From Wikipedia, the free encyclopedia
Pada permulaan sejarah tercatat, Tunisia dihuni oleh puak Barbar. Pantainya kemudian dihuni oleh orang-orang Phoenicia bermula seawal abad ke-10 SM lagi. Pada abad ke-8 SM, kota Carthage diasaskan oleh peneroka-peneroka dari Tyrus (Lubnan kini). Legenda mengatakan bahawa Ratu Dido mengasaskan kota ini, sebagaimana diceritakan dalam Aeneid, mahakarya Rom. Peneroka-peneroka Carthage membawa kebudayaan dan agama mereka daripada kaum-kaum Phoenicia dan Kanaan.
Selepas suatu siri peperangan dengan Yunani pada abad ke-6 SM, Carthage bangkit untuk berkuasa dan akhirnya menjadi peradaban yang utama di Mediterranean. Masyarakat Carthage menyembah dewa-dewa Timur Tengah yang termasuk Baal dan Tanit. Lambang Tanit, bentuk wanita yang muda dengan pakaian panjang serta tangan yang dihulurkan, merupakan ikon yang popular yang banyak terdapat di tapak-tapak kuno. Para pengasas Carthage juga mengasaskan kota Tophet yang diubah pada zaman Rom. Walaupun Rom merujuk kepada empayar baru yang bertumbuh di kota Carthage sebagai Punik atau Phoenicia, empayar tersebut merupakan sebuah entiti politik merdeka yang berbeza daripada petempatan-petempatan Phoenicia yang lain di Mediterranean Barat.
Suatu serangan Carthage ke atas Itali oleh Hannibal semasa Perang Punik Kedua, sebuah siri peperangan dengan Rom, hampir melumpuhkan kebangkitan Empayar Rom. Carthage akhirnya ditaklukkan oleh Rom pada abad ke-2 SM, suatu titik peralihan yang menyebabkan peradaban Mediterranean kuno dipengaruhi khususnya oleh orang-orang Eropah berbanding dengan kebudayaan-kebudayaan Afrika. Selepas penaklukan Rom, kawasan itu menjadi salah satu jelapang Rom. Ia ditaklukkan oleh puak Vandal pada abad ke-5 dan ditaklukkan semula oleh komander Belisarius pada abad ke-6 semasa pemerintahan Justinian, maharaja Empayar Rom Timur.
Pada abad ke-7, kawasan ini ditaklukkan pula oleh kaum Muslim Arab yang mengasaskan kota Kairouan. Dinasti-dinasti Muslim yang berturut-turut memerintah, digendalakan sekali-sekala oleh pemberontakan-pemberontakan Barbar. Pemerintahan Dinasti Aghlabid (abad ke-9) dan Dinasti Zirid (sejak 972), pengikut-pengikut Kerajaan Fatimiyyah Barbar, amat makmur. Apabila Zirid menyebabkan Fatimid di Kaherah (1050) marah, Fatimid menghantar puak Banu Hilal untuk menjarah Tunisia.
Pada abad ke-12, pantai-pantai Tunisia ditakluk oleh kaum Norman dari Sicily buat tempoh yang singkat. Tunisia kemudian ditakluk oleh para khalifah Al-Muwahhidun pada tahun 1159. Mereka digantikan oleh kaum Hafsid Barbar (k.k. 1230–1574) dan di bawah kaum ini, Tunisia berkembang maju. Pantai tersebut menjadi sebuah kubu lanon (sila lihat Negara-negara Barbary) pada akhir abad ke-16. Pada tahun-tahun terakhir Dinasti Hafsid, Sepanyol merampas banyak daripada kota-kota pantai, tetapi kota-kota tersebut kemudian didapat balik oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Di bawah para Bey, gabenor-gabenor Turki, Tunisia mencapai kemerdekaan sebenarnya. Dinasti Hussein para Bey yang diasaskan pada tahun 1705 wujud sehingga tahun 1957.
Pada pertengahan dekad 1800-an, kerajaan Tunisia di bawah pemerintahan Bey menjejaskan kewajarannya dengan membuat beberapa keputusan kewangan yang penuh dengan perbalahan dan yang akhirnya mengakibatkan kejatuhannya. Perancis mula merancang untuk menguasai Tunisia apabila Bey meminjam banyak wang dalam percubaannya untuk membaratkan Tunisia. Negara yang gagal ini memudahkan serangan-serangan Algeria yang berlaku tidak lama kemudian. Bey yang lemah tidak berupaya untuk mengatasi serangan-serangan tersebut ataupun menentang penjajahan Eropah.
Pada tahun 1878, suatu urus janji rahsia antara United Kingdom dan Perancis memutuskan takdir negara Afrika ini. Asalkan Perancis mengakui penguasaan British terhadap Cyprus yang baru-baru itu diberikan kepadanya, pihak British akan membalas dengan mengakui penguasaan Perancis terhadap Tunisia. Ini meyakinkan pihak Perancis dan menyebabkan penguasaannya ke atas Tunisia pada tahun 1880. Tunisia secara rasmi dijadikan sebuah negeri naungan Perancis pada 12 Mei 1881.
Pada tahun 1942–1943, Tunisia merupakan tempat untuk operasi-operasi utama yang pertama antara Amerika Syarikat dan sekutu Britishnya semasa Perang Dunia II. Bahagian utama tentera British di bawah kuasa pemerintahan Marsyal Tentera Darat Montgomery yang mara daripada kemenangan mereka dalam Pertempuran el-Alamein masuk ke Tunisia dari selatan, manakala Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang lain menyerang dari barat selepas serangan-serangan mereka ke atas Algeria dan Maghribi dalam Operasi Obor.
Jeneral Rommel, komander angkatan tentera Kuasa Paksi di Afrika Utara, mengharap-harapkan kejayaan ke atas tentera Pihak Berikat di Tunisia yang serupa dengan kejayaan angkatan tentera Jerman dalam Pertempuran Perancis pada tahun 1940. Sebelum pertempuran untuk menaklukkan Tunisia, angkatan-angkatan tentera Pihak Berikat umumnya tidak dapat bertahan daripada blitzkrieg Jerman ataupun menyeleraskan operasi-operasi mereka dengan baik. Oleh itu, pertempuran untuk Tunisia merupakan sebuah ujian utama bagi Pihak Berikat. Mereka membelajari bahawa supaya dapat menewaskan Jerman, mereka harus menyelaraskan tindakan-tindakan mereka dan mengatasi dengan cepat sebarang halangan yang dikenakan pada mereka oleh angkatan tentera Jerman yang berpengalaman.
Pada 19 Februari 1943, Jeneral Rommel melancarkan sebuah serangan ke atas angkatan tentera Amerika Syarikat di kawasan Genting Kasserine yang terletak di Tunisia Barat, dengan harapan untuk mencapai suatu kekalahan yang dapat mematahkan semangat dan memecahkan Pihak Berikat yang serupa dengan apa yang dikenakan oleh Jerman pada Poland dan Perancis. Keputusan-keputusan awal merupakan suatu bencana kepada Amerika Syarikat, dengan kawasan di sekitar Genting Kasserine merupakan suatu tapak untuk banyak kubur perang Amerika Syarikat dari masa ini.
Bagaimanapun, angkatan tentera Amerika akhirnya dapat menterbalikkan pengunduran mereka. Selepas membelajari pengajaran yang genting dalam perang kereta kebal, tentera Pihak Berikat mematahkan barisan Mareth Jerman pada 20 Mac 1943. Angkatan-angkatan tentera Pihak Berikat akhirnya bergabung pada 8 April 1943 dan dengan itu, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis Bebas, dan Poland (serta angkatan-angkatan tentera yang lain) dapat memenangi sebuah pertempuran utama sebagai suatu angkatan tentera bersekutu.
Perang ini, walaupun sering dibayangi oleh perang Stalingrad, mewakili sebuah kejayaan Pihak Berikat yang utama dalam Perang Dunia II kerana ia mengikat Pihak Berikat yang kemudian membebaskan Eropah Barat.
Sebelum zaman penjajahan,Tunisia diperintah oleh satu rentetan Bey sehingga tahun 1881. Sehingga saat itu, para Bey meminjam wang untuk membiayai pemodenan Tunisia. Wang itu dipinjam daripada Eropah dan apabila penduduk-penduduk berasa geram terhadap kenaikan-kenaikan cukai untuk membiayai pembayaran pinjaman, negara itu mendapati diri muflis. Adalah ketika itu bahawa kuasa-kuasa besar Perancis, Britain dan Itali meletakkan kewangan Tunisia di bawah kuasa pentadbiran melalui perjanjian antarabangsa.
Pada mula-mulanya, Itali merupakan negara yang menunjukkan paling banyak minat untuk menjajahkan Tunisia, dengan pelaburan, warganegara, dan dekatnya lokasi itu sebagai dorongan. Bagaimanapun, ini ditolak apabila Britain dan Perancis bekerjasama untuk menghalangnya antara tahun-tahun 1871–1878 yang berakhir dengan Britain menyokong pengaruh Perancis di Tunisia sebagai balasan untuk Perancis mengiktiraf penguasaan British ke atas Cyprus. Perancis masih menghadapi persoalan pengaruh Itali dan oleh itu, memutuskan untuk mencari-cari suatu alasan untuk melancarkan serangan terlebih dahulu. Dengan dalih serangan mendadak Tunisia ke atas Algeria, Perancis memarakan angkatan tenteranya yang terdiri daripada kira-kira 36,000 orang masuk ke Tunisia dan memaksa Bey untuk memeterai Perjanjian Bardo (Al Qasr as Sa'id) pada tahun 1881. Perjanjian itu memberikan Perancis penguasaan terhadap Tunisia dan menyebabkannya menjadi sebuah negeri naungan de-facto.
Tunisia mendapat banyak faedah daripada pemerintahan Perancis. Walaupun begitu, keinginan untuk pemerintahan sendiri masih wujud dan pada tahun 1910, Ali Bach Hamba dan Bechir Sfar menubuhkan sebuah kumpulan pemuda Tunisia yang kemudian menyebabkan penubuhan parti “Destour” (perlembagaan) pada tahun 1920. Untuk mengawal gerakan yang baru ini, pihak Perancis mempergunakan gabungan taktik ganjaran dan hukuman yang walaupun berkesan, tidak berupaya untuk menghentikan desakan untuk kemerdekaan. Pada tahun 1934, unsur-unsur parti Destour yang lebih muda dan lebih membara, muncul dengan Habib Bourguiba, Dr. Mahmoud Materi, Tahar Sfar, dan Bahri Guiga sebagai pemimpin-pemimpinnya. Dipanggil Neo-Destour, parti yang baru itu diharamkan dengan segera oleh pentadbiran Perancis.
Habib Bourguiba menghabiskan banyak masa di dalam penjara-penjara Perancis. Bagaimanapun, ini tidak dapat menyekat pengaruhnya ataupun menghentikan desakan untuk perubahan. Perang Dunia II memanfaatkan Bourguiba ketika beliau dipindah dari penjara-penjara Vichy Perancis ke Rom, dan kemudian ke Tunisia apabila Kuasa Paksi menempah pengaruhnya di Tunisia. Bourguiba tidak pernah melayani permintaan-permintaan tersebut. Dua bulan kemudian, Pihak Berikat menawan Tunisia.
Pada tempoh sepuluh tahun yang berikut, perjuangan untuk kemerdekaan semakin bertambah kuat. Antara tahun-tahun 1952–1954, Bourguiba sekali lagi dipenjarakan, dan mengakibatkan serangan-serangan oleh para penyokongnya. Keadaan berubah dengan tiba-tiba pada tahun 1954, apabila Pierre Mendes-France menjadi ketua kerajaan Perancis dan mengejarkan dasar untuk menarik diri daripada tanah-tanah jajahan Perancis, dengan Tunisia termasuk dalam kategori ini. Ini menyebabkan perjanjian April 1955 yang memberikan autonomi dalaman kepada Tunisia, manakala hubungan antarabangsanya diurus oleh Perancis, suatu keadaan yang serupa dengan kaedah pemerintahan Bey Turki sebelum tahun 1881.
Parti Neo-Detour kini memiliki penguasaan, tetapi Bourguiba enggan mengetuainya sehingga pihak Perancis melepaskan segala kuasanya terhadap Tunisia. Beliau tidak perlu menunggu lama, apabila Perang Kemerdekaan Algeria yang dahsyat mengubah minat Perancis terhadap penjajahan dan menyebabkan pemansuhan Perjanjian Bardo. Tunisia mencapai kemerdekaan penuh pada 20 Mac 1956. Bourguiba menjadi Perdana Menteri dan selepas tahun 1957, beliau menjadi presiden pertama Republik Tunisia ketika peranan perlembagaan Bey dibubarkan.
Pada September 2021, Kaïs Saïed mengumumkan reformasi Konstitusi 2014 yang akan datang.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.