Remove ads
penulis dan sasterawan Malaysia From Wikipedia, the free encyclopedia
Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (30 Januari 1941 – 27 Oktober 2021) (nama pena Kemala) ialah seorang penyair terkenal dan Sasterawan Negara Malaysia (2011).
Ahmad Kamal Abdullah | |
---|---|
Kelahiran | Ahmad Kamal bin Abdullah 30 Januari 1941 |
Meninggal dunia | 27 Oktober 2021 80) Kota Damansara, Selangor, Malaysia | (umur
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor |
Pusat pendidikan | Maktab Perguruan Sultan Idris Universiti Sains Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia |
Pekerjaan | Penyair, pengarang drama, pengkritik sastera |
Karier menulis | |
Nama pena | Kemala |
Bahasa | Melayu |
Tempoh | 1958–1962 |
Genre | Sajak |
Anugerah |
|
Bapa beliau, Abdullah Hj. Daud merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar yang sebelum itu hanya khusus untuk anak golongan atasan sahaja. Dengan itu ayahnya dianggap sebagai “cendekiawan ilmu duniawi” dan fasih pula bertutur dalam bahasa Inggeris. Ibu Kemala, Rukiah Amir pula sangat meminati kesenian. Beliau pandai bercerita dan berkebolehan menyanyikan syair-syair termasyur seperti Dandan Setia, Siti Zubaidah, Selendang Delima dan lain-lain lagi. Di samping itu, ibunya juga kaya dengan perbendaharaan cerita dongeng rakyat. Datuk sebelah bapa Kemala juga merupakan seorang yang berpengaruh. Beliau merupakan seorang imam dan sekaligus guru agama di kampungnya. Daripada beliaulah Kemala mengikuti pengajian agama seperti Tafsir Al-Quran dan Ilmu Fiqah.
Mendapat pendidikan awal di beberapa buah sekolah di Kuala Lumpur. Pada tahun 1956, Kemala belajar di Institut Dharma. Kemudian, dari tahun 1958 hingga 1962, Kemala melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim. Dengan belajar sendiri beliau lulus Sijil Persekolahan pada tahun 1962 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 1974. Mendapat doktor falsafah (Persuratan Melayu) pada tahun 2000 di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bakat Kemala mulai tumbuh sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dia pernah memenangi hadiah mengarang cerita pendek mingguan kanak-kanak Hiburan dengan cerita “Pengembaraan Ahmad”. Bakat beliau diperkembangkan semasa menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Di sana Kemala diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Pelajaran dan Persuratan bagi Persatuan Penuntut, Presiden Persatuan Bahasa Melayu, Ketua Pengarang Cenderamata dan Ketua Satu Perkumpulan Sastera 60 MPSI. Pada tahun 1961, drama beliau “Sri Lembayung” dipentaskan di MPSI.
Kemala pernah menjadi Guru Pelatih sebelum diterima belajar di MPSI. Selepas menjalani kursus perguruan, Kemala mengajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Baru pada tahun 1962 dan Sekolah Kebangsaan Tiram Buruk, Tanjung Karang dari tahun 1963 hingga 1966. Kemudian beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Gong, Pelabuhan Klang dari tahun 1967 sehingga tahun 1968.
Kemala meninggalkan lapangan perguruan pada bulan Mac 1968 dan berkhidmat pula sebagai Penyunting di Dewan Bahasa dan Pustaka. Di sini dia telah diberi tanggungjawab mengelolakan majalah Dewan Pelajar di samping membantu penerbitan majalah-majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya.
Antara tahun 1975 dan 1980, Kemala mengikuti program pengajian luar kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sehingga mencapai Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dengan pengkhususan dalam bidang kesusasteraan. Kemudian dia lulus pula ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1985 dari universiti yang sama.
Dalam organisasi penulis, Kemala pernah menjadi Setiausaha Satu GAPENA (1972 – 1974) dan kemudiannya menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja GAPENA mulai tahun 1974. Beliau juga menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dari tahun 1983 hingga 1984 dan dilantik semula bagi tahun 1986/1987. Pengasas dan Presiden Persatuan Sastera Bandingan Malaysia (sejak 1993).
Pada tahun 1973 Kemala telah diundang melawat Australia untuk meneliti kegiatan cendekiawan dan seniman Australia dalam bidang sastera dan teater. Beliau pernah menyertai Puisi ASEAN 78 di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Pada tahun 1983 Kemala menyertai APPA I (Apresiasi Puncak Penyair Asean) di Bali, Indonesia. Pada bulan Mei 1986, Kemala telah berkunjung ke Republik Korea atas undangan Foreign Studies Department, Universiti Hankuk, Seoul untuk membaca puisi dan berceramah atas tajuk “Penyair Dunia Menjelang Abad 21”. Beliau juga mengunjungi Universiti Chongju. Di Korea, Kemala telah meneliti perkembangan organisasi penulis di sana serta menjalinkan hubungan GAPENA dengan Persatuan Penulis Korea. Kemudian dia berangkat ke Yugoslavia sebagai peserta “Struga Poetry Evenings” yang diadakan di Struga, Macedonia pada 21 hingga 25 Ogos 1986 dan ikut serta dalam Simposium Puisi Antarabangsa, “Poetry: Dialogue Cross Culture and Civilization”. Atas daya usaha Kemala Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL) mula diadakan sejak tahun 1986 dua tahun sekali.
Persoalan yang sering diungkapkan dalam puisi-puisi beliau ialah tentang rakyat bawahan seperti petani, nelayan dan kaum buruh. Pada tahun 1970-an kisah yang sering dikemukakan Kemala ialah tentang renungan terhadap kehidupan yang condong kepada aspek-aspek kerohanian[1]. Kumpulan puisi Meditasi telah terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1972, di samping sebuah puisi beliau yang lain berjudul Laut. Puisi Kemala berjudul Maknawi Itu, Kasihku telah terpilih pula memenangi Hadiah Karya Sastera 1975. Kemudian sekali lagi dua buah puisi beliau terpilih pada tahun 1976, masing-masing berjudul “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” dan “Bahawa Cinta itu Kasihku”. Tiga buah puisinya daripada kumpulan ‘Ayn iaitu “Lelabah, Laut”, dan “Cakerawala”, sebuah cerpen “Peti” dan esei Persoalan Penyair dan Kepenyairannya, telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83. Puisi Kemala turut tersiar dalam penerbitan antarabangsa seperti Horison (Indonesia), Hemisphere (Australia), Asiaweek (Hong Kong), dan Journal Pacific (New Zealand).
Sajak-sajak Kemala penuh dengan musik dan irama mendalam. Dia dengan mahir menggunakan segala kebolehan bahasa Melayu dengan mengorak dari bahasa itu kadang-kadang bunyi lembut, kadang-kadang bunyi ekspresif dan meletup. Dia memenuhi setiap barisan puisinya dengan gerakan dan menjadikan setiap sajak sebagai organisma hidupan. Perpaduan perasaan dan cita-cita tinggi yang diresapi dengan cinta yang tak terhingga kepada Tuhan inilah merupakan punca yang tak henti-hentinya daripada ilham kreatif Kemala[2]. Puisinya ialah peleburan bayangan bersuara dan muzik, avangardisme dan motif-motif sufi tradisional serta juga bentuk irama puisi rakyat[3].
Dalam bidang drama pula, di samping telah berjaya menerbitkan buku drama berjudul Di Bumi Lain, drama Kemala Malam Perhitungan telah merebut hadiah terbaik dalam satu peraduan yang dianjurkan oleh Majlis Drama Malaysia pada tahun 1971. Drama yang terbaru ialah Pending Numera (2011).
Setakat ini Kemala sudah menerbitkan 9 kumpulan puisi, iaitu Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktus-Kaktus (1976)[4]., ‘Ayn (1983, 1989)[5], Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), Mim (1999)[6] dan Ziarah Tanah Kudup (2006).
Kemala meninggal dunia pada 27 Oktober 2021 di rumah anak lelakinya di Kota Damansara, Selangor.[8] Jenazahnya telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, selepas solat Asar.[9]
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.