Gigantopithecus
From Wikipedia, the free encyclopedia
Gigantopithecus (dari bahasa Yunani Purba γίγας gigas "gergasi", dan πίθηκος pithekos "kera") adalah satu genus mawas yang sudah pupus. Ia dipercayai wujud dari kira-kira sembilan juta tahun hingga seratus ribu tahun yang lalu, pada masa yang sama dengan tersebarnya Homo erectus,[2] di tempat yang kini dikenali sebagai India, Vietnam, China dan Indonesia, maka Gigantopithecus terletak pada jangka masa dan tempat yang sama dengan beberapa spesies hominin.[3][4] Rekod fosil primat menunjukkan bahawa spesies Gigantopithecus blacki adalah primat terbesar yang diketahui pernah hidup, berdiri setinggi 3 m (9.8 ka) dengan beratnya sebanyak 540–600 kg (1,190–1,320 lb), [2][5][6][7] walaupun sesetengah pihak berpendapat bahawaia mungkin lebih kecil, pada ketinggian kira-kira 1.8–2 m (5.9–6.6 ka) dan beratnya 180–300 kg (400–660 lb). [8][9][10][11]
Gigantopithecus | |
---|---|
![]() | |
Acuan tulang rahang bawah G. blacki | |
Pengelasan saintifik ![]() | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Haiwan |
Filum: | Chordata |
Kelas: | Mammalia |
Order: | Primates |
Suborder: | Haplorhini |
Infraorder: | Simiiformes |
Keluarga: | Hominidae |
Subkeluarga: | Ponginae |
Tribus: | †Sivapithecini |
Genus: | †Gigantopithecus von Koenigswald, 1935[1] |
Spesies jenis | |
Gigantopithecus blacki von Koenigswald, 1935 | |
Species | |
†G. blacki |
Taksonomi
Tinggalan Gigantopithecus pertama yang dihuraikan oleh ahli antropologi ditemui pada tahun 1935 oleh Ralph von Koenigswald di sebuah kedai ubat. Gigi dan tulang fosil sering dikisar jadi serbuk untuk digunakan dalam beberapa cabang perubatan tradisional Cina. [12] Von Koenigswald menamakan spesies yang diteorikan itu sebagai Gigantopithecus. [8]
Sejak itu, agak sedikit fosil Gigantopithecus yang ditemui. Selain daripada gigi-gigi geraham yang diperoleh dari kedai-kedai perubatan tradisional Cina, banyak contoh gigi dan tulang rahang Gigantopithecus blacki yang ditemui di Gua Liucheng di Liuzhou, China.[13] Tapak-tapak lain yang menghasilkan penemuan penting terletak di Vietnam dan India.[3][6] Penemuan ini menunjukkan bahawa taburan Gigantopithecus berada di Asia Tenggara. Terdapat tiga spesies bernama Gigantopithecus yang sudah pupus, iaitu G. blacki, G. bilaspurensis, dan G. giganteus.
Pada tahun 1955, 47 G. gigi blacki ditemui dalam hantaran "tulang naga" (juga dikenali sebagai "tulang nujum") di China. Pengesanan jejak gigi ini kepada sumbernya membuahkan penemuan lebih banyak gigi dan sebatang tulang rahang besar yang cukup lengkap. Menjelang tahun 1958, tiga batang tulang rahang dan lebih daripada 1,300 gigi telah pulih. Tinggalan Gigantopithecus didatangkan dari tapak-tapak di Hubei, Guangxi, dan Sichuan, dari gudang-gudang pengedaran produk perubatan Cina, dan juga dari mendapan gua. Bukan semua tinggalan China ditarikhkan pada zaman yang sama, malah fosil-fosil yang ditemui di Hubei nampaknya lebih lewat, apatah lagi lebih besar daripada tempat-tempat lain di China.[14]
Ahli antropologi fizikal dan paleoprimotologi Cina, Dong Tichen mengusulkan bahawa Gigantopithecus mempunyai beberapa ciri khas yang tersendiri. Oleh itu, ia merupakan cabang yang bebas sepenuhnya dalam salasilah prmat. Tichen menganggap Gigantopithecinae sebagai subkeluarga baru dengan Gigantopithecus sebagai genus jenisnya, yang secara logiknya tergolong dalam Pongidae dan bukan Hominidae.[15]
Gigantopithecus blacki (yang dinamakan sempena rakan sekerja von Koenigswald, Davidson Black[16]) hanya diketahui melalui fosil gigi dan tulang rahang yang terdapat di tapak gua di China Selatan dan Vietnam. Ia lebih besar daripada gigi dan tulang rahang gorila yang hidup, tetapi saiz dan struktur seluruh tubuh sukar ditentukan secara tepat kerana tiada penemuan tambahan. Kaedah penarikhan telah menunjukkan bahawa G. blacki wujud selama sekurang-kurangnya satu juta tahun sehingga ia pupus kira-kira 100,000 tahun yang lalu setelah hidup sezaman dengan manusia yang moden dari segi anatomi (Homo sapiens) selama puluhan ribu tahun, bahkan hidup bersama H. erectus yang mendahului kemunculan H. sapiens.[3] Pada tahun 2014, buat kali pertama, gigi fosil dan tulang rahang G. blacki ditemui di Indonesia.[17][18]
Sesetengah gua di mana gigi telah ditemui bukanlah gua tetapi hanya retakan ketika mawas purba ini masih ada. Diusulkan bahawa tulang Gigantopithecus dibawa ke tapak gua-gua tersebut oleh landak raksasa yang mengunyah tulang sebagai sumber kalsium. Ini mungkin dapat menjelaskan kekurangan penemuan tulang Gigantopithecus masa kini.[19][11]
Evolusi
Dahulunya, Gigantopithecus blacki dianggap bersaudara rapat dengan hominin terawal, terutamanya Australopithecus, berdasarkan bukti pada gigi geraham; ini kini dianggap sebagai hasil daripada evolusi konvergen.[20] Gigantopithecus kini ditempatkan dalam subkeluarga Ponginae bersama orang utan.[21]
Gigantopithecus bilaspurensis merupakan mawas fosil yang sangat besar yang dikenal pasti daripada beberapa tulang rahang dan gigi dari India. Spesies ini hidup sekitar 6 hingga 9 juta tahun yang lalu pada zaman Miosen. Walaupun bersaudara dengan G. blacki, tetapi ia dipindahkan ke dalam genusnya sendiri, Indopithecus giganteus, sekitar tahun 2013. Lama-kelamaan G. bilaspurensis ditukar namanya menjadi Gigantopithecus giganteus.[22]
Ditarikhkan pada kira-kira lima juta tahun sebelum G. blacki, diketahuinya spesies berasingan Gigantopithecus giganteus daripada sisa-sisa yang teramat berkecai dari utara India dan China. Di wilayah Guangxi, China, gigi spesies ini ditemui dalam bentukan batu kapur di Daxin dan Wuming, utara Nanning. G. giganteus dipercayai hanya mencapai kira-kira separuh saiz G. blacki.[5][6] Berdasarkan penemuan fosil yang jarang ini, G. giganteus merupakan haiwan maun yang besar, tinggal di tanah dan gemar makan buluh dan daun-daun.
Huraian
Tidak dipastikan cara Gigantopithecus berjalan kerana tidak ditemuinya tulang pelvis atau kakinya. Paling umum dianggap bahawa ia berjalan dengan keempat-empat kaki seperti gorila dan cimpanzi moden. Walau bagaimanapun, ada segelintir pihak, khususnya Grover Krantz, yang percaya bahawa ia berjalan dengan dua kaki, tetapi anggapan ini hanya berdasarkan sebilangan kecil tulang rahang yang dijumpai, semuanya berbentuk U dan melebar ke belakang, membolehkan terletaknya tenggorokan di dalam rahang supaya tengkorak dapat terletak tepat pada tulang belakang erat sepenuhnya seperti pada manusia moden, dan bukannya di hadapan seperti pada mawas besar yang lain.
Majoriti menganggap bahawa berat badan yang begitu besar akan menimbulkan tekanan hebat pada batang kaki, pergelangan kaki, dan kaki makhluk itu jika ia berjalan dengan dua kaki; manakala jika ia berjalan dengan keempat-empat kaki seperti gorila, beratnya akan lebih seimbang untuk setiap kaki.

Berdasarkan bukti fosil, G. blacki jantan dewasa dipercayai berketinggian sekitar 3 m (9.8 ka) dengan berat badan sebanyak 540–600 kg (1,190–1,320 lb),[2][5][6][7] iaitu tiga hingga empat kali lebih berat gorila moden dan tujuh hingga lapan kali berat saudara terdekatnya iaitu orang utan. Jantan besar mungkin mempunyai jarak rentang lebih daripada 3.6 m (11.8 ka). Spesies ini mempunyai dimorphisme seks yang amat ketara yang mana betina dewasa adalah kira-kira separuh berat jantan.[6] Disebabkan perbezaan besar antara spesies dari segi saiz gigi dan badan, ada yang berpendapat bahawa G. blacki jantan dewasa mungkin jauh lebih kecil daripada disangka, iaitu pada tinggi kira-kira 1.8–2 m (5.9–6.6 ka) dan berat badan 180–300 kg (400–660 lb).[8][9][10][11]
Rupa bentuk Gigantopithecus tidak diketahui kerana tinggalan fosilnya yang bercerai-berai. Ia mungkin menyerupai gorila moden kerana gaya hidupnya dikatakan serupa dengan gorila. Akan tetapi, sesetengah saintis berpendapat bahawa ia kelihatan lebih mirip saudara terdekatnya, iaitu orang utan. Gigantopithecus dipercayai tidak banyak pemangsa apabila dewasa sepenuhnya. Sungguhpun begitu, individu yang lebih muda, lemah, atau cedera mungkin terdedah kepada ancaman dari kucing besar, ular besar, buaya, <i>machairodont</i>, dubuk, dan H. erectus. Namun ada yang berpendapat bahawa mawas purba ini walaupun dewasa dan sihat tetap diancam pemangsa-pemangsa tersebut.
Paleobiologi
Genus ini tinggal di Asia dan barangkali mendiami hutan buluh kerana fosilnya sering dijumpai seiringan dengan nenek moyang kepada panda gergasi. Kebanyakan bukti menunjukkan bahawa Gigantopithecus merupakan haiwan maun.
Kepupusan
Gigantopithecus mungkin pupus kira-kira 100,000 tahun yang lalu kerana perubahan iklim pada era Pleistosen mengubah taburan tumbuhan dari hutan ke savana, menyebabkan sumber makanannya merosot. Gigantopithecus tidak memakan rumput, akar dan daun yang merupakan sumber makanan yang dominan di savana.[23][24][25]
Terdapat juga spekulasi bahawa persaingan dengan H. erectus mungkin telah menyumbang kepada kepupusan Gigantopithecus, berdasarkan penemuan kedua-dua fosil H. erectus dan Gigantopithecus di China Selatan yang menunjukkan bahawa kedua-dua spesies itu mungkin wujud bersama pada satu masa. Kewujudan bersama ini mungkin membawa kepada persaingan untuk merebut makanan seperti buluh yang semakin jarang didapati ekoran perubahan iklim pada kala Pleistosen.[26][27]
Rujukan
Wikiwand - on
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.