From Wikipedia, the free encyclopedia
Perusahaan reroti[1] (bahasa Inggeris: bakery, bakeri[1]) merupakan sebuah perniagaan melibatkan sama ada yang kecil seperti kedai (yakni kedai kek atau kedai roti[2]) atau yang besar (yakni kilang roti[3]) untuk menghasil dan menjual makanan berasaskan tepung seperti roti, biskut, kek, donat, bagel, pastri dan pai yang dibakar dalam ketuhar besar khas.[4] Perusahaan roti kecil adakala menjual barangannya secara runcit sambil menghidangkan kopi dan teh kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan di dalam premis tersebut (serupa kafe). Barangan kuih-muih juga dibuat di kebanyakan kedai roti di seluruh dunia.
Makanan reroti telah wujud selama beribu-ribu tahun. Seni penghasilan makanan bakeri telah dikembangkan sejak awal zaman Empayar Rom. Ia merupakan seni penghasilan makanan yang sangat terkenal kerana rakyat Rom menggemari makanan reroti dan sering memintanya untuk majlis-majlis penting seperti jamuan besar-besaran dan kenduri perkahwinan. Kerana kemasyhuran seni penghasilan reroti, sekitar 300 SM, penghasilan reroti telah diperkenalkan sebagai salah satu pekerjaan dan profesion yang disanjungi oleh orang Rom. Pembuat roti mula memasak roti menggunakan batu kilangan untuk mengilang atau mengisar bijirin menjadi tepung yang dibakar dalam ketuhar rumah sendiri. Permintaan terhadap barangan reroti berterusan, dan kumpulan sekerja pembuat roti (bakery guild) pertama ditubuhkan pada 168 SM di Rom. Keinginan untuk barangan reroti mengembangkan cara pembuatan reroti di seluruh Eropah dan tersebar ke bahagian timur Asia. Pembuat roti mula membakar roti dan barangan lain di rumah dan menjualnya di jalanan.
Trend ini lama kelamaan menjadi kebiasaan, dan tidak lama kemudian, produk reroti banyak dijual di tepi jalan di Rom, Jerman, London dan banyak tempat lain. Sistem penghantaran barangan reroti terus ke rumah timbul apabila permintaan meningkat secara ketara. Ini mendorong pembuat roti untuk mewujudkan satu tempat di mana orang ramai boleh membeli barangan reroti secara berpusat. Pasar terbuka pertama untuk barangan reroti telah ditubuhkan di Paris, dan sejak itu pasar perusahaan reroti telah menjadi tempat biasa untuk membeli barangan lazat dan bersosial. Menjelang zaman penjajahan, bentuk pasar perusahaan reroti sudah menjadi kebiasaan. [5]
Pada 7 Julai 1928, sebuah kedai roti di Chillicothe, Missouri memperkenalkan roti yang dihiris menggunakan mesin penghiris roti automatik, yang dicipta oleh Otto Frederick Rohwedder . Walaupun roti itu pada mulanya gagal dijual, disebabkan rupanya yang "selekeh", dan dengan fakta hirisan roti ini lebih cepat rosak, penghasilan hirisan roti ini kemudian menjadi popular.[6] Sewaktu Perang Dunia II mesin penghiris roti telah diharamkan terus, kerana logam di dalamnya diperlukan untuk kegunaan peperangan. Apabila penghiris dituntut oleh kerajaan pada ketika itu sehingga terkumpulnya 100 tan aloi logam, keputusan itu terbukti sangat tidak disukai oleh para suri rumah.[7]
Perang Dunia Kedua secara langsung menjejaskan industri perotian di UK. Sekolah bakeri ditutup pada masa ini, jadi apabila perang berakhir terdapat kekurangan tukang roti yang mahir. Ini menyebabkan kaedah baharu dibangunkan untuk memenuhi keinginan dunia terhadap roti, termasuk bahan tambahan kimia, bahan pracampuran dan mesin khusus. Kaedah lama membakar hampir terhapus sepenuhnya apabila kaedah baru ini diperkenalkan dan bidang reroti diindustrikan. Kaedah lama dilihat sebagai tidak diperlukan dan sukar dibuat dari segi kewangan. Dalam tempoh ini tidak banyak kedai roti tradisional yang tinggal.
Sesetengah perusahaan reroti menyediakan perkhidmatan untuk majlis khas (seperti perkahwinan, ulang tahun, parti hari jadi, acara rangkaian perniagaan, dsb.) atau produk bakar yang tersesuai untuk orang yang mempunyai alahan atau sensitif terhadap makanan tertentu (seperti kekeras, kacang tanah, tenusu atau gluten, dsb.). Perusahaan reroti boleh menyediakan pelbagai reka bentuk kek seperti kek lembaran, kek lapis, kek perkahwinan, kek bertingkat, dsb. Sesetengah perusahaan reroti yang lain pula mungkin pakar dalam produk bakar jenis tradisional atau jenis buatan tangan yang terhasil melalui pengadunan tepung kisar tempatan, tanpa agen peluntur tepung atau agen rawatan tepung, dan jenis roti tersebut kadangkala dikenali sebagai rotiartisan.[4]
Di kebanyakan negara, banyak kedai runcit dan pasar raya menjual "roti yang dihiris" (roti prabungkus/prahiris), kek dan pastri lain. Mereka juga mungkin menawarkan perkhidmatan penghasilan roti terus di kedai, dengan produk sama ada dibakar sepenuhnya di tapak atau sebahagian bakar sebelum dihantar ke kedai,[8] dan sesetengahnya menawarkan perkhidmatan menghias kek. [5] Namun begitu, ramai orang masih memilih untuk mendapatkan barangan bakar mereka dari kedai roti artisan kecil, mungkin disebabkan kebiasaan tradisi atau ketersediaan lebih banyak aneka produk bakar, atau disebabkan ciri produk reroti yang lebih berkualiti tinggi. [4]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.