From Wikipedia, the free encyclopedia
Lumba-lumba (Jawi: لومبا٢), lelumba (Jawi: للومبا) atau dolfin (Jawi: دولفين) ialah sejenis mamalia laut dalam order setasea yang berkait rapat dengan ikan paus; ia tergolong dalam keluarga Delphinidae[1] yang merupakan keluarga Cetacea terbesar dan agak baru muncul sejak kira-kira sepuluh juta tahun semasa Zaman Miosen. Terdapat hampir tiga puluh tujuh spesies dalam tujuh belas genus di bawah keluarga tersebut.[2]
Lumba-lumba Dolfin Julat zaman: Awal Miosen - Kini | |
---|---|
Seekor lelumba hidung botol berenang memecah ombak laut | |
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
Filum: | |
Kelas: | |
Order: | |
Suborder: | Odontoceti |
Keluarga: | Delphinidae dan Platanistoidea Gray, 1821 |
Genus | |
Lihat teks. |
Haiwan ini boleh dijumpai di seluruh dunia; ia sering didapati terutamanya di kawasan lebih cetek laut seperti di pentas benua, namun terdapat juga spesies yang tinggal di sungai. Dolfin dianggap sebagai antara haiwan paling cerdik; ia menunjukkan kebolehan mengajar, belajar, bekerjasama, merancang, dan bersedih.[3]
Istilah "dolfin" meminjam daripada kata bahasa Inggeris dolphin. Perkataan ini datang daripada bahasa Perancis Kuno daulphin daripada bahasa Latin Zaman Pertengahan dolfinus daripada bahasa Latin delphinus[4] (perumian perkataan Yunani kemudian δελφῖνος delphinos[5]). Perkataan bahasa Latin itu datang daripada Bahasa Yunani Kuno δελφίς delphís "lumba-lumba"[5] yang berkaitan dengan perkataan bahasa Yunani δελφύς delphus "rahim".[5] Oleh itu, nama haiwan ini boleh diterjemahkan bermaksud "ikan yang ada rahim".[6]
Nama genus lumba-lumba Delphinidae juga datang daripada perkataan bahasa Yunani Kuno tersebut.[5]
Badan ikan lumba-lumba ini berupa lonjong seakan torpedo dengan leher tegar, kepala membonjol, sirip rata dan berekor panjang. Muncung ia panjang dengan mata diletakkan pada sisi kepala.
Haiwan ini berkongsi sifat dengan haiwan daratan melalui aspek tertentu: ia mempunyai suatu lubang pernafasan yang menghembus keluar air terguna sambil menghirup masuk udara segera,[7] dan ia mempunyai perut yang dibahagikan kepada dua ruang khusus seperti yang ada pada mamalia daratan.
Badan ini mengandungi lemak mirip yang ada pada ikan paus yang digunakan sebagai penebat haba dan simpanan tenaga.
Dolfin merupakan haiwan karnivor, biasanya memakan ikan dan sotong. Ikan-ikan dimangsakan sering diperangkap di mana seekor dua lelumba mengelilingi sekawan ikan yang diserang mengejut[8] atau ikan-ikan mangsa dikejar ke kawasan lebih cetek.[8] Malah, ada juga lelumba yang menggunakan pipih ekor (atau "fluk") seakan senjata sama ada mempegunkan atau melambung ikan ke udara.[8]
Lumba-lumba menghasilkan bunyi detikan untuk tujuan mengesan persekitaran yang dipantulkan semasa menyeberang. Ia juga boleh bersiul sebagai suatu bentuk komunikasi melalui penggetaran tisu sepertimana dilakukan manusia.[9]
Ikan lelumba melahirkan seekor anak, anak ini biasanya keluar ekor dahulu.[10] Anak lelumba cepat mematang naluri seks pada usia muda bahkan sebelum mencapai tahap dewasanya;[11] usia capaian ini berbeza mengikut spesies dan jantina.[12]
Rupanya yang kelihatan ramah dan sikapnya yang suka bermain-main membuatkannya popular dalam budaya manusia. Haiwan ini sering dipergunakan manusia untuk tujuan tertentu sepanjang zaman dan budaya.
Ia sering diburu di seberapa kawasan tertentu termasuk di Jepun (khususnya di Taiji, Wakayama),[13][14] Kepulauan Faroe dan Peru.[15] Masyarakat di Taiji ini menganggap lulmba-lumba sebagai keistimewaan setempat yang langsung tidak dinikmati di tempat-tempat lain di Jepun; ia dimakan baik segar sebagai sashimi, digoreng celur mahupun direneh dengan sayur berkuah miso.[16]
Haiwan-haiwan ini sering disimpan untuk tujuan pertunjukan di taman-taman tema laut khusus bersama mamalia laut lain seperti paus buding.
Penangkapan ikan tertentu seperti tuna untuk kegunaan manusia menggunakan jala tertentu boleh mendatangkan bahaya di mana lumba-lumba boleh tertangkap lalu boleh melemaskan lumba-lumba ini.[17]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.