Remove ads
Presiden Singapura kelima From Wikipedia, the free encyclopedia
Ong Teng Cheong, (22 Januari 1936 – 8 Februari 2002), ialah Presiden Singapura yang kelima dan juga presiden pertama yang dilantik melalui suara majoriti rakyat. Beliau berkhidmat selama enam tahun dari 1 September 1993 hingga 31 Ogos 1999.[1]
Ong Teng Cheong | |
---|---|
王鼎昌 ஒங் டெங் ஜோங் | |
Presiden Singapura ke-5 | |
Dalam jawatan 1 September 1993 – 31 Ogos 1999 | |
Perdana Menteri | Goh Chok Tong |
Didahului oleh | Wee Kim Wee |
Digantikan oleh | S. R. Nathan |
Timbalan Perdana Menteri Kedua Singapura | |
Dalam jawatan 2 Januari 1985 – 1 September 1993 | |
Presiden | Devan Nair (1981–1985) Wee Kim Wee (1985–1993) |
Perdana Menteri | Lee Kuan Yew |
Didahului oleh | S. Rajaratnam |
Digantikan oleh | Lee Hsien Loong |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Ong Teng Cheong 22 Januari 1936 Singapura, Negeri-negeri Selat (kini Singapura) |
Mati | 8 Februari 2002 66) Singapura | (umur
Tempat semadi | Pusat Menyimpan Abu Mayat Mandai |
Kewarganegaraan | Cina |
Parti politik | Calon bebas (1993–2002) Parti Tindakan Rakyat (1972–1993) |
Pasangan | Ling Siew May (m. 1963–1999) (meninggal) |
Tempat belajar | Universiti Liverpool Universiti Adelaide The Chinese High School |
Bidang pengkhususan | Arkitek |
Dilahirkan pada 22 Januari 1936, Ong merupakan anak kedua dari lima adik beradik dan berasal daripada keluarga kelas pertengahan. Bapanya yang menerima pendidikan dalam aliran bahasa Inggeris percaya bahawa pengetahuan dalam bahasa Cina penting untuk seseorang itu berjaya dalam dunia perniagaan dan oleh itu telah menyekolahkan anak-anaknya di sekolah aliran Cina. Ong lulus dengan kepujian dari sekolah The Chinese High School (kini sebahagian daripada Institusi Hwa Chong) pada tahun 1955.
Pada tahun 1956, Ong telah melanjutkan pelajarannya dalam jurusan seni bina di Universiti Adelaide dengan bakal isterinya Ling Siew May.[2] Ong dan Ling pertama kali bertemu di sebuah pesta Krismas apabila mereka masih menuntut di sekolah menengah.[3]
Selepas menerima ijazah, Ong bekerja sebagai seorang arkitek di Adelaide, Australia, dan berkahwin dengan Ling pada tahun 1963.[4] Pada tahun 1965, Ong menerima biasiswa Colombo Plan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam jurusan perancangan bandar di Universiti Liverpool dan lulus pada tahun 1967. Pada tahun yang sama, Ong bertugas di Kementerian Pembangunan Negara sebagai perancang bandar. Setelah empat tahun berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan awam, Ong bersara dan memulakan firma arkiteknya sendiri, Ong & Ong Architects, dengan isterinya.[5]
Kerjaya politik Ong berlangsung selama 21 tahun. Sepanjang kerjayanya, Ong telah menjadi Anggota Parlimen, Menteri Kabinet dan Timbalan Perdana Menteri sebelum bersara untuk menjadi presiden pertama yang dilantik melalui pilihan raya umum pada tahun 1993.
Ong memulakan kerjaya politiknya melalui penglibatannya dengan aktiviti akar umbi di Seletar. Beliau kemudian diperkenalkan kepada perdana menteri pada masa itu, Lee Kuan Yew.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) kemudian mencalonkan beliau sebagai kandidat di kawasan undi Kim Keat dalam pilihan raya umum 1972. Tiga tahun kemudian, Ong dilantik sebagai Menteri Kanan di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian. Kemudian, semasa beliau berkhidmat sebagai menteri di Kementerian Pembangunan Negara, Ong telah menyokong dengan kuat pembangunan Sistem Gerak Cepat (MRT), sebuah projek pembangunan terbesar dalam sejarah Singapura. Ong dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua pada 1985.
Pada 1983, Ong menggantikan Lim Chee Onn sebagai setiausaha agung kesatuan sekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Dari segi sejarah, kesatuan-kesatuan sekerja bukan komunis yang dipimpin oleh NTUC mempunyai hubungan yang erat dengan pemerintah PAP dalam sebuah sistem pakatan tiga pihak. NTUC juga merupakan sekutu politik PAP dan telah membantu parti itu untuk mencapai kemenangan pada tahun 1960an. Namun pada tahun 80an, hubungan antara NTUC dan PAP menjadi semakin renggang.
Ketua-ketua akar umbi yang lanjut usia sering diketepikan daripada membuat keputusan-keputusan penting dalam NTUC. Menurut penganalisa Michael Barr, pucuk pimpinan NTUC dikuasai oleh teknokrat PAP yang tidak ada hubungan dengan gerakan kesatuan sekerja. PM Lee Kuan Yew berasa Lim, sebagai setiausaha agung NTUC, tidak berjaya merapatkan jurang di antara ketua-ketua kesatuan sekerja dengan golongan elit pemerintah. Disebabkan itu, Lee mengumumkan bahawa Lim akan dilepskan dari jawatannya di NTUC dan akan digantikan oleh Ong Teng Cheong.[6]
Ong telah bekerja keras untuk membaiki hubungan di antara pemerintah dengan kesatuan sekerja. Selepas beberapa bulan bertugas sebagai setiausaha agung, Ong telah berdepan dengan pucuk pimpinan Kesatuan Pekerja Industri Petroleum (United Workers Of Petroleum Industry - UWPI) dan meyakinkan mereka untuk menerima usulan sistem kesatuan sekerja dalam syarikat. Pada tahun 1985, Ong menyokong secara rasmi dasar pemerintah dalam isu ini semasa perundingan Triennial Delegates Conference.
Walaupun aksi mogok tidak dibenarkan dan kesatuan sekerja dilarang berbincang dengan pekerja tentang isu naik pangkat, penggajian, pembuangan dari kerja, pengurangan tenaga kerja dan lain-lain lagi, pemerintah rata-ratanya banyak memperkenalkan langkah-langkah untuk melindungi kebajikan pekerja sejak tahun 1960an. Pertikaian antara pekerja dan majikan sering akan ditangani oleh Mahkamah Timbang Tara Perusahaan yang mempunyai kuasa yang besar.[7]
Ketua-ketua akar umbi di dalam kesatuan sekerja pula semakin risau akan penyisihan mereka dari arena politik negara. Peter Vincent, Presiden NTUC dari 1980 to 1984, menyatakan teknokrat PAP sepatutnya bertugas sebagai "penasihat NTUC sahaja sehingga mereka mendapat mandat daripada gerakan kesatuan sekerja". Sebagai respons, Ong telah meningkatkan "kerjasama dengan rakan sekerjanya di NTUC".
Ong merupakan seorang penyokong kuat kesatuan sekerja. Beliau "berusaha keras untuk mempertahankan dan mengutamakan hak kesatuan sekerja, sesuatu yang tidak pernah dilihat di dalam diri bekas setiasuasa agung NTUC, Lim". Disebabkan pengaruh besar yang dimiliki oleh Ong, banyak kesatuan sekerja yang telah bekerjasama dalam melaksanakan strategi-strategi perusahaan permerintah.
Pada Januari 1986, Ong meluluskan sebuah aksi mogok dalam perusahaan perkapalan kerana percaya "pihak pengurusan telah mengambil kesempatan atas para pekerja mereka". Namun, Ong tidak memaklumkan kepada Kabinet akan keputusannya kerana khuatir Kabinet akan menghalangnya.
Ong mengimbas kembali peristiwa ini dalam sebuah interviu dengan majalah Asiaweek: "Ada di antara mereka (anggota Kabinet) yang marah dengan saya terutama sekali Menteri Perdagangan dan Industri dan pegawai-pegawainya. Mereka menerima panggilan dari Amerika bertanya apa yang telah terjadi kepada Singapura"[8] Tony Tan, Menteri Perdagangan dan Industri pada masa itu, menentang dengan hebat aksi mogok itu kerana khuatir dengan reaksi pelabur ataupun impak ke atas pelaburan asing yang diperlukan untuk mencipta pekerjaan-pekerjaan baharu. Ong pula melihat aksi mogok ini sebagai suatu kejayaan: "Saya mempunyai tugas yang harus dijalankan..[aksi mogok itu] hanya mengambil masa 2 hari. Semua isu yang dipertikaikan telah diselesaikan. Peristiwa ini hanya membuktikan bahawa pihak pengurusan cuba mencari jalan untuk mengambil kesempatan."
Sebagai setiausaha agung NTUC, Ong juga telah menganjurkan sebuah bantahan raksasa seramai 4,000 orang terhadap pemerintah Amerika Syarikat atas campur tangan Setiausaha Pertamanya, E. Mason Hendrikson, dalam sebuah pilihan raya umum tempatan.[9]
Ong telah dilantik sebagai president kelima Singapura pada 1993.[10]. Ong mendapat sokongan daripada PAP untuk bertanding jawatan ini. Ong telah bertanding dengan Chua Kim Yeow, bekas akauntan negara. Sebanyak 1,756,517 undi telah dibuang. Ong menerima 952,513 undi manakala Chua menerima 670,358 undi, walaupun Ong lebih giat berkempen dan lebih menonjolkan diri.[11] Semasa menjadi Presiden, Ong banyak memulakan projek-projek kebajikan, antaranya yang terkenal ialah President's Star Charity.[12]
Sejurus selepas pelantikannya sebagai presiden, Ong terlibat dalam satu perbalahan dengan pemerintah tentang isu mengakses maklumat rizab kewangan negara itu. Pemerintah mengatakan bahawa maklumat itu akan mengambil masa yang sangat lama untuk disiapkan. Ong berbincang dengan Akauntan Negara tentang perkara ini dan kemudian hanya meminta untuk mengisytiharkan sahaja semua asetnya dalam bentuk senarai yang boleh disiapkan dalam masa beberapa bulan. Namun, senarai yang lengkap hanya dapat disiapkan oleh pemerintah setelah 3 tahun maklumat itu diminta oleh Ong.[13]
Dalam sebuah interviu dengan majalah Asiaweek, enam bulan setelah bersara dari jawatan presiden,[14] Ong mengatakan bahawa beliau meminta supaya rizab negara diaudit kerana memang sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai presiden untuk melakukannya.
Pada tahun terakhir kepresidenannya (1998), Ong dapat tahu daripada akhbar tempatan bahawa pemerintah ingin mengemukakan rang undang-undang untuk menjual Post Office Savings Bank (POSB) kepada The Development Bank of Singapore. POSB pada masa itu merupakan badan berkanun pemerintah dan rizabnya berada di bawah jagaan Presiden. Menurut Ong, usulan ini tidak mengikuti prosedur yang sesuai dan langkah pemerintah seperti tidak menghiraukan kedudukan Ong sebagai penjaga rizab. Ong telah menghubungi pucuk pemimpin pemerintah untuk memaklumkan tentang perkara ini. Namun, di sebalik usahanya, pemerintah telah menjual bank POSB kepada DBS.[14]
Ong menerima Darjah Kesatria Grand Cross of the Order of St Michael and St George (GCMG) daripada Queen Elizabeth II pada 1998.[15]
Ong memutuskan untuk tidak bertanding bagi penggal kedua sebagai presiden pada 1999 atas beberapa sebab; antaranya ialah kematian isterinya. Ong berundur dari jawatan Presiden pada umur 63 tahun dan digantikan oleh S. R. Nathan.
Isteri Ong, Ling Siew May, meninggal dunia pada 30 Julai 1999 selepas penyakit barahnya kambuh. Beliau berumur 62 tahun.
Ong pula meninggal dunia pada 8 Februari 2002 akibat penyakit limfoma pada pukul 8:14 malam di rumahnya setelah dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari sebelumnya. Beliau berumur 66 tahun dan meninggalkan dua orang anak, Tze Guan dan Tze Boon.
Keluarga Ong memutuskan untuk tidak menjalankan upacara pengebumian negara kerana tarikh kematiannya terlalu dekat dengan perayaan Tahun Baru Cina. Sebelum Ong meninggal, beliau pernah berpesan bahawa abunya harus disemadikan di Pusat Menyimpan Abu Mayat Mandai bersama rakyat jelata daripada dimakamkan di Tanah Perkuburan Negara Kranji. Buat kali pertama, bendera Singapura dikibarkan setengah tiang di semua bangunan pemerintah sebagai penghormatan terakhir.[16]
Biasiswa Keprofesoran Muzik Ong Teng Cheong telah dilancarkan oleh Universiti Nasional Singapura pada 2 Oktober 2002 bagi memperingati Ong.[17]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.