Ayer Keroh
bandar di Melaka From Wikipedia, the free encyclopedia
Ayer Keroh (Jawi: ايير كروه, Sebutan bahasa Melayu: [ajɛr kərɔh]) ialah sebuah bandar yang terletak di mukim Bukit Katil dalam negeri Melaka, Malaysia. Ia merupakan salah satu daripada bandar satelit di Malaysia yang dibangunkan sejak tahun 1968[1] sehingga kini dan mudah diakses kerana dihubungkan secara terus melalui Lebuhraya Utara-Selatan[2]. Ayer Keroh bersempadan dengan Bukit Beruang[3], Bukit Katil dan Bukit Baru serta memiliki beberapa laluan yang menghubungkan bandar ini ke bandar atau pekan lain di Melaka.
Ayer Keroh mula menjadi perhatian ketika zaman pemerintahan British di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat kerana lokasinya yang sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan takungan air bersih untuk disalurkan ke Bandar Melaka[4]. Pada ketika itu, Ayer Keroh merupakan sebahagian daripada kawasan hutan rizab Bukit Beruang. Pada tahun 1968, Kerajaan Negeri Melaka menjadikan Ayer Keroh sebagai bandar satelit bagi menampung pertambahan penduduk yang semakin meningkat[5]. Pada tahun 2002, projek Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka mula dibangunkan di atas kawasan berkeluasan 69.2 hektar di Ayer Keroh dalam misi menjadikan Ayer Keroh sebagai pusat perdagangan dan pentadbiran kerajaan[6].
Ayer Keroh termasuk dalam beberapa kawasan yang kini ditadbir oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sejak tahun 2010 selepas pentadbirannya diambil alih daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)[7]. Kompleks Seri Negeri yang terletak di Ayer Keroh berfungsi sebagai bangunan pentadbiran kerajaan negeri[3] dan lokasi sidang Dewan Undangan Negeri Melaka[8]. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri Melaka melancarkan Rancangan Kawasan Khas Zon Pelancongan Ayer Keroh yang bertujuan untuk menyediakan pelan pembangunan dan naik taraf beberapa lokasi yang dipilih di sekitar Ayer Keroh[9].
Sejarah
Pembangunan awal
Nama Ayer Keroh mula muncul pada zaman pemerintahan British menerusi pentadbiran Negeri-Negeri Selat[4]. Pada tahun 1891, British memilih Ayer Keroh sebagai lokasi pembinaan sebuah empangan baharu bagi menggantikan perigi sedia ada di Bukit Cina dalam membekalkan sumber air bersih kepada penduduk sekitar Melaka[4]. British merancang untuk membina sebuah empangan yang mampu menampung sehingga 3,785,411 liter air bersih melalui paip sambungan secara terus ke loji simpanan air yang terdapat di Bukit St. Paul[10] (kini Bukit Melaka[11]). Analisis yang dijalankan kerajaan pada ketika itu juga mendapati sumber air di Ayer Keroh memiliki kualiti yang sangat bagus[10].
Pada 20 Mei 1893, Sir Cecil Clementi Smith, Gabenor Negeri-Negeri Selat pada ketika itu merasmikan pembukaan empangan Ayer Keroh[12]. Dalam majlis itu juga, beliau mencadangkan nama Ayer Keroh ditukarkan kepada Ayer Salak kerana berpendapat makna Ayer Keroh itu kurang sesuai digunakan[13][14]. Empangan itu terletak di bahagian timur laut banjaran Bukit Beruang, dengan keluasan sehingga 35 ekar[12].
Pada tahun 1901, pentadbiran Negeri-Negeri Selat merancang untuk membangunkan sebuah ladang getah seluas 125 ekar di dalam kawasan hutan simpan Ayer Keroh[15] yang pada ketika itu berkeluasan kira-kira 6,000 ekar[16] dengan penanaman pokok getah dari jenis Gutta Percha (atau nama saintifiknya Dichopsis gutta[17]). Pada awalnya, sebanyak 13,600 anak pokok ditanam di sana[16]. Sebelum penanaman secara besar-besaran, pihak perhutanan telah menanam kira-kira 500 anak pokok[18] yang dibawa dari Pulau Pinang di kawasan hutan sekunder bagi mengkaji kesesuaian tanah di situ[17]. Pada tahun 1903, pihak British tidak bercadang untuk mendapatkan anak pokok getah dalam masa terdekat kerana mereka mengalami kesukaran dalam mendapatkan anak pokok getah yang sesuai ditanam di ladang Ayer Keroh[19]. Ia kerana anak pokok yang dibawa dari Borneo dan Sumatera tiga tahun lalu tidak menunjukkan perkembangan yang baik, walaupun anak pokok yang dibawa dari Pulau Pinang menunjukkan hasil yang positif iaitu hanya 7,000 anak pokok daripada keseluruhan 60,000 anak pokok berada dalam keadaan sihat[19].
Bandar satelit
Pada bulan November 1968, Ketua Menteri Melaka pada ketika itu, Datuk Haji Talib bin Karim mengumumkan rancangan kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah perbandaran satelit di kawasan Kampung Ayer Keroh[20]. Bandar Ayer Keroh yang akan dibangunkan ini menelan kos sebanyak $30 juta, meliputi kawasan seluas 700 ekar[20][5]. Ayer Keroh dijadikan sebagai bandar satelit bagi menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat saban hari di bandar Melaka[20]. Syarikat Peranchang Perumahan Ayer Keroh Sdn. Bhd. diberi tanggungjawab membangunkan bandar satelit Ayer Keroh[5].
Pada bulan Mei 1969, fasa pertama pembangunan bandar Ayer Keroh telah dimulakan dengan pembinaan sebanyak 600 unit perumahan dan 6 buah kilang perindustrian[1]. Jenis unit perumahan yang dibina termasuklah 270 unit rumah teres, 250 unit rumah berkembar dan 80 unit banglo[1][21] dan jualan unit perumahan itu ditawarkan kepada kakitangan kerajaan dan penduduk yang tidak memiliki tanah dan rumah sendiri. Kerajaan negeri juga menggelar bandar satelit Ayer Keroh sebagai "Bandar Bahagia"[21]. Selain membangunkan kawasan perumahan, kerajaan Melaka juga sedang merancang untuk membangunkan projek kawasan perindustrian Ayer Keroh[22] yang meliputi kawasan seluas 120 ekar[23].
Pentadbiran kerajaan
Negeri
Terdapat banyak jabatan kerajaan negeri yang berfungsi dari Ayer Keroh, namun pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka biasanya berpusat di Kompleks Seri Negeri[24]. Di kompleks itu, ia menempatkan Jabatan Ketua Menteri Melaka[25], Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan[26] dan Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Melaka. Ayer Keroh juga menjadi tumpuan Ahli Dewan Undangan Negeri kerana Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diadakan di Dewan Undangan Negeri yang terletak di dalam Kompleks Seri Negeri[27].
Wisma Negeri yang terletak di Jalan MITC menempatkan Pejabat Tanah dan Galian[28], Jabatan Pengairan dan Saliran[28], Jabatan Pertanian[28], Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah[29] dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa[28]. Bangunan ini juga menempatkan sebuah agensi kerajaan iaitu Perbadanan Teknologi Hijau Melaka[30].
Ada juga jabatan kerajaan negeri yang tidak berada di kedua-dua bangunan tersebut, namun ianya terletak di sekitar Ayer Keroh. Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat di negeri Melaka menempatkan pejabat mereka di bangunan Kota Cemerlang[31] yang terletak berhampiran persimpangan Jalan MITC - Jalan Seri Negeri. Jabatan Perhutanan Negeri Melaka pula terletak berhampiran dengan Taman Botanikal Melaka, di mana ia juga menempatkan Pejabat Renjer Hutan Melaka Tengah[32].
Persekutuan
Selain pentadbiran kerajaan negeri, Ayer Keroh juga menempatkan hampir kesemua jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan. Menara Persekutuan Melaka yang terletak berdekatan dengan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) siap dibina pada tahun 2010 dengan kos sebanyak RM208 juta[33], menggantikan bangunan Wisma Persekutuan yang terletak di Jalan Hang Tuah[34]. Jabatan dan agensi persekutuan mula memindahkan operasi mereka ke Ayer Keroh bermula Jun pada tahun yang sama[34]. Pada bulan Mac 2013, Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pembukaan Menara Persekutuan[33].
Kompleks Kementerian Dalam Negeri yang menempatkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara terletak di pinggir Jalan Seri Negeri[35]. Dalam bidang pendidikan pula, Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah terletak bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh[36], di samping terdapat bangunan Kuarters Institusi Pendidikan yang menempatkan beberapa sektor dalam Jabatan Pendidikan Melaka di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pendidikan
Rendah dan menengah

Sehingga 2024, terdapat sebanyak tiga buah sekolah untuk pendidikan rendah dan tiga buah sekolah untuk pendidikan menengah. Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh[37] dan Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin[38] ialah sekolah kebangsaan kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Manakala, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ayer Keroh ialah sekolah jenis kebangsaan cina terletak di Jalan Ayer Keroh Lama dan ia juga dikelolakan oleh KPM. Setakat tahun 2024, enrolmen pelajar di peringkat pendidikan rendah menunjukkan seramai 2,697 bilangan murid direkodkan sedang menduduki pendidikan rendah di sekolah-sekolah sekitar Ayer Keroh[39].
Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah ialah sekolah untuk pendidikan menengah dan salah satu daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Nama sekolah ini diambil bersempena dengan nama Sultan Muzaffar Syah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka[40]. Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh[41] pula merupakan sekolah harian tanpa asrama yang terletak di Taman Tasik Utama, menawarkan pendidikan menengah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Setakat tahun 2024, enrolmen pelajar di peringkat pendidikan menengah menunjukkan seramai 1,933 bilangan murid direkodkan sedang menduduki pendidikan menengah di sekolah-sekolah sekitar Ayer Keroh[39].
UUM International School (UUMISM) ialah sebuah sekolah antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 2018, terletak di Ayer Keroh Golf & Country Club[42]. Sekolah ini merupakan rakan kongsi kepada Universiti Utara Malaysia[43] serta menawarkan program pendidikan menengah yang menggunakan kurikulum IGCSE Cambridge[44]. Sekolah ini juga pernah mengendalikan kejohanan golf di peringkat antarabangsa[45].
Pendidikan tinggi

Beberapa institusi pendidikan tinggi awam dan swasta ditubuhkan di Ayer Keroh dengan setiap satunya menawarkan program pendidikan tinggi yang berbeza di antara satu sama lain. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ialah sebuah Universiti Awam (UA) yang ditubuhkan pada 1 Disember 2000 dan merupakan UA ke-14 yang beroperasi[46]. Pada awal penubuhannya, kampus utama beroperasi di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh dengan nama Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia, sebelum berpindah secara berperingkat ke kampus induk tetap yang terletak di Durian Tunggal, kira-kira 10 kilometer dari Ayer Keroh. Kini, bekas kampus utama itu dikenali sebagai Kampus Teknologi[47], yang menempatkan beberapa fakulti berkaitan kejuruteraan dan teknologi mekanikal dan pembuatan serta keusahawanan[48].
Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) ialah institusi pendidikan tinggi swasta yang dimiliki oleh kerajaan Negeri Melaka[49]. Kolej ini beroperasi dari Kompleks Yayasan Belia Sedunia yang terletak di tepi Lebuh Ayer Keroh[50]. MiCoST menawarkan program diploma dalam bidang sains kesihatan[51] dan pendidikan awal[52].
Kesihatan
Terdapat beberapa fasiliti kesihatan awam dan swasta di Ayer Keroh. Klinik Kesihatan Ayer Keroh ialah sebuah klinik kesihatan awam yang menyediakan perkhidmatan kesihatan dan rawatan awal kepada penduduk sekitar. Antara kemudahan lain yang disediakan seperti perkhidmatan Sinar-X dan ambulans[53]. Pada bulan April 2023, waktu operasi klinik ini telah diubah di mana ianya mula dibuka pada pukul 9 pagi sehingga 1 tengah hari bagi pengoperasian pada hari Sabtu[54], manakala pada hari biasa, waktu operasi telah dilanjutkan dari pukul 5 petang hingga 9.30 malam[55].
Hospital Pantai Ayer Keroh ialah hospital swasta yang terletak di Persimpangan Istana Melaka mula beroperasi pada tahun 1995[56]. Hospital ini mempunyai sebanyak 360 bilangan katil dan 10 dewan bedah[56]. Hospital ini pernah menawarkan perkhidmatan saringan COVID-19 secara pandu lalu yang pertama di Melaka[57].
Selain itu, terdapat juga beberapa bilangan klinik kesihatan swasta di sekitar Ayer Keroh[58][59] dan menawarkan perkhidmatan khusus seperti pergigian[60].
Pelancongan
Taman Botanikal Melaka

Taman Botanikal Melaka sebelum ini dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh[61] terletak di tepi LP 143
M29 Lebuh Ayer Keroh. Taman ini berkeluasan sebanyak 92.5 hektar dan merupakan idea cetusan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam yang kini memegang jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka[62] ialah sebuah kawasan hutan rekreasi yang biasanya digunakan untuk tujuan riadah. Pada bulan Ogos 2020, pengurusan Taman Botanikal Melaka diambil alih oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) daripada Jabatan Hutan[63].
Terdapat beberapa pameran yang terletak di taman ini seperti "Kampung Buku Malaysia" yang bertujuan menarik pengunjung untuk membaca buku[64]. Hanya dua lokasi "Kampung Buku Malaysia" setakat tahun 2019, iaitu di taman ini dan di Langkawi, Kedah[64]. Selain itu, pameran mengenai spesis lebah juga diadakan di Galeri Lebah Melaka yang mula beroperasi pada tahun 2013[65]. Galeri ini dibangunkan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai spesis lebah madu serta habitat dan cara memproses madu asli[65]. Taman Botanikal Melaka juga menempatkan Medan Kraftangan Taman Botanikal iaitu beberapa unit kedai yang menjual pelbagai produk kraftangan tradisional[66].
Zoo Melaka

Zoo Melaka & Night Safari ialah sebuah fasiliti di mana pelbagai spesis flora dan fauna ditempatkan bagi tujuan pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai dan menjadi tempat konservatif sama ada dibiakkan untuk tujuan pemuliharaan[67][68] atau perlindungan hidupan liar terutamanya spesis yang hampir pupus. Zoo ini berkeluasan 54 ekar serta bersempadan dengan Taman Botanikal Melaka di bahagian utara, sebuah tasik buatan dan padang golf milik Ayer Keroh Golf & Country Club di bahagian selatan, kawasan hutan di bahagian barat dan Malaysia Heritage Studios (dulu dikenali dengan nama Taman Mini Malaysia dan ASEAN[69]) di bahagian timur[70]. Zoo Melaka diiktiraf sebagai zoo kedua terbesar di Malaysia serta merupakan tarikan pelancongan rekreasi paling tertua di negeri Melaka[71].
Setakat Januari 2024, terdapat lebih daripada 1,200 ekor haiwan daripada 214 spesis berada di dalam zoo ini di mana kebanyakkan haiwan berasal dari kawasan Asia Tenggara, Afrika dan Australia[72]. Antara spesis haiwan yang berjaya dibiakkan di Zoo Melaka seperti Beruang Matahari (Helarctos malayanus)[73] dan orang utan[67]. Selain itu, zoo ini juga pernah dijadikan sebagai lokasi rintis pembiakan spesis Harimau Malaya pada tahun 2022[74].
Pada 1 Januari 2013, pengurusan Zoo Melaka dikendalikan oleh syarikat swasta, Konsortium KKW Sdn. Bhd. dan dijenamakan kepada Zoo Melaka dan Safari Night[75], namun pada 1 Oktober 2018, ianya telah berpindak milik ke kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)[76]. Zoo Melaka dipilih antara lokasi pelancongan pada waktu tengah malam menerusi program Tahun Melawat Melaka 2024, di mana waktu operasi zoo dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi[77].
Pusat membeli-belah
Ayer Keroh mempunyai beberapa pusat membeli-belah yang terkemuka. Antaranya ialah:
- Jusco Ayer Keroh
- Mydin Mall MITC Melaka
- Melaka Mall
Melaka Mall menempatkan beberapa pusat membeli-belah yang lain. Antaranya ialah Parkson, Giant dan panggung wayang MBO. Ia juga menempatkan pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.
Wakil rakyat
DUN Ayer Keroh, Melaka dimenangi oleh pembangkang, Khoo Poay Tiong dari parti DAP semasa Pilihan raya umum Malaysia 2008.
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.