From Wikipedia, the free encyclopedia
NTSC ialah sistem televisyen analog yang digunakan di Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Mexico, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, dan beberapa negara lain, kebanyakan di rantau Amerika (lihat peta). NTSC dinamakan sempena National Television System Committee (Jawatankuasa Sistem Televisyen Negara), badan piawaian AS yang mengamalkannya. Kadang-kala nama penuhnya disalah sebut sebagai National Television Standards Committtee (Jawatankuasa Piawaian Televisyen Negara) tetapi nama betulnya dipastikan dalam satu kompilasi dokumen-dokumen asal di Pustaka Kongres[1].
Jawatankuasa Sistem Televisyen Negara ditubuhkan pada tahun 1940 oleh Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (Federal Communications Commission, FCC), di Amerika Syarikat (AS), untuk menyelesaikan perselisihan yang timbul di antara syarikat-syarikat mengenai pengenalan sistem televisyen analog seluruh negara di AS. Pada Mac 1941, suruhanjaya tersebut mengeluarkan satu piawaian teknikal untuk televisyen hitam putih yang dirangka berdasarkan cadangan yang dibuat Persatuan Pembuat Radio (Radio Manufacturers Association, RMA) pada tahun 1936. Kemajuan teknikal dalam teknik jalur sisi vestig membuka peluang meningkatkan leraian gambar yang disiarkan ke televisyen pengguna. NTSC berkompromi antara hasrat RCA untuk mengekalkan piawaian 441-garis imbasan (yang sudah digunakan oleh rangkaian TV NBC milik RCA) dan hasrat Philco untuk menambahkan bilangan garis imbasan kepada 605–800. Jawatankuasa tersebut berkompromi dan memilih piawaian pemancaran 525 garis. Piawaian teknikal lain dalam cadangan muktamad ialah kadar frem (kadar imej) 30 frem sesaat yang terdiri daripada 2 medan berjalin per frem (2:1 berjalin) pada 262½ per medan atau 60 medan sesaat bersama nisbah aspek 4:3, dan modulasi frekuensi (FM) untuk isyarat bunyi.
Pada Januari 1950, Jawatankuasa dibentuk semula untuk meyeragamkan televisyen warna. Pada Disember 1953, Jawatankuasa secara sebulat suara meluluskan apa yang kini dikenali sebagai piawaian televisyen warna NTSC (kemudian didefinasikan sebagai RS-170a). Piawaian yang dikemaskini ini mengekalkan keserasian ke belakang ("warna serasi" atau "compatible color") sepenuhnya ke dengan set televisyen hitam putih yang lebih lama. Maklumat warna ditambah pada imej hitam putih dengan menyertakan subpembawa warna 4.5 x 455/572 MHz (kira-kira 3.58 MHz) pada isyarat video. Agar meminimumkan gangguan antara isyarat kromaan dan pembawa bunyi FM, penambahan subpembawa warna juga memerlukan pengurangan kadar frem sedikit dari 30 frem sesaat ke 30/1.001 (hampir 29.97) frem sesaat, dan mengubah frekuensi garisan dari 15,750Hz ke 15,734.26Hz.
FCC pernah sekejap meluluskan satu piawaian televisyen warna yang berbeza yang dimajukan CBS sejak Oktober 1950.[2] Bagaimanapun, piawaian ini tidak serasi dengan penyiaran hitam putoh. Sistem itu menggunakan cakera warna berputar yang mengurangkan bilangan garis imbasan dari 525 ke 405, dan meningkatkan kadar medan dari 60 ke 144 (tetapi kadar frem efektifnnya cuma 24 sesaat). Tindakan undang-undang oleh RCA memberhentikan penggunaan komersial sistem itu sehingga Jun 1951, dan penyiaran biasa hanya bertahan selama beberapa bulan sebelum pembuatan semua set televisyen berwarna dilarang oleh Pejabat Kerahan Pertahanan (Office of Defense Mobilization, ODM) pada bulan Oktober, kononnya kerana Perang Korea.[3] Kebanyakan perkakas yang sedia ada teurs dimusnahkan dan cuma dua penerima diketahui kini masih wujud.[perlu rujukan] CBS membubarkan sistemnya pada Mac 1953,[4] dan FCC menggantikannya pada 17 Disember 1953 dengan piawaian warna NTSC yang dimajukan bersama oleh beberapa syarikat (termasuk RCA dan Philco).[5] Penyiaran televisyen ujian yang julung kai diumumkan menggunakan sistem "warna serasi" NTSC dilakukan pada satu episod Kukla, Fran and Ollie yang disiarkan NBC pada 30 Ogos 1953.[6]
Kamera televisyen NTSC warna yang pertama ialah RCA TK-40 yang digunakan untuk penyiaran ujian pada tahun 1953; satu versi yang diperbaik, iaitu TK-40A yang diperkenalkan pada Mac 1954, ialah kamera TV warna yang pertama didapati secara komersial. TK-40A kemudian digantikan pada tahun itu oleh satu lagi versi diperbaik, iaitu TK-41 yang menjadi kamera piawai yang digunakan sepanjang 1960-an.
Piawaian NTSC turut diamalkan negara-negara lain, termasuk kebanyakan rantau Amerika dan Jepun. Dengan kedatangan digital television, penyiaran analog semakin banyak dihentikan. Penyiaran NTSC dimandatkan oleh FCC untuk berakhir di AS pada 17 Februari 2009.
Terdapat tiga piawaian utama yang digunakan di seluruh dunia, iaitu PAL (Phase Alternating Line — "Garis Ulang-Alik Fasa"), NTSC (National Television System Committee — "Jawatankuasa Sistem Televisyen Negara") dan SECAM (Séquentiel Couleur à Mémoire — "Warna Berjujukan dengan Ingatan").
Sistem yang digunakan di Amerika Utara ialah NTSC. Eropah Barat, Australia dan Amerika Selatan Timur menggunakan PAL. Eropah Timur dan Perancis pula memakai SECAM. Secara amnya, sesuatu peranti (seperti televisyen) hanya boleh membaca atau memaparkan video yang dikodkan pada satu piawaian yang peranti itu direka untuk menyokong; jika tidak, sumbernya mesti diubah suai (seperti mana apabila rancangan Eropah disiarkan di Amerika Utara atau sebaliknya).
Jadual berikut menggambarkan perbezaannya:
NTSC M | PAL B,G,H | PAL N | PAL M | SECAM B,G,H | SECAM D,K,K',L | |
---|---|---|---|---|---|---|
Garis/Medan | 525/60 | 625/50 | 625/50 | 525/60 | 625/50 | 625/50 |
Frekuensi mengufuk | 15.734 kHz | 15.625 kHz | 15.625 kHz | 15.750 kHz | 15.625 kHz | 15.625 kHz |
Frekuensi menegak | 60 Hz | 50 Hz | 50 Hz | 60 Hz | 50 Hz | 50 Hz |
Frekuensi subpembawa warna | 3.579545 MHz | 4.433618 MHz | 3.582056 MHz | 3.575611 MHz | ||
Lebar jalur video | 4.2 MHz | 5.0 MHz | 4.2 MHz | 4.2 MHz | 5.0 MHz | 6.0 MHz |
Pembawa bunyi | 4.5 MHz | 5.5 MHz | 4.5 MHz | 4.5 MHz | 5.5 MHz | 6.5 MHz |
|
Seamless Wikipedia browsing. On steroids.
Every time you click a link to Wikipedia, Wiktionary or Wikiquote in your browser's search results, it will show the modern Wikiwand interface.
Wikiwand extension is a five stars, simple, with minimum permission required to keep your browsing private, safe and transparent.