Husky

jenis anjing From Wikipedia, the free encyclopedia

Husky

Husky[a] ialah istilah umum untuk sejenis anjing yang digunakan di kawasan kutub, terutamanya dan khususnya untuk kerja sebagai anjing kereta luncur salji. Ia merujuk jenis utara tradisional, yang terkenal dengan toleransi cuaca sejuk dan ketahanan keseluruhannya.[1][2] Husky lumba moden yang mengekalkan trait baka Artik (juga dikenali sebagai husky Alaska) mewakili baka silang sentiasa berubah-ubah bagi anjing terpantas.[3][4]

Thumb
Husky kereta luncur salji yang berehat selepas perlumbaan

Husky terus digunakan dalam perlumbaan kereta luncur salji anjing, serta perniagaan ekspedisi dan pelancongan gaya trek, dan sebagai kaedah pengangkutan penting dalam komuniti luar bandar.[5] Husky juga dibela sebagai haiwan peliharaan dan banyak kumpulan bekerja untuk mencarikan rumah haiwan peliharaan baharu untuk anjing lumba dan anjing trek kembara bersara.[6]

Etimologi

Thumb
Seekor husky Siberia dengan heterokromia

Istilah "husky" mula-mula digunakan pada pertengahan hingga lewat tahun 1700-an. Pada masa ini, "Esquimaux" atau "Eskimo" ialah istilah lazim untuk penduduk Artik pra-Columbus di Amerika Utara. Beberapa pilih atur dialek digunakan termasuk Uskee, Uskimay, dan Huskemaw. Oleh itu, anjing yang digunakan oleh orang Artik ialah anjing orang Huskie dan akhirnya hanya anjing husky.[7][8] Para peneroka Kanada dan Amerika, yang tidak begitu arif tentang geografi Rusia, kemudian melanjutkan perkataan itu kepada anjing tarikan Chukotka yang diimport dari Rusia, lalu membangkitkan istilah husky Siberia.

Sejarah

Thumb
Husky Labrador yang sedang diberi makan oleh lelaki Inuit

Kedekatan genetik hampir semua anjing dengan serigala kelabu disebabkan oleh percampuran.[9] Walau bagaimanapun, beberapa baka Artik juga menunjukkan kedekatan genetik dengan serigala Taimyr di Asia Utara yang kini pupus kerana percampuran: husky Siberia dan anjing Greenland (yang juga dikaitkan dari segi sejarah dengan populasi manusia Artik) dan sehingga takat lebih rendah, shar pei dan spits Finland. Graf percampuran bagi anjing Greenland menunjukkan angka paling cocok 3.5% bahan kongsi; walau bagaimanapun, perkadaran keleluhuran antara 1.4% dengan 27.3% adalah tekal dengan data dan menunjukkan percampuran antara serigala Taimyr dengan leluhur kepada keempat-empat baka latitud tinggi ini.

Introgresi ini dapat memberi anjing awal yang tinggal di latitud tinggi variasi fenotip yang bermanfaat untuk penyesuaian terhadap persekitaran baharu dan mencabar, yang menyumbang dengan ketara kepada perkembangan husky. Ini juga menunjukkan bahawa keleluhuran baka anjing zaman kini diturunkan daripada anjing dari lebih daripada sebuah rantau.[10]

Ciri

Husky bertenaga dan atletik. Ia dibezakan dengan ketahanan dan toleransi cuaca sejuk, yang berbeza dengan banyak anjing kereta luncur salji pecut moden yang diterbitkan daripada baka silang hound dan anjing penuding dan anjing pecut baka tulen yang tidak mempunyai atau mengekalkan kualiti ini.[11] Begitu juga, ia dibezakan daripada laika, kerana tidak dikembangkan untuk tujuan utama pemburuan binatang buruan dan mangsa.[12]

Husky biasanya mempunyai lapis bulu ganda tebal yang mungkin terdapat dengan pelbagai warna.[13] Lapis bulu ganda pada umumnya melindungi husky daripada musim sejuk teruk dan, bertentangan kepercayaan kebanyakan orang, ia dapat bertahan dalam iklim lebih panas. Semasa iklim lebih panas, husky cenderung untuk menggugurkan lapis bulu bawahnya dengan kerap untuk menyejukkan badannya. Selain salin bulu, husky mengawal tabiat pemakanannya berdasarkan musim; dalam iklim lebih sejuk, ia cenderung untuk memakan jumlah banyak, lalu menyebabkan penghadamannya menghasilkan haba, manakala dalam iklim lebih panas, ia kurang memakan.[14] Matanya biasanya berwarna biru pucat, walaupun mungkin juga berwarna perang, hijau, biru, kuning, atau heterokromik. Husky lebih terdedah kepada sesetengah tahap uveitis berbanding dengan kebanyakan baka lain.[15]

Baka

Ini ialah senarai baka anjing yang mengandungi "husky" dalam nama. Untuk melihat senarai lengkap baka kereta luncur salji, lihat Anjing kereta luncur salji.

Husky Alaska

Thumb
Seekor husky Alaska

Anjing yang paling lazim digunakan dalam perlumbaan kereta luncur salji anjing,[16] iaitu husky Alaska, ialah anjing baka kacuk[17] yang dibiabakakkan khusus untuk prestasinya sebagai anjing kereta luncur salji.[18] Husky Alaska moden mencerminkan tempoh 100 tahun atau lebih bagi pembiakbakaan silang dengan anjing penuding Inggeris, anjing gembala Jerman, saluki, dan baka lain untuk memperbaik prestasinya.[11] Ia biasanya berukuran seberat 18–34 kg (40–75 lb) dan mungkin mempunyai bulu lebat atau licin. Husky Alaska mempunyai sedikit keserupaan dengan baka husky tipikal yang merupakan asalnya, atau dengan satu sama lain.[18]

Husky Labrador

Thumb
Husky Labrador

Husky Labrador berasal dari rantau Labrador di Kanada. Baka ini barang kali tiba di kawasan ini dengan orang Inuit yang datang ke Kanada sekitar pada sekitar tahun 1300 M. Walaupun namanya sedemikian, husky Labrador tidak berkaitan dengan anjing pengutip Labrador, tetapi sebenarnya paling berkait rapat dengan anjing Eskimo Kanada. Terdapat anggaran 50–60 ekor husky Labrador di dunia.[19][20]

Husky Sakhalin

Thumb
Tugu Peringatan Husky Sakhalin di Jepun

Husky Sakhalin ialah satu baka tempatan terancam genting dan laika kereta luncur salji yang dikaitkan dengan Pulau Sakhalin dan kawasan bersebelahan.[21][22][23] Ia juga dikenali sebagai anjing Karafuto, laika Sakhalin, atau laika Gilyak.[24] Walaupun dibiakbakakan terutamanya sebagai anjing kereta luncur salji, husky Sakhalin juga digunakan untuk pemburuan beruang dan memancing.[18][23] Terdapat hampir-hampir 20 ekor husky Sakhalin yang tersisa di Pulau Sakhalin.[23]

Husky Siberia

Thumb
Seekor husky Siberia hitam dan putih

Husky Siberia adalah lebih kecil daripada malamut Alaska yang kelihatan serupa. Ia merupakan keturunan anjing tarikan Chukotka yang dibiakbakakan dan digunakan oleh orang asli Chukchi di Siberia, orang yang berasal dari Paleosiberia, pada sekitar tahun 2000 SM.[25] Sebagai anjing yang diimport ke Alaska pada awal tahun 1900-an, ia digunakan sebagai anjing pekerja dan anjing kereta luncur salji perlumbaan di Nome, Alaska sepanjang tahun 1910-an, dan kerap mendominasi All-Alaska Sweepstakes.[26] Ia kemudian dibiakbakakan secara meluas oleh musher rekreasi dan penggemar anjing pertunjukan di Amerika Syarikat dan Kanada sebagai husky Siberia, selepas kepopularan yang diperoleh daripada pengangkutan serum ke Nome tahun 1925.[27] Husky Siberia berdiri setinggi 20–23.5 inci (51–60 cm), berukuran seberat 35–60 paun (16–27 kg) (35–50 lb (16–23 kg) untuk betina, 45–60 lb (20–27 kg) untuk jantan), dan telah dibiakbakakan secara terpilih untuk kedua-dua penampilan dan keupayaan penarikan.[28] Ia masih digunakan dengan kerap kini sebagai anjing kereta luncur salji oleh para musher kompetitif, rekreasi, dan pemandu pelancong.[29]

Husky Sungai Mackenzie

Istilah husky Sungai Mackenzie memerihalkan beberapa populasi tempatan bertindihan bagi anjing jenis anjing kereta luncur salji Artik dan sub-Artik, yang tiada salah satu pun daripadanya membentuk baka. Anjing dari Wilayah Yukon disilangkan dengan baka besar Eropah seperti anjing Santo Bernard dan anjing Newfoundland untuk mewujudkan anjing pengangkut berkuasa yang mampu bertahan dalam keadaan keras Artik semasa Kerubut Emas Klondike.[30]

Lihat juga

Catatan

  1. Jawi: هسکي; bahasa Inggeris: husky

Rujukan

Pautan luar

Loading related searches...

Wikiwand - on

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.