From Wikipedia, the free encyclopedia
Buran (juga: buran laut, Jawi: بورن) atau anemone laut (Jawi: انيموني لاوت) merupakan kelompok haiwan invertebrat marin pemangsa yang membentuk order Actiniaria. Buran tergolong dalam filum Cnidaria serumpun dengan batu karang dan ubur-ubur, kelas Anthozoa, cabang Hexacorallia.
Buran Anemone laut Julat zaman: Awal Kambria hingga Kini | |
---|---|
Beraneka jenis buran, dilukis oleh Giacomo Merculiano, 1893 | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Animalia |
Filum: | Cnidaria |
Kelas: | Anthozoa |
Kelas: | Hexacorallia |
Order: | Actiniaria |
Suborder | |
| |
Diversiti | |
46 keluarga |
Seekor buran lazimnya merupakan sebatang polip yang terlekat dasarnya pada permukaan keras, tetapi sesetengah spesies hidup dalam mendapan lembut, malah ada sebilangan kecil yang terapung dekat dengan permukaan air. Polipnya berbatang turus diserkup cakera oral dlingkari tentakel (sesungut) mengelilingi mulut di tengah. Tentakel itu boleh dimasukkan ke dalam rongga badan atau dikeluarkan untuk menangkap mangsa yang berlalu. Ia dilengkapi dengan sel-sel penyengat yang dipanggil knidosit . Pada kebanyakan spesies, zat tambahan diperoleh daripada hubungan simbiosis dengan makhluk dinoflagelat unisel, zooxantela, ataupun dengan alga hijau zooklorela yang hidup di dalam sel-sel buran. Sesetengah speises buran hidup bersama dengan ikan badut, umang-umang, ikan kecil atau haiwan lain untuk faedah bersama.
Buran membiak dengan membebaskan sperma dan telur dari mulut ke dalam air. Telur yang tersenyawa berkembang menjadi larva planula yang hanyut sebagai plankton, kemudian turun ke dasar laut dan terus berkembang menjadi polip muda. Buran juga membiak secara aseks dengan berpecah menjadi dua atau cebisan-cebisan kecil yang tumbuh semula menjadi polip.
Nama "anemone laut" adalah pinjam terjemah bahasa Inggeris sea anemone diungkapkan daripada pemerhatian hidupan ini yang ada dalam pelbagai jenis warna mirip bunga genus Anemone.
Seekor buran yang lazim merupakan polip sesil yang terlekat tapaknya pada permukaan di bawahnya melalui kaki merekat yang dipanggil cakera pedal , dengan badan berbentuk turus yang diserkup cakera mulut. Kebanyakan buran berukuran diameter 1 hingga 5 cm (0.4 hingga 2.0 in) dan panjang 1.5 hingga 10 cm (0.6 hingga 3.9 in), tetapi ia boleh berkembang dan banyak variasi ukurannya. Urticina columbiana dan Stichodactyla mertensii boleh mencapai diameter 1 meter (3.3 ka) sementara Metridium farcimen pula panjang sampai semeter.[1] Sesetengah spesies mengorok dalam mendapan lembut dan ketiadaan cakera pedal tetapi sebaliknya terpaku dengan anggota kaki bulat yang dipanggil "fisa" (physa).[1]
Turus atau batangnya pada umumnya berbentuk silinder dan datang dengan permukaan licin atau mempunyai struktur khusus seperti papila (unjuran berisi) yang pejal atau melekit, sinklid (torehan), dan vesikel-vesikel kecil yang mengunjur. Pada sesetengah spesies, bahagian yang betul-betul di bawah cakera oral adalah sempit dan dikenali sebagai kapitulum. Apabila buran menguncup, maka cakera oral, tentakel dan kapitulum terlipat ke dalam farinks dan ditahan oleh bahagian otot sfinkter yang kuat. Mungkin terdapat lipatan pada dinding badan, iaitu parapet yang melitupi dan melindungi buran apabila menguncup.[1]
Cakera oral mempunyai mulut di tengah yang lazimnya berbentuk lubang torehan dan dikelilingi lingkaran tentakel. Tepi-tepi lubang mulut menuju ke alur-alur dalam dinding farinks yang dipanggil sifonoglif ; biasanya alur ini ada dua, tetapi sesetengah kelompok ada satu. Tentakelnya biasanya tirus dan berhujung pori, tetapi sesetengah spesies ada yang bercabang, hujung berbentuk belantan, atau sekadar cembul pendek.[1] Tentakel itu dilengkapi dengan banyak knidosit, iaitu sel-sel yang digunakan untuk pertahanan dan menangkap mangsa. Knidosit mengandungi nematosista penyengat, iaitu organel seakan kapsul yang boleh membokong secara tiba-tiba; dari sinilah filum Cnidaria mendapat namanya.[2] Setiap nematosista mengandungi satu vesikel bisa kecil yang berisi aktinotoksin, filamen dalaman dan bulu deria luaran. Sekali bulu disentuh menyebabkan sel meletus secara mekanik yang melancarkan binaan seakan tempuling yang melekat pada organisma yang mencetuskannya lalu menyuntikkan sejumlah bisa ke dalam daging mangsa atau penyerang.[3] Di tapak tentakel bagi sesetengah spesies terletaknya akoragus , iaitu organ panjang seakan tentakel boleh kembung dan dilengkapi knidosit yang tergapai-gapai dan melawan buran lain yang mengganggu.[1]
Bisanya merupakan campuran toksin, termasuk neurotoksin yang melumpuhkan mangsa supaya buran boleh mengalihkannya ke dalam mulut untuk pencernaan di dalam rongga gastrovaskular (perut). Aktinotoksin adalah amat toksik kepada spesies mangsa seperti ikan dan krustasea. Akan tetapi, serumpun ikan berjalur-jalur yang tergolong dalam Amphiprioninae (ikan badut) tidak terkesan daripada sengatan buran yang ditumpanginya dan oleh itu berlindung dari pemangsa di celah-celah tentakelnya.[4] Juga terdapat spesies lain yang mempunyai adaptasi sedemikian dan oleh itu tidak terkesan juga. Kebanyakan jenis buran tidak membahayakan manusia, namun ada sebilangan kecil yang amat toksik (misalnya Actinodendron arboreum, Phyllodiscus semoni dan Stichodactyla spp.) dan pernah menyebabkan kecederaan parah malah membahayakan nyawa.[5]
Buran mempunyai saluran usus yang kurang lengkap; rongga gastrovaskularnya berfungsi sebagai perut dan mempunyai satu bukaan ke luar yang bertindak sebagai mulut dan dubur. Melalui bukaan inilah bahan buangan dan bahan tidak tercerna dikumuhkan. Mulutnya biasanya berbentuk lubang torehan dan mempunyai alur di sebelah atau kedua-dua belah, iaitu sifonoglif. Alur tersebut mempunyai silium dan membantu memindahkan zarah makanan ke dalam serta mengedarkan air melalui rongga gastrovaskular.[6]
Mulutnya menghala ke dalam farinks yang rata. Ini terdiri daripada lipatan dinding badan ke dalam dan oleh itu berlapikkan epidermis buran. Farinks itu biasanya menganjur satu pertiga badan sebelum menghala ke rongga gastrovaskular yang mengisi ruang badan yang selebihnya.[1]
Rongga gastrovaskular itu pula dibahagikan kepada kebuk-kebuk oleh mesenteri-mesenteri yang terpancar ke dalam dari dinding badan. Sesetengah mesenteri membentuk sesekat-sesekat yang lengkap dengan tepi lepas di tapak farinks di mana bertemunya mesenteri tersebut, manakala yang lain hanya terlintas sekerat jalan. Mesenteri ini biasanya terdapat dalam gandaan 12 dan tersusun secara simetri di keliling lumen pusat. Terdapat lapisan perut di kedua-dua belah yang terpisah dengan lapisan nipis mesoglea dan termasuk filamen-filamen tisu yang khusus untuk merembeskan enzim pencernaan. Pada sesetengah spesies, filamen ini menganjur ke bawah tepi bawah mesenteri, berjuntai dalam rongga gastrovaskular sebagai filamen akontium seakan benang. Akontium ini dilengkapi nematosista dan boleh dikeluarkan melalui sinklid, iaitu liang-liang seakan lepuh pada dinding turus, untuk tujuan pertahanan.[6]
Sistem saraf buran yang primitif dan tidak terpusat menyelaraskan proses-proses yang terlibat dalam mengekalkan homeostasis di samping tindak balas biokimia dan fizikal kepada pelbagai rangsangan. Terdapat dua jaringan saraf, iaitu satu di epidermis dan satu lagi di gastrodermis; kedua-dua jaringan bertemu di farinks, di persimpangan septum dengan cakera oral dan cakera pedal, dan merentasi mesoglea. Tidak terdapat sebarang organ deria khusus, tetapi ada sel-sel deria termasuk nematosista dan kemoreseptor .[1]
Otot dan saraf buran lebih sederhana daripada kebanyakan haiwan tetapi lebih khusus daripada Cnidaria lain seperti karang. Sel-sel pada lapisan luar (epidermis) dan dalam (gastrodermis) mempunyai mikrofilamen yang terkumpul dalam gentian mengecut. Gentian-gentian ini bukan otot sebenar kerana tidak tergantung bebas dalam rongga badan seperti pada haiwan-haiwan yang lebih kompleks. Gentian membujur terdapat dalam tentakel dan cakera oral, dan juga dalam mesenteri di mana ia dapat mengecutkan seluruh panjang badan. Gentian melingkar pula terdapat pada dinding badan, dan juga pada cakera oral pada sesetengah spesies, membolehkan buran menguncupkan tentakel ke dalam sfinkter perlindungan.[6]
Memandangkan buran ketiadaan rangka yang keras, sel-sel mengecut itu tertarik melawan arah bendalir dalam rongga gastrovaskular dan membentuk rangka hidrostatik. Buran menstabilkan diri dengan meratakan farinksnya yang bertindak sebagai injap untuk mengekalkan rongga gastrovaskular pada isipadu yang malar dan menjadikannya keras. Apabila otot-otot membujur kendur, farinks terbuka dan silium yang melapisi sifonoglif pula berdenyut, mengalunkan air ke dalam dan mengisi semula rongga gastrovaskular. Pada umumnya buran mengembungkan badannya untuk memanjangkan tentakel dan makan, kemudian mengempis apabila mahu berehat atau terganggu. Badan kembung juga digunakan untuk menyangkutkan buran ke dalam rekahan, korok atau tiub.[1]
Pada umumnya buran dijumpai pada daerah terumbu karang yang dangkal dan jarang dijumpai pada daerah terumbu karang yang ditutup tinggi karang batu,[7]
Kebanyakan spesies buran menempel[8] pada permukaan keras. Walau bagaimanapun, ada beberapa spesies buran dapat bergerak mirip siput mengecut regang tapak;[9] kelajuan pergerakan ini sangat perlahan sehingga tidak dapati diamati mata kasar manusia.[10] Ada juga spesies buran lain yang mudah hanyutkan diri untuk berpindah ke lokasi baharu yang ingin didiami.[10][11]
Buran memangsakan haiwan-haiwan laut sekecil (sama ada ketam, moluska ataupun ikan kecil[1]) yang boleh dijerat jika terlalu dekat sebelum dilumpuhkan sel-sel nematositnya.[12] Mulut buran dapat dibesarkan semampu boleh memuatkan mangsa ke dalam badan yang mencerna dalam ruangan gastrovaskular dengan bantuan enzim pengurai sebelum diserap oleh gastrodermis; sisa-sisa makanan yang tidak dapat dicerna dimuntahkan semula melalui mulutnya.[11]
Buran juga dikutip baik muda mahupun dewasa untuk dibela dalam akuarium[13]; malah populasi buran terancam di sesetengah kawasan disebabkan perdagangan perhiasan marin secara berleluasa. Buran dijadikan sumber makanan dikutip beberapa masyarakat nelayan tertentu di Semporna, Sabah;[14] begitu juga dengan masyarakat Kepulauan Seribu di Indonesia yang menyediakan buran ditangkap (dengan nama "rambu-rambu") dalam cara direbus "setengah matang".[11]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.