F-16 Fighting Falcon adalah pesawat pejuang pelbagai peranan Amerika Syarikat yang dibangunkan oleh firma General Dynamics untuk Tentera Udara Amerika Syarikat. Direka sebagai pesawat pejuang ringan, pesawat ini kemudian berkembang dan menjadi pesawat pejuang pelbagai peranan yang berjaya. Sifat serba boleh ini menjadi sebab paling utama Falcon laris dijual di pasaran eksport, dan kini berkhidmat di 24 negara lain.[3] Pesawat F-16 merupakan program pesawat pejuang Barat terbesar dengan lebih 4,000 buah pesawat dibina sejak pengeluarannya dimulakan pada tahun 1976. Walaupun ia sudah tidak dikeluarkan untuk Tentera Udara A.S., pesawat ini masih dikeluarkan untuk dieksport.[4] Pada tahun 1993, General Dynamics menjual perniagaan pembuatan pesawatnya kepada Lockheed Corporation,[5] yang mana menjadi sebahagian daripada Lockheed Martin selepas penggabungan dengan Martin Marietta pada tahun 1995.[6]

Fakta Segera Peranan, Pengeluar ...
F-16 Fighting Falcon
Thumb
Pesawat F-16C Fighting Falcon milik Tentera Udara A.S. di ruang udara Iraq pada tahun 2008
Peranan Pelbagai peranan
Pengeluar General Dynamics
Lockheed Martin
Penerbangan sulung 2 Februari 1974
Mula digunakan 17 Ogos 1978
Status Aktif
Pengguna utama Tentera Udara Amerika Syarikat
25 pengguna lain (lihat Senarai pengguna pesawat F-16 Fighting Falcon)
Jumlah dibina 4,604 (Jun 2018)[1][2]
Kelainan General Dynamics X-62 VISTA
Tutup

Fighting Falcon merupakan pesawat pejuang dengan inovasi seperti tenda gelembung tanpa bingkai untuk darjah penglihatan yang lebih baik, tuas kawalan di sisi untuk memudahkan kawalan ketika di bawah Daya G tinggi, dan tempat duduk bersandar untuk mengurang kesan daya G terhadap juruterbang. Ia juga merupakan pesawat pejuang pertama yang dibina untuk dapat menahan pusingan 9-G. Ia mempunyai nisbah tujahan-kepada-berat melebihi satu, memberikan kuasa yang cukup untuk memanjat dan memecut menegak ke atas - sekiranya perlu.[7] Walaupun nama rasmi bagi pesawat F-16 adalah "Fighting Falcon", ia dipanggil oleh beberapa juruterbangnya sebagai "Viper", sempena nama pesawat pejuang bintang dalam siri Battlestar Galactica.[8]

Pembangunan

Thumb
Pesawat F-16CJ Fighting Falcon dengan persenjataan peluru berpandu udara ke udara dan SEAD.

Pesawat F-16 adalah pesawat berenjin tunggal dan pesawat pejuang taktikal pelbagai peranan. Ia dilengkapi dengan meriam M61 Vulcan pada pangkal sayap sebelah kiri. Pesawat ini kebiasaannya membawa 2 peluru berpandu AIM-9 Sidewinder, setiap satunya pada rel khas di hujung sayap. Versi pesawat terkini boleh dilengkapkan dengan peluru berpandu AIM-120 AMRAAM. Pesawat ini boleh membawa pelbagai jenis peluru berpandu udara ke udara dan udara ke darat, roket atau bom. Senjata-senjta ini dipasang pada tengekkan (pilon) yang terletak di bawah sayap.

Sejak awal lagi, pesawat F-16 bertujuan untuk menjadi satu pesawat yang menjimatkan kos, boleh melaksanakan pelbagai misi dan bersedia pada sebarang masa. Ia lebih ringkas dan ringan daripada pesawat-pesawat yang terdahulu, tetapi mempunyai bentuk aerodinamik dan sistem avionik yang termaju, termasuk pesawat pertama yang menggunakan sistem kawalan penerbangan terbang dengan wayar (mendapat nama gelaran "jet elektrik"), bagi mengekalkan keupayaan yang baik.

Sejarah operasi

Thumb
Pengguna pesawat F-16, pengguna utama dalam warna biru, pengguna kecil dalam warna biru muda, dan pesanan dicadang atau dibatalkan dalam warna kuning.

Israel

Thumb
Pesawat F-16A Netz 107 daripada Tentera Udara Israel dengan 6.5 tanda bunuh ke atas pesawat lain dan satu tanda bunuh ke atas sebuah reaktor nuklear Iraq, satu rekod dunia untuk pesaat F-16[9]

Kejayaan pertama pertempuran udara ke udara bagi pesawat F-16 oleh Tentera Udara Israel (IAF) terjadi di Lembah Bekaa pada 28 April 1981, menentang sebuah helikopter Mi-8 milik Syria, yang mana dijatuhkan dengan menggunakan tembakan meriam.[10] Pada 7 Jun 1981, 8 buah pesawat F-16 Israel yang diiringi oleh pesawat F-15 melaksanakan Operasi Opera, operasi udara ke permukaan penting mereka. Serangan ini menyebabkan kerosakan teruk pada reaktor nuklear yang masih dalam pembinaan di Osirak, berdekatan Baghdad, Iraq. Ia dilakukan bagi mengelakkan kerajaan Saddam Hussein menggunakan reaktor ini untuk membuat senjata nuklear.[11]

Pada tahun berikutnya, semasa Perang Lubnan 1982 pesawat F-16 Israel menentang pesawat Tentera Udara Syria dalam satu pertempuran udara terbesar yang melibatkan pesawat jet, yang mana bermula pada 9 Jun dan berlangsung sehingga dua hari berikutnya. Pesawat F-16 milik Tentera Udara Israel berjaya memusnahkan 44 buah pesawat dalam pertempuran udara ke udara semasa konflik ini.[10][12]

Pada Januari 2000, Israel melengkapkan pembelian 102 buah pesawat "F-16I" baru dalam satu perjanjian yang bernilai AS$4.5 bilion.[13] F-16 juga digunakan dalam peranan serangan darat di sasaran-sasaran di Lubnan. F-16 Israel juga terlibat dalam Perang Lubnan 2006 dan serangan ke atas Gaza pada Disember 2008.[14] Semasa dan selepas Perang Lubnan 2006, F-16 Israel juga berjaya menembak jatuh dron UAV buatan Iran yang dilancarkan oleh Hezbollah, menggunakan peluru berpandu udara ke udara Rafael Python 5.[15][16]

Pakistan

Thumb
Pesawat pejuang F-16 Pakistan

Semasa Perang Afghanistan-Soviet antara Mei 1986 hingga Januari 1989, pesawat F-16 milik Tentera Udara Pakistan telah menembak jatuh sekurang-kurangnya lapan buah pesawat yang menceroboh daripada Afghanistan. Tiga buah pesawat pertama (sebuah Su-22, sebuah kemungkinan Su-22, dan sebuah An-26) telah ditembak jatuh oleh dua orang juruterbang daripada Skuadron No. 9. Para juruterbang daripada Skuadron No. 14 pula berjaya memusnahkan lima buah pesawat penceroboh yang lain (dua buah Su-22, dua buah MiG-23, dan sebuah Su-25).[17] Kebanyakan pesawat ini dimusnahkan oleh peluru berpandu udara ke udara AIM-9 Sidewinder, dengan sekurang-kurangnya sebuah pesawat Su-22 dengan menggunakan tembakan meriam. Leftenan Penerbangan Khalid Mahmoud diberi kredit kerana berjaya memusnahkan 3 buah pesawat. Sebuah pesawat F-16 telah musnah semasa dalam pertempuran udara yang melibatkan dua buah F-16 dan 4 buah pesawat MiG-23 milik Tentera Udara Soviet pada 29 April 1987; juruterbang F-16 berjaya melenting keluar.[18]

Tentera Udara Pakistan menggunakan armada pesawat F-16 miliknya dalam pelbagai latihan dalaman dan dengan negara luar, seperti latihan "Indus Vipers" pada tahun 2008 yang dilakukan bersama-sama dengan Turki.[19] Sejak Mei 2009, Tentera Udara Pakistan juga menggunakan armada pesawat F-16 mereka untuk menyerang kedudukan militan dan menyokong Tentera Darat Pakistan di dalam operasi di utara dan barat Pakistan menentang Taliban.[20] Setakat November 2011, pesawat F-16 telah membuat 5,500 operasi penerbangan. Lebih daripada 80% daripada senjata yang digugurkan adalah bom panduan laser.[21]

Pesawat F-16 Pakistan juga membuat rondaan di sepanjang sempadan India-Pakistan semasa Konflik Kargil dan semasa ketegangan dengan India pada tahun 2008.[22]

Mesir

Pada 16 Februari 2015, pesawat F-16 Tentera Udara Mesir telah melakukan serangan udara ke atas simpanan senjata dan kem latihan milik tentera mujahidin di Libya bagi membalas dendam akan pembunuhan 21 orang pekerja oleh militan bertopeng yang dikaitkan dengan Islamic State (ISIS). Serangan udara ini membunuh 64 orang pejuang ISIS, termasuk 3 orang pemimpin di Derna dan pantai Sirte.[23]

Turki

Thumb
Sebuah F-16D milik Tentera Udara Turki

Tentera Udara Turki memperoleh pesawat F-16 pertamanya pada tahun 1987. Armada F-16 ini juga telah terbabit di Bosnia dan Herzegovina dan Kosovo sejak tahun 1993 bagi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu.[24]

Pada 18 Jun 1992, sebuah pesawat Mirage F-1 milik Greece telah terhempas dalam satu pertempuran udara dengan sebuah pesawat F-16 Turki.[25][26][27] Pada 8 Februari 1995, sebuah pesawat F-16 Turki terhempas ke dalam Laut Aegean selepas dipintas oleh sebuah pesawat Mirage F1 Greece.[28][29]

Pada 8 Oktober 1996, 7 bulan selepas peningkatan ketegangan ke atas Imia sebuah pesawat Mirage 2000 Greece dilaporkan telah melepaskan peluru berpandu R.550 Magic II dan menjatuhkan sebuah pesawat F-16D Turki[30][31] di Laut Aegean. Juruterbang Turki ini terkorban, sementara pembantunya berjaya melenting keluar dan diselamatkan oleh tentera Greece.[27][32][33] Pada bulan Ogos 2012, selepas sebuah pesawat RF-4E terhempas di pantai Syria, Menteri Pertahanan Turki İsmet Yılmaz mengesahkan bahawa sebuah pesawat F-16D Turki telah ditembak jatuh oleh pesawat Mirage 2000 Greece dengan menggunakan peluru berpandu R.550 Magic II selepas menceroboh ruang udara Greek berdekatan pulau Chios.[34]

Pada 23 Mei 2006, dua buah pesawat F-16 Greece telah memintas sebuah pesawat peninjauan RF-4 dan dua buah pesawat pengiring F-16 milik Turki di luar pantai pulau Karpathos Greece, dalam kawasan Athens FIR. Seatu pertempuran udara berlaku di antara kedua-dua belah pihak, menyebabkan berlakunya perlanggaran di udara[35] di antara pesawat F-16 Turki dan Greece. Juruterbang Turki berjaya melenting keluar, akan tetapi juruterbang Greece telah terkorban di sebabkan kerosakan semasa perlanggaran.[36][37]

Turki menggunakan pesawat F-16 secara ekstensif dalam konflik dengan pemisah Kurds di wilayah Kurdish di Turki dan Iraq. Turki melancarkan serangan merentasi sempadannya buat pertama kali pada 16 Disember 2007, satu permulaan kepada serbuan Turki ke utara Iraq 2008, melibatkan 50 buah pesawat pejuang sebelum Operasi Matahari. Ini merupakan pertama kali Turki melakukan operasi pengeboman pada waktu malam berskala besar, dan juga merupakan operasi terbesar yang dilakukan oleh Tentera Udara Turki.[38]

Semasa Perang Saudara Syria, pesawat F-16 Turki telah ditugaskan untuk melindungi ruang udara di sempadan Syria. Selepas kejatuhan pesawat RF-4 pada Jun 2012 Turki telah mengubah peraturan tempurnya menentang pesawat Syria, mengakibatkan beberapa pesawat tempur Syria ditembak jatuh.[39] Sebuah pesawat F-16 milik Tentera Udara Turki telah menembak jatuh sebuah Sukhoi Su-24 milik Tentera Udara Rusia di sempadan Syria-Turki pada 24 November 2015.[40]

Lain-lain

Thumb
Pesawat F-16IQ Tentera Udara Iraq

Tentera Udara Diraja Belanda, Tentera Udara Belgium, Tentera Udara Diraja Denmark, Tentera Udara Diraja Norway, Tentera Udara Pakistan, dan Tentera Udara Venezuela telah menerbangkan pesawat F-16 mereka dalam misi-misi tempur.[41][42] Sebuah pesawat MiG-29 telah ditembak jatuh oleh peswat F-16AM Belanda semasa Perang Kosovo pada tahun 1999.[43] Pesawat F-16 Belgiun dan Denmark juga terlibat dalam operasi bersama di Kosovo semasa perang.[43] Armada pesawat F-16 Belanda, Belgium, Denmark dan Norway juga diaturgerak semasa campur tangan di Libya dan Afghanistan pada tahun 2011.[44] Di Libya, F-16 milik Norway telah menggugurkan hampir 550 bom dan menerbangkan 596 misi,[45] dengan 17% daripadanya adalah misi serangan[46] termasuk pengeboman ibu pejabat Muammar Gaddafi.[47]

Kelainan

Thumb
Sebuah F-16A Tentera Udara Portugal dipasang dengan peluru berpandu AIM-9 Sidewinder, pod AN/ALQ-131 ECM, dan tangki bahan api luar.
Thumb
Ujian menggunakan diverterless supersonic inlet pesawat F-35 pada sebuah pelantar ujian F-16. Salur masuk udara asal dengan plat Splitter ditunjukan pada imej atas.

Model-model F-16 ditandakan dengan kenaikan nombor-nombor blok untuk membezakan tingkat upaya yang telah dilakukan. Blok merangkumi kedua-dua versi satu dan dua tempat duduk. Pelbagai perisian, pekakasan, sistem, keserasian persenjataan dan peningkatan struktur telah dilakukan bertahun-tahun untuk meningkatkan model-model pengeluaran dan retrofit pesawat yang telah diserahkan secara beransur-ansur.

Meskipun banyak pesawat F-16 dikeluarkan berdasarkan rekabentuk blok-blok ini, terdapat juga banyak versi lain dengan perubahan-perubahan ketara, biasanya disebabkan oleh program-program modifikasi. Pengubahsuaian ini juga menghasilkan pengkhususan peranan, seperti versi pengawasan dan sokongan udara rapat. Beberapa model juga dibangunkan untuk diuji dengan teknologi baharu. Rekabentuk F-16 juga menjadi rujukan bagi rekabentuk pesawat lain, yang mana dianggap sebagai pesawat terbitan F-16. Pesawat-pesawat lama F-16 juga diubahsuai menjadi dron sasaran, QF-16.[48]

Thumb
F-16B milik Tentera Udara Venezuela.

F-16A/B

F-16A (satu kerusi) dan F-16B (dua kerusi) merupakan versi pengeluaran awal. Versi ini termasuk versi Block 1, 5, 10 dan 20. Block 15 merupakan perubahan major pertama dilakukan ke atas F-16 dengan penstabil mendatar yang lebih besar. Ia merupakan versi F-16 paling banyak dikeluarkan dengan 475 buah.[49] Kebanyakan F-16A dan B telah menjalani Mid-Life Upgrade (MLU) ke standard Block 20, yang mana keupayaan setara dengan model-model pertengahan C/D.[perlu rujukan]

Thumb
Sebuah F-16I Block 52 milik Israel dengan tangki minyak konformal (CFT), tindak balas elektronik, dan muatan luar lain dalam satu latihan Red Flag di Nellis AFB, NV

F-16C/D

Versi F-16C (satu kerusi) dan F-16D (dua kerusi) mula memasuki pengeluaran pada tahun 1984. Versi C/D pertama adalah Block 25 dengan avionik kokpit yang ditambahbaik dan radar dengan keupayaan dalam semua keadaan cuaca serta peluru berpandu udara ke udara AIM-7 dan AIM-120. Block 30/32, 40/42, dan 50/52 kemudian ditambah dalam versi C/D.[50] Kos seunit versi F-16C/D adalah AS$18.8 juta (1998).[51] Kos operasi bagi setiap jam penerbangan dianggarkan pada $7,000[52] hingga $22,470[53] atau $24,000, bergantung pada kaedah pengiraan.[54]

F-16E/F

F-16E (satu kerusi) dan F-16F (dua kerusi) adalah versi baharu pesawat F-16 Block 60 berdasarkan F-16C/D Block 50/52. Emiriah Arab Bersatu banyak melabur dalam program pembangunannya. Ia memiliki radar Jujukan Imbasan Elektronik Aktif (AESA) AN/APG-80, avionik, tangki minyak konformal (CFTs), dan enjin General Electric F110-GE-132 yang lebih berkuasa.[55][56][57][N 1]

Thumb
F-16E Block 60 milik Tentera Udara Emiriah Arab Bersatu yang dipasang dengan pod IFTS, CFT, dan pelbagai persenjataan luar sedang berlepas

F-16IN

Dalam Pertandingan MRCA India yang bertujuan untuk membekalkan pesawat baharu untuk Tentera Udara India, Lockheed Martin telah menawarkan F-16IN Super Viper.[60] F-16IN adalah berdasarkan versi F-16E/F Block 60 dan ciri-ciri tangki minyak konformal; radar AN/APG-80 AESA, enjin GE F110-GE-132A dengan kawalan FADEC; sut peperangan elektronik dan unit pencari dan penjejak infra merah (IRST); kokpit kaca yang dinaiktaraf; serta sistem penunjuk lekapan helmet.[61] Setakat tahun 2011, F-16IN tidak lagi berada dalam persaingan.[62] Pada tahun 2016, Lockheed Martin telah menawarkan versi baharu F-16 Block 70/72 kepada India di bawah program Buatan India.[63][64] Pada tahun 2016, kerajaan India telah menawarkan untuk membeli sehingga 200 buah (potensi sehingga 300 buah) pesawat pejuang dalam satu perjanjian bernilai $13–15bn.[65] Setakat tahun 2017, Lockheed Martin telah bersetuju untuk mengeluarkan pesawat pejuang F-16 Block 70 di India bersama dengan firma pertahanan India, Tata Advanced Systems Limited. Baris pengeluaran baharu mungkin akan digunakan untuk membina F-16 untuk India dan eksport.[66]

F-16IQ

Pada September 2010, Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan memberitahu Kongres Amerika Syarikat akan kemungkinan satu Jualan Ketenteraan Luar Negara bagi 18 buah pesawat F-16IQ bersama-sama dengan peralatan dan perkhidmatan berkaitan kepada Tentera Udara Iraq yang baharu dibina semula. Jumlah jualan ini dianggarkan pada AS$4.2 bilion.[67]

F-16N

F-16N bertidak sebagai sebuah pesawat musuh yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat. Ia berasaskan pada standard F-16C/D Block 30 dan dikuasai oleh enjin General Electric F110-GE-100, serta mampu terbang pada kelajuan superkrus.[68] F-16N memiliki sayap yang diperkuat dan mampu membawa sebuah pod Air Combat Maneuvering Instrumentation (ACMI) pada hujung sayap di sebelah kanan. Meskipun pesawat satu tempat duduk F-16N dan dua tempat duduk (T)F-16N adalah berdasarkan pada kerangka pengeluaran awal pesawat F-16C/D Block 30 dengan inlet kecil, ia masih menggunakan radar APG-66 yang digunakan pada versi F-16A/B. Tambahan lagi, meriam 20 mm telah ditanggalkan, selain mempunyai ASPJ, dan tidak membawa sebarang peluru berpandu. Peralatan EW terdiri daripada sebuah penerima amaran radar, ALR-69 dan sebuah dispenser suar/penyerak, ALE-40. F-16N dan (T)F-16N memiliki sebuah pencangkuk ekor dan giar pendaratan standard Tentera Udara A.S dan tidak boleh beroperasi di atas kapal pengangkut. Jumlah pengeluaran pesawat ini adalah 26 buah, di mana 22 buah adalah versi F-15N satu tempat duduk dan empat buah lagi TF-16N dengan dua tempat duduk. Kumpulan awal pesawat ini mula memasuki perkhidmatan antara tahun 1988 hingga 1998. Pada masa ini, rekahan rambut telah ditemui pada beberapa bulkhead dan pihak Tentera Laut tidak mempunyai sumber untuk mengantikannya, oleh itu pesawat ini akhirnya dibersarakan, dengan sebuah pesawat dihantar sebagai koleksi ke Muzium Penerbangan Tentera Laut Kebangsaan di NAS Pensacola, Florida, dan selebihnya diletakkan dalam simpanan di Davis-Monthan AFB. Pesawat-pesawat ini kemudian digantikan dengan pesawat F-16 milik Pakistan yang telah dihalang penyerahannya pada tahun 2003. Inventori asal F-16N yang sebelumnya dioperasikan oleh skuadron adversari di NAS Oceana, Virginia; NAS Key West, Florida dan bekas NAS Miramar, California. Pesawat terkini F-16A/B dioperasikan oleh Pusat Peperangan Udara dan Serangan Tentera Laut di NAS Fallon, Nevada.[69][70][71]

F-16V Blok 70/72+

Di Pertunjukan Udara Singapura 2012, Lockheed Martin telah mendedahkan rancangan untuk sebuah versi baharu F-16V di mana singkatan V merujuk pada nama gelarannya "Viper". Ia mempunyai sebuah radar Jujukan Imbasan Elektronik Aktif (AESA) AN/APG-83, sebuah komputer misi dan sut peperangan elektronik, sistem pengelakan perlanggaran darat automatik, dan pelbagai penambahbaikan kokpit; pakej ini merupakan pilihan bagi versi pengeluaran produksi F-16 dan boleh diretrofit pada armada pesawat F-16 sedia ada.[72][73] Penerbangan pertama berlaku pada 21 Oktober 2015.[74] Lockheed dan AIDC telah melabur dalam pembangunan pesawat dan akan berkongsi hasil daripada semua jualan dan tingkat upaya.[75] Program naik taraf ke atas armada F-16 Taiwan bermula pada bulan Januari 2017.[76] Negara pertama yang telah mengesahkan pembelian 16 buah F-16V Block 70/72 baharu adalah Bahrain.[77][78] Pada bulan Oktober 2017, Greece telah mengumumkan program naik taraf ke atas 84 buah F-16C/D Block 52+ dan Block 52+ Advanced (Block 52M) ke versi terkini V (Block 70/72).[79][80] Slovakia telah mengumumkan pada 11 Julai 2018 bahawa ia berniat untuk membeli 14 buah peswat F-16V Block 70/72.[81][82] Lockheed Martin telah mengdesignasi semula pesawat F-16V Block 70 kepada "F-21" dalam tawarannya untuk keperluan pesawat pejuang India.[83] Pada 19 Mac 2019, Tentera Udara Republik China (Taiwan) pula mengumumkan bahawa ia secara rasmi telah memohon untuk membeli tambahan 66 buah pesawat F-16V.[84] Pentadbiran Trump telah meluluskan jualan ini pada 20 Ogos 2019.[85][86] Pada 14 Ogos 2020, Lockheed Martin telah dianugerahkan satu kontrak bernilai AS$62 bilion oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat[87] yang mana termasuk 66 buah pesawat F-16 baharu bernilai AS$8 bilion untuk Taiwan.[88] Pada Februari 2024, majoriti Kongres AS meluluskan penjualan F-16V kepada Turki, selepas negara itu mengesahkan keahlian Sweden dalam NATO.

Thumb
QF-16A milik Tentera Udara A.S, semasa penerbangan ujian pertama tanpa pemandu, di Teluk Mexico

QF-16

Pada September 2013, Boeing dan Tentera Udara A.S. telah menguji sebuah tanpa pemandu F-16, di mana dua orang juruterbang Tentera Udara A.S mengawal pesawat dari darat sejak dari masa pelepasannya di Tyndall AFB ke Teluk Mexico.[89][90][91]

Pembangunan berkaitan

Vought Model 1600
cadangan versi untuk tentera laut
General Dynamics F-16XL
penunjuk teknologi 1980an
General Dynamics NF-16D VISTA
pesawat ujian 1990an
Mitsubishi F-2
pesawat pejuang pelbagai peranan Jepun berasaskan F-16 pada tahun 1990an

Senarai pengguna

Thumb
Peta dengan pengguna F-16 dalam warna biru manakala bekas pengguna dalam warna merah
Thumb
Sebuah F-16C Blok 52 dari Tentera Udara Greece yang dipasang dengan tangki minyak luar serta sistem IFF (AIFF) terkini

Menjelang bulan Julai 2010, terdapat kira-kira 4,500 F-16 telah diserahkan.[92]

Bekas pengguna

  •  ItaliTentera Udara Itali telah menyewa sehingga 30 buah F-16A dan 4 buah F-16B daripada Tentera Udara A.S bermula pada tahun 2001 sehingga 2012.[93]

Spesifikasi (F-16C Blok 30)

Thumb
Orthographically projected diagram of the F-16.

Data dari Senarai fakta Tentera Udara A.S[94], AerospaceWeb[95] GlobalSecurity.org[96]

Ciri umum

  • Anak kapal: 1
  • Panjang: 14.8 m
  • Rentang sayap: 9.8 m
  • Tinggi: 4.8 m
  • Sayap luas: 27.87 m²
  • Bentuk keratan rentas sayap: NACA 64A204 root and tip
  • Berat kosong: 8,270 kg
  • Berat berisi: 12,000 kg
  • Berat berlepas maksimum: 19,200 kg
  • Enjin: 1× Pratt & Whitney F100-PW-220 kipas turbo pembakaran lanjut
  • Tujahan kering: 64.9 kN
  • Tujahan dengan pembakar lanjut: 105.7 kN
  • Enjin gantian: 1× General Electric F110-GE-100 kipas turbo pembakaran lanjut
  • Tujahan kering: 76.3 kN
  • Tujahan kering dengan pembakar lanjut: 128.9 kN

Prestasi

  • Kelajuan maksimum:
    • Pada paras laut: Mac 1.2 (1,460 km/j)
    • Di altitud: Mac 2+ (2,414 km/j)
  • Jejari bertempur: 550 km semasa misi penerbangan tinggi-rendah-tinggi bersama 6x bom 1,000 paun (450 kg)
  • Jarak maksimum: >3,900 km
  • Lelangit khidmat >15,239 m
  • Kadar panjat: 254 m/s
  • Beban sayap: 431 kg/m²
  • Tujahan/berat: Enjin F100: 0.898, Enjin F110: 1.095

Persenjataan

  • Meriam: 1× 20 mm meriam Gatling Vulcan M61, 511 butir peluru
  • Roket: 2¾ in (70 mm) CRV7
  • Peluru berpandu:
    • Udara-ke-udara:
    • Udara-ke-permukaan:
    • Anti-kapal:
    • Bom:
      • CBU-87 Combined Effects Munition
      • CBU-89 Gator mine
      • CBU-97 Sensor Fuzed Weapon
      • Wind Corrected Munitions Dispenser capable
      • GBU-10 Paveway II
      • GBU-12 Paveway II
      • 6× Bom panduan laser siri-Paveway
      • JDAM
      • 4× Bom kegunaan am Mark 84
      • 8× Bom kegunaan am Mark 83
      • 12× Bom kegunaan am Mark 82
      • Bom nuklear B61

Lihat juga

Pembangunan berkaitan

Pesawat setanding

Rujukan

Pautan Luar

Wikiwand in your browser!

Seamless Wikipedia browsing. On steroids.

Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.

Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.