From Wikipedia, the free encyclopedia
Opera Agung adalah satu genre opera abad ke-19 yang umumnya mempunyai empat atau lima babak. Ia merujuk kepada pementasan berskala besar dari segi para pelakon dan simfoni orkestra yang berlatarbelakangkan rekabentuk pementasan mewah dan canggih. Jalan cerita Opera Agung kebiasaannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berunsur sejarah dan juga yang penuh unsur dramatik. [1].
Istilah ini terutamanya digunakan untuk merujuk kepada Opéra Paris dari lewat tahun 1820an sehingga sekitar tahun 1850, (dan kadangkala digunakan sebagai nama lain untuk Opéra Paris) tetapi digunakan juga untuk opera-opera berskala besar dari Perancis, Jerman, Itali dan lain-lain negara Eropah.
Pada abad ke-19, Paris telah menarik perhatian ramai penggubah-penggubah dari dalam Perancis sendiri mahupun luar negara, terutamanya penggubah-penggubah opera. Terdapat ramai penggubah-penggubah Itali termasuk Luigi Cherubini yang mendemonstrasikan bahawa penggunaan resitatif adalah sesuatu yang sesuai untuk drama-drama yang berkuasa dramatik. Penggubah Gaspare Spontini pula menulis banyak hasil karya berdasarkan kecemerlangan dan kemahsyuran Napoleon. Opera-opera berskala sebegini digubah khas untuk tontonan keluarga Diraja dan juga golongan bangsawan.
Opera-opera gubahan Gaspare Spontini, Luigi Cherubini dan Gioacchino Rossini dianggap sebagai penanda untuk Opera Agung Perancis. Ini termasuklah La vestale (1807) dan Fernand Cortez (1809, disemak pada 1817) oleh Spontini, Les Abencérages (1813) oleh Cherubini, dan Le siège de Corinthe (1827) dan Moise (1828) oleh Rossini.
Satu ciri yang amat ketara dalam Opera Agung sepertimana yang diperkenalkan di Paris pada 1830an ialah tarian balet yang anggun dan serba mewah pada awal babak ke-2. Bahagian ini amat diperlukan bukan untuk sebab-sebab pertimbangan seni dari sudut estetik, namun penting untuk memuaskan hati para penonton opera yang kaya dan terdiri dari golongan bangsawan. Para penonton opera pada ketika itu lebih meminati para penari balet daripada opera itu sendiri. Tarian balet telah menjadi elemen yang penting dalam prestij sosial opéra.
Para penggubah yang tidak mematuhi tradisi ini kebiasaannya akan menghadapi masalah , sepertimana yang berlaku kepada Richard Wagner dengan percubaannya untuk mementaskan versi semakan Tannhäuser sebagai Opera Agung di Paris pada tahun 1861. Opera beliau ini terpaksa dihentikan hanya selepas 3 pertunjukan kerana beliau meletakkan tarian balet pada babak yang pertama, bukan babak ke-2.
Zaman kegemilangan |
---|
Opera Agung, 1828-1850 |
La muette de Portici, Auber, (1828) |
Opera yang pertama diletakkan di dalam kategori Opera Agung berdasarkan dari persetujuan ramai adalah La muette de Portici (1828) oleh penggubah Daniel Francois Auber. Ini diikuti oleh opera gubahan Rossini yang terakhir yang berjudul Guillaume Tell pada tahun 1829.
Selepas tamat Revolusi Perancis pada tahun 1830 (juga dikenali sebagai "Revolusi Julai"), satu rejim baru dibentuk untuk menswastakan kontrak opéra yang dahulunya dikawal oleh kerajaan negeri. Kontrak ini dimenangi oleh seorang usahawan, Louis-Désiré Véron, yang mengaku tidak tahu menahu tentang muzik sama sekali. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berjaya di dalam usaha beliau untuk memenuhi cita rasa orang ramai dengan melabur secara banyaknya kepada Opera Agung. Opera pertama yang dikeluarkan adalah hasil karya penggubah Meyerbeer yang mana tayangan perdana opera tersebut pada awalnya telah ditangguhkan oleh revolusi Perancis.
Ini merupakan tuah kepada Veron dan Meyerbeer, sepertimana yang diulas oleh penggubah Hector Berlioz yang berkata "Meyerbeer bukan sahaja mempunyai nasib menjadi berbakat, namun berbakat untuk bernasib baik".[2]. Opera beliau yang berjudul Robert le diable yang mempunyai sentimen-sentimen liberal Perancis untuk 1830an mendapat sambutan yang baik dari orang ramai.
Veron juga membawa opera gubahan Auber berjudul Gustave III (1833, libreto oleh Scribe, kemudiannya diadaptasi aikan oleh Verdi berjudul Un ballo in maschera) dan hasil karja Fromental Halévy berjudul La juive (1835, libreto juga ditulis oleh Scribe), dan juga opera terbaru Meyerbeer yang berjudul Les Huguenots (1836, libreto oleh Scribe dan Deschamps). Ini merupakan kejayaan yang terbukti paling lama bertahan dalam keseluruhan era Opera Agung sepanjang abad ke-19.
Setelah mendapat kejayaan dan keuntungan besar dalam kontrak Opéra, Veron dengan bijaknya memberikan konsesi kepada Duponchel, yang juga meneruskan formula kejayaan beliau. Di antara tahun 1838 dan tahun 1850, Opéra Paris telah mementaskan banyak Opera-opera Agung , antara yang terkenal adalah karya Halévy berjudul La reine de Chypre (1841) dan Charles VI (1843), karya Donizetti berjudul La favorite (1840) dan Dom Sébastien (1843, libreto oleh Scribe), dan karya Meyerbeer yang berjudul Le prophète (1849, libreto oleh Scribe). Pada tahun 1847, Giuseppe Verdi membuat tayangan perdana beliau untuk opera di Paris yang berjudul Jérusalem, sebuah adaptasi dari hasil karya lama beliau yang berjudul I Lombardi alla prima crociata.
Opera Agung Perancis secara umumnya diterima baik di Itali yang mana kebiasaannya dipersembahkan di dalam terjemahan bahasa Itali.
Opera Itali yang berserta balet mula menjadi satu kelaziman dalam lewat tahun 1860an dan 1870an. Antara opera-opera awal yang menyertakan babak balet termasuklah Il Guarany oleh Antônio Carlos Gomes yang dilabelkan sebagai "opera ballo" (bermaksud 'opera tarian'). Opera La Gioconda oleh Amilcare Ponchielli kelihatan juga menggunakan kaedah yang serupa. Ini adalah antara dua contoh evolusi Opera Agung di Itali.
Opera Verdi yang berjudul Aida mempunyai banyak persamaan dengan formula Opera Agung Perancis walaupun ia hanyalah opera empat babak. Opera tersebut mempunyai latar belakang yang bersejarah dengan 'pertembungan tamadun' dan mengandungi beberapa babak balet berserta dengan muzik “tentera berkawat” (grand march) yang terkenal sehingga kehari ini. Opera ini mendapat kejayaan yang besar di kedua-dua tayangan perdananya di Kaherah dan Milan.
Kejayaan beliau mendorong ramai penggubah-penggubah lain untuk cuba mengikut langkahnya. Antaranya termasuklah penggubah Antônio Carlos Gomes (Fosca (1873) dan Salvator Rosa (1874)), penggubah Marchetti (Gustavo Wasa (1875), dan Ponchielli: (I Lituani (1874) and La Gioconda (Milan, 1876, ubahsuai 1880).
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.