baka anjing dari United Kingdom From Wikipedia, the free encyclopedia
Terier Jack Russell[lower-alpha 1] ialah satu baka terier kecil British. Ia terutamanya bertubuh putih dan berlapis bulu lembut, kasar, atau putus-putus dan dapat mempunyai sebarang warna.
Negara asal | United Kingdom | ||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Ia diterbitkan daripada anjing yang dibiakbakakan dan digunakan untuk pemburuan rubah di North Devon pada awal abad kesembilan belas oleh seorang parson desa, Jack Russell – yang sempena beliau baka ini dinamai – dan mempunyai asal usul serupa dengan terier rubah moden. Walau hampir-hampir serupa, ia merupakan baka tersendiri dan berbeza daripada terier Parson Russell.[3]
Terier Jack Russell ialah baka bertenaga yang bergantung pada tahap senaman dan rangsangan tinggi. Ia telah melalui beberapa perubahan selama bertahun-tahun selari dengan kegunaan dan piawaian baka berlainan yang ditetapkan oleh kelab kenel. Pengiktirafan oleh kelab-kelab kenel untuk terier Jack Russell telah ditentang oleh persatuan-persatuan induk baka – yang menghasilkan pembiakbakaan dan pengiktirafan terier "Parson Russell". Terier Jack Russell telah muncul berkali-kali dalam filem, televisyen, dan cetakan – dengan beberapa ekor anjing terkenal.
Terier putih kecil yang mengerjakan rubah yang dikenali kini pertama kali dibiakbakakan oleh Reverend John "Jack" Russell, seorang parson dan penggemar perburuan yang lahir pada tahun 1795[4] dan ia dapat menjejaki asal usulnya kepada terier putih Inggeris yang kini pupus.[5] Kesukaran untuk membezakan anjing ini daripada makhluk yang dikejar olehnya membangkitkan keperluan untuk anjing yang kebanyakannya berwarna putih[6] dan, oleh itu, pada tahun 1819, semasa tahun terakhir beliau di universiti di Kolej Exeter, Oxford,[7] beliau membeli seekor terier putih dan sawo matang kecil betina bernama Trump daripada penjual susu tempatan[8] di dukuh kecil Elsfield[9] atau Marston yang berdekatan.[10] Trump melambangkan terier rubah unggul beliau,[11] yang, pada masa itu, merupakan istilah yang digunakan untuk mana-mana terier yang digunakan untuk mengeluarkan rubah keluar dari korok.[5] Pewarnaannya diperihalkan seperti yang berikut: "...putih, dengan hanya setompok sawo matang gelap pada setiap mata dan telinga; manakala setitik serupa, tidak lebih besar daripada sekeping sen, menandakan pangkal ekor."[12] Davies, seorang sahabat kepada Russell, menulis: "Trump ialah haiwan seperti yang hanya dilihat oleh Russell dalam mimpinya".[7] Ia merupakan asas untuk program pembiakbakaan untuk mengembangkan terier dengan stamina tinggi untuk perburuan serta keberanian dan bentuk untuk mengusir keluar rubah yang telah memasuki tanah.[13] Menjelang tahun 1850-an, anjing ini diiktiraf sebagai baka tersendiri.[14]
Satu atribut penting pada anjing ini ialah keagresifan yang memberikan dorongan yang diperlukan untuk mengejar dan meluru ke arah rubah, tanpa menyebabkan kecederaan fizikal terhadap buruan dan menamatkan pengejaran dengan berkesan, yang dianggap tidak sporting.[perlu rujukan] Russell dikatakan telah berbangga dengan diri kerana terier beliau tidak pernah merasa darah.[14] Susur galur terier yang dikembangkan oleh John Russell ini sangat dihormati kerana kualiti itu dan anjing beliau kerap diambil oleh para penggemar perburuan. Walau bagaimanapun, kurang ada kemungkinan bahawa mana-mana anjing yang masih hidup kini dapat dibuktikan sebagai keturunan daripada Trump, kerana Russell terpaksa menjual semua anjing beliau lebih daripada satu kali kerana kesukaran kewangan dan hanya mempunyai empat ekor terier berumur (dan bukan untuk pembiakbakaan) yang ditinggalkan semasa beliau meninggal dunia pada tahun 1883.[perlu rujukan]
Anjing jenis terier rubah dan terier Jack Russell masa kini kesemuanya diturunkan daripada anjing dari zaman itu. Walau bagaimanapun, pedigri berdokumen yang lebih awal dari tahun 1862 belum ditemukan. Beberapa rekod kekal tentang pembiakbakaan berdokumen oleh John Russell pada antara tahun 1860-an dengan tahun 1880-an. Fox Terrier Club dibentuk pada tahun 1875 dengan Russell sebagai salah seorang anggota pengasas; piawaian bakanya ialah ilham, dan bukan perihal tentang cara baka muncul ketika itu. Menjelang permulaan abad ke-20, terier rubah telah berubah lebih ke arah baka moden, tetapi di sesetengah bahagian negara itu gaya lama terier John Russell kekal, dan daripada anjing itulah jenis Jack Russell moden telah diturunkan.[7]
Banyak baka dapat menuntut warisan kepada terier rubah awal dari tempoh ini, termasuk terier Brazil, terier Jepun, terier rubah katik, anjing pemburu tikus bodega Andalusia, terier tikus, dan terier Tenterfield.[15]
Selepas kematian Russell, satu-satunya orang yang melakukan usaha serius untuk meneruskan strain-strain itu merupakan dua orang lelaki, seorang di Chislehurst dengan nama keluarga East, dan seorang lagi di Cornwall bernama Archer. East, pada satu ketika, mempunyai beberapa pasangan, yang kesemuanya diturunkan daripada salah seekor anjing milik Russell. Jenis yang disasarkan tidak sebesar terier rubah pertunjukan dan biasanya kurang daripada 7 kg (15 lb).[6]
Arthur Blake Heinemann mewujudkan piawaian baka pertama dan, pada tahun 1894, beliau mengasaskan Devon and Somerset Badger Club, yang bertujuan untuk mempromosikan penggalian bejar, bukan pula pemburuan rubah, dan pembiakbakaan terier yang sesuai untuk tujuan ini. Terier diperoleh daripada Nicholas Snow dari Oare dan ia berkemungkinan diturunkan daripada anjing asli milik Russell, kerana Russell barang kali pernah berburu pada satu ketika dengan kelab perburuan Snow dan berkemungkinan telah menyediakan sekurang-kurangnya beberapa ekor terier asli mereka.[7] Menjelang permulaan abad ke-20, nama Russell telah menjadi terkait dengan baka anjing ini.[17]
Kelab ini kemudiannya dinamai semula Parson Jack Russell Terrier Club.[7] Penggalian bejar memerlukan jenis anjing berbeza daripada pemburuan rubah dan kemungkinan besar ternakan bulterier diperkenalkan untuk memperkuat baka ini, yang mungkin menyebabkan penghasilan keragaman bertungkai lebih pendek bagi terier Jack Russell yang mula muncul pada sekitar tempoh ini. Pada masa sama dengan kemunculan perpisahan antara terier rubah pertunjukan dengan terier rubah pekerja, perpisahan lanjut berlaku antara dua jenis berlainan bagi terier putih, kedua-duanya membawa nama Jack Russell.[6] Heinemann diundang untuk menghakimi kelas untuk terier pekerja dalam Crufts dengan tujuan untuk membawa terier pekerja kembali ke dalam gelanggang pertunjukan dan mempengaruhi mereka yang mengetepikan kualiti kerja pada anjing. Kelas-kelas ini diteruskan selama beberapa tahun oleh pelbagai hakim, tetapi Charles Cruft menggugurkan percubaan itu kerana kelas-kelas itu tidak pernah dipertandingkan dengan sengit. Ikutan kematian Heinemann pada tahun 1930, kenel dan kepemimpinan kelab diserahkan kepada Annie Harris, tetapi kelab itu sendiri runtuh sejurus sebelum Perang Dunia Kedua.[6][7]
Ikutan Perang Dunia Kedua, keperluan untuk anjing pemburu merosot secara drastik, dan dengan itu bilangan terier Jack Russell. Anjing ini semakin digunakan sebagai anjing keluarga dan teman.[perlu rujukan]
Jack Russell Terrier Club of America (JRTCA) dibentuk pada tahun 1976 oleh Ailsa Crawford, salah seorang pembiak baka terier Jack Russell pertama di Amerika Syarikat. Julat saiz untuk anjing dikekalkan luas, dengan keupayaan anjing pekerja yang dianugerahi lebih tinggi daripada yang dalam pertunjukan pengakuran. Pejabat pendaftaran terbuka dikekalkan dengan pembiakbakaan titisan terbatas. Pendaftaran untuk kelab dibuat pada usia dewasa untuk terier Jack Russell, bukan semasa lahir, untuk memastikan bahawa kualiti baka ini kekal, memandangkan terdapat pendaftaran terbuka.[perlu rujukan]
Beberapa buah kelab baka muncul di United Kingdom semasa tahun 1970-an untuk mempromosikan baka ini, termasuk Jack Russell Club of Great Britain (JRTCGB) dan South East Jack Russell Terrier Club (SEJRTC). JRTCGB mempromosikan julat saiz yang kekal dalam piawaiannya kini, manakala SEJRTC menetapkan ketinggian minimum untuk anjing pada 33 cm (13 in). Walaupun JRTCGB berusaha untuk memastikan agar keupayaan kerja baka ini kekal melalui ketiadaan pengiktirafan dengan pejabat pendaftaran baka lain, kegiatan SEJRTC mengusahakan pengiktirafan dengan The Kennel Club United Kingdom.[18] Pada tahun 1983, Parson Jack Russell Club of Great Britain (PJRTCGB) dibangkitkan semula untuk mendapatkan pengiktirafan The Kennel Club untuk baka ini. Walaupun permohonan itu pada mulanya ditolak, piawaian baharu diwujudkan untuk PJRTCGB berdasarkan piawaian SEJRTC, dan di bawah piawaian itu baka ini diiktiraf oleh The Kennel Club pada tahun 1990 sebagai Parson Jack Russell Terrier.[19] "Jack" digugurkan daripada nama rasmi pada tahun 1999 dan nama beriktiraf baka ini menjadi Parson Russell Terrier ("terier Parson Russell").[20]
Pada lewat tahun 1990-an, American Kennel Club meneroka kemungkinan untuk mengiktiraf terier Jack Russell.[perlu rujukan] Langkah ini ditentang oleh Jack Russell Terrier Club of America kerana mereka tidak ingin agar baka ini kehilangan ciri-ciri pekerja pentingnya.[perlu rujukan] Jack Russell Terrier Breeders Association dibentuk dan membuat petisyen kepada AKC; kemasukan baka ini diberikan pada tahun 2001. Di bawah piawaian yang diiktiraf oleh AKC, saiz baka ini disempitkan daripada piawaian kelab sebelumnya, dan nama terier Jack Russell yang diiktiraf oleh AKC diubah kepada terier Parson Russell,[perlu rujukan] dengan Jack Russell Terrier Breeders Association yang dinamai semula kepada Parson Russell Terrier Association of America.[perlu rujukan]
Australian National Kennel Council (ANKC) dan New Zealand Kennel Club (NZKC) merupakan antara persatuan kenel kebangsaan yang mendaftarkan kedua-dua terier Jack Russell dan terier Parson Russell;[21][22][23][24] walau bagaimanapun, syarat saiz untuk terier Jack Russell di bawah kedua-dua piawaian itu sepatutnya mengelaskan seseekor anjing sebagai terier Russell di Amerika Syarikat.[25] Pada tahun 2009, terdapat 1073 ekor terier Jack Russell yang berdaftar dengan ANKC, berbanding dengan 18 ekor untuk terier Parson Russell.[26] Baka moden yang lain kerap disalah anggap sebagai terier Jack Russell moden, termasuk sepupunya terier Parson Russell,[27] terier Tenterfield,[28] dan terier tikus.[29] Wujud beberapa baka moden lain yang diturunkan daripada baka terier rubah awal, termasuk terier Brazil, terier Jepun, terier rubah katik, anjing pemburu tikus bodega Andalusia, terier tikus, dan terier Tenterfield.[30]
Oleh sebab sifat pekerjanya, terier Jack Russell kekal seperti kira-kira 200 tahun lalu.[31] Ia tegap, lasak, dan kuat, berukuran setinggi 25–38 cm (10–15 in) pada paras kelasa[32] dan seberat 6–8 kg (14–18 lb).[perlu rujukan] Panjang tubuh mestilah berperkadaran dengan ketinggian dan anjing ini patut menunjukkan imej padat dan seimbang. Dengan bahagian paling besar yang berwarna putih (lebih daripada 51%) dan tanda-tanda hitam dan/atau perang dan/atau sawo matang,[32] ia mempamerkan lapis bulu yang sama ada licin, kasar, atau gabungan kedua-duanya yang dikenali sebagai lapis bulu putus-putus. Anjing berlapis bulu putus-putus mungkin mempunyai bulu lebih panjang pada ekor atau muka daripada yang terlihat pada anjing berlapis bulu licin.[33]
Kepalanya patut sederhana lebar di telinga, menyempit ke mata, dan sedikit rata di antara telinga. Patut ada stop jelas tetapi tidak terlalu jelas di hujung muncung di pertemuannya dengan kepala, dan hidung hitam. Rahangnya patut berkuasa dan cukup bertulang dengan gigitan gunting dan gigi lurus. Matanya berbentuk badam dan berwarna gelap dan patut penuh dengan kehidupan dan kecerdasan. Telinga kecil berbentuk V dengan ketebalan sederhana terangkat ke hadapan di atas kepala.[perlu rujukan] Apabila anjing berjaga-jaga, hujung V tidak patut melepasi sudut luar mata. Ekornya terletak tinggi-tinggi dan pada masa lalu dipotong hingga hampir-hampir sepanjang 10 sentimeter (5 in) untuk menyediakan pegangan tangan mencukupi untuk menggenggam terier ini.[perlu rujukan]
Terier Jack Russell patut sentiasa kelihatan seimbang dan berwaspada.[32] Rubah merah ialah buruan tradisional terier Jack Russell, maka terier Jack Russell pekerja mesti cukup kecil untuk mengejarnya. Rubah merah berbeza-beza dari segi saiz, tetapi di seluruh dunia, berpurata seberat 6–8 kg (13–17 lb) dan dengan purata saiz dada 30–36 cm (12–14 in) di bahagian terlebar.[34]
Baka terier Jack Russell Terrier dan terier Parson Russell adalah serupa, dengan asal usul bersama, tetapi mempunyai beberapa perbezaan ketara – yang paling ketara ialah julat ketinggian yang boleh diterima.[35] Perbezaan lain pada terier Parson Russell dapat termasuk kepala lebih panjang dan dada lebih besar serta saiz tubuh lebih besar secara keseluruhan.[perlu rujukan] Ketinggian terier Parson Russell pada paras kelasa menurut piawaian baka ialah 30–36 cm (12–14 in) yang menempatkannya dalam julat saiz piawai Jack Russell Terrier Club of America untuk terier Jack Russell, iaitu 25–38 cm (10–15 in). Walau bagaimanapun, terier Parson Russell ialah anjing piawaian pertunjukan pengakuran manakala piawaian terier Jack Russell ialah piawaian anjing pekerja lebih umum.[36]
Terier Russell, yang juga kadang-kadang dipanggil terier Jack Russell Inggeris atau terier Jack Russell pendek ialah baka berkaitan yang pada umumnya lebih kecil.[37] Kedua-dua piawaian baka American Russell Terrier Club dan English Jack Russell Terrier Club Alliance menyatakan bahawa pada paras kelasa ia sebaik-baiknya mesti setinggi 20–30 cm (8–12 in).[38][39] Walaupun kadang-kadang dipanggil terier Jack Russell Inggeris atau terier Jack Russell Ireland,[perlu rujukan] ini bukan ketinggian beriktiraf bagi terier Jack Russell di United Kingdom. Menurut piawaian baka Jack Russell Club of Great Britain, ia sama saiz dengan piawaian untuk terier Jack Russell di Amerika Syarikat, iaitu 25–38 cm (10–15 in).[40] Berbanding dengan terier Parson Russell, terier Russell patut sentiasa lebih panjang daripada ketinggian pada paras kelasa, sementara titik-titik terier Parson Russell patut berada pada jarak sama.[41] Piawaian Persekutuan Kinologi Antarabangsa untuk terier Jack Russell menyenaraikan saiz lebih kecil ini sebagai syarat.[1] Terrierman Eddie Chapman, yang telah berburu di Devon selama lebih daripada 30 tahun, kawasan sama perburuan oleh John Russell sendiri, mencatatkan bahawa, "Saya dapat menyatakan dengan tegas bahawa jika diberi pilihan, sembilan puluh sembilan peratus daripada terrier man pemburu akan membeli pekerja kurang daripada 12 inci (30 cm), jika tersedia, yang melebihi 14 inci (36 cm)."[42]
Terier Jack Russell pertama-tama ialah terier pekerja.[43] Sebagai anjing yang pada asalnya dibiakbakakan untuk meluru ke arah rubah untuk mengusir rubah dari sarangnya semasa perburuan, ia digunakan terhadap banyak buruan penghuni tanah seperti marmot, bejar, berang-berang, dan rubah merah dan kelabu.[44] Terier Jack Russell pekerja diperlukan untuk mengesan buruan di dalam bumi dan kemudian sama ada meluru ke arahnya atau menahannya di tempatnya sehingga buruan menggali ke arahnya.[perlu rujukan] Untuk mencapai ini, anjing itu tidak menyalak tetapi mengharapkan perhatian kepada buruan secara berterusan. Oleh sebab pemuliharaan keupayaan kerja ini adalah sangat penting untuk kebanyakan pembiak baka berdaftar JRTCA/JRTCGB, terier Jack Russell cenderung untuk menjadi anjing amat pintar, atletik, tidak takut, dan lantang.[13] Anjing ini tidak jarang juga menjadi beremosi atau bersikap pemusnah jika tidak dirangsang dan disenamkan dengan betul, kerana ia mempunyai kecenderungan untuk mudah menjadi bosan dan kerap mewujudkan keseronokan sendiri apabila ditinggalkan bersendirian untuk menghibur diri, yang membawa kepada nama panggilan separa mesra sesama anjing peliharaan pinggir bandar "Jack Russell Terrorist".[perlu rujukan]
Tenaga dan dorongan tingginya menjadikan anjing ini sesuai untuk sebilangan sukan anjing berlainan seperti flyball atau ketangkasan.[45] Kelas kepatuhan juga disyorkan kepada bakal pemilik,[44] kerana terier Jack Russell kadang-kadang dapat menjadi degil dan agresif terhadap haiwan dan manusia lain jika tidak tersosialisasi dengan betul.[13] Walaupun saiznya kecil, anjing ini tidak disyorkan untuk penghuni kondominium atau pangsapuri melainkan pemiliknya bersedia untuk memikul tugas berat untuk menyediakan untuk anjing ini jumlah senaman dan rangsangan yang diperlukan. Ia mempunyai sejumlah besar tenaga untuk saiznya.[perlu rujukan]
Oleh sebab penggunaannya dalam perburuan, terier Jack Russell cenderung menghidap sindrom kejutan toksik sigung.[46]
Sebuah kajian tahun 2022 tentang jangka hayat anjing di United Kingdom yang menggunakan data veterinar mendapati bahawa terier Jack Russell mempunyai purata jangka hayat sebanyak 12 tahun dan 9 bulan, yang lebih tinggi daripada mana-mana baka lain dalam kajian itu termasuk baka silang.[47] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 pula mendapati jangka hayat sebanyak 13.3 tahun berbanding dengan 12 tahun untuk baka silang dan 12.7 tahun untuk baka tulen secara keseluruhan.[48] Sebuah kajian Itali tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 8 tahun untuk baka ini berbanding dengan 10 tahun secara keseluruhan.[49]
Displasia folikel bulu hitam ialah sejenis displasia folikel jarang yang melibatkanya hanya bulu hitam pada anjing dwiwarna atau triwarna yang menjadi terjejas. Terier Jack Russell diketahui sebagai baka yang mungkin memperoleh keadaan ini walaupun ini terlihat pada beberapa baka dan pada anjing baka kacuk.[50]
Sejenis iktiosis yang dapat dibezakan secara klinikal dan histopatologi telah dikenal pasti dalam keluarga terier Jack Russell berasingan. Iktiosis ini juga lebih parah daripada bentuk-bentuk lain. Satu mutasi pada gen TGM1 telah didapati sebagai punca.[51]
Kehelan kanta primer ialah keadaan terwaris yang kerap berlaku pada terier Jack Russell serta baka lain.[52] Sebuah kajian mengenal pasti bahawa suatu mutasi pada gen ADAMTS17 bertanggungjawab atas keadaan ini.[53]
Keimunokurangan bercampur teruk (SCID) ialah gangguan genetik yang berkaitan dengan gerak balas antibodi rosak. Suatu bentuk resesif autosom bagi SCID telah dilaporkan pada terier Jack Russell. Keadaan ini biasanya menyebabkan kematian akibat jangkitan semasa beberapa bulan pertama. Alel yang bertanggungjawab atas keadaan ini didapati pada kurang daripada 1.1% daripada jumlah terier Jack Russell dan terdapat ujian DNA untuk keadaan ini.[54]
Kehelan tempurung lutut, yang juga dikenali sebagai tempurung lutut terkehel, ialah gangguan keturunan yang menjejaskan lutut. Ini berlaku apabila tempurung lutut tergelincir dari alur yang biasanya menempatkannya. Kesannya mungkin sementara apabila anjing berkenaan berlari sambil menahan tungkai belakangnya di udara sebelum berlari di atasnya semula sebaik tempurung lutut tergelincir semula ke tempatnya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Anjing boleh mengalami masalah dengan kedua-dua lutut belakang dan komplikasi dapat termasuk artritis atau ligamen lutut koyak. Kes parah mungkin memerlukan pembedahan. Sesetengah anjing terdedah kepada kehelan tempurung lutut, penyakit mata terwaris, kepekakan, dan penyakit Legg-Perthes—penyakit sendi pinggul pada baka anjing kecil. Ia terdedah kepada tumor sel masta. Sindrom Legg–Calvé–Perthes, yang juga dikenali sebagai nekrosis avaskular kepala femur, berlaku apabila bahagian bebola femur pada sendi pinggul merosot ikutan gangguan aliran darah dan merupakan keadaan sama seperti yang pada manusia.[55] Pada anjing, ini menyebabkan ketempangan pada tungkai belakang, atrofi pada otot atrofi, dan sakit pada sendi.[56] Ini biasanya berlaku pada usia antara umur 6–12 bulan dan telah didokumenkan pada pelbagai baka terier lain termasuk terier sempadan, terrier Lakeland, dan terrier gandum.[55]
Suatu bentuk terwaris bagi ataksia telah dikenali dalam kalangan terier Jack Russell selama lebih daripada 50 tahun. Miokimia dan sawan kerap terlihat bersama-sama dengan keadaan ini. Sebuah kajian tahun 2014 mengenal pasti bahawa gen KCNJ10 bertanggungjawab atas ataksia spinoserebelar yang diiringi oleh miokimia dan/atau sawan pada baka ini. Keadaan ini juga menjejaskan terier Parson Russell dan terier Rusell yang berkait rapat.[57]
Sebuah kajian United Kingdom mendapati bahawa terier Jack Russell cenderung terhadap meningitis-arteritis responsif steroid. Baka ini adalah 6.91 kali lebih berkemungkinan menghidap penyakit ini berbanding dengan baka lain.[58]
Nipper ialah seekor anjing yang lahir pada tahun 1884 yang dianggap sebagai anjing daripada jenis terier Jack Russell.[59] Ia merupakan ilham untuk lukisan Dog looking at and listening to a Phonograph ("anjing yang melihat dan mendengar fonograf"), yang kemudian dinamai semula His Master's Voice ("suara tuannya"). Lukisan itu digunakan oleh pelbagai syarikat berkaitan dengan muzik termasuk The Gramophone Company, EMI, Victor Talking Machine Company, dan RCA. Kini, ia masih digunakan bersama-sama dalam logo untuk HMV di United Kingdom dan di Eropah.[60]
Seekor terier Jack Russell bernama Bothie mencipta sejarah pada tahun 1982 sebagai sebahagian daripada Ekspedisi Transglob. Anjing ini, yang dimiliki oleh penjelajah Ranulph dan Ginny Fiennes, menjadi anjing pertama yang mengembara ke Kutub Utara dan ke Kutub Selatan.[61][62] Pencapaian ini tidak berkemungkinan untuk diulangi, kerana semua anjing telah diharamkan dari Antartika oleh bangsa-bangsa Perjanjian Antartika sejak tahun 1994, kerana kebimbangan bahawa anjing dapat menyampaikan penyakit kepada populasi anjing laut asli.[63] Ranulph Fiennes dan Charles Burton sebenarnya membuat perjalanan ke Kutub Utara dengan kereta luncur salji berkuasa sebelum memberikan isyarat kepada kem pangkalan bahawa mereka telah tiba. Untuk meraikan pencapaian mereka, sebuah pesawat diutus untuk mengambil champagne dua lelaki itu, bersama-sama dengan Bothie.[64]
Pada 29 April 2007, seekor terier Jack Russell bernama George menyelamatkan lima orang kanak-kanak di karnival di New Zealand daripada serangan oleh dua ekor pitbul. Ia dilaporkan telah menyerang dan menahan kedua-dua anjing itu cukup lama untuk kanak-kanak tersebut melarikan diri, namun ia dibunuh oleh pitbull itu. Ia dianugerahi Pingat Emas PDSA secara pascakematian pada tahun 2009, iaitu pingat untuk haiwan yang setara dengan Salib George. Sebuah patung telah didirikan di Manaia, New Zealand, sempena memperingatinya.[65] Seorang bekas Marin Amerika Syarikat turut mendermakan kepada pemilik George sebuah anugerah Purple Heart yang telah diterima oleh beliau atas perkhidmatan di Vietnam.[66]
Pada tahun 2019, Boris Johnson dan pasangan beliau Carrie Symonds mendapatkan seekor silangan terier Jack Russell daripada badan amal penyelamatan haiwan di Wales.[67] Nama anjing itu ialah Dilyn dan ia menjadi anjing terkenal di pusat mengundi dalam pilihan raya umum.[68][69]
Semasa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine 2022 yang sedang berlangsung, seekor terier Jack Russell berusia 2 tahun bernama Patron telah bekerjasama dengan Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine untuk mengesan bahan letupan Rusia. Sehingga 20 April 2022, Pemerintah Ukraine mengumumkan bahawa ia telah mengesan hampir 90 bahan letupan.[70]
Di United Kingdom, salah seekor anjing bintang yang lebih terkenal ialah terier riang milik pemilik restoran dan tukang masak Rick Stein, Chalky,[perlu rujukan] yang kerap mencelah pemiliknya dalam pelbagai siri masakan beliau.[71] Chalky mempunyai barisan barang dagangnya sendiri, termasuk plusy, tuala teh, cetakan seni, cetakan kaki seni, dan dua real ale – Chalky's Bite dan Chalky's Bark,[72] yang memenangi emas dalam Anugerah Minuman Berkualiti 2009.[73] Chalky diberi obituari BBC apabila ia mati pada tahun 2007.[74]
Moose dan anaknya Enzo memainkan peranan Eddie dalam sitkom televisyen Amerika yang lama ditayangkan, Frasier.[perlu rujukan] Eddie dimiliki oleh bapa kepada watak utama Frasier, Martin Crane, dan sentiasa "mengambil alih pertunjukan" dengan telatah selambanya, lalu menerima lebih banyak surat peminat daripada mana-mana watak lain Frasier.[75] Moose dan Enzo juga menjadi membintang Skip dalam filem tahun 2000 My Dog Skip.
Soccer ialah seekor terier Jack Russell yang menjadi bintang siri televisyen Amerika Wishbone, yang disiarkan dari tahun 1995 hingga tahun 2001.[18] Dalam filem tahun 2009 Hotel for Dogs, Friday, salah satu watak utama, ialah seekor terier Jack Russell, yang dilakonkan oleh anjing pelakon Cosmo.[76] Cosmo selanjutnya muncul dalam filem Paul Blart: Mall Cop and Beginners.[77]
Uggie (2002–2015) ialah seekor haiwan pelakon yang muncul dalam iklan bermula pada tahun 2005 dan dalam filem Water for Elephants and The Artist, kedua-duanya pada tahun 2011.[78] Pada tahun sama, berdasarkan minat terhadap The Artist, kempen "Consider Uggie" dilancarkan, yang mencuba untuk mendapatkan anjing itu pencalonan untuk Anugerah Akademi.[79] Pada tahun 2012, Uggie dinamai jurucakap pertama Nintendo.[80]
Sykes (anggaran 2001–2019) ialah seekor anjing pelakon dari Clifton, Oxfordshire, England. Ia paling terkenal di United Kingdom kerana penampilannya sebagai "Harvey" dalam tiga iklan televisyen Thinkbox dan, atas nama sebenarnya, dalam lima musim Midsomer Murders. Ia juga muncul dalam beberapa buah filem blokbuster Hollywood, serta dalam sebuah filem televisyen United Kingdom, beberapa buah siri, dan sebuah minisiri. Ia bersara pada tahun 2016 selepas kerjaya panjang di layar besar dan kecil. Sykes juga merupakan juara pertandingan ketangkasan.
Seekor terier Jack Russell pintar, bernama Jack, memainkan peranan pusat dalam siri pengembaraan televisyen tahun 1980-an Tales of the Gold Monkey.
K.K. Slider ialah seekor terier Jack Russell yang merupakan watak utama dalam siri permainan video Animal Crossing yang dibangunkan oleh Nintendo. K.K. ialah pemuzik yang membuat persembahan kepada warga pekan. Ia telah muncul dalam setiap permainan Animal Crossing sehingga kini sejak permainan asli Animal Crossing pada tahun 2001 sehingga Animal Crossing: New Horizons pada tahun 2020.
Max, protagonis utama dalam francais The Secret Life of Pets oleh Illumination ialah seekor terier Jack Russell yang tinggal bersama dengan saudara angkatnya Duke, seekor anjing Newfoundland kacuk besar, dan pemiliknya Katie, Chuck, dan Liam.
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.