Remove ads
From Wikipedia, the free encyclopedia
Khilafah (bahasa Arab: خِلافة, juga digelar kekhalifahan) adalah sebuah negara di bawah pimpinan seorang pengelola Islam dengan gelaran khalifah (bahasa Arab: خَليفة), seorang yang dianggap sebagai pengganti agama kepada Nabi Muhammad dan seorang pemimpin seluruh ummah.[1] Dari segi sejarah, khilafah adalah tatanegara berasaskan Islam yang berkembang menjadi empayar rentas negara dan mempunyai pelbagai etnik.[2] Semasa zaman pertengahan, tiga kekhalifahan utama diasaskan: Khilafah Rasyidin (632-661 TM [Tahun Masihi]), Khilafah Umaiyyah (661-750 TM) dan Khilafah Abbasiyah (750-1258 TM). Pada khilafah utama keempat, Khilafah Uthmaniyah, pemerintah Empayar Uthmaniyah menuntut kuasa khilafah dari tahun 1517. Dalam sejarah Islam, beberapa negara Muslim yang lain, dengan hampir semua pewaris takhta, telah menuntut khalifah.[1]
Sebelum kebangkitan Muhammad dan penyatuan kaum-kaum Arab di bawah Islam, orang Arab mengikuti politeisme Arab sebelum Islam, hidup sebagai masyarakat yang tidak aktif dan berpindah-pindah, dan sering kali menjarah puak-puak jiran mereka.[3][4] Selepas penaklukan Islam di Semenanjung Arab, rantau tersebut bersatu dan banyak puak memeluk Islam.[4]
Khilafah pertama, Khilafah Rasyidin, diasaskan sejurus selepas kematian Nabi Muhammad pada tahun 632 TM.[5] Keempat-empat khalifah Ar-Rasyidin, yang secara langsung menggantikan Nabi Muhammad sebagai pemimpin masyarakat Islam, telah dipilih melalui syuara, suatu proses perundingan komuniti yang dianggap sebagai bentuk awal demokrasi Islam dan kini diserap ke bahasa Melayu menjadi mesyuarat.[6] Khalifah keempat, Ali, berasal dari Bani Hasyim sama seperti Nabi Muhammad, dan dianggap oleh orang Syiah sebagai khalifah sah yang pertama juga Imamah (pemimpin) selepas Nabi Muhammad.[7] Ali memerintah semasa Fitnah Pertama (656-661 TM), sebuah perang saudara antara penyokong Ali dan penyokong Uthman—yang telah dibunuh—dari Banu Umaiyyah dan juga pemberontak di Mesir; perang ini menghala kepada pengasasan Khilafah Umaiyyah di bawah Muawiyah I pada tahun 661 TM.
Khilafah kedua, Khilafah Umaiyyah, diperintah oleh Banu Umaiyyah, sebuah puak Mekah yang berasal dari Umaiyyah bin Abdul Syams. Khilafah ini meneruskan penawanan negeri-negeri, menggabungkan Caucasus, Transoxiana, Sindh, Maghreb dan Semenanjung Iberia (Al-Andalus) ke dalam dunia Islam. Khilafah menerima orang Kristian di dalam wilayahnya, apatah lagi dengan bilangan mereka yang amat ramai, terutama sekali di wilayah Syam.[8][9] Berikutan Revolusi Abbasiyah dalam tahun 746–750 TM, yang timbul kerana pelucutan hak undi bukan Muslim Arab, Khilafah Abbasiyah ditubuhkan pada tahun 750 TM.
Khilafah yang ketiga, Khilafah Abbasiyah diperintah oleh Bani Abbasiyah, sebuah wangsa Mekah yang berasal dari keturunan Bani Hasyim—datuk nenek moyang Nabi Muhammad—dan menjadikan mereka sebahagian dari Banu Hashim melalui paman Nabi Muhammad, Abbas, bersempena namanya. Khalifah Al-Mansur mengasaskan Baghdad sebagai ibu kotanya yang kedua pada tahun 762 TM yang menjadi ibu pusat sains, budaya dan seni, sekali dengan wilayah tersebut dalam zaman yang dikenali sebagai Zaman Kegemilangan Islam. Dari abad ke-10, pemerintahan Abbasiyah terbatas kepada kawasan sekitar Baghdad sahaja. Dari 945 hingga 1157 TM, Khilafah Abbasiyah berada di bawah Buwayhiyah dan kemudian di bawah kawalan ketenteraan Seljuk. Pada tahun 1250 TM, sebuah tentera bukan Arab yang ditubuhkan oleh Bani Abbas yang dipanggil Mamluk berkuat kuasa di Mesir. Pada tahun 1258, Empayar Mongol menjarah Baghdad, mengakhiri Khilafah Abbasiyah, dan pada tahun 1261 TM, Mamluk di Mesir mengasaskan semula Khilafah Abbasiyah di Kaherah. Walaupun kekurangan kuasa politik, wangsa Abbasiyah masih meneruskan tuntutan kuasa dalam hal-hal agama sehinggalah penaklukan Uthmaniyah di Mesir Mamluk pada tahun 1517.[10]
Khilafah utama keempat, Khilafah Uthmaniyah, ditubuhkan selepas penaklukan Mesir Mamluk pada tahun 1517. Penaklukan tersebut memberi Empayar Uthmaniyah kawalan ke atas kota-kota suci Mekah dan Madinah yang sebelum ini dikuasai oleh Mamluk. Empayar Uthmaniyah secara beransur-ansur dilihat sebagai pemimpin dan wakil dunia Islam de facto.[11] Berikutan kekalahan mereka dalam Perang Dunia I, empayar mereka dikerat dan dibahagikan oleh United Kingdom dan Republik Ketiga Perancis, dan pada 3 Mac 1924, presiden Republik Turki pertama, Mustafa Kemal Atatürk, sebagai sebahagian daripada pembaharuannya, membubarkan sistem kekhalifahan dalam perlembagaan.[12] Beberapa negara lain yang wujud pernah menamakan diri mereka sebagai khalifah, termasuk Khilafah Fatimiyah Ismailiyah di Timur Laut Afrika (909-1171), Khilafah Kordoba Umaiyah di Iberia (929-1031), Khilafah Al-Muwahhidun Barbar di Maghribi (1121-1269) dan Khilafah Sokoto Fula di utara Nigeria (1804-1903).
Ahli Sunah Waljamaah menetapkan bahawa, sebagai ketua negara, seorang khalifah dapat naik kuasa dengan satu daripada empat kaedah: dengan melalui pengundian, melalui pencalonan, melalui pemilihan oleh jawatankuasa, atau secara paksa.[13] Pengikut Islam Syiah, sebaliknya, percaya bahawa seorang khalifah harus merupakan Imamah yang dipilih oleh Allah dari Ahlul Bait ("Keluarga Rumah", merujuk kepada keluarga Nabi Muhammad).
Pada awal abad ke-21, selepas kegagalan kebangkitan dunia Arab dan kejatuhan kononnya "Negara Islam", mula tercetus "arus penerimaan identiti Muslim yang beraneka" oleh belia Muslim dan daya tarikan khilafah sebagai "masa depan Islam yang diimpikan" kelihatan tidak mudah berubah.[14]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.