Pengarah filem Malaysia (1963-2021) From Wikipedia, the free encyclopedia
Mohamad Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid (6 April 1963 – 24 Oktober 2021)[1] ialah seorang pengarah filem, penulis dan lakon layar Malaysia yang terkenal dengan filem-filem bercorak komedi. Beliau ialah adik kepada kartunis Datuk Lat.[2]
Mamat Khalid | |
---|---|
Kelahiran | Mohamad bin Mohd Khalid 6 April 1963 |
Meninggal dunia | 24 Oktober 2021 58) | (umur
Sebab kematian | Serangan jantung |
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh, Ipoh, Perak |
Pekerjaan | Pengarah filem, penulis, lakon layar, penyunting filem, pelakon |
Tahun aktif | 1996–2021 |
Karya terkenal | Lang BuanaRockMan LaksaZombi Kampung PisangKala Malam Bulan MengambangHantu Kak Limah Balik RumahRock Oo! |
Pasangan | Hasmah Hassan (k. 1987–2021) |
Anak-anak | 5 (termasuk Amen Khalid) |
Ibu bapa | Mohd Khalid Mohd Noh (bapa) Norazian Said (ibu) |
Saudara | Datuk Lat (abang) |
Dilahirkan di Ipoh, Perak kepada seorang kerani kerajaan dan isterinya seorang suri rumah, Mamat memulakan kerjaya awalnya di pejabat kerajaan sebelum menceburi bidang perfileman. Beliau pertama kali menduduki kerusi pengarah pada 2003 menerusi filem komedi sejarah Lang Buana. Seterusnya beliau mengarahkan filem kedua, filem pertamanya yang bergenre muzikal Rock (2005) dan dua filem kesinambungannya Rock Oo! (2013) dan Rock Bro! (2016). Antara karyanya yang terkenal termasuk Man Laksa (2006), Kala Malam Bulan Mengambang (2008) yang menggunakan konsep filem noir dan Apokalips X (2014) yang berkonsepkan manga dan buku komik grafik. Paling baru-baru ini, filem terbaru arahannya, Hantu Kak Limah 3 ditayangkan di pawagam pada Ogos 2018. Melangkaui kerjaya filemnya, Mamat merupakan pengasas dan pemilik kafe Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim, Perak dan dibuka pada 2016.[3][4]
Mamat dilahirkan pada 6 April 1963 di Ipoh, Perak, lima bulan sebelum Persekutuan Tanah Melayu dikenali sebagai Malaysia pada 16 September 1963 dan dibesarkan di Sungai Rokam, Ipoh. Ketika zaman kanak-kanaknya, Mamat pernah pergi ke pawagam setiap hari untuk mengikuti filem terkini. Malangnya, hobinya tidak disukai oleh bapanya, yang juga mengharamkannya daripada menonton panggung wayang walaupun pada saat kematiannya, pada tahun 1974. Namun, itu tidak menghalang minat Mamat untuk menceburi bidang perfileman.
Sebelum menceburi bidang perfileman, Mamat bekerja dalam jabatan kerajaan, kemudian beralih ke bidang penerbitan rancangan televisyen. Antara karya-karya Mamat yang terkenal termasuk Pinang Durian, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Abang We. Beliau pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem Pinang Durian.[5] Beliau juga pernah menjadi penterjemah skrip untuk siri animasi Kampung Boy karya abangnya, Lat. Mamat juga merupakan peminat tegar muzik rock dan pernah menyertai kumpulan rock Drop Out yang mana beliau merupakan pemain keyboard.[6]
Penglibatan sulung beliau dalam industri perfileman Malaysia adalah apabila beliau mula-mula mencadangkan sebuah siri televisyen yang mengisahkan legenda Puteri Gunung Ledang. "Pada mulanya, saya bercadang menjadikannya projek kecil-kecilan untuk stesen televisyen ntv7 dalam bentuk bersiri. Saya cuba memecahkan projek itu kepada 20 episod yang bukan saja dimuatkan dengan cerita hikayat Melayu lama PGL, malah sarat dengan hikayat lain seperti Badang Pahlawan Gagah dan sebagainya." Bagaimanapun, Enfiniti Productions yang menerima cadangan Mamat itu menukarkannya menjadi sebuah filem untuk tayangan pawagam, arahan Saw Teong Hin yang dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan M. Nasir.[7] Filem Puteri Gunung Ledang yang menelan belanja lebih RM 16 juta, iaitu filem Malaysia yang paling mahal dalam sejarah,[8] sungguhpun dilaporkan tiketnya cepat dijual habis, namun hanya mampu mengaut hasil RM 2.90 juta sejak keluar pada bulan Ogos 2004.[9] Namun demikian, filem ini turut menikmati tayangan khas di festival filem luar negara, iaitu di Venice[10] dan di Los Angeles.[11]
Pada tahun 2003 juga, Mamat menjadi pengarah filem buat kali pertama, iaitu filem komedi Lang Buana yang dibintangi oleh kumpulan Senario. Mengikut penerbit eksekutif Grand Brilliance ketika itu, Lazizah Ahmad, filem Lang Buana memakai 'formula yang serba berlainan' seperti yang dicadangkan oleh Mamat yang ingin cerita yang lebih mencabar.[5] Filem yang menelan belanja RM 1.76 juta ini mengaut kutipan sebanyak RM 1.79 juta daripada 27 buah pawagam.[12]
Minatnya terhadap muzik rock diakui mengilhamkan beliau untuk menulis dan mengarah filem Rock pada tahun 2005.[2] Mengikut satu ulasan, Mamat dikatakan ingin menyampaikan mesej mengenai dilema yang dihadapi ramai pemuzik berbakat pada zaman kegemilangan rock 1980-an: "Itu yang cuba Mamat ketengahkan menerusi watak Zack (lakonan Hasnul Rahmat). Anak muda yang berjaya meraih trofi gitaris terbaik ini terpaksa memilih antara memenuhi kemahuan keluarga, kawan dan teman wanita."[13] Filem inilah yang mengurniakan anugerah pertama Mamat daripada Festival Filem Malaysia, iaitu untuk Lakon Layar Terbaik.
Pada tahun 2006, Mamat membuat penampilan sebagai juri jemputan di Akademi Fantasia,[14] biarpun tidak dikenali memegang sebarang peranan dalam industri muzik selain menjadi pengarah muzik dalam filem. Pada tahun yang sama, beliau kembali menghasilkan filem drama melalui Man Laksa yang memberikan dua pencalonan Festival Filem Malaysia.[15] Di samping itu, beliau juga diberi kepercayaan menulis skrip untuk filem Tipah Tertipu The Movie arahan Ahmad Idham lakonan kumpulan Ruffedge dan Intan Ladyana.[16][17] Beliau mencuba genre komedi seram menerusi filem Zombi Kampung Pisang, filem buatan Malaysia pertama yang menampilkan puaka zombi (mayat hidup).[18]
Mamat turut mencabar diri dengan membikin sebuah filem hitam putih pada abad ke-21, iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (2008),[19][20] sebuah filem noir yang dibintangi Rosyam Nor dan Umie Aida. Biarpun dilaporkan kurang mendapat sambutan penonton walaupun dihujani ulasan positif,[21] namun filem ini berjaya merangkul lima anugerah di FFM, termasuk Filem Cereka Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik.[22] Mamat membuat kemunculan khas dalam filem My Spy arahan Afdlin Shauki.
Filem Estet arahan Mamat keluar pada tahun 2010, menceritakan kisah hubungan antara orang Melayu dan India di sebuah perkampungan getah, sebagai azamnya untuk memaparkan keeratan persaudaraan sesama kaum di Malaysia melalui filem.[23] Sungguhpun mendapat pujian pengulas filem, namun kutipannya di pawagam agak mengecewakan dengan hanya RM 350,000 daripada 47 buah pawagam.[24] Meskipun begitu, Mamat sekali lagi merasai kejayaan besar selaku sutradara apabila Hantu Kak Limah Balik Rumah menjadi filem tempatan kedua tertinggi kutipan kasarnya di negara dengan RM7.9 juta daripada 39 buah pawagam, mengekori filem Ngangkung sahaja.[24]
Mamat juga sedang mengusahakan filem animasi pertamanya, berjudul Kelip-Kelip yang dilaporkan menerima khidmat lakonan suara Datuk Siti Nurhaliza.[25] Filem kelapan arahan beliau, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, kesinambungan daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah ditayangkan di pawagam pada 7 Februari 2013, dengan mengekakan sebahagian besar pelakon asalnya termasuk Awie dan Delimawati serta penambahan beberapa pelakon baru termasuk Ezlynn dan Rashidi Ishak. Dengan kos pembikinan sebanyak RM1.65 juta, filem ini mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM5.89 juta.[26][27]
Pada 3 April 2014, filem Apokalips X yang menjadi filem cereka sains fantasi pertama arahan beliau memperlihatkan Mamat lari dari kebiasaan dari filem-filem terdahulunya sekaligus mencuba sesuatu yang berbeza dari filem Melayu Malaysia.[28] Filem ini menggunakan 70 peratus imej janaan komputer (CGI) dan menggambarkan keadaan Malaysia pada 2046.[29][30] Walau bagaimanapun, Apokalips X merupakan kegagalan komersial dan hanya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM 253,446.[31] Beliau kemudiannya mengarahkan filem komedi jenayah Amir dan Loqman Pergi ke Laut lakonan Shuib Sepahtu dan Shuk Sahar.[32]
Pada tahun 2015, Mamat melancarkan tiga filem arahan serentak, komedi seram Rumah Pusaka Di Simpang Jalan,[33] komedi gelap Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh.[34] dan komedi sejarah Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium[35] yang kedua-duanya menampilkan Usop Wilcha yang sebelum ini pernah bekerja dengan beliau menerusi beberapa filem terdahulu.
Filem arahan beliau, Lebuhraya Ke Neraka,[36][37] merupakan filem pertamanya yang bergenre kerohanian dan juga filem pertamanya yang tidak mengetengahkan genre komedi.[38] Ditayangkan pada 4 Mei 2017, ia berkisarkan sekumpulan remaja yang dibawa ke alam barzakh atau halusinasi dalam alam koma semasa berkonvoi merentas desa. Filem ini mengambil masa 6 tahun untuk disiapkan.[39][40]
Pada 8 Jun 2017, Mamat muncul dengan supertelefilem arahannya, 16 Puasa yang dibintangi oleh Sabri Yunus, Bell Ngasri, Aziz M. Osman dan Jue Aziz dan bersiaran di Astro First Eksklusif. Ia mengisahkan kisah sekumpulan kawan baik di sebuah kampung yang ponteng puasa dan menyembunyikan aktiviti mereka daripada pengetahuan isteri masing-masing. Mereka juga menetapkan jadual siapa yang akan membeli makanan di pekan dan kemudian makan di tempat-tempat terlindung. Telefilem ini juga diselitkan dengan adegan sinis dan memperlihatkan Mamat yang dikatakan menyidir orang yang suka ponteng berpuasa,[41] menurutnya, jalan cerita tersebut dicipta untuk memberi kesedaran kepada umat Islam yang mencari alasan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan.[42] Bagaimanapun, Mamat meluahkan perasaan kecewanya apabila 16 Puasa "bocor" di internet hingga dijual dalam bentuk DVD, tetapi beliau berbangga kerana telefilem itu mendapat sambutan daripada penonton.[43][44]
Pada 19 Oktober 2017, Mamat menjalani penggambaran filem Hantu Kak Limah, kesinambungan daripada dua siri filem Hantu Kak Limah. Filem ini masih mengekalkan barisan pelakon asal termasuk Awie dengan penambahan pelakon baru termasuk Zul Ariffin dan Uqasha Senrose. Mamat mengakui perubahan pada filem ini tidak akan disedari penonton kerana dikaburi jenaka.[45][46] Dalam temuramah bersama Astro Gempak pada November 2017, Mamat mengakui bersedih atas kehilangan tiga pelakon penting dalam siri filem Hantu Kak Limah—Zami Ismail, Azwan Annuar dan Man Kadir. "Tanpa kita sedar, tiga pelakon penting filem Hantu Kak Limah telah tiada namun filem ini tetap akan diteruskan dan saya harap ia akan menjadi filem yang paling lawak pernah saya hasilkan."[47] Ditayangkan pada 9 Ogos 2018, Hantu Kak Limah menerima ulasan positif dan bercampur-campur daripada pengkritik dan telah meraih kutipan tertinggi sebanyak RM27.5 juta dalam masa 15 hari di seluruh negara, sekaligus menjadikannya sebagai filem dengan kutipan terbanyak di Malaysia.[48][49]
Dua filem arahan Mamat ditayangkan pada 2020 semasa dunia berdepan dengan pandemik COVID-19. Yang pertama ialah Rock 4: Rockers Never Dai yang merupakan trilogi keempat dan terakhir dalam siri filem Rock. Filem ini dibintangi oleh Hazama Azmi, Sharwani NS, Bulan Terry dan Adam John serta penampilan khas daripada pelakon asal tiga filem Rock terdahulu seperti Khir Rahman dan Pekin Ibrahim.[50][51] Ini kemudian diikuti oleh filem Manap Karaoke yang dibintangi oleh Joey Daud, Pekin, Mona Allen dan Imuda.[52][53][54]
Beliau kemudian menulis skrip dan mengarahkan drama Kampong Pisang Bersiri-siri untuk Astro Originals yang disiarkan di Astro Citra dari 7 Disember 2020 sehingga 8 Mac 2021 sebanyak 12 episod. Drama ini disifatkan oleh Mamat sebagai satu cabaran baharu buat dirinya sebagai pengarah. Barisan pelakon terdiri daripada Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M. Osman, Avaa Vanja dan Nazeera Sardi.[55][56][57][58] Filem terbaharu arahannya, 18 Puasa Di Kampong Pisang ditayangkan pada 15 April 2021 di Astro First tanpa ditayangkan di pawagam. Ia berjaya meraih kutipan sebanyak RM5 juta dan menjadi filem terakhir arahan beliau.[59]
Hasil karya awal Mamat adalah komedi satira. Beliau dilaporkan menyelitkan kritikan sosial dalam setiap karyanya sekaligus mewujudkan banyak watak yang disifatkan mempunyai kaitan dengan senario politik negara termasuk soal rasuah atau ketidakadilan dalam menjalankan amanah masing-masing. Dalam temubualnya bersama Utusan Malaysia pada 2014, Mamat menyifatkan dirinya sebagai seorang pengarah yang suka menyelitkan satira kehidupan termasuk politik.[60] Beliau berkata: "Kalau ikutkan, kepala saya ini lebih politikus tapi saya seorang pengarah, bukan ahli politik. Jadi bukan bidang saya untuk cakap pasal hal politik,"[60]
Menurut Pekin Ibrahim, yang sebelum ini muncul dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah beliau mengandaikan Hantu Kak Limah mungkin merupakan yang terakhir: "Saya rasa cerita Hantu Kak Limah kali ini mungkin penutup kepada kisah hantu Kak Limah. Malah, saya menyifatkan filem berkenaan memberi nilai sentimental kepada pengarahnya, Mamat Khalid kerana ia dilakonkan oleh orang-orang yang dekat dengan dirinya. Masakan tidak, arwah Rab Khalid yang turut berlakon dalam filem berkenaan meninggal dunia pada Januari lalu sebelum filem berkenaan sempat ditayangkan,".[61]
Beliau berkahwin dengan Hasmah Hassan pada 12 April 1987 dan dikurniakan lima orang anak—Mohd. Khalid Zaffa (lahir 1987), Nor Sara (lahir 1990), Mohd. Khalid Adam (lahir 1994), Mohd. Khalid Amen (lahir 1995) dan Nur Hassanah (lahir 1999).[62]
Pada Jun 2014, Mamat kehilangan hampir RM100,000 apabila tiga lelaki memecah masuk ke rumahnya dan kemudian melarikan diri dengan kenderaan pacuan empat roda.[63]
Beliau hanya menyedari rumah dipecah masuk pada kira-kira jam 6:30 pagi apabila beliau bangun untuk menunaikan solat Subuh.[63] Hasil daripada rakaman CCTV, perompak mengumpil tetingkap untuk masuk ke rumah, kemudian melarikan diri dengan Mitsubishi Triton dan melarikan kamera antik, iPad, PlayStation dan RM500, menjadikan jumlah kerugian kira-kira RM100,000.[63] Ketika kejadian, Mamat berada di lokasi penggambaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.[63] Isteri beliau, Hasmah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Kampung Rapat pada kira-kira pukul 11 pagi.[63]
Mamat merupakan antara selebriti kelahiran Perak yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya umum ke-14, beliau mengundi di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Sungai Rokam dan merupakan kali keempat mengundi bagi kawasan Parlimen Gopeng dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di sini, beliau mengakui suasana pilihan raya 2018 memberi ilham kepadanya.[64][65]
Pada 21 April 2017, Mamat telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri, Selangor, selepas mengadu sukar untuk bernafas kira-kira jam 3 pagi selepas pulang minum bersama rakan-rakannya. Beliau dipercayai terlalu keletihan selepas menghadiri majlis tayangan perdana filem Lebuhraya Ke Neraka yang diadakan di pawagam di Bukit Bintang.[66] Mamat bagaimanapun berada dalam keadaan stabil,[67] namun tetap berada di bawah pemantauan doktor berikutan tekanan darahnya yang tinggi.[68][69]
Beliau meninggal dunia pada 24 Oktober 2021 pada usia 58 tahun akibat serangan jantung di Hospital Slim River pada jam 12:30 pagi. Beliau dilaporkan rebah di restoran Sarang Art Hub miliknya di Tanjung Malim. Beliau meninggalkan balu, Hasmah Hassan dan lima anak.[70] Jenazahnya telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh, Ipoh, Perak selepas solat zuhur.[71]
Mamat Khalid telah disifatkan sebagai seorang pengarah prolifik dan wira yang turut memperjuangkan agenda perpaduan melalui karya filem serta menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia. Kartunis terkemuka negara, Lat berkata Mamat merupakan pencinta seni tegar dan minat itu ditunjuknya sejak kecil. Beliau menyifatkan adiknya sebagai penghibur buat keluarga. Menurut beliau, kehilangan adik bongsunya itu yang dianggapnya lucu dan berkarisma amat dirasai.[72] Pelakon dan penerbit, Tiara Jacquelina, yang mengenali Mamat sejak penglibatan awalnya dalam bidang seni, menyifatkan beliau sebagai "P. Ramlee [pada] zaman moden". Menurut Tiara, Mamat bukan sahaja dilahirkan dengan bakat tetapi juga kecerdasan dan kebijaksanaan dalam menghasilkan sebuah karya seni yang mampu memberi impak kepada masyarakat.[73] Wartawan hiburan Harian Metro, Riadz Radzi pula berpendapat bahawa Mamat ialah seorang "legenda dalam kelasnya tersendiri" sambil berkata: "Apa yang pasti, pemergian Mamat sukar dicari ganti. Setakat ini, tidak ada pengarah atau penggiat filem yang memiliki aura seperti beliau [Mamat]".[74]
Pekin Ibrahim yang telah membintangi beberapa filem arahan Mamat termasuk Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rock Oo!, Apokalips X dan Rumah Pusaka Di Simpang Jalan mengakui amat terhutang budi atas segala nasihat, peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh Mamat sejak mula bertapak dalam bidang seni. Dalam temubual eksklusif bersama Berita Harian, beliau berkata: "Separuh masa saya dalam industri seni bersama arwah... Daripada watak kecil hingga peranan utama. Arwah macam bapa saya. Arwahlah yang mengangkat saya menjadi pelakon 'berisi' daripada tiada apa-apa. Hingga saya terjun ke kancah filem hasil bimbingannya. Banyak ilmu pelbagai cabang saya serap dan belajar daripada arwah. Terlalu banyak momen kami berdua yang menjadikan saya Pekin Ibrahim seperti sekarang. Arwah jugalah yang marah saya kalau berlakon drama. Ingat lagi ayat arwah, kalau hendak main filem, jangan buat drama... Fokus di layar perak".[75] Que Haidar yang pernah membintangi trilogi filem Rock teringat rakaman iklan mempromosikan Putrajaya pada 2002 yang menjadi projek pertama Mamat yang dibintanginya. Katanya: "Saya jayakan iklan itu bersama pelakon hebat lain termasuk Bront Palarae. Selepas itu arwah 'hadiahkan' saya karakter ikonik menerusi deretan filemnya seperti watak Amy Mat Piah dan Deris. Arwah yakin dan percaya bakat saya".[75] Awie yang pernah membintangi beberapa filem arahan Mamat, pula berkata, beliau kelihatan garang tetapi disifatkan sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik kepada semua pelakon dan krew serta seorang yang periang.[76] Pelakon veteran, Fauziah Nawi yang juga rakan sekampung Mamat di Kampung Sungai Rokam, Ipoh pula menyifatkan Mamat cukup berbangga menjadi anak jati Perak dan banyak memperkenal budaya serta cara hidup rakyat negeri itu, yang mana ia dapat dilihat daripada filem-filemnya yang memaparkan kehidupan masyarakat negeri Perak termasuk loghat serta lokasi penggambaran.[77]
Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan Mamat seperti abang kandungnya sendiri. Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, beliau juga rapat dengan keluarga Mamat kerana mereka sama-sama tinggal di Kampung Sungai Rokam, Ipoh. Ahmad Faizal berkata: "Saya membesar di Kampung Sungai Rokam bersama dengan Allahyarham... amat rapat dengan keluarga Allahyarham termasuk isterinya. Kehilangan ini bukan sahaja kehilangan yang besar buat negara dan bidang seni perfileman tetapi kepada saya secara peribadi kehilangan yang amat besar".[78] Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique berkata Mamat telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum di dalam karya besarnya dan berkata: "Beliau adalah seorang pengkarya dan ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini".[79]
Dari 24 sehingga 31 Oktober 2021, Astro menayangkan 19 karya-karya Mamat Khalid di saluran Astro On Demand bagi menghargai sumbangan beliau kepada industri hiburan tanah air. Antara filem dan drama bersiri yang dirangkumkan dalam rel Mamat Khalid Dalam Kenangan itu termasuk Hantu Kak Limah Hantu Kak Limah Balik Rumah, Episod 10 Journey To Stardom, Klik Rider dan Yang Dulu Bersama Mamat Khalid.[80]
Mamat mempunyai beberapa pelakon yang berlakon di dalam lebih daripada satu filem arahannya. Dewa Sapri ialah pelakon yang kerap bekerjasama dengan beliau, muncul dalam 11 filem.
Tahun | Tajuk | Dikreditkan sebagai | Watak | Catatan | ||
---|---|---|---|---|---|---|
Penulis | Pengarah | Pelakon | ||||
2003 | Lang Buana | — | Filem arahan pertama | |||
2004 | Puteri Gunung Ledang | — | ||||
2005 | Rock | — | ||||
2006 | Man Laksa | — | ||||
Tipah Tertipu The Movie | Pengarah Filem Seram | Filem lakonan pertama beliau, penampilan khas | ||||
2007 | Zombi Kampung Pisang | MK | Pelakon undangan | |||
2008 | Kala Malam Bulan Mengambang | — | ||||
Dunia Baru The Movie | Tauke Stesen Minyak | Pelakon undangan | ||||
Cicakman 2 - Planet Hitam | Lelaki Melayu | |||||
2009 | My Spy | |||||
2010 | Estet | — | Juga sebagai penerbit, cerita asal dan penataan seni | |||
Hantu Kak Limah Balik Rumah | — | |||||
2013 | Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit | — | ||||
Rock Oo! | — | |||||
Bro, Nampak Motor Gua? | Tan Sri Bakhtiar Kartubi | |||||
2014 | Apokalips X | — | ||||
Zombie Kilang Biskut | Kulop | |||||
Amir dan Loqman Pergi ke Laut | — | |||||
Rumah Pusaka Di Simpang Jalan | — | |||||
Terbaik dari Langit | Pemandu Lori | Penampilan khas | ||||
2015 | Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh | — | ||||
Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium | — | |||||
2016 | Rock Bro! | — | Juga sebagai penerbit | |||
Pak Man Degil | — | Filem pendek | ||||
2017 | Lebuhraya Ke Neraka | — | ||||
2018 | Hantu Kak Limah | — | ||||
2020 | Rock 4: Rockers Never Dai | — | Sebagai penerbit | |||
Manap Karaoke | — | |||||
2021 | 18 Puasa di Kampong Pisang | — | Juga sebagai penerbit eksekutif | |||
Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa | — | |||||
Mat Bond Malaya | Dirinya sendiri | Penampilan khas | ||||
Kampong Pisang Kita Setandan | — | Filem pendek | ||||
Budak Kripto | Dirinya sendiri | Filem lakonan terakhir beliau | ||||
2022 | Kampong Pisang Berbuah Dua Kali | — | Sebagai penerbit dan cerita asal | |||
Rajawali | — | Filem arahan terakhir, beliau mengarahkannya bersama S. Amin Shahab | ||||
Tahun | Tajuk | Dikreditkan sebagai | Watak | Saluran TV | Catatan | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Penulis | Pengarah | Pelakon | |||||
1996 | Namaku Yassin | — | TV3 | Telefilem arahan pertama | |||
1997 | Mengejar Bintang | — | |||||
1998 | Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel | — | ntv7 | ||||
1999 | Pukul 2 Petang | — | |||||
Arbaie Bujang Kembali | — | TV3 | |||||
2000 | Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys | — | ntv7 | ||||
2001 | Pinang Durian | — | |||||
2004 | 15 Puasa | — | |||||
2007 | Aku Bukan Buaya | — | |||||
2014 | Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya | — | Astro First Eksklusif | ||||
2015 | Idris MLM | — | Astro Warna | ||||
2017 | 16 Puasa | — | Astro First Eksklusif | ||||
Semerah Darah | — | Astro Citra | |||||
2019 | 17 Puasa | — | Astro First Eksklusif | Telefilem arahan terakhir | |||
Tahun | Tajuk | Dikreditkan sebagai | Watak | Saluran TV | Catatan | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Penulis | Pengarah | Pelakon | |||||
1997–2000 | Kampung Boy | — | Astro Ria | Penterjemah skrip | |||
1999–2005 | Spanar Jaya | — | ntv7 | Konsep | |||
2002 | Hari Raya Abdullah Rauf | — | Drama arahan pertama | ||||
2011 | Cer Citer | — | Astro Warna | ||||
2020–2021 | Kampong Pisang Bersiri-siri | — | Astro Citra | Juga sebagai penerbit eksekutif | |||
2021 | Klik Rider | — | Astro Warna | Drama arahan terakhir beliau, juga sebagai penerbit eksekutif | |||
Tahun | Tajuk | Dikreditkan sebagai | Untuk | Catatan | |
---|---|---|---|---|---|
Pengarah | Penulis | ||||
2021 | Bank Rakyat Raya 2021: Raya Tetap Raya!! | Bank Rakyat | |||
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2022 | Warong Pak Jabit | Dirinya sendiri | Astro Ria | Penampilan terakhir beliau, sebagai penerbit eksekutif |
Tahun | Anugerah | Kategori | Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2001 | Anugerah Skrin 2001 | Pengarah Terbaik | Pinang Durian | Menang |
2005 | Festival Filem Malaysia ke-18 | Lakonlayar Terbaik (bersama Saw Teong Hin) | Puteri Gunung Ledang | Menang |
2006 | Festival Filem Malaysia ke-19 | Lakonlayar Terbaik | Man Laksa | Tercalon |
Cerita Asal Terbaik | Tercalon | |||
2007 | Festival Filem Malaysia ke-20 | Anugerah Khas Juri | Zombi Kampung Pisang | Menang |
2008 | Festival Filem Malaysia ke-21 | Pengarah Terbaik | Kala Malam Bulan Mengambang | Menang |
Lakonlayar Terbaik | Tercalon | |||
Cerita Asal Terbaik | Tercalon | |||
2010 | Festival Filem Malaysia ke-23 | Anugerah Khas Juri | Estet | Menang |
Pengarah Terbaik | Tercalon | |||
Lakonlayar Terbaik | Tercalon | |||
Cerita Asal Terbaik | Tercalon | |||
Penataan Seni Terbaik | Tercalon | |||
2011 | Festival Filem Malaysia ke-24 | Pengarah Terbaik | Hantu Kak Limah Balik Rumah | Tercalon |
Cerita Asal Terbaik | Tercalon | |||
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.