Daerah Tebedu
daerah di Sarawak, Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
Daerah Tebedu ialah sebuah daerah di negeri Sarawak Bumi Kenyalang, Malaysia.[1][2] Ia adalah sebahagian daripada Bahagian Serian yang merangkumi Serian, Siburan dan Tebedu.[3] Sebelum ini, Daerah Tebedu merupakan daerah kecil dalam Daerah Serian yang telah dinaik taraf kepada daerah sepenuhnya. Majoriti penduduk yang tinggal di daerah ini ialah beretnik Bidayuh.[3][4]
Remove ads
Pekan pentadbiran bagi daerah ini ialah Tebedu. Daerah Tebedu mempunyai keluasan lebih/kurang 421 kilometer persegi (42,100.0 he).[5] Ia juga merupakan pintu masuk antarabangsa Malaysia-Indonesia,[6] yang pertama yang terletak di sepanjang jalan raya utama menghubungkan Kuching di Sarawak dan Pontianak di Kalimantan Barat. Bandar yang bersempadan dengan daerah Tebedu ialah Entikong.[4] Kompleks Imigresen Tebedu juga dibina di pintu masuk antarabangsa kawasan tersebut.[4] Pada tahun 1991, lebih 57,000 orang penduduk daripada Indonesia memasuki Malaysia melalui Entikong, sebuah pusat imigresen terletak di antara Kalimantan Barat dengan Tebedu. "Kini, orang Indonesia memasuki Malaysia dengan pasport atau pos pemeriksaan," ujar ketua pintu masuk tersebut ketika itu, Prodjo Budiono.[7][8]
Remove ads
Etimologi
Nama "Tebedu" berasal daripada perkataan bahasa Bidayuh iaitu batuh badu yang secara harfiah bermakna "batu kering".[6][9] Batu ini terletak di Kampung Kujang Mawang dan Kampung Tesu Mawang yang dikatakan tidak pernah ditenggalami air ataupun basah sama sekali.[6]
Sejarah
Pada 23 Oktober 1974, Tebedu telah dinaik taraf menjadi daerah kecil yang terletak di bawah pentadbiran Daerah Serian dan diuruskan oleh Pegawai Tadbir Sarawak.[10] Pemegang jawatan tersebut yang ditugaskan di Daerah Kecil Tebedu pada masa itu ialah Encik Mering Wan. Pada Oktober 2016, Daerah Kecil Tebedu telah dinaik taraf kepada daerah penuh yang telah diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu ketika itu, Michael Manyin Jawong.[11] Terdapat sebuah mercu tanda yang dibina selepas Daerah Tebedu menjadi daerah penuh.[11]
Remove ads
Demografi
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Tebedu ialah seramai 25,232 orang dengan kepadatan penduduk 38 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 5,649 isi rumah dengan 6,532 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Tebedu merupakan Bumiputera Sarawak, dengan majoriti antara mereka berbangsa Bidayuh. Penduduk berbangsa Cina membentuk kumpulan warganegara bukan Bumiputera terbesar di daerah ini. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 380 orang.[13][14]
Agama
Di daerah Tebedu, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 93 peratus diikuti agama Islam sebanyak lebih enam peratus. Majoriti penganut agama Kristian terdiri daripada penduduk berbangsa Bidayuh dan Iban. Penganut agama Islam pula sebahagian besarnya terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu, Melanau dan penduduk bukan warganegara. Terdapat juga penduduk yang beragama lain seperti Hindu, Buddha atau tidak beragama yang membentuk kumpulan minoriti dengan peratusan satu peratus dari jumlah penduduk.[15]
Ekonomi
Kegiatan ekonomi utama yang dijalankan oleh penduduk di Daerah Tebedu adalah pertanian, dengan peratusan 88,2%.[16][5] Kemudian diikuti oleh buruh swasta (5.08%), kakitangan awam (3.66%), kakitangan swasta (2.29%), perniagaan (0.74%) dan paling sedikit ialah lain-lain (0.03%).[5] Antara tanaman yang diusahakan oleh mereka adalah seperti padi, koko, lada dan kelapa sawit.[10] Tebedu juga berpotensi untuk dikembangkan menjadi sesebuah kawasan perindustrian kecil yang sederhana. Pelbagai industri pemprosesan hasil pertanian seperti lada, kelapa sawit dan koko dapat dijalankan di Tebedu kerana ia mempunyai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik dan air yang sangat baik.[10]
Remove ads
Kemudahan
Kemudahan di Tebedu sangatlah baik. Ia mempunyai dua buah klinik kesihatan, iaitu Klinik Kesihatan Tebedu dan Klinik Pengakalan Amo. Selain itu, fungsi petempatan Tebedu ialah bandar pendidikan yang menawarkan pendidikan sekolah rendah hingga sekolah menengah. Sekolah di Tebedu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tebedu, Sekolah Kebangsaan Tebedu, Sekolah Kebangsaan Gahat Mawang, Sekolah Kebangsaan Kujang Mawang, Sekolah Kebangsaan Tesu, Sekolah Kebangsaan Temong, Sekolah Kebangsaan Tepoi, Sekolah Kebangsaan Sungan, Sekolah Kebangsaan Sungai Sameran, Sekolah Kebangsaan Tema dan Sekolah Kebangsaan Kujang Sain.[5][17] Terdapat empat liputan telekomunikasi yang tersedia disini, Telekom, Celcom, Maxis dan DiGi.[5] Bekalan air diuruskan oleh Bekalan Air Bersih (JKR) di 30 kampung termasuk Pekan Tebedu dan Graviti Feeds di 20 kampung. Bekalan elektrik diuruskan oleh Syarikat SESCO Berhad di 30 kampung termasuk dengan Pekan Tebedu.[5]
Tebedu juga dihubungkan melalui Jalan Serian-Tebedu yang memiliki panjang 38 kilometer (23.6 bt) yang dapat meningkatkan hubungan di antara rakyat tempatan dan Indonesia, khususnya dalam bidang perdagangan yang amat penting di sempadan Malaysia-Indonesia.[18][19]
Remove ads
Geografi

Tebedu merupakan salah satu daripada pintu masuk antarabangsa yang pertama di Malaysia. Iklim di kawasan Tebedu ialah iklim khatulistiwa (Af).[20] Purata suhu ialah 25.9 °C (78.6 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 26.3 °C (79.3 °F). Bulan Januari dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 25.5 °C (77.9 °F).[20] Purata kerpasan di Tebedu adalah 3798 milimeter pertahun. Bulan Januari merupakan bulan yang tinggi kerpasan dengan 530 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Julai dengan 165.9 milimeter.[20]
Remove ads
Pentadbiran
Daerah Tebedu secara rasmi dipecahkan kepada 75 kampung yang di mana setiap kampung mempunyai seorang ketua kaum; tuai rumah atau pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).[21] Daerah Tebedu ditadbirkan sepenuhnya oleh Pejabat Daerah Tebedu. Lokasi kedudukan Pejabat Daerah Tebedu terletak di bahagian belakang Pasar Tebedu, Bandar Mutiara.[11] Sebelum ini, ia ditadbirkan oleh Pejabat Daerah Kecil Tebedu. Daerah Tebedu diketuai oleh pegawai daerah.[10]
Dari segi politik, Tebedu mempunyai kawasan pilihan raya sendiri, Tebedu yang diwakili oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak sejak 1991. Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan ini ialah Simon Siang Bada dari parti Gabungan Parti Sarawak. Kawasan negeri Tebedu mempunyai enam daerah mengundi, iaitu Bentang, Lanchang, Tebedu, Amo dan Mengarat. Setiap daerah mengundi mempunyai satu lokasi mengundi sahaja.[22]
Remove ads
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads