][94] Beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Perintah Perancis yang sama (Officier de la Légion d'honneur ) oleh Presiden Perancis Nicolas Sarkozy pada 14 Mac 2012 dalam satu majlis yang diadakan di kediaman presiden, Élysée Palace pada hari tersebut,[95][96] dan dinaikkan pangkat kepada Komander (Commandeur ), penghargaan tertinggi tersedia kepada bukan rakyat Perancis, oleh François Hollande di kediaman rasmi Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur pada 2017.[97]
Pada 22 Mei 2012, Yeoh dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaram Dato' Seri dalam satu istiadat bersempena dengan hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.[98] Yeoh menerima anugerah Cemerlang dalam Pawagam Asia semasa Anugerah Filem Asia ke-7 pada Mac 2013 di Hong Kong.[99] Pada 1 June 2013, Yeoh dikurniakan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri dalam satu istiadat bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.[100][101] Pada 30 November 2013, Yeoh dipengerusikan sebagai Ketua Tetamu di Festival Filem Antarabangsa India.[102]
Pada 12 Februari 2016, Yeoh dijadikan sebagai Officier Ordre des Arts et des Lettres oleh Duta Besar Perancis ke Kuala Lumpur, menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima penghargaan tersebut.[103] Yeoh termasuk dalam senarai 100 Women BBC pada tahun 2020.[104] Beliau dimasukkan dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia oleh Time pada tahun 2022.[105] Pada 13 Ogos 2022, Yeoh menerima ijazah kehormat kedoktoran dalam bidang seni halus daripada Institut Filem Amerika atas sumbangannya yang cemerlang dalam seni wayang gambar. Beliau menjadi artis Asia pertama yang menerima penghargaan tersebut.[106] Pada 9 Disember 2022, Yeoh menerima Anugerah Kirk Douglas dari Festival Filem Antarabangsa Santa Barbara.[107]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.