Khulafa al-Rasyidin (الخلافة الراشدة al-Khilãfah ar-Rãšidah) merupakan yang pertama daripada lima khilafah utama yang ditubuhkan selepas kewafatan Nabi Muhammad. Tampuk kepimpinan dipegang oleh empat khalifah selepas kewafatan baginda pada 632 M (11 H). Mereka kemudiannya dikenali dalam golongan Sunni sebagai Rasyidun iaitu "yang mendapat petunjuk". Istilah ini tidak digunakan oleh golongan Syiah kerana mereka menganggap tiga khalifah pertama sebagai tidak sah.[2]

Fakta Segera الخلافة الراشدةcode: ar is deprecated, Ibu negara ...
Khulafa al-Rasyidin
الخلافة الراشدة
632–661
Khulafa al-Rasyidin mencapai kemuncak bawah pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan (رضي الله عنه), pada 654.
Khulafa al-Rasyidin mencapai kemuncak bawah pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan (رضي الله عنه), pada 654.
Ibu negaraMadinah (632–656)
Kufah (656–661)
Bahasa yang umum digunakanArab Klasik (rasmi), Bahasa Aramia/Syriak, Armenia, Baloch, Barbar, Koptik, Georgia, Greek, Parsi Tengah, Kurdis, Vulgar Latin, Prakrit, Bahasa Semitik, Iran
Agama
Islam
KerajaanKhilafah
Khalifah 
 632–634
Abu Bakar as-Siddiq (pertama)
 634–644
Umar bin al-Khattab
 644–656
Uthman bin Affan
 656–661
Ali Abi Talib (terakhir)
Sejarah 
 Didirikan
8 Jun 632
 Dibubarkan
28 Julai 661
Keluasan
655[1]6,400,000 km2 (2,500,000 bt2)
Populasi
 
21,400,000
Mata wangDinar, Dirham
Didahului oleh
Diganti oleh
Muhammad
Byzantine
Empayar Sassanid
Exarch Afrika
Arab Pra-Islam
Kerajaan Bani Umaiyah
Amirul Mukminin (أمير المؤمنين), Khalifah (خليفة)
Tutup

Sistem syura, perbincangan para sahabat menjadi salah satu daripada tonggak kerajaan sebelum melaksanakan keputusan.[3][4] Era pemerintahan Khulafa al-Rasyidin dibahagikan kepada perkembangan mendadak dalam tempoh 25 tahun dan lima tahun konflik dalaman. Tentera Rasyidin sewaktu kemuncak kerajaan mempunyai lebih daripada 100,000 orang. Menjelang tahun 650-an, khilafah telah merangkumi Semenanjung Tanah Arab, Syam, Transcaucasus di utara, Afrika Utara dari Mesir ke Tunisia hari ini di barat dan kawasan plateau Iran ke Asia Tengah dan Asia Selatan di timur. [5]

Sejarah penubuhan

Sejurus kewafatan Nabi Muhammad, kaum Ansar telah berhimpun di Saqifah (laman) milik Bani Sai'dah bagi melantik pemimpin dalam kalangan mereka tanpa melibatkan kaum Muhajirin. Setelah Abu Bakar dan Umar mengetahui perhimpunan itu, mereka berasa bimbang akan rampasan kuasa yang akan berlaku dan bergegas ke sana. Setelah mereka tiba di perhimpunan itu, Abu Bakar telah memberikan amaran bahawa sebarang percubaan untuk memilih pemimpin dari luar suku baginda Nabi, iaitu Quraisy, berkemungkinan akan mengakibatkan perpecahan kerana mereka sahaja yang sewajarnya menerima penghormatan dalam masyarakat. Beliau seterusnya memegang tangan Umar dan Abu Ubaidah Al-Jarrah lalu menawarkan kepada kaum Ansar sebagai pilihan yang berpotensi. Beliau dibantah dengan cadangan iaitu kaum Quraisy dan Ansar memilih pemimpin masing-masing dari kalangan mereka, yang kemudiannya akan memerintah bersama. Perhimpunan itu mula menjadi panas setelah mendengar cadangan itu dan pertengkaran mula timbul. Bagi mengelakkan kekecohan terus berlaku, Umar terus memegang tangan Abu Bakar dan bersumpah setia kepadanya, lalu diikuti orang lain. Abu Bakar telah mendapat gelaran Khalīfaṫur Rasūlullāh (خَـلِـيْـفَـةُ رَسُـوْلِ اللهِ, "Pengganti Rasulullah") atau ringkasnya khalifah.[6][7][8][9]

Sejarah

Pemerintahan Abu Bakar (رضي الله عنه)

Untuk rencana lanjut, sila lihat Abu Bakar

Setelah dilantik menjadi khalifah, Abu Bakar mula mengambil langkah untuk menghapuskan kekecohan yang mula tercetus setelah kewafatan Nabi Muhammad. Kekecohan ini telah mengancam perpaduan dan keselamatan penduduk Islam di sekitar Jazirah Arab. Antara kekecohan yang timbul ialah murtadnya suku-suku Arab di sekitar Jazirah Arab, kecuali di Mekah, Madinah, Bani Thaqif di Taif dan Bani Abdul Qais di Oman. Terdapat golongan yang enggan membayar zakat tanpa mencabar Islam secara rasmi. Sekumpulan ketua puak juga telah mengaku dilantik menjadi nabi, dengan ada yang melakukannya sejak baginda Nabi masih hidup. Peristiwa murtad pertama kali diperangi ketika Nabi Muhammad masih hidup, apabila seorang nabi palsu iaitu Aswad al-Ansi memberontak dan menakluk Yaman.[10] Peristiwa murtad di Yamamah pula dipimpin oleh seorang nabi palsu iaitu Musailamah.[11] Pusat pemberontak juga banyak bertebaran di kawasan Nejd dan Yaman. Banyak puak mengatakan bahawa mereka hanya tunduk kepada Nabi Muhammad dan setelah kewafatannya, kesetiaan mereka berakhir. Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sekadar tunduk kepada seorang pemimpin, tetapi mereka ialah sebahagian daripada ummah dimana beliau ialah pemimpinnya. Siri kejadian ini telah menimbulkan Perang Riddah.[11]

Setelah berjaya menyatukan Arab di bawah Islam, beliau mula melakukan misi serangan ke atas Empayar Sassanid dan Byzantine. Misi dimulakan dengan serangan pertama ke atas Iraq, wilayah terkaya Sassanid dengan jeneral Khalid al-Walid dihantar pada tahun 633.[12] Misi diteruskan dengan menghantar empat pasukan tentera bagi menyerang wilayah Rom Syria,[13] namun operasi itu hanya dimulakan setelah Khalid al-Walid dipindahkan ke Syria setelah tamat menakluk Iraq pada tahun 634.

Abu Bakar telah mula jatuh sakit dan meninggal dunia pada tahun 634. Abu Bakar juga telah menjadi khalifah dari tahun 632 hingga tahun 634.

Pemerintahan Umar al-Khatab (رضي الله عنه)

Untuk rencana lanjut, sila lihat Umar bin al-Khattab

Abu Bakar telah mencalonkan Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 M. Dengan itu Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.

Semasa pemerintahannya, beliau meneruskan penaklukan yang dimulakan oleh Abu Bakar, menyerang lebih jauh ke dalam Empayar Sassanid, utara ke wilayah Byzantine dan ke Mesir. Kebanyakannya adalah kawasan yang kaya dengan kekayaan yang dikuasai oleh kerajaan besar, tetapi konflik yang panjang antara Byzantine dan Parsi telah menyebabkan sektor ketenteraan kedua-dua pihak semakin lemah, dan tentera Islam dengan mudah mengalahkan mereka. Menjelang tahun 640, umat Islam telah menakluk seluruh Mesopotamia, Syria dan Palestin di bawah kawalan khalifah; seterusnya Mesir yang telah ditakluki pada tahun 642, dan hampir keseluruhan Empayar Sassanian pada tahun 643.

Umar banyak melakukan perubahan terhadap sistem pemerintahan Islam, seperti menubuhkan pentadbiran baharu di kawasan yang baru ditakluk, memberi upah kepada tentera dan membuat jadual giliran bertugas, mewujudkan pejabat pos untuk surat menyurat, menyelaras aliran sungai untuk tujuan pertanian dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Di seluruh taklukannya, Umar tidak memaksa penduduk bukan Islam memeluk Islam, dan juga tidak cuba memusatkan kerajaan. Sebaliknya, beliau membenarkan mereka mengekalkan agama, bahasa, dan adat resam mereka, beliau juga meninggalkan kerajaan mereka secara relatifnya tidak disentuh, dengan hanya menempatkan seorang gabenor (amir) dan seorang pegawai kewangan yang dipanggil amil. Jawatan baharu ini adalah penting kepada rangkaian percukaian yang cekap bagi membiayai khilafah. Beliau juga telah mencipta kalendar Hijrah yang ditetapkan bermula setelah penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah.

Umar meninggal dunia pada tahun 644 M selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah ketika mengetuai solat subuh.[14]

Pemerintahan Uthman bin Affan (رضي الله عنه)

Untuk rencana lanjut, sila lihat Uthman bin Affan

Sebelum Umar meninggal dunia, beliau telah membentuk satu jawatankuasa bagi melantik penggantinya. Pada akhir mesyuarat hanya dua nama yang akan dipilih iaitu Ali dan Uthman. Akhirnya Uthman telah dipilih bagi menjadi khalifah ketiga. Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 M sehingga tahun 656 M. Semasa separuh pertama pemerintahannya, beliau adalah khalifah yang paling popular di kalangan khalifah sebelumnya, manakala pada separuh kedua pemerintahannya beliau mendapat tentangan yang semakin meningkat, dipimpin oleh orang Mesir dan penyokong Ali yang menginginkan pemerintahan daripada keluarga Nabi Muhammad.

Walaupun dilanda masalah dalaman, Uthman meneruskan misi Umar dengan menakluk keseluruhan Empayar Sassanid hingga ke kawasan hilir Sungai Indus,[15] sebahagian daripada Afrika Utara dan Cyprus.

Antara pembaharuan yang dibuat ialah menubuhkan angkatan tentera laut yang diketuai oleh Muawiyah dan membuat dasar terbuka dalam hubungan politik dan urusan dagangan. Beliau juga berjaya menyalin semula ayat al-Quran dalam bentuk yang sempurna dan dikenali sebagai Mushaf Uthmani.

Uthman wafat pada tahun 656 M akibat dibunuh oleh pemberontak yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya.

Pemerintahan Ali bin Abi Talib (رضي الله عنه)

Untuk rencana lanjut, sila lihat Ali Abi Talib

Setelah kematian Uthman, Ali telah dilantik sebagai khalifah keempat setelah didesak oleh pemberontak. Beliau telah memindahkan pusat pentadbiran ke Kufah, Iraq dan memecat beberapa gabenor terdahulu, lalu melantik individu yang lebih dipercayainya.

Tuntutan untuk menghukum pembunuh Uthman meningkat di kalangan sebahagian penduduk. Tentera pemberontak yang diketuai oleh Zubair, Talha dan isteri Nabi, Aisyah berangkat memerangi para pelaku. Pasukan itu tiba di Basrah dan menawannya, lalu 4,000 orang yang disyaki menghasut telah dibunuh. Ali dan tenteranya terus bergerak ke arah Basrah lalu bertemu dengan tentera pemberontak. Walaupun Ali mahupun pemimpin pasukan pemberontak, Talha dan Zubair, tidak mahu berperang, pertempuran terus berlaku pada waktu malam antara kedua-dua tentera. Menurut kepercayaan Sunni, mereka yang terlibat dalam pembunuhan Uthman yang memulakan pertempuran, kerana mereka takut rundingan antara Ali dan tentera pemberontak akan mengakibatkan mereka ditangkap dan dihukum mati. Pertempuran itu adalah peperangan pertama antara umat Islam dan dikenali sebagai Perang Jamal. Ali meraih kemenangan dan pertikaian itu diselesaikan. Sahabat-sahabat terkemuka Nabi, Talha dan Zubair terbunuh dalam pertempuran dan Ali menghantar anaknya Hasan untuk mengiringi Aisyah kembali ke Madinah.

Timbul lagi seruan untuk membalas dendam atas pembunuhan Uthman, kali ini oleh Mu'awiyah, seorang kerabat Uthman dan gabenor wilayah Syam. Walau bagaimanapun, ia lebih dianggap sebagai percubaan Mu'awiyah untuk merampas jawatan khalifah, bukannya membalas dendam atas pembunuhan Uthman. Ali memerangi pasukan Mu'awiyah hingga menemui jalan buntu dalam Perang Siffin, dan kemudian kalah dalam rundingan kontroversi yang berakhir dengan perunding, 'Amr ibn al-'As, menyatakan sokongannya kepada Mu'awiyah. Seterusnya Ali terpaksa berperang dalam Perang Nahrawan menentang Khawarij, sekumpulan bekas penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan rundingan Perang Siffin, lalu menentang kedua-dua Ali dan Mu'awiyah. Disebabkan pemberontakan dalaman dan kekurangan sokongan popular di kebanyakan wilayah, tentera Ali kehilangan kawalan ke atas sebahagian besar wilayah lalu ditakluk Muawiyah manakala sebahagian besar kawasan seperti Sicily, Afrika Utara, kawasan pantai Sepanyol dan beberapa kubu di Anatolia juga ditakluk empayar luar.

Ali wafat pada tahun 661 M akibat dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam, sebagai sebahagian daripada rancangan puak Khawarij dalam membunuh semua pemimpin Islam itu bagi menamatkan peperangan, namun mereka gagal dalam membunuh Muawiyah dan Amr Al-As.

Anak lelaki Ali iaitu Hasan, cucu Nabi Muhammad, mengambil alih jawatan khalifah secara ringkas dan mencapai persetujuan dengan Mu'awiyah untuk memperbaiki hubungan antara dua kelompok Muslim yang masing-masing setia kepada salah satu daripada dua pemimpin itu. Perjanjian itu menyatakan bahawa Mu'awiyah tidak akan menamakan pengganti semasa pemerintahannya, dan bahawa dia akan membiarkan dunia Islam memilih pemimpin seterusnya (perjanjian ini kemudiannya akan dilanggar oleh Mu'awiyah kerana dia menamakan anaknya Yazid I sebagai pengganti). Hasan telah meninggal dunia akibat diracun di Madinah,[16] manakala Mu'awiyah mengasaskan Khilafah Umaiyah, menggantikan Khulafa al-Rasyidin.[14]

Peluasan ketenteraan

Dalam masa 24 tahun, Khulafa Rasyidin telah meluaskan taklukannya merangkumi Mesopotamia, kawasan Syam, sebahagian Anatolia sehingga ke hampir keseluruhan Empayar Sassan.

Penaklukan Empayar Sassan

Arab pertama kali memasuki wilayah Sassanid pada tahun 633, apabila Jeneral Khalid ibn Walid menyerang wilayah yang kini adalah Iraq. Berikutan perpindahan Khalid ke perbatasan Rom di Levant, Muslim akhirnya kalah akan serangan balas yang dilakukan oleh Parsi. Serangan kedua bermula pada tahun 636 di bawah pimpinan Saad ibn Abi Waqqas, apabila kemenangan penting dalam Pertempuran Qadisiyyah membawa penamat mutlak kawalan Sassanid di barat Parsi. Pergunungan Zagros kemudian menjadi benteng semulajadi dan sempadan di antara wilayah Khulafa al-Rasyidin dan Empayar Sassanid. Di sebabkan serangan berterusan Parsi di kawasan ini, Khalifah Umar memerintahkan satu serangan penuh ke atas Empayar Sassan pada tahun 642, yang mana disudahkan dengan kemenangan sepenuhnya ke atas Empayar Sassanid pada pertengahan tahun 644.

Yazdegerd, Raja Parsi tidak dapat membentuk tentera lain dan menjadi buruan. Pada tahun 642, Umar telah menghantar tentera untuk menakluki baki Empayar Parsi. Penaklukan diteruskan ke Khorasan Raya, Transoxania, Balochistan, Makran, Dagestan, Azerbaijan, Armenia dan Georgia ketika pemerintahan Uthman.

Peperangan dengan Empayar Byzantium

Serangan pertama tentera Islam ke atas Empayar Byzantium berlaku semasa penaklukan Syria Selatan pada tahun 634 menyaksikan keruntuhan kerajaan Arab Ghassan dan penaklukan Damsyik. Serangan kedua pula dilancarkan tentera Islam yang diketuai Abu Ubaidah Al-Jarrah dalam penaklukan Syria Tengah pada tahun 635 menyaksikan kemenangan Islam dalam Pertempuran Fahl.[17] Serangan diteruskan lagi ke Palestin oleh pasukan Syurahbil dan Amr menyaksikan penaklukan Bisan, Tabariyah dan wilayah pesisir Mediterranean.[17] Sehingga tahun 635, tentera Islam telah menakluk Syria Selatan, Jordan dan Palestin kecuali Baitulmaqdis dan Caesarea. Pasukan Abu Ubaidah dan Khalid pula mara menuju ke Syria Utara. Namun, pasukan Khalid pulang semula ke Damsyik bagi menghadapi serangan balas Byzantium manakala pasukan Abu Ubaidah pula bertempur dengan tentera Rom dalam Perang Maraj ar-Rum. Pasukan Abu Ubaidah mara ke Heliopolis menyaksikan penyerahannya kepada Islam manakala pasukan Khalid diarah mara ke Emesa dan Qinasrin. Emesa telah jatuh ke tangan Islam setelah dua bulan dikepung pada Mac 636.[18]

Tentera Islam terus mara ke arah utara bagi menakluk seluruh utara Syria. Pertempuran Yarmuk tercetus menyaksikan kemenangan Islam ke atas Rom. Namun, Byzantium berjaya mendapatkan semula bekas jajahannya. Dengan kelemahan tentera Byzantium, tentera Islam berjaya menakluk semula taklukannya yang diduduki Byzantium setelah Perang Yarmuk. Tentera Islam juga telah bersetuju untuk menakluk Baitulmaqdis lalu mengepungnya. Setelah empat bulan dikepung, Baitulmaqdis menyerah kepada tentera Islam pada bulan April 637. Setelah itu, tentera Islam berpecah kepada tiga kumpulan; pasukan Yazid ke Damsyik, pasukan Amr dan Syurahbil menakluk baki wilayah Palestin manakala pasukan Khalid dan Abu Ubaidah menakluk Syria Utara. Pasukan Khalid dan Abu Ubaidah berjaya menundukkan Qinasrin, kubu kuat Byzantium. Mereka juga mara ke Aleppo dan berjaya menawan kota itu pada Oktober 637.

Setelah berjaya menakluk Syria Utara, pasukan Khalid dan Abu Ubaidah terus mara ke Anatolia dan menakluk Antokiah. Tentera Islam juga mara ke bahagian barat Jazirah, dan menawan sebahagian Anatolia, Edessa sehingga ke dataran Ararat. Tentera Islam seterusnya mara ke Anatolia hingga barat sejauh Pergunungan Taurus, kota Marash dan Malatya, kesemuanya berjaya ditakluk pada tahun 638.

Pada Disember 639, Umar telah menghantar pasukan tentera diketuai Amru bin al-As bagi menakluk Mesir. Mereka telah berjaya mengalahkan tentera Byzantium dalam Perang Heliopolis pada tahun 640. Mereka seterusnya mara ke Iskandariah, yang mengalah kepadanya melalui perjanjian. Pada tahun 645, semasa pemerintahan Uthman, pihak Byzantine merampas semula Iskandariah, tetapi telah ditawan semula oleh Amr pada tahun 646.

Byzantium juga menyerang semula tentera Islam di Syria bagi mendapatkan bekas jajahannya namun berjaya dikalahkan tentera Islam pada tahun 647. Tentera Islam juga berjaya menakluk Cappadocia dan Caesarea Mazaca. Di Maghreb pula, tentera Islam yang diketuai oleh Abdullah bin Saad telah melancarkan serangan pertama ke atas Exarchate Afrika pada tahun 647. Tentera Islam mencapai kemenangan dalam serangan itu dan berkehendak untuk menjadikan Afrika Utara sebagai wilayah naungan. Satu angkatan laut telah dibentuk lalu berjaya menakluk Cyprus pada tahun 649, seterusnya Kriti dan Rodos. Pada tahun 652-654, tentera Islam telah melancarkan beberapa serangan ke atas Sicilia dan berjaya menakluk sebahagian besar pulau itu.

Pada tahun 652, Abdullah bin Saad telah menghantar pasukan tentera bagi menakluki Nubia buat kali kedua setelah dikalahkan Makuria pada tahun 642. Biarpun mereka telah memasuki jauh ke dalamnya dan menghancurkan katedral di tengah kota Dongola, Makuria masih memenangi perang itu.

Perlakuan terhadap orang yang ditakluki

Kaum monoteis bukan-Muslim seperti Yahudi, Zoroaster, dan Kristian di negeri yang ditakluki dipanggil zimmi (orang yang dilindungi). Mereka yang menerima Islam diperlakukan dengan cara yang sama dengan orang Islam yang lain dan diberi hak yang sama dalam urusan undang-undang. Orang bukan Islam diberi hak undang-undang mengikut undang-undang agama mereka kecuali jika ia bercanggah dengan undang-undang Islam.

Golongan zimmi juga dibenarkan untuk "mengamalkan agama mereka, dan menikmati sedikit autonomi komunal" dan dijamin keselamatan peribadi dan keselamatan harta benda mereka, tetapi hanya sebagai balasan untuk membayar cukai dan mengiktiraf pemerintahan Muslim.[19] Mereka juga dikehendaki membayar jizyah.[20]

Khalifah-khalifah Rasyidin telah memberi penekanan khusus kepada layanan yang agak adil dan saksama terhadap para zimmi, yang juga diberikan 'perlindungan' oleh khalifah. Kadang-kadang, terutamanya apabila tidak cukup orang Islam yang berkelayakan, golongan zimmi boleh diberi jawatan penting dalam kerajaan.

Garis masa Khulafa al-Rasyidin

Dimaklumkan bahawa catatan masa tahun-tahun pemeritahan khalifah tidak berlaku pada hari pertama tahun baru.

Ali Abi TalibUthman AffanUmar Al-KhatabAbu Bakar

Kronologi Khulafa al-Rasyidin

Lihat juga

Rujukan

Wikiwand in your browser!

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.

Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.