From Wikipedia, the free encyclopedia
Dalam kimia dan terutamanya bidang biokimia, asid lemak ialah asid karboksilik yang mempunyai ekor alifatik yang dikategorikan sama ada tepu atau tidak tepu. Kebanyakan asid lemak semula jadi mempunyai bilangan rangkaian atom karbon yang genap dari 4 hingga 28.[1] Asid lemak kebiasaannya berasal dari trigliserida atau fosfolipid. Asid lemak yang tidak diikat bersama molekul lain dikenali sebagai asid lemak "bebas". Asid lemak penting sebagai sumber tenaga kerana menghasilkan ATP dalam kuantiti yang besar apabila melalui metabolisme. Kebanyakan jenis sel menggunakan glukosa atau asid lemak untuk metabolisme. Secara khususnya, jantung dan otot rangka menggunakan asid lemak sebagai sumber metabolisme.
Asid karboksilik yang pendek seperti asid butirik (4 atom karbon) dikategorikan sebagai asid lemak, manakala asid lemak yang diperolehi dari lemak atau minyak asli boleh dianggap memiliki paling kurang 8 atom karbon. Kebanyakan asid lemak asli mempunyai bilangan nombor atom karbon yang genap, kerana biosintesis asid ini melibatkan asetil-KoA, koenzim yang membawa kumpulan karbon dua atom.
Asid lemak tepu tidak mempunyai ikatan ganda dua dwiatom karbon, C=C. Ia sebaliknya mempunyai formula kimia CH3(CH2)nCOOH, dengan pelbagai nilai n. Asid lemak tepu penting termasuk asid stearik (n = 16), yang apabila dineutralkan dengan natrium hidroksida ialah bentuk sabun lazim.
Asid lemak tak tepu mempunyai satu atau lebih ikatan ganda dua, C=C. Ikatan C=C boleh memberikan sama ada isomer cis atau trans.
Kedudukan atom karbon dalam asid lemak dapat dihitung dari hujung COOH- (karboksi), atau hujung -CH3 (metil). Dari hujung -COOH, maka notasi C-1, C-2, C-3 dan seterusnya digunakan (nombor warna biru pada rajah kanan, dengan C-1 ialah karbon -COOH). Jika posisinya dihitung dari hujung lainnya, -CH3, maka posisinya dinyatakan dengan notasi ω-n (nombor berwarna merah, dengan ω-1 ialah karbon metil).
Dengan itu, posisi ikatan ganda dua dalam asid lemak dapat ditulis dengan dua cara, menggunakan notasi C-n atau ω-n. Dengan demikian, dalam asid lemak karbon 18, ikatan ganda dua antara C-12 (atau ω-7) dan C-13 (atau ω-6) boleh ditulis sebagai Δ12 jika dihitung dari hujung –COOH (hanya menandakan “awal” ikatan rangkap), atau sebagai ω-6 (atau omega-6) jika dihitung dari hujung –CH3. Huruf Yunani Δ, delta, dipilih melalui kesetaraan dengan huruf D, seterusnya merupakan singakatan daripada Double bond (ikatan ganda dua). Huruf omega, ω, pula ialah huruf terakhir dalam alfabet Yunani, dan oleh itu, digunakan untuk menunjukkan atom karbon terakhir dalam rantai asid lemak. Oleh kerana notasi ω-n digunakan hampir eksklusif untuk menandakan posisi ikatan ganda dua yang dekat dengan hujung –CH3 dalam asid lemak perlu, tidak ada keperluan notasi setara seperti “Δ” - penggunaan notasi “ω-n” selalu merujuk pada posisi ikatan rangkap.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.