One Two Jaga
From Wikipedia, the free encyclopedia
Remove ads
One Two Jaga[a] merupakan sebuah filem drama jenayah Malaysia 2018 arahan Namron terbitan bersama Jazzy Pictures, KL POST dan Pixel Play serta diedarkan oleh Primeworks Studios dan TGV Pictures. Ia dibintangi oleh Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Asmara Abigail, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah, Along Eyzendy, Namron, Azman Hassan dan Izuan Fitri. Filem ini ditayangkan pada 6 September 2018.[1]
Remove ads
Sinopsis
Berkisarkan tentang kisah di sebalik tabir pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia, yang mana ia memaparkan sisi gelap segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah.
Pelakon
- Zahiril Adzim sebagai Hussein
- Rosdeen Suboh sebagai Hassan
- Ario Bayu sebagai Sugiman
- Asmara Abigail sebagai Sumiyati
- Amerul Affendi sebagai Adi
- Iedil Putra sebagai Marzuki
- Timothy Castillo sebagai Rico
- Chew Kin Wah sebagai James
- Along Eyzendy sebagai Zul
- Namron sebagai Dato'
- Azman Hassan sebagai Pak Sarip
- Izuan Fitri sebagai Joko
- Alif Aiman sebagai Afiq
- Vanida Imran sebagai Rozita, isteri Hassan
- Anne James sebagai Guru Besar
- Ho Yuhang sebagai Pemilik Restoran
- Sabri Yunus sebagai Penjual
- Farah Ahmad sebagai Pegawai Penyiasat
- Bront Palarae sebagai Pegawai Penyiasat
- Rahhim Omar sebagai Ketua Balai Polis
- Sahronizam Noor sebagai Pegawai Imigresen
- Han Zalini sebagai Pendatang
Remove ads
Penerbitan
One Two Jaga pertama kali muncul apabila treler konsep filem ini dikeluarkan di YouTube pada tahun 2014.[2] Ia diarahkan oleh Namron yang sebelum ini mengarahkan PSIKO: Pencuri Hati (2013). Beliau turut menulis skrip bersama Ayam Fared, Pitt Hanif, Amri Rohayat dan Muhammad Syafiq. Bront Palarae dan isteri, Rozi Isma berkhidmat sebagai penerbit untuk Pixel Play.[3]
Untuk filem ini, Namron mengetengahkan gejala rasuah sebagai subjek utama. Barisan pelakon terdiri daripada pelakon dari Malaysia dan Indonesia, termasuk Sofia Jane, Zaidi Omar, Amerul Affendi, Ario Bayu dan Asmara Abigail.[4] Skrip filem ini pernah ditolak sebanyak dua kali oleh bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebelum diolah semula.[5]
Keluaran dan sambutan
Tayangan
One Two Jaga pada mulanya dirancang untuk ditayangkan sahaja di pelbagai festival filem asing. Walau bagaimanapun, penerbit memutuskan bahawa filem itu juga harus ditayangkan di pawagam Malaysia. Filem ini menerima tarikh keluaran tayangan rasmi, iaitu pada 6 September 2018.[6]
Filem ini telah dipertontonkan buat julung kali pada malam pembukaan Festival Filem Timur Jauh ke-20 di Udine, Itali pada 20 April 2018.[7][8][9] Pada 29 Jun 2018, One, Two, Jaga mewakili Malaysia di Festival Filem New York Asia ke-17 yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat.[10] One, Two, Jaga merupakan kegagalan komersial, Namron kemudian meluahkan rasa kecewanya di laman Twitter apabila melihat kedudukan carta filem tersebut kurang mendapat sambutan.[11][12]
Ulasan kritis
Shazryn Mohd Faizal dari mStar Online menyifatkan One Two Jaga sebagai "sebuah karya mahal Nam Ron dan rakan-rakan", beliau berkata: "Walaupun One Two Jaga pastinya tidak mampu mencatatkan kutipan puluhan juta ringgit tetapi nilai estetika, eksklusif dan jiwa yang mahal itulah yang menjadikan One Two Jaga wajar dihargai dan dihormati."[13]
Remove ads
Adaptasi novel
Sebuah novel adaptasi filem ini, setebal 283 mukasurat juga menggunakan tajuk sama telah ditulis oleh Sahidzan Salleh dan diterbitkan oleh Buku FIXI dan dikeluarkan pada Mei 2018.[14]
Anugerah
One, Two, Jaga terpilih sebagai salah satu daripada 7 filem Asia yang bersaing bagi kategori Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Asia New York 2018 kali ke-17.[15] Di Festival Filem Malaysia ke-30 yang berlangsung pada 30 Mac 2019, One Two Jaga telah memenangi 6 anugerah termasuk Filem Terbaik.[16] Di Anugerah MeleTOP Era 2019, One Two Jaga tersenarai antara 20 filem[17] yang dicalonkan bagi kategori Filem MeleTOP. Bagaimanapun, ia dimenangi oleh Munafik 2.
Remove ads
Nota
- juga dikenali sebagai Crossroads: One, Two, Jaga untuk pasaran antarabangsa.
Rujukan
Pautan luar
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Remove ads