jenis sekolah di Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Sekolah Berasrama Penuh (SBP) (Fully Residential School) merupakan kumpulan sekolah menengah berasrama yang diwujudkan bagi menyediakan suasana persekolahan yang terancang, terkawal dan kondusif bagi mengembangkan potensi murid yang cemerlang ke arah melahirkan modal insan berkualiti. Perkembangan SBP mula diberi penekanan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua (1975-1980).[1]
Sejarah penubuhan SBP bermula pada tahun 1890, ketika R.O. Winsted menjadi Timbalan dan kemudiannya menjadi Pengarah Pelajaran Tanah Melayu. Pada tahun tersebut “The Selangor Raja School” ditubuhkan sebagai memulakan langkah melahirkan elit Melayu daripada kalangan istana dan anak-anak pembesar negeri, menerusi pendidikan aliran Inggeris. Pada tahun 1894, sekolah ini telah ditutup untuk tujuan pengubahsuaian dan dilahirkan semula dalam bentuknya yang baru pada tahun 1905 di Kuala Kangsar, yang sehingga hari ini dikenali sebagai The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).[2]
Sultan Perak (Sultan Idris) dalam Persidangan Raja-Raja (DURBAR) pada tahun 1903 yang mengkritik dasar pentadbiran Inggeris, khususnya dalam hal pendidikan orang Melayu dengan mengatakan ia “hanya menghasilkan petani dan nelayan Melayu yang lebih baik”. Sultan Perak sendiri telah menawarkan lokasi penubuhan MCKK di tapak sekarang ini, dengan tujuan “for the education of the Malays of good family and for the training of Malay boys for admission to certain branches of the government service”. Pada tahun 1947, “Malay Girl College” ditubuhkan di Kuala Lumpur, kemudiannya berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan dan dikenali sebagai Kolej Tunku Kurshiah sehingga sekarang, sempena nama Raja Permaisuri Agong yang pertama.
Pada September 1955, sebuah Jawatankuasa Pelajaran telah ditubuhkan yang akhirnya melahirkan Penyata Razak pada tahun 1956. Laporan Penyata Razak kemudiannya diluluskan dan menghasilkan Ordinan Pelajaran 1957. Penyata Razak telah mencadangkan penubuhan enam buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu, Sekolah Dato’ Abdul Razak (1956), Sekolah Tun Fatimah (1956), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (1957), Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (1963), Sekolah Alam Shah (kini dinamakan Sekolah Sultan Alam Shah, 1963) dan Sekolah Seri Puteri (1968).
Pada tahun 1955, Kolej Islam Malaya telah ditubuhkan di atas tapak bekas istana, yang diwakafkan oleh Sultan Hisamuddin Alam Shah di Klang, Selangor. Pada tahun 1966, kolej ini berpindah ke Jalan Universiti di Petaling Jaya, Selangor. Pada tahun 1967, setelah kerja-kerja pengubahsuaian selesai, kolej ini berpindah semula ke Klang dan diberi nama Kolej Islam Klang. Pada tahun 1972, pentadbiran kolej ini diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan dinamakan sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Antara tahun 1973 hingga 1975, 10 buah SBP yang lain telah dibina menerusi Rancangan Malaysia Kedua.
Sehingga kini, Malaysia telah mempunyai 71 buah SBP: 11 buah SBP Premier, 45 buah Sekolah Menengah Sains (SMS), 12 buah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dan tiga buah Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP). Enam buah SBP merupakan sekolah lelaki dan enam buah SBP yang lain merupakan sekolah perempuan.
SBP Premier terdiri daripada beberapa buah sekolah berasrama penuh yang terawal ditubuhkan dan kebanyakannya diiktiraf sebagai sekolah berprestasi tinggi. Sehingga kini terdapat 11 buah sekolah yang tergolong dalam SBP Premier.
Konsep Sekolah Menengah Sains (SMS) mula ditubuhkan pada tahun 1973 apabila kemajuan pendidikan di kalangan murid luar bandar, khususnya dalam bidang sains mendapat perhatian daripada pemimpin negara. Oleh itu, antara projek penting yang perlu dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua dinyatakan sebagai: "an important project in the plan is the establishment of ten pilot residential secondary science schools to provide added educational opportunities for pupils from rural areas to pursue their education in science subjects.”
Sebanyak 10 buah Sekolah Menengah Sains yang terawal telah dibina di dalam Rancangan Malaysia Kedua. Sehingga kini, terdapat 46 buah Sekolah Menengah Sains yang telah dibina di serata negara. SM Sains Segamat menjadi Sekolah Menengah Sains yang paling baharu dibuka iaitu pada tahun 2024.
Konsep Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) mula ditubuhkan pada Januari 1982 atas cadangan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia pada waktu itu, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman. Idea ini muncul kerana kesedaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada ketika itu untuk membina sekolah Agama Islam di Kuala Lumpur. SMAP Labu merupakan SMAP pertama yang telah ditubuhkan pada tahun 1982. Sehingga kini terdapat tiga buah SMAP di serata negara iaitu di Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.
Konsep Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) mula ditubuhkan pada tahun 2002. Pada tahun 2002, empat buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang dinaik taraf sebagai SBP mula beroperasi. Sekolah-sekolah ini dinamakan sebagai Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI). Konsep integrasi menggabungkan 3 aliran iaitu Aliran Sains Tulen, Aliran Sains Tulen Agama dan Aliran Sains Teknikal. Sehingga kini terdapat 12 buah SBPI di seluruh negara.
Pada tahun 2014, SMAP Bentong menjadi SBP pertama yang melaksanakan program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA). Bagi SBP tersebut, para pelajar perlu menamatkan hafazan Al-Quran dalam tempoh lima tahun persekolahan. Sehingga kini terdapat empat SBP yang telah melaksanakan program ini termasuklah SBPI Batu Rakit, SBPI Rawang, SMAP Bentong dan SBPI Selandar.
Pendidikan di sekolah berasrama penuh adalah suatu usaha berterusan bagi menyediakan suasana persekolahan dan pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna untuk memupuk dan memperkembangkan kebolehan pelajar-pelajar berpontensi ke arah kecemerlangan sebagai insan dan warganegara yang seimbang dan bertanggungjawab terhadap tuntutan agama, bangsa dan negara.
Bil | Sekolah Berasrama Penuh | Jenis | Singkatan | Zon | Tahun ditubuhkan | Moto | Laman web rasmi sekolah |
---|---|---|---|---|---|---|---|
1 | Kolej Melayu Kuala Kangsar (The Malay College Kuala Kangsar) | SBP Premier | MCKK | Utara | 1905 | Fiat Sapientia Virtus (Kebijaksanaan Mutu Manusia) | |
2 | Kolej Tunku Kurshiah | SBP Premier | TKC | Selatan | 1947 | Rajin dan Usaha, Tangga Kemajuan | |
3 | Kolej Islam Sultan Alam Shah | SBP Premier | KISAS | Tengah | 1955 | Bersama Merangkul Keunggulan | [] |
4 | Sekolah Dato' Abdul Razak | SBP Premier | SDAR | Selatan | 1956 | Berilmu untuk Berjasa | |
5 | Sekolah Tun Fatimah | SBP Premier | STF | Selatan | 1956 | Berusaha Tangga Kejayaan | |
6 | Sekolah Tuanku Abdul Rahman | SBP Premier | STAR | Utara | 1957 | Ilmu Panduan Hidup | |
7 | Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim | SBP Premier | JENAN | Utara | 1963 | Belajar dan Berbakti | |
8 | Sekolah Sultan Alam Shah | SBP Premier | SAS | Tengah | 1963 | Chita, Usaha, Jaya | |
9 | Sekolah Seri Puteri | SBP Premier | SSP | Tengah | 1968 | Ilmu, Usaha, Jaya | |
10 | Sekolah Menengah Sains Johor | SMS | SMSJ | Selatan | 1973 | Budi, Karya, Bakti, Ikhlas | |
11 | Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah | SMS | MOZAC | Selatan | 1973 | Bersikap Membina | |
12 | Sekolah Menengah Sains Selangor | SMS | SMSS | Tengah | 1973 | Budi, Usaha, Bakti | |
13 | Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah | SMS | SEMSAS | Timur | 1973 | Hidup Berjasa | |
14 | Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud | SBP PREMIER | SESMA | Timur | 1973 | Disiplin, Kualiti, Dedikasi | |
15 | Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa | SMS | SEMOJI | Utara | 1973 | Berilmu dan Berbudi | |
16 | Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra | SBP Premier | FARIS | Timur | 1973 | Sains Asas Kemajuan | |
17 | Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar | SMS | STJ | Selatan | 1973 | Maju Sempurna | |
18 | Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra | SMS | SYED PUTRA | Utara | 1973 | Tekun, Usaha, Jaya | |
19 | Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin | SMS | TUN SYED | Utara | 1973 | Ilmu Asas Kemajuan | |
20 | Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu | SMAP | SMAPL | Selatan | 1982 | Ilmu, Iman, Amal | |
21 | Sekolah Menengah Sains Dungun | SMS | SMSD | Timur | 1982 | Berilmu, Berdisiplin, Berbakti | |
22 | Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah | SMS | SERATAS | Utara | 1982 | Berdisiplin, Berilmu, Berbakti | |
23 | Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub | SMS | SEMESTA | Timur | 1983 | Ilmu, Amal, Budi | |
24 | Sekolah Menengah Sains Machang | SMS | SMACH | Timur | 1983 | Berilmu, Berusaha, Berbakti | |
25 | Sekolah Menengah Sains Muar | SMS | SAMURA | Selatan | 1983 | Berilmu, Berbakti | |
26 | Sekolah Menengah Sains Sabah | SMS | SMESH | SQL | 1984 | Teguh, Setia, Budi | |
27 | Sekolah Menengah Sains Teluk Intan | SMS | SEMESTI | Utara | 1984 | Ilmu Teras Hidup | |
28 | Sekolah Menengah Sains Labuan | SMS | SMEXCEL | SQL | 1985 | Usaha, Jaya, Bakti | |
29 | Sekolah Menengah Sains Lahad Datu | SMS | SHIELD | SQL | 1988 | Berilmu, Bersatu, Terus Maju | |
30 | Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang | SMAP | SMAPK | Tengah | 1989 | Ilmu, Iman, Amal | |
31 | Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan | SMS | SHAH Pekan | Timur | 1989 | Ilmu, Amal, Budi | |
32 | Sekolah Menengah Sains Miri | SMS | SAINSRI | SQL | 1990 | Berusaha, Berilmu, Beramal | |
33 | Sekolah Menengah Sains Kuching | SMS | SAINSKU | SQL | 1994 | Berilmu, Berwawasan | |
34 | Sekolah Menengah Sains Pokok Sena | SMS | SAINA | Utara | 1995 | Berilmu, Beramal, Bertaqwa | |
35 | Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi | SMS | SAKTI | Selatan | 1996 | Ilmu, Bakti, Kualiti | |
36 | Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor | SMS | KUSESS | Tengah | 1996 | Berilmu, Beramal, Berbakti | |
37 | Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh | SMS | SCIPP | Timur | 1998 | Ilmu, Amal, Gemilang | |
38 | Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu | SMS | SESTER | Timur | 2000 | Menjana Kecemerlangan Jati Diri | |
39 | Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor | SMS | SEMASHUR | Tengah | 2000 | Usaha, Amal, Bakti | |
40 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol | SBPI | INTEJ | Selatan | 2002 | Ilmu Memantapkan Iman | |
41 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang | SBPI | SEPINTAR | Tengah | 2002 | Sumber Penjana Muslim Bestari | |
42 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam | SBPI | INTESABER | Tengah | 2002 | Ilmu, Iman, Istiqamah | |
43 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh | SBPI | INSOFT | Timur | 2002 | Ilmu, Iman, Amal | |
44 | Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir | SMS | SASER | Selatan | 2002 | Berilmu, Beriman, Berbakti | |
45 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak | SBPI | INSTAR | Timur | 2003 | Beyond Success | |
46 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar | SBPI | SISME | Selatan | 2003 | Cemerlang, Berwawasan | |
47 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit | SBPI | BRAINS | Timur | 2003 | Berilmu, Berakhlak, Berkualiti | |
48 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak | SBPI | INTEGOMB | Tengah | 2003 | Benar, Tepat, Efektif | |
49 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng | SBPI | I-GOP | Utara | 2003 | Ilmu, Amal, Iman | |
50 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan | SBPI | INTEK | Timur | 2003 | Membentuk Generasi Pemimpin | |
51 | Sekolah Menengah Sains Alam Shah | SMS | ASIS | Tengah | 2003 | Kreatif, Inovatif, Produktif | |
52 | Sekolah Menengah Sains Seri Puteri | SMS | SESERI | Tengah | 2003 | Proaktif, Inovatif, Efektif | |
53 | Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar | SMS | ISKANDAR | Selatan | 2003 | Sepakat, Bestari, Progresif, Inovatif | |
54 | Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu | SBPI | I-KUPS | Utara | 2004 | Cemerlang, Gemilang, Terbilang | |
55 | Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh | SMS | SABDA | Utara | 2009 | Unggul Terbilang | |
56 | Sekolah Menengah Sains Kepala Batas | SMS | SAKBA | Utara | 2009 | Kualiti Pemangkin Kecemerlangan | |
57 | Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu | SMS | KUPSIS | Utara | 2009 | Sukses, Kreatif, Produktif | |
58 | Sekolah Menengah Sains Rembau | SMS | SEMESRA | Selatan | 2009 | Tekun, Bersatu, Berjaya, Terbilang | |
59 | Sekolah Menengah Sains Tapah | SMS | SESTA | Utara | 2010 | Berilmu, Bertakwa | |
60 | Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu | SMS | SAHUT | Timur | 2011 | Menjana Kecemerlangan Jati Diri | |
61 | Sekolah Menengah Sains Sembrong | SMS | SASEM | Selatan | 2011 | Ihsan, Ilmu, Khalifah | |
62 | Sekolah Menengah Sains Setiu | SMS | SAIS | Timur | 2011 | Ilmu, Sahsiah, Gemilang | |
63 | Sekolah Menengah Sains Banting | SMS | BASiS | Tengah | 2012 | Berilmu, Beramal, Berbakti | |
64 | Sekolah Menengah Sains Batu Pahat | SMS | SEHEBAT | Selatan | 2012 | Integriti, Kredibiliti, Inovatif | |
65 | Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong | SMAP | SUPERB | Timur | 2013 | Melangkaui Kecemerlangan | |
66 | Sekolah Menengah Sains Jeli | SMS | JeSS | Timur | 2013 | Ilmu, Amal, Taqwa | |
67 | Sekolah Menengah Sains Kuching Utara | SMS | SAKURA | SQL | 2013 | Ilmu, Integriti, Iltizam | |
68 | Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani | SMS | SGS | Selatan | 2014 | Modal Insan Aspirasi Negara | |
69 | Sekolah Menengah Sains Gua Musang | SMS | GUAMSS | Timur | 2015 | Ilmu, Budi, Kebijaksanaan | |
70 | Akademi Sains Pendang | SMS | PENDETA | Utara | 2021 | Nurturing Leaders in Humanising Technology | |
71 | Sekolah Menengah Sains Alor Gajah | SMS | SAGA | Selatan | 2023 | Beriman, Berilmu, Berjasa | |
72 | Sekolah Menengah Sains Segamat | SMS | SESS | Selatan | 2024 | Holistik, Inovatif, Progresif |
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.