From Wikipedia, the free encyclopedia
Kitin (C8H13O5N)n(/[invalid input: 'icon']ˈkaɪtᵻn/) merupakan sejenis polimer berantai panjang daripada N-asetilglukosamina, iaitu terbitan glukosa, dan ditemui di pelbagai tempat di seluruh alam semula jadi. Ia merupakan komponen utama bagi dinding sel kulat, rangka luar haiwan artropod seperti krustasia (cth. ketam, udang karang dan udang) dan serangga, radula moluska, dan paruh sefalopod (cth. sotong). Dari segi struktur, kitin boleh dibandingkan dengan polisakarida selulosa dan, dari segi fungsi pula, dengan protein keratin. Chitin juga terbukti berkesan untuk sesetengah tujuan perubatan dan perindustrian.
Istilah "kitin" berasal dari bahasa Perancis iaitu chitine yang mula-mula tersiar pada tahun 1836. Istilah-istilah ini berasal dari bahasa Yunani iaitu chitōn yang bermaksud moluska, yakni dipengaruhi oleh satu lagi perkataan Yunani iaitu khitōn yang bermaksud "tunik" atau "frok". Perkataan itu mungkin berasal dari perkataan Semitik tengah *kittan, perkataan Akkad kitû atau kita’um yang bermaksud flaks atau linen, dan perkataan Sumeria gada atau gida.[1]
Struktur kitin diselesaikan oleh Albert Hofmann pada tahun 1930. Kitin merupakan sejenis polisakarida terubah suai yang mengandungi nitrogen; ia disintesiskan daripada unit-unit N-asetilglukosamina (secara tepatnya, 2-(asetilamino)-2-deoksi-D-glukosa). Unit-unit ini membentuk rangkaian β-1,4 kovalen (yang serupa dengan rangkaian di antara unit-unit glukosa yang membentuk selulosa). Oleh itu, kitin boleh ditakrifkan sebagai selulosa dengan satu kumpulan hidroksil pada setiap monomer yang diganti dengan suatu kumpulan amina asetil. Ini membolehkan bertambah eratnya ikatan hidrogen sesama polimer yang bersebelahan, maka menguatkan lagi matriks kitin-polimer.
Dalam bentuk tak terubahsuainya, kitin adalah lutcahaya, mudah dilenturkan, membingkas, dan agak tahan lasak. Bagaimanapun, bagi artropod, ia lazimnya terubah suai menjadi terbenam dalam sklerotin, sejenis matriks berprotein samak yang membentuk sebahagian besar rangka luar. Dalam bentuk jatinya, kitin berasa keras, tetapi bagi kebanyakan invertebrat ia lazimnya didapati sebagai komponen bahan komposit. Digabungkan dengan kalsium karbonat, seperti dalam cangkerang krustasia, ia menghasilkan komposit yang lebih kuat, lebih keras dan kaku daripada kitin yang jati, lebih tahan lasak daripada bahan mineral itu sendiri.[2] Satu lagi perbezaan antara kitin jati dan komposit boleh dilihat dengan membandingkan dinding tubuh yang mudah lentur di antara segmen-segmen beluncas (terutamanya kitin) dengan elitron yang kaku dan ringan pada kumbang (yang mengandungi sejumlah besar sklerotin).[3]
Kebanyakan kajian terkini menunjukkan bahawa kitin merupakan pengaruh yang baik untuk mekanisme pertahanan dalam tumbuhan.[4] Ia turut dinilai sebagai sejenis baja yang boleh meningkatkan hasil tanaman pada keseluruhannya.[5] EPA memantau penggunaan kitin untuk pertanian di Amerika Syarikat.[6] Kitosan dihasilkan daripada kitin secara pendeasetilan.
Kitin digunakan dalam pelbagai proses perindustrian. Ia digunakan sebagai bahan penambah untuk menebalkan dan menstabilkan makanan dan bahan farmaseutikal. Kitin juga bertindak sebagai pengikat dalam pencelup warna, fabrik, dan bahan lekat.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.