From Wikipedia, the free encyclopedia
Sejarah Guatemala diagak bermula sekitar 12,00 tahun yang lalu.
Terdapat bukti pertama yang menunjukkan bahawa peneroka di Guatemala telah wujud sejak 10,000 SM lagi, walaupun sebilangan bukti yang lain, seperti mata panah obsidian yang ditemui di pelbagai tempat di negara itu, mentarikhkan peristiwa itu sebagai pada tahun 18,000 SM. Terdapat juga bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa para peneroka Guatemala yang awal merupakan pemburu dan pengumpul, tetapi sampel-sampel debunga dari Petén dan pantai Pasifik menunjukkan bahawa penanaman jagung telah dikembangkan menjelang 3500 SM. Tapak-tapak kuno telah didokumenkan di Quiché dan di Sipacate, Escuintla yang terletak di pantai Pasifik tengah (6500 SM).
Para ahli arkeologi membahagikan sejarah Mesoamerika pra-Columbia kepada tiga zaman:
Sehingga baru-baru ini, Zaman Pra-Klasik dianggap sebagai tempoh pembentukan, dengan petani-petani tinggal di desa-desa yang kecil yang tidak mempunyai banyak bangunan tetap. Bagaimanapun, tanggapan ini telah dicabar oleh penemuan-penemuan seni bina yang tersergam dan bersejarah baru-baru ini. Contoh-contohnya termasuk:
El Mirador merupakan kota yang mempunyai paling banyak penduduk di Amerika Pra-Columbia, dan mengandungi piramid yang terbesar di dunia, dengan isi padu sebanyak 2,800,000 meter padu (lebih kurang 200,000 lebih banyak, berbanding dengan Piramid Agung Kufu di Mesir). Mirador ialah negara pertama di Amerika yang terurus dari segi politik, dan dinamai "Kemaharajaan Kan" dalam teks-teks kuno. Adanya 26 buah kota dengan kesemuanya dikaitkan dengan Sacbeob (lebuh raya) yang banyak kilometer panjangnya, sehingga 40 meter lebarnya, dan 2 - 4 meter tingginya. Lebuh-lebuh raya itu diturap dengan simen halus yang dapat juga dilihat dengan jelas dari udara di antara hutan-hutan hujan dara tropika yang meluas di Mesoamerika.
Zaman Klasik bagi tamadun Mesoamerika merupakan kemuncak Tamadun Maya, dan dibayangkan oleh tapak-tapak tidak terkira banyaknya di seluruh Guatemala, walaupun tumpuan yang terbesar ialah di Petén. Zaman ini dicirikan oleh pembangunan kota yang bersungguh-sungguh, perkembangan negara-negara kota yang merdeka, serta hubungan dengan kebudayaan-kebudayaan Mesoamerika yang lain. Zaman ini berlangsung sehingga sekitar 900 Masihi ketika, tanpa sebarang alasan yang dapat difahami oleh para ahli arkeologi, tamadun Maya merosot dan meninggalkan banyak daripada kota-kotanya di tanah pamah tengah.
Zaman Pasca Klasik dibayangkan oleh kemaharajaan-kemaharajaan wilayah seperti Itzá dan Ko'woj di kawasan-kawasan tasik di Petén, Mam, Ki'ch'es, Kack'chiquel, Tz'utuh'il, Pokom'chí, Kek'chi, serta Chortí di Tanah Tinggi. Kota-kota ini memeliharakan banyak aspek kebudayaan Maya tetapi tidak pernah berupaya untuk mencapai saiz dan kuasa yang setanding dengan kota-kota klasik.
Selepas menemui Dunia Baru, Sepanyol melancarkan banyak ekspedisi yang aman ke Guatemala, mulai dari tahun 1518. Tidak lama kemudian, hubungan Sepanyol mengakibatkan wabak yang memusnahkan masyarakat asli (dipercayai sebagai penyakit Viruela, cacar Sepanyol), berdasarkan huraian dalam buku "Memorial de Sololá".
Hernán Cortés yang mengetuai penaklukan Mexico memberikan kebenaran kepada Kapten Pedro de Alvarado untuk menaklukkan tanah ini. Alvarado pada mula-mulanya bersekutu dengan negara Cakchiquel untuk bertempur melawan negara Quiché, pesaing tradisionalnya. Alvarado kemudian mengkhianati Cakchiquel, dan membawa seluruh kawasan itu di bawah penguasaan Sepanyol.
Semasa zaman penjajahan, Guatemala merupakan sebuah kawasan Kapten Jeneral (Capitanía General de Goathemala) Sepanyol, dan sebahagian Sepanyol Baru (Mexico). Wilayah itu terbentang dari kawasan Soconusco - kini di Mexico selatan (negeri-negeri Chiapas, dan Tabasco) - sehingga Costa Rica. Kawasan ini tidak kaya dengan galian (emas dan perak) berbanding dengan Mexico dan Peru, dan oleh itu, tidak dianggap penting. Keluaran-keluarannya yang utama termasuk tebu, koko, pewarna añil biru, pewarna merah daripada serangga kokineal, serta kayu-kayu berharga yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan gereja dan istana di Sepanyol.
Ibu kotanya yang pertama, Tecpan Goatemalan, yang diasaskan pada 25 Julai 1524 dengan nama Villa de Santiado de Goathemala, terletak berdekatan Iximché, ibu kota Kak'chik'el. Ia dipindah ke Ciudad Vieja pada 22 November 1527 apabila Kak'chik'el menyerang kota itu. Pada 11 September 1541, kota itu banjir ketika lagun di kawah Gunung Berapi Agua runtuh, akibat hujan lebat serta gempa bumi, dan dipindah 4 batu ke Antigua Guatemala di Lembah Panchoy, kini salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kota ini dimusnahkan oleh beberapa gempa bumi pada tahun-tahun 1773-1774, dan Raja Sepanyol memberikan kebenaran untuk memindahkan kawasan Kapten Jeneral itu ke kawasan kini di Virgen de El Carmen yang terletak di Lembah Ermita (dinamai sempena nama sebuah Gereja Katolik). Kawasan yang baru ini diasaskan pada 2 Januari 1776.
Pada 15 September 1821, Guatemala mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol. Republik Guatemala yang baru ini merangkumi kawasan Soconusco, kebanyakan Belize, serta apa yang kini merupakan negara-negara El Salvador, Honduras, Nicaragua, dan Costa Rica. Penduduk-penduduknya sebanyak 1.5 juta orang tertumpu di pusat-pusat bandar.
Pada 3 Oktober 1821, kawasan Kapten Jeneral Guatemala, (terdiri daripada Chiapas, Guatemala, El Salvador, Nicaragua, Costa Rica, dan Honduras) mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol dan penggabungannya ke dalam Empayar Mexico. Kawasan tersebut telah ditaklukkan oleh Sepanyol Baru pada sepanjang zaman penjajahan tetapi dari segi praktik, ditadbirkan secara berasingan. Kesemua kawasan ini kecuali Chiapas tidak lama kemudian berpisah daripada Mexico selepas Agustín I dari Mexico dipaksa turun takhta.
Kesemua provinsi Guatemala membentuk Provinsi-provinsi Bersatu Amerika Tengah yang juga dikenali sebagai Persekutuan Amerika Tengah (Federacion de Estados Centroamericanos). Ibu negaranya dikekalkan di Bandaraya Guatemala yang masih merupakan bandar raya yang mempunyai paling banyak penduduk di Amerika Tengah pada hari ini.
Sebuah tempoh politik yang tidak stabil menyusul, diburukkan oleh kejatuhan pasaran dunia untuk pewarna añil (nila), keluaran eksport Guatemala yang utama ke Eropah, disebabkan oleh rekaan pewarna tiruan. Ini mengakibatkan setiap provinsi meninggalkan Persekutuan antara tahun-tahun 1838 dan 1840, mulai dengan Costa Rica. Oleh itu, Guatemala menjadi sebuah negara merdeka.
Guatemala telah lama menuntut seluruh atau sebahagian kawasan Belize yang berjiran, dahulu sebahagian tanah jajahan Sepanyol dan kemudian diduduki oleh United Kingdom secara haram. Guatemala mengakui kemerdekaan Belize pada tahun 1991, tetapi pertikaian wilayah mereka tidak dapat diatasi. Perundingan-perundingan kini masih diadakan di bawah naungan Pertubuhan Negara-negara Amerika untuk menyelesaikannya. Sila lihat laman web Asil dan OAS. (Sumber utama: Historia General de Guatemala. ISBN 84-88622-07-4)
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.