Rosyam Nor
Pelakon, penerbit dan pengacara Malaysia / From Wikipedia, the free encyclopedia
Datuk Mohamed Noor Shamsuddin, DPSM, Melaka atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor (lahir 1 Mac 1967) merupakan seorang pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan Malaysia. Beliau ialah sepupu kepada pelakon Faizal Hussein.[1][2] Anugerah dan penghargaan beliau termasuk empat Anugerah Skrin dan lima Festival Filem Malaysia. Beliau juga telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai Pelakon Yang Paling Banyak Menerima Anugerah.[3][4][5][6] Rosyam memulakan kerjaya lakonannya pada 1986 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi watak Remy dalam filem Gila-Gila Remaja arahan bapa saudaranya, Allahyarham Hussein Abu Hassan, kemudian diikuti oleh Kanta Serigala pada 1991. Beliau kemudiannya muncul dalam dua filem arahan Aziz Sattar – Perawan Malam (1988) dan Tak Kisahlah Beb (1989) – dan dalam beberapa filem arahan Yusof Haslam termasuk Maria Mariana II (1998) dan Gerak Khas The Movie (2001).[7]
Rosyam Nor DPSM (Melaka) | |
---|---|
Kelahiran | Mohamed Noor bin Shamsuddin (1967-03-01) 1 Mac 1967 (umur 57) |
Pendidikan | Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) |
Pekerjaan | Pelakon, penerbit, pengacara, usahawan |
Tahun aktif | 1986–kini |
Terkenal kerana | Watak Remy dalam filem Gila-Gila Remaja |
Ketinggian | 1.80 cm (1 in) |
Pasangan | Datin Runika Mohd. Yusof (k. 1989) |
Anak-anak | 5 |
Ibu bapa |
|
Saudara |
|
Sebagai pengacara TV, Rosyam telah mengacarakan beberapa rancangan TV termasuk Modal Insan, Pilih Kasih dan Dai: Pendakwah Milenia dan juga menjadi model dan jurucakap bagi beberapa produk seperti Julie's dan Nona Roguy. Rosyam terkenal dengan peranannya di televisyen termasuk Kiranya Ku Tahu, Rindu Semakin Jauh, Masih Ada Cinta dan Sesuci Cinta Soffiya. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Runika Mohd Yusof dan dikurniakan lima orang anak perempuan.[8]
Rosyam merupakan penerbit dan Pengarah Urusan syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. yang bergiat aktif menerbitkan beberapa rancangan televisyen. Di luar kerjaya lakonannya, beliau juga bergiat aktif dalam bidang perniagaan.[9] Pada Mei 2019, Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang daripada 10 pelakon senior Malaysia paling laris sepanjang zaman.[10] Pada 8 Oktober 2019, Rosyam menerima Anugerah Keusahawanan Selebriti 2019 yang disampaikan oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM), Universiti Sains Malaysia (USM).[11][12]